covid-19: isu dan solusi pelaksanaan pdp dalam talian …
TRANSCRIPT
275
COVID-19: ISU DAN SOLUSI PELAKSANAAN PDP DALAM TALIAN BAGI
KURSUS HIFZ AL-QURAN IV DI USIM
Norazman bin Aliasi, Anuar bin Hasinii & Zainora binti Daudiii
i (Corresponding author). Ketua Program Pengajian Quran dan Sunnah, Fakulti Pengajian Quran dan
Sunnah, USIM. [email protected] ii Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM. [email protected]
iii Ketua Program Pengajian Qiraat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM. [email protected]
Abstrak
Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengetahui bentuk cabaran pelaksanaan proses pembelajaran
dan pengajaran (PdP) dalam talian bagi kursus yang berkonsepkan hafazan al-Quran di USIM ketika
musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan. Hakikatnya terdapat pelbagai
cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi oleh semua pihak termasuk pensyarah dan pelajar dalam
tempoh tersebut. Proses PdP yang selama ini tertumpu kepada bersemuka dan e-learning, akhirnya
terpaksa dilaksanakan secara dalam talian 100% akibat daripada pandemik Covid-19 yang melanda
di seluruh negara. Satu kajian kualitatif melibatkan 20 orang pelajar telah dijalankan bagi
mengetahui cabaran yang dihadapi oleh pelajar dalam tempoh pembelajaran tersebut. Kaedah soal
selidik soalan terbuka telah dikendalikan bersama kesemua pelajar terpilih bagi mengumpul data
berkaitan empat isu utama iaitu: i) pandangan pelajar ii) kekangan dan cabaran iii) cadangan
penambahbaikan iv) pandangan pendirian persetujuan. Maklum balas daripada kesemua peserta
telah disusun dan dikupas mengikut tema yang dinyatakan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa
para pelajar selaku sumber primer kajian secara umumnya mempunyai pandangan yang positif
terhadap proses PdP secara dalam talian di musim pandemik Covid-19 ini. Namun begitu, masih
terdapat beberapa kekangan yang perlu dihadapi oleh mereka dan ruang penambahbaikan yang perlu
diberi perhatian oleh pelbagai pihak yang berkaitan.
Kata kunci: isu, solusi, pdp dalam talian
PENDAHULUAN
Hampir semua universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) telah
melaksanakan dan mengubah konsep pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam
talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang telah diumumkan oleh Y.A.B.
Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin bin Mohd Yasin bermula 18 Mac 2020
276
yang lalu.51 Namun begitu, perubahan ke arah PdP secara maya ini sememangnya
memberi cabaran yang besar bukan sahaja kepada para pelajar, malah memberi impak
kepada kaedah pengajaran oleh para pensyarah.
Menurut seorang pensyarah Undang-Undang Curtin University Malaysia
(Curtin) Ariffin Mohamad berkata, proses PdP secara dalam talian ini merupakan satu
pengalaman yang cukup mencabar, namun ia mengajar dirinya untuk lebih bersedia
dengan perubahan corak pendidikan pada masa depan. Ujar beliau, “PKP banyak
memberi impak kepada proses PdP di universiti terutamanya bagi universiti yang bukan
melaksanakan pembelajaran dalam talian sepenuhnya, jadi sebagai pensyarah kita perlu
menyesuaikan diri dengan cepat. Apabila PKP dilaksanakan, proses PdP di universiti
bagi semua kursus perlu dilaksanakan secara dalam talian 100 peratus, maka ini
merupakan pengalaman baharu yang berharga untuk pelajar dan juga pensyarah.”52
Hakikatnya pembelajaran dalam talian (online) mula digunakan seiring dengan
perkembangan internet. Istilah pembelajaran online sering dikaitkan dengan istilah-
istilah seperti e-pembelajaran (e-Learning), pembelajaran jarak jauh (PJJ) dan sebagainya.
Pembelajaran online adalah sama seperti pembelajaran biasa yang melibatkan
komunikasi antara tenaga pengajar dengan pelajar tetapi yang membezakannya ialah
mereka tidak bertemu secara bersemuka dan fizikal, malah bertemu melalui ruang maya.
Selain itu, penilaian dan pemantauan oleh tenaga pengajar juga dilakukan seperti
pembelajaran biasa.53
Susulan dari penularan wabak Covid-19 pada masa kini, pembelajaran online kini
diperluaskan sehingga penghujung tahun 2020 ini sebagaimana yang telah dinyatakan
oleh Kementerian Pengajian Tinggi.54 Namun begitu, terdapat beberapa cabaran yang
perlu diketahui dan ditangani secara bersama oleh semua pihak dalam mengaplikasikan
pembelajaran dalam talian ini.
51 wikipedia. (2020, September 16). Retrieved from
https://en.wikipedia.org/wiki/2020_Malaysia_movement_control_order 52 Abdullah, M. A. (2020, April 11). utusanborneo. Retrieved from
https://www.utusanborneo.com.my/2020/04/11/pdp-dalam-talian-beri-cabaran-dan-pengalaman-baharu 53 Kemahiran, J. P. (2020, Jun 25). http://jpkmalaysia.com/. Retrieved from http://jpkmalaysia.com/cabaran-
pembelajaran-online-cadangan-mengatasinya/ 54 MOHE. (2020, Mei 29). Retrieved from https://www.mohe.gov.my/en/media-mohe/press-
statement/1130-advisory-note-no-4-2020-panduan-pengendalian-program-pendidikan-tinggi-semasa-
dan-pasca-perintah-kawalan-pergerakan
277
METODOLOGI
Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif di mana pengkaji membuat penelitian
menerusi edaran soal selidik soalan terbuka melibatkan 20 orang pelajar selaku sumber
primer. Terdapat empat soalan yang digunakan dalam soal selidik yang diedarkan iaitu
seperti dalam senarai berikut:
Soalan [1]: Apakah pandangan anda tentang pelaksanaan PdP secara dalam talian yang
telah dikuatkuasakan oleh USIM semasa PKP bagi kursus Hifz al-Quran IV pada
semester 2, sesi 2019, 2020?
Soalan [2]: Apakah kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh anda dalam mengikuti PdP
secara dalam talian bagi kursus Hifz Al-Quran IV?
Soalan [3]: Apakah cadangan anda bagi penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi
memperbaiki mutu pelaksanaan PdP secara dalam talian bagi kursus Hifz Al-Quran IV
pada masa akan datang?
Soalan [4]: Adakah anda bersetuju sekiranya PdP secara dalam talian diteruskan
pada semester akan datang bagi kursus ini?
DAPATAN KAJIAN
Dapatan kajian menerusi empat soalan yang diajukan akan mengemukakan kesemua
maklum balas yang direkodkan daripada 20 pelajar yang terpilih.
Soalan [1]: Apakah pandangan anda tentang pelaksanaan PdP secara dalam talian
yang telah dikuatkuasakan oleh USIM semasa PKP bagi kursus Hifz al-Quran IV
pada semester 2, sesi 2019, 2020?
Menerusi soal selidik terbuka yang diedarkan, pelajar telah menyumbang pendapat
mereka berhubung pelaksanaan PdP secara dalam talian yang telah dikuatkuasakan
oleh USIM semasa PKP dilaksanakan.
278
Jadual 1. Pernyataan berhubung pandangan pelajar terhadap pelaksanaan PdP secara
dalam talian
No Matrik Pernyataan
1181147
Alhamdulillah. Semuanya berjalan dengan lancar. Cuma bagi saya
belajar online sedikit sukar. Kerana tak dapat belajar secara muka ke
muka
1181182 Baik, seronok sebab duduk di rumah. Kadang kadang suruh mak
cekkan. Fun.
1181132
Pandangan saya, tiada masalah dan bagi sesetengah pelajar lebih suka
secara online sbb mereka boleh pastikan bacaan lancar dlm video,
selagi tak lancar, record yg baru.
1181191 Masa lebih fleksibel.
1181184 satu satunya cara yang ada. Mahu tidak mahu, kena laksanakan.
1181192 Bagi sy, melalui kaedah record bagus kerana sy blh mengulang lagi
jikalau tersilap.. dan bacaan menjadi lancar.
1181125 Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja.
1181136
Alhamdulillah, bagi pihak saya pembelajaran secara atas talian bagi
subjek Hifz Al-Quran IV berjalan secara lancar tanpa ada sebarang
masalah.
1181203 Alhamdulillah, subjek hifz Al-Quran berjaya dilaksanakan secara
dalam talian. Meskipun agak berbeza dari sebelumnya.
1181152 Pada pandangan saya,kaedah yang digunakan sepanjang mod
pembelajaran dalam keadaan pkp adalah baik dan memuaskan.
1181217
Pada pandangan saya tiada apa-apa masalah untuk subjek ini
dilakukan secara atas talian kerana subjek Hifz Al-Quran IV
bergantung sepenuhnya pada kesungguhan para pelajar untuk
menghafal. Jika para pelajar memberi kerjasama yang baik dan
bersedia pada setiap minggu, ianya akan memudahkan urusan bagi
pihak pensyarah dan mahasiswa/i itu sendiri.
1181216 Semua Okey sangat & terbaik sebab Dr.Azman tidak memberi
tekanan kepada pelajar.
279
1181096
PdP secara dalam talian bagi subjek Hifz Quran saya kira sangat
bagus kerana ianya lebih fleksibel dan memudahkan, hanya perlu
menghantar video hafazan setiap minggu, sudah memadai. Pelajar
juga memiliki masa yang lebih untuk memantapkan kualiti hafazan
sebelum menghantar hafazan kepada pensyarah.
1181110 Sejujurnya rumit bagi saya untuk subjek hifz. Kemalasan melanda
ustaz.
1181193
Pada pandangan saya,, ianya agak sukar dan mencabar lar sebab nak
kena cari tempat yang sesuai dengan line jika nak dibandingkan
dengan kelas face to face.
1181210
Pada pandangan saya, pelaksanaan yang dilakukan bagi subjek Hifz
Al-Quran IV adalah mudah bagi pelajar dan pensyarah kerana
pensyarah telah membagi ruang kepada pelajar untuk merakam video
hafazan dan menghantarnya secara atas talian. Jadi, perkara ini lebih
menjimatkan data.
1181014
Pelaksanaan kelas hafazan dengan cara merekod video banyak
membantu saya dari segi fleksibiliti jadual dan masa untuk saya
memperbaiki kualiti hafazan.
1181109 Bagi saya ia berkesan untuk pelajar bagi menghafal Al-Quran kerana
banyak masa terluang di dalam rumah sahaja.
1181151 Bagi saya, saya blh mengikuti kaedah pdp secara dalam talian kerana
line di rumah saya berada dalam keadaan yang baik.
1181205
Bagi saya, ia sangat berkesan. Terlampau banyak masa dan peluang
yang telah diberikan oleh lecturer untuk pelajar menghafaz silibus
yang telah ditetapkan.
Berdasarkan kepada pernyataan Jadual 1 di atas, hampir kesemua pelajar mempunyai
pendapat yang positif terhadap pelaksanaan PdP secara dalam talian dengan jumlah
pelajar seramai 18 daripada 20 orang. Para pelajar bersetuju bahawa PdP secara dalam
talian ini banyak membantu mereka dalam pengurusan masa yang lebih fleksibel
meskipun terdapat sedikit cabaran sebagaimana yang dinyatakan oleh 1181191, 1181096
dan 1181014. Selain itu, 1181132, 1181096, 1181210 dan 1181014 menyatakan pelaksanaan
280
PdP secara dalam talian ini dapat membantu pelajar membuat rekod video dengan lebih
berkualiti dan baik kerana pelajar dapat menyemak terlebih dahulu hafazan mereka
sebelum menghantar tugasan video kepada pensyarah.
Namun begitu, segelintir responden di kalangan pelajar tidak sepenuhnya
bersetuju pernyataan tersebut kerana merumitkan dan mencabar sepertimana yang
dinyatakan oleh 1181110 dan 1181193.
Soalan [2]: Apakah kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh anda dalam mengikuti
PdP secara dalam talian bagi kursus Hifz Al-Quran IV?
Dapatan bagi soalan 2 telah direkodkan sebagaimana yang tertera dalam Jadual 2.
Maklum balas ini dapat dikategorikan mengikut tema kekangan yang dinyatakan oleh
pelajar, seperti berikut:
[i] Gangguan internet; [ii] Emosi dan persekitaran yang kurang kondusif; [iii] Masa
Jadual 2. Pernyataan berhubung kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar
dalam mengikuti PdP secara dalam talian
No Matrik Pernyataan
1181147 Line Internet yang agak lemah.
1181182
Cabarannya ialah masa. Mungkin kerana dah biasa duduk di asrama,
jadi duduk di rumah rasa masa sangat sikit. Rasa macam buat kerja
rumah lebih dari dapat spent masa dengan study.
1181132
Cabarannya adalah bila tasmik secara online. Masalah internet tu
biasa, bila tgh tasmik tiba2 terputus, tersekat2. Dan kadang2 kita baca
salah, bila ustaz tegur tp kita tak dengar.
1181191 Merekod video untuk satu muka surat mengambil masa hampir
sejam.
1181184 Aura belajar yang semakin menurun.
1181192
Sy melalui masalah kerana dekat rmh, komitmen sy agak kurang.. sy
perlukan atau diberikan dateline bila nk kena hntr record, kena ada
final date.
281
1181125 Alhamdulillah setakat ini tiada kekangan dan cabaran.
1181136
Saya tidak mempunyai masalah bagi subjek ini kerana saya
mempunyai capaian internet yang kuat, cuma kadang kala sahaja
internet di rumah saya ada masalah.
1181203 Kekangan dan cabaran - masalah line internet bila hendak hantar
video.
1181152
1. masalah rangkaian internet terutamanya ketika waktu hujan.
2. Waktu yang telah diperuntukkan mengikut jadual ketika sesi
bersemuka.
1181217
1. masalah rangkaian internet terutamanya ketika waktu hujan.
2. Waktu yang telah diperuntukkan mengikut jadual ketika sesi
bersemuka.
1181216
Bagi diri saya sendiri Alhamdulillah tidak ada terlalu banyak
kekangan dan cabaran cumanya mungkin hanya pada capaian
internet yang kadang-kadang perlahan semasa sesi pembelajaran
ataupon ketika ingin menghantar video hafalan.
1181096
Secara peribadi, saya tidak menghadapi sebarang kekangan dari
aspek internet dan sebagainya memandangkan hanya sekali sahaja
kelas melalui ms teams & selebihnya menghantar video hafazan.
1181110 Line internet, jadi kurang fokus untuk hafazan.
1181193 cabaran yg selalu dihadapi adalah line internet sebab kawasan rumah
saya kadang2 line okay, kadang2 line problem juga.
1181210
Kekangan dan cabaran.
- Masa yang tidak flexible kerana pelajar terdedah dengan suasana di
rumah.
- Kemudahan jalur lebar yang tidak begitu membantu di kawasan
tempat tinggal pelajar.
1181014 Gangguan internet ketika kelas yang diadakan secara bersemuka
menganggu semakan bacaan dan hafazan saya.
282
1181109 Masalah internet berlaku terutamanya pada hari berlakunya hujan
lebat.
1181151
Kadang-kadang terganggu sbb adik beradik, sbb saya bukan dari
keluarga senang, jadi bilik ada sikit jer, sbb tu saya selalu duduk
dalam kereta masa kelas live.
1181205 Mungkin disebabkan faktor line yang agak sangkut, tetapi
keseluruhannya okay saja.
i. Gangguan internet
Berdasarkan kepada pernyataan pada Jadual 2, walaupun kebanyakan pelajar bersetuju
dengan pernyataan pada Jadual 1, mereka akui bahawa pelaksanaan PdP secara dalam
talian ini masih terdapat kekangan dan cabaran yang perlu mereka hadapi terutamanya
isu line internet yang agak lemah. Hal ini adalah kerana kebanyakan pelajar yang terdiri
daripada keluarga B40 dan M40 menetap di kawasan luar bandar dan mempunyai
masalah gangguan internet di kawasan tersebut.
ii. Emosi dan persekitaran yang kurang kondusif
Bagi pelajar yang kurang berkemampuan pasti menghadapi masalah ini apabila
melaksanakan tugasan dari rumah. Menurut pernyataan 1181184, 1181192, 1181151,
1181210 dapat difahami bahawa antara kekangan lain yang dinyatakan juga ialah
berkaitan isu emosi dan persekitaran yang kurang kondusif seperti semangat untuk
belajar, gangguan ahli keluarga, masa yang tidak sesuai dan sebagainya.
iii. Masa
Antara aspek dan kekangan besar yang dihadapi oleh pelajar ialah pengurusan masa.
Para pelajar membicarakan tentang pengurusan masa dari dua aspek iaitu masa
pelaksanaan PdP dan waktu PdP yang terganggu oleh persekitaran. Dalam Jadual 2 di
atas, menurut pernyataan 1181191, tempoh masa yang agak panjang terpaksa
diperuntukkan bagi tujuan merekod video hafazan sehinggakan 60 minit bagi satu
mukasurat. Bagi 1181182, 1181210 dan 1181151 pula, waktu pembelajaran mereka sedikit
terganggu dengan persekitaran yang kurang kondusif dan ini memberi impak kepada
emosi mereka.
283
Soalan [3]: Apakah cadangan anda bagi penambahbaikan yang boleh dilaksanakan
bagi memperbaiki mutu pelaksanaan PdP secara dalam talian bagi kursus Hifz Al-
Quran IV pada masa akan datang?
Bagi dapatan soalan 3 ini, terdapat tiga tema yang boleh disenaraikan di sini
sebagaimana yang dijawab oleh para pelajar pada Jadual 3. Tiga tema tersebut ialah [i]
Penjadualan kelas; [ii] Metode PdP; [iii] Lain-lain
Jadual 3. Pernyataan berhubung cadangan dan penambahbaikan yang boleh
dilaksanakan bagi memperbaiki mutu pelaksanaan PdP secara dalam talian
No Matrik Pernyataan
1181147 Alhamdulillah bagi saya. Cara yg digunakan sudah cukup begitu
baik. Tak perlu ada penambahan lagi
1181182 Tiada cadangan kerana segala pembelajaran Hifz Quran pada sem
lepas sudah sangat baik.
1181132 Boleh teruskan dgn rakaman video.
1181191 Tiada.
1181184 Semua okay sahaja
1181192 Kalau record, kena ada dateline setiap m/s
1181125
Menambahkan bilangan mukasurat hafazan dan pengetahuan
berkaitan mukasurat Yang dihafaz, agar selari dengan sijil yang akan
dibawa keluar nanti.
1181136 Tidak ada sebarang cadangan kerana perlaksanaan yang sedia adalah
baik.
1181203 Cadangan selain menghantar video, pelajar juga boleh menulis balik
ayat yang dihafal sebagai pengukuhan
1181152 Menyediakan jadual yang fleksibel dan sesuai bagi memudahkan
pelajar untuk tasmik.
1181217
Cadangan saya, mungkin para pensyarah boleh membacakan dahulu
muka surat yang berkenaan sebelum ditasmik pada minggu
hadapannya ataupon sebelum memberi tugasan kepada pelajar untuk
merekod video hafalan supaya tidak berlaku kesilapan bacaan para
284
pelajar seperti pada hukum wajib Al-ghunnah dan tanda waqaf.
Terima kasih
1181216
- Cadangan saya agar meneruskan video tasmi' dan menghantar
melalui email, hal ini kerana:-
1) Pelajar boleh mengambil masa yang panjang untuk menghafal dan
membuat video. 2) Buat video juga boleh mengukuhkan ingatan
pelajar.
- Mungkin Dr perlu tetapkan satu minggu satu muka surat untuk
hantar bagi mengelakkan pelajar lambat dan menangguh membuat
video tasmi'.
1181096
Menetapkan duedate bagi setiap mukasurat untuk menghantar
hafazan (mengikut hari kelas masing-masing).
Cth: duedate mukasurat 50 pada 12/9/20 duedate mukasurat 51 pada
21/9/20 atau setiap pelajar wajib menghantar hafazan 1 mukasurat
kepada lecturer by end of every week
1181110
Saya nak kelas f2f sbb utk penambahbaikkan tajwid saya dan cara
bacaan, sbb kadang2 bila rekod video saya rasa mcm ada salah
pembacaan
1181193 cadangan saya mungkin boleh lakukan record video seperti biasa dan
adakan juga tasmiq secara online.
1181210
Apa yang telah dilaksanakan bagi saya sudah terbaik tapi sebagai
penambahbaikan,
- Mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah internet dan
sentiasa mengikuti perkembangan pelajar tersebut agar tidak
keciciran.
- Membuat kepelbagaian metodologi dalam pembelajaran seperti
mewujudkan kumpulan tasmik secara maya agar pelajar sentiasa
mengulang Al-Quran dan semangat.
1181014
Mengadakan sekurang-kurangnya 3-5 kali sesi hafazan live, supaya
para pelajar dapat menerima teguran mengenai kualiti hafazan
mereka secara langsung daripada para pensyarah
1181109 Mengasingkan pelajar yang mempunyai masalah internet supaya
mereka dapat tasmik pada waktu yang ditetapkan
285
1181151 Tiada cadangan sbb Saya dah berpuas hati dgn kaedah sedia ada
1181205
Bagi saya, atas diri pelajar itu sendiri. Perlu ada rasa tanggungjawab
dalam diri untuk menghafaz serta mengulang. Dan pada saya, lagi
meyakinkan diri jika kekal dengan keadaan mentasmik secara video
sambil tutup mata, kurang rasa gementar dan tak terganggu dengan
line apabila hendak tasmik.
i. Penjadualan kelas
Menurut 1181152 dan 1181014, proses PdP secara dalam talian amat membantu pelajar
kerana penjadualan kelas yang lebih fleksibel dengan waktu pelajar. Meskipun begitu,
dicadangkan agar kelas secara maya ini diadakan sekurang-kurangnya tiga hingga lima
kali sesi PdP bagi memastikan para pelajar tidak ketinggalan dalam penyampaian ilmu
secara langsung.
ii. Metode PdP
Bagi pelajar yang kurang sedikit lemah dari sudut hafazan, cadangan 1181203, 1181217
dan 1181210 amatlah bermanfaat dan dapat membantu dari sudut metode PdP oleh para
pensyarah. Menurut mereka, para pensyarah bolehlah meminta para pelajar untuk
membuat salinan ayat hafazan dalam memperkukuhkan lagi hafazan mukasurat
tersebut. Selain itu, kaedah pensyarah memperdengarkan bacaan mukasurat hafazan
terlebih dahulu dan mewujudkan kumpulan tasmik pelajar secara maya sedikit-sebanyak
dapat memelihara kualiti hafazan pelajar dan memberi semangat kepada mereka untuk
belajar secara berkumpulan khususnya dalam tempoh PKPP ini.
iii. Lain-lain
Antara cadangan lain yang diutarakan oleh pelajar ialah pengasingan pelajar yang
bermasalah agar mereka tidak ketinggalan dari sudut pembelajaran. Cadangan ini
dinyatakan oleh 1181109 bertujuan untuk memastikan pelajar yang berkaitan dapat terus
menimba ilmu dan tidak ketinggalan dalam proses PdP online berlangsung.
Soalan [4]: Adakah anda bersetuju sekiranya PdP secara dalam talian diteruskan
pada semester akan datang bagi kursus ini?
286
Soalan 4 menerusi soal selidik terbuka ini bertujuan memohon pandangan pendirian
pelajar selaku sumber primer terhadap pelaksanaan PdP secara dalam talian pada
semester akan datang bagi kursus berkonsepkan hafazan al-Quran, sebagaimana yang
tertera dalam Jadual 4.
Jadual 4. Pernyataan berhubung pendirian pelajar sekiranya PdP secara dalam talian
diteruskan pada semester akan datang.
No
Matrik Pernyataan
1181147 Ya.
1181182 Tidak.
1181132 Ya.
1181191 Ya.
1181184 Ya.
1181192 Ya.
1181125 Ya.
1181136 Ya.
1181203 Ya.
1181152 Ya.
1181217 Ya.
1181216 Ya.
1181096 Ya.
1181110 Tidak.
1181193 Ya.
1181210 Ya.
1181014 Ya.
1181109 Ya.
287
1181151 Ya.
1181205 Ya.
Berdasarkan kepada Jadual 4 di atas, majoriti responden menyatakan pendirian positif
iaitu bersetuju terhadap pelaksanaan PdP dalam talian pada semester akan datang bagi
kursus Hifz al-Quran, meskipun terdapat beberapa isu yang dibincangkan sebelum ini.
Pun begitu, hanya dua orang pelajar iaitu 1181182 dan 1181110 sahaja yang menyatakan
pendirian tidak bersetuju dengan perkara tersebut. Hal ini berkemungkinan berkait rapat
dengan dapatan isu yang dinyatakan oleh mereka pada Jadual 2; Pernyataan berhubung
kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar dalam mengikuti PdP secara dalam
talian iaitu faktor masa dan gangguan internet.
PERBINCANGAN
Pada semester 2, sesi akademik 2019/2020 yang bermula pada bulan Februari yang lalu,
para pelajar di USIM telah mengikuti kelas PdP secara fizikal dan bersemuka di kelas
tutorial dan kuliah selama hampir empat minggu. Menjelang pertengahan bulan Mac
2020, semua aktiviti PdP khususnya dan pergerakan bebas rakyat Malaysia amnya
terpaksa dihentikan buat sementara waktu bermula 18 Mac 2020 apabila dilaksanakan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) akibat
pandemik Covid-19.55 (Rahman, 2020) Akhirnya, proses pembelajaran sedikit terganggu
dan terjejas kerana isu yang dinyatakan tadi dan pelbagai cabaran dan rintangan yang
dihadapi oleh pelajar secara umumnya sehinggalah pihak Kementerian Pengajian Tinggi
(KPT) memaklumkan bahawa semester pengajian disambung kembali pada 1 Jun 2020
secara dalam talian sahaja.56
Kaedah PdP dalam talian bagi menggantikan interaksi secara bersemuka di dalam
bilik tutorial dan kuliah, pastinya satu-satunya cara yang paling selamat ketika
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak
COVID-19. Namun begitu, keterbatasan dan kekangan pasti wujud khususnya kepada
pelajar yang tidak mempunyai capaian internet atau mempunyai kadar capaian internet
55 56 MOHE. (2020, Mei 29). Retrieved from https://www.mohe.gov.my/en/media-mohe/press-
statement/1130-advisory-note-no-4-2020-panduan-pengendalian-program-pendidikan-tinggi-semasa-
dan-pasca-perintah-kawalan-pergerakan
288
yang lemah terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar bandar ataupun daripada
keluarga yang kurang berkemampuan.
Dalam konteks yang lain, dengan adanya PdP secara dalam talian ini, para pelajar
dan juga pensyarah mempunyai satu stor data simpanan dalam bentuk alam maya yang
bercirikan fleksibiliti dan mobiliti.57 Pelajar dan pensyarah tidak perlu lagi menyimpan
bahan PdP dalam bentuk fizikal seperti nota, fail dan buku di mana kebarangkalian
untuk bahan tersebut rosak dan hilang adalah tinggi. Malahan, pelajar dan pensyarah
juga boleh melihat video PdP berulangkali di medium dalam talian yang lebih mudah
dan mesra pengguna. Mereka juga boleh menyimpan bahan-bahan PdP secara alam
maya dan tidak perlu lagi risau untuk membawa bahan ini ke mana-mana sahaja. Antara
contoh platform PdP dalam talian yang membantu penyimpanan data ialah Microsoft
Teams, Zoom, Google Meets, OneDrive, Facebook dan sebagainya. Tiada had sempadan
untuk mereka melakukan ulangkaji sesuatu kursus mengikut keperluan dan
pemahaman masing-masing dan jika mereka memerlukan bantuan, pelajar dapat
memuat turun nota pembelajaran dengan mudah dan boleh berbincang secara alam
maya dengan pensyarah mahupun pelajar lain dengan menggunakan aplikasi perbualan
dalam talian.58
Dalam aspek yang lain pula, masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan PdP
online ialah capaian internet yang kurang menyeluruh dengan kelajuan jalur lebar yang
tidak memuaskan menjadi punca kebanyakan pelajar kurang berminat dengan PdP
dalam talian. Mereka mula beranggapan perkara ini membuang masa dan
membantutkan minat untuk mempelajari sesuatu kursus atau ilmu dengan lebih
mendalam. Faktor gangguan persekitaran yang kurang kondusif dan kekangan masa
juga merupakan antara isu yang dihadapi oleh pelajar. Kesemua factor dan isu yang
diketengahkan ini boleh diminimumkan risikonya sekiranya pelbagai pihak saling
bantu-membantu dalam penambahbaikan proses PdP dalam talian. Antara idea
penambahbaikan yang boleh diperhalusi ialah penjadualan kelas yang lebih fleksibel,
rakaman PdP yang bolah diakses pada bila-bila masa dan di mana sahaja, metode PdP
yang lebih efisien dan seiring dengan perkembangan semasa serta pembelajaran dalam
kumpulan secara maya yang berterusan.
57 Hamzah, M., & Yeop, M. A. (2016). Frog VLE (Persekitaran Pembelajaran Maya) Dalam Pengajaran
Dan Pembelajaran: Penerimaan Dan Kaedah Pelaksanaannya. Journal of Research, Policy & Practice of
Teachers & Teacher Education, 6(2), 67–77. Retrieved from
http://ejournal.upsi.edu.my/article/2016AR001298 58 Nor Aziah Abdul Aziz, & Mohd Taufik Hj Ahmed. (2016). E-Pembelajaran Dalam Pengajaran Dan
Pembelajaran Bahasa Melayu Di Ipg Kampus Ipoh. Jurnal Penyelidikan Dedikasi, 11, 116–130.
https://doi.org/10.1145/3060403.3060449
289
PENUTUP DAN CADANGAN
Secara keseluruhannya, terdapat banyak isu dan kekangan yang dihadapi oleh pelajar
terhadap pelaksanaan PdP dalam talian khususnya kursus berkonsepkan hafazan al-
Quran di USIM. Antara cabaran yang dinyatakan adalah seperti gangguan internet,
emosi dan persekitaran yang kurang kondusif serta kekangan masa. Pelbagai pihak perlu
berganding bahu bersama dan usaha penambahbaikan perlu diketengahkan dalam
menangani isu yang berbangkit bagi memastikan proses PdP dalam talian di musim
PKPP ini bukanlah suatu halangan. Keperluan terhadap pelaksanaan metode PdP yang
baharu, medium penyampaian ilmu yang pelbagai dan meneruskan pembelajaran dalam
berkumpulan secara maya mestilah diberi perhatian dalam dunia norma baharu ini. Dari
sudut pandang lain pula, kursus pembangunan profesional dalam menyokong metode
PdP norma baharu ini perlulah dilaksanakan secara kerap dan mestilah melibatkan
semua pensyarah. Kursus seumpama ini perlulah membekalkan sebanyak mungkin
kaedah PdP yang berguna untuk pelaksanaan pembelajaran online khususnya dalam
suasana norma baharu. Diharap agar kertas kerja ini dapat memberi sedikit gambaran
terhadap isu dan solusi pelaksanaan PdP dalam talian bagi kursus Hifz al-Quran IV di
USIM dan pelbagai pihak perlulah sentiasa cakna dan peka terhadap segala luahan
pelajar selaku pemegang taruh agar meskipun pandemik Covid-19 yang masih
berlanjutan sehingga ke hari ini, ia tidak menjadi batu penghalang kepada para pelajar
dan pensyarah untuk melihat PdP secara dalam talian ini merupakan suatu alternatif
baru dalam sistem pembelajaran abad ke-21.
RUJUKAN
Abdullah, M. A. (2020, April 11). utusanborneo. Retrieved from
https://www.utusanborneo.com.my/2020/04/11/pdp-dalam-talian-beri-cabaran-
dan-pengalaman-baharu
Hamzah, M., & Yeop, M. A. (2016). Frog VLE (Persekitaran Pembelajaran Maya) Dalam
Pengajaran Dan Pembelajaran: Penerimaan Dan Kaedah Pelaksanaannya. Journal
of Research, Policy & Practice of Teachers & Teacher Education, 6(2), 67–77.
Retrieved from http://ejournal.upsi.edu.my/article/2016AR001298
Kemahiran, J. P. (2020, Jun 25). http://jpkmalaysia.com/. Retrieved from
http://jpkmalaysia.com/cabaran-pembelajaran-online-cadangan-mengatasinya/
MOHE. (2020, Mei 29). Retrieved from https://www.mohe.gov.my/en/media-
mohe/press-statement/1130-advisory-note-no-4-2020-panduan-pengendalian-
program-pendidikan-tinggi-semasa-dan-pasca-perintah-kawalan-pergerakan
290
Nor Aziah Abdul Aziz, & Mohd Taufik Hj Ahmed. (2016). E-Pembelajaran Dalam
Pengajaran Dan Pembelajaran Bahasa Melayu Di Ipg Kampus Ipoh. Jurnal
Penyelidikan Dedikasi, 11, 116–130. https://doi.org/10.1145/3060403.3060449
Rahman, P. D. (2020). Makluman Sesi Pengajaran dan Pembelajaran Sempena Pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan Mulaim 18 Hingga 31 Mac 2020. USIM.
wikipedia. (2020, September 16). Retrieved from
https://en.wikipedia.org/wiki/2020_Malaysia_movement_control_order