01 mohamed anwar - kaedah penulisan makalah dan tesis

16
Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014 301 KAEDAH PENULISAN MAKALAH DAN TESIS YANG MEMENUHI CIRI-CIRI MINIMUM TULISAN ILMIAH: PERKONGSIAN PENGALAMAN Mohamed Anwar bin Omar Din [email protected] / [email protected] Universiti Sultan Zainal Abidin Mohd. Zambri bin Jaafar [email protected] Universiti Sultan Zainal Abidin Hamdan bin Aziz [email protected] Universiti Malaysia Terengganu Zulayti bte Zakaria [email protected] Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Abstrak Makalah ini berusaha memberi penjelasan secara praktikal mengenai bagaimanakah caranya untuk menghasilkan makalah dan tesis yang memenuhi ciri-ciri minimum sebagai tulisan ilmiah. Selain itu, ia berusaha menjelaskan beberapa aspek yang jarang diperkatakan dalam pembelajaran formal seperti apakah fungsi subtajuk Pengenalan dalam Bab I, subtajuk Pengenalan dalam Bab II, Bab III dan Bab IV, dan juga bagaimana Bab Penutup dan Abstrak harus ditulis. Sumber rujukan utama makalah ini adalah catatan-catatan pengalaman para penulisnya semasa terlibat dalam penulisan ilmiah. Makalah ini mendapati sesebuah tulisan ilmiah harus bertitik-tolak dari Permasalahan Kajian. Dalam penulisan makalah, Permasalahan Kajian harus dijadikan subtajuk-subtajuk, manakala dalam tesis pula ia harus dijadikan tajuk Bab-Bab (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup). Dalam tesis, subtajuk Pengenalan dalam Bab I seharusnya menjelaskan Abstrak dengan lebih perinci dan digabungkan dengan Objektif. Sebaliknya, subtajuk Pengenalan dalam Bab II hingga Bab IV atau Bab V (sebelum Bab Penutup) pula seharusnya menjelaskan perkara-perkara yang akan diperkatakan dalam Bab berkait masing-masing. Bab Penutup (Bab V atau Bab VI) seharusnya mengumpulkan kenyataan dalam Bab II hingga Bab IV atau Bab V. Abstrak pula seharusnya mempunyai tiga perkara utama, iaitu Permasalahan Kajian, Metodologi kajian dan penemuan atau diskusi. Kata Kunci: Permasalahan Kajian, Subtajuk, Tajuk Bab, Kesimpulan Bab dan Bab Penutup Pengenalan Amat ironis, di sebalik pembelajaran Kaedah Penulisan Ilmiah dan Metodologi Penyelidikan secara formal di pelbagai peringkat pengajian di institusi pengajian tinggi dengan pendedahan tentang berbagai-bagai teori, rangka teoretikal, pendekatan dan teknik-teknik yang cukup luar biasa hebatnya kami dapati begitu ramai calon pascasiswazah (MA/Mphil/M.ED dan Ph.D) yang masih belum menguasai perkara-perkara paling asas untuk menghasilkan makalah dan tesis yang memenuhi ciri-ciri tulisan ilmiah miskipun pada tahap minimum. Ini termasuk ketidakupayaan menyediakan premis bagi menyatukan fakta-fakta, perbincangan atau penghujahan dalam seluruh tulisan agar berada dalam satu bingkai yang bersepadu bagi menjawab Permasalahan Kajian. Ramai pula yang tidak tahu di manakah titik-tolak penulisan harus bermula. Dalam penulisan tesis, ramai yang tidak mengetahui apakah fungsi subtajuk Pengenalan dalam Bab I hingga Bab IV (atau Bab V), Kesimpulan dalam Bab, Abstrak dan Bab Penutup. Perkara-perkara ini mungkin dianggap kecil tetapi ianya memberi impak amat besar, malah begitu mendasar, dalam penulisan ilmiah. Kami berpendapat sekiranya tidak ada pihak yang menjelaskannya, usaha untuk memantapkan penulisan ilmiah akan terus menerus terencat.

Upload: universitimalaya

Post on 14-May-2023

5 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

301

KAEDAH PENULISAN MAKALAH DAN TESIS YANG MEMENUHI CIRI-CIRI MINIMUM TULISAN ILMIAH: PERKONGSIAN PENGALAMAN

Mohamed Anwar bin Omar Din [email protected] / [email protected]

Universiti Sultan Zainal Abidin

Mohd. Zambri bin Jaafar [email protected]

Universiti Sultan Zainal Abidin

Hamdan bin Aziz [email protected]

Universiti Malaysia Terengganu

Zulayti bte Zakaria [email protected]

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu

Abstrak

Makalah ini berusaha memberi penjelasan secara praktikal mengenai bagaimanakah caranya untuk menghasilkan makalah dan tesis yang memenuhi ciri-ciri minimum sebagai tulisan ilmiah. Selain itu, ia berusaha menjelaskan beberapa aspek yang jarang diperkatakan dalam pembelajaran formal seperti apakah fungsi subtajuk Pengenalan dalam Bab I, subtajuk Pengenalan dalam Bab II, Bab III dan Bab IV, dan juga bagaimana Bab Penutup dan Abstrak harus ditulis. Sumber rujukan utama makalah ini adalah catatan-catatan pengalaman para penulisnya semasa terlibat dalam penulisan ilmiah. Makalah ini mendapati sesebuah tulisan ilmiah harus bertitik-tolak dari Permasalahan Kajian. Dalam penulisan makalah, Permasalahan Kajian harus dijadikan subtajuk-subtajuk, manakala dalam tesis pula ia harus dijadikan tajuk Bab-Bab (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup). Dalam tesis, subtajuk Pengenalan dalam Bab I seharusnya menjelaskan Abstrak dengan lebih perinci dan digabungkan dengan Objektif. Sebaliknya, subtajuk Pengenalan dalam Bab II hingga Bab IV atau Bab V (sebelum Bab Penutup) pula seharusnya menjelaskan perkara-perkara yang akan diperkatakan dalam Bab berkait masing-masing. Bab Penutup (Bab V atau Bab VI) seharusnya mengumpulkan kenyataan dalam Bab II hingga Bab IV atau Bab V. Abstrak pula seharusnya mempunyai tiga perkara utama, iaitu Permasalahan Kajian, Metodologi kajian dan penemuan atau diskusi.

Kata Kunci: Permasalahan Kajian, Subtajuk, Tajuk Bab, Kesimpulan Bab dan Bab Penutup

Pengenalan

Amat ironis, di sebalik pembelajaran Kaedah Penulisan Ilmiah dan Metodologi Penyelidikan secara formal di pelbagai peringkat pengajian di institusi pengajian tinggi dengan pendedahan tentang berbagai-bagai teori, rangka teoretikal, pendekatan dan teknik-teknik yang cukup luar biasa hebatnya kami dapati begitu ramai calon pascasiswazah (MA/Mphil/M.ED dan Ph.D) yang masih belum menguasai perkara-perkara paling asas untuk menghasilkan makalah dan tesis yang memenuhi ciri-ciri tulisan ilmiah miskipun pada tahap minimum. Ini termasuk ketidakupayaan menyediakan premis bagi menyatukan fakta-fakta, perbincangan atau penghujahan dalam seluruh tulisan agar berada dalam satu bingkai yang bersepadu bagi menjawab Permasalahan Kajian. Ramai pula yang tidak tahu di manakah titik-tolak penulisan harus bermula. Dalam penulisan tesis, ramai yang tidak mengetahui apakah fungsi subtajuk Pengenalan dalam Bab I hingga Bab IV (atau Bab V), Kesimpulan dalam Bab, Abstrak dan Bab Penutup. Perkara-perkara ini mungkin dianggap kecil tetapi ianya memberi impak amat besar, malah begitu mendasar, dalam penulisan ilmiah. Kami berpendapat sekiranya tidak ada pihak yang menjelaskannya, usaha untuk memantapkan penulisan ilmiah akan terus menerus terencat.

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

302

Makalah ini berusaha memberi penjelasan secara praktikal mengenai perkara-perkara tersebut. Makalah ini merupakan satu perkongsian pengalaman dalam kalangan penulis yang terlibat secara langsung dengan penulisan ilmiah. Mereka terdiri daripada pensyarah, penyelia tesis (dari peringkat prasiswazah hingga ke peringkat pascasiswazah (MA/Mphil/M.ED dan Ph.D.), pemeriksa dalam dan luar bagi tesis Sarjana dan Ph.D., penilai makalah untuk diterbitkan dalam jurnal berwasit. Penyampaian makalah ini adalah dalam bentuk grafik dengan penjelasan-penjelasan secara terus kepada isi atau perkara pokok tanpa menekankan teori atau rangka teoretikal tertentu. Tujuan penyampaian dengan cara begini adalah supaya maklumat-maklumat yang disampaikan mudah difahami oleh pelbagai pihak, terutamanya dalam kalangan berusia yang berhasrat melangsungkan pembelajaran sepanjang hayat. Dengan sedikit pengalaman yang kami miliki, diharapkan makalah ini dapat memberi sumbangan, atau paling tidak dapat mengingatkan mengenai beberapa perkara asas dalam penulisan ilmiah, agar pelbagai pihak mampu menghasilkan tulisan ilmiah dengan lebih mantap lagi.

Objektif Kajian

Objektif utama makalah ini adalah untuk memberi penjelasan secara paling praktikal mengenai cara-cara menghasilkan tulisan, meliputi makalah dan tesis, yang memenuhi ciri-ciri tulisan ilmiah pada tahap paling minimum berasaskan pengalaman dalam kalangan mereka yang terlibat secara langsung dengannya. Penjelasan-penjelasan yang diberikan diharapkan dapat diguna-pakai oleh orang-orang yang terlibat dalam penulisan ilmiah baik sebagai pengajar dan pelajar di pelbagai peringkat pengajian mahupun sebagai pemeriksa tesis dan penilai/pewasit makalah untuk diterbitkan dalam jurnal berwasit. Juga diharapkan ia dapat diguna-pakai oleh orang-orang berusia yang mempunyai hasrat melangsungkan pembelajaran sepanjang hayat.

Soalan Kajian

Isu paling sentral makalah ini ialah bagaimanakah cara paling praktikal untuk menghasilkan makalah dan tesis yang memenuhi syarat tulisan ilmiah pada tahap minimum? Isu ini akan diperincikan dengan memberi fokus terhadap persoalan-persoalan berikut: 1. Dari manakah titik-tolak penulisan ilmiah harus bermula?

2. Apakah fungsi subtajuk Pengenalan dalam Bab I?

3. Apakah fungsi subtajuk Pengenalan dalam Bab II, Bab III dan Bab IV (atau Bab V)?

4. Bagaimanakah Kesimpulan dalam Bab II hingga Bab IV (atau Bab V) harus ditulis?

5. Apakah fungsi Bab Penutup (Bab V) dan bagaimana ia ditulis?

6. Bagaimanakah Abstrak harus ditulis?

Signifikan Kajian

Walaupun mungkin terdapat kaedah-kaedah penyampaian lain yang lebih sempurna namun kesignifikanan makalah ini ialah ia dapat memberi maklumat mengenai perkara paling asas untuk menghasilkan tulisan yang memenuhi ciri-ciri tulisan ilmiah pada tahap paling minimum secara praktikal berasaskan pengalaman yang dilalui oleh orang-orang yang terlibat secara langsung dengan calon-calon pascasiswazah MA/Mphil/M.ED dan Ph.D. di negara ini. Adalah disedari bahawa topik makalah ini mungkin dipandang hanya klise, malah, mungkin ada pihak menganggap makalah ini ditulis secara sewenang-wenangnya kerana para penulisnya tidak mempunyai makalah lain; terlalu terdesak (desperate) mahu membentang Kertas Kerja walaupun kehabisan modal/idea, lalu dicekup apa saja yang ada termasuk mengitar semula nota kuliah.

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

303

Tanggapan begini mungkin timbul kerana apakah relevannya topik ini perlu diperkatakan dalam Seminar bertaraf kebangsaan seperti ini, sedangkan secara normatifnya tidak ada calon Sarjana yang tidak pernah menghadiri kuliah Kaedah Penulisan Ilmiah dan Metodologi Penyelidikan untuk mempelajari berbagai-bagai kaedah, rangka teoritis dan sebagainya.

Namun begitu, terdapat sebab-musabab kenapa topik ini diajukan dalam Seminar ini. Antara sebab-musababnya ialah kerana, berdasarkan pengalaman kami sebagai pensyarah, penyelia tesis (dari peringkat prasiswazah hingga ke peringkat pascasiswazah (MA/Mphil/M.ED dan Ph.D.), pemeriksa dalam dan luar tesis Sarjana dan Ph.D., penilai makalah untuk diterbitkan dalam jurnal berwasit, kami dapati masih begitu ramai calon sarjana (MA/Mphil/M.ED) dan kedoktoran (Ph.D.), dan juga dalam kalangan mereka yang telah menghantar makalah untuk dinilai bagi diterbitkan dalam jurnal berwasit, tidak memahami perkara paling asas dalam penulisan ilmiah, baik dari segi bentuk (form) mahupun isi (contents). Ini, secara naturalnya, menimbulkan tanggapan seolah-olah kebanyakan calon Sarjana di negara ini tidak pernah belajar Kaedah Penulisan Ilmiah dan Metodologi Penyelidikan.

Sehubungan itu, walaupun topik makalah ini kelihatan kecil, seolah-olah tidak signifikan kerana ia merupakan perkara yang diajar secara formal di institusi pengajian tinggi, ia dapat memberi sedikit sebanyak maklumat mengenai perkara-perkara yang bersifat begitu mendasar dalam penulisan ilmiah. Seperti telah dinyatakan, kami berpendapat sekiranya tidak ada pihak yang menjelaskannya, usaha untuk memantapkan penulisan ilmiah akan terus menerus terencat.

Tinjauan Literatur

Walaupun tulisan-tulisan mengenai Kaedah Penulisan Ilmiah dan Metodologi Penyelidikan terdapat di pelbagai perpustakaan institusi pengajian tinggi namun ianya masih belum memadai bagi membantu calon-calon Sarjana dan orang-orang berhasrat melangsungkan pembelajaran sepanjang hayat menghasilkan tulisan ilmiah kerana mengandungi teori, rangka teoretikal dan teknik-teknik yang ‘terlalu canggih’ buat mereka.

Dari pengalaman, kami mendapati apa yang diperlukan oleh pihak-pihak tersebut ialah panduan paling asas mengenai penulisan ilmiah, seboleh-bolehnya dari pengalaman praktikal para penulis dalam kalangan calon-calon MA/Mphil/M.ED dan Ph.D. di negara ini sendiri. Sehubungan itu, walaupun tulisan-tulisan mengenai Kaedah Penulisan Ilmiah dan Metodologi Penyelidikan yang terdapat di pelbagai perpustakaan itu memang perlu dibaca, namun ianya masih belum dapat memenuhi keperluan pihak-pihak tersebut. Sehingga kini masih belum ada tulisan yang diperlukan oleh mereka itu. Makalah ini adalah satu usaha untuk memenuhi keperluan tersebut.

Metodologi

Sumber utama penulisan makalah ini adalah catatan-catatan peribadi para penulisnya semasa terlibat secara langsung dalam kerja-kerja penulisan. Kerja-kerja penulisan yang dimaksudkan meliputi sebagai pensyarah, penyelia tesis di pelbagai peringkat pengajian (meliputi peringkat Sarjana Muda, Sarjana dan Kedoktoran), pemeriksa dalam dan luar bagi tesis di pelbagai peringkat tersebut, dan penilai dan pewasit makalah untuk diterbitkan dalam jurnal ilmiah. Makalah ini tidaklah menggunakan rangka teoretikal secara formal dalam dunia akademik, sebaliknya, ia menggunakan kaedah stukturalistik dan deskriptif. Penggunaan kaedah-kaedah ini dilakukan secara sedar kerana tujuan makalah ini adalah untuk memberi panduan secara praktikal mengenai cara-cara menulis tulisan ilmiah. Dari satu sisi, makalah ini merupakan suatu dokumentasi pengalaman para penulisnya. Dari sisi yang lain, ia adalah maklumat-maklumat yang dijadikan fakta-fakta bagi menjelaskan kaedah paling praktikal untuk menghasilkan penulisan, baik makalah mahupun tesis, yang memenuhi ciri-ciri asas penulisan ilmiah.

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

304

Rekabentuk Penyelidikan

Makalah ini direka-bentuk dalam bentuk strukturalistik dan deskritif iaitu menyampaikan secara terus fakta-fakta yang ingin diperkatakan, tanpa menggunakan rangka teoritis tertentu. Penyampaian ini direka sedemikian rupa secara sedar kerana tujuan makalah ini adalah untuk memberi panduan secara praktikal mengenai penulisan ilmiah berasaskan pengalaman para penulis yang terlibat secara langsung dalam bidang ini.

Maklumat-maklumat yang diperoleh secara langsung dari pihak-pihak berkenaan dijadikan fakta-fakta untuk membentuk kaedah penulisan ilmiah. Ianya disampaikan dalam stukturalistik dan deskritif agar mudah difahami oleh para pembaca dalam pelbagai peringkat yang berusaha menghasilkan tulisan ilmiah.

Analisis Data

Data utama yang dirujuk dalam makalah ini adalah catatan-catatan pengalaman para penulis semasa mereka terlibat dalam penulisan ilmiah. Seperti telah dinyatakan, maklumat-maklumat yang diperoleh itu adalah secara langsung dari calon-calon pascasiswazah yang melakukan tulisan ilmiah.

Penulisan Makalah Ilmiah

Berdasarkan pengalaman, kami menyarankan format penulisan makalah ilmiah haruslah dirangka seperti Rajah 1a. Rajah ini menunjukkan makalah ilmiah harus ditulis dengan cara menjadikan Permasalahan Kajian sebagai subtajuk-subtajuk bagi seluruh makalah tersebut. Ini dengan sendirinya menyebabkan Permasalahan Kajian akan menjadi bingkai besar (general framework) seluruh makalah tersebut kerana subtajuk-subtajuk itu sendiri adalah Permasalahan Kajian. Perlu ditekankan bahawa Permasalahan Kajian bermaksud isu-isu atau perkara-perkara yang ingin diperkatakan (dibincangkan atau dihujahkan) oleh penulis dalam sesebuah makalah. Oleh kerana Permasalahan Kajian telah dijadikan subtajuk-subtajuk dalam makalah tersebut maka dengan sendirinya apa yang diperkatakan dalam makalah tersebut adalah mengenai isu-isu atau perkara-perkara yang ingin diperkatakan. Itulah sebabnya penulis harus merancang Permasalahan Kajian dengan baik. Permasalahan Kajian yang baik adalah bersifat meliputi secara tersirat isu-isu, fakta-fakta dan hujah-hujah yang ingin diperkatakan.

Lazimnya, sesuatu persoalan (di bawah Permasalahan Kajian) itu dijadikan lebih daripada satu subtajuk. Ini kerana isu yang tersirat dalam sesuatu persoalan itu mempunyai lebih daripada satu fakta atau hujah.

Perlu diulangi bahawa, seperti ditunjukkan dalam Rajah 1b, penulisan makalah ilmiah hanya berlaku apabila persoalan-persoalan yang digariskan di bawah Permasalahan Kajian itu dijadikan subtajuk-subtajuk. Perlu dingatkan bahawa persoalan-persoalan di bawah Permasalahan Kajian ditulis itu dalam Ayat Tanya. Oleh itu, untuk membolehkannya menjadi subtajuk, ia haruslah diubah-suai menjadi Ayat Kenyataan. Berikut adalah contoh pengubahsuaian tersebut: Ayat persoalan di bawah Permasalahan Kajian: 1. Apakah sebenarnya faktor-faktor yang menerbitkan gejala gelandangan di Malaysia?

Kenyataan bagi subtajuk berkait dengan Permasalahan Kajian harus diubah-suai seperti berikut: Faktor-faktor Gejala Gelandangan di Malaysia Sebagai sebuah tulisan ilmiah, perbincangan atau penghujahan haruslah ‘berasaskan,’ iaitu harus disandar atau dirujuk fakta-fakta sahih dan dapat disemak oleh orang lain mengenai kesahihannya. Ianya juga haruslah disampaikan dengan jelas, teratur, logik dan tersusun rapi. Sebaik-baiknya sesuatu isu diperkatakan (dibincangkan dan dihujahkan) dalam satu perenggan tersendiri. Perbincangan dan penghujahan akan menjadi lebih berkesan sekiranya sesuatu perenggan itu mengandungi tiga unsur berikut: 1) kenyataan isu atau isi yang akan diperkatakan dalam perenggan

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

305

berkenaan, 2) fakta-fakta berkait dengan isu atau isi tersebut, dan 3) contoh-contoh atau sebab-musabab berkait dengan apa yang diperkatakan dalam perenggan tersebut. Sekiranya penjelasan mengenai tiga unsur itu begitu panjang, penulisan mengenai isu atau isi tersebut boleh ditulis dalam perenggan lain berikutnya. Walau bagaimanapun, haruslah dielakkan daripada memperkatakan lebih daripada satu isu atau isi dalam satu perenggan. Lazimnya panjang sebuah makalah untuk jurnal ilmiah adalah antara 12 hingga 15 muka surat. Sesebuah makalah ilmiah harus berakhir dengan Kesimpulan. Ada tiga perkara penting mengenai Kesimpulan makalah ilmiah: Pertama-tamanya, ia haruslah menjawab persoalan-persoalan yang digariskan di bawah Permasalahan Kajian. Penulis tidak perlu merumuskan apa yang telah diperkatakan dalam seluruh makalah tersebut, sebaliknya, harus mencari kenyataan-kenyataan dalam subtajuk-subtajuk dalam makalah tersebut yang dapat memberi jawapan secara persis (padat, tepat atau tajam) terhadap persoalan-persoalan Permasalahan Kajian. Dalam Rajah 1 dan 1b ditunjukkan kenyataan dalam Kesimpulan seharusnya jawapan kepada persoalan-persoalan dalam Permasalahan Kajian. Kedua, sebaik-baiknya Kesimpulan ditulis hanya dalam satu perenggan. Adakalanya penulis perlu menulis lebih daripada satu perenggan, namun, secara normatifnya adalah lebih afdal ia ditulis dalam satu perenggan. Ketiga, tidak ada fakta baharu, tidak ada rujukan baharu dan tidak ada penghujahan baharu dalam Kesimpulan. Ini kerana, seperti telah dinyatakan, fungsi Kesimpulan makalah ilmiah ialah menjawab persoalan-persoalan yang digariskan di bawah Permasalahan Kajian berasaskan apa yang telah diperkatakan di bawah subtajuk-subtajuk dalam makalah tersebut. Ini tidaklah sukar dilakukan kerana jawapan terhadap persoalan-persoalan tersebut pasti ada kerana subtajuk-subtajuk dalam makalah tersebutlah ditulis berasaskan persoalan-persoalan di bawah Permasalahan Kajian itu sendiri. Dengan itu, mahu tidak mahu kenyataan dalam Kesimpulan akan menjawab persoalan-persoalan di bawah Permasalahan Kajian itu. Inilah cara paling praktikal untuk menulis sebuah makalah ilmiah. Cara ini dapat menghasilkan sebuah tulisan yang menyatukan fakta-fakta, perbincangan atau penghujahan dalam satu bingkai idea bersepadu. Penulisan seperti ini akan berlaku dengan sendiri kerana ia disusun sedemikian rupa iaitu subtajuk-subtajuknya adalah dibentuk dengan mengubahsuai persoalan-persoalan yang digariskan di bawah Permasalahan Kajian. Ekoran daripada itu, penjelasan-penjelasan yang diberikan di bawah subtajuk-subtajuk tersebut dengan sendirinya menjelaskan persoalan-persoalan dalam Permasalahan Kajian. Sebagai sebuah makalah ilmiah, penjelasan-penjelasan yang diberikan haruslah diasaskan fakta-fakta sahih dan dapat disemak oleh orang lain akan kesahihannya.

Penulisan Tesis

Dari pengalaman, kami mendapati kebanyakan tesis yang dihantar untuk diperiksa (diviva) adalah ‘tesis tanpa tesis’ (a thesis without thesis). Mungkin ramai orang tahu, malah, para penulis yang menghantar ‘tesis tanpa tesis’ itu sendiri dapat memberi huraian dan penghujahan berjela-jela mengenai apakah yang dimaksudkan dengan ‘tesis’ sekali gus pastilah mengerti apa itu ‘tesis tanpa tesis.’ Walau bagaimanapun, kebanyakannya menulis tesis tanpa tesis.

Untuk memahami ungkapan ‘tesis tanpa tesis’ perlulah difahami apa itu tesis. Dari pengalaman, kami menyarankan agar para penulis menanggapi maksud ‘tesis’ dalam pengertian paling mudah iaitu sebagai: sebuah tulisan yang mempunyai Permasalahan Kajian dan Permasalahan Kajian tersebut dijawab dengan sempurna, satu persatu berasaskan fakta-fakta sahih dan dapat disemak oleh orang lain kesahihannya, perbincangan atau penghujahan yang disampaikan secara teratur, jelas dan tersusun rapi sehingga terbit satu kesatuan idea yang bersepadu mengenai apa (isu atau perkara) yang ingin diperkatakan dalam tesis tersebut.

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

306

Memanglah kenyataan ini berbeza daripada definisi tesis yang diberikan dalam pelbagai buku di perpustakaan. Walau bagaimanapun, ia adalah salah satu definisi ‘tesis’ dalam bentuk praktikal. Sebagaimana akan dijelaskan, kefahaman seperti ini sangat diperlukan untuk menghasilkan tesis yang memenuhi ciri-ciri minimum tulisan ilmiah.

Selari dengan kenyataan yang diberikan maka secara praktikalnya ungkapan ‘tesis tanpa tesis’ adalah bermaksud sebuah tulisan yang tidak mempunyai Permasalahan Kajian dan juga jawapan terhadap Permasalahan Kajian tersebut. Ataupun ia juga mungkin sebuah tulisan yang mempunyai Permasalahan Kajian tetapi tidak mempunyai jawapan mengenai Permasalahan Kajian tersebut. Inilah yang berlaku pada hari ini. Ia tidak sepatutnya berlaku kerana para penulis tesis, tanpa mengira sama ada di peringkat Sarjana Muda (BA) apatah lagi di peringkat Sarjana (MA/Mphil/M.ED) dan Kedoktoran (Ph.D.), sudah mempelajari Kaedah Penulisan Ilmiah. Walau bagaimanapun, keadaan yang berlaku adalah sebaliknya walaupun kebanyakan penulis tersebut cukup berupaya memberi penjelasan panjang lebar dan cukup luar biasa tentang hipotesis, teori, rangka teoretikal, pendekatan dan teknik-teknik penulisan ilmiah dan Permasalahan Kajian (terutamanya dalam Bab I, atau sesetengahnya dalam Bab II).

Perlulah ditekankan bahawa sesebuah tulisan yang tidak mempunyai Permasalahan Kajian dan juga tidak mempunyai jawapan kepada Permasalahan Kajian tersebut tidaklah boleh dianggap sebuah tesis walaupun mempunyai hipotesis, teori, rangka teoretikal, fakta-fakta sahih, perbincangan atau penghujahan yang teratur dan penyampaian yang tersusun rapi yang cukup luar biasa sekali pun. Kata kunci dalam penulisan tesis ialah Permasalahan Kajian dan jawapan terhadap persoalan-persoalan yang digariskan di bawah Permasalahan Kajian tersebut.

Berdasarkan pengalaman, kami menyarankan format penulisan tesis haruslah dirangka seperti Rajah 2. Berikut kami berikan beberapa perkara asas mengenai penulisan tesis.

Secara normatifnya, sesebuah tulisan ilmiah, baik makalah mahupun tesis, mengandungi perkara-perkara berikut: Tajuk, Pengenalan, Definisi/Konsep Operasional, Permasalahan Kajian (adakalanya disebut Persoalan Kajian), Objektif Penulisan, Signifikan Tulisan, Resensi Literatur (Kajian Lepas), Metodologi, Batasan /Skop Kajian, Reka-bentuk & sampel dan Analisis Data. Mahu tidak mahu, perkara-perkara ini perlu dijelaskan dalam tesis. Lazimnya ianya diletakkan dalam Bab I. Walau bagaimanapun, ada juga universiti yang meletakkannya dan Bab II.

Walau bagaimanapun, adalah disarankan bahawa sesiapa yang terlibat dalam penulisan tesis, baik sebagai penulis, penyelia, pemeriksa mahupun penilai, harus memberi perhatian secara khusus terhadap ENAM perkara berikut terlebih dahulu: 1)Permasalahan Kajian; 2) Tajuk Bab II hingga Bab VI (atau Bab V) tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup; 3) Pengenalan dalam Bab II hingga Bab VI (atau Bab V) tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup; 4) Subtajuk-subtajuk dalam Bab II hingga Bab VI (atau Bab V) tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup; 5) Kesimpulan dalam Bab II hingga Bab VI (atau Bab V) tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup; dan 6) Bab Penutup (Bab V atau Bab VI). ENAM perkara ini perlulah diberi perhatian terlebih dahulu sebelum memberi penjelasan tentang perkara-perkara lain kerana ianya batang tubuh atau struktur asas sesebuah tesis. Perkara-perkara lain, seperti Objektif Penulisan, Signifikan Tulisan, Resensi Literatur (Kajian Lepas), Metodologi, Batasan /Skop Kajian, Reka-bentuk & sampel dan Analisis Data sememangnya juga penting tetapi semasa menulis ianya harus diletakkan di tepi dahulu. Perkara-perkara ini boleh dijelaskan setelah selesai menulis perkara-perkara yang digariskan di atas terlebih dahulu.

Dari pengalaman, sebagaimana ditunjukkan dalam Rajah 2a dan 2b, sekiranya tesis yang ingin ditulis adalah lima bab, adalah disarankan agar persoalan-persoalan di bawah Permasalahan Kajian dijadikan tajuk bagi Bab II, Bab III dan Bab IV. Sebaliknya, sekiranya tesis itu mempunyai enam bab kesemuanya maka persoalan-persoalan di bawah Permasalahan Kajian itu harus dijadikan tajuk bagi Bab II, Bab III, Bab IV dan Bab V. Jelasnya, sebagaimana dapat diperhatikan, ia tidak melibatkan Bab I dan Bab Penutup. Sebagaimana akan dijelaskan, ini kerana Bab I adalah mengenai semua perkara teknikal seperti dinyatakan di atas iaitu Definisi/Konsep Operasional, Permasalahan Kajian (adakalanya disebut Persoalan Kajian), Objektif Penulisan,

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

307

Signifikan Tulisan, Resensi Literatur (Kajian Lepas), Metodologi, Batasan/Skop Kajian, Reka-bentuk & sampel dan Analisis Data. Manakala Bab Penutup pula adalah tempat/ruang ditulis semula kenyataan dalam Kesimpulan Bab II hingga Bab IV (atau Bab V).

Perlu diulangi bahawa sesebuah tesis yang memenuhi ciri-ciri minimum tulisan ilmiah hanya dapat ditulis apabila Permasalahan-Penulisan Kajian dijadikan tajuk Bab II hingga Bab IV (atau Bab V). Secara normatifnya, Permasalahan Kajian ditulis dalam Ayat Tanya. Oleh itu, untuk menjadikannya tajuk bagi Bab-Bab tersebut maka Permasalahan-Permasalahan Kajian haruslah diubah-suai menjadi Ayat Kenyataan. Jadual 1 adalah contoh pengubahsuain kenyataan dalam Permasalahan Kajian kepada tajuk Bab II hingga Bab V bagi tesis yang mempunyai enam bab kesemuanya.

Harus diulangi, pengubahsuaian Ayat Tanya kepada Ayat Kenyataan tidak perlu dibuat pada Bab I dan Bab Penutup iaitu pada Bab V sekiranya lima kesemuanya dan pada Bab VI sekiranya enam bab kesemuanya.

Sebaik-baiknya panjang muka surat bagi Bab II, Bab III, Bab IV (atau Bab V) tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup (Bab 5 atau Bab 6) harus seimbang atau sama banyak.

Bagi tesis Sarjana Muda (BA) lazimnya panjang purata satu bab bagi Bab II, Bab III, Bab IV ialah 20 hingga 25 muka surat. Ini menjadikan jumlah muka surat bagi tiga Bab tersebut ialah antara 60 hingga 75 muka surat. Lazimnya Bab I bagi tesis Sarjana Muda ialah 10 hingga 12 muka surat, manakala panjang Bab Penutupnya antara 5 hingga 7 muka surat. Ini menjadikan jumlah keseluruhan muka surat tesis Sarjana Muda ialah antara 75 hingga 92 muka surat. Bagi tesis Sarjana (MA/Mphil/M.ED) lazimnya panjang purata satu bab bagi Bab II, Bab III, Bab IV (sekiranya lima bab kesemuanya) atau Bab V (sekiranya enam kesemuanya) ialah 40 hingga 50 muka surat. Ini menjadikan jumlah muka surat bagi tiga Bab tersebut ialah antara 120 hingga 150 muka surat (atau hingga 200 muka surat). Lazimnya Bab I bagi tesis Sarjana ialah 20 hingga 30 muka surat, manakala panjang Bab Penutupnya antara 5 hingga 7 muka surat. Jumlah tesis Sarjana bergantung pada jumlah bab.

Bagi tesis Kedoktoran (Ph.D.) lazimnya panjang purata satu bab bagi Bab II, Bab III, Bab IV atau Bab V ialah 50 hingga 60 muka surat. Lazimnya Bab I bagi tesis Kedoktoran ialah 25 hingga 30, manakala panjang Bab Penutupnya antara 5 hingga 7 muka surat. Jumlah tesis Kedoktoran bergantung pada jumlah bab.

Dalam Bab II, Bab III, Bab IV (sekiranya lima bab kesemuanya) atau Bab V (sekiranya enam kesemuanya) terdapat subtajuk-subtajuk dan kesimpulan tersendiri. Ini sama bagi ketiga-tiga peringkat pengajian (BA, MA/Mphil/M.ED, dan Ph.D.). Sebagaimana ditunjukkan dalam Rajah 3, perbincangan atau penghujahan dalam sesebuah bab itu (selain Bab I dan Bab Penutup) adalah terkhusus menjurus kepada sesuatu persoalan yang digariskan di bawah berkait dengannya.

Penulisan tesis lebih kurang sama dengan penulisan makalah ilmiah, bezanya: dalam makalah ilmiah persoalan-persoalan di bawah Permasalahan Kajian dijadikan subtajuk-subtajuk; sebaliknya, dalam tesis persoalan-persoalan di bawah Permasalahan Kajian dijadikan Tajuk bagi Bab II hingga Bab IV atau Bab V (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup).

Sama seperti makalah ilmiah, sebagai tulisan ilmiah, perbincangan atau penghujahan dalam setiap Bab tesis haruslah berasaskan, iaitu harus disandar atau dirujuk fakta-fakta sahih dan dapat disemak oleh orang lain mengenai kesahihannya. Ianya juga haruslah disampaikan dengan jelas, teratur, logik dan tersusun rapi.

Demikian juga halnya perbincangan atau penghujahan sesuatu isu. Sebaik-baiknya sesuatu isu diperkatakan (dibincangkan dan dihujahkan) dalam satu perenggan tersendiri. Perbincangan dan penghujahan akan menjadi lebih berkesan sekiranya sesuatu perenggan itu mengandungi tiga unsur berikut: 1) kenyataan isu tentang apa yang akan diperkatakan perenggan berkenaan, 2) fakta-fakta berkait dengan apa yang diperkatakan, dan 3) contoh-contoh atau sebab-musabab berkait dengan apa yang diperkatakan. Sekiranya penjelasan mengenai tiga unsur itu begitu panjang, adalah lebih baik ianya ditulis dalam perenggan lain berikutnya. Ini supaya para pembaca tidak menjadi jemu. Walau bagaimanapun, haruslah dielakkan daripada memperkatakan lebih daripada satu isu atau fakta dalam satu perenggan.

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

308

Dalam penulisan tesis, seperti mana ditunjukkan dalam Rajah 3, Bab II hingga Bab IV atau Bab V (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup) mempunyai Bab Kesimpulan masing-masing. Banyak penulis tidak memahami fungsi Kesimpulan dalam Bab-Bab tersebut. Sebenarnya, fungsi Kesimpulan dalam Bab-Bab tersebut adalah lebih kurang sama dengan fungsi Kesimpulan makalah ilmiah iaitu: 1) ia haruslah menjawab persoalan-persoalan yang digariskan di bawah Permasalahan Kajian; 2) sebaik-baiknya Kesimpulan ditulis hanya dalam satu perenggan; dan 3) tidak ada fakta baharu, tidak ada rujukan baharu dan tidak ada penghujahan baharu dalam Kesimpulan.

Walau bagaimanapun, berbeza daripada Kesimpulan dalam makalah ilmiah, Kesimpulan Bab dalam tesis (iaitu dalam Bab II hingga Bab IV atau Bab V tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup) memberi jawapan kepada satu persoalan yang digariskan di bawah Permasalahan Kajian yang berkait dengannya. Sehubungan itu, secara lebih terperinci, kenyataan dalam Kesimpulan Bab II seharusnya memberi jawapan kepada persoalan 1 dalam Permasalahan Kajian. Demikianlah seterusnya, iaitu kenyataan dalam Kesimpulan Bab III seharusnya memberi jawapan kepada persoalan 2 dalam Permasalahan Kajian. Kenyataan dalam Kesimpulan Bab IV seharusnya memberi jawapan kepada persoalan 3 dalam Permasalahan Kajian.

Penulis tesis tersebut tidak perlu merumuskan kesemua perbincangan atau penghujahan dalam Bab tersebut. Apa yang perlu dibuat oleh penulis berkenaan ialah mencari keterangan-keterangan dalam Bab berkait dengannya dan menuliskannya dalam Kesimpulan tersebut agar dapat membawa jawapan secara persis (padat, tepat dan tajam) terhadap persoalan dalam Permasalahan Kajian yang berkait secara langsung dengan Bab tersebut. Harus ditekankan bahawa, sama seperti dalam penulisan makalah ilmiah, ini tidaklah sukar dilakukan kerana jawapan terhadap persoalan tersebut seharusnya ada dalam Bab tersebut kerana tajuk Bab tersebut adalah diubah-suai dari persoalan dalam Permasalahan Kajian yang berkait dengannya. Di samping itu, subtajuk-subtajuk dalam Bab berkenaan adalah juga berkait secara langsung dengan persoalan dalam Permasalahan Kajian yang perlu dijawab dalam Kesimpulan Bab itu kerana ianya pecahan-pecahan tajuk Bab yang diubah-suai persoalan dalam Permasalahan Kajian berkait dengannya.

Seterusnya, sebagaimana ditunjukkan dalam Rajah 3, jawapan yang diberikan dalam Kesimpulan Bab II hingga Bab IV atau Bab V (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup) harus dibawa ke Bab Penutup. Kenyataan dalam Bab-Bab tersebut tidak perlu diubah. Oleh itu, Bab Penutup (sama ada Bab IV sekiranya lima kesemuanya atau Bab V sekiranya enam kesemuanya) adalah terdiri daripada kenyataan-kenyataan yang sudah pun ditulis dalam Bab II hingga Bab IV atau Bab V (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup). Apa yang perlu dilakukan oleh penulis berkenaan hanya mengubah sedikit bunyi ayatnya. Perlu ditekankan bahawa isi kandungan dalam Bab Penutup adalah sama dalam Bab-Bab tersebut.

Inilah cara paling praktikal untuk menulis sebuah tesis. Sama seperti dalam penulisan makalah ilmiah, cara ini dapat menghasilkan sebuah tesis yang menyatukan fakta-fakta, perbincangan atau penghujahan dalam satu bingkai idea bersepadu. Ini dapat berlaku kerana tajuk Bab II hingga Bab IV atau Bab V (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup) adalah dibentuk dengan mengubahsuai persoalan-persoalan yang digariskan di bawah Permasalahan Kajian. Ekoran daripada itu, penjelasan-penjelasan yang diberikan Bab-Bab berkenaan pastilah dengan sendirinya menjelaskan persoalan-persoalan dalam Permasalahan Kajian berkait dengan Bab masing-masing.

Fungsi Subtajuk ‘Pengenalan’ dalam Bab I (Bab Pengenalan)

Barangkali perlu juga dijelaskan bahawa ramai penulis tesis, termasuk dalam kalangan calon Ph.D., yang tidak memahami fungsi subtajuk ‘Pengenalan’ dalam Bab I. Banyak kalangan mereka yang memberi keterangan berjela-jela sehingga memakan lima atau enam muka surat, malah, ada yang lebih daripada 10 muka surat.

Sebenarnya, subtajuk ‘Pengenalan’ dalam Bab I itu adalah ruang untuk penulis memberi keterangan secara umumnya mengenai latar seluruh tulisan tesis berkenaan. Ertinya, Pengenalan dalam Bab I seharusnya ditulis selepas tesis tersebut telah selesai ditulis. Penulisan Pengenalan dalam Bab I adalah sama seperti penulisan abstrak bb tesis. Sepatutnya abstrak merupakan bahagian paling akhir ditulis kerana ia merumuskan Permasalahan Kajian, metodologi dan penemuan atau diskusi.

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

309

Pengenalan dalam Bab I hanya perlu ditulis hanya dalam SATU atau DUA perenggan. Ia adalah penjelasan sepintas lalu mengenai perkara-perkara yang sudah disebut dalam abstrak (iaitu Permasalahan Kajian, sumber-sumber rujukan yang digunakan dalam tesis ini dan penemuan atau diskusi) dan juga objektif tulisan atau kajian itu dilakukan. Seelok-eloknya, dalam ayat akhir perenggan akhir (misalnya, perenggan kedua) dalam Pengenalan Bab I itu disebut penemuan atau natijah paling penting dalam tulisan tersebut.

Dari pengalaman, kami dapati banyak penulis tidak dapat membezakan antara Pengenalan dalam Bab I tesis daripada Pengenalan Bab I dalam buku. Malah, ramai penulis tidak dapat membezakan antara penulisan tesis daripada penulisan buku. Itu sebabnya kebanyakan tesis yang dihantar untuk diperiksa memberi keterangan panjang lebar tentang senario subject-matter yang ingin diperkatakan dalam Pengenalan dalam Bab I. Ada yang berjela-jela sampai lebih daripada 10 muka surat.

Sebenarnya, terdapat bahagian lain yang khusus untuk memperkatakan senario atau latar belakang subject-matter yang akan diperkatakan dalam tulisan tersebut.

Fungsi Subtajuk Pengenalan dalam Bab II, Bab III dan Bab IV

Selain itu, dari pengalaman, kami mendapati begitu ramai penulis yang tidak memahami fungsi ‘Pengenalan’ dalam Bab II hingga Bab IV atau Bab V (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup). Ini merupakan satu lagi bayangan kebanyakan penulis tesis benar-benar tidak memahami pengertian tesis itu sendiri.

Perlu ditekankan bahawa subtajuk ‘Pengenalan’ dalam Bab II, Bab III, Bab IV atau/dan Bab V (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup) seharusnya menjelaskan perkara-perkara atau isu-isu yang akan dibincang dan dihujahkan dalam Bab masing-masing yang berkait dengannya sahaja. Penjelasan tersebut harus memberi bayangan awal mengenai perkara-perkara atau isu-isu yang akan diperkatakan dengan lebih lanjut dalam Bab masing-masing. Oleh itu, penjelasan yang diberikan seharusnya secara persis (precise), iaitu seelok-eloknya hanya dalam satu atau dua perenggan sahaja. Sebuah tesis yang baik lazimnya hanya menulis satu perenggan dalam subtajuk ‘Pengenalan.’

Perlu ditekankan bahawa kenyataan dalam subtajuk ‘Pengenalan’ dalam Bab II, Bab III, Bab IV atau/dan Bab V (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup) seharusnya selari dengan Permasalahan Kajian berkait dengannya (lihat Rajah 3). Sebagaimana telah dijelaskan, Permasalahan Kajian 1 harus diperkatakan dalam Bab II. Seterusnya, Permasalahan Kajian 2 harus diperkatakan dalam Bab III. Permasalahan Kajian 3pula harus diperkatakan dalam Bab IV. Demikianlah seterusnya.

Sehubungan itu, kenyataan dalam Pengenalan Bab II seharusnya mengenai persoalan 1 dalam Permasalahan Kajian. Ini adalah supaya selari tajuk Bab II itu sendiri. Kenyataan dalam Pengenalan Bab III seharusnya mengenai persoalan 2 dalam Permasalahan Kajian. Ini adalah supaya selari tajuk Bab III. Kenyataan dalam Pengenalan Bab IV seharusnya mengenai persoalan 3 dalam Permasalahan Kajian. Ini adalah supaya selari tajuk Bab IV. Kenyataan dalam Pengenalan Bab V seharusnya mengenai persoalan 4 dalam Permasalahan Kajian. Ini adalah supaya selari tajuk Bab V.

Bab Penutup (Bab V)

Dari pengalaman, nampaknya begitu ramai penulis yang tidak memahami langsung fungsi Bab Penutup (Bab V atau Bab VI) dalam tesis. Ini amat menjolok kerana kebanyakan penulis memasukkan fakta-fakta baharu, rujukan baharu dan penghujuhan baharu dalam Bab tersebut. Malah, ada penulis yang mengadakan subtajuk ‘Kesimpulan’ dalam Bab Penutup sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan calon Sarjana dan Kedoktoran!!!

Perlu dijelaskan bahawa fungsi Bab Penutup dalam tesis adalah untuk memberi jawapan menyeluruh secara persis (tepat, padat dan tajam) terhadap persoalan-persoalan yang disenaraikan di bawah subtajuk Permasalahan Kajian.

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

310

Dari pengalaman, ghalibnya kebanyakan pemeriksa dalam dan luar akan mula-mula sekali membaca Permasalahan Kajian. Kemudiaan akan terus membaca Bab Penutup (Bab V atau Bab VI). Sekiranya kenyataan dalam Bab Penutup itu memberi jawapan yang jelas kepada persoalan-persoalan tersebut maka tesis ini dianggap sudah berjaya.

Sebenarnya, dalam banyak-banyak bahagian dalam tesis, bahagian yang paling mudah dilakukan ialah menulis Bab Penutup. Ini kerana seperti telah dijelaskan, cara yang paling mudah untuk menulis Bab Penutup hanya memindahkan semula Kesimpulan dalam Bab II, Bab III dan Bab IV atau Bab V. Sekiranya calon cut and paste kenyataan dalam Kesimpulan Bab II, Bab III dan Bab IV sudah pun memadai. Ini kerana, seperti telah dijelaskan, Kesimpulan Bab II adalah pemberian jawapan kepada Permasalahan Kajian 1. Kesimpulan Bab III adalah pemberian jawapan kepada Permasalahan Kajian II. Kesimpulan Bab IV adalah pemberian jawapan kepada Permasalahan Kajian III.

Lantaran itu, dalam Bab Penutup tidak boleh ada kenyataan tambahan dan juga rujukan baharu. Penulisan Bab Penutup tidak boleh melebihi 10 halaman!!!

Walaupun ia merupakan bahagian paling mudah, namun, Bab Penutup merupakan penentu kejayaan sesebuah penulisan tesis. Dalam bahagian inilah jawapan secara persis diberikan terj persoalan-persoalan yang disenaraikan dalam Permasalahan Kajian. Bahagian inilah juga yang menjadi tesis bagi tulisan. Tesisnya ialah jawapan-jawapan kepada persoalan-persoalan dalam Permasalahan Kajian.

Penulisan Abstrak

Dari pengalaman, kami mendapati begitu ramai calon Sarjana tidak memahami apa yang perlu ditulis dalam abstrak dalam makalah ilmiah dan tesis. Semua orang tahu bahawa abstrak bukanlah ringkasan atau sinopsis tulisan, walau bagaimanapun, ramai yang tidak tahu apakah sepatutnya ditulis dalam bahagian tersebut. Secara normatifnya, abstrak harus mempunyai tidak unsur, iaitu: 1) permasalahan kajian, 2) metodologi, dan 3) penemuan atau diskusi.

Perlulah dijelaskan bahawa Permasalahan Kajian adalah isu atau perkara yang akan diperkatakan dalam tulisan tersebut. Ia berbeza daripada Objektif Kajian. Objektif Kajian adalah mengenai kenapa tulisan tersebut perlu ditulis atau dianggap penting, atau apakah pentingnya isu atau perkara yang diperkatakan dalam tulisan tersebut perlu diperkatakan. Di sesetengah universiti, Objektif Kajian adalah lebih kurang sama dengan Signifikan Kajian.

Secara normatifnya, metodologi mempunyai tiga perkara: 1) sumber-sumber atau fakta-fakta yang digunakan atau dirujuk dalam penulisan tersebut, 2) bagaimana sumber-sumber atau fakta-fakta itu diperoleh, dan 3) bagaimana fakta-fakta tersebut disampaikan atau dipersembahkan dalam tulisan tersebut. Lazimnya, dalam abstrak, hanya disebut sumber atau fakta-fakta yang digunakan/dirujuk dalam tulisan tersebut. Penemuan atau diskusi adalah perkara yang dianggap sesuatu baharu yang diangkat oleh tulisan tersebut. Ia adalah penemuan sekiranya apa yang diangkat itu fakta atau perkara yang belum diangkat oleh pihak lain sebelum ini. Ia adalah diskusi sekiranya apa yang diangkat itu adalah natijah dalam diskusi-diskusi yang masih belum dijadikan isu atau perkara penting oleh pihak lain.

Walaupun ia berada di tempat paling awal dalam sesebuah tulisan ilmiah namun abstrak merupakan bahagian paling akar ditulis. Ini kerana ia berkait dengan penemuan natijah dari diskusi-diskusi

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

311

Kesimpulan

Makalah ini mendeskritifkan cara-cara amalan untuk menulis makalah dan tesis. Ia menjelaskan bahawa penulisan ilmiah haruslah bertitik-tolak dari Permasalahan Kajian iaitu menjadikan persoalan-persoalan yang digariskan dalam Permasalahan Kajian itu sebagai subtajuk-subtajuk bagi makalah dan tajuk Bab-Bab bagi tesis, kecuali bagi Bab I (Bab Pengenalan) dan Bab Penutup. Dihujahkan kelebihan bertolak dari Permasalahan Kajian ialah ia menyediakan premis perbincangan atau penghujahan dengan meletakkan fakta-fakta ke dalam satu bingkai yang bersepadu kerana dengan menjadikan persoalan-persoalan itu sebagai subtajuk bagi makalah dan tajuk Bab bagi tesis akan dengan sendiri membuat perbincangan dan penghujahan menjawab persoalan-persoalan. Ini kerana subtajuk-subtajuk dan Bab-bab tersebut adalah Permasalahan Kajian itu sendiri. Selain itu, makalah ini menjelaskan apa yang perlu ditulis dalam Pengenalan dalam Bab I bagi tesis iaitu seharusnya mengenai pernyataan dalam abstrak secara lebih terperinci dengan objektif penulisan tesis tersebut. Makalah ini juga menyarankan agar Pengenalan dalam Bab I harus ditulis setelah bahagian-bahagian lain sudah selesai dilakukan kerana dalam kenyataan-kenyataan dalam subtajuk tersebut adalah perincian tentang abstrak (iaitu penemuan, penghujahan atau natijah diskusi) yang mana maklumat tentang hal ini hanya dapat diketahui setelah seluruh tersebut telah selesai ditulis. Seterusnya, makalah ini menjelaskan bahawa Pengenalan dalam Bab II hingga Bab IV atau Bab V (tidak termasuk Bab I dan Bab Penutup) haruslah mengenai perkara-perkara yang akan diperkatakan dalam Bab masing-masing. Setiap Pengenalan tersebut haruslah selari dengan Permasalahan Kajian yang berkait dengannya. Ini kerana tajuk Babnya sendiri adalah ditulis berasaskan Permasalahan Kajian berkenaan. Makalah ini menjelaskan bahawa Bab Penutup bagi sesebuah tesis ditulis dengan hanya memindahkan kenyataan dalam Kesimpulan Bab II hingga Bab IV atau Bab V. Akhir sekali makalah ini menjelaskan bahawa abstrak harus mempunyai tidak unsur, iaitu: 1) permasalahan kajian, 2) metodologi, dan 3) penemuan atau diskusi. Ditegaskan bahawa abstrak seharusnya merupakan bahagian dalam paling akhir ditulis kerana ia berkait dengan penemuan.

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

312

Lampiran Jadual 1: Contoh Pengubahsuaian Permasalahan Kajian kepada Tajuk Bab II hingga Bab V (Bagi Tesis Enam Bab Kesemuanya)

Ayat Permasalahan Kajian 1:  

1. Apakah sebenarnya faktor-faktor yang menerbitkan gejala gelandangan di Malaysia?

Ayat Permasalahan Kajian 1 dijadikan tajuk Bab II:  

BAB II 

FAKTOR-FAKTOR GEJALA GELANDANGAN DI MALAYSIA

Ayat Permasalahan Kajian 2: 

2.   Adakah faktor-faktor yang menerbitkan gejala gelandangan di Malaysia sama dengan di negara-

negara luar? 

Ayat Permasalahan Kajian 2 dijadikan tajuk Bab III: 

BAB III 

PERBANDINGAN DENGAN NEGARA LUAR 

Ayat Permasalahan Kajian 3: 

3. Adakah advokasi-advokasi oleh pelbagai pihak itu selari dengan realiti sebenar?

Ayat Permasalahan Kajian 3 dijadikan tajuk Bab IV: 

BAB IV 

ADVOKASI PELBAGAI PIHAK DAN REALITI SEBENAR 

Ayat Permasalahan Kajian 4: 

5. Adakah pendekatan yang paling sesuai untuk diaplikasikan bagi menangani gejala ini di Malaysia?

 Ayat Permasalahan Kajian 4 dijadikan tajuk Bab V: 

BAB V 

KAEDAH YANG SEWAJARNYA DI MALAYSIA 

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

313

Rajah 1a: Penulisan Makalah Ilmiah

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

314

Rajah 2a: Penulisan Tesis

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

315

Rajah 1b: Penulisan Makalah Ilmiah

 

 Seminar Kebangsaan Pembelajaran Sepanjang Hayat 2014  

316

Rajah 2b: Penulisan Tesis