penerimaan dan penyampaian maklumat oleh media dari perspektif islam [mist09]
TRANSCRIPT
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
1
Penerimaan dan penyampaian maklumat oleh media
dari perspektif Islam
Abdul Razak Abd Muthalib
(Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa)
&
Ezry Fahmy Bin Eddy Yusof
(Sarjana Muda Ekonomi dan Pengurusan Sains, Universiti Islam Antarabangsa)
ABSTRAK
Kesempurnaan ajaran Islam sebagai cara hidup merangkumi kesemua aspek dalam
kehidupan seharian. Ajaran Islam yang berteraskan Al-Quran dan As-sunnah merupakan
rujukan utama dalam pensyariatan Islam. Kedua sumber utama ini mengajar umat
manusia dalam menjalani hidup bermasyarakat. Adapun kehidupan bermasyarakat tidak
lekang daripada isu, gosip hinggakan adu domba antara manusia. Maklumat-maklumat
yang bersangkutan dengan kehormatan orang lain menjadi komoditi perdagangan oleh
media massa untuk meraup keuntungan dunia. Media pula selaku medium yang
menerima dan menyampaikan maklumat seharusnya dibatasi dengan disiplin ilmu yang
kukuh agar maklumat yang tersebar adalah adil dan telus. Kertas kerja ini bercadang
untuk menelusuri kaedah penerimaan dan penyampaian maklumat oleh media dari
perspektif Islam melalui neraca Al-Quran dan As-Sunnah yang boleh dimanfaatkan oleh
media massa dalam usaha untuk menerima dan menyebarkan apa jua jenis maklumat agar
ianya selari dengan ajaran Islam.
Kata Kunci: Media, maklumat, Islam, Al-Quran, As-sunnah
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
2
Pendahuluan
Interaksi antara masyarakat dalam era globalisasi kini melibatkan gajet dan
teknologi, kecanggihan gajet dan teknologi ini ditambah pula dengan peranan media
massa yang mampu menyampaikan maklumat dengan tuntas. Kemampuan maklumat
untuk tersebar luas dengan kelajuan yang tidak terjangkau dengan pemikiran
menyebabkan ianya menjadi senjata yang boleh digunakan untuk jatuh naik sesuatu
masyarakat. Justeru, media massa bertanggungjawab dalam membawa mesej-mesej
pembangunan dalam usaha mencapai matlamat mewujudkan masyarakat bermoral.
Kedatangan Islam dalam masyarakat jahiliyah dahulu mendidik umatnya dengan
moral yang tinggi. Ajaran Islam tidak memberi ruang kepada segala kelakuan buruk yang
mampu memecah belahkan masyarakat. Malah kewujudan teknologi dan gajet baru kini
juga tertakluk kepada disiplin ajaran Islam yang telah ditetapkan 1400 tahun dahulu
dengan kehadiran wahyu yang menjadi kayu ukur atas setiap perbuatan manusia. Dengan
garis panduan perhubungan sesama manusia yang jelas dalam ajaran Islam, maka setiap
pintu yang mengundang keburukan telahpun dapat dikenal pasti dan diambil kira. Cuma
kefahaman dan keseriusan manusia dalam mengikut garis panduan wahyu itu yang akan
mendatangkan keberkesanan mewujudkan masyarakat bermoral tinggi.
Jika ditanya adakah mungkin untuk mewujudkan masyarakat yang ideal,
jawapannya telahpun tercatat dalam sejarah apabila masyarakat yang dipimpin oleh
Rasulullah diiktiraf al-Quran dan hadis sebagai generasi yang terbaik. Oleh itu untuk
mengembalikan kecemerlangan umat Islam masa kini, tidak ada jawapan lain yang lebih
praktikal daripada mempraktikkan saranan al-Quran dan al-Sunnah dalam kehidupan
seharian.
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
3
Metodologi berinteraksi melalui al-Quran dan al-Sunnah
Kehebatan Islam berada di puncak disebabkan umat Islam ketika itu menjaga
metodologi berinteraksi sesama manusia yang diajarkan oleh Allah dan Rasulullah.
Tetapi apabila metodologi berinteraksi ini semakin tempang, maka tempanglah juga umat
Islam. Metodologi berinteraksi sesama manusia ini berdiri atas landasan ilmu, tamadun
Islam yang pernah suatu ketika dahulu menguasai sepertiga dunia buat beberapa kurun
meletakkan kepesatan pembangunan budaya ilmu sebagai matlamat demi kebaikan umat
sejagat. Ilmu dan maklumat dipelihara dengan sikap amanah dan disampaikan pula
dengan berkaedah dalam majlis-majlis, madrasah, pondok-pondok, perpustakaan,
musholla dan ke pelbagai ceruk dunia. Pengawalan sistem penerimaan dan penyampaian
ilmu ini harus dicontohi media massa kini dalam membentuk mesej-mesej yang
mengarah ke pembangunan yang mampu mendidik masyarakat. Dengan metodologi yang
betul dan tepat mengikut kaedah yang diajarkan oleh al-Quran dan al-Sunnah, tidak
mustahil media massa boleh diguna pakai sebagai senjata dan kuasa yang mampu
membentuk corak kehidupan dan pemikiran rakyat yang Islamik.
Dukacitanya apabila garis panduan yang media massa turuti kini lebih menjurus
kepada mengimitasi kebebasan yang dilaungkan pihak Barat. Atas sebab itu media selalu
dipersalahkan sebagai punca masyarakat turut berhadapan dengan krisis nilai dan etika
yang parah, manakala ada yang berhujah ianya adalah kebebasan bersuara, kebebasan
media dan sebagainya. Media massa kini lebih cenderung disalah gunakan oleh pihak-
pihak tertentu untuk menjana keuntungan yang bersifat duniawi. Maka solusi yang boleh
ditawarkan hanyalah melalui contoh garis panduan yang boleh difahami daripada al-
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
4
Quran dan al-Sunnah dengan mengekstrak beberapa perkara penting untuk dijadikan
panduan dalam penerimaan dan penyampaian maklumat oleh media.
Garis panduan al-Quran dan al-Sunnah dalam menilai fakta
Islam telah terlebih dulu menetapkan metodologi asas dalam berinteraksi dengan
maklumat. Ianya melibatkan beberapa aspek seperti penapisan akal oleh individu
sehinggalah kepada perlaksanaan proses penyampaian. Ini adalah antara bukti Islam
mengiktiraf daya intelektual manusia yang mampu diguna pakai dalam mencerna
maklumat dan ilmu yang diterimanya sebelum menyampaikannya kepada orang lain.
Antaranya dapat kita lihat dalam firman Allah SWT iaitu:
”Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq
membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenaranya,
supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak
diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu
menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-Hujurat, 49: 6)
Bertitik tolak dari ayat ini, Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah menjadikan konsep al-
tathabbut (mencari kepastian tentang sesuatu perkara) sebagai asas utama dalam menilai
sesuatu maklumat atau pun dalam menghukum orang lain. Hal ini bertujuan agar kita
tidak melakukan tokok tambah di dalam urusan agama; dan agar kita tidak menghukum
orang lain secara zalim, tanpa bersandarkan fakta yang benar.Al-Imam al-Tabari ketika
menafsirkan ayat ini berkata:
“Apabila datang kepada kamu orang fasiq dengan sesuatu berita maka
hendaklah kamu selidiki kesahihannya, pastikannya dan jangan tergesa-gesa
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
5
dalam menerimanya. Ini agar kamu tidak menuduh sesuatu kesalahan ke atas
golongan yang tidak bersalah disebabkan kejahilan kamu.”
Selain daripada itu, firman Allah SWT yang lain bermaksud:
”Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan, kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu
mengintip (mencari-cari kesalahan), dan janganlah setengah kamu
mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka
memakan daging saudaranya yang telah mati? Sudah tentu kamu
membencinya. Bertaqwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha
Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat, 49:12)
Dari ayat ini pula al-Quran mengajarkan bahawa, adalah menjadi kesalahan jika kita
membuat hukuman berdasarkan sangkaan semata-mata. Oleh itu, untuk mengelakkan kita
terjatuh di dalam kesalahan ini, maka konsep al-tathabbut merupakan langkah pertama
yang mesti dilaksanakan.
Dalam hal ehwal yang melibatkan ajaran Islam untuk paparan media, metod
penerimaan dan penyampainan diberi amaran oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang
bermaksud:
”Wahai orang-orang yang beriman Janganlah kamu mendahului (melakukan
sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran daripada) Allah
dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah
Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Hujurat, 49:1)
Berdasarkan firman Allah SWT ini Al-Imam al-Suyuti berkata:
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
6
“Ketahuilah, semoga Allah merahmati kamu, barangsiapa yang membantah
hadis Nabi SAW samada perkataan atau perbuatan baginda dengan syarat-
syaratnya yang diketahui dalam ilmu usul, sebagai hujah maka dia menjadi
kafir. Dia terkeluar dari daerah Islam dan dihimpunkan bersama Yahudi dan
Kristian, atau bersama sesiapa yang Allah mahu daripada puak-puak kafir”
Metodologi yang sungguh bersistematik ini juga diaplikasi dalam ilmu hadis yang
mengambil kira keseluruhan aspek baik keadaan diri penyampai, penerima dan juga isi
maklumat yang dituturkan. Media sebagai penyebar maklumat perlu mengambil kira
banyak aspek sebelum ke fasa terakhir iaitu menyiarkan atau mempersembahkan
maklumat yang diterima. Maka tidak hairanlah jika Abdullah ibn Mubarak rahimahullah
berkata bahawa isnad itu sebahagian dari agama. Tanpanya siapa sahaja akan mengatakan
apa yang dia mahu kata. Ringkasnya isnad bermaksud rangkaian para perawi atau
penyampai hadis (periwayat hadis) yang menghubungkan kepada matan (isi kandungan
hadis).
Ulamak hadis lebih berhati-hati dalam menilai setiap individu yang meriwayatkan
hadis itu dan membahagikan mereka kepada bermacam kategori. Muhammad bin Sirin
rahimahullah berkata:
“(Dahulunya) mereka tidak pernah bertanya tentang isnad. Akan tetapi
setelah munculnya fitnah (pembunuhan khalifah Uthman bin Affan), maka
mereka berkata 'sebutkanlah para rijalmu (pembawa beritamu)'. Setelah itu
dilihat; apabila mereka termasuk dari Ahl al-Sunah, maka diambil
hadisnya; dan bila dari ahli bid'ah, maka tidak diambil hadisnya.”
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
7
Islam menjadikan al-Quran dan al-Sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam
sebagai dua rujukan utamanya. Sekiranya ketiadaan ilmu berkaitan isnad ini, sudah pasti
kebanyakkan sumber agama kita hari ini tidak dapat dirujuk kepada sumber asalnya
secara pasti dan kredibiliti setiap ajaran itu akan terbuka kepada keraguan. Para ulamak
hadis zaman dahulu mempunyai catatan lengkap butir-butir setiap nama individu yang
berada di dalam rantaian sanad hadis baik latar belakang mereka, tarikh lahir dan tarikh
wafat, perihal keluar masuk mereka ke suatu bandar dan paling utama kredibiliti mereka.
Antara kisah yang boleh dijadikan contoh adalah:
Diriwayatkan dari ‘Ufair bin Ma’dan, bahwa Umar bin Musa
memberitakan hadis dari Khalid bin Ma’dan. Maka ‘Ufair bertanya
(kepada Umar bin Musa): “Tahun berapa engkau bertemu dengannya?”
Dia menjawab: “Tahun 158 H, pada peperangan Armenia.”Aku ('Ufair bin
Ma'dan) pun berkata: “Takutlah kamu kepada Allah, wahai syaikh, jangan
engkau berdusta. Khalid telah meninggal pada tahun 154 H, ditambah lagi
bahwa beliau tidak pernah hadir dalam perang Armenia”.
Kisah di atas adalah sebahagian dari kisah-kisah ketelitian generasi Islam
terdahulu dalam menjaga khazanah sumber agama ini. Di dalam hadis lain, Nabi SAW
juga melarang kita untuk menyampaikan semua cerita yang kita dengar tanpa diselidiki
terlebih dahulu. Bahkan, perbuatan seperti ini termasuk sebahagian daripada pendustaaan.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Cukuplah seseorang itu berdusta dengan dia menceritakan setiap apa
yang dia dengar.” (Riwayat Imam Muslim dalam mukaddimahnya)
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
8
Pembentukan pola fikir melalui neraca al-Quran dan al-Sunnah
Seseorang individu itu mampu membentuk sesuatu organisasi yang besar, sama
halnya dengan media massa yang dikawal oleh pelbagai jenis orang di sebalik tabirnya.
Atas dasar itu, pembentukan pola fikir melalui neraca al-Quran dan al-Sunnah ini hanya
mampu mewujudkan keberkesanannya melalui kefahaman individu yang merupakan
agen penting dalam masyarakat. Antara yang perlu dilakukan oleh seseorang individu
yang terlibat secara langsung atau tidak dalam dunia media massa yang melibatkan
penerimaan dan penyampaian maklumat perlulah mempunyai pola fikir Islamik.
Hal ini perlu digaris bawahi kerana dalam era globalisasi yang mencanangkan
slogan dunia tanpa sempadan ini, dapat kita lihat semakin hari semakin ramai penulis-
penulis picisan yang disangkakan berwawasan dalam menyampaikan berita, baik penulis
blog yang meluah rasa sehinggalah para wartawan yang mencipta berita. Artikel dan
berita dihidangkan dengan aneka perhiasan menghiasi blog-blog, akhbar-akhbar tabloid
mingguan serta akhbar nasional, daripada gambar-gambar sensasi sehinggakan gambar
scan kitab-kitab para ulamak muktabar sebagai tambahan perisa untuk hidangan para
pembaca. Masing-masing memiliki motto penulisan dan penyampaian yang gah tetapi
hakikatnya sesetengahnya hanya menjurus kepada kemerosotan pola fikir umat Islam.
Tanpa adanya acuan yang benar dalam membentuk pola fikir seorang Muslim
maka tidak mustahil berita-berita atau maklumat-maklumat yang dusta akan terus
menjadi pegangan hidup si pemilik otak yang akhirnya hanya akan mengakibatkan
kebinasaan umat. Sebagai seorang Muslim seharusnya mempunyai pola fikir yang jelas
dalam menapis dan menerima setiap berita dan maklumat yang dicerna.
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
9
I. Menyemak latar belakang sumber maklumat
Antara perkara terpenting yang perlu dilakukan dalam menilai sesuatu fakta
agama ialah dengan mengenali siapakah pembawa maklumat tersebut. Mencari sumber
kebenaran adalah merupakan faktor utama dalam menilai berita yang diterima, berapa
ramai masyarakat kini yang malas mencari sumber dan mengesahkannya kerana sifat
malas yang menyelubungi mereka, akhirnya mereka ini dengan mudah terjerumus dalam
golongan yang menyebarkan fitnah.
Mereka yang beriman akan terlebih dahulu memeriksa berita yang diperolehi
kerana jika ianya berlawanan dengan kebenaran dikhuatiri kita akan berlaku zalim
terhadap sesuatu kaum atau golongan yang difitnah. Realiti masyarakat hari ini yang
kebanyakan berpendidikan tinggi tetapi menjadi buta tuli dalam mempercayai berita
dusta yang disebarkan. Hak Allah untuk menentukan seseorang itu fasik atau tidak tetapi
ia tidak bermaksud kita tidak perlu berhati-hati dengan penyebar berita dusta yang boleh
jadi mereka itu fasik tetapi bertopengkan wajah Muslim. Amaran di atas jelas dan
menyeru kita berhati-hati dalam mencerna berita agar kita tidak menyesal dengan
perbuatan kita.
Dalam sesetengah keadaan, dengan hanya mengenali latarbelakang pembawa
sesuatu berita sahaja, sudah cukup untuk kita tidak menerima maklumat daripadanya.
Antara golongan-golongan tersebut ialah:
(i) Orang fasik
Fasik sepertimana yang dinyatakan oleh al-Raghib al-Asfahani (w425H):
“Kefasikan ialah terjatuh ke dalam dosa sedikit atau banyak. Namun ianya
lebih dikenali untuk dosa-dosa yang banyak”.
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
10
Jadi orang yang fasik adalah ahli maksiat, menderhakai Allah. Kefasikan yang ada pada
seseorang akan menghapuskan sifat ketaqwaan. Jadi, seorang yang telah hilang sifat
ketaqwaan, tidak takut untuk terus berada di dalam dosa. Jika dia tergamak untuk
berterusan di dalam dosa, maka dia juga akan sanggup untuk berbohong. Sebab itulah,
jika seseorang itu telah jelas dan nyata kefasikannya berdasarkan amalan zahir yang
dapat dilihat, maka setiap khabar berita yang dibawanya perlu disemak terlebih dahulu,
lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan agama. Tindakan ini adalah sejajar dengan
perintah Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang
fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan)
kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan
perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga
menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah al-
Hujurat, 42: 6)
(ii) Golongan yang taksub
Taksub merupakan salah satu penyakit hati yang meruncing dalam masyarakat. Seorang
Muslim seharusnya bersikap adil dalam menerima dan menyampaikan sesuatu berita,
tetapi apabila penyakit taksub ini menular dalam jiwa seorang Muslim maka berita yang
diterima akan ditapis sesuai mengikut seleranya sahaja. Baik taksub kepada mazhab,
jamaah, parti-parti politik sehinggalah kepada bangsa-bangsa tertentu dan lain-lain.
Masalah taksub ini menjadi duri dalam daging, kita terlalu mementingkan label. Siapa
kita dan siapa dia? Jamaah apa kita dan jamaah apa dia? Parti apa kita dan parti apa dia?
Tetapi sayangnya kita terlupa bahawa kita juga Islam dan kita bersaudara. Taksub kita
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
11
pada labelan tertentu membutakan mata hati pada kebenaran hujah dan rasa kasih sayang
sesama Muslim. Di sinilah kesilapan kebanyakan kita. Apabila wujud penyakit taksub,
maka timbullah slogan seperti “Aku betul,Kau salah“ bersarang dalam diri.
Seringkali sikap taksub ini merosak dan membinasakan siapa saja yang
mengamalkannya. Kata Muhammad bin Salih al-‘Ali:
“Kebiasaannya taksub kepada sesuatu pandangan atau mazhab membawa
kepada sejenis sikap keras terhadap sesiapa yang menyanggahi pandangan
dan mazhabnya. Inilah yang berlaku kepada sebahagian pengikut mazhab
fiqh yang lidah mereka petah (mencerca) sesiapa yang berbeza dengan
mereka. Orang yang taksub terlindung dari penilaian secara ilmiah dan
berhati-hati dalam hukuman. Dia tidak melihat melainkan keburukan dan
kesilapan orang yang berbeza dengannya. Ini membawanya kepada sikap
keras, mengkritik dan menyakiti”.
Sikap taksub atau kecenderungan sama ada kepada mazhab, pemimpin, ustaz, tok
guru atau parti akan menjadikan seseorang itu untuk sanggup melakukan apa sahaja demi
mengangkat dan mempertahankan apa yang ditaksubkan. Sehingga ada yang sanggup
melakukan jenayah besar yang dilarang agama iaitulah pendustaan ke atas Nabi SAW
dengan mencipta hadis-hadis palsu. Sejarah lampau telah membuktikan segala-galanya.
Dr. Mustafa al-Siba’ie di dalam kitabnya “al-Sunnah wa Makanatuha fi al-
Tashri’ al-Islami” telah menyenaraikan faktor-faktor yang menyumbang kepada
berlakunya pemalsuan hadis. Antara yang disebutnya ialah sikap taksub sama ada kepada
mazhab, bangsa, bahasa, pemimpin, negeri dan sebagainya.
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
12
Maka tidak hairanlah sikap taksub telah membutakan mata dan memekakkan
telinga pengamalnya. Kebenaran yang dibentangkan di hadapan mereka ditolak begitu
sahaja. Justeru kebebasan media itu tetap mesti mengikut garis kebenaran dalam
menyampaikan maklumat.
(iii) Ahli bid’ah
Ahli bid’ah yang dimaksudkan di sini ialah bid’ah pada sudut iktikad iaitu
kepercayaannya mempunyai unsur bid’ah dan mereka pula menyeru orang ramai kepada
bid’ahnya. Sekiranya ia melibatkan bid’ah dari sudut amalan, maka tidak syak lagi yang
riwayatnya perlu ditolak. Ini kerana dia adalah orang fasik yang nyata disebabkan dia
melakukan perkara yang diharamkan syara’ iaitu perbuatan bid’ah. Ulamak hadis sepakat
menolak riwayat hadis ahli bid’ah yang menyeru kepada ajaran bid’ahnya.
Khabar yang dibawa oleh ahli bid’ah, tidak boleh diterima kecuali ianya memenuhi
syarat-syarat berikut:
a) Tidak menjadi kafir dengan bid’ahnya
b) Tidak menjadi pendakwah kepada bid’ahnya.
c) Pembawa khabar itu bersifat ‘adil dan dhabit.
d) Hadis yang diriwayatkan itu tidak berkaitan dengan bid’ahnya atau menyokong
bid’ahnya.
Justeru golongan ini juga harus diteliti maklumat dan beritanya supaya ajaran Islam
tidak ditokok tambah sewenang-wenangnya mengikut citarasa beragama. Apatah lagi jika
media dijadikan kambing hitam untuk golongan ini menyampaikan hasrat mereka.
(iv) Golongan sufi dan tareqat
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
13
Golongan sufi dan tareqat yang dimaksudkan di sini ialah mereka yang ghuluw
(melampaui batas). Adapun mereka yang menyandarkan diri mereka kepada sufi atau
tareqat yang amalan mereka bertepatan dengan al-Quran dan al-sunnah, maka mereka
tidak termasuk di dalam perbincangan ini.
Golongan sufi dan tareqat yang ghuluw (melampaui batas) juga mesti diteliti
terlebih dahulu perkhabaran mereka. Golongan ini walaupun pada awalnya mempunyai
niat yang baik iaitu ingin memfokuskan kepada aspek penyucian rohani, tetapi mereka
tidak mengambil berat soal kesahihan fakta dan dalil. Apa yang penting bagi mereka
ialah mengikut saja “tok syeikh” mereka. Setiap apa yang terbit dari mulut “tok syeikh”
mesti dituruti tanpa sebarang soalan yang menyusuli. Jika masih bertanya, tanda masih
ada penyakit hati. Mereka menjadi sangat asyik apabila diceritakan kisah-kisah wali yang
kononnya mampu melakukan begitu dan begini sehingga kadang-kadang mengalahkan
nabi.
Disebabkan mereka tidak mementingkan ketulenan fakta, maka kesahihan sanad
bukanlah menjadi perbincangan mereka. Sebab itu, terdapat hadis-hadis atau cerita-cerita
yang dijadikan hujah dan dalil oleh mereka adalah palsu. Malah, ada di antara mereka
yang sanggup mencipta hadis palsu. Kata Ibn Salah (w643H):
“Golongan yang mencipta hadis palsu itu berbagai-bagai jenis; yang
paling teruk bahayanya ialah golongan yang menisbahkan diri mereka
kepada kezuhudan. Mereka telah mencipta hadis-hadis berdasarkan apa
yang mereka sangkakan, maka orang ramai menerima hadis-hadis ciptaan
mereka kerana mempercayai mereka dan cenderung kepada mereka”.
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
14
Mereka menafsirkan hadis Nabi SAW yang mutawatir: “Sesiapa yang berdusta
ke atasku (menggunakan namaku) dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya di
dalam api neraka”; dengan berkata bahawa azab neraka yang dijanjikan ini ialah bagi
mereka yang melakukan pendustaan untuk memburukkan agama dan menyesatkan
manusia. Ada pun kami berdusta demi kebaikan Rasulullah saw dan kemaslahatan agama
yang dibawa baginda dan untuk menunjukkan jalan hidayah kepada manusia. Sebagai
contoh, Abu ‘Ismah Nuh bin Abi Maryam (w173) telah mencipta hadis-hadis yang
menyebut tentang kelebihan setiap surah-surah al-Quran. Apabila ditanya kenapa dia
melakukan demikian, maka dia menjawab:
“Sesungguhnya aku mendapati orang ramai telah lalai dari al-Quran
di sebabkan mereka sibuk dengan fiqh Abu Hanifah dan maghazi
(kitab sirah) Ibn Ishaq. Maka aku pun mencipta hadis ini”.
Oleh itu, hendaklah kita berwaspada dan menyemak semula apa yang
disampaikan oleh golongan ini.
(v) Puak Syi‘ah Imamiyah/Rafidhah
Syi‘ah adalah ahli bid‘ah. Maka penilaian setiap riwayat yang dibawa oleh mereka
adalah seperti yang telah disebutkan sebelum ini tentang ahli bid‘ah. Tetapi, melihat
kepada betapa durjana dan melampaunya puak Syi‘ah ini, maka di sini dirasakan perlu
untuk dibincangkan secara khusus tentang golongan ini. Seperti yang telah diterangkan
sebelum ini bahawa ulamak hadis sepakat menolak riwayat yang dibawa oleh ahli bid‘ah
yang menyeru kepada bid‘ahnya. Maka Syi’ah termasuk di dalam kelompok ini. Puak
syiah ini biasanya terlepas daripada dua perkataan; sama ada menjadi penyeru kepada apa
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
15
yang dianuti mereka, atau bid’ah mereka membawa kepada kekufuran. Berkata Ibn
Hibban (w354):
“Riwayat para penyeru bid’ah tidak boleh dijadikan hujah di sisi kesemua
para imam. Aku tidak dapati adanya khilaf di antara mereka dalam hal
ini”.
Syi’ah dikenali sebagai mereka yang menyatakan bahawa Ali bin Abu Thalib
lebih utama dari seluruh sahabat dan lebih berhak untuk memegang tampuk
kepemimpinan kaum Muslimin, demikian pula anak cucu sepeninggalan beliau. Adapun
Rafidhah adalah salah satu puak di dalam Syiah yang mengutamakan Ali dan
keturunannya atas segala sahabat terutamanya Abu Bakr dan Umar serta membenci dan
mencerca mereka. Beriman bahawa para imam mereka adalah maksum. Menyamakan
para imam dengan Nabi SAW, percaya kembalinya al-Mahdi yang kononnya ghaib dan
belum mati. Bagi mazhab mereka ini asas-asas tersendiri yang begitu berbeza dengan Ahl
al-Sunnah Wa al-Jamaah. Puak Rafidhah ini juga disebut sebagai Imamiyah. Abdullah
bin Ahmad bin Hanbal berkata:
“Aku telah bertanya kepada ayahku, siapa Rafidhah itu? Maka beliau
menjawab: ‘Mereka adalah orang-orang yang mencela Abu Bakr dan
‘Umar’.
Jadi Syi‘ah yang mengutamakan Ali melebihi Abu Bakr dan Umar maka dia
dipanggil rafidhi. Jika tidak, maka dia adalah syi‘i. Jika dia menambah dengan mencerca
para sahabat, maka dia adalah rafidhi yang melampau. Jika terdapat riwayat-riwayat Syi
‘ah yang diterima pakai oleh para ulamak hadis sekalipun, mereka akan menyebut dia
adalah syi’i, dan sebenarnya mereka maksudkan sikapnya yang begitu melebihkan ‘Ali
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
16
tanpa mencerca sahabah lain. Secara umumnya, para imam mengambil dan mengiktiraf
kesahihan riwayat mereka, termasuklah Imam al-Bukhari.
Pemalsuan hadis dan syiah rafidhah memang tidak dapat dipisahkan. Malah
merekalah antara kelompok terbesar yang menyumbang kepada pemalsuan hadis ini.
Oleh sebab itulah, Imam Malik bin Anas ketika ditanya mengenai golongan Rafidhah,
beliau menyebut:
“Jangan engkau bercakap dengan mereka dan jangan engkau
meriwayatkan daripada mereka kerana mereka berdusta”.
Imam al-Syafi’e juga (w204) berkata:
‘Aku tidak pernah melihat ahl al-ahwa’ satu kaum yang lebih kuat
berdusta daripada rafidhah”.
Kenapa riwayat Syi’ah Rafidhah ini perlu ditolak? Riwayat atau fakta yang
disampaikan oleh Syiah rafidhah ini perlu ditolak kerana pegangan mereka adalah sesat,
malah ada yang sampai tahap kufur, dan mereka pula menyeru orang kepada pegangan
mereka. Betulkah pegangan Syi‘ah Rafidhah sesat? Kesesatan mereka ini telah
dibongkarkan oleh para ulamak ahl al-Sunnah wa al-Jamaah. Dalam ruang yang terbatas,
ini diberikan beberapa fakta yang diambil dari kitab mereka sendiri, antaranya ialah
iktikad mereka terhadap para sahabat Nabi SAW yang diriwayatkan oleh al-Kishhyi
(imam dalam bidang al-Jarh wa al-ta’dil disisi mereka) di dalam kitabnya Rijal al-
Kisysyi,(ms 12-13) dari Abu Ja’far (Muhammad Al-Baqir) bahawa dia berkata:
“Manusia (para sahabat) sepeninggalan Nabi, adalah dalam keadaan
murtad kecuali tiga orang”. Maka aku (rawi) berkata: “Siapa tiga orang
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
17
itu?” Abu Ja’far berkata: “Al-Miqdad bin al-Aswad, Abu Dzar al-Ghifari,
dan Salman al-Farisi…” kemudian menyebutkan surat Ali Imran ayat 144.
Ahli hadis mereka, Muhammad bin Ya’qub al-Kulaini pula berkata:
“Manusia (para sahabat) sepeninggalan Nabi berada dalam keadaan
murtad kecuali tiga orang: Al-Miqdad bin al-Aswad, Abu Dzar al-Ghifari,
dan Salman al-Farisi.” (Al-Kafi, jld.8 ms. 248).
Di dalam kitab bimbingan doa mereka: Miftah al-Jinan (ms. 114), disebutkan
wirid laknat untuk Abu Bakr dan Umar: “Ya Allah, semoga selawat selalu tercurahkan
kepada Muhammad dan keluarganya, laknatlah kedua berhala Quraisy (Abu Bakr dan
Umar), syaitan dan thaghut keduanya, serta kedua puteri mereka…(yang dimaksud
dengan kedua puteri mereka adalah Ummul Mukminin ‘Aisyah dan Hafshah)”
Adapun ‘Aisyah dan para isteri Rasulullah SAW dianggap sebagai pelacur di sisi
mereka. Sebagaimana yang terdapat dalam kitab mereka Ikhtiyar Ma’rifat al-Rijal (ms.
57-60) karya Al-Thusi, dengan menukilkan (secara dusta) perkataan sahabat Abdullah
bin ‘Abbas terhadap ‘Aisyah:
“Kamu tidak lain hanyalah seorang pelacur dari sembilan pelacur yang
ditinggalkan oleh Rasulullah…”.
Oleh karena itu, Al-Imam Malik bin Anas berkata:
“Mereka itu adalah suatu kaum yang bercita-cita untuk menghapuskan
Nabi.Namun tidak mampu. Maka akhirnya mereka cela para shahabatnya,
kemudian dikatakan bahawa Nabi Muhammad adalah orang yang jahat,
kerana jika dia memang orang yang soleh, nescaya para sahabatnya adalah
orang-orang yang soleh”.
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
18
Demikianlah, pendustaan yang mampu dilakukan oleh golongan-golongan ini
adalah berbahaya dan telah pun dijelaskan oleh para ulamak untuk tujuan umat Islam
masa depan berjaga-jaga dengan golongan-golongan ini. Semestinya apa sahaja
maklumat daripada golongan ini perlu diperhalusi kerana dikhuatiri niat jahat mereka.
Sememangnya golongan ini ada yang tidak mengakui keterlibatan mereka tentang
golongan yang telah dijelaskan. Atas sebab itulah pihak media kadang-kala terlepas
pandang tentang fahaman ini yang disebarkan oleh media secara langsung atau tidak
langsung. Maka perlulah media mempunyai kefahaman tentang ajaran Islam yang
sebenar bagi mengelak mendapat maklumat dan berita daripada individu dan sumber
yang salah.
II. Mengkaji isi kandungan maklumat
Keghairahan menyebarkan berita dan maklumat yang diperolehi kadang-kala
menyebabkan kecuaian dalam penyelidikan sumber. Ini antara masalah utama yang akan
dihadapi para pembaca dan penonton apabila mereka dihidangkan dengan berita atau
maklumat palsu atau separa benar. Disiplin ilmu dalam ilmu hadis yang sangat unik
telahpun diamalkan beratus tahun sehingga kini dan ternyata mampu memelihara
maklumat dengan adil dan berjaya.
Dalam perihal mengkaji isi kandungan maklumat, kaedah yang digunakan dalam
ilmu hadis disebut sebagai naqd al-mutun (mengkritik teks) iaitu mengkaji sejauh
manakah kebenaran yang boleh dipercayai daripada sesuatu teks. Ia dengan cara
membandingkan teks tersebut dengan al-Quran atau al-sunnah, atau sejarah yang sahih,
atau akal yang waras, atau apa yang disaksikan di alam kenyataan. Disiplin ilmu ini iaitu
naqd al-mutun khususnya teks-teks hadis, telah disusun dan ditetapkan peraturannya
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
19
yang begitu terperinci sekali. Ini semua dilakukan semata-mata untuk memastikan
ketulenan hadis iaitu setiap apa yang disandarkan kepada Nabi SAW itu, memang benar-
benar disebut oleh Nabi SAW.
Oleh itu, di dalam ilmu hadis, tidak cukup sekadar mengkaji sanad semata-mata,
kerana rangkaian sanad yang sahih tidak menjamin bahawa matannya juga adalah sahih.
Begitu juga sebaliknya. Untuk mengesan perkara ini ia perlu dirujuk kepada para ulamak
hadis yang muktabar kerana sesetengah kecacatan di dalam matan hadis itu adalah
tersembunyi dan tidak dapat dapat dikesan kecuali oleh mereka yang mengusai bidang ini
sahaja.
Jadi, jika kita hendakkan kepastian dan ragu-ragu dengan sesuatu fakta, tidak
salah untuk bertanya kembali, walaupun yang menyampaikan maklumat tersebut adalah
seorang tokoh yang berpendidikan tinggi. Ini adalah kerana kita semua adalah manusia
biasa yang tidak maksum. Tidak mustahil jika dalam sesetengah hal tokoh-tokoh ini
terlepas pandang atau melakukan kesilapan. Selain itu, dianjurkan juga untuk merujuk
kepada beberapa sumber yang lain untuk mendapatkan kepastian. Jangan menyekat diri
kita dengan hanya bergantung kepada satu sumber semata.
Media kini dilihat kurang menitik beratkan sumber isi kandungan maklumat
sebelum disebarkan atau diberitakan. Sejarah media melihatkan banyak kesilapan
pemberitaan dilakukan dan mengundang hura-hara kepada masyarakat. Kaedah ini boleh
diaplikasi oleh media dalam penilaian apa jua fakta, hendaklah dipastikan maklumat yang
diperolehi sentiasa bertepatan dengan peristiwa atau kejadian yang berlaku.
Kaedah naqd al-mutun ini juga menyamai dengan kaedah devil’s advocate dalam
bidang pengurusan. Maknanya apabila seseorang mengambil posisi untuk menentang
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
20
atau mencari kelemahan sesuatu perkara bagi menguji kualiti dan mengenal pasti
kelemahan struktur perkara yang dibincangkan, ia memerlukan pemikiran yang kreatif
dan kritis. Dengan adanya pemikiran kreatif dan kritis ini kita mampu melihat sesuatu
perkara dari sudut yang berbeza bagi mengukuh dan memastikan perkara yang ingin
disampaikan kepada orang ramai. Maka perkara yang sama perlu diserapkan dalam
minda kita semua, berfikiran kreatif dan kritis dalam mencerna berita yang diterima
apatah lagi berita yang ingin disampaikan. Dengan kaedah ini kita dapat menilai berita
dari sudut yang lebih fleksibel dan memastikan tiada kelompongan dalam berita tersebut.
Seandainya diketahui berita atau maklumat yang disampaikan adalah dusta
walaupun sekelumit, kita mesti mempunyai sikap bersedia menukar pandangan. Inilah
ubat kepada penyakit taksub sepertimana yang dijelaskan sebelum ini. Sebagai contoh
kita boleh mencontohi para imam dalam mazhab dengan sifat tawaduk, mereka yang
bersedia menukar pandangan apabila menemui kebenaran. Ini adalah kerana mereka
memahami tidak ada perkara yang lebih penting daripada kebenaran yang berteraskan Al-
Quran dan al-Sunnah yang sahih. Sebagai bukti kata-kata Imam al-Syafie iaitu:
“Apabila kamu dapati di dalam kitabku apa yang bertentangan dengan
sunnah Rasulullah saw.,maka berkatalah dengan sunnah Rasulullah saw.
Dan tinggalkanlah apa yang aku katakan.”
Bersedia menukar pandangan demi mencari kebenaran adalah penting agar kita
tidak terus berpegang kepada berita atau maklumat yang tidak mempunyai kepastian
yang sahih. Maka ini dapat menyelamatkan kita dari menyebarkan perkara sebelum ini
yang diragui sumber kesahihannya. Dengan mengetahui kebenaran kita juga dapat
menghalang diri kita dari terjerumus sama dalam menyebarkan berita-berita dusta.
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
21
Kesimpulan
Manusia diciptakan dengan satu tujuan yakni semata-mata untuk mengabdikan
diri pada Allah SWT . Pengabdian ini mestilah ditunaikan sepertimana yang dikehendaki
oleh Yang Maha Mencipta. Tiada siapa di kalangan manusia ini mengetahui apakah dan
bagaimanakah kehendak Allah terhadap makhluknya, kecuali seorang manusia biasa
yang disampaikan wahyu kepadanya, Muhammad SAW. Tiada jalan lain untuk
memenuhi kehendak Ilahi kecuali hanya dengan mengikuti jejak langkah Nabi SAW.
Mungkin ada pihak media yang beranggapan jika semua ini terpaksa dilakukan,
maka perkara-perkara ini hanya akan menutup periuk nasi mereka, atau ada yang cuba
membezakan zaman kini dengan zaman nabi, para sahabat dan para ulamak terdahulu.
Maka perkara yang perlu difahami dan kita imani ialah Islam bukanlah agama yang
mengikut realiti semasa, tetapi Islamlah yang mencipta realiti seperti mana yang telah
dibuktikan melalui kecemerlangan ketamadunan Islam suatu ketika dulu. Tambahan pula,
disamping metodologi penerimaan dan penyampaian maklumat melalui contoh al-Quran
dan al-Sunnah, ianya mengajak umat Islam membentuk pola fikir yang sihat dan tepat.
Kesemua penjelasan di atas bukanlah dilakukan berasingan atau mengikut fasa-
fasa tertentu tetapi harus dilakukan kesemuanya secara serentak. Ianya menuntut
cadangan dan renungan pihak yang terlibat dengan media secara langsung dan tidak
langsung dalam bersedia menghadapi apa-apa berita atau maklumat. Justeru, persediaan
dan pola fikir melalui neraca al-Quran dan al-Sunnah yang betul diperlukan untuk
mengelak diri kita daripada terjerumus ke dalam kegelapan fikrah umat Islam yang
semakin meruncing.
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
22
RUJUKAN
Abdul Kadir Muhammad ‘Atha, Daf ‘u al-Kadzib al-mubin al-muftara min al-rafidhat
‘ala ummahat al-mukminin, ms. 11.
Abdul Mannan ar-Rasaikh, Mu’jam Ishtilahat al-Ahadits an-Nabawiyyah (Diterjemah
dengan judul: Kamus Istilah-Istilah Hadits), ms.35.
Al-Laknawi, Muhammad bin Abd al-Hayyi, Zafr al-Amani bi Syarh Mukhtasar al-Sayyid
al-Syarif al-Jurjani (Syiria: Maktab al-Matbu al-Islamiyah, 1995), ms. 490.
Al-Majmu’, Dzammu’ Kalam jld. 3 ms. 47.
Al-Raghib al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran,(Damsyik:Dar al-Qalam, 1992), ms
637.
Al-Suyuti, Miftah al-Jannah fi Ihtijaj bi al-Sunnah (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah,
1987), ms 140.
Al-Tabari, Muhammad bin Jarir, Tafsir al-Tabari: Taqrib wa Tahzib (Damsyik: Dar al-
Qalam, 1997).jld.7 ms.33.
Al-Zahabi, Muhammad bin Ahmad, Siyar ‘Alam al-Nubala (Beirut: Muassasah al-
Risalah, 1992), jld. 10 ms. 89.
Al-Zu’bi, Mahmud, Al-Bayyinat fi al-Radd ‘ala Abatil al-Muraja’at (t.t, t.p, 1987) jld. 1
ms.197.
Ibn Hajr al-Asqalani, Lisan al-Mizan, (Beirut: Muassasah al-Alami li al-Matbua’t, 1986)
jld. 4, ms. 380.
Ibn Hazm, Muhammad Ali bin Ahmad, al-Fashl fi Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal
(Beirut: Dar al-Ma’rifah, 1986), jld. 2 ms.113.
Ibn al-Jauzi, al-Maudhuat (Beirut: Dar al-Fikr, 1983), jld.1 ms.240.
Seminar Kebangsaan 2009 Media dan Pemikiran Islam USIM 21-22 July 2009
23
Ibn Salah, ‘Ulum al-hadis, ms. 115.
Ibn Salah, Muqaddimah (Beirut: Muassasah al-Risalah, 2004), ms. 212.
Ibn Taimiyah, Al-Sharim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul, ms. 567.
Ibn Taimiyah, Ahmad bin Abd al-Halim, Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyah (Kaherah: Dar
al-Hadis, 2004), 1/13.
Ibn Taimiyah, Ahmad bin Abd al-Halim, al-Sarim al-Maslul ‘ala Syatim al-Rasul
(Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah, 1978), ms. 580.
Ihsan Ilahi Zahir, al-Syiah wa Ahl al-Bait (Kaherah: Dar al-I’tisam, 1986), ms. 45.
Imam Muslim, Sahih Muslim, jld.1, ms.38.
Mohd Asri Zainul Abidin, Menangkis Pencemaran Terhadap Agama, (Shah Alam: Karya
Bestari, 2004) ms. 80.
Muhamad bin Salih bin Yusuf al-‘Ali, Insaf Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah (Jeddah: dar al-
Andalus alKhadra’), ms. 113-114.
Syiah al-imamiyah al-ithna ‘asyairiyah fi mizan al-islam, ms. 89.