JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 1:2015
131
KECELARUAN NILAI DALAM FALSAFAH ETIKA The Incoherence of Value in Ethical Philosophy
Kamal Azmi Abd Rahman1
Indriaty Ismail2
Mohd. Nasir Omar3
ABSTRAK
Falsafah etika adalah ilmu yang membincangkan
tentang tingkah laku atau pandangan baik dan buruk
bagi sesuatu tindakan manusia. Pertimbangan rasional
yang seringkali digunakan oleh ahli falsafah dalam
menentukan nilai telah menjadikan etika tidak tetap dan
relatif sehingga tiada satu makna kemoralan atau etika
yang diterima umum. Oleh itu, kajian kepustakaan
analisis kandungan ini bertujuan untuk membahaskan
beberapa isu berkaitan dengan persoalan nilai dalam
falsafah etika dan kemoralan. Kajian mendapati banyak
kecelaruan nilai dalam falsafah etika sehingga
menimbulkan kepelbagaian pandangan dan tuntutan
dalam hal tersebut. Maka, falsafah etika perlu difahami
melalui satu prinsip mutlak dan universal yang dibawa
oleh wahyu. Hal ini tidak bertujuan untuk menyempitkan
perbahasan etika sebaliknya untuk meluaskan maksud
dan pemahaman etika tanpa mengabaikan keadaan
semasa dan cabaran mendatang.
Kata kunci: Etika, falsafah etika, kecelaruan, nilai.
1Kamal Azmi Abd. Rahman, Calon Ijazah Kedoktoran, Jabatan Usuluddin & Falsafah,
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Pensyarah di Jabatan
Usuluddin, Akademi Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor.
([email protected]) 2Indriaty Ismail, Dr. Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Faslafah, Universiti
Kebangsaan Malaysia. ([email protected]) 3Mohd. Nasir Omar, Prof. Dr. Pensyarah di Jabatan Usuluddin dan Faslafah,
Universiti Kebangsaan Malaysia. ([email protected])
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
KAMAL AZMI ABD RAHMAN, INDRIATY ISMAIL, MOHD. NASIR OMAR
132
ABSTRACT
Ethical philosophy is the science which discussed about
a character or to understand the concept of right and
wrong for man action. Rational considerations are the
most common design for those philosophers to find out
the value which later resulted to its instability and
relativity. Not to mention that neither a moral nor ethical
meaning is generally been accepted. Therefore, this
library-based research, content analysis will discuss
some issue related to ethical and moral value. The
research found that there is a lot of incoherence of value
in ethical philosophy which later produced a number of
views and demands. Thus, ethical philosophy should be
understood through the absolute and universal principle
of revelation. It is not intended to limit the discussion of
ethics rather it is to expand the universal meaning and
understanding of ethics with regard to the current needs
and future challenges.
Keywords: Ethic, ethical philosophy, incoherence, value.
PENGENALAN
Mengenali, memahami dan seterusnya mengamalkan etika adalah salah
satu daripada keperluan bagi mencapai kesempurnaan dalam kehidupan
manusia. Menyedari akan kepentingan ini, ramai ahli falsafah telah
cuba merungkaikan permasalahan etika walaupun terdapat juga yang
berpandangan bahawa perbincangan etika secara falsafah adalah
perbincangan retorik yang sia-sia. Ahli falsafah hanya mengungkapkan
idea-idea klasik yang dibawa oleh tokoh-tokoh pemikir ulung seperti
Aristotle (384-322 SM), Plato (424-348 SM), al-Farābī (872-950 M),
Ibn Sinā (980-1037 M), al-Ghazālī (1058-1111 M), Ibn Rushd (1126-
1198 M) dan lain-lain (Mohd.Nasir, 2010). Dalam kalangan masyarakat
awam pula, falsafah etika dianggap tidak berpijak di bumi nyata kerana
membincangkan hal-hal abstrak dan kurang relevan untuk kehidupan
seharian (Bertens, 2003). Akan tetapi, satu perkara yang tidak dapat
dinafikan ialah setiap tindakan dan perilaku bermula daripada
pemikiran dan keadaan dalaman diri seseorang. Kerangka pemikiran ini
merupakan antara perbincangan utama dalam falsafah etika yang telah
melahirkan pelbagai pandangan serta teori. Dalam kepelbagaian ini,
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 1:2015
133
terdapat teori yang membenarkan antara satu sama lain dan tidak
kurang juga teori yang saling bertentangan. Oleh kerana itu, seperti
yang disarankan oleh Bertens (2003), kajian dalam bidang etika perlu
terus dijalankan agar masalah pluralism ini boleh diminimumkan
seterusnya mewujudkan etika yang universal.
Etika universal adalah etika yang dibina di atas landasan yang
kukuh. Akal dan rasa yang terhasil daripada proses pemikiran dan
pengalaman indrawi manusia terbukti rapuh kerana hanya mampu
menghasil kod etika yang tidak stabil. Teori etika yang terjana hanya
bergantung kepada nilai tradisi, virtues, kesan tindakan, daya intelek,
pengalaman dan keinginan nafsu. Hasilnya, penentuan nilai dalam
falsafah etika yang dicadangkan adalah terbatas dan tidak terlepas
daripada kritikan. Bagi menampung kedangkalan ini, Allah sebagai
Pencipta telah menurunkan wahyu-Nya melalui perutusan Nabi
terakhir, Muhammad s.a.w. Menurut Islam, menjadi seorang yang
beretika atau berakhlak adalah sebahagian daripada sebab
kewujudannya dalam merealisasikan tanggungjawab sebagai hamba dan
khalifah (Quran, 4:125). Oleh itu, prinsip universal dalam etika yang
didasari oleh kemutlakan Wahyu merupakan alternatif terbaik bagi
menyelesaikan kecelaruan nilai dalam etika. Pastinya, prinsip ini juga
akan melahirkan etika yang menyeluruh dan nilai-nilai yang boleh
dikongsi bersama oleh umat manusia keseluruhannya (Fazlur Rahman,
1995).
Falsafah Etika
Etika berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris iaituethics. Menurut,
Encyclopedia Americana (1993) dan Encyclopedia of Ethics (2001),
ethics berasal daripada perkataan Yunani iaitu ethos yang bermaksud
sikap atau peribadi dan ethikos yang bermaksud moral. Oxford
Dictionary of Philosophy (1996) mendefinasikan etika sebagai kajian
tentang konsep yang melibatkan akal praktikal; baik, patut,
tanggungjawab, kebaikan, kebebasan, rasional dan pilihan. Di dalam
Kamus Dewan (1994) pula, perkataan etika dalam Bahasa Melayu
merujuk kepada ilmu berkaitan prinsip akhlak atau moral. Manakala di
dalam Bahasa Arab, falsafah etika merujuk kepada ʿilm al-akhlāq yang
menjadikan khulq atau karakter sebagai subjek kajian. Ibn Manẓūr di
dalam Lisān al-ʿArab menyatakan bahawa akhlāq bermaksud
keperibadian semulajadi seseorang seperti watak, disposisi semulajadi,
sabar, sifat akhlak, termasuk juga budaya dan agama seseorang. Oleh
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
KAMAL AZMI ABD RAHMAN, INDRIATY ISMAIL, MOHD. NASIR OMAR
134
itu, dalam sejarah tradisi ilmu Islam, khulq kebiasaannya merujuk
kepada suatu keadaan jiwa yang menentukan tindakan manusia. Dapat
disimpulkan di sini, etika adalah ilmu tentang falsafah moral atau
akhlak yang menjadikan karakter dan watak sebagai subjek perbahasan
berkenaan dengan baik dan buruk, patut atau tidak patut dan
sebagainya.
Mohd. Nasir (2010) menyatakan bahawa etika atau akhlak dan
falsafah tentangnya adalah disiplin ilmu yang mengkaji serta
mempersoalkan berbagai-bagai isu baik buruk tentang adat, tabiat,
susila, cara berfikir, sikap, agama dan semua faktor yang dapat
mempengaruhi kehidupan manusia seperti nafsu, akal, niat, kebebasan,
tugas, tanggungjawab dan sebagainya. Ia juga menumpukan kepada
tingkah-laku manusia terutama dalam konteks hubungan manusia sama
ada peribadi, sosial atau politik yang mana akan dinilai dalam bentuk
baik atau buruk dan dijustifikasikan secara rasional berdasarkan akal
(Ahmad Sunawari, 2006). Perbincangan ini pula kebiasaanya bertujuan
untuk menjawab persoalan-persoalan seperti bagaimanakah manusia
harus hidup, apakah yang patut dilakukan, adakah perlu untuk mencari
kegembiraan atau ilmu atau kebaikan atau pencipataan objek-objek
yang cantik, jika kegembiraan menjadi pilihan, adakah ianya untuk kita
atau untuk semua? (Sofroniou 2003) Ini menunjukkan bahawa etika
bukan sahaja mempunyai kaitan langsung dengan pelbagai cabang
kehidupan manusia bahkan ia menjadi satu set panduan kepada mereka
yang inginkan kehidupan yang bermakna dan sejahtera.
Daripada perbincangan etimologi etika, dapat dilihat bahawa
penggunaan perkataan etika seringkali ditukar-ganti dengan moral4. Ini
kerana kedua-duanya mempunyai persamaan dan memberikan konotasi
yang hamper sama (Sofroniou, 2003). Oleh sebab itu, perbincangan
moral yang merungkaikan tentang baik dan buruk serta betul dan salah
juga merujuk kepada pandangan etika.Walau bagaimanpun, terdapat
juga ahli falsafah yang membezakan antara moral dan etika kerana
moral hanya memfokuskan kepada tingkah laku individu manakala
skop perbincangan etika adalah lebih luas meliputi pelbagai bidang
kehidupan manusia (Ahmad Sunawari, 2006). Etika melihat
tingkahlaku secara teori dan umum manakala moral melihat tingkah
laku dari segi praktikal dan lebih khusus. Mohd Nasir (2010) pula
menyatakan bahawa etika adalah bersifat reflektif dan teoritikal,
4Menurut Encyclopedia of Ethics, moral berasal daripada perkataan Latin mores
(plural of mos) yang bermaksud sikap, adat dan tabiat.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 1:2015
135
sedangkan moral bersifat aktiviti atau praktikal. Oleh itu, walaupun
terdapat perbezaan antara kedua-dua istilah etika dan moral, kedua-
duanya masih mempunyai hubungan yang rapat. Kajian tentang etika
setidak-tidaknya akan menyentuh tentang moral supaya tidak terlalu
abstrak dan kajian tentang moral pula akan merujuk kepada etika
sebagai rujukan teori atau idea awal perbahasannya.
Perbincangan dalam bidang falsafah etika dibahagikan kepada
tiga bahagian utama iaitu etika normatif5, etika deskriptif6 dan meta
etika (metaethics)7. Sebahagian besar ahli falsafah mempunyai
persetujuan dan kesepakatan dalam bidang etika normatif dan
deskriptif. Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan pandangan antara
mereka dalam permasalahan meta-etikayang menyebabkan ahli falsafah
moral terbahagi kepada dua kumpulan utama iaitu ahli falsafah moral
berfahaman sekular dan ahli falsafah moral agama (bukan sekular).
Asas kepada perdebatan antara dua aliran ini tertanam dalam persoalan
akal dan wahyu. Ahli falsafah moral sekular mempersoalkan kewajaran
meletakkan tuhan dan wahyunya dalam perbincangan falsafah etika.
Pada pandangan mereka, perbincangan etika yang tertumpu kepada
tuhan dan agama hanya menyebabkan etika menjadi perbincangan yang
tertutup dan tidak bebas.8 Mereka menyarankan agar etika dan moral
dibincangkan secara terbuka tanpa melibatkan teologi dan agama
kerana keterlibatan teologi menyebabkan tuhan itu mempunyai kuasa
mutlak ke atas moral (Stewert, 2009 & Sofroniou, 2003). Etika yang
5Etika normatif memfokuskan kepada bidang praktikal atau aplikasi bagi satu moral
standard yang telah dicapai untuk mengawal tindakan yang benar dan salah. Ia
melibatkan perbuatan baik yang diperlukan, tanggungjawab yang perlu dipatuhi dan
kesan sesuatu tindakan kepada orang lain. Ia juga menilai, mengkritik dan membuat
keputusan terhadap sistem moral yang ada. 6Etika deskrptif adalah cabang falsafah etika yang membincangkan tentang nilai-nilai
moral yang menjadi panduan dan ikutan kepada individu atau sesuatu kumpulan
manusia. Ia adalah berbeza mengikut perbezaan individu, masa, tempat atau keadaan
dan dibincangkan dalam aspek yang luas termasuk sejarah bagi sistem moral yang
ada. 7Meta-etika atau meta-ethics adalah cabang falsafah etika yang membincangkan
tentang maksud bagi sesuatu teori dan bagaimana pula sesuatu kebenaran itu
ditentukan. Bidang ini akan mengkaji asal sesuatu prinsip etika dan maksudnya.
Antara perbincangannya ialah isu-isu yang berkaitan dengan kebenaran yang
universal, kehendak tuhan dan peranan akal dalam menentukan etika. 8 Friedrich Wilhelm Nietzche (1844-1900) dan Jean Paul Sartre (1905-1980)
berpendapat dengan ketiadaan tuhan dan nilai kudus maka, segalanya
adalah diizinkan. Pada pandangan mereka, kewujudan tuhan menyebabkan manusia
hilang kebebasan atau free will. Seseorang itu juga tidak mampu untuk membuat
pilihan bebas sekaligus melenyapkan tanggungjawab moral.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
KAMAL AZMI ABD RAHMAN, INDRIATY ISMAIL, MOHD. NASIR OMAR
136
dibentuk oleh agama atau tuhan juga mempunyai beberapa masalah
antaranya seperti yang dinyatakan oleh Stewert (2009) iaitu; kewujudan
tuhan adalah sesuatu yang tidak dapat dipastikan maka teori etika
seperti ini perlu disangsikan, dan adapun jika tuhan itu wujud, manusia
masih tidak dapat memastikan apakah yang dikehendaki oleh tuhan
kerana terdapat kepelbagaian agama dan tidak dapat dipastikan juga
kebenarannya, dan jika kita berada dalam kepercayaan agama yang
benar, terdapat juga kesulitan kerana perbezaan atau perselisihan dalam
memahami teks wahyu dalam kitab suci. Walau bagaimanapun,
menurutnya lagi, dilema Euthyphro9 merupakan kritikan yang perlu
diberikan perhatian serius oleh ahli falsafah agama jika ingin
mempertahankan etika teologi ini.
Serangan-serangan ke atas agama dalam pemikiran rasional
telah menyebabkan berlakunya sekularisasi nilai dalam etika walaupun
kebenaran kedua-duanya iaitu agama dan moral bukanlah sesuatu yang
boleh dibuktikan secara empirikal ataupun zahir.Maka, falsafah dan
pemikiran etika yang lahir seperti autoritarianisme, hedonisme,
utilitarianisme dan pragmatisme hanya berlatarkan kebendaan semata-
mata (Abdul Rahman Haji Abdullah, 2005). Semua falsafah etika ini
hakikatnya mengutamakan nilai guna dan praktikal sahaja. Bagi
mereka, segala tindakan yang berpotensi memberikan keuntungan
dalam bentuk material dan fizikal (lahiriah) adalah sentiasa digalakkan
dan patut.
Nilai Dalam Perbahasan Falsafah Etika
Merujuk kepada definisinya, etika adalah sesuatu yang mempunyai
kaitan secara langsung dengan masyarakat dan peraturannya. Betrens
(2003) menyatakan bahawa semua isu etika individu sebenarnya tidak
terlepas dari konteks masyarakat. Peraturan masyarakat dalam
perbincangan moral terdiri daripada tatahukum, tatasusila atau tatatertib
dalam sesebuah masyarakat. Pandangan tentang etika atau moral seperti
ini dikenali sebagai kemoralan konvensional dan tradisionalisme kerana
ia wujud melalui persetujuan masyarakat kepada autoriti moral (Abdul
Rahman Md. Aroff, 2008). Kebanyakan mereka yang menyokong
falsafah kemoralan masyarakat ini ialah di kalangan ahli sosiologi
9Euthyphro diambil daripada tajuk dialog yang ditulis oleh Plato tentang dua persoalan
pokok: (1) Adakah tuhan memerintahkan sesuatu kerana ianya baik? Atau (2) Adakah
sesuatu itu baik kerana ia diperintahkan oleh tuhan? Persoalan bertujuan untuk
memisahkan tuhan atau agama daripada persoalan etika dan moral.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 1:2015
137
moral.10 Etika hanya akan wujud apabila manusia berfikir tentang cara
hidup yang terbaik atau moral standard bagi menentukan baik dan tidak
baik pada sesuatu tindakan (Sofroniou, 2003). Walaubagaimanapun,
terdapat kritikan yang serius terhadap teori ini apabila ia dianggap
sebagai satu set etika yang dogmatik dan authoritarian seterusnya
berpotensi untuk menyebabkan konflik relativisme dalam kebudayaan
dan kemasyarakatan (Abdul Rahman Md. Aroff, 2008). Peralihan
zaman juga menyebabkan hilangnya kepercayaan masyarakat kepada
falsafah etika yang diasaskan oleh norma kehidupan secara tradisi.
Masyarakat moden berpandangan bahawa teori ini tidak lagi releven
sebaliknya menginginkan falsafah etika yang lebih dinamik dan
universal. Oleh kerana itu, teori ini tidak diberikan perhatian yang
sewajarnya dalam perbincangan etika dan kemoralan terutamanya
dalam kalangan ahli falsafah moden dari Barat (Abdul Rahman Md.
Aroff, 2008).
Adalah tidak adil dalam perbincangan moral tanpa memberikan
perhatian kepada Etika Keperibadian Mulia11 oleh Aristotle kerana
beliau merupakan ahli falsafah terawal yang membincangkan tentang
virtues atau kebaikan. Perbincangan etika secara logik falsafah juga
bermula melalui tulisan-tulisan beliau yang menjurus kepada etika
aretaic12. Pada pandangan Aristotle, akal merupakan asas bagi manusia
untuk mendapatkan kebahagiaan iaitu hikmah dalam etika. Dengan
mengemukakan teori jalan tengah atau the Golden Mean iaitu hikmah
sesuatu berada di antara dua tindakan yang dianggap keterlaluan,
Aristotle berpandangan bahawa manusia mampu memperolehi virtues
atau kebaikan dalam setiap tindakan yang diambil. Jadi, kedua-dua
bentuk keterlaluan sama ada berlebihan atau berkurangan pada
pandangan beliau adalah kejahatan atau vices. Teori ini memberi fokus
kepada pelaku atau ejen (agent-centered) dan bukan kepada sesuatu
tindakan (action centered). Walau bagaimanapun, teori jalan tengah ini
masih lagi gagal untuk memberikan makna etika dan kemoralan yang
memuaskan kerana dalam beberapa keadaan, tindakan yang diambil
10Max Weber (1864 – 1920) dan Emile Durkheim (1858 – 1917) adalah antara tokoh
sosiologis yang telah membincangkan tentang moral dan kaitannya dengan kepatuhan
kepada autoriti yang sah atau social order. 11Istilah Etika Keperibadian Mulia ini diambil daripada buku tulisan Abdul Rahaman
Md. Aroff (2008) yang bertajuk Pendidikan Moral: Teori Etika dan Amalan Moral.
Di dalam Bahasa Inggeris ia disebut sebagai Moral (arête) Virtue (ethos). 12Merupakan teori etika normatif yang biasanya dikenali sebagai etika peribadi mulia
dengan menekankan persoalan “apa yang patut saya jadi” dan bukan “apa yang patut
saya lakukan”.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
KAMAL AZMI ABD RAHMAN, INDRIATY ISMAIL, MOHD. NASIR OMAR
138
tidak dapat disesuaikan dengan pandangan jalan tengah.13Aristotle juga
dikritik kerana memberi pandangan yang bertentangan dengan konsep
nubuwwah14 kerana menurut beliau tiada manusia yang dilahirkan
semulajadi baik atau mulia. Antara kritikan lain adalah kegagalan teori
ini memberikan panduan yang mencukupi tentang apa yang patut
dilakukan (Stewert, 2009).
Terdapat juga ahli falsafah yang memberikan tafsiran etika
berdasarkan kepada kesan atau hasil bagi sesuatu sesuatu tindakan yang
dilakukan. Ini bermaksud, nilai etika ditentukan oleh piawaian
instrumentalnya. Teori nilai dalam falsafah etika ini dipanggil teleologi.
Berdasarkan kepada Stanford Encyclopedia of Philosophy, teleologi
berasal daripada perkataan Yunani telos bermaksud akhir atau tujuan
dan logos bermaksud kajian. Ahli falsafah etika teleologi menolak
perkaitan antara peraturan masyarakat atau keperibadian mulia dengan
etika. Pada pandangan mereka, tindakan seseorang adalah bergantung
kepada kebaikan dan kejahatan yang dihasilkannya. Dengan
bersandarkan kepada kesan tindakan, falsafah etika ini juga dikenali
sebagai consequentialisme iaitu “the end justifies the means”.
Didominasi oleh gaya pemikiran utilitarianisme, tokoh seperti Jeremy
Bentham (1748 – 1832) dan John Stuart Mills (1806 – 1873) berpegang
kepada prinsip utiliti iaitu setiap manusia perlu berusaha untuk
mencapai kebahagiaan yang maksimum dan dalam kuantitinya yang
paling banyak. Hedonisme yang berpegang kepada prinsip bahawa
setiap tindakan adalah untuk memaksimumkan keseronokan dan
meminimumkan kesakitan juga merupakan antara produk etika
teleologi. Falsafah ini sebenarnya telah muncul di zaman Yunani lagi
melalui pemikiran Epicurus (341 – 270 SM) yang menyatakan bahawa
panduan utama tindakan manusia adalah untuk mencari kepuasan atau
keseronokan zahir semata-mata (Wen Kwai Liao, 2000). Baik dan
buruk hanya dibezakan dengan pandangan yang sempit iaitu kepada
perkara-perkara lahiriah sahaja menyebabkan golongan hedonis
sanggup untuk mengeskploitasi segala unsur di sekelilingnya bagi
memenuhi kehendak materialnya. Pandangan etika teleologi yang
13Doktrin jalan tengah tidak dapat menerangkan tentang tindakan yang memang tidak
baik seperti mengumpat dan mencuri atau tindakan yang memang baik seperti
bercakap benar dan keadilan. Ia juga tidak mampu digunakan kerana terdapat
kesukaran mengukur nilai atau kuantiti emosi manusia bagi sesuatu tindakan. 14Konsep nubuwwah adalah konsep kenabian dalam Islam yang mempercayai bahawa
terdapat golongan manusia yang baik secara semulajadi dan mereka ini telah dipilih
oleh Allah sebagai pesuruh-Nya.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 1:2015
139
bersifat instrumental dan material ini telah dikritik kerana menafikan
elemen roh ataupun spiritual dalam diri manusia. Perbincangan tentang
etika juga tidak lagi membincangkan tentang ‘what ought to be’ akan
tetapi hanya tentang apa itu ‘is’ sahaja. Oleh kerana itu, falsafah ini
telah gagal dalam usaha merealisasikan prinsip kemoralan yang objektif
kerana asas penilaian etika hanya berdasarkan kepada nilai luaran.
Apatah lagi, dalam bentuknya yang keterlaluan, ia mampu melahirkan
sikap keakuan, individualistik atau egoisme yang mana tindakan hanya
bertujuan untuk membahagiakan diri sendiri semata-mata (Stewert,
2009).
Berlawanan dengan etika teleologi yangbersifat instrumental,
deontolgi melihat etika kepada nilai intrinsik bagi sesuatu tindakan
ataupun niat kepada sesuatu yang ingin dilakukan. Berdasarkan kepada
Stanford Encyclopedia of Philosophy, deontology sebenarnya berasal
daripada perkataan deon yang bermaksud “duty” ataupun
tanggungjawab manakala “logos” pula bermaksud kajian ilmu.Oleh itu,
pandangan deontologist dalam etika kemoralan adalah berdasarkan
kepada kewajipan dan tanggungjawab. Deontic berlawanan juga dengan
falsafah aretaic kerana teori ini memberikan panduan dalam membuat
pilihan tentang tindakan yang patut dan tidak patut dilakukan.
Immanuel Kant (1724 – 1804) merupakan antara tokoh awal yang telah
membincangkan etika deontologi kerana pada padangannya setiap
tindakan akan dianggap baik dari segi moral jika seseorang itu
bertindak atas alasan tanggungjawab dan kewajipan.15 Prinsip
kewajipan Kant menegaskan bahawa tindakan yang baik tidak
berdasarkan kepada kesan tetapi kepada motif dan tujuan sesuatu
tindakan yang dilakukan. Kesimpulannya, pada pandangan Kant,
sesuatu yang baik itu mesti secara intrisiknya juga baik. Stewert (2009)
menyatakan bahawa dalam hal ini, etika teologi yang tidak melihat
kepada kesan tindakan sebaliknya hanya bersandarkan kepada
kepatuhan dan kehendak tuhan juga dikelaskan sebagai etika
deontologi. Walaupun begitu, terdapat banyak kritikan yang diberikan
kepada Kant kerana penafian beliau kepada kesan atau hasil bagi
sesuatu tindakan. Pada pandangan pengkritik seperti Durkehim (1858 –
1917) dan W. D. Ross (1877-1971) tindakan yang diambil tanpa
memikirkan kesan adalah sesuatu yang mustahil (Abdul Rahman Md.
Aroff, 2008). Antara kritikan lain ialah kegagalan prinsip kewajipan
15Pandangan etika Kant juga boleh dikelaskan sebagai universalism dalam kemoralan
kerana beliau berpandangan bahawa etika adalah universal dan sesuatu yang baik atau
tidak baik tidak merujuk kepada keinginan, sikap kepentingan atau kesukaan sahaja.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
KAMAL AZMI ABD RAHMAN, INDRIATY ISMAIL, MOHD. NASIR OMAR
140
Kant memberikan panduan moral yang lengkap dalam menentukan
keutamaan jika berhadapan dengan lebih daripada satu tanggungjawab
atau pertentangan kewajipan (Abdul Rahman Md. Aroff, 2008).
Falsafah etika eksistensialisme merupakan falsafah etika yang
agak celaru. Dengan berpegang kepada kebebasan mutlak dalam
membuat pilihan, tiada sebarang panduan yang diberikan kepada
manusia dalam menentukan tindakan mereka sama ada sesuatu tindakan
itu baik atau tidak baik mahupun patut atau tidak patut. Pada pandangan
mereka, kebebasan ini merupakan bukti bahawa manusia itu wujud.
Karya Being and Nothingness tulisan tokoh eksistensialis yang paling
berpengaruh Jean-Paul Charles Aymard Satre (1905-1980) menjelaskan
tentang hal kewujudan manusia dengan menyatakan bahawa kewujudan
(existence) manusia adalah mendahului zatnya (essence). Manusia
seolah-olah tiada pencipta dan siapa mereka dan apa yang akan terjadi
kepada mereka bergantung sepenuhnya kepada apa yang mereka
lakukan. Seseorang juga tidak mempunyai hak ke atas kemoralan orang
lain kerana ia menafikan kewujudannya. Mereka berpandangan bahawa
tiada prinsip mutlak dan nilai etika yang boleh diaplikasikan tanpa
merujuk kepada situasi dan kehendak individu. Ini menyebabkan moral
dan etika menjadi satu perbincangan yang bersifat relatif. Falsafah etika
individualistik yang ditonjolkan oleh eksistensialisme ini juga
berpotensi untuk mewujudkan situasi yang tidak menentu dalam
kehidupan sosial manusia.16 Ia tidak melahirkan semangat kesatuan dan
kerukunan dalam kehidupan bermasyarakat. Selain itu, kewujudan
tuhan sebagai pencipta juga telah dinafikan dalam usaha mereka untuk
menjamin kebebasan manusia. Bagi mereka, dengan ketiadaan hukum
tuhan dan nilai kudus, segala-galanya adalah diizinkan. Oleh itu,
falsafah etika ini bukan sahaja tidak mampu membantu individu dalam
menentukan tindakan yang patut dan tidak patut terutamanya dalam
konteks sosial, malahan secara jelas bertentangan dengan pandangan
golongan yang beragama.
Kehidupan zaman moden yang bertunjangkan kepada kemajuan
materialistik juga telah banyak menyumbang kepada penerusan
pemikiran falsafah-falsafah etika yang sekular. Kuasa tuhan ke atas
sebab dan akibat bagi sesuatu tindakan juga telah disempitkan dan tidak
lagi wujud dalam perbincangan moral. Nilai hanya bertunjangkan
16Kehidupan sosial manusia yang sentiasa bermasyarakat memerlukan medium moral
objektif yang boleh menyatukan masyarakat dalam membentuk integrasi sosial
seterusnya mengurangkan jurang perbezaan antara kaum dan agama.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 1:2015
141
kepada tafsiran materialistik semata-mata seperti Marxisme17 yang
menekankan aspek perhubungan individu, masyarakat dan interaksi
antara keduanya. Pada pandangan majoriti ahli falsafah moden, tiada
kebenaran yang universal keranaetika adalah perbincangan yang
bersifat subjekif. Hampir keseluruhan falsafah etika wajar dikritik
kerana dibentuk melalui pemahaman sekular bermaksud etika
bergantung sepenuhnya kepada kebolehan manusia seperti logik, akal
dan pengalaman inderawidan tidak kepada panduan wahyu atau nilai
kudus. Maka, wujud pelbagai nilai etika yang disempitkan oleh teori
seperti sosial, nilai intrinsic dan instrumental ataupun pertimbangan
kepada sebab dan akibat tindakan. Kesan daripada kepelbagaian nilai
dan kecelaruan ini boleh dilihat dalam kehidupan masyarakat Barat
yang melahirkan budaya hampa nilai (nihilism) dan keseronokan
(hedonism) seperti yang tergambar dalam cogan kata pushing to the
limit, the new generation, just do it dan born to be free yang seterusnya
akan mempercepatkan keruntuhan nilai kegamaan dalam kalangan
masyarakat (Mohd. Farid, 2013). Kewujudan golongan nihilist atau
mereka yang skeptikal ke atas kemoralan dan etika ini menjadikan
masalah nilai kian celaru. Golongan ini menyatakan bahawa tiada nilai
yang boleh dianggap moral atau tidak bermoral. Bagi mereka, etika dan
moral hanyalah ciptaan manusia sahaja yang sangat menyusahkan.
KESIMPULAN
Demikian gambaran kepelbagaian neraca penentuan nilai bagi setiap
ahli falsafah dan aliran pemikiran mereka. Tiada definisi kemoralan
yang dipersetujui umum dan tiada teori yang terlepas daripada kritikan
sudah cukup menjelaskan kecelaruan yang wujud dalam falsafah-
falsafah etika dan penentuan nilainya. Etika yang bertujuan untuk
menjelaskan kepada manusia tentang baik dan jahat; betul dan salah
bagi mencapai kebahagiaan dalam kehidupan akhirnya menjadi punca
kepada kehidupan yang penuh dengan kecelaruan. Maka, manusia
kelihatan seperti sudah hilang tujuan sehingga terdapat manusia yang
sewenang-wenangnya menolak tentang kewujudan nilai etika.
Sebaliknya, Islam berpandangan bahawa etika dan kemoralan harus
datang dari Tuhan dan perbincangan tentangnya adalah sebahagian
daripada cabang teologi. Apatah lagi, objektif agama dan falsafah moral
adalah untuk mengatur kehidupan manusia agar mencapai kehidupan
17Marxisme adalah gerakan pemikiran ekonomi dan sosio-politik yang berasaskan
kepada pandangan materialistik semata-mata.Pemikiran ini diasaskan oleh dua ahli
falsafah German iaitu Karl Marx (1818 – 1875) dan Friedrich Engels (1820 – 1895).
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
KAMAL AZMI ABD RAHMAN, INDRIATY ISMAIL, MOHD. NASIR OMAR
142
yang baik dan berguna, justeru terdapat banyak persamaan nilai dalam
agama yang bersifat sejagat (Abdul Rahman Haji Abdullah, 2005).
Tujuan falsafah etika untuk mencari nilai mutlak tentang kebaikan
hanya mampu diperolehi melalui prinsip universal yang dibawa oleh
Islam.18 Falsafah etika yang lebih konkrit boleh dilihat melalui
perbincangan falsafah etika Islam kerana falsafahnya yang
komprehensif, realisme, seimbang, konsisten dan meliputi seluruh
kehidupan manusia (al-Hassan al-Aidaros et.al, 2013). Hal-hal yang
mutlak hanya datang dari agama seperti yang dinyatakan oleh Mohd.
Nasir (2010) dalam membezakan sifat tabii kebenaran yang dibawa oleh
falsfah, agama dan sains:
“Sifat tabii bagi sesuatu kebenaran yang dicapai oleh
sains itu berbentuk positif, boleh dibuktikan
kesahihannya melalui percubaan dan uji kaji, manakala
kebenaran yang dicapai oleh falsafah lebih berbentuk
spekulatif, serta sukar untuk dibuktikan melalui
penyelidikan dan percubaan. Walaupun begitu
kebenaran sains dan falsafah masih berada di tahap
kebenaran yang relatif, dalam konteks ia akan berubah
merempuh perubahan masa dan kondisi hidup
manusia. Sedangkan kebenaran yang dibawa oleh
agama adalah kebenaran yang mutlak, sempurna dan
universal kerana ia datang daripada Tuhan yang Maha
Mengetahui, Maha Kuasa lagi Maha Sempurna.”
Nilai-nilai akhlak Islam seperti yang dinyatakan oleh Mohd.
Farid (2013) adalah sejagat dan kukuh kerana Islam diasaskan oleh
aqidah kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui tentang baik
buruk perbuatan manusia, kedua, konsep pembalasan eschatology di
mana terdapatnya satu hari akhir yang semua amalan akan dihakimi dan
dibalas, ketiga ialah kehadiran Nabi s.a.w. sebagai model akhlak unggul
dalam misi penyempurnaan akhlak mulia manusia, keempat ialah nilai
akhlak Islam yang komprehensif iaitu meliputi pelbagai dimensi
kehidupan manusia dan terakhir sekali ialah akhlak Islam merupakan
salah satu daripada elemen penting dalam agama selain aqidah dan fiqh
dan ketiga-tiga elemen ini saling berkait antara satu sama lain. Oleh itu,
memahami etika melalui prinsip Islam hakikatnya tidak bertujuan untuk
menghadkan perbincangan etika mengikut pandangan wahyu akan
18Ahmad Sunawari Long dalam bukunya Sejarah Falsafah menyatakan bahawa tujuan
etika pada perspektif nilai adalah untuk mencari nilai mutlak tentang kebaikan.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
ISSN 1823-7126 BIL 8, ISU 1:2015
143
tetapi bertujuan untuk meluaskan pemahaman etika dengan mengambil
kira keadaan semasa dan cabaran mendatang. Ini ditambah lagi apabila
falsafah etika Islam mampu memberi jawapan kepada mereka yang
skeptikal kepada kewujudan nilai moral yang boleh dianggap benar
sekaligus menyangkal dakwaan ahli falsafah etika relativisme yang
menyatakan bahawa etika dan nilai moral adalah pelbagai dan sentiasa
berubah.
RUJUKAN
Abdul Rahman Haji Abdullah. 2005. Wacana Falsafah Ilmu: Analisis
Konsep-Konsep Asas Falsafah Pendidikan Negara. Kuala
Lumpur: Utusan Publicatioan & Distributor.
Abdul Rahman Md. Aroff. 2008. Pendidikan Moral: Teori Etika dan
Amalan Moral. Serdang: Penerbitan Universiti Putra Malaysia.
Ahmad Sunawari Long. 2006. Sejarah Falsafah. Bangi, Selangor:
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Al-Faruqi, Ismail Raji. 1992. Al-Tawhid: It’s Implication for Thought
and Life. Virginia, U.S.A: International Institute of Islamic
Thought.
Al-Hassan Al-Aidaros, Faridahwati Mohd. Shamsuddin & Kamil Md.
Idris. 2013. Ethics and Ethical Theories from Islamic
Perspectives. International Journal of Islamic Thought 4: 1-13
Al-Manzūr, Muḥammad bin Mukram. 1968. Lisān al-ʿArab. Bayrūt:
Dār Sadr.
Azhar Ibrahim Alwee. 2005. Ethical Dimension of
Islam.http://www.thereadinggroup.sg/Articles/Ethical%20Dime
nsion%20of%20Islam.pdf(31 May 2011)
Bertens, K. 2003. Etika dan Moral. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti
Malaya.
Darbury, Conn: Grolier. 1982. The Encyclopedia Americana. Vol. 10.
JURNAL PENGAJIAN ISLAM, AKADEMI ISLAM, KUIS
KAMAL AZMI ABD RAHMAN, INDRIATY ISMAIL, MOHD. NASIR OMAR
144
Fazlur Rahman.1995. Islam: Ideology and the Way of Life. Kuala
Lumpur: A.S. Noordeen.
1993. Encyclopedia Americana. Jil 10. New York: Grolier Inco
2001. Encyclopedia of Ethics. Vol. 1.New York: Routledge.
Mohd. Farid Mohd. Shahran. 2013. Akidah dan Pemikiran Islam: Isu
dan Cabaran. Kuala Lumpur: Institut Terjemahan & Buku
Malaysia.
Mohd. Nasir Omar. 2010. Falsafah Akhlak. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Noel Stewart. 2009. Ethics: An Introduction to Moral Philosophy. UK
&USA: Polity Press.
SofroniouAndreas. 2003. Moral Philosophy: The Ethical Approach
throughthe Ages. UK: PsySys Limited.
Stanford Encyclopedia of Philosophy.
http://plato.stanford.edu/entries/ethics-deontological/#DeoTheKan (14
Januari 2012)
Wen Kwei Liao. 2000. The Individual and The Community. London:
Routledge