permainan tradisional

16
1.0 PENGENALAN Bermain merupakan aksi, tindakan atau kelakuan yang boleh dihargai dan mudah untuk dikenal pasti (Sluss, 2005). Dalam pendidikan awal kanak-kanak, bermain menjadi faktor penting yang dapat membantu meningkatkan proses pembelajaran dan perkembangan. Menurut Froebel (dalam Vickerius & Sandberg, 2006), kerja, bermain dan belajar adalah satu unit dalam pendidikan awal kanak- kanak. Dalam pada itu, Vygotsky menjelaskan bahawa bermain merupakan wadah bagi kanak-kanak untuk melakukan interaksi sosial dan sangat penting untuk proses belajar. Bermain juga memberi ruang bagi anak-anak untuk meningkatkan kepercayaan diri dan penguasaan. Walaupun bermain dilakukan secara tidak formal, namun kanak-kanak dapat berbincang dan berkongsi tujuan bermain yang sama. Pendekatan belajar sambil bermain dikatakan satu pendekatan yang memberi pengalaman secara langsung dengan objek dan menggalakkan kanak-kanak membina perhubungan dengan individu dan objek dipersekitarannya secara optimum. Permainan tradisional merupakan permainan warisan nenek moyang. Namun, untuk menghayati dan menghidupkan sesuatu permainan tradisional tersebut, kemahiran diperlukan untuk menyesuaikan permainan. Konsep ini cukup terserlah dalam satu permainan laman yang dimainkan di kampung-kampung terutamanya sejak dahulu hingga hari ini sebagai contoh permainan ‘Ting Ting Kapal Terbang’. Sebenarnya, permainan ini juga ada pengajaran nilai-nilai moral iaitu semangat kerjasama, timbang rasa, tolak

Upload: syue-hada

Post on 30-Sep-2015

59 views

Category:

Documents


0 download

DESCRIPTION

Permainan Tradisional : asgnmnt korang boleh tiru

TRANSCRIPT

1.0PENGENALANBermain merupakan aksi, tindakan atau kelakuan yang boleh dihargai dan mudah untuk dikenal pasti (Sluss, 2005). Dalam pendidikan awal kanak-kanak, bermain menjadi faktor penting yang dapat membantu meningkatkan proses pembelajaran dan perkembangan. Menurut Froebel (dalam Vickerius & Sandberg, 2006), kerja, bermain dan belajar adalah satu unit dalam pendidikan awal kanak-kanak. Dalam pada itu, Vygotsky menjelaskan bahawa bermain merupakan wadah bagi kanak-kanak untuk melakukan interaksi sosial dan sangat penting untuk proses belajar. Bermain juga memberi ruang bagi anak-anak untuk meningkatkan kepercayaan diri dan penguasaan. Walaupun bermain dilakukan secara tidak formal, namun kanak-kanak dapat berbincang dan berkongsi tujuan bermain yang sama. Pendekatan belajar sambil bermain dikatakan satu pendekatan yang memberi pengalaman secara langsung dengan objek dan menggalakkan kanak-kanak membina perhubungan dengan individu dan objek dipersekitarannya secara optimum. Permainan tradisional merupakan permainan warisan nenek moyang. Namun, untuk menghayati dan menghidupkan sesuatu permainan tradisional tersebut, kemahiran diperlukan untuk menyesuaikan permainan. Konsep ini cukup terserlah dalam satu permainan laman yang dimainkan di kampung-kampung terutamanya sejak dahulu hingga hari ini sebagai contoh permainan Ting Ting Kapal Terbang. Sebenarnya, permainan ini juga ada pengajaran nilai-nilai moral iaitu semangat kerjasama, timbang rasa, tolak ansur, saling menghormati dan kesabaran malah manfaat terhadap kecerdasan rohani dan jasmani sewaktu bermain, terutama di luar rumah. Pada asasnya, sifat dan sikap kanak-kanak untuk belajar tentang sesuatu yang belum diketahui sangat tinggi ketika bermain. Namun, orang dewasa sering melihat aktiviti bermain dari sudut yang sempit. Dari penglihatan mata kasar, kanak-kanak bermain hanya untuk menikmati keseronokan sahaja tanpa matlamat yang jelas. Mereka bimbang anak-anak lalai dan hilang fokus dalam pelajaran seterusnya tidak dapat menguasai bidang akademik dengan cemerlang. Tetapi Morrison (1998) menjelaskan bahawa aktiviti bermain sebenarnya adalah satu proses permulaan bagi kanak-kanak untuk belajar. Ahli pendidikan awal kanak-kanak menjelaskan bahawa aktiviti bermain dapat menyumbang kepada perkembangan kanak-kanak dari aspek sosial, kognitif, afektif dan motor (Frost, Bowers & Wortham, 1990).

2.0PENEROKAAN Penerokaan merupakan galakan kepada pelajar bagi membuat suatu ekplorasi dengan menggunakan pelbagai bahan dan peralatan yang terdapat di sekeliling kita. Dalam konteks ini, kanak-kanak akan terdedah dan berupaya menggunakan bahan terpakai yang terdapat di sekeliling mereka secara kreatif dan tersendiri sepanjang aktiviti dijalankan. Proses ini secara tidak langsung akan membuatkan pelajar berkenaan akan menjadi lebih peka dan sensitif di samping berupaya menjadi seorang individu yang mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.2.1Cara Pengolahan Dan ManipulasiMelalui aktiviti permainan Ting Ting Kapal Terbang, kanak-kanak dapat mengolah sesuatu aktiviti dan cuba memanipulasi tubuh mereka supaya mereka dapat meneroka sendiri sesuatu permainan tersebut mengikut peraturan tersendiri. Melaui permainan ini kanak-kanak dapat mengetahui bentuk permainan dan peraturan bermain. Terdapat pelbagai jenis bentuk gelanggang teng-teng dengan jumlah petak yang berlainan. Ada gelanggang atau petak teng-teng yang terdiri daripada sembilan petak-petak kosong bagi satu gelanggang. Dan ada juga yang terdiri daripada lapan petak-petak kosong.

Foto 1: Gelanggang Permainan Ting Ting Kapal TerbangTing ting memerlukan sebuah tapak rata yang dilukiskan garisan berpetak seperti tangga dengan 4 sayap seperti kapal terbang. Manakala di hujung petak dibuatkan semi bulatan. Lukisan petak seperti berikut, pada tangga pertama, satu petak dilukis, pada tangga ke-2, satu petak lagi dilukis, pada tangga ke-3 dilukiskan sayap, dengan pembahagi sayap terletak di tengah-tengah petak ke-2. Pada tangga ke-4 satu petak dilukis, dan pata tangga ke-5 satu lagi sayap dilukis dengan pembahagi sayap pada tengah-tengah petak tangga ke-4. Satu semi bulatan (semi-D) dilukis dari hujung kiri sayap secara melengkok hingga ke hujung kanan sayap.Kawasan bermain jengkek ini tidak perlu luas. Memadai jika kawasan itu dapat menampung 8 buah petak. Kanak-kanak pada tahap ini boleh memulakan dirinya untuk membuat penyesuaian menggunakan peralatan yang sebenar. Mereka boleh mencuba pelbagai cara untuk bergerak dari satu petak ke satu petak yang lain sama ada melompat ataupun bergerak dari satu bahagian ke satu bahagian lain dengan kemahiran imbangan badan tersendiri. Kemudian setelah mahir menggunakan imbangan badan serta pergerakan kinestetik, barulah kanak-kanak mampu untuk berpindah ke peringkat seterusnya menggunakan peralatan yang sebenarnya. Kanak-kanak pada tahap aplikasi boleh mencuba berbagai cara untuk masuk ke dalam sesuatu ruang alat seperti melompat, melintasinya dan membuat bentuk-bentuk dengan menggunakan anggota-anggota badan semasa beraksi. Pengalaman yang melibatkan kebolehan memindah beban ke pelbagai bahagian anggota, melakukan imbangan-imbangan bukan simetri serta imbangan-imbangan terbalik adalah sesuai bagi kanak-kanak untuk meneroka jenis permainan seterusnya membina pembelajaran konstruktivisme serta pengetahuan baru terhadap pengetahuan sedia ada mereka.2.2Alat Dan BahanSelain daripada gelanggang, gundu juga adalah sebagai alat dan bahan penting yang dimainkan bersama. Gundu atau buah ialah objek berbentuk leper sebesar separuh tapak tangan yang diperbuat daripada apa sahaja, seperti pecahan pinggan, kepingan besi atau batu yang leper. Melalui penerokaan alat dan bahan, peralatan yang diimprovisasikan atau dimanipulasikan menjadi kegemaran bagi kanak-kanak untuk melakukannya. Mereka boleh diperkenalkan kepada alatan tertentu dengan cara menggalakkan mereka meninjau dan meneliti alat tersebut. Melalui penerokaan, kanak-kanak dapat mengeksperimentasi terlebih dahulu penggunaan alat dan bahan yang bersesuaian agar hasil lemparan yang dilakukan lebih mantap. Hal ini penting bagi menentukan siapa yang layak mula dahulu sebelum memulakan permainan iaitu dengan melakukan satu undian terlebih dahulu. Masing-masing akan berdiri bahu-membahu membelakangi garisan yang dilakukan. Kemudian masing-masing melempar buah secara membelakang, sejauh yang mungkin dan siapa yang jauh balingannya akan mendapat hak bermain yang pertama. Situasi ini dapat menggalakkan semangat mereka untuk bersatu tenaga memenangi sesuatu permainan seterusnya semangat ingin mencapai kejayaan tertanam di dalam jiwa mereka. Sewaktu bermain, mereka dapat berhubung dengan rakan sebaya dan secara tidak langsung melatih mereka bergaul. Perbualan spontan antara mereka juga dapat meningkatkan perbendaharaan kata.Setiap pemain perlu ada gundu ini. Gundu ini adalah sebagai tanda bagi para pemain untuk mengerakkan kedudukan mereka di petak-petak gelangang. Oleh itu, pembelajaran secara aktif dan interaksi sosial dapat digalakkan dalam persekitaran yang selamat dan kondusif di mana pembelajaran dicapai melalui aktiviti meneroka, bereksperimen dan mengolah objek atau bahan.2.3Idea Dan Isi Kandungan Dalam permainan ini, kanak-kanak digalakkan untuk meneroka idea dan isi kandungan yang terdapat di dalam pergerakan seperti kemahiran melompat, mengimbang dan mendarat. Antara pergerakan yang dilakukan adalah mencampak buah ke petak tangga pertama, kemudian melompat terus ke petak tangga ke-2 dengan sebelah kaki. Kemudian pemain tidak boleh menukar kaki (kiri atau kanan) apabila sudah memulakan lompatan. Kemahiran imbangan serta kemahiran lain sangat penting dalam mennyertai permainan ini. Apabila kanak-kanak telah mencapai tahap kecekapan tertentu, mereka perlulah pula memberi perhatian kepada lakuan imbangan, bentuk, cara bergerak dan cara menyokong beban anggota yang jauh lebih mencabar.

Foto 2: kanak-kanak menggabungjalinkan kemahiran melompat dan imbangan dalam permainanKanak-kanak juga harus digalakkan supaya memberi perhatian terhadap kualiti pergerakan mereka semasa menjalani pola-pola pergerakan dan mengadunkannya ke dalam suatu bentuk urutan dengan sempurna. Tema-tema yang paling sesuai seperti melompat, mendarat, membongkok, melentur, memusing dan mengayun bertujuan untuk membina tubuh yang mantap, kesedaran ruang dan kesedaran kinestetik ketika berada di atas sesuatu peralatan. Disamping permainan tradisional bukan sahaja memberi hiburan, malah manfaat terhadap kecerdasan rohani dan jasmani sewaktu bermain, terutama di luar rumah. Keadaan ini berlaku kerana pemainnya menggunakan pergerakan otot, seperti lengan, kaki, dan mata.

3.0PENGALAMANSetiap kanak-kanak akan menimba pengalaman dari apa yang dilakukan oleh dirinya. Alam belajar akan memperkembangkan mental dan pengalaman kanak-kanak khususnya pembelajaran melalui aktiviti bermain. Menurut Frost, Bowers dan Wortham (1990) bermain dapat menyumbang kepada perkembangan kanak-kanak dari aspek sosial, kognitif, afektif dan motor. Malah, banyak hadis-hadis yang menerangkan tentang kepentingan bermain dalam kehidupan kanak-kanak dan menunjukkan kesesuaiannya sebagai pendekatan utama dalam perkembangan dan pembelajaran kanak-kanak (Mastura, 2009). Selain itu, ramai pelopor pendidikan awal kanak-kanak merumuskan bahawa pembelajaran yang sangat bernilai hadir ketika kanak-kanak bermain.3.1Strategi Peroleh PengalamanPermainan ini nampak mudah tetapi akan menyusul pelbagai halangan yang semakin lama semakin sukar. Dalam permainan ini, lompatan dibuat apabila berada di satu petak sebelum petak buah, pemain perlu membongkok dan mengambil buah, setelah itu satu lompatan dibuat di petak yang sebelumnya ada buah. Lompatan diteruskan hingga keluar dari gelanggang. Pada tahap ini, kanak-kanak akan diuji dengan kemahiran kardiovaskular mereka terutama pergerakan otot seterusnya mempelajari cara-cara mengendali dan mengawal anggota tubuh badan semasa dalam keadaan terkawal dalam permainan.Peraturan permainan juga membina konsep dan persepsi terhadap perlaksanaan permainan dalam kalangan kanak-kanak seterusnya membina perhubungan sosial yang baik disamping membimbing mereka dalam membuat penilaian dan bijak membuat pilihan.

Foto 3: satu lontaran ke petak semi-D dibuat secara pandang ke belakangAturan membaling buah teng-teng adalah seperti dalam turutan petak (1,2,..., dan 7). Apabila selesai membaling petak ke-7, satu lontaran ke petak semi-D (petak 8) dibuat secara pandang ke belakang. Pemain tidak boleh melihat petak semi-D sewaktu membaling buah teng-teng. Sekiranya buah jatuh dalam petak semi-D, dia akan melompat seperti biasa dan bersedia untuk mengambil buah apabila telah melompat pusing (petak 7 & 6) dan membelakangkan petak semi-D. Pemain boleh duduk di petak semi- D untuk mencapai buah dengan syarat tidak menyentuh garisan D. Dia dikira mati jika tersentuh garisan. Setelah mendapatkan buah dia perlu menghabiskan lompatan seperti biasa. Peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam permainan membantu kanak-kanak membina kefahaman dalam mematuhi peratur-peraturan dan arahan-arahan bermain secara sistematik. Hal ini seterusnya menggalakkan pelajar bermain dengan rakan-rakan sebaya mengikut peraturan dan tingkah laku yang positif seperti tidak bergaduh dan memupuk sifat tolak ansur antara satu sama lain.Kesukaran dalam permainan bukan sahaja melibatkan bentuk fizikal tetapi lebih menitik beratkan ketahanan nilai kognitif setiap pelajar seperti pemahaman tentang peraturan, tanggungjawab peranan masing-masing, pilihan dan strategi. Justeru, main memberi peluang kepada kanak-kanak membina konsep kendiri yang positif, keyakinan diri serta melahirkan sentimen dan menstabilkan emosi. Aktiviti seperti ini sedikit sebanyak memberi latihan kepada kanak-kanak untuk menguasai pengetahuan dari persekitaran serta membantu perkembangan kemahiran bersosialisasi. Mereka belajar bekerjasama untuk mencapai matlamat kumpulan.

3.2Pengalaman Secara LangsungMelalui pengalaman langsung, kanak-kanak diberikan peluang untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran dengan memerhati secara lansung objek atau fenomena yang ingin dikaji. Berdasarkan aktiviti seperti ini dapat membantu kanak-kanak membentuk pemahaman terhadap apa-apa yang dipelajari. Pengalaman langsung dalam konteks yang sebenarnya amat diperlukan supaya dapat mengubah tanggapan atau andaian yang salah tentang sesuatu disamping dapat membina pembelajaran konstruktivisme terhadap pengetahuan sedia ada mereka. Kanak-kanak dapat menemukan dan meneroka serta mengalaminya sendiri dan bukannya melalui pembacaan, pendengaran atau maklumat dari orang lain.Permainan ketingting yang tergolong dalam permainan luar rumah yang sesuai untuk perkembangan rohani dan jasmani seorang kanak-kanak. Ciri-ciri permainan ketingting yang menggunakan gerakan otot mampu melahirkan badan yang sihat dan otak yang cerdas. Pada peringkat awal iaitu pengalaman kemahiran permainan tak varian, kanak-kanak akan cuba untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai kemahiran terutamanya kemahiran motor dan kognitif mereka. Hal ini dapat dilihat melalui aktiviti membuat balingan secara kebelakang yang mana memberi peluang kepada mereka meramal serta mengawal balingan secara tepat terhadap sasaran yang hendak dilakukan. Kanak-kanak juga dapat memperkembangkan kebolehan kognitif seperti mengenal pasti, mengkategori, membuat urutan, memerhati, membezakan, meramal, membuat rumusan, dan membuat perbandingan terhadap setiap langkah permainan yang perlu dilakukan sehingga berjaya. Dalam permainan teng-teng, setiap pemain perlu mengimbangi badan mereka semasa melompat menggunakan sebelah kaki. Ini bukan sahaja memerlukan ketahanan yang kuat malah memerlukan kesabaran yang tinggi. Tanpa kesabaran yang tinggi dan bertindak dengan terburu-buru mungkin para pemain akan cepat hilang giliran atau mati. Ini sekali gus dapat menyemai sifat sabar dalam diri kanak-kanak tersebut. Seterusnya, kanak-kanak akan melalui pengalaman kemahiran permainan dinamik yang mana mereka sudah memperolehi kemahiran yang membolehkan mereka bermain dengan cekap seterusnya menguji kemahiran tersebut secara langsung ketika permainan dijalankan. Secara tidak langsung, sifat keyakinan diri dapat disemai di jiwa kanak-kanak supaya mereka percaya akan kemampuan diri. Mengawal gerakan badan dan mematuhi peraturan yang diamalkan di dalam permainan ketingting ini boleh mendidik seseorang kanak-kanak mendisiplinkan diri apabila berada di rumah dan juga tempat-tempat awam. Selain itu, kanak-kanak juga sedar akankemampuan diri sendiri terutamanya kemaghiran dalam menguasai kawalan motor halus dan motor kasar melalui bermain. Kemahiran motor kasar yang dapat dikembangkan melalui aktiviti seperti melompat, mengangkat, membaling, meramal dan menyambut bola. Hal ini seterusnya memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang fungsi badan sendiri serta kemampuan menguasai kegunaan ruang dan tujuan yang hendak dicapai sepanjang aktiviti permainan dijalankan.Manakala peringkat kemuncak ialah pengalaman bermain permainan iaitu kanak-kanak berpeluang dapat mewujudkan perasaan tenang dan menghiburkan hati serta meluahkan idea, perasaan dan emosi melalui interaksi sosial sepanjang penglibatan secara aktif dalam permainan tersebut. Kanak-kanak turut dapat belajar berinteraksi dengan orang lain secara positif, mengajak kanak-kanak keluar daripada pola egosentrik seterusnya mendidik mereka mengambil kira pandangan rakan disamping menghormati hak orang lain serta dapat mewujudkan nilai sabar dan bertolak ansur antara satu sama lain. Mereka dapat belajar untuk menangguh kehendak semerta diri (delayed gratification) untuk mencapai matlamat jangka panjang. Dengan itu main memberi peluang kepada kanak-kanak membina konsep kendiri yang positif, keyakinan diri serta melahirkan sentimen dan menstabilkan emosi.Persaingan memonopoli rumah dalam permainan ketingting merupakan satu budaya yang sihat. Sikap bersaing ini akan melatih kanak-kanak agar sentiasa gigih berusaha untuk mencapai keinginan atau matlamat mereka dengan cara yang adil dan betul. Di samping itu, permainan ketingting juga melahirkan interaksi sosial di kalangan kanak-kanak yang berasal dari pelbagai budaya dan keturunan yang berbeza. Secara tidak langsung, interaksi ni mengeratkan perpaduan kaum di kalangan masyarakat majmuk di negara kita.

4.0EKSPRESIPembelajaran perlu merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Menurut Ewell (1997) maklum balas serta pembelajaran berkesan berlaku jika pelajar berada dalam persekitaran yang menyeronokkan, iaitu interaksi peribadi dan sokongan padu daripada guru secara peribadi. Persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan merangkumi konteks budaya dan interpersonal menyediakan banyak peluang interaksi sosial dan pembelajaran. Penggunaan pendekatan belajar melalui bermain boleh membantu meningkatkan motivasi instrinsik kanak-kanak ke peringkat yang lebih tinggi dalam setiap perkembangannya (Rubin, Fein & Vandenburg, 1983). Menurut Isenberg dan Quisenberry (2002), aktiviti bermain yang disediakan untuk kanak-kanak dapat menyokong peningkatan motivasi instrinsik hasil daripada emosi positif yang hadir ketika bermain. Emosi yang positif, seperti rasa ingin tahu dan rasa seronok secara umumnya dapat meningkatkan prestasi pembelajaran kanak-kanak melalui aktiviti bermain yang disediakan oleh guru.Belajar melalui bermain adalah satu teknik pengajaran dan pembelajaran yang berkesan kepada kanak-kanak. Melalui teknik ini juga akan mendatangkan keseronokkan dan kepuasan kepada mereka dalam sesuatu pengajaran yang hendak disampaikan. Main adalah sebagai penentu penting bagi perkembagan kekuatan sahsiah, daya cipta, kestabilan emosi, perkembangan sosial dan intelek di samping dapat memperkembangkan kekuatan fizikal, koordinasi dan ketangkasan seseorang murid. Selain itu bermain adalah satu bentuk kesenian kanak-kanak. Ia merupakan saluran untuk melahirkan perasaan dan punca untuk mendapatkan kegembiraan dan keseronokan. Almy (1984, Fagen) menyatakan kanak-kanak bermain dengan di arah oleh diri mereka sendiri tanpa mengambil kira tujuan bermain. Hal ini menjelaskan bahawa kanak-kanak bermain hanya sekadar memenuhi keperluan kehendak diri masing-masing.

5.0KESIMPULANAktiviti bermain merupakan teknik yang mudah untuk aplikasikan kepada kanak-kanak tanpa perlu dipaksa dan diajar secara rumit. Hal ini kerana apabila kanak-kanak bermain, mereka sebenarnya diberi peluang menggunakan dan mengasah kreativiti sedia ada yang dimiliki untuk menyelesaikan masalah sama ada secara individu mahu pun berkumpulan. Dalam hal ini, pendidik perlu memainkan peranan penting dalam membina dan menggalakkan motivasi intrinsik kanak-kanak. Sebagai seorang guru, mereka perlu peka dan bertindak balas terhadap keperluan setiap kanak-kanak yang berada di dalam kelasnya. Oleh itu, guru perlu komited untuk memastikan pendekatan belajar sambil bermain dapat dilaksanakan dengan cekap, berkesan untuk melahirkan modal insan yang menguasai ilmu, berkemahiran tinggi dan mempunyai daya saing yang tinggi. Peranan kita sebagai guru perlu diperhebat dengan memberi ruang atau stimulus kepada kanak-kanak supaya dapat bermain disamping menyediakan bahan dan material kepada kanak-kanak untuk membentuk pengetahuan khususnya permainan tradisional seperti ting-ting kapal terbang yang turut dapat menyemai nilai-nilai murni serta dapat melatih jati diri mereka. Hal ini kerana bermain bukan sahaja dapat mengasah kemahiran dan pengetahuan kanak-kanak malah ia merupakan satu medium yang mampu meningkatkan motivasi kanak-kanak secara semula jadi. Permainan tradisional telah berupaya membentuk sebahagian daripada kehidupan yang dilalui oleh nenek moyang kita. Asas penting yang menjamin kesinambungan permainan tradisional pada masa lalu ialah keseragaman cara hidup nenek moyang kita. Di samping itu, melalui permainan tradisional juga boleh, masyarakat dapat menyemai nilai-nilai murni serta dapat melatih jati diri mereka.