bab 1-3 (hakim)

38
BAB 1 PENGENALAN Pendahuluan Pada hari ini, teknologi berkembang dengan pesat dalam kehidupan manusia. Perkembangan pesat teknologi ini banyak memberi pengaruh kepada kehidupan seharian manusia sama ada secara positif atau negatif tanpa mengira usia. Walau bagaimanapun, perkembangan teknologi ini sedikit sebanyak mempengaruhi kehidupan seharian kanak-kanak. Kanak-kanak yang lebih didedahkan dengan teknologi ini banyak menghabiskan masa dan kehidupan mereka dengan aktiviti-aktiviti pasif (Gregory Green, Clarence Riley dan Brenda Hargrove, (2012). Antara aktiviti-aktiviti pasif ini termasuklah sekadar duduk di rumah bermain gadget-gadget seperti iPad, komputer tablet, telefon pintar dan sebagainya sehingga mengakibatkan kanak-kanak kurang melakukan aktiviti fizikal di luar rumah seperti kanak- kanak pada zaman sebelum berkembangnya teknologi seperti pada hari ini. Hal ini disokong oleh Wonwoo Byun (2012) dalam kajiannya berkaitan dengan tingkah laku tidak aktif dalam kalangan kanak-kanak prasekolah yang mengatakan bahawa kemajuan teknologi telah menyebabkan adanya peningkatan kereta, televisyen (TV), komputer dan telefon pintar. Teknologi tersebut secara drastik telah mengubah tingkah laku kanak-

Upload: ukmbangi

Post on 24-Jan-2023

2 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

BAB 1

PENGENALAN

Pendahuluan

Pada hari ini, teknologi berkembang dengan pesat dalam

kehidupan manusia. Perkembangan pesat teknologi ini banyak

memberi pengaruh kepada kehidupan seharian manusia sama ada

secara positif atau negatif tanpa mengira usia. Walau

bagaimanapun, perkembangan teknologi ini sedikit sebanyak

mempengaruhi kehidupan seharian kanak-kanak. Kanak-kanak yang

lebih didedahkan dengan teknologi ini banyak menghabiskan masa

dan kehidupan mereka dengan aktiviti-aktiviti pasif (Gregory

Green, Clarence Riley dan Brenda Hargrove, (2012). Antara

aktiviti-aktiviti pasif ini termasuklah sekadar duduk di rumah

bermain gadget-gadget seperti iPad, komputer tablet, telefon

pintar dan sebagainya sehingga mengakibatkan kanak-kanak

kurang melakukan aktiviti fizikal di luar rumah seperti kanak-

kanak pada zaman sebelum berkembangnya teknologi seperti pada

hari ini.

Hal ini disokong oleh Wonwoo Byun (2012) dalam kajiannya

berkaitan dengan tingkah laku tidak aktif dalam kalangan

kanak-kanak prasekolah yang mengatakan bahawa kemajuan

teknologi telah menyebabkan adanya peningkatan kereta,

televisyen (TV), komputer dan telefon pintar. Teknologi

tersebut secara drastik telah mengubah tingkah laku kanak-

kanak dengan mewujudkan persekitaran yang menggalakkan tingkah

laku yang tidak aktif. Ini menunjukkan bahawa kepesatan

teknologi secara tidak langsung telah mengurangkan tingkah

laku aktif individu termasuklah kanak-kanak. Kanak-kanak lebih

terdedah kepada aktiviti-aktiviti pasif yang tidak memerlukan

pergerakan fizikal secara aktif seperti bermain permainan dan

aplikasi yang terdapat dalam telefon pintar atau komputer

tablet.

Berdasarkan pada pernyataan dan kajian-kajian di atas,

pengkaji tertarik untuk menjalankan kajian berkaitan dengan

pengaruh gadget terhadap tingkah laku kanak-kanak prasekolah

di dalam bilik darjah. Memandangkan peranti gadget seperti

telefon pintar dan komputer tablet yang semakin canggih dengan

penggunaan skrin sentuh merupakan sebahagian daripada

peralatan-peralatan berjenis skrin yang harus dikawal

penggunaannya dalam kalangan anak-anak kecil maka pengkaji

bercadang untuk meninjau dan meneroka implikasinya terhadap

kanak-kanak prasekolah. Aspek utama yang difokuskan oleh

pengkaji adalah aspek tingkah laku kanak-kanak terutamanya

semasa mereka belajar dan bermain di dalam kelas prasekolah.

Pernyataan Masalah

Kajian ini dijalankan untuk meninjau dan meneroka

pengaruh gadget terhadap tingkah laku kanak-kanak prasekolah

di dalam bilik darjah. Seiring dengan kepesatan teknologi,

kanak-kanak pada zaman ini mudah terdedah kepada kemahiran

menguasai sesuatu teknologi sejak awal usia mereka.

Berdasarkan pengalaman pengkaji melalui pemerhatian terhadap

anak saudara sendiri yang baru berusia sekitar 2-3 tahun,

pengkaji telah mendapati bahawa kanak-kanak tersebut telah

dapat menguasai kemahiran menggunakan komputer tablet secara

sendiri. Tambahan pula, jika diberi pilihan antara bermain

pasir dan berlari-lari di tepi pantai dengan sekadar duduk

bermain telefon pintar atau komputer tablet di bawah tempat

yang teduh atau di dalam bangunan berbumbung, kanak-kanak

lebih cenderung untuk bermain peralatan gadget tersebut (Hanna

Rosin, 2013). Hal ini telah menarik minat pengkaji terhadap

fenomena masa kini yang sedang melanda kanak-kanak zaman

milenium ini yang juga digelar sebagai kanak-kanak generasi Z

iaitu kelompok kanak-kanak yang lahir dari awal tahun 2000-an

hingga kini.

Tidak dinafikan bahawa teknologi memainkan peranan

sebagai suatu alat pembelajaran yang penting pada masa kini

dalam membantu perkembangan kanak-kanak dari aspek bahasa,

kognitif dan sosial (Gimbert & Cristol, 2004). Beberapa kajian

lain juga mendapati motivasi dan komitmen kanak-kanak pada

usia prasekolah dan sekolah rendah dalam aktiviti pembelajaran

adalah meningkat melalui penggunaan komputer berbanding dengan

aktiviti pembelajaran yang tidak menggunakan komputer (Chung &

Walsh, 2006; Sandholtz, Ringstaff, & Dwyer, 1997; Schmid,

Miodrag, & DiFrancesco, 2008). Sebagai contoh, kanak-kanak

yang menggunakan komputer dalam pembelajaran mereka didapati

lebih menunjukkan peningkatan dalam aspek intelek, pengetahuan

yang lebih berstruktur, penyelesaian masalah dan kemahiran

berbahasa berbanding dengan kanak-kanak yang tidak menggunakan

teknologi dalam pembelajaran mereka (Clements & Samara, 2003;

Haugland, 1999; Swarninathan & Wright, 2003; Vernadakis et

al., 2005). Malah penggunaan gadget khususnya iPad mewujudkan

satu inovasi baru dalam pengajaran dan pembelajaran awal

kanak-kanak (Chou Mei-Ju & Lee Hung-Chang, 2012).

Walaubagaimanapun, pendedahan pada pelbagai jenis

penggunaan teknologi dalam purata 8 jam sehari boleh

mengakibatkan kanak-kanak menjadi tidak aktif secara fizikal

serta boleh menyebabkan tekanan dalaman yang merunsingkan pada

kanak-kanak (Cris Rowan, 2010). Kemajuan teknologi khususnya

dengan peningkatan penggunaan gadget-gadget seperti telefon

pintar dan komputer tablet juga secara drastik telah mengubah

tingkah laku kanak-kanak dengan mewujudkan persekitaran yang

menggalakkan tingkah laku tidak aktif dalam kalangan kanak-

kanak (Wonwoo Byun, 2012). Malah tingkah laku prososial dan

agresif kanak-kanak juga dapat dikaitkan dengan kadar

penggunaan komputer berdasarkan tempoh masa mengikut tahun

bagi seseorang kanak-kanak (Hulya Gulay, 2011).

Penggunaan teknologi berlebihan oleh kanak-kanak

dikaitkan dengan gangguan perkembangan mereka (Thakkar,

Garrison, & Christakis, 2006). Kajian lain menunjukkan

penggunaan teknologi berlebihan oleh kanak-kanak dapat

dikaitkan dengan masalah kesukaran dalam memberi tumpuan,

pencapaian akademik yang lemah dan kemerosotan tidur

(Christakis & Zimmerman, 2007; Hancoz, Milne, & Poulton, 2005;

Paavonen, Pennonen & Roine, 2006). Manakala aktiviti secara

fizikal seperti senaman telah menunjukkan kekerapan secara

signifikan dalam mempertingkatkan pencapaian akademik (Ratey &

Hagerman, 2008) selain dapat mengurangkan masalah kurang

memberi tumpuan, masalah hiperaktif dan dapat meningkatkan

penumpuan individu (Faber Taylor, Kuo, & Sullivan, 2001; Kuo &

Faber Taylor, 2004).

Kanak-kanak pada masa kini yang berlebihan dalam

penggunaan teknologi lebih mudah terpengaruh pada keganasan

dan kurang rasa empati di mana minda mereka telah terpatri

untuk bertindak balas secara pantas dan ganas menyebabkan

peningkatan luar biasa dalam keganasan dan jenayah kanak-kanak

(Anderson & Gentile, 2007; Anderson et. at., 2008; Buchanan,

Gentile, Nelson, Walsh, & Hensel, 2002; Murray et. al., 2006).

25% daripada kanak-kanak pada usia sekolah rendah di Amerika

Syarikat pernah menjadi mangsa buli siber (dibuli dengan lisan

secara atas talian), meningkatkan risiko mereka membawa

senjata ke sekolah sebanyak lapan kali (Kowalski & Limber,

2007); Ybara, Diener-West, & Leaf, 2007). Jenayah-jenayah

teknologi tersebut menunjukkan bahawa kanak-kanak tidak

mempunyai kematangan atau bimbingan ibu bapa dalam penggunaan

teknologi secara selamat dan bertanggungjawab.

Walaupun terdapat beberapa kajian lepas yang dijalankan

untuk meneroka kesan dan pengaruh teknologi terhadap

perkembangan kanak-kanak namun pengkaji mendapati masih

kurangnya kajian yang secara khusus mengkaji kesan dan

pengaruh penggunaan gadget seperti telefon pintar dan komputer

tablet terhadap perkembangan kanak-kanak prasekolah. Secara

umumnya, gadget-gadget seperti iPad, telefon pintar dan

komputer tablet ini dapat dikategorikan sebagai salah satu

peratalan teknologi tetapi dalam konteks yang lebih canggih

kerana mengaplikasikan konsep ‘skrin sentuh’ dalam

penggunaannya. Oleh sebab itu, pengkaji tertarik untuk

menjalankan kajian terhadap pengaruh penggunaan gadget

berjenis ‘skrin sentuh’ tersebut yang semakin berleluasa

didedahkan kepada kanak-kanak. Pengkaji juga mengecilkan skop

kajian dengan menggunakan kanak-kanak prasekolah sebagai

sampel kajian berbanding kajian-kajian berkaitan yang lepas.

Melalui kajian yang dijalankan ini juga, pengkaji berharap

agar dapat memberi manfaat dan panduan kepada setiap pihak

yang terlibat dengan perkembangan dan kehidupan kanak-kanak

prasekolah.

1.3 Tujuan Kajian

Tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk meneroka pengaruh

gadget terhadap tingkah laku kanak-kanak prasekolah di dalam

bilik darjah.

1.4 Objektif Kajian

Secara khususnya, objektif kajian dijalankan adalah untuk:

1. Meninjau penggunaan peranti gadget di kalangan kanak-

kanak prasekolah dalam kehidupan seharian mereka.

2. Meneroka kanak-kanak prasekolah yang didedahkan dengan

peranti gadget memberi tumpuan semasa pengajaran dan

pembelajaran di dalam bilik darjah.

3. Meneroka cara kanak-kanak prasekolah yang didedahkan

dengan peranti gadget berinteraksi dengan guru dan rakan-

rakan sepanjang berada di dalam bilik darjah.

1.5 Persoalan Kajian

1. Bagaimanakah kanak-kanak prasekolah menggunakan peranti

gadget dalam kehidupan mereka?

2. Bagaimanakah kanak-kanak prasekolah yang telah didedahkan

dengan peranti gadget memberi tumpuan semasa pengajaran dan

pembelajaran di dalam bilik darjah.

3. Bagaimanakah cara kanak-kanak prasekolah yang telah

didedahkan dengan peranti gadget berinteraksi dengan guru

dan rakan-rakan sepanjang berada di dalam bilik

darjah?

1.6 Kerangka Teoritikal

Erik Erikson (1950) membincangkan tentang peringkat-

peringkat psikososial. Beliau menekankan peranan budaya dan

masyarakat dalam perkembangan individu. Pada setiap peringkat

psikososial, Erikson mencadangkan bahawa perkembangan individu

berlaku secara serentak pada tiga tahap iaitu secara

biologikal, sosial dan psikologikal yang mewakili aspek

organism, keahlian dalam masyarakat dan peribadi individu.

Model yang diperkenalkan oleh Erikson ialah model kitaran

perkembangan dengan melibatkan lima peringkat sehingga umur 18

tahun dan tiga peringkat seterusnya sehingga dewasa. Erikson

juga mencadangkan bahawa masih terdapat ruang untuk

pertumbuhan dan perkembangan diteruskan dalam kehidupan

individu. Erik Erikson menegaskan bahawa personaliti terbentuk

dalam aturan yang telah ditetapkan. Hasil daripada 'jadual

kematangan' merupakan satu set kemahiran dan keupayaan hidup

yang luas dan bersepadu yang berfungsi bersama dalam kendiri

individu. Walau bagaimanapun, Erikson lebih berminat dalam

bagaimana kanak-kanak bersosial dan bagaimana ini memberi

kesan kepada diri mereka.

Peringkat-peringkat Psikososial Erik Erikson

Erikson melihat personaliti sebagai suatu proses

perkembangan yang berterusan sepanjang hayat dan melihat

krisis indentiti sebagai tumpuan utama bagi setiap tahap

perkembangan manusia. Teori perkembangan psikososial Erikson

mengandungi 8 tahap berbeza di mana setiap tahap melibatkan

dua jenis hasil perkembangan. Berdasarkan teori tersebut,

kejayaan dalam memenuhi setiap tahap perkembangan akan

menghasilkan individu yang mempunyai personaliti dan hubungan

dengan orang lain yang sihat dan baik manakala kegagalan dalam

memenuhi setiap tahap perkembangan pula akan mengurangkan

kebolehan individu untuk melengkapkan tahap yang selanjutnya

selain melahirkan personaliti dan kendiri yang tidak sihat.

1.7 Kerangka Konseptual

Penggunaan peranti gadget dalam kehidupan seharian

Kadar penggunaan dalam sehari

Aplikasi yang kerap digunakan

Tingkah laku Kanak-kanak

Tumpuan semasa PdP

Interaksi di dalam bilik darjah

Dalam kajian ini, pengkaji membuat hubung kait antara pemboleh

ubah tak bersandar iaitu penggunaan peranti gadget dalam

kehidupan seharian kanak-kanak yang mungkin mempengaruhi

pemboleh ubah bersandar iaitu tingkah laku kanak-kanak

prasekolah semasa proses pembelajaran dan pembelajaran di

dalam bilik darjah. Berdasarkan pada tujuan utama kajian ini

dijalankan iaitu untuk meneroka pengaruh gadget terhadap

tingkah laku kanak-kanak prasekolah di dalam bilik darjah,

pengkaji membina kerangka konseptual kajian berdasarkan pada

teori perkembangan individu Erik Eriksen (1950). Menurut teori

tersebut, Eriksen mencadangkan bahawa perkembangan individu

berlaku secara serentak dalam tiga aspek iaitu biologi, sosial

dan psikologi serta lebih berminat untuk melihat bagaimana

kanak-kanak bersosial dan bagaimana cara kanak-kanak bersosial

memberi kesan kepada diri mereka.

Kadar penggunaan peranti gadget di kalangan kanak-kanak

dapat mempengaruhi perkembangan dari aspek sosial mereka

dengan persekitaran seperti ibu bapa, keluarga, rakan-rakan

dan masyarakat di luar rumah. Tiga faktor penting bagi

perkembangan kanak-kanak yang sihat secara fizikal dan

psikologikal adalah pergerakan, sentuh dan hubungan dengan

manusia lain (Insel & Young, 2001; Korkman, 2001; Montagu,

1972). Ini menunjukkan bahawa aspek sosial iaitu interaksi

kanak-kanak dengan orang lain merupakan faktor penting dalam

perkembangan kanak-kanak. Namun kanak-kanak pada hari ini

lebih gemar memerapkan diri dengan dunia maya untuk tempoh

masa yang panjang dan memutuskan hubungan dengan dunia luar

yang penuh dengan aktiviti fizikal dan interaksi sosial yang

bermakna (Cris Rowan, 2010).

Aktiviti secara fizikal dapat mengurangkan masalah kurang

memberi tumpuan, masalah hiperaktif dan dapat meningkatkan

penumpuan individu (Faber Taylor, Kuo, & Sullivan, 2001; Kuo &

Faber Taylor, 2004). Manakala masalah tingkah laku prososial

dan agresif kanak-kanak dapat dikaitkan dengan kadar

penggunaan komputer berdasarkan tempoh masa mengikut tahun

bagi seseorang kanak-kanak (Hulya Gulay, 2011). Oleh sebab

itu, pengkaji berhasrat untuk meneroka pengaruh penggunaan

peranti gadget dari aspek kadar penggunaannya dalam sehari dan

jenis aplikasi yang sering digunakan atau dimainkan terhadap

tingkah laku kanak-kanak prasekolah di dalam bilik darjah

iaitu penumpuan kanak-kanak semasa proses pengajaran dan

pembelajaran serta interaksi kanak-kanak bersama rakan-rakan

dan guru sepanjang berada di dalam bilik darjah. Dua jenis

tingkah laku tersebut dapat dikaitkan dengan teori

perkembangan individu Erik Eriksen (1950) iaitu penumpuan

semasa belajar (aspek psikologi) dan interaksi di dalam bilik

darjah (aspek sosial)

1.8 Kepentingan Kajian

Kajian ini diharapkan dapat memberi manfaat dan sumbangan

kepada kajian-kajian berkaitan terutamanya kajian-kajian yang

melibatkan perkembangan kanak-kanak khususnya di peringkat

prasekolah. Perkembangan kanak-kanak dipengaruhi oleh

persekitaran mereka. Oleh sebab itu, adalah menjadi satu

kepentingan kepada guru-guru prasekolah untuk sentiasa

meninjau dan meneroka pengaruh teknologi yang semakin

berkembang pesat terhadap setiap aspek perkembangan kanak-

kanak. Walaupun penggunaan teknologi dapat membantu

meningkatkan tahap intelek dan celik akal kanak-kanak namun

masih terdapat beberapa aspek perkembangan lain yang mungkin

dipengaruhi secara negatif oleh penggunaan teknologi.

Temu bual dengan ibu bapa dan pemerhatian terhadap kanak-

kanak sebagai sampel kajian terutamanya yang tinggal di

kawasan bandar dapat membantu guru untuk mendapat maklumat

daripada ibu bapa tentang latar belakang penggunaan peranti

gadget oleh kanak-kanak dalam sehari. Selain itu, guru juga

dapat meninjau bagaimana kanak-kanak yang telah didedahkan

dengan peranti gadget bertingkah laku di dalam bilik darjah

melalui pemerhatian guru terhadap penumpuan kanak-kanak dan

interaksi mereka bersama guru dan kanak-kanak lain semasa

proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah

dijalankan. Hasil daripada kajian ini juga dapat membantu guru

untuk memikirkan cara mengajar alternatif yang lain dalam

memastikan setiap perkembangan dan keperluan kanak-kanak di

dalam bilik darjah dapat dipenuhi seiring dengan peredaran

zaman yang semakin maju ini.

1.9 Batasan Kajian

Kajian ini hanya melibatkan sampel kanak-kanak prasekolah

yang dipilih dari sekolah di kawasan bandar iaitu di SK Seri

Nilam, Kuala Lumpur kerana mereka lebih terdedah dengan

penggunaan peranti gadget secara meluas. Instrumen kajian yang

digunakan juga adalah melibatkan senarai borang soal selidik,

soalan temu bual dan borang rekod anekdot. Kajian dijalankan

secara soal selidik untuk pemilihan responden, temu bual

antara pengkaji dengan ibu bapa untuk mendapatkan latar

belakang penggunaan gadget oleh kanak-kanak serta pemerhatian

terhadap tingkah laku kanak-kanak di dalam bilik darjah.

Dapatan kajian juga merupakan generalisasi bagi pengaruh

peranti gadget terhadap kanak-kanak prasekolah yang hanya

mempunyai latar belakang penggunaan peranti gadget dalam

kehidupan seharian mereka. Skop kajian ini tertumpu kepada

pengaruh peranti gadget terhadap tingkah laku kanak-kanak

prasekolah di dalam bilik darjah. Bagi tujuan ini fokus kajian

akan tertumpu kepada kanak-kanak prasekolah yang mempunyai

latar belakang pengalaman menggunakan peranti gadget secara

kerap dalam kehidupan seharian mereka. Oleh yang demikian,

kanak-kanak prasekolah dari sekolah-sekolah di kawasan bandar

dipilih sebagai sampel bagi penyelidikan ini.

1.10 Definisi Operasional

GADGET

Alat atau peranti mekanikal kecil, khususnya sesuatu yang baru

dan pintar (Oxford Dictionaries)

KOMPUTER TABLET

Komputer tablet ditakrifkan sebagai sebuah komputer peribadi

mudah alih dengan antara muka berskrin sentuh. Kebiasaanya

saiz sebuah tablet adalah lebih kecil daripada sebuah komputer

riba tetapi lebih besar daripada sebuah telefon pintar

(Margaret Rouse, 2010)

TELEFON PINTAR

Telefon pintar didefinisikan sebagai sebuah telefon bimbit

yang dibina bersama komputer bersepadu dan ciri-ciri lain yang

asalnya tidak berkaitan dengan telefon, seperti sistem

operasi, pelayaran web dan keupayaan untuk menjalankan

aplikasi perisian (Margaret Rouse, 2007).

TINGKAH LAKU

Tingkah laku merangkumi aktiviti aksi, prestasi,

bertindakbalas, tindakan dan reaksi dari segi teknik, aktiviti

yang melibatkan otot-otot, kelenjar dan aktiviti eletrik oleh

setiap organ (Garry Martin dan JosephPear, 2003)

PENUMPUAN

William James (1890) dalam bukunya Principles of Psychology

menjelaskan bahawa penumpuan berlaku dalam minda individu

seseorang dalam bentuk yang jelas dan hidup bertujuan untuk

melihat beberapa objek secara serentak atau melatih pemikiran.

Pemfokusan dan perhatian ke atas kesedaran merupakan inti pati

bagi penumpuan. Ia melibatkan penarikan daripada sesetengah

perkara supaya boleh berurusan secara berkesan dengan orang

lain (Azizi Yahaya, 2006)

INTERAKSI

Interaksi bererti proses saling bertindak serta saling

mempengaruhi antara satu sama lain (A English Dictionary)

BAB 2

KAJIAN LITERATUR

Pendahuluan

Bab ini akan membincangkan tentang beberapa kajian lepas

yang berkaitan dengan pengaruh teknologi umumnya dan peranti

gadget khususnya terhadap perkembangan kanak-kanak prasekolah.

Di samping itu, beberapa pendapat dan cadangan yang disarankan

oleh pengkaji terdahulu turut digunakan dalam kajian ini.

Pelbagai isu akan diutarakan dalam kajian lepas yang berkaitan

dengan kesan dan pengaruh teknologi umumnya dan peranti gadget

khususnya terhadap perkembangan kanak-kanak prasekolah. Teori,

model dan cadangan yang digunapakai dapat dijadikan panduan

bagi mengaitkan sejauh mana dapatan kajian menyokong teori-

teori sedia ada berkaitan pengaruh teknologi iaitu peranti

gadget terhadap tingkah laku kanak-kanak prasekolah di dalam

bilik darjah.

Statistik penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak

di Amerika Utara menunjukkan purata 8 jam sehari dalam

penggunaan sesuatu kombinasi teknologi yang tidak berkaitan

dengan persekolahan seperti televisyen, permainan video,

wayang, internet, telefon bimbit, iPod dan peranti-peranti

lain dengan lebih 65% kanak-kanak mempunyai televisyen dalam

bilik tidur mereka sendiri (Nielsenwire, 2009; Rideout,

Vandewater & Wartella, 2003; Roberts, Foehr, Rideout & Brodie,

1999). Manakala ibu bapa yang menganggap aktiviti bermain di

luar rumah sebagai tidak selamat lebih membenarkan kadar

penggunaan teknologi yang lebih tinggi kepada anak-anak mereka

sekali gus membataskan hubungan kanak-kanak terhadap komponen-

komponen perkembangan diri yang biasanya berlaku dalam

aktiviti bermain secara fizikal dan kasar di luar rumah

(Burdette & Whitaker, 2006).

Kajian Berkaitan

Terdapat beberapa kajian lepas yang membincangkan tentang

kesan dan pengaruh teknologi terhadap perkembangan dan

perumbuhan kanak-kanak. Walaupun penggunaan teknologi dalam

pembelajaran dapat membantu meningkatkan kemahiran kognitif

dan bahasa (Gimbert & Cristol, 2004), menggalakkan motivasi

dan komitmen kanak-kanak (Chung & Walsh, 2006; Sandholtz,

Ringstaff, & Dwyer, 1997; Schmid, Miodrag, & DiFrancesco,

2008) meningkatkan aspek intelek, pengetahuan yang lebih

berstruktur, penyelesaian masalah dan kemahiran berbahasa

kanak-kanak (Clements & Samara, 2003; Haugland, 1999;

Swarninathan & Wright, 2003; Vernadakis et al., 2005) serta

dapat mewujudkan satu inovasi baru dalam pengajaran dan

pembelajaran awal kanak-kanak (Chou Mei-Ju & Lee Hung-Chang,

2012), namun masih terdapat beberapa kesan dan pengaruh

teknologi yang tidak baik terhadap kanak-kanak.

Hasil kajian yang dijalankan oleh Hulya Gulay (2011)

menunjukkan bahawa terdapat hubungan antara tabiat menggunakan

komputer di kalangan kanak-kanak berumur lima hingga enam

tahun dengan tingkah laku prososial dan agresif kanak-kanak.

Hasil kajian mendapati tahap tingkah laku prososial dan

agresif kanak-kanak berumur 5-6 tahun dapat dibezakan

berdasarkan kepada tempoh tahun mereka menggunakan komputer.

Kajian tersebut dapat dikaitkan dengan kajian yang dijalankan

oleh pengkaji berdasarkan perkaitan penggunaan teknologi yang

terlibat iaitu pengkaji memberi tumpuan pada penggunaan

komputer tablet sebagai salah sebuah peranti gadget berskrin

sentuh.

Masa skrin ditakrifkan sebagai menonton atau penggunaan

apa-apa yang berkaitan dengan skrin termasuk TV, DVD,

permainan video dan komputer (Penelope Sweetser et. al, 2012).

Kerajaan Australia melalui penerbitan Get Up and Grow oleh

Jabatan Kesihatan dan Penuaan (DoHA) mencadangkan kadar ‘masa

skrin’ (screen time) yang bersesuaian untuk kanak-kanak berumur

dua hingga lima tahun adalah kurang daripada satu jam dalam

masa sehari (DoHA, 2011). Cadangan tersebut menetapkan bahawa

bagi kanak-kanak dan kanak-kanak prasekolah, tempoh waktu

skrin yang panjang bermakna kurangnya peluang untuk kanak-

kanak bermain secara aktif, terbuka dan kreatif, serta

beberapa kekurangan faedah yang berkaitan. Hal tersebut juga

membawa kepada tabiat pemakanan kurang sihat dan perkembangan

bahasa, ingatan dan kemahiran berfikir yang perlahan (DoHA,

2011).

Pada tahun 2004, Australian Institute of Family Studies memulakan

gelombang pertama dalam pengutipan data untuk Kajian

Longitudinal Kanak-kanak Australia (LSAC). LSAC telah

mengumpul 4 gelombang data sepanjang 7 tahun (2004 hingga

2010) untuk kanak-kanak berumur 0-1 tahun (Kohot B, n = 5107)

dan kanak-kanak berumur 4-5 tahun (Kohot K, n = 4983) pada

tahun 2004. Peserta yang terlibat termasuklah dari kalangan

ibu bapa, pemilik pusat jagaan, guru dan kanak-kanak. Sampel

kanak-kanak dipilih secara rawak dari simpanan data pusat

perubatan di Australia. Data dari kedua-dua kohot dikumpul

dengan menggunakan gabungan temu bual, soal selidik, dairi

penggunaan masa dan pemerhatian oleh penemu bual. Temu bual

dijalankan secara bersemuka dan melalui telefon. Lawatan ke

rumah dilakukan sekali pada setiap 2 tahun dan maklum balas

soal selidik dan pemerhatian secara langsung dirakamkan.

Pemerhatian yang dilakukan adalah melibatkan tinggi, berat,

tekanan darah dan penilaian kognitif kanak-kanak.

Kajian awal terhadap set data LSAC mendedahkan bahawa majoriti

kanak-kanak berumur antara 2 dan 5 tahun telah melepasi kadar kurang

1 jam untuk ‘masa skrin’ yang telah dicadangkan oleh kerajaan

(Jadual 1).

Kohot Umur Tahun Hari Bekerja Hujung Minggu>1 jam Min >1 jam Min

B2 2-3 2006 85% 1:58 77% 1:42B3 3-4 2007 74% 1:59 84% 2:17B4 4-5 2008 89% 3:34 90% 2:45K4 4-5 2004 83% - 79% -

Jadual 1 – Peratus kanak-kanak berumur 2-5 tahun yang melebihi kada ‘masa skrin’ dan min seharian ‘masa

skrin’ yang dicadangkan oleh kerajaan Australia.

Cohort Age Year

Kajian yang dijalankan oleh Cris Rowan (2010) mendapati

terdapat peningkatan dalam penggunaan teknologi elektronik

secara peribadi dalam tempoh sedekad yang lalu. Pada masa yang

sama juga terdapat peningkatan dalam kes-kes berkaitan masalah

perkembangan fizikal, psikologi dan tingkah laku. 1 daripada 6

orang kanak-kanak di Kanada dikenal pasti mengalami masalah

perkembangan yang dapat dikesan (Hamilton, 2006), 1 daripada 6

orang kanak-kanak mengalami obesiti (Canadian Institute of

Health Research, 2004) dan 14.3% kanak-kanak dikenal pasti

mengalami masalah psikiatrik (Waddell Hua, Garland, DeV &

McEwan, 2007). Pendedahan terhadap pelbagai bentuk penggunaan

teknologi pada purata 8 jam sehari telah menyebabkan wujudnya

gaya hidup tidak sihat secara fizikal kepada kanak-kanak di

Kanada.

Statistik penggunaan teknologi dalam kalangan kanak-kanak

di Amerika Utara menunjukkan purata 8 jam sehari dalam

penggunaan sesuatu kombinasi teknologi yang tidak berkaitan

dengan persekolahan seperti televisyen, permainan video,

wayang, internet, telefon bimbit, iPod dan peranti-peranti

lain dengan lebih 65% kanak-kanak mempunyai televisyen dalam

bilik tidur mereka sendiri (Nielsenwire, 2009; Rideout,

Vandewater & Wartella, 2003; Roberts, Foehr, Rideout & Brodie,

1999). Manakala ibu bapa yang menganggap aktiviti bermain di

luar rumah sebagai tidak selamat lebih membenarkan kadar

penggunaan teknologi yang lebih tinggi kepada anak-anak mereka

sekali gus membataskan hubungan kanak-kanak terhadap komponen-

komponen perkembangan diri yang biasanya berlaku dalam

aktiviti bermain secara fizikal dan kasar di luar rumah

(Burdette & Whitaker, 2006).

Penggunaan teknologi yang berlebihan oleh kanak-kanak

dapat dikaitkan dengan gangguan perkembangan (Thakkar,

Garrison, & Christakis, 2006; Zimmerman, Christakis, &

Meltzoff, 2007). Manakala terdapat kajian lain yang

menunjukkan bahawa penggunaan teknologi secara berlebihan oleh

kanak-kanak dapat dikaitkan dengan masalah kesukaran dalam

memberi tumpuan, pencapaian akademik yang lemah dan

kemerosotan tidur (Christakis & Zimmerman, 2007; Hancoz,

Milne, & Poulton, 2005; Paavonen, Pennonen & Roine, 2006). Dr.

Dimitri Chirstakis mendapati bahawa setiap jumlah jam dalam

menonton televisyen dalam sehari di kalangan kanak-kanak

berumur 0-7 tahun bersamaan dengan 10% kemungkinan untuk

terjadinya masalah dalam penumpuan bagi kanak-kanak berumur 7

tahun (Christakis, Zimmerman, DiGiuseppe, & McCarty, 2004).

Walaupun kajian tersebut lebih terarah pada aktiviti menonton

televisyen namun dapat juga dikaitkan dengan penggunaan

peranti gadget seperti komputer tablet melalui aplikasi pemain

video yang terdapat dalam peranti gadget tersebut. Tambahan

pula, sudah menjadi satu senario apabila kanak-kanak sejak

dari usia bayi sudah didedahkan untuk menonton video atau

cerita kartun pada komputer tablet ibu bapa mereka.

Pada tahun 2001, American Academy of Pediatrics (AAP) telah

mengeluarkan satu polisi yang mencadangkan agar kanak-kanak

yang berumur bawah 2 tahun tidak menonton televisyen atau

bermain sebarang permainan video (AAP, 2001). AAP juga

mencadangkan kawalan penggunaan teknologi untuk 1 hingga 2

sehari bagi kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas (AAP, 2006).

Kebergantungan terhadap ibu bapa dalam mengawal pendedahan

teknologi ke atas anak-anak mereka mungkin tidak berkesan

memandangkan corak penggunaan teknologi di kalangan kanak-

kanak adalah dipengaruhi oleh ibu bapa mereka (Jordan, Hersey,

McDivitt, & Heitzler, 2006). Malah terdapat bukti yang

menunjukkan bahawa sesetengah ibu bapa mungkin mengalami

ketagihan teknologi (Horvath, 2004). Oleh sebab itu, ibu bapa

terutamanya memainkan peranan yang penting dalam mengawal

pendedahan dan penggunaan teknologi di kalangan anak-anak

mereka. Segala usaha bagi mencapai matlamat tersebut haruslah

bermula dari diri ibu bapa sendiri sebelum diaplikasikan ke

atas anak-anak mereka.

Pakar-pakar terapi pediatrik mencadangkan suatu kaedah

rawatan yang dipanggil sebagai ‘Unplug-Don’t Drug’ yang bermaksud

mematikan hubungan dengan sebarang bentuk teknologi bagi satu

tempoh masa untuk mengatasi masalah ketagihan yang melampau.

Cadangan lain yang dikemukakan termasuklah dengan mengurangkan

pendedahan terhadap teknologi sambil menggalakkan aktiviti di

luar rumah seperti melakukan aktiviti fizikal serta menjalin

hubungan dan berinteraksi secara fizikal dengan orang lain di

luar rumah. Cadangan tersebut juga dikenali sebagai ‘Balanced

Technology Management’ iaitu pengurusan teknologi yang

seimbang berpandukan konsep ‘hour in equal to an hour out’. Contohnya,

setiap jumlah jam dalam penggunaan teknologi adalah seimbang

dengan jumlah jam yang diperlukan oleh kanak-kanak untuk

perkembangan kesihatan dan kecemerlangan akademik. Bagi

mencapai matlamat tersebut, formula TECHS-NO! di bawah boleh

diguna pakai.

TECHNOLOGY (Teknologi) – maksimum 1 hingga 2 jam sehari.

EXERCISE (Senaman) – 3 hingga 4 jam sehari.

CONNECTION (Hubungan) – mengeratkan hubungan bersama

keluarga.

HOME (Rumah) – tiada televisyen di dalam bilik, makan

bersama di meja makan.

SCHOOL (Sekolah) – teknologi hanya untuk tujuan

pembelajaran.

NATURE (Persekitaran Semula Jadi) – meneroka lapangan

hijau.

OUTDOOR (Luar Rumah) – bermain, berlari, melompat dan

menghirup udara segar

(Zone’in Programs Inc., 2009)

Teori Berkaitan

Erik Erikson (1950) membincangkan tentang peringkat-

peringkat psikososial. Pada setiap peringkat psikososial,

Erikson mencadangkan bahawa perkembangan individu berlaku

secara serentak pada tiga aspek iaitu secara biologikal,

sosial dan psikologikal. Walau bagaimanapun, Erikson lebih

berminat tentang bagaimana kanak-kanak bersosial dan bagaimana

ini memberi kesan kepada diri mereka. Teori Erikson tersebut

telah mendasari kerangka konseptual dalam kajian ini. Dua

jenis tingkah laku yang terlibat sebagai pemboleh ubah

bersandar dalam kajian ini yang dapat dikaitkan dengan teori

perkembangan individu Erik Eriksen (1950) ialah penumpuan

semasa belajar (aspek psikologi) dan interaksi di dalam bilik

darjah (aspek sosial).

Salah seorang tokoh behavioris, Edward Lee Thorndike

(1913) menggariskan tiga konsep utama dalam pembelajaran

individu iaitu kesediaan, latihan dan kesan.

Hukum Kesediaan

Menurut Thorndike (1913), apabila seseorang itu bersedia

untuk melakukan sesuatu tindakan, maka tindakan itu dapat memberi

kepuasan kepadanya. Sekiranya dia tidak melakukannya, akan

menimbulkan perasaan dukacita dan kalau dia dipaksa

melakukannya, akan menghasilkan pembelajaran yang tidak sempurna.

Rumusannya, hukum kesediaan merujuk kepada kesediaan dan

persiapan-persiapan yang perlu ada, sebelum individu itu

bertindak, iaitu belajar. Kesediaan dapat dilihat dari tiga

aspek yang utama, iaitu kesediaan psikomotor, kesediaan afektif

dan kesediaan kognitif.

Hukum Latihan

Menurut Thorndike, perkaitan antara rangsangan dan gerak balas

(R-G) akan bertambah kukuh melalui latihan yang diulang-ulang.

Seseorang individu akan menguasai kemahiran jika latihan diadakan.

Contohnya, jika pelajar selalu mengulangkaji rumus matematiknya,

dia akan dapat mengingatinya dengan lebih mudah. Hukum latihan

menyatakan bahawa sesuatu tingkah laku akan diteguhkan melalui

aplikasi dan akan dilemahkan tanpa pengukuhan. Hukum latihan ini

sangat sesuai digunakan bagi latihan hafalan.

Hukum Kesan

Hukum kesan menyatakan bahawa jika sesuatu tindakan diikuti

oleh sesuatu perubahan persekitaran yang menyeronokkan,

kebarangkalian tindakan itu berlaku akan meningkat dan sebaliknya.

Selepas gerak balas terhasil, pertalian antara rangsangan dan

gerak balas akan bertambah kukuh, jika terdapat kesan yang

menyeronokkan. Kesan yang meyakitkan akan melemahkan pertalian

antara R-G. Contohnya, jika dalam eksperimen Thorndike, kucing

tersebut mendapat kejutan elektrik apabila keluar dari sangkar,

kesannya tentulah menyakitkan dan ia tidak akan mempunyai

motivasi untuk keluar dari sangkar. Rumusannya, jika tingkah laku

diikuti dengan kepuasan, ia akan diulang, tetapi jika ia diikuti

dengan kesakitan ia akan lenyap.

Dalam konteks kajian berkaitan pengaruh peranti gadget

terhadap tingkah laku kanak-kanak di dalam bilik darjah ini,

konsep hukum pembelajaran Thorndike yang dapat dikaitkan ialah

hukum kesediaan iaitu bagaimana pendedahan terhadap peranti

gadget dalam kehidupan seharian mempengaruhi kesediaan afektif

dan kognitif kanak-kanak dalam memberi tumpuan terhadap

pembelajaran.

Rumusan

Berdasarkan pada kajian-kajian lepas didapati banyak

pengaruh yang diberikan oleh penggunaan teknologi terhadap

perkembangan kanak-kanak. Di sebalik kesan positif teknologi

masih terdapat beberapa kesan buruk terhadap perkembangan

kanak-kanak. Kanak-kanak yang terdedah secara berlebihan

dengan teknologi didapati menghadapi masalah dalam memberi

penumpuan semasa belajar di dalam kelas. Kanak-kanak yang

obsess bermain peranti gadget juga didapati kurang melakukan

aktiviti fizikal di luar rumah seperti bermain, berinteraksi

dengan orang lain dan sebagainya. Minda kanak-kanak juga mudah

dipengaruhi oleh dunia maya yang tercipta dalam aplikasi dan

permainan video yang terdapat dalam peranti gadget seperti

komputer tablet, iPad dan telefon pintar. Secara tidak

langsung menjadikan kanak-kanak seorang yang kuat berimaginasi

dan berangan sekali gus kurang mengurangkan tumpuan mereka

semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Selain itu, kanak-kanak juga menjadi seorang yang prososial

dan agresif akibat dipengaruhi oleh aksi-aksi ganas yang

terdapat dalam permainan video dan video cerita yang mudah

diakses dalam peranti gadget ibu bapa dan keluarga mereka.

BAB 3

METODOLOGI KAJIAN

Pengenalan

Menurut Mouly (1970) dalam Mohamad Ibrahim (1995),

penyelidikan boleh ditakrifkan sebagai proses untuk

menyelesaikan sesuatu masalah melalui perancangan,

pengumpulan, penganalisisan dan penafsiran data yang

sistematik. Pengumpulan data merupakan aspek penting dalam

penyelidikan kerana penyelesaian masalah menjadi tidak lengkap

tanpa disokong dari data. Oleh itu, pemilihan metodologi

kajian yang sesuai adalah penting untuk memastikan dapatan

yang dihasilkan mempunyai kesahihan dan keboleh percayaan yang

tinggi. Oleh yang demikian, bab ini akan menghuraikan mengenai

metodologi kajian yang digunakan dalam kajian ini merangkumi

rekabentuk, responden/sampel, lokasi dan instrumen kajian.

Selain itu, bab ini juga akan mengupas tentang

tatacara/prosedur pemerolehan data dan penganalisisan data di

samping kesahan dan kebolehpercayaan serta kajian rintis.

Reka Bentuk Kajian

Mohd Majid Konting (1993) merujuk reka bentuk

penyelidikan sebagai penggunaan cara yang paling berkesan bagi

mendapatkan maklumat yang berguna untuk mencapai matlamat

penyelidikan pendidikan dengan kos yang minimum. Reka bentuk

kajian ini adalah kajian kualitatif berbentuk kajian kes.

Kajian kes menurut Muhamad Muda (2003) merupakan satu

deskripsi tentang sesuatu situasi, dan semestinya yang telah

atau sedang berlaku serta boleh menjadi pengajaran. Rekabentuk

kajian kes juga digunakan untuk mendapatkan pemahaman yang

mendalam tentang sesuatu situasi serta makna situasi tersebut

(Merriam 2001). Dalam konteks kajian ini, situasi yang

terlibat adalah fenomena peranti gadget berskrin sentuh

seperti telefon pintar dan komputer tablet dalam kehidupan

individu khususnya kanak-kanak prasekolah. Rasional pemilihan

reka bentuk kajian kes adalah kerana kajian kes digunakan

untuk mengumpulkan maklumat secara mendalam mengenai

tingkahlaku individu atau perubahan keadaan sosial tersebut

berlaku (Chua yan Piaw 2006). Perubahan keadaan sosial yang

terlibat dalam kajian ini ialah fenomena peranti gadget

berskrin sentuh manakala tingkah laku yang ingin diperhatikan

ialah penumpuan dan interaksi semasa pengajaran dan

pembelajaran di dalam bilik darjah.

Responden Kajian

Responden kajian dipilih dari kalangan kanak-kanak di

kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur kerana kebanyakan

kanak-kanak di kawasan bandar telah didedahkan secara kerap

dengan peranti gadget dalam kehidupan seharian mereka

berdasarkan faktor taraf hidup keluarga mereka. Teknik

persampelan dalam pemilihan responden bagi kajian ini pula

adalah dengan menggunakan kaedah persampelan bertujuan di mana

pengkaji memilih subjek kajian berdasarkan pada tujuan kajian

selain merujuk pada sesuatu kumpulan untuk memilih subjek yang

memenuhi kriteria yang diperlukan dalam kajian ini iaitu

kanak-kanak yang telah didedahkan dengan peranti gadget dalam

kehidupan seharian mereka.

Lokasi Kajian

Kajian dijalankan di kelas prasekolah SK Seri Nilam,

Kuala Lumpur. Lokasi tersebut dipilih kerana kebarangkalian

kanak-kanak yang tinggal di kawasan bandar-bandar besar

didedahkan dengan peranti gadget dalam kehidupan seharian

mereka adalah tinggi.

Instrumen Kajian

Instrumen kajian yang digunakan dalam pengutipan data

adalah borang soal selidik, borang temu bual dan alat

pemerhatian (rekod anekdot dan perakam video).

Borang Soal Selidik

Borang soal selidik digunakan sebagai kajian rintis untuk

mengenal pasti kanak-kanak prasekolah yang dapat dipilih

sebagai responden kajian berdasarkan kepada tujuan kajian

dijalankan. Item-item yang dibina adalah berkaitan dengan

pengalaman kanak-kanak menggunakan peranti gadget pintar dalam

kehidupan seharian mereka seperti pemilikan telefon

pintar/komputer tablet di rumah, kadar penggunaan peranti

gadget tersebut dalam sehari serta jenis aplikasi yang kerap

dimainkan atau digunakan semasa menggunakan peranti gadget

pintar tersebut. Berdasarkan pada borang soal selidik

tersebut, kanak-kanak yang dikenal pasti memilik peranti

gadget pintar di rumah dan paling kerap menggunakannya dipilih

sebagai responden kajian.

Borang Catatan Temu Bual

Setelah responden dipilih, pengkaji menggunakan kaedah

temu bual separa berstruktur dengan menemu bual secara

langsung bersama ibu atau bapa kepada responden yang terlibat

untuk mendapatkan maklumat dan latar belakang berkaitan

penggunaan peranti gadget pintar dalam kehidupan seharian

kanak-kanak. Soalan-soalan temu bual adalah lanjutan daripada

item-item dalam soal selidik yang diedarkan sebelumnya iaitu

berkaitan dengan kadar penggunaan peranti gadget pintar dalam

sehari serta jenis aplikasi yang kerap digunakan. Soalan-

soalan temu bual juga dibina berdasarkan pada objektif kajian,

rekabentuk kajian, dapatan kajian literature serta model

kajian yang terlibat iaitu Teori Perkembangan Individu Erik

Erikson. Pita rakaman juga digunakan untuk merakamkan temu

bual antara pengkaji dengan ibu bapa kanak-kanak.

Rekod Pemerhatian (Rekod Anekdot dan Perakam Video)

Pengkaji juga menjalankan pemerhatian terhadap tingkah

laku responden di dalam bilik darjah iaitu bagaimana kanak-

kanak yang telah didedahkan dengan peranti gadget pintar

secara kerap dalam kehidupan mereka memberi tumpuan semasa

guru mengajar dan berinteraksi bersama guru dan rakan-rakan

dalam pelbagai situasi di dalam bilik darjah. Hasil

pemerhatian dicatatkan dengan menggunakan borang rekod anekdot

iaitu pengkaji memerhati dan mencatatkan tingkah laku kanak-

kanak sama ada normal atau bermasalah pada masa pemerhatian

dijalankan. Pengkaji juga merekodkan pemerhatian dengan

menggunakan perakam video sebagai bukti dan rujukan dalam

membuat analisis terhadap maklumat yang diperolehi.

Triangulasi merupakan salah satu kaedah yang boleh

meningkatkan kebolehpercayaan sesuatu kaedah penyelidikan

(Merriem, 1998). Kaedah triangulasi yang terlibat dalam kajian

ini iaitu secara soal selidik, temu bual dan pemerhatian dapat

meningkatkan kebolehpercayaan dalam kajian ini. Manakala

kesahan kriteria kajian pula dapat diperoleh melalui temu bual

dan penyertaan secara langsung pengkaji dalam pemerhatian

terhadap responden.

Tatacara/Prosedur Pemerolehan Data

Data dan maklumat diperoleh melalui kaedah triangulasi

iaitu secara soal selidik, temu bual dan pemerhatian.

Memandangkan konsep penggunaan peranti gadget oleh kanak-kanak

dalam konteks kajian ini adalah secara tidak formal dan tiada

dokumen rasmi diperlukan maka borang soal selidik digunakan

sebagai salah satu kaedah triangulasi yang terlibat. Sebelum

pemerhatian dijalankan, borang soal selidik diedarkan pada

setiap murid di kelas prasekolah SK Seri Nilam untuk diisikan

oleh ibu bapa mereka. Dapatan daripada soal selidik menentukan

pemilihan responden yang mempunyai ciri-ciri berdasarkan

tujuan kajian dijalankan. Temu bual bersama ibu bapa kanak-

kanak dijalankan semasa menghantar atau mengambil kanak-kanak

di prasekolah. Pemerhatian dilakukan dengan cara memerhati dan

merekodkan dengan menggunakan rekod anekdot terhadap tingkah

laku kanak-kanak iaitu penumpuan dan interaksi kanak-kanak

semasa pengajaran dan pembelajaran. Pemerhatian dijalankan di

dalam bilik darjah prasekolah bermula waktu mula persekolahan

sehingga waktu tamat dalam sehari.

Tatacara Penganalisisan Data

Dalam kajian ini, beberapa langkah pemprosesan data-data

kualitatif dijalankan iaitu melalui proses transkripsi,

penggunaan perisian Nvivo, pengkodan data dan pelaporan. Data-

data yang diperoleh daripada kaedah triangulasi pengumpulan

data diproses dan dianalisis secara serentak melalui proses-

proses tersebut.

Transkripsi Data

Proses pertama dalam penganalisisan data adalah dengan

menyalin atau mentranskripsikan dapatan data-data melalaui

pita rakaman temu bual, rakaman video pemerhatian dan catatan

rekod anekdot semasa proses pemerhatian pengkaji terhadap

responden. Transkirpsi dilakukan secara menyeluruh tanpa

meninggalkan apa jua yang didengar dan diperhatikan

termasuklah isyarat-isyarat bukan verbal seperti gerakan

anggota badan.

Perisian Nvivo

Maklumat transkripsi kemudiannya dibawa masuk ke dalam

perisian Nvivo untuk diproses, diorganisasikan dan dikoding.

Melalui perisian Nvivo, lambakan data disusun mengikut

bahagian-bahagian tertentu dan dapat membantu pengkaji untuk

mendengar kandungan pita rakaman temu bual, menonton semula

rakaman video semasa pemerhatian dan membaca semula data-data

catatan rekod anekdot. Pengkodan juga dilakukan dengan

mengenal pasti petikan-petikan dalam teks yang mengandungi

maklumat khusus yang diperlukan dalam kajian selain

melambangkan fakta yang wujud dalam sesuatu maklumat yang

terdapat dari bahan mentah.

Laporan

Pada peringkat ini, pengkaji mentafsir, mengulas dan

menyebarkan dapatan kajian berdasarkan pada data-data yang

diperoleh hasil daripada semakan senarai koding yang diterima

daripada perisian Nvivo.

Kebolehpercayaan dan Kesahan Data

Melalui perisian Nvivo, triangulasi data dalam kajian ini

dapat menjamin kebolehpercayaan dan kesahan dapatan kajian.

Kemudahan dalam perisian Nvivo seperti modeler dapat membantu

pengkaji menjelaskan data, memeriksa konseptual yang hilang

dan menghasilkan persoalan baru (Gonzalo Bacigalupe, 2003).

Dengan menggunakan modeler, pengkaji dapat menghasilkan

perbincangan yang lebih bertenaga kerana berupaya untuk

meneroka, membina, menguji, memerhatikan hubungan dan

menentukan corak data yang diperolehi. Perisian Nvivo juga

bukan sekadar memaparkan data-data dapatan dalam kajian ini

malah dapat membenarkan pengkaji meneroka dengan lebih

mendalam, lebih abstrak atau pemikiran pada tahap tinggi

menerusi dapatan kajian.

RUJUKAN

Leslie J. Couse & Dora W. Chen. 2010. A Tablet Computer for Young

Chlldren? Exploring Its Viability for Early Childhood Education. Journal of

Research on Technology in Education, Vol. 43, Bil. 1, Hal: 75-

98

Cris Rowan. 2010. Unplug-Don’t Drug: A Critical Look at the Influence of

Technology on Child Behavior With an Alternative Way of Responding Other Than

Evaluation and Drugging. Journal of Ethical Human Psychology and

Psychiatry, Vol. 12, Bil. 1, Hal: 60-68

Penelope Sweetser, Daniel Johnson, Anne Ozdowska & Peta Wyeth

2012. Active Versus Passive Screen Time for Young Children. Asutralasian

Journal of Early Childhood, Vol. 34, Bil. 4, Hal: 94-98

Patricia Tucker. 2008. Environmental Influences on Physical Activity Among

Children and Youth. PhD. Faculty of Graduate Studies, The

University of Western Ontario, Canada

Hanna Rossin. 2013. The Touch-Screen Generation. The Atlantic.

April

Wonwoo Byun. 2012. Sedentary Behavior in Preschool Children: Studies of

Reliability, Level, and Effect of Objectively Measured Sedentary Behavior. PhD.

The Norman J. Arnold School of Public Health, University of

South Carolina

Karen J. Mickle, Dylan P. Cliff, Bridget J. Munro, Anthony D.

Okely, Julie R. Steele. 2011. Relationship Between Plantar Pressures,

Physical Activity and Sedentariness Among Preschool Children. Journal of

Science and Medicine in Sport, Vol. 14, Bil. 1, Hal: 36-41

Ann Lesley Bevan. 2008. Living Health Promotion - Mothers' Knowledge and

Current Practices Regarding the Nutrition and Physical Activity. PhD. Faculty

of Nursing, University of Calgary

Mei-Ju Chou & Hung-Chang Lee. 2012. The Application of The Ipad on

Children's Play- Based on Brain Science Theory. International Journal of

Organizational Innovation, Vol. 5, Bil. 1, Hal: 296

Hulya Gulay. 2011. The Evaluation of the Relationship between the Computer

Using Habits and Prosocial and Aggressive Behaviours of 5-6 Years Old Children.

International Journal of Academic Research, Vol. 3, Bil. 2,

Hal: 252

Gina Lovasi, Judith Jacobson, James Quinn, Kathryn Neckerman,

Maxine Ashby-Thompson & Andrew Rundle. 2011. Is the Environment

Near Home and School Associated with Physical Activity and Adiposity of Urban

Preschool Children? Journal of Urban Health, Vol. 88, Bil. 6, Hal:

1143

AUTHOR(S)

Michael Epstein & Lori Synhorst. 2008. Preschool Behavioral and

Emotional Rating Scale (PreBERS): Test & Retest Reliability and Inter-Rater Reliability.

Journal of Child & Family Studies, Vol. 17, Bil. 6, Hal. 853

Chua Yan Piaw. 2006. Kaedah dan Statistik Penyelidikan: Kaedah Penyelidikan

(Buku 1). Kuala Lumpur: McGraw-Hill (Malaysia) Sdn. Bhd.