spekulasi menurut pemikiran sarjana ekonomi dan sarjana...

19
Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islam Nor Fahimah Mohd Razif 1 Noor Sakinah Samsulkamal 2 dan Shamsiah Mohamad 3 Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, E-mail: [email protected], [email protected] International Shariah Research Academy for Islamic Finance ISRA, Malaysia, E-mail: [email protected] Penghargaan Artikel ini adalah sebahagian dapatan kajian daripada geran yang diterima daripada pihak Universiti Malaya dan INCEIF bagi projek RPIF-03-16UM, “Amalan Spekulasi Dalam Pasaran Hartanah Menurut Perspektif Maqasid al-Syariah.” Ucapan penghargaan ditujukan kepada Kementerian Pengajian Tinggi, Universiti Malaya dan INCEIF kerana menganugerahkan geran tersebut untuk membolehkan kajian ini dapat diteruskan sehingga mencapai objektif yang digariskan.

Upload: truongthu

Post on 17-May-2018

253 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

Page 1: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islam

Nor Fahimah Mohd Razif1 Noor Sakinah Samsulkamal

2 dan Shamsiah Mohamad

3

Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, E-mail:

[email protected], [email protected]

International Shariah Research Academy for Islamic Finance ISRA, Malaysia, E-mail:

[email protected]

Penghargaan

Artikel ini adalah sebahagian dapatan kajian daripada geran yang diterima daripada pihak

Universiti Malaya dan INCEIF bagi projek RPIF-03-16UM, “Amalan Spekulasi Dalam Pasaran

Hartanah Menurut Perspektif Maqasid al-Syariah.” Ucapan penghargaan ditujukan kepada

Kementerian Pengajian Tinggi, Universiti Malaya dan INCEIF kerana menganugerahkan geran

tersebut untuk membolehkan kajian ini dapat diteruskan sehingga mencapai objektif yang

digariskan.

Page 2: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

Abstrak

Terdapat beberapa kajian yang membincangkan konsep spekulasi dalam pasaran kewangan sama

ada menurut perspektif sarjana Barat mahupun Islam. Berdasarkan kajian literatur yang dibuat,

wujud perselisihan dan perspektif yang tidak jelas berkaitan spekulasi dalam kalangan para

sarjana terutama perbandingannya dengan konsep pelaburan dan perjudian. Sesetengah sarjana

mendakwa spekulasi hanyalah semata-mata pelaburan berasaskan keuntungan. Manakala

sebahagian yang lain menegaskan spekulasi sebagai salah satu bentuk perjudian versi moden.

Oleh itu, kajian ini dibuat bagi mengkaji perbezaan dan persamaan spekulasi dengan istilah yang

lain menurut pandangan sarjana Barat dan Islam dan seterusnya menjelaskan konsep spekulasi

yang sebenar dan menyeluruh. Bagi mencapai objektif ini, kajian ini akan menggunakan kajian

perpustakaan dan data-data yang diperolehi akan dianalisis secara tematik dan komparatif. Hasil

kajian ini mendapati bahawa unsur spekulasi tidak boleh dielakkan dalam dunia perniagaan dan

pelaburan. Justeru, aktiviti tersebut perlu dibuat mengikut garis panduan yang ditetapkan agar

tidak terjerumus kea rah perjudian.

Kata Kunci: Spekulasi, Pelaburan, Perjudian, Pasaran Kewangan, Ekonomi

1.0 Pengenalan

Spekulasi merupakan istilah kontemporari dalam dunia kewangan moden yang tidak pernah

dibincangkan oleh sarjana Islam terdahulu (Suruhanjaya Sekuriti, 2006; Mubarak, 2005).

Kewujudan elemen spekulasi dalam pelaburan dan perniagaan sebenarnya suatu perkara yang

sukar dielakkan dan boleh dikatakan bahawa unsur ini wujud dalam semua bentuk perniagaan

dan pelaburan (Akram 1988). Bentuk-bentuk pelaburan seperti pelaburan saham, pelaburan

hartanah, pelaburan emas, pelaburan komoditi dan lain-lain lagi merupakan antara pelaburan

yang mengandungi elemen spekulasi. Walau bagaimanapun, sorotan kajian literatur

menunjukkan aktiviti spekulasi menimbulkan kontroversi ekoran daripada berlaku ketidak

sepakatan pandangan para sarjana Barat dalam menentukan spekulasi sama ada ia sebagai

pelaburan atau perjudian. Selain itu, para sarjana Islam pula telah menghubungkan spekulasi

Page 3: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

dengan elemen-elemen yang dilarang dalam muamalat Islam seperti gharar, judi dan manipulasi

pasaran. Hal ini bertambah buruk apabila berlaku banyak krisis kewangan yang didakwa

berpunca daripada aktiviti spekulasi melampau tanpa kawalan seperti krisis NYSE (New York

Stock Exchange) atau Wall Street Crash 1929, krisis kewangan serantau 1997-1998 dan krisis

subprima Amerika Syarikat 2007-2008. Selain itu, aktiviti spekulasi juga menjadi punca utama

kenaikan harga komoditi pertanian dan minyak sawit (Frankel, 2014). Walaupun spekulasi sering

dikaitkan dengan perkara negatif, tidak dinafikan bahawa spekulasi turut memainkan peranan

penting dalam menyediakan kecairan dalam pasaran (Victor, 2005). Tetapi perlu diingat bahawa

spekulasi yang melampau boleh menggugat kestabilan pasaran kewangan (Zaharuddin, 2011).

Oleh kerana banyak kajian terdahulu membincangkan konsep spekulasi daripada sudut pandang

masing-masing secara berasingan sehingga wujud percanggahan, maka, kajian ini akan

membincangkan pandangan sarjana Barat dan Islam untuk menilai titik persamaan dan

perbezaan bagi mendapatkan definisi sebenar spekulasi.

2.0 Sorotan Literatur

Literatur dalam kajian ini akan disoroti melalui beberapa tema iaitu definisi spekulasi, konsep

spekulasi yang meragkumi bentuk-bentuk transaksi yang bersifat spekulatif, operasional,

makroekonomi, manfaat spekulasi, dan krisis disebabkan spekulasi.

a) Definisi Spekulasi

Dari segi etimologi, spekulasi pada lewat kurun ke 14 berasal daripada Old French speculacion

yang bermaksud “pemerhatian yang bijak, pertimbangan dan pemerhatian yang teliti (intelligent

contemplation, consideration, act of looking, close observation).” Begitu juga perkataan

speculation dikenalpasti digunapakai dalam bahasa lama Latin. Ini bermakna istilah spekulasi

telah muncul sejak dahulu lagi cuma istilah ini timbul pada sekitar tahun 1867 seiring dengan

kemunculan ticker tape dalam pasaran saham (Urs Staheli, 2013).

Kaldor (1939), Emery (1969), Pearce (1983), Friedman (1987), Szado (2011), CFTC

(2012) dan Hayward (2013) memberikan definisi spekulasi sebagai perbuatan membeli aset

Page 4: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

berbentuk komoditi, sekuriti, saham, harta tanah dan lain-lain dengan motif semata-mata untuk

menjualnya semula dalam jangka masa yang pendek dengan harapan untuk mendapatkan

keuntungan yang cepat daripada perubahan harga. Dalam erti kata lain, spekulasi ialah suatu

tindakan mengambil kesempatan untuk memperoleh keuntungan berdasarkan kepada jangkaan

pergerakan harga pasaran di masa hadapan (Spencer, 1974). Spekulasi melibatkan risiko yang

tinggi dan berkemungkinan tidak disertai dengan penyelidikan yang mencukupi. Dalam hal ini

spekulator memfokuskan perbezaan turun naik harga (fluctuation) yang mampu menjana

keuntungan modal (capital gain) dan bukannya mengharapkan nilai fundamental dividen atau

sekuriti sekaligus melibatkan ketidak pastian dan risiko pemilikan yang kadangkala melalui

pergantungan nasib (Emery, 1969). Risiko adalah antara elemen terpenting dan utama dalam

aktiviti spekulasi, bahkan jangkaan kepada risiko yang diambil itu sendiri dinamakan spekulasi.

Jangkaan dan ramalan terhadap turun naik nilai sesuatu barangan adalah penting dalam

memastikan keuntungan dicapai (Wong, 1998). Prinsip utama (rule of thumbs) untuk mendapat

pulangan yang hebat adalah dengan mengambil risiko yang hebat juga. Sementara itu, Malpezzi

dan Wachter (2005) telah memberikan maksud spekulasi dalam pasaran hartanah iaitu merujuk

kepada tindakan pelabur yang membeli sebidang tanah namun dibiarkannya dan tidak digunakan

(disimpan) sehingga menghasilkan keuntungan yang boleh diperolehi (unearned increment)

selagi mana pelabur tersebut tidak menjualnya.

b) Konsep Spekulasi

1. Perspektif Sarjana Ekonomi

Sejak kurun ke 18, spekulasi dan perjudian sering digandingkan oleh sarjana-sarjana dari

Barat. Ciri-ciri perjudian seperti memperoleh harta atas kerugian pihak yang lain (zero sum

game), pemindahan kekayaan, unsur nasib, pemerolehan duit yang tidak produktif, ketidak

pastian yang berlebihan serta pengambilan risiko tinggi yang disengajakan dilihat terdapat dalam

aktiviti spekulasi (Hayward, 2013). Bach (1974) dan Jean dan Dominque (2008) menganggap

spekulasi sebagai pertaruhan di atas pertaruhan orang lain. Spekulator bertaruh demi

mendapatkan keuntungan segera melalui kenaikan harga berbanding keuntungan yang diperolehi

hasil pelaburan jangka masa panjang. Teweles et al. (1998) dan Pozdena (1988) juga menukilkan

Page 5: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

bahawa menurut Keynes, spekulator boleh dibahagikan kepada dua: 1) spekulator amatur yang

kurang mempunyai informasi, 2) spekulator professional yang mengetahui banyak maklumat.

Biasanya dalam pasaran saham, golongan kedua akan mengambil kesempatan dan memanipulasi

modal golongan pertama dalam memastikan harga pasaran tidak menentu dengan tujuan

membuat duit atas kepanikan spekulator atau pelabur kecil. Apabila golongan pertama panik,

mereka akan berterusan membeli saham ketika harga melambung naik tanpa menyedari situasi

tersebut telah dicipta dengan sengaja oleh golongan kedua dan bukan didasari oleh faktor

fundamental ekonomi. Situasi tersebut dicipta apabila ‘spekulator jerung’ sengaja melepaskan

pegangan saham mereka supaya ‘spekulator bilis’ boleh membeli saham tersebut semula. Maka

dengan itu, spekulator jerung mendapat keuntungan atas kerugian orang lain. Justeru Keynes

(1936) menyebut bahawa pasaran yang bersifat spekulatif cenderung untuk menjadi kasino di

mana kekayaan pihak yang mengalami kerugian dipindahkan kepada pihak yang menang.

Coakley dan Harris (1983) menyebut bahawa pelabur-pelabur kecil telah menjadi mangsa

oleh khabar angin pasaran (market rumors) tanpa memiliki maklumat yang lengkap dan

kecekapan menjangka aliran pasaran. Perbuatan menyebarkan khabar angin bersifat kewangan

dan perbuatan jualan singkat (short selling) merupakan antara bentuk-bentuk spekulasi.

Samuelson (1958) dan Jiang dan Yang (2005) mendakwa khabar angin kewangan membentuk

persepsi dan sentimen kepada pelabur. Kesannya, keputusan ekonomi yang dilakukan akan

membawa kepada spekulasi buta (blind speculation). Apa yang pastinya, spekulasi buta tanpa

kerasionalan dan tidak dipandu oleh informasi yang sepatutnya akan membahayakan aktiviti

pasaran dan cenderung kepada perjudian. Sementara itu, short selling pula ialah tindakan

seseorang menjual sekuriti yang tidak dimilikinya pada masa jualan. Dalam erti kata lain, penjual

tidak mempunyai, pada masa penjualan tersebut, suatu hak boleh guna dan tanpa syarat untuk

meletak hak sekuriti tersebut pada pembeli tetapi telah menyempurnakan suatu perjanjian untuk

meminjam, sebelum masa penjualan, yang akan membolehkan penyerahan sekelas sekuriti yang

dibenarkan tersebut kepada pembeli (Suruhanjaya Sekuriti, 2006). Aktiviti bersifat spekulatif ini

dilihat mampu menggugat pasaran kewangan.

Sebaliknya Sandel (2013) berpendapat bahawa pelaburan dan perjudian adalah bersifat

spekulatif kerana kedua-duanya terlibat dengan pengambilan risiko dengan harapan untuk

Page 6: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

memperoleh keuntungan. Walau bagaimanapun, spekulasi dilihat mengandungi risiko yang lebih

tinggi berbanding pelaburan dan tidak dikira sebagai lindung nilai (Szado, 2011). Wahl (2008)

dan Wafica (2008) turut menyatakan bahawa spekulasi adalah berbeza daripada pelaburan dari

sudut fundamental walaupun mempunyai persamaan dari segi ramalan masa hadapan.

Hakikatnya, spekulator memasuki sesuatu transaksi bukan bertujuan untuk memiliki aset.

Spekulator hanya membayar perbezaan harga untuk mendapat untung. Dalam transaksi sebegini,

tidak berlaku pembelian aset dalam hakikat sebenar. Justeru, tiada berlaku sebarang pertambahan

nilai dalam aktiviti ekonomi. Sedangkan menurut Jean dan Dominque (2008) penglibatan aset

dalam sesuatu transaksi akan memberi manfaat kepada komuniti di mana mewujudkan banyak

peluang pekerjaan seperti dalam sektor penyimpanan, pengangkutan dan pembungkusan.

Tambahan pula, spekulasi sangat berkait rapat dengan penyembunyian produk, dan pertaruhan

masa depan untuk menaikkan harga sepertimana yang didakwa oleh George Soros dalam

temubual dengan majalah Jerman Stern (Stern, 2008): "Speculators create the bubble which lies

above everything. They increase prices with their expectations, with their bets on the future, and

their activities distort prices, especially in the commodities sector. And that is just like secretly

hoarding food during a hunger crisis to make profits from increasing prices."

Pada awal 1900, teori spekulasi telah dibincangkan oleh Bachelier (2006) yang

menyebut mengenai turun naik harga pasaran berlaku bukan semata-mata atas sebab semulajadi,

namun ia juga berpunca daripada spekulasi dan sebab buatan (artificial). Rix (1965) berpendapat

tidak semua situasi ekonomi adalah sesuai untuk spekulator berfungsi. Baginya, para pelabur

lebih memberi manfaat kepada pasaran berbanding spekulator dan tidak semestinya tanpa

spekulator, pasaran akan kaku (stagnant) dan tidak berfungsi. Hal ini kerana, spekulasi boleh

membawa masalah yang lebih besar seperti kemelesetan ekonomi dan memerlukan masa yang

lama untuk memulihkan ekonomi satu-satu negara tersebut. Aktiviti spekulasi yang berlebihan

dan tidak terkawal boleh mengakibatkan turun naik harga pasaran yang tidak masuk akal dan

kejatuhan pasaran sepertimana yang telah berlaku dalam tragedi Black Tuesday yang membawa

kepada krisis Great Depression yang terjadi ketika 1930-an.

Selain itu, sarjana ekonomi telah membincangkan mengenai kesan spekulasi antaranya

spekulasi boleh mengakibatkan kemeruapan harga, kenaikan kos, ketidak efisyen dalam pasaran

Page 7: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

dan gelembung kewangan sehingga boleh membahayakan nyawa berjuta-juta kehidupan manusia

dalam negara-negara membangun (Hayward 2013). Apabila kenaikan harga tidak konsisten

dengan data ekonomi sebenar maka keadaan ini boleh menyebabkan kejatuhan harga yang

mendadak dan mendatangkan kerugian yang besar kepada pengeluar dan bank pelaburan (Wahl,

2008). Begitu juga spekulasi dalam sektor harta tanah yang dibuat untuk tujuan keuntungan

berdasarkan kenaikan harga sahaja boleh mengakibatkan paksaan ketidakstabilan terhadap nilai

tanah dan menyebabkan tekanan ekonomi. Kestabilan makroekonomi turut terjejas apabila

spekulasi menjadi asas utama kepada pengumpulan kekayaan kerana spekulasi menghasilkan

sistem yang rapuh. Sistem ini tidak dibina atas transaksi fizikal aset yang sebenar tetapi hanya

atas turun naik harga (Nikolaos, 2010).

Walaupun spekulasi didakwa mendatangkan kesan buruk kepada ekonomi, namun dari

sudut yang lain, spekulasi turut berperanan penting dalam pasaran kewangan. Antara peranan

spekulasi adalah untuk menstabilkan ketidaktentuan harga sama ada ketidaktentuan tersebut hasil

daripada perubahan dalam permintaan dan penawaran semasa atau permintaan palsu. Dalam

situasi di mana nilai saham atau komoditi terkumpul menurun akibat tidak terjual di pasaran,

spekulator akan berperanan sebagai pembeli bagi meminimumkan kejatuhan harga tersebut.

Sebaliknya, spekulator juga akan menjadi pejual untuk mengelakkan harga meningkat terlalu

tinggi apabila penawaran berkurangan. Selain itu juga, spekulator membantu pasaran dengan

cara membeli dengan harga yang lebih rendah daripada pasaran dan menjualnya semula dengan

harga lebih tinggi dalam pasaran yang lain untuk memastikan keseimbangan antara pasaran

(Kaldor, 1939).

Oleh yang demikian, Teweles et al. (1965) menegaskan bahawa keuntungan yang

diperolehi spekulator adalah dikira sebagai keuntungan perniagaan yang bersifat ekonomi

(entrepreneurial gain) dan pulangan normal bagi satu-satu perniagaan. Selain itu juga, aktiviti

spekulasi menyumbang kepada tahap kecairan pasaran dan meningkatkan prestasi urus niaga

(Satyajit, 2006). Hirshleifer (1977) menjelaskan bahawa spekulasi berlaku di bawah kekangan

maklumat dan percaya sekiranya informasi yang sama dapat diperolehi, maka tiada jual beli akan

berlaku kerana margin keuntungan biasanya akan sepadan dengan tahap risiko yang perlu

dihadapi oleh pelabur. Sehubungan dengan itu, untuk mengelakkan daripada kerugian dan

Page 8: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

meningkatkan margin keuntungan, pelabur perlu melakukan spekulasi dalam trend pasaran.

Selain itu, spekulasi akan mengurangkan kadar risiko turun naik nilai di masa hadapan lantaran

spekulator sentiasa bersedia untuk membeli atau menjual komoditi dengan harga pasaran yang

berbeza pada masa dan tempat berbeza (Wong, 1998). Burgstaller (1994) juga berpandangan

spekulasi adalah satu mekanisme fundamental untuk penetapan harga dan peruntukan sumber.

Menurut Lawrence (2014) penggunaan istilah spekulasi sentiasa disalah fahami

sedangkan pemahaman istilah tersebut berubah mengikut edaran zaman berdasarkan situasi

pasaran kewangan semasa. Ketika kurun ke 19, spekulasi bermakna sebuah pelaburan dalam

satu-satu syarikat oleh pelabur yang kurang lengkap pengetahuannya terhadap pasaran.

Kemudian, makna spekulasi telah berubah kepada sebuah pelaburan sekuriti yang diikuti dengan

pulangan yang tidak pasti.

2. Perspektif Sarjana Islam

Berdasarkan kepada sorotan literatur yang dibuat terhadap penulisan klasik fiqh, dapat

disimpulkan bahawa istilah mudarabah ‘ala al-as’ar seperti yang difahami sebagai spekulasi

dalam pasaran kewangan moden tidak dibincangkan oleh fuqaha terdahulu (Mubarak, 2005;

Suruhanjaya Sekuriti, 2006). Hal ini kerana, isu spekulasi belum timbul ketika zaman

pensyariatan. Namun demikian, perdebatan mengenainya bermula apabila ia dikaitkan dengan

produk derivatif. Isu ini timbul apabila 99 peratus daripada kontrak niaga hadapan (futures)

diselesaikan (close out) sebelum tempoh matang (Suwaylem, 2007). Ini bermakna, spekulator

telah mendominasi pasaran derivatif berbanding pelabur lain yang bertindak sebagai pelindung

nilai. Bertitik tolak daripada ini, sarjana-sarjana Islam kontemporari tampil memberikan

pandangan berkenaan konsep spekulasi dan kesannya melalui penulisan-penulisan mereka.

Sarjana Islam berbeza pendapat dalam memberikan maksud spekulasi yang sebenar. Al-

Maṣri (2007) dan Mubarak (2005) menyatakan bahawa spekulasi merujuk kepada “Proses jual

beli palsu yang tidak bertujuan untuk menukar komoditi secara fizikal, sebaliknya hanya untuk

mendapatkan keuntungan daripada perbezaan harga (semulajadi atau rekaan) dan modal jika

jangkaannya benar, sama ada jangkaan tersebut berdasarkan kepada maklumat, pengalaman,

Page 9: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

kajian, khabar angin, mahupun nasib semata-mata.” Konsep ini turut dipersetujui oleh beberapa

sarjana Islam yang lain yang mendakwa spekulasi dibuat bukan untuk pelaburan tetapi hanya

bertujuan mendapatkan keuntungan daripada perbezaan harga. Dalam erti kata lain, spekulasi

adalah satu penghasilan sesuatu tanpa usaha dan memperoleh keuntungan daripada harta orang

lain (Amir Kia, 2001; Mubarak, 2005; al-Sa’ati, 2007).

Selain itu, spekulasi juga merujuk kepada satu transaksi simulasi atau khayalan (al-‘uqud

al-suriyyah) yang tidak membawa maksud keinginan hakiki penjual dan pembeli atas sesuatu

produk. Hal ini boleh menimbulkan masalah pemilikan (at-tamalluk wa at-tamlik) (Muhyi, 1994;

al-Masri, 2007; al-Basol, 2009).

Begitu juga spekulasi dalam pasaran modal turut merujuk kepada maksud yang sama

iaitu tindakan jual beli seseorang individu bukan dengan tujuan bertukar hak pemilikan (tasallum

wa taslim) produk atau saham atau menyertai syarikat untuk mendapat manfaat di atas

keuntungan melalui urus niaga syarikat, tetapi untuk memperoleh keuntungan daripada

perbezaan harga (Mubarak, 2005). Tambahan lagi, Obaidullah (2001) dan al-Sulami (2010)

mendakwa spekulasi bukan satu pelaburan, bahkan ia hanyalah perbuatan menduga dan meramal

sama ada disertai dengan analisis dan tafsiran daripada maklumat yang releven atau sebaliknya.

Walau bagaimanapun, pendapat ini berbeza dengan pandangan el-Ashkar (1995). Beliau

berpandangan aktiviti spekulasi memerlukan informasi atau maklumat yang sedia ada untuk

meramal pergerakan harga pasaran sekuriti supaya wujud pihak yang akan membeli dan menjual

sekuriti tersebut untuk menambah kapital dan memaksima nilai kapital syarikat tersebut. Ini

bermakna spekulasi bukanlah sekadar ramalan tanpa kajian. Ia dilihat sebagai pertaruhan

berisiko dengan matlamat untuk mendapatkan keuntungan yang lebih berbanding menunggu

dividen yang diperolehi daripada pelaburan biasa. Dalam erti kata lain, spekulasi merupakan jual

beli berbentuk reverse process yang dilakukan berdasarkan pengetahuan dan maklumat (al-

Masri, 2007). Kamali (2000) turut berpandangan spekulasi sebagai satu pengetahuan dan

jangkaan kepada harga di masa hadapan berdasarkan bukti dan maklumat yang diteliti dan

dianalisis daripada maklumat semasa ataupun terdahulu.

Page 10: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

Sementara itu, spekulasi menurut Said (2010) adalah perbuatan manipulasi harga pasaran

sesuatu aset sehingga mencipta satu situasi penerimaan orang terhadap kenaikan harga aset

tersebut. Tindakan manipulasi harga pasaran (tala’ub al-as’ar fi aswaq al-maliyah) dilakukan

untuk mengawal pasaran dengan menguasai permintaan dan mengelirukan pelabur-pelabur

melalui pelbagai teknik seperti menyebarkan maklumat palsu terhadap syarikat tertentu dengan

sengaja supaya saham mereka jatuh, serta memalsukan harga dan produk untuk mencipta

gambaran palsu terhadap pasaran. Pelaburan dan spekulasi kedua-duanya melibatkan risiko

namun risiko yang dihadapi masing-masing adalah berbeza. Spekulasi mencipta dan mereka

maklumat sebagai strategi perniagaan (trading), sedangkan pelaburan dibuat bersandarkan

maklumat yang ada. Justeru, spekulasi mengandungi unsur-unsur yang diharamkan seperti al-

ihtikar, al-tanajush, ghish, dan al-tadlis.

Dalam konteks pasaran derivatif pula, Usmani (1999), Chapra (1988), Akram Khan

(2008), Fahim Khan (1995), Obaidullah (1998), al-Masri (2007), al-Saati (2002), dan Sami

Tamer berpendapat unsur spekulasi wujud dalam kontrak niaga hadapan apabila tiada niat untuk

menerima atau membuat penyerahan fizikal. Kedua-dua pihak hanya berminat dengan perubahan

harga apabila menutup kontrak sebelum tempoh matang (close out) dan kebanyakan kontraknya

tidak melibatkan serahan barangan (Nadhirah dan Asmak, 2011).

Melihat realiti ini, Kamali (2000) berpendapat aktiviti spekulasi yang menggunakan

kontrak hadapan cenderung kepada unsur perjudian, ketidak jelasan, gharar dan pengambilan

risiko yang tinggi. Unsur-unsur perjudian telah terbukti mengakibatkan kemeruapan harga

komoditi dalam pasaran tunai dan pasaran hadapan yang lebih banyak unsur-unsur ketidak

pastian. Larangan terhadap kontrak derivatif diputuskan oleh para sarjana kerana wujudnya unsur

spekulasi yang dikhuatiri menyerupai perjudian yang dilarang dalam Islam. Oleh itu, Usmani

(1999) berpendapat semua kontrak hadapan dan niaga hadapan tanpa mengira aset pendasarnya

adalah dilarang dalam Islam kerana kebanyakan kontraknya tidak melibatkan serahan barangan

dan hanya mahu mendapat keuntungan daripada perubahan harga. Pendapat yang sama turut

dipegang oleh Obaidullah (1998) di mana beliau berpendapat dalam sistem kewangan yang

kompleks dan bursa yang tersusun, larangan kontrak derivatif adalah disebabkan larangan

spekulasi akibat daripada gharar yang melampau. Tiadanya niat untuk melakukan penyerahan

Page 11: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

fizikal menggalakkan penyertaan spekulator yang hanya mahukan keuntungan akibat daripada

perubahan harga. Perkara ini juga mendorong kepada perjudian yang dilarang dalam Islam. Ia

terbukti apabila jumlah dagangan dalam kontrak derivatif melebihi nilai sebenar yang terdapat

dalam pasaran tunai (Danilla dan Jeffers, 2009). Daripada perspektif ekonomi Islam, sebuah

kepastian dan sesuatu yang tetap adalah asas bagi sesuatu aktiviti. Satu ramalan dan jangkaan

terhadap risiko daripada sebuah keputusan yang dibuat, mestilah diikuti dan dilengkapi dengan

maklumat yang relevan. Jika sebaliknya dan mengandungi ketidak pastian yang berlebihan, ia

akan cenderung kepada unsur perjudian dan perkara seperti inilah yang menjadikan spekulasi

dilarang (Obaidullah, 2001). Justeru, Ibrahim Warde (2000) mendakwa spekulasi yang wujud

dalam pasaran modal Islam adalah bertentangan dengan tujuan ekonomi Islam.

Al-Masri (2007) turut menyimpulkan bahawa spekulasi adalah sejenis perjudian kerana

hanya sebahagian kecil pelabur yang bernasib baik manakala sebahagian besar mengalami

kerugian contohnya dalam konteks niaga hadapan yang dilakukan pada masa hadapan

kadangkala dilakukan ketika harga meningkat, adalah untuk menangani kerugian yang berlaku

kesan daripada jualan sekuriti ketika harga rendah. Situasi ini seolah-olah seperti pertaruhan

berisiko yang dilakukan dengan tujuan untuk mendapatkan keuntungan cepat berbanding

menunggu keuntungan dividen sepertimana dalam perlaburan normal. Selain daripada itu, dalam

keadaan tertentu, spekulator tidak hanya memperoleh keuntungan hasil daripada perbezaan

harga, namun juga mereka akan cuba mendominasi pasaran tertentu melalui transaksi palsu dan

juga menyebarkan khabar angin negatif dan buruk mengenai pihak-pihak lain dengan niat yang

sengaja untuk menjatuhkan reputasi mereka sekaligus menjatuhkan harga saham syarikat terbabit

kerana spekulator tersebut mahu membeli saham mereka dengan harga yang sangat rendah

secara pukal. Ini menunjukkan spekulasi mengandungi unsur gharar yang dilarang dalam Islam

(Iqbal dan Abbas, 2011).

Namun begitu, tidak dinafikan bahawa spekulasi tidak boleh dielakkan khususnya dalam

membuat keputusan berkaitan aktiviti ekonomi (Akram Khan, 1988). Justeru, terdapat beberapa

sarjana Islam yang mengharuskan aktiviti spekulasi contohnya Monzer Kahf (t.t). Beliau

berpendapat bahawa teori ekonomi merupakan salah satu bentuk spekulasi dan ramalan terhadap

masa depan kerana mempelajari ekonomi itu sendiri adalah untuk memahami realiti dan meramal

masa depan dengan cara yang terbaik. Kemampuan meramal dalam dunia kewangan inilah

Page 12: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

dikenali sebagai spekulasi. Hal ini menunjukkan bahawa spekulasi juga mempunyai justifikasi

yang baik. Di samping itu, al-Basol (2009) juga mengharuskan spekulasi sekiranya ia dibuat atas

dasar pelaburan yang merupakan sebahagian aktiviti ekonomi. Menurut beliau, jika berlaku

kenaikan harga akibat spekulasi yang berasaskan pelaburan, maka aktiviti tersebut tidak

bercanggah dengan Syariah.

Selain itu, spekulasi adalah sesuatu yang berkait dengan kemungkinan dan ketidak

pastian berkenaan masa hadapan. Ia dihadapi atau diramal dengan penaakulan intelektual, akal

fikiran, agakan atau tekaan (contemplation) sebagai satu kurniaan Allah kepada manusia atas

kemampuan berfikir yang mengangkat darjat manusia (Salamon et al, 2015). Keputusan yang

dibuat tidak semestinya akan sentiasa tepat. Manusia yang diberikan akal, sememangnya akan

berspekulasi secara tidak langsung. Namun, ketepatan membuat keputusan bergantung kepada

kemampuan menganalisa yang kompeten dan baik. Ia boleh didapati daripada kebijaksanaan,

bakat, kemahiran, informasi dan maklumat serta kesediaan menanggung risiko untuk rugi.

Justeru, sesebuah keputusan spekulatif adalah fitrah dalam membuat satu-satu keputusan.

Tambahan pula, masa hadapan adalah sesuatu yang penuh ketidak pastian.

Sebagai bukti, bai’ muzayadah menunjukkan bahawa aktiviti spekulasi dibenarkan selagi

mana mengikuti prinsip syara’ (Suruhanjaya Sekuriti, 2006). Konsep spekulasi dan jual beli

kedua-duanya mengandungi ciri al-muzayadah kerana terdapat elemen ‘mark up’ pada harga

kerana objektif jual beli bertujuan untuk mendapatkan keuntungan daripada perniagaan. Islam

menghalalkan jual beli dan tidak melarang untuk menggandakan keuntungan daripada

perniagaan selagi ia bebas daripada unsur-unsur terlarang seperti riba, gharar dan maysir. Walau

bagaimanapun, penetapan ‘mark-up’ harga tersebut perlulah sejajar dengan “thaman al-mithl”

dan diikuti dengan justifikasi yang bersesuaian dengan ‘urf setempat dan masuk akal. Kenaikan

harga tersebut perlulah berdasarkan nilai tambahan atas fizikal produk yang sebenar, bukannya

kerana spekulasi atas harga semata-mata. Jika tidak, transaksi tersebut dilarang (Zaharuddin,

2008). Syibly (2007) menyatakan bahawa penyertaan dalam pasaran saham akan menjadi

terlarang jika niat sebenar adalah semata-mata untuk melakukan spekulasi, bukan dengan tujuan

pelaburan.

Page 13: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

3.0 Metodologi Kajian

Kajian berbentuk kualitatif ini menggunakan kaedah perpustakaan dalam aspek pengumpulan

data. Data-data yang dikumpulkan akan dianalisis menggunakan kaedah tematik dan komparatif

bagi melihat persamaan dan perbezaan antara pandangan-pandangan sarjana Barat mahupun

Islam.

4.0 Hasil Kajian

Berdasarkan kepada perbincangan konsep spekulasi menurut perspektif sarjana Barat dan sarjana

Islam, dapat disimpulkan bahawa spekulasi adalah pelaburan di atas harga atau dalam istilah

Arab “mudharabah ‘ala as’ar”. Spekulasi yang berasaskan jual beli sama ada melibatkan

pemilikan sesuatu aset, atau tanpa melibatkan pemilikan fizikal aset seperti kontrak derivatif,

menjurus kepada pengambilan untung secara cepat hasil daripada perbezaan harga melalui

pengambilan risiko yang tinggi kerana berlaku ketidakpastian terhadap keuntungan atau kerugian

yang bakal dihadapi. Spekulasi juga boleh dibuat berasaskan kepada kajian terhadap pasaran atau

tanpa kajian. Perkara yang menentukan sama ada spekulasi memberi kesan negatif atau

membantu dalam pasaran kewangan adalah apabila aktiviti tersebut dilakukan secara normal dan

rasional. Sekiranya spekulasi dilakukan secara berlebihan, tiada kawalan, tidak dilengkapi

maklumat, penilaian dan analisis yang meyakinkan dan relevan maka ia cenderung kepada

perjudian.

Terdapat persamaan konsep spekulasi antara perspektif sarjana Barat dan sarjana Islam di

samping beberapa perbezaan yang boleh dilihat. Kesepakatan antara kedua-dua golongan sarjana

dapat dilihat melalui beberapa perkara. Perkara pertama, kedua-dua belah pihak mengakui

bahawa spekulasi mengandungi unsur perjudian dengan kewujudan elemen zero sum game,

pemerolehan keuntungan daripada harta orang lain, pergantungan nasib, pemerolehan wang

secara tidak produktif, ketidak pastian yang berlebihan, dan pengambilan risiko yang tinggi

dengan sengaja. Perkara kedua, manipulasi pasaran. Pasaran dimanipulasi melalui kelebihan

sesetengah pihak yang memiliki modal yang lebih besar dan maklumat pasaran yang lebih

banyak dan seterusnya membuat duit di atas kerugian orang lain. Mereka memanipulasi harga

pasaran dengan mengesani harga aset agar meningkat untuk cuba mengawal harga pasaran dan

Page 14: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

menguasai permintaan. Campur tangan dalam penetapan harga bukan disebabkan kuasa

permintaan dan penawaran adalah satu bentuk pemanipulasian pasaran. Selain daripada itu,

spekulator mencipta dan mereka-reka maklumat sebagai strategi perniagaan. Perkara ketiga,

tindakan ramalan. Terdapat sebahagian sarjana Islam yang bersetuju bahawa spekulasi hanyalah

perbuatan meramal tanpa disertai analisis dan tafsiran daripada maklumat yang relevan untuk

mendapatkan keuntungan daripada perbezaan harga. Perkara keempat, kedua-dua sarjana

meletakkan perspektif yang sama bahawa spekulator tiada niat untuk melakukan transaksi hakiki

atau menyertai kontrak pertukaran sebenar, justeru tidak berlaku pembelian aset dalam hakikat

sebenar. Sebaliknya spekulasi bertujuan untuk mengaut untung daripada perbezaan harga dalam

tempoh yang singkat. Perkara kelima, objektif spekulasi adalah mendapatkan untung daripada

perbezaan harga sehingga dikatakan jual beli adalah dibuat-buat kerana peniagaan barangan atau

komoditi bukan tujuan utama. Para sarjana Barat dan Islam bersetuju bahawa walaupun aktiviti

luaran spekulasi dan pelaburan seakan-akan sama dari segi operasi dan mekanismenya, namun

begitu, niat dan fundamental asas yang tersirat dalam aktiviti spekulasi adalah berbeza. Perkara

keenam, risiko yang terkandung dalam spekulasi lebih tinggi daripada risiko dalam pelaburan.

Walau bagaimanapun, terdapat sarjana Islam yang mengharuskan spekulasi dengan

beberapa syarat seperti ramalan kepada pergerakan harga (spekulasi) tersebut perlu didasari

maklumat dan informasi, bukan sekadar ramalan tanpa kajian. Sekiranya setiap ramalan tersebut

tidak disertai maklumat yang lengkap, barulah spekulasi tersebut boleh dianggap cenderung

kepada perjudian. Walaupun sarjana ekonomi menganggap spekulasi hanyalah pertaruhan atas

jangkaan kenaikan harga atau ramalan untuk sengaja menaikkan harga demi mendapatkan

keuntungan, namun sarjana Islam memandang spekulasi adalah tindakan jual beli untuk

memperoleh keuntungan daripada ramalan perubahan harga tanpa jaminan terhadap keuntungan

tersebut. Selain itu, sarjana Barat memandang keuntungan spekulasi sebagai keuntungan

perniagaan yang bersifat ekonomi dan pulangan normal sepertimana perniagaan yang lain.

sementara sesetengah sarjana Islam pula berpendapat spekulasi berlainan dengan perniagaan

normal kerana perniagan normal memerlukan aset fizikal namun spekulasi dengan mudah

membayar atau mendapatkan hasil daripada perbezaan harga sahaja.

Page 15: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

5.0 Kesimpulan

Spekulasi mempunyai fungsi penting dalam pasaran. Tiada perniagaan yang bebas daripada

unsur spekulasi kerana keputusan yang dibuat berkaitan aktiviti ekonomi adalah berdasarkan

spekulasi. Keuntungan biasanya bergantung kepada perubahan harga pada masa hadapan

sedangkan masa hadapan merupakan sesuatu yang tidak pasti. Oleh yang demikian, operasi dan

cara aktiviti spekulasi dilakukan adalah berbeza dengan pelaburan namun masih memberikan

manfaat dan secara tidak langsung dalam membantu aktiviti pelaburan berlaku. Spekulasi juga

tidak boleh disamakan dengan perjudian kerana perbezaannya yang ketara daripada sudut fungsi

dan sebab dilakukan. Namun begitu, aktiviti spekulasi mestilah dilakukan mengikut garis

panduan yang ditetapkan supaya aktiviti tersebut tidak terjerumus ke arah perjudian. Apabila

aktiviti spekulasi bergantung sepenuhnya kepada nasib dan melibatkan risiko tinggi serta wujud

unsur zero-sum game yang membawa kepada perolehan harta secara batil, maka aktiviti

spekulasi tersebut adalah ditegah. Rentetan itu, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah menetapkan

bahawa amalan spekulasi adalah diharuskan selagi mana ia menepati prinsip Syariah dan dikawal

selia agar tidak berlebihan.

6.0 Rujukan

Al-Basol, Ali Abd al-Ahmad Abu, al-Mudarabah wa al-Muqamarah fi Bai’ wa Shira’ al-Asham:

Dirasah Fiqhiyyah Muqaranah, Jilid 25 (Damshiq: Majallah Jami’ah Damshiq li al’Ulum al-

Iqtisadiyyah wa al-Qanuniyyah, 2009).

Al-Masri Rafiq Yunus, “Speculation between Proponents and Opponents,” J.KAU Islamic Econ

20, no. 1 (2007): 43-52.

Al-Masri, Rafiq Yunus, “al-Mudarabah ‘ala al-As’ar bayna al-Muayyidin wa al-Mu’aridin”,

Majallah al-Jami’ah al-Malik ‘Abd al-‘Aziz: al-Iqtisad al-Islami 20, no. 1 (2007): 65-80.

Al-Sa’ati, Abdul Rahim Abdul Hamid, al-Mudarabah wa al-Qimar fi al-Aswaq al-Maliyah al-

Mu’asarah: Tahlil Iqtisodi wa Shar’ie (Arab Saudi: Majalah Jami’ah Malik Abd Aziz: Iqtisod

Islami, 2007)

al-Saati, Abdul Rahim, ‘Sharia Compatible Futures’, J.KAU: Islamic Econ, 15 (2002): 3-25.

Page 16: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

Al-Sulami, Abdullah, at-Taghrir fi al-Mudharabat fi Bursah al-Awraq al-Maliyah: Tausifuhu wa

Hukmuhu (Arab Saudi: Daurah al-‘Isyrun lil Mujamma’ al-Fiqh al-Islami al-Mun’aqidah fi

Makkah Mukarramah, 2010).

Al-Suwaylem, Sami Ibrahim. al-Tahawwut fi al-Tamwil al-Islami. (Jeddah: al-Bank al-Islami li

al-Tanmiyyah, al-Ma`had al-Islami li al-Buhuth wa al-Tadrib, 2007).

Bach, G. L. Economics: An Introduction to Analysis and Policy (New Jersey: Prentice-Hall Inc.,

1974).

Bachelier, Louis, Theory of Speculation: The Origin of Modern Finance, terj. oleh Mark Davis

dan Alison Etheridge, (USA: Princeton University Press, 2006).

Burgstaller, A., Property and Prices (Cambridge: Cambridge University Press, 1994).

Coakley, J., dan Harris, L. The City of Capital. (Oxford: Basil Blackwell Publisher Ltd.: 1983).

Danila, Nevi dan Jeffers Agatha E., ‘Derivatives: An Islamic Perspective’, Journal of

International Finance and Economics 9, no.3 (2009): 83-90.

Edward Szado, “Defining Speculation: The First Step toward a Rational Dialogue,” The Journal

of Alternative Investments 14 (2011): 75-82

El-Ashkar, Fattah, “Towards An Islamic Stock Exchange In A Transitional Stage,” Islamic

Economic Studies 3, no. 1 (1995): 1-42.

Emery H. C., Speculation on the Stock and Produce Exchange of the United States (USA:

Greenwood Press, 1969), 96-100.

Frankel, Jeffry A. “Effects of Speculation and Interest Rates in a “Carry Trade” Model of

Commodity Prices,” Journal of International Money and Finance 42, (2014): 88-112.

Friedman, Jack P. Dictionary of Business Terms (New York: Barron’s, 1987), 570.

George Soros, "We are in the midst of the worst financial crisis in 30 years" Laman sesawang

Stern dicapai pada 11 Ogos 2017 http://www.stern.de/wirtschaft/news/george-soros--we-are-in-

the-midst-of-the-worst-financial-crisis-in-30-years--3851702.html

Hayward, Rob, Towards a Model of Speculation in the Foreign Exchange Market (United

Kingdom: University of Brighton, 2013)

Hirshleifer, J., “The Theory of Speculation Under Alternative Regime of Markets,” The Journal

of Finance 32, no. 4 (1977): 975-999.

Page 17: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

Husin Salamon, Mansoureh Ebrahimi dan Kamaruzaman Yusoff, “Speculation: The Islamic

Perspective: A Study on Al-Maisir (Gambling),” Mediterranean Journal of Social Science 6, no.

1 (2015): 371-377.

Ibrahim Warde, Islamic Finance in the Global Economy (United Kingdom: Edinburgh

University Press, 2000).

Jean-Claude Juhel dan Dominique Dufuor “A Discussion of stock market speculation by Pierre-

Joseph Proudhon” Kertas kerja dibentangkan di 12th

World Congress of Accounting Historians

di Istanbul Turki pada 20-24 Julai 2008.

Jiang, Jijiao dan Yang, Naiding “Financial Rumors On Investor Sentiment In The Emerging E-

commerce Network.” Prosiding 7th

International on Electronic Commerce di Xian, China 2005.

J. Victor, “Who Plays in This Market?,” laman sesawang Share Market School, dicapai 18

November 2017, http://www.sharemarketschool.com/who-plays-in-this-market/.

Kaldor, Nicholas “Speculation and Economic Stability,” Oxford Journal, Review of Economic

Studies 7 (1939): 1-27.

Kamali, Mohammad Hashim, “Islamic Commercial Law: An Analysis of Futures,” The

American Journal of Islamic Social Sciences 13 (2000): 197-202.

Keynes, John Maynard, The General Theory of Employment, Interest and Money (United

Kingdom: Palgrave Macmillan, 1936)

Lawrence Mitchell, “Financial Speculation: The Good, the Bad and the Parasitic,” laman

sesawang The Conversation, dicapai pada 1 Ogos 2017 http://theconversation.com/financial-

speculation-the-good-the-bad-and-the-parasitic-33613

Malpezzi, Stephen dan Wachter, Susan “The Role of Speculation in Real Estate Cycles.” Journal

of Real Estate Literatur 13, no. 2 (2005): 141-164.

Mohammed Obaidullah, ‘Financial Engineering with Islamic Options’, Islamic Economic

Studies, 6/1 (November 1998): 73-103.

Mohammed Obaidullah, “Ethics and Efficiency In Islamic Stock Markets,” International Journal

of Islamic Financial Services 3, no.2 (2001): 1-18.

Monzer Kahf, Relevance Definitions and Methodology of Islamic Economics, (t.t,), dicapai pada

20 Julai 2017 http://monzer.kahf.com/papers/english/methodology_malaysia.pdf

M. Roem Syibly, “Spekulasi dalam Pasar Saham,” Jurnal Ekonomi Islam 1, no. 1 (2007): 1-7.

Mubarak b. Sulayman b. Muhammad, Ahkam al-Ta`amul fi al-Aswaq al-Maliyyah al-Mu`asirah

Jilid 2 (al-Riyad: Dar al-Kunuz Ishbiliya li Nashr wa al-Tawzi`, 2005).

Page 18: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

Muhammad Akram Khan, “Commodity Exchange and Stock Exchange in An Islamic

Economy,” Journal of Islamic Economic 1, no. 2 (1988): 31–55.

Muhammad Akram Khan, ‘Commodity Excahange and Stock Exchange in an Islamic

Economy,’ dalam Sheikh Ghazali Sheikh Abod et.al (eds), An Introduction to Islamic Economics

& Finance (Kuala Lumpur: Cert Publications Sdn. Bhd, 2008).

Muhammad Fahim Khan, Islamic Futures and Their Markets: With Special References to their

Role in Developing Rural Financial Market (Jeddah: Islamic Research and Training Institute,

Islamic Development Bank, 1995).

M. U. Chapra, ‘Towards an Islamic Financial System,’ Journal of Islamic Economics, 1/2 (Julai

1988): 1-30.

Muhyi al-Din, Ahmad, Aswaq al-Awraq al-Maliyyah (Jeddah: Majmu’ah Dallah al-Barakah,

1994).

Nadhirah Nordin dan Asmak Abdul Rahman, “Isu-isu Syariah dalam Kontrak Derivatif : Satu

Sorotan Literatur,” Jurnal Syariah 19, no. 2 (2011): 163-186.

Nikolaos Triantafyllopoulos, “Land Speculation and Property Market (In)Efficiency,” Kerta

Kerja Perbincangan, 16(10) dibentangkan di University of Thessaly pada Mei 2010.

Pearce, David W., The MIT Dictionary of Modern Economics Fourth Edition, (Britain, 1992),

17-404.

Pozdena,R. J. The Modern Economics of Housing (Connectinct: Quorum Books, 1988)

Rix, M.S. Stock Market Economics (London: Sir Isac Pitman and Sons Ltd., 1965).

Said Buharawah, “at-Tala’ub fi Aswaq al-Maliyah: ‘Ard Tahlili wa Naqdi,” Kertas kerja

dibentangkan di Daurah Al-‘Isyrun lil Majma’ Al-Fiqh al-Islami di Makkah pada tahun 2010.

Samuelson, Paul A. Economic: An Introductory Analysis (New York: McGraw Hill, 1958).

Sandel, Michael J. “The Moral Economy of Speculation: Gambling, Finance and the Common of

Good,” Kertas kerja di bentangkan di University of Utah pada 27 Februari 2013.

Spencer, Milton H. Contemporary Economics (New York: Worth Publishing Inc., 1974).

Suruhanjaya Sekuriti, Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti (Kuala

Lumpur: Suruhanjaya Sekuriti, 2006).

Tamer, Sami, The Islamic Financial System: A Critical Analysis and Suggestions for Improving

its Efficiency (Frankfurt: Peter Lang GmBH, 2005)

Page 19: Spekulasi Menurut Pemikiran Sarjana Ekonomi dan Sarjana Islameprints.um.edu.my/18037/1/...Sarjana_Ekonomi_dan_Sarjana_Islam.pdf · Abstrak Terdapat beberapa kajian yang membincangkan

Teweles et al., The Future Games, Who Lose, Who Win and Why, (New York: Mcgraw Hill,

1998).

Urs Stäheli, Spectacular Speculation: Thrills, the Economy, and Popular Discourse, terj. Eric

Savoth, (United Kingdom: Stanford University Press, 2013)

U.S Commodity Futures Trading Commission, “CFTC Glossary: A guide to the language of the

futures industry” laman sesawang U.S Commodity Futures Trading Commission dikemaskini

pada 28 Ogos 2012 dicapai pada 2 Ogos 2017

http://www.cftc.gov/ConsumerProtection/EducationCenter/CFTCGlossary/index.htm#S

Usmani, M. T., ‘What Shari’ah Experts Say’, International Journal of Islamic Financial

Services, 1/1 (April-Jun 1999): 1-3.

Wafica Ghoul, “Risk Management and Islamic Finance: Never the Twain Shall Meet?” Journal

of Investing 17, no. 3 (2008): 96-104.

Wahl, Peter Food Speculation: The Main Factor of The Price Bubble in 2008 (Washington:

World Economy, Ecology and Development, 2009).

Wong, So-Ling, Sophia, “Analysis of The Relationship Among Speculation, Shortage Of Land

And Housing Supply” (Tesis Sarjana, University of Hong Kong,1998).

Zaharuddin Abd. Rahman, “Islamic Perspectives Of Derivatives: An Appraisal Of Options,

Swaps and The Merits of The Shariah Compliant Alternatives” (Tesis PhD, David’s University

College, Lampeter, United Kingdom, 2011)

Zaharuddin Abd Rahman, “Jual Mahal Berkali Ganda, Bolehkah?,” laman sesawang

Zaharuddin.net dikemaskini pada 2008 dan dicapai 1 Julai 2017

http://www.zaharuddin.net/perbankan-&-insuran/765-jual-mahal-berkali-ganda--bolehkah-.html.

Zamir Iqbal dan Abbas Mirakhor, An Introduction to Islamic Finance: Theory and Practice

(Singapura: John Wiley & Sons, Inc, 2011).