1-esei 2016

Upload: abdullah-abdullah

Post on 17-Feb-2018

242 views

Category:

Documents


1 download

TRANSCRIPT

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    1/20

    1

    SIJIL TINGGI PERSEKOLAHAN MALAYSIA

    2016

    KESUSASTERAAN MELAYU KOMUNIKATIF 4

    922/4

    __________________________________________________

    KAJIAN ASPEK BUDAYA

    DALAM NOVEL

    RANJAU SEPANJANG JALAN

    KARYA

    SHAHNON AHMAD

    _______________________________________

    KERJA KURSUS: ESEI CONTOH 1

    _______________________________________

    MAJLIS PEPERIKSAAN MALAYSIA

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    2/20

    2

    1.0 PENGENALAN

    Dalam kajian ini dibincangkan mengenai aspek budaya yang terdapat dalam novel

    yang telah dipilih, iaitu Novel Ranjau Sepanjang Jalan (2006) karya Shahnon

    Ahmad.

    Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu sebelum tahun-tahun 1920-an,

    sebenarnya kita tidak mempunyai tradisi genre novel dalam pengertian novel hari ini.

    Walau bagaimanapun, kita telah mempunyai tradisi bercerita, lisan atau tulisan yang

    berkembang dalam kalangan masyarakat tradisi. Kita kenal cerita tradisi yang

    berbentuk hikayat dari berbagai sumber. Dari kesusasteraan Melayu kita kenal

    Hikayat Hang Tuah, Hikayat Malim Deman , dan lain-lain lagi. Tidak dapat dinafikan

    bahawa karya-karya berbentuk hikayat tersebut sebenarnya memang telah ada

    memancarkan ciri-ciri sebuah novel seperti yang kita fahami kini. Karya-karya ini

    juga telah mencerminkan keadaan dan permasalahan sesebuah masyarakat dari segi

    sosiobudaya, sosioekonomi dan juga sosiopolitiknya ; memancarkan perjalanan dan

    perjuangan hidup watak wira dan wirawati dengan pengucapan bahasa yang relatif

    menarik. (Ramli Isin,1988:2)

    Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1998:934), novel didefinisikan sebagai

    cerita dalam bentuk prosa, biasanya panjang dan kompleks, serta berkaitan dengan

    pengalaman manusia dan kelakuan sosial.

    Dalam pengertian mahupun ukuran yang luas, novel adalah cerita rekaan

    berbentuk prosa. Ukuran yang luas di sini dimaksudkan bahawa ceritanya mempunyai

    plot atau alur yang kompleks, watak yang ramai, tema dan persoalan yang pelbagai,

    suasana dan latar cerita yang beragam. (Ramli Isin, 1988:5)

    Berdasarkan tajuk kajian, dengan ini diperjelaskan lagi erti kata budaya bagi

    memudahkan kefahaman dalam meneliti kajian ini. Perkataan budaya berasal daripada

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    3/20

    3

    kata Sanskrit iaitu budayyah yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi .

    Perkataan ini membawa maksud budi pekerti atau akal (Mohd Rashid Md.

    Idris,2014). Manakala jika diteliti secara umum budaya ditakrifkan sebagai suatu

    amalan yang dibawa atau dikerjakan oleh sekumpulan manusia. Budaya kebiasaannya

    akan dianggap mempunyai hubungan yang erat dengan kehidupan masyarakat. Setiap

    perlakuan masyarakat dikaitkan hubungannya dengan kehidupan yang dimiliki oleh

    masyarakat itu sendiri. Selain itu, budaya juga dikatakan merangkumi keseluruhan

    norma masyarakat termasuklah nilai, ilmu pengetahuan, keagamaan, struktur-struktur

    kemasyarakatan, serta ciri-ciri khas yang membentuk sesebuah masyarakat.

    Dalam pada itu, kajian ini hanya memfokuskan aspek budaya yang terdapat

    dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan . Setiap novel mempunyai penulis tersendiri

    yang juga mempunyai gaya penulisan dan gaya persembahan ceritanya tersendiri.

    Sasterawan Shahnon Ahmad tidak perlu lagi diperkenalkan di dalam dunia sastera.

    Hasil nukilan yang diluahkan melalui mata penanya memberikan banyak pengajaran

    dan kiasan di dalam memartabatkan isu-isu kemasyarakatan. Antara novel yang

    pernah beliau hasilkan adalah seperti Rentong, Seluang Menodak Baung, Patriach,

    Srengenge, Kemelut, Tunggul-tunggul Gerimis, Detik-detik Diri di Daerah Daif dan

    banyak lagi. Kebanyakan hasil karya yang dihasilkan oleh beliau banyak mengangkat

    isu-isu kemiskinan di dalam masyarakat dan ini termasuklah di dalam novelnya yang

    bertajuk Ranjau Sepanjang Jalan . Novel ini mempunyai 341 halaman bercetak

    terbitan Alaf 21 pada 2006 dan ini merupakan terbitan kedua setelah Utusan

    Publication menerbitkan novel tersebut pada tahun 1997. Novel Ranjau Sepanjang

    Jalan mempunyai 24 bab yang menceritakan tentang kemiskinan dan perjuangan

    keluarga petani sawah di Kampung Bnaggul Derdap, Sik Kedah.

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    4/20

    4

    Maka dengan itu, kajian yang dijalankan ini meneliti aspek budaya yang

    terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan. Hal ini demikian kerana aspek budaya

    yang dipaparkan oleh pengarang dalam karyanya merupakan suatu cara pengarang itu

    tersendiri bagi melukiskan realiti hidup masyarakat seterusnya memberikan impak

    kefahaman dan penghayatan yang lebih berkesan untuk disampaikan kepada

    khalayak.

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    5/20

    5

    2.0 OBJEKTIF KAJIAN

    Setiap kajian yang dijalankan mempunyai objektif atau matlamatnya yang tersendiri.

    Begitu juga dengan kajian ini yang berkaitan aspek budaya yang terdapat dalam

    novel. Antara objektif bagi kajian ini adalah seperti berikut :

    1. Untuk mengenalpasti aspek-aspek budaya yang terdapat dalam novel yang

    telah dipilih, iaitu novel Ranjau Sepanjang Jalan (2006) karya Shahnon

    Ahmad.

    2. Untuk menganalisis aspek budaya masyarakat yang dipaparkan dalam novel

    Ranjau Sepanjang Jalan .

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    6/20

    6

    3.0 KAEDAH KAJIAN

    Kaedah kajian juga disebut sebagai metodologi kajian yang digunakan bagi

    menjalankan sesuatu kajian atau penyelidikan. Kajian iniadalah kajian kualitatif.

    Kajian kualitatif merupakan satu kajian yang berasas dan mempunyai tujuan. Oleh

    sebab itu, kajian ini mempunyai skop berfokus.

    Bahan-bahan kajian ini diperoleh daripada sumber yang mempunyai autoriti

    untuk menjamin kualiti dan mengekalkan kesahihan kajian yang bersandarkan kepada

    kajian ilmiah, bukannya teori kosong dari individu yang tidak dikenali. Kajian ini

    perlu memungut data dalam penghasilan kajiannya. Kajian yang dilakukan adalah

    dengan menggunakan kaedah seperti berikut :

    3.1 Kaedah Kepustakaan

    Kaedah kepustakaan adalah satu kaedah yang mencari sumber-sumber rujukan

    melalui buku-buku, jurnal, tesis, laman web, dan sebagainya. Segala

    perbincangan atau sumber-sumber yang diperoleh adalah berdasarkan bahan-

    bahan rujukan yang tertentu. Sumber yang digunakan melalui kaedah

    kepustakaan dalam kajian ini ialah:

    (a) Perpustakaan

    Kajian ini telah mendapatkan bahan-bahan kajian daripada Perpustakaan

    Utama Universiti Malaya, Perpustakaan Zaba Universiti Malaya dan juga

    Perpustakaan Akademi Pengajian Melayu untuk kelancaran proses

    menyiapkan kajian ini. Antara bahan rujukan yang digunakan termasuklah

    novel-novel yang telah dipilih untuk kajian ini, jurnal kajian-kajian lepas,

    buku berkaitan budaya dan kebudayaan, novel Melayu, dan lain-lain lagi.

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    7/20

    7

    (b) Internet

    Kajian ini juga mendapatkan data dengan mengakses bahan-bahan atau

    maklumat melalui laman sesawang merujuk kepada laman sesawang yang

    berkaitan dengan kajian yang dijalankan, iaitu laman dan fail bersifat

    ilmiah dan boleh dipercayai. Pengaksesan internet dalam abad ke-21 ini

    amat penting dan selaras dengan aliran generasi kajian ini sebagai generasi

    Y. Hal ini demikian kerana pengaksesan internet mampu menjadi wadah

    dan sumber rujukan untuk menggapai sebanyak mungkin maklumat dan

    data berkenaan sesuatu kajian yang dijalankan.

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    8/20

    8

    4.0 DATA KAJIAN

    Novel Ranjau Sepanjang Jalan merupakan sebuah karya agung pada zaman sastera

    moden. Novel ini memaparkan isu kemiskinan dan kepayahan keluarga tani. Hal ini

    demikian kerana tema kemiskinan sebenarnya sudah sebati dengan kehidupan

    pengarang sendiri kerana keluarganya sendiri miskin, sanak saudaranya miskin, dan

    orang disekeliling beliau adalah miskin ketika itu. Maka dengan itu, novel yang

    diketengahkan pada kali ini membawa khalayak mendalami erti kasih sayang,

    kekuatan, kegigihan, ketabahan dan perjuangan di dalam sekelompok masyarakat tani

    di desa. Shahnon Ahmad melihat nilai kemiskinannya melalui konsep kesederhanaan,

    ketakwaan, kesabaran, keikhlasan, kejujuran, dan kekudusan seseorang. Hampir

    setiap karya kreatif yang dihasilkannya diperingkat awal mengandungi nilai

    kemiskinan.

    Novel Ranjau Sepanjang Jalan diperlihatkanbahawa pengarang ingin

    mengetengahkan isu kemiskinan yang berlaku di dalam sesebuah keluarga yang

    menjalankan aktiviti tani yang berlatar belakangkan kampungnya sendiri iaitu

    Kampung Banggul Derdap, Sik, Kedah.

    Dalam novel yang dikaji,pengarang membawa khalayak menghayati dan

    menginsafi keperitan hidup dalam kemiskinan golongan petani pada masa dahulu agar

    generasi sekarang sedar dan insaf betapa susah payahnya untuk mendapatkan sesuap

    nasi. Melalui novel kajian, pengarang juga berjaya mencipta satu plot yang penuh

    kreatif dengan permainan emosi seterusnya berjaya menyentak akal fikiran kelompok

    masyarakat kini dengan memaparkan kehidupan petani dahulu yang sanggup berjuang

    mencari sesuap nasi untuk kelangsungan hidup malahan perjuangan seluruh lapisan

    masyarakat setempat pada masa itu untuk terus hidup. Sebagai contoh, dalam

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    9/20

    9

    menggambarkan watak Jeha dan Lahuma serta keluarganya yang bergantung kepada

    tanaman padi, mereka terpaksa menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan.

    Plot novel Ranjau Sepanjang Jalan sangat menarik dan dibuktikan apabila

    pengarang menggambarkan keadaan padi yang sedang menanti masak dan secara tiba-

    tiba diserang oleh ketam yang banyak. Serangan ketam yang banyak itu telah

    memusnahkan sawah padi dan ditambah pula Lahuma telah menderita ditusuk duri

    pada kakinya oleh duri nibung hingga menyebabkan kakinya bernanah busuk.

    Keadaan tersebut menyebabkan Lahuma tidak mampu lagi untuk mengerjakan sawah

    untuk menyara keluarganya. Hal ini demikian menyebabkan isterinya Jeha terpaksa

    menjadi pengganti kepada Lahuma untuk menyara keluarga. Cukup signifikan jalan

    cerita yang diolah oleh Shahnon Ahmad sehingga cerita yang disampaikan dapat

    menyentuh hati pembaca.

    Shahnon Ahmad merupakan seorang pengarang yang jujur, berterus terang

    dan tegas serta berani menyampaikan sesuatu yang difikirkannya melampau dalam

    nada dan gaya penulisan yang tegas dan ada kalanya secara halus dan kasar. Bercerita

    dari kisah dalam diri. Menulis dari pengalaman peribadi. Beliau melihat setiap isu dari

    sudut sejagat (universal). Beliau merakam budaya dan pemerhati yang teliti dan kritis.

    Berdasarkan novel kajian, terserlah gambaran jelas tentang budaya dan pandangan

    hidup penduduk kampung asalnya yang hidup di dalam kemiskinan. Gejala-gejala

    fahaman kolot orang kampung sedikit sebanyak menyebabkan kawasan pendalaman

    khususnya kampung-kampung yang jauh terpencil itu sukar dimajukan. Selain itu,

    sikap para petani yang mudah menyerah semasa ditimpa kesusahan sangat ditekankan

    oleh pengarang supaya golongan petani sedar seterusnya membangkitkan dan

    merubah pendirian mereka (penduduk kampung) yang kolot dan jumud itu. Berikut

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    10/20

    10

    merupakan aspek budaya yang terdapat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan karya

    Shahnon Ahmad :

    4.1 Mengenang Budi

    Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat , budi didefinisikan sebagai akal,

    kebijaksanaan, pekerti, akhlak, tingkah laku, kelakuan, dan watak (2010:212). Jika

    ditafsir secara umum, mengenang budi membawa maksud mengingati sumbangan

    atau jasa yang dilakukan oleh seorang individu terhadap individu lain. Dalam novel

    Ranjau Sepanjang Jalan, nilai mengenang budi dapat dilihat dalam diri Tuk Penghulu

    Kampung Banggul Derdap. Setelah melihat kesakitan dan keuzuran yang ditanggung

    oleh Lahuma akibat tusukan duri nibung, Tuk Penghulu berasa kasihan terhadap

    keluarga Lahuma kerana musim menanam padi akan kunjung tiba tidak lama lagi.

    Tetapi petak sawah keluarga tersebut masih belum habis dibersihkan. Bagi membalas

    jasa terhadap budi yang pernah dicurahkan oleh lahuma yang mencari kerbau keweh

    Tuk Penghulu yang hilang dahulu, Tuk Penghulu telah bersetuju untuk memberi

    bantuan dengan mengarahkan orang suruhannya membersihkan petak-petak sawah

    Lahuma dengan traktor miliknya. Perkara ini dapat dilihat melalui petikan tersebut :

    Dah habis menajak? soal Tuk Penghulu. Matanya

    memandang Jehayang Nampak mempunyai minat.

    Belum lagi. Yang tajak pun batang menerung, belum

    lumat, ujar Jeha. Siapa menajak? soal penghulu.

    Sejak Lahuma merekot, sayalah bersama anak-anak.

    Tuk Penghulu menggeleng. Biar aku hantar traktor ke

    sawah kau selama dua tiga hari. Semuanya tentu

    habis. Tuk Penghulu memberi cadangannya.

    ( Ranjau Sepanjang Jalan :152)

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    11/20

    11

    Petikan tersebut membuktikan betapa masyarakat pada ketika itu

    mementingkan nilai budaya mengenang budi dalam kehidupan mereka. Pengarang

    turut memperlihatkan ada sekelompok masyarakat yang hidup dalam kemiskinan dan

    kemelaratan mencari kelangsungan hidup seperti keluarga Lahuma dan Jeha, namun

    masih memilih untuk membantu orang lain seperti penghulu yang kehilangan kerbau.

    Dengan itu, budi yang ditaburkan oleh Lahuma yang dahulunya tidak mengharapkan

    sedikit balasan pun akhirnya Tuk Penghulu berusaha membalas budi dengan

    membantu keluarga Lahuma ketika susah. Hal ini demikian menjelaskan bahawa

    pengarang ingin menyampaikan cara hidup masyarakat pada zaman karya ini

    dihasilkan yang begitu tegas dalam mengamalkan nilai mengenang budi dalam

    kehidupan seharian mereka. Walaupun yang memberi jasa tidak mengharap balasnya,

    tetapi tetap juga diberi balasan agak susah sama susah, senang sama senang.

    4.2 Kasih Sayang

    Seterusnya, dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan, pengarang menggambarkan

    masyarakat yang mengamalkan budaya kasih sayang. Budaya kasih sayang dalam

    novel kajian dapat dilihat daripada dua aspek yang berbeza iaitu kasih sayang seorang

    isteri terhadap suami dan juga kasih sayang seorang ibu terhadap anak-anaknya.

    Dalam konteks ini, watak utama yang merupakan pasangan suami isteri dalam

    novel yang dikaji menunjukkan kasih sayang yang utuh antara satu sama lain. Sebagai

    contoh, setelah kaki Lahuma menjadi semakin parah akibat tercucuk duri nibung, Jeha

    tetap setia di sisi suaminya. Jeha sanggup mencuci luka dan nanah yang berbau busuk

    dan hanyir pada kaki suaminya demi rasa kasih dan cintanya pada si suami. Walaupun

    Jeha sedar tuntutan untuk mengerjakan bendang masih belum selesai, tetapi dia tetap

    menjaga suaminya dengan sebaik mungkin. Berikut adalah contoh yang menunjukkan

    kasih sayang Jeha terhadap suaminya, Lahuma :

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    12/20

    12

    Petang itu Jeha tidak turun ke sawah. Kaki suaminya

    dicelur dan dituam lagi. Ubat ramuan dicari dan

    ditambah. Beberapa kali kain panas diusap-usap ke

    atas kaki yang bengkak itu. Lahuma terbaring sahaja

    sepanjang petang itu. Jeha menghembus-hembuskan

    kaki itu. Akhirnya Lahuma terlena. Jeha menghembus

    lagi perlahan-lahan hingga kelopak mata Lahuma

    benar-benar terkatup. Kaki bengkak yang tersidai di

    atas ribanya itu perlahan-lahan diangkat dan

    diletakkan pula diatas bantal lasam. Dengan hati-hati

    dia meninggalkan suaminya.

    ( Ranjau Sepanjang Jalan :125)

    Seterusnya, budaya kasih sayang dalam novel yang dikaji turut dipaparkan melalui

    watak Jeha sebagai ibu yang amat menyayangi anak-anaknya. Anak-anak Jeha terdiri

    daripada tujuh orang semuanya, iaitu Sanah, Milah, Jenab, Semek, Liah, Lebar, dan

    Kiah. Selepas kematian Lahuma, Jeha meneruskan kelangsungan hidup dengan

    bekerja kuat membanting tulang di sawah untuk mencari rezeki bagi menyara anak-

    anaknya. Jeha terpaksa mengenepikan kesedihan akibat daripada kematian suaminya,

    dia bertekad untuk mengerjakan sawah bagi menyara kehidupan anak-anaknya.

    Perkara ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut :

    Dan hilanglah wajah Lahuma daripada

    pandangannya. Tetapi, pandangan itu cuma pada mata

    Jeha sahaja. Lahuma berada di mana-mana, fikir

    Jeha. Lahuma menyuruhnya ke bendang esok. Sanah

    dan Milah dan anak-anak yang lain mesti diberi makan.

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    13/20

    13

    Dan makanan itu Jeha cukup faham. Hanya nasi saja

    yang menjadi bahan selama ini. Hanya bendang itulah

    satu-satunya pusaka Lahuma yang akan menyambung

    dia dan nyawa anak-anak tujuh orang itu.

    ( Ranjau Sepanjang Jalan :159)

    Berdasarkan petikan tersebut, pengarang memaparkan betapa masyarakat pada waktu

    itu mementingkan budaya berkasih sayang dalam kehidupan seharian mereka. Hal ini

    demikian kerana tanpa adanya budaya berkasih sayang antara satu dengan yang lain,

    maka sukar untuk menyatupadukan kelompok masyarakat. Kajian membuktikan

    bahawa budaya yang diamalkan masyarakat dalam novel yang dikaji benar-benar

    wujud pada waktu itu seterusnya menggambarkan realiti dalam masyarakat di

    kampung Banggul Derdap yang begitu patuh dalam budaya turun-temurun seperti

    berkasih sayang sesama manusia.

    4.3 Adat Merisik

    Kebiasaannya, masyarakat Melayu mengamalkan adat-adat tertentu dalam proses

    perkahwinan. Antara adat yang diamalkan adalah seperti adat merisik atau meminang,

    adat bertunang dan seterusnya adat bersanding. Begitu juga dalam novel Ranjau

    Sepanjang Jalan, masyarakatnya turut mengamalkan budaya merisik atau meminang.

    Situasi ini dapat dilihat ketika Lahuma dan Jeha sedang berbicara tentang anak sulung

    mereka, iaitu Sanah. Sanah dikatakan sudah meningkat dewasa dan mampu untuk

    melakukan kerja-kerja ruma dengan cekap. Sehubungan itu, sekiranya terdapat mana-

    mana pihak yang datang merisik puteri sulung mereka, Lahuma akan memberi

    keizinan sekiranya pihak tersebut daripada golongan keluarga yang baik-baik. Situasi

    ini dapat dibuktikan melalui petikan berikut :

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    14/20

    14

    Tak lama lagi datanglah risik, sungut Jeha yang masih

    berada di belakang. Sanah tu dah bertubuh

    sekarang. Lahuma tidak menyahut kata-kata Jeha.

    Anak sulungnya itu pantas membuat kerja. Kalau

    setakat padi seguni itu, dapat ditumbuknya sampai

    habis. Kalau datang risik? duga Jeha lagi.

    Lepaskan saja kalau yang datang tu boleh tahan.

    ( Ranjau Sepanjang Jalan :30)

    Berdasarkan petikan tersebut, jelas menunjukkan bahawa pengarang memperlihatkan

    amalan masyarakat terdahulu terutamanya masyarakat Melayu dalam budaya

    kehidupan mereka seperti mengamalkan adat-adat tertentu dalam waktu-waktu yang

    tertentu. Hal ini demikian akan menjadikan kelancaran dan keharmonian hidup

    mereka kerana berpegang pada adat yang telah wujud dalam masyarakat sejak sekian

    lamanya. Dengan itu, pengarang menonjolkan masyarakat kampung yang tidak

    pernah lupa pada adat mereka walau apapun situasi mereka termasukla melibatkan

    kemiskinan dan kemelaratan hidup. Masyarakat yang digambarkan pengarang dalam

    karyanya begitu menuruti adat yang hakikatnya diamalkan secara turrun temurun dari

    satu generasi ke satu generasi.

    4.4 Berpegang Kuat Pada Ajaran Agama

    Islam merupakan agama yang mengimani satu Tuhan, iaitu Allah. Ajaran Islam

    adalah berlandaskan seperti yang tercatat dalam al-Quran. Sehubungan itu, dalam

    novel yang dikaji terdapat satu pemikiran yang menunjukkan watak-watak dalam

    novel ini berpegang kuat pada ajaran agama Islam. Misalnya, Lahuma sentiasa

    menunjukkan sifat patuhnya kepada pencipta dengan cara menunaikan solat secara

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    15/20

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    16/20

    16

    4.5 Kepentingan Nilai Ilmu

    Dalam setiap hasil karya sama ada tradisional ataupun moden, nilai ilmu seringkali

    diselitkan oleh pengarang sesebuah karya. Menurut Mohd Rashid Md Idris et al.

    (2014), dalam karya tradisional Melayu terdapat gambaran menyeluruh tentang

    budaya ilmu orang Melayu.konsep nilai menurur Kamus Dewan Edisi Keempat

    (2010) adalah merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan tara, manakala ilmu pula

    dirujuk sebagai ilmu pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-

    lain. Maknanya nilai ilmu boleh diringkaskan sebagai pengetahuan yang mempunyai

    nilai dan berguna kepada penerima maklumat atau pembaca teks tersebut. Dalam

    karya-karya agung, terselit pelbagai nilai ilmu yang sesuai dengan latar karya tersebut

    dihasilkan. Dalam Ranjau Sepanjang Jalan , terdapat beberapa nilai ilmu yang

    berguna khususnya ilmu yang berkaitan dengan masyarakat Melayu. Antara nilai ilmu

    yang terdapat dalam karya tersebut ialah ilmu bercucuk tana, perdagangan, dan ilmu

    agama.

    Plot cerita dalam novel kajian memfokuskan kehidupan keluarga Lahuma

    yang menjadika bertanam padi sebagai sumber utama rezeki. Kesusahan dan

    kesungguhan masyarakat petani di Kampung Banggul Derdap, Sik Kedah

    menggambarkan betapa menyelamatkan sebutir padi daripada menjadi mangsa burung

    Tiak, ketam, dan bencana alam itu sangat susah dan perit sekali. Dalam novel yang

    dikaji, pengarang menyelitkan cara petani menanam padi. Sebagai contohnya seperti

    dalam petikan berikut :

    Lahuma meneruskan kerjanya mengasah parang. Esok

    belukar itu akan ditebas. Esoklah akan bermulanya hari

    dia menanam padi. Selepas menebas, tanah itu akan

    digembur dan dirata. Padi akan ditabur. Dan sebelum

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    17/20

    17

    menunggu semai itu cukup usianya, Lahuma anak-

    beranak akan turun ke sawah. Rumput dan menerung

    tebal terpaksa ditajak hingga tercabut perdu-perdu dan

    akarnya.

    ( Ranjau Sepanjang Jalan :11)

    Berdasarkan petikan tersebut, dapat dilihat bahawa pengarang cuba untuk

    menerangkan urutan menanam padi. Bermula dari menyediakan peralatan kemudian

    petani perlu menebas tapak untuk menanam padi sebelum merata dan menggembur

    tanah. Seterusnya, benih padi akan disemai. Sementara menunggu semaian tersebut

    cukup untuk dipindahkan, petani perlu menajak rumput dan menerung yang

    menguasai tapak menanam padi. Hal ini demikian memperlihatkan betapa masyarakat

    Melayu pada zaman karya dihasilkan sedar akan kepentingan nilai ilmu yang harus

    dihadam untuk hidup yang lebih baik. Sekiranya mereka pada waktu itu tidak

    mempunyai sebarang ilmu bercucuk tanam, maka tidak lah dapat mereka merasa

    beras atau nasi demi kelangsungan hidup mereka. Pengarang menyelitkan

    kepentingan nilai ilmu dalam karyanya bagi menggambarkan budaya hidup

    masyarakat Melayu pada waktu itu walaupun diketahui hidup dalam kemiskinan dan

    kemelaratan tetapi menyedari akan pentingnya nilai ilmu.

    Aspek-aspek budaya yang telah dinyatakan merupakan suatu factor yang

    penting dalam penghasilan sesuatu karya yang bermutu dan tinggi nilainya dalam

    pandangan khalayak seterusnya memberi manfaat kepada semua golongan

    masyarakat. Amalan budaya tersebut menggambarkan betapa masyarakat mampu

    untuk melaksanakan nilai-nilai murni dalam hidup bermasyarakat demi keamanan dan

    keharmonian hidup mereka seterusnya kekal sebagai identiti sesebuah masyarakat itu

    sendiri.

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    18/20

    18

    5.0 KESIMPULAN

    Kajian yang terperinci telah dijalankan mengenai aspek-aspek budaya yang terdapat

    dalam novel yang telah dipilih, iaitu novel Ranjau SepanjangJalan (2006). Aspek-

    aspek yang dikaji adalah berkaitan denganbudaya hidup yang diamalkan oleh

    lingkungan masyarakat dalam novel Ranjau Sepanjang Jalan.

    Hasil penelitian,pengarang menyampaikan pengajaran tentang kegigihan

    hidup kaum petani di daerah pedalaman Sik dalam karya yang dihasilkannya. Watak

    Jeha merupakan watak yang patut dicontohi oleh kaum wanita di kampung. Selain

    itu, tekskajian juga memberi pengajaran kepada pihak yang berkuasa bahawa

    kerendahan teknologi pertanian menjadi punca kemiskinan rakyat terutamanya para

    petani.Ternyata dalam novel tersebut menggambarkan hidup masyarakat berdasarkan

    realiti kehidupan yang sebenar kerana pengarang ingin menonjolkan hakikat hidup

    masyarakat Melayu di luar bandar yang dipercayai gaya hidup serta ekonominya jauh

    terkebelakang berbanding gaya hidup dan ekonomi masyarakat di kota. Hal ini

    dibuktikan dalam petikan yang berikut :

    Para novelis yang mengambil latar dan masyarakat

    desa dalam novel mereka juga tidak ketinggalan

    mempersoal tentang kesan yang timbul terhadap

    pertumbuhan serta perkembangan sosioekonomi dan

    sosiobudaya.

    (Ramli Isin,1988:56)

    Novel Ranjau Sepanjang Jalan diangkat menjadi karya agung kerana

    mempunyai nilai-nilai yang tersendiri seperti nilai budaya yang dipaparkan oleh

    pengarang bagi menonjolkan kehidupan sebenar masyarakat pada ketika karya

    dihasilkan. Selain itu, teks kajian juga mengisahkan keperitan hidup yang dialami

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    19/20

    19

    oleh keluarga petani tetapi mereka tidak mudah berputus asa dalam menghadapi

    dugaan dan kesusahan hidup. Karya tersebuttelah banyak memberi kesan budaya,

    pemikiran, pandangan, falsafah hidup dan sebagainya yang berkekalan sehingga ke

    hari ini.

    Budaya-budaya yang diamalkan oleh masyarakat yang terkandung dalam

    novel kajian adalah budaya mengenang budi, budaya berkasih sayang, adat merisik,

    taat perintah agama, dan kepentingan nilai ilmu. Hal ini demikian dipaparkan oleh

    pengarang untuk mengetengahkan perihal budaya dalam masyarakat Melayu

    terutamanya pada sesuatu zaman yang nyatanya majoriti masyarakatnya adalah petani

    yang hidup miskin di bumi merdeka. Walaupun terlihat begitu miskin, namun mereka

    tidak pernah lupa akan budaya yang menjadi lambang atau identiti sesebuah

    masyarakat itu sendiri khasnya masyarakat Melayu di kampung.

    Jelaslah disini bahawa novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon

    Ahmad merupakan sebuah karya novel yang sangat bermutu. Novel

    tersebutmempunyai kekuatannya tersendiri walaupun isu kemiskinan dan kemelaratan

    hidup kurang sesuai dengan zaman pembangunan Negara.Nyatanya kedudukan

    ekonomi dan gaya hidup kelompok masyarakat itu bergantung kepada kesungguhan

    dan usaha mereka sendiri untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka agar tidak

    selamanya hidup dalam kemunduran dan kemelaratan di bumi yang sudah merdeka

    ini.

    Konklusinya, kajian berkaitan aspek-aspek budaya masyarakat, khasnya

    Melayu wajar diketahui dan diperdalami kefahaman tentangnya supaya masyarakat

    kini mendapat pengetahuan berkenaan budaya, adat, sistem pentadbiran dan

    pemerintahan yang mendasari corak kehidupan dan seterusnya pemikiran masyarakat

    Melayu terdahulu.

  • 7/23/2019 1-Esei 2016

    20/20

    20

    RUJUKAN

    Amieliana Ajis. (Mei 2015). Karya Agung Melayu. http://aimiejensurah.blogspot.my/ (20

    Oktober 2015)

    Ismail Ahmad. (1984). Memahami Novel dan Cerpen . Selangor, Malaysia. : Pelanduk

    Publications (M) Sdn Bhd.

    Kamus Dewan Edisi Ketiga . (1998). Kuala Lumpur. : Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Kamus Dewan Edisi Keempat . (2010). Kuala Lumpur. : Dewan Bahasa dan Pustaka.

    Mimbar Kata. (Januari 2013). Biografi Sasterawan Negara Shahnon Ahmad.

    http://mimbarkata.blogspot.my/2013/01/shanon-bin-ahmad-haji-datuk-

    pejuang.html (20 Oktober 2015)

    Norazit Selat, Hashim Awang & Nor Hisham Osman. (ed.). (1997). Meniti Zaman :

    Masyarakat Melayu Antara Tradisi Dan Moden . Kuala Lumpur : Akademi

    Pengajian Melayu. Universiti Malaya.

    Ramli Isin. (1988). Kursus Sastera Fajar Bakti : Berkenalan Dengan Novel . Selangor,

    Malaysia. : Penerbit Fajar Bakti.

    Shahnon Ahmad. (2006). Ranjau Sepanjang Jalan . Kuala Lumpur : Alaf Dua Puluh Satu

    Sendirian Berhad.

    Wan Abdul Kadir. (1993). Beberapa Aspek Masyarakat Dan Budaya Melayu . Kota Bharu &

    Petaling Jaya : Masfami Enterprise.