laporan lawatan ke jabatan alam sekitar, melaka
DESCRIPTION
Ahli kumpulan :Tengku Hazirah Tengku YahyaSiti Nor Afatien binti JusohNor Atiqah binti Abdul JamilTRANSCRIPT
LAPORAN LAWATAN ILMIAH KE JABATAN ALAM SEKITAR NEGERI MELAKA
(JAS)
Pada 24 September 2013 yang lalu, seramai 21 orang guru pelatih bersama
seorang pensyarah pengiring iaitu Puan Fatimah Binti Yusof, daripada IPG Kampus
Perempuan Melayu telah menyertai lawatan ilmiah ke Jabatan Alam Sekitar Negeri
Melaka. Lawatan ini diadakan bagi memenuhi keperluan kursus bagi subjek Sains,
Teknologi & Masyarakat (SCE 3114). Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk
mendedahkan kepada guru pelatih mengenai peranan JAS kepada masyarakat.
Malahan secarra tidak langsung, guru pelatih dapat melihat dengan lebih dekat lagi
mengenai teknologi yang digunakan serta memberi pengalaman baru kepada peserta
program tentang penggunaan teknologi dalam bidang ini. Tambahan pula, lawatan ini
bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman guru pelatih melalui medium
pembelajaran yang lebih berkesan iaitu melalui program lawatan ilmiah yang dijalankan
ini. Lawatan ini juga melatih kepada guru pelatih agar dapat mensintesis maklumat
daripada pelbagai sumber untuk memperolehi pemahaman yang koheren tentang teori
dan amalan.
Sebelum lawatan bermula, beberapa prosedur penting perlu dilakukan. Setelah
jawatankuasa pelaksana dibentuk, kertas kerja mula dirangka. Pengesahan daripada
pihak pentadbir IPG mengambil masa kira-kira hampir dua minggu. Setelah kertas kerja
mendapat pengesahan secara rasmi, kami mula menghubungi pihak JAS untuk
memaklumkan mengenai lawatan kami. Pihak JAS amat berbesar hati menerima
kunjungan ilmiah ini. Kami lebih banyak berhubung dengan menggunakan kiriman emel
dan panggilan telefon kerana lebih mudah dan tidak mengambil masa. Pihak
pengurusan JAS juga sentiasa memberi layanan yang baik jika kami menghubungi
mereka. Setelah mendapat maklum balasa daripada pihak JAS, kami meneruskan
beberapa prosedur lain seperti membuat tempahan penggunaan bas dan pesanan
barang daripada stor pusat IPG. Setiap permohonan berjalan lancar dan mendapat
sokongan daripada pihak IPG.
Kami tiba di Jabatan Alam Sekitar Melaka sekitar jam 9 pagi. Semasa berada di
sana, kami telah di sambut oleh Puan Norsora dan diminta mendaftarkan diri terlebih
dahulu. Kemudian, kami diminta untuk mengambil tempat di bilik mesyuarat sebelum
majlis bermula. Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) iaitu En Abd Hapiz bin A. Samad
telah memberikan sedikit taklimat. Menurut beliau, beliau berbesar hati dengan
kehadiran pihak IPG Kampus Perempuan Melayu ke Jabatan Alam Sekitar dan
menggalakkan lagi lawatan sebegini pada masa akan datang. Sesi penyerahan telah
diadakan selepas ucapan daripada Pengarah JAS. Borang penyertaan warga IPG
Kampus Perempuan Melayu telah diserahkan oleh Puan Fatimah selaku pensyarah
pengiring program lawatan kali ini.
Kami kemudian dijemput untuk menikmati sarapan pagi. Selepas bersarapan,
pihak JAS di bawah Unit Kesedaran Jabatan Alam Sekitar Melaka telah mengadakan
taklimat dan tayangan video mengenai fungsi dan tugas mereka. Kami juga telah
diberikan taklimat mengenai Rakan Alam Sekitar (RAS) oleh Puan Norsora selaku wakil
pihak JAS. Menurut beliau, pengetahuan ini perlu disampaikan supaya ahli RAS tahu
akan aktiviti yang dilakukan dan apa peranan serta tugas mereka apabila menyertai
Rakan Alam Sekitar.
Program RAS adalah berbentuk ‘community based’ dan ‘hands-on’ di mana
program ini melibatkan penduduk setempat termasuklah generasi muda dan dewasa,
NGO dan lain-lain. Matlamat RAS adalah menjadikan orang ramai sebagai mata dan
telinga jabatan dalam membanteras masalah alam sekitar berkonsepkan "community
base" dan "hands on". Di samping itu, RAS juga ini memberi kesedaran kepada orang
ramai betapa pentingnya menjaga alam sekitar ini tak kira agama bangsa keturunan tua
atau muda tidak kira lelaki atau perempuan.
Menurut beliau lagi, syarat penyertaan sebagai ahli RAS sangat mudah dan tidak
merumitkan di mana syarat-syaratnya adalah warganegara Malaysia, tanpa had umur.
Untuk menjadi rakan alam sekitar, anda boleh mendaftar menggunakan borang atau
secara online di http://ras.doe.gov.my/borang/pendaftaran_add.php. Berdasarkan
taklimat yang diberikan, kami sedar bahawa sebagai penduduk di bumi ini, alam sekitar
merupakan perkara yang perlu dijaga dan diberi perhatian. Sebelum melihat
demonstrasi, kami didedahkan dengan program pengawasan udara.
Selepas taklimat diberikan, kami dibawa ke tempat di mana demonstrasi
peralatan alat penguatkuasaan terhadap kenderaan bermotor diadakan. Demonstrasi
ini dijalankan oleh Unit Kenderaan Bermotor JASM. Tiga demonstrasi diadakan iaitu
demonstrasi alat Muller Berm898 untuk ujian asap hitam kenderaan diesel., alat CO
dan HC Analyser Innova untuk ujian CO dan HC kenderaan petrol dan alat Sound Level
Meter (SLM) untuk ujian bunyi bising motosikal. Oleh sebab bilangan kami ramai dan
untuk menjimatkan masa, kami telah dibahagikan kepada tiga kumpulan. Setiap
kumpulan akan bergilir-gilir dari satu stesen ke stesen lain sehingga tiga demonstrasi
dapat dilihat.
Alat Muller Berm898 merupakan alat untuk menguji asap hitam kenderaan
diesel. Menurut kakitangan JASM, di Jabatan Alam Sekitar Melaka, hanya terdapat 7
alat ini yang dibeli di Itali. Pengujian asap bagi kenderaan diesel penting kerana had
pelepasan asap yang dibenarkan dari paip ekzos kenderaan diesel yang sedang
beroperasi di jalan raya adalah tidak melebihi 50 Unit Asap Hartridge (HSU) atau dalam
unit yang setara. Tambah beliau lagi, pemeriksaan asap kenderaan diesel ini akan
diadakan mengikut kepada jadual yang ditetapkan oleh pihak JAS. Kenderaan yang
didapati melepaskan gas yang mempunyai ketumpatan melebihi standard yang
dibenarkan dikenakan kompaun tidak melebihi RM 2000. Kenderaan yang dikenakan
perintah larangan tidak boleh beroperasi di jalan raya sehingga kerosakannya telah
diperbaiki dan lulus ujian asap semula oleh Jabatan Alam Sekitar.
Di stesen demonstrasi pengujian alat CO dan HC Analyser Innova untuk ujian
CO dan HC kenderaan petrol, kami diterangkan tentang pengawalan pelepasan
daripada enjin kenderaan bermotor. Pengawalan pelepasan ini telah dikuatkuasakan di
bawah peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 1996. Menurut beliau, sebelum 1
Januari 1997 dan selepas 1 Januari 1997, standard pelepasan enjin petrol yang diguna
pakai adalah berbeza.
Setelah melawat dua stesen demonstrasi, stesen ketiga adalah demonstrasi alat
Sound Level Meter (SLM) untuk ujian bunyi bising motosikal. Di stesen ini, kami
diberikan penerangan mengenai standard bunyi bising yang dibenarkan. Untuk
mengukur bunyi yang dikeluarkan oleh motosikal, jarak alat mikrofon adalah diletakkan
selaras dengan ekzos motosikal dan pada sudut 45 0 . Kami dimaklumkan bahawa
pihak Jabatan Alam Sekitar hanya mempunyai tiga alat Sound Level Meter (SLM).
Menurut kakitangan Unit Kenderaan Bermotor JASM, sekiranya pemeriksaan terhadap
motosikal dijalankan, bekalan kuasa alat ini bergantung kepada bateri.
Demonstrasi oleh pihak JASM tamat pada pukul 12 tengah hari. Selepas sesi
demonstrasi, kami dijemput menikmati makan tengah hari dan kemudian menunaikan
solat di Masjid Al Alami,
Pada jam 2.30 petang, kami telah berkumpul di Sekolah Menengah Kebangsaan
Bukit Rambai. Di sini, kami diberikan taklimat mengenai stesen pengawasan kualiti
udara automatik. Kami dibahagikan kepada 4 kumpulan di mana setiap kumpulan terdiri
daripada 5 orang ahli. Ini kerana saiz stesen tersebut tidak dapat memuatkan ramai
orang pada satu-satu masa. Pihak JAS mendapatkan bacaan data kualiti udara
daripada bacaan alat di sini untuk melihat kualiti udara. Menurut pihak JAS, alat ini
berfungsi mencerap parameter-parameter pencemar udara seperti sulfur dioksida,
nitrogen dioksida, karbon monoksida dan pepejal terampai bersaiz kurang dari 10
mikron. IPU setiap jam dikira berdasarkan cerapan data dari stesen pengawasan kualiti
udara automatik yang dikawal secara jarak jauh (remote). Proses cerapan memerlukan
kitaran masa selama 1 jam yang lengkap sebelum bacaan IPU dipaparkan. Sebagai
contoh, bacaan IPU pada jam 7 pagi hanya akan lengkap selepas 1 jam cerapan iaitu
pada jam 8 pagi sebelum dapat dikemas kini. Kami dimaklumkan bahawa Nilai IPU
dikira berdasarkan kepekatan purata setiap pencemar udara iaitu SO2, NO2, CO, O3
dan PM10. Pencemar udara yang dominan dengan kepekatan tertinggi diambil kira
sebagai pencemar yang akan menentukan nilai IPU. Pada lazimnya, kepekatan habuk
halus (PM10) adalah yang tertinggi berbanding dengan pencemar yang lain dan ini
menentukan bacaan IPU. Di kawasan bukit Rambai ini, bacaan IPU tinggi
kebanyakannya disebabkan oleh pencemar udara iaitu PM10. Hasil penerangan
daripada pihak JAS memberi kami pengetahuan baru.
Pertama kalinya, jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Jabatan Alam
Sekitar dan Syarikat ASMA kerana sudi menerima lawatan daripada IPG. Pujian
diberikan kerana sangat komited terhadap tugas mereka dalam melayan kami. Sehari
lawatan bersama Jabatan Alam Sekitar dan Syarikat ASMA banyak memberikan
pengetahuan baru kepada kami sebagai seorang bakal guru dan ahli masyarakat. Hasil
lawatan ini telah memberikan pendedahan kepada kami berkenaan dengan pelbagai
ilmu tentang teknologi yang digunakan dalam mengesan pencemaran bunyi, udara,
tanah dan air. Kami sebenarnya amat bertuah kerana berpeluang melihat demonstrasi
oleh Pihak Jabatan Alam Sekitar dalam mengesan pencemaran bunyi pada kenderaan
motosikal dan teknologi dalam mengesan asap petrol dan diesel. Melalui demonstrasi
tersebut, kami dapat melihat dan merasai sendiri bagaimana pencemaran bunyi dan
pencemaran udara daripada asap kenderaan yang menggunakan petrol dan diesel
dapat dikesan menggunakan teknologi masa kini.
Apa yang menarik daripada lawatan ini adalah kami dapat mengetahui bahawa
sebenarnya minyak di Malaysia menggunakan Minyak Euro 2 (RON95) dan Euro
3(RON97). Minyak Euro 2 adalah minyak yang murah tetapi menyebabkan banyak
pencemaran udara berbanding Euro 3 dan Euro 4. Malaysia sedang ke arah untuk
menggunakan Euro 4 sebagai minyak kenderaan bagi mengurangkan pencemaran
udara sama seperti di Singapura, tetapi wujud satu kemungkinan yang rakyat Malaysia
tidak akan menerima kenaikan harga minyak tersebut. Oleh sebab itu, rakyat
seharusnya membuka minda supaya melihat kesan positif daripada kenaikan harga
minyak. Pada pendapat kami, sekiranya rakyat Malaysia prihatin terhadap situasi alam
sekitar kita, dicadangkan supaya menggunakan minyak yang dapat mengurangkan
pencemaran ataupun menggunakan kereta Hybrid. Walaupun kereta Hybrid mahal
untuk dimiliki, tetapi ianya memberikan kesan yang besar dalam mengurangkan
pencemaran alam. Kita memerlukan alam untuk terus hidup dan alam juga memerlukan
kita untuk menjaganya supaya terus sihat.
GAMBAR AKTIVITI SEPANJANG LAWATAN
Menaiki bus sebelum bertolak ke JAS Melaka.
Tiba di Jabatan Alam Sekitar Melaka
Sesi bergambar sebelum bergerak ke pejabat Jabatan Alam Sekitar
Peserta lawatan sedang mendaftarkan diri pada buku pelawat.
Puan Norsora, wakil pihak JAS menunjukkan tentatif program pada hari ini
Pengarah Jabatan Alam Sekitar sedang menyampaikan ucapan dan kata alu-aluan.
Tekun mendengar ucapan yang disampaikan oleh Pengarah JAS
Puan Fatimah selaku pensyarah pengiring menyampaikan sedikit ucapan
Penyerahan borang penyertaan sebagai Rakan Alam Sekitar kepada Pengarah JAS Melaka, Tuan Haji Hapiz bin A. Samad.
Guru pelatih sedang menikmati sarapan yang disediakan oleh pihak JAS
Mendengar taklimat berkenaan fungsi dan tugas JASM serta taklimat Rakan Alam Sekitar (RAS)
Stesen 1: Guru pelatih sedang mendengar taklimat dan demonstrasi alat Muller Berm898 untuk ujian asap hitam kenderaan diesel
Stesen 1: Peserta teruja melihat bagaimana alat ini mengesan asap kenderaan
Stesen 2: Mendegar taklimat
Stesen 3: Penerangan mengenai alat Sound Level Meter (SLM) untuk ujian bunyi bising motosikal.
Alat Sound Level Meter (SLM)
Susunan alat SLM untuk mendapatkan ketepatan bunyi.
Stesen Pengawasan kualiti udara automatik
Sesi penyerahan cenderahti kepada pihak ASMA