dinar emas dalam islam (gold dinar in islam) · prosiding perkem iv, jilid 1 (2009) 449-461 issn:...
TRANSCRIPT
PROSIDING PERKEM IV, JILID 1 (2009) 449-461
ISSN: 2231-962X
Persidangan Kebangsaan Ekonomi Malaysia (PERKEM IV)
Memacu Pembangunan Ekonomi Dalam Ketidaktentuan Persekitaran Global
Kuantan, Pahang, 2-4 Jun 2009
DINAR EMAS DALAM ISLAM (GOLD DINAR IN ISLAM)
SALMY EDAWATI YAACOB, SANEP AHMAD & HAILANI MUJI TAHIR
ABSTRAK
Tun Dr. Mahathir Mohammad telah berusaha memperkenal dan mempromosikan penggunaan
dinar emas di Malaysia sekitar tahun 2000 ekoran kejatuhan nilai mata wang negara-negara
ASEAN pada tahun 1998. Dinar emas merupakan kepingan syiling emas seberat 4.25 gram
yang digunakan sebagai matawang pada zaman awal Islam. Islam telah menetapkan emas dan
perak sebagai sesuatu yang penting dalam sistem kewangan kerana fungsinya sebagai alat
pertukaran, pengukur dan penyimpan nilai yang baik. Syariah juga menyarankan supaya mata
wang sepatutnya dalam bentuk emas dan perak kerana ia mempunyai nilai yang stabil.
Justeru, tujuan utama kertas kerja ini ditulis adalah untuk menjelaskan konsep dan kedudukan
matawang dinar emas dalam al-Quran dan al-Hadis, dan melihat sejauhmana ulama' Islam
mengakui penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang.
Kata kunci: dinar emas; matawang; sistem kewangan Islam.
ABSTRACT
Tun Dr Mahathir Mohammad has attempted to introduce and promote the use of gold dinar in
Malaysia around the year 2000 as a result of the currency devaluation problem of the ASEAN
countries in 1998. Gold dinar is a gold shilling weighing 4.25 grammes used as currency
during the early days of Islam. Islam has definedgold and silver as important tools in
financial system due to their functiony as medium of exchange, measure and store of value.
The syariah also recommends that currency should be in the form of gold and silver due to
their stability in value. Thus, the main objectiveof this paper is to explain the concept and
status of gold dinar currency in the Al-Quran and Hadith; and the extent of the ulamas in
acknowledging the use of dinar and dirham as currencies.
Keyword: gold dinar, currency, Islamic financial system
1. Sejarah Ringkas Dinar Emas
Pada abad ke-2 S.M, orang Rom telah memperkenalkan matawang syiling mereka yang
dikenali sebagai denarius1 (Britannica 2002). Sementara itu, pada tahun 46 S.M syiling
denarius emas pula telah ditempa di Rom sewaktu pemerintahan Caesar. Bermula dari
situlah, matawang Roman terdiri daripada syiling-syiling denarius emas, perak dan gangsa.
(Anwar Zainal Abidin 2002). Pada tahun 395 M, Empayar Rom telah berpecah kepada Rom
Barat yang berpusat di Rom dan Rom Timur berpusat di Konstantinople. Seterusnya pada
tahun 476 M, kerajaan Rom Barat telah mengalami kejatuhan dan ini telah memberi peluang
kepada perkembangan Rom Timur yang dikenali sebagai Empayar Byzantine dan berpusat di
Konstantinople. Rentetan dari itu, Empayar Byzantine telah muncul sebagai sebuah empayar
yang terulung dan hebat dari aspek politik dan ekonomi. Selepas itu, syiling emas solidus
yang diperkenalkan oleh Maharaja Konstantinople telah menjadi matawang rasmi kerajaan di
1 Mereka mengukir matawang mereka dengan ukiran wajah pemimpin mereka seperti Caeser, Brutus, Pompey, Mark Anthony
dan Octavius. Lihat (Bitannica 2002)
450 Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Hailani Muji Tahir
sekitar Eropah serta beberapa wilayah lain (Jacob E. Safra 2002). Matawang ini
bagaimanapun lebih dikenali sebagai denarius di kalangan masyarakat Rom. Kehebatan dan
kekuatan kerajaan Byzantine ketika itu telah membantu kepada tersebarnya matawang2 emas
denarius ke beberapa wilayah sekitarnya melalui aktiviti perdagangan serantau (Ahmad
Hasan 1999, Alexender Del Mar M. E 1975, Jacob E. Safra 2002).
Kerajaan Parsi mula menempa matawang sendiri pada tahun 546 S.M apabila wilayah
mereka telah dikuasai oleh Kerajaan Lydia. Matawang3 yang ditempa berbentuk empat segi
sebelum ia berubah kepada bentuk bulat. Syiling emas yang ditempa oleh masayarakat Parsi
dikenali sebagai daric dan syiling perak siglos. Walau bagaimanapun, selepas zaman
Alaxender The Great pengaruh Greek Yunani telah mendorong masyarakat Parsi untuk
menempa matawang perak yang dikenali sebagai drachm. Drachm terus digunakan walaupun
Parsi dikuasai oleh kerajaan Sasan dan turut digunakan di Mesir, Syria, Afrika Utara, Iran,
Iraq dan kawasan yang sekitarnya (Ahmad Hassan 1999).
Oleh itu, dinar emas yang digunakan oleh orang Arab Mekah dan Madinah pada abad
keenam dan ketujuh Masihi adalah syiling emas4 dan perak yang telah dikeluarkan dan diguna
di wilayah-wilayah Empayar Byzantium dan Empayar Sasan. Mengikut sejarah Islam,
Rasulullah s.a.w tidak pernah cuba menempa mata wang yang baru bagi kegunaan negara
Islam, malah sebaliknya baginda memperakukan penggunaan mata wang yang sedia ada
tanpa sebarang perubahan. Keadaan sedemikian berterusan sehingga ke zaman Khalifah Abu
Bakar dan sebahagian daripada zaman Khalifah ‘Umar al-Khattab. Akan tetapi, ‘Umar
dilaporkan telah menempa syiling perak (dirham) mengikut acuan Sasan.5 Khalifah ‘Umar
juga memperkenalkan piawaian menurut berat yang dikenali sebagai Piawaian Khalifah
‘Umar Al-Khattab r.a.6 Piawaian tersebut menentukan 10 dirham bersamaan dengan 7 dinar.
Setiap dinar mestilah mempunyai 4.25 gram emas dan setiap dirham pula mengandungi 3
gram perak (Amat @ Anwar Hj. Zainal Abidin 2002). Pada tahun 76 H Khalifah Abdul
Malik bin Marwan telah mengeluarkan dinar Islam yang pertama dalam sejarah. Duit emas ini
tidak lagi mempunyai gambar Kaisar Rom tetapi telah ditulis dengan ayat-ayat al-Quran
(Britanica 2002). Penggunaan syiling emas dan perak sebagai mata wang umat Islam ini
berterusan sehinggalah berakhirnya kerajaan Islam di Turki. Dinar dan dirham telah
digunakan dalam urusan perniagaan, menabung dan juga untuk membayar zakat (Imran N.
Hosein 2008).
Perkataan dinar emas adalah merujuk kepada matawang yang pernah digunapakai pada
zaman Rasulullah s.a.w sehingga zaman kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniah. Dinar emas
dikenali sebagai matawang umat Islam kerana ada disebut penggunaannya didalam al-Quran
dan al-Hadis.
2 Rentetan daripada nama-nama matawang Rom inilah yang banyak mempengaruhi matawang yang lahir selepas itu di negara-
negara Eropah. Simbol-simbol matawang British hari ini juga adalah terkesan dengan matawang Rom purba ini. Sebagai
contohnya simbol pound ‘£’ adalah diambil dari nama matawang Rom ‘Librum’, ‘Shiling’, ‘s’ daripada solidus, manakala
simbol penny ‘d’ daripada denarius. Lihat (Hussain Mahmud 1967) 3 Biasanya mereka mengukir matawang mereka dengan gambar kuil dan penjaga api. Lihat (Ahmad Hassan 1999) 4 Menurut Amat @ Anwar Hj. Zainal Abidin (2002) mata wang emas Byzantium yang dipanggil solidus dan mata wang perak
Sasan yang dipanggil drachm terus digunapakai walaupun setelah pemerintahan Islam bangkit di Madinah. Orang Arab
sebelum Islam mengenali syiling emas Byzantium sebagai Dinar (daripada perkataan denarius Roman) dan syiling perak
Sasan sebagai dirham. Panggilan-panggilan ini kekal selepas Islam. Orang Islam juga terus menggunakan syiling gangsa tempatan Byzantium.
5 Iaitu dengan sedikit perubahan dengan memasukan ungkapan al-Hamdulillah/Muhammad Rasulullah/La ila ha illallahuwahdah’ pada mata wang yang baru ditempa di samping mengekalkan gambar maharaja Sasan di bahagian hadapan
dan tempat penyembahan api di bahagian belakang. 6 Piawaian Umar :1 ‘uqiyyah = 40 dirham, 1 dirham = 6 daniq, 1 dinar = 20 qirath, 1 dinar =1 misqal, 10 dirham = 7 dinar.
Lihat Adel Allouche (1994), Mamluk Economics, Salt Lake City: University of Utah Press
Dinar Emas dalam Islam 451
2. Dinar Emas Dalam Al-Quran
Al-Quran dan al-Hadis tidak menggunakan perkataan wang atau matawang iaitu al-naqd atau
al-nuqud secara lafaznya dalam mewakili maksud wang atau duit. Ini kerana orang Arab
umumnya tidak menggunakan perkataan nuqud untuk menunjukkan harga. Mereka
menggunakan perkataan dinar dan al-‘ain bagi matawang yang diperbuat daripada emas,
perkataan dirham dan wariq bagi matawang perak. Manakala penggunaan perkataan fulus
bagi menunjukkan matawang tembaga sebagai unit pecahan untuk barang-barang murah
(Ahmad Hassan 1999). Perkataan dinar, dirham dan wariq masing-masing disebut sekali
dalam al-Quran. Perkataan emas pula disebut sebanyak lapan7 kali manakala perkataan perak
disebut sebanyak enam8 kali. Walau bagaimanapun, sebutan terhadap matawang tersebut
tidaklah secara khusus untuk untuk membincangkan tentang konsep dan falsafah matawang.
Namun, secara umumnya dapat dirumuskan beberapa konsep matawang di dalam al-Quran
berdasarkan pandangan ulama’-ulama’ tafsir berkenaan ayat-ayat tersebut (Kamaru Salam
Yusof 2005).
2.1 Dinar dan dirham sebagai unit matawang dan alat pertukaran.
Merujuk kepada penggunaan mata wang dinar, al-Qur’an telah menyebut perkataan dinar dan
dirham dalam beberapa surah. Ayat-ayat ini secara jelas menggambarkan unit matawang
dinar dan dirham pernah digunakan pada zaman awal Islam.
Firman ALlah s.w.t : 9
Maksudnya:
“Dan di antara ahli kitab, ada orang yang jika kamu amanahkan dia menyimpan
sejumlah besar harta (Qintar)10
sekalipun, ia akan mengembalikan (dengan
sempurna) kepadamu. Dan ada pula di antara mereka yang jika kamu amanahkan
menyimpan sedinarpun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali jika
kamu selalu menagihkannya. Yang demikian itu ialah kerana mereka
mengatakan: Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang
yang Ummi dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah s.w.t sedang
mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta” 11
7 Disebut dalam surah al-Imran 3:14, al-Imran 3:91, al-Tawbah 9:34, al-Kahf 18:31, al-Hajj 22:23, al-Fatir 35:33, al-Zukhruf
43;53 dan al-Zukhruf 43:71 8 Disebut dalam surah al-Tawbah 9:34, al-Zukhruf 43:33, al-Insan 76:15, 16 dan 21. 9 Al-Quran. Al-Imran 3:75 10 Perkataan al-Qintar ditafsirkan ditafsirkan oleh ulama’-ulama’ tafsir dengan beberapa pengertian, antaranya ialah pendapat
Mujahid yang mengatakan qintar bersamaan 70’000 dinar. Manakala Talhah dan `Ata’ berpendapat qintar adalah 7’000 dinar.
Lihat Abu Ja’afar al-Nuhhas, Ma`ani al-Quran al-Karim, Jami’ah Umm al-Qura, Mekah, 1409, jilid 1, hlm. 424. 11 Semua terjemahan al-Quran dalam tulisan ini berdasarkan Tafsir pimpinan al-Quran kepada pengertian al-Quran, edisi
kelapan (Kuala Lumpur: Bahagian Hal Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri, 1987). [Semua terjemahan ayat al-Quran dalam
tulisan ini dibuat oleh penulis kecuali kalau dinyatakan sebaliknya], Sayyid Qutb (As-Syahid) (1944), Fi Zilal al-Qur’an: Bi al-Qalam Sayyid Qutb, Beirut: Dar al-Syuruq, h. 380
452 Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Hailani Muji Tahir
Menurut tafsiran yang dibuat oleh al-Tha’labiyy dalam kitab tafsirnya al-Jawahir al
Hisan fi Tafsir al-Quran, bahawa ayat ini tidak datang dalam bentuk khitob (ditujukan) untuk
menceritakan dinar sebagai unit perkiraan matawang, tetapi secara tidak langsung dapat
difahami bahawa jumlah satu dinar adalah unit kiraan terkecil dalam pengiraan matawang
emas kerana ayat tersebut dalam keadaan perbandingan antara dua jarak yang paling atas dan
paling bawah yang dapat difahami oleh pendengar (masyarakat Arab) pada masa itu.
Penggunaan tersebut memberi gambaran bahawa itulah unit kiraan yang telah dan sedang
digunakan pada masa itu. Manakala menurut Ibnu Kathir (1401) dan al-Sayutiyy (1993) di
dalam kitab tafsir mereka telah meriwayatkan kata-kata Malik bin Dinar tentang asal-usul
nama dinar. Menurut mereka perkataan dinar berasal dari dua perkataan iaitu dayn (hutang)
dan nar (neraka). Hutang akan berlaku sekiranya diambil sesuatu dengan kebenaran
manakala, mengambilnya secara batil dan tidak benar maka, itu adalah neraka. Menurut
Sayutiyy12
lagi, nama dinar ini timbul kerana ia dikeluarkan oleh orang Majusi. Tetapi
sarjana barat menyebutkan pula bahawa perkataan dinar berasal dari perkataan Greek atau
Latin denarius yang asalnya bererti matawang perak dan akhirnya ia lebih digunakan untuk
duit syiling emas (Kamaru Salam Yusof 2005).
Manakala perkataan dirham juga hanya disebut sekali sahaja dalam al-Quran apabila
menceritakan kisah Nabi Yusuf a.s. Allah s.w.t telah berfirman:13
Maksudnya:
“Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang
murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya: dan mereka adalah orang-
orang yang tidak menghargainya.”
Selain itu, perkataan wariq juga disebut sekali sahaja dalam al-Quran ketika
menceritakan kisah Ashab al-Kahfi. Allah s.w.t berfirman:14
Maksudnya:
(Sebahagian lagi dari) mereka berkata: “Tuhan kamu lebih mengetahui tentang
lamanya kanu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu membawa wang
perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dam memilih mana-
mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual disitu); kemudian
hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah
12 Al-Sayutiyy, Abd al-Rahman bin al-Kamal Jalal al-Din, al-Dur al-Mansthur, jilid 2, hlm 43. 13 Al-Quran. Yusuf 12:20 14 Al-Quran. Al-Kahfi 18:19
Dinar Emas dalam Islam 453
ia berlemah lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan
janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan
hal kamu”.
Menurut Imam Baydawiyy (1996), al-Baghawiyy (1987), Ibnu al-Jawziyy (tt), Imam al-
Nasafiyy (tt) dan Abu al-Suud (tt), perkataan al-wariq adalah perak sama ada yang telah
ditempa atau belum ditempa menjadi duit. Manakala al-Alusi (tt) pula berpendapat bahawa
pandangan yang kuat berkenaan al-wariq ialah duit dirham perak yang telah diproses menjadi
matawang dan bukannya perak mentah yang belum diproses.
Justeru, ayat-ayat ini menggambarkan unit matawang perak pernah digunakan pada
zaman awal Islam iaitu pernah digunakan pada zaman Nabi Ya’qub a.s dan pada masa Ashab
al-Kahfi.
2.2 Dinar dan dirham sebagai alat pertukaran
Ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa penggunaan mata wang dinar dan dirham adalah
sesuatu yang dipraktikkan oleh masyarakat pada masa itu dan digunakan secara meluas sejak
dari zaman Nabi Ya’qub dan Yusuf a.s . Transaksi urusniaga yang dilakukan adalah
menggunakan mata wang yang diktiraf nilainya (emas dan perak) di samping menggunakan
kaedah pertukaran barang (Ezani Yaakub 2002), Oleh itu penggunaan matawang dinar dan
dirham bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah kewangan manusia pada zaman tersebut
dan fakta ini telah mengukuhkannya.
Selain itu terdapat firman Allah s.w.t yang berkaitan ketaatan kepada pemerintah yang
membawa kepada ketaatan kepada penggunaan matawang yang disarankan oleh pemerintah.
Firman Allah s.w.t : 15
Maksudnya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah dan taatilah Rasul dan
pemerintah-pemerintah dari golongan kamu. Kemudian jika kamu bertentangan
pendapat mengenai sesuatu persoalan, maka rujukanlah kepada Allah (al-Qur’an)
dan rasul (al-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan kepada
hari akhirat. Tindakan itu lebih baik untuk kamu dan lebih elok akibatnya.”
Suhayl bin ‘Abdullah Al-Tusytari ada menyatakan dalam tafsir al-Qurtubi berkenaan
maksud ayat di atas:16
“Mentaati sultan (pemerintah) dengan tujuh perkara: Penempaan dinar dan
dirham, menetapkan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, jumu’ah, hari
raya (puasa dan korban) dan jihad.”
15 Al-Quran. Al-Nisa’ 4:59 16 Abu ‘Abdullah Muhamad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi (1937), al-Jami‘ Li Ahkam al-Qur’an, juz ke-5, Mesir :Dar al-
Kitab, h. 259
454 Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Hailani Muji Tahir
Ayat tersebut merupakan satu perintah supaya umat Islam taat kepada pemerintah dalam
tujuh perkara. Hal pertamanya ialah penempaan dinar dan dirham dan yang lainnya ialah
menetapkan berat dan ukuran, keputusan mahkamah, haji, jumu‘ah, hari raya (puasa dan
korban) dan jihad17
. Wang sejati yang bebas daripada spekulasi menandakan bahawa
kerajaan juga merdeka dan bebas daripada penjajahan. Tiada kemerdekaan tulen selagi tiada
mata wang tulen. Tidak hairanlah jika al-Qurtubi menyetujui perkara penempaan dinar dan
dirham diletakkan sebagai perkara utama tentang patuh dan taat kepada pemerintah.
2.3 Transaksi pertukaran menggunakan kaedah kiraan bilangan pada zaman Nabi
Ya’qub dan Nabi Yusuf a.s
Surah Yusuf ayat 20 di atas menunjukkan satu transaksi matawang yang jelas iaitu
menggunakan kaedah pengiraan matawang bukan timbangan berdasarkan perkataan معدودات
yang digunakan dalam ayat tersebut. Menurut al-Qurtubiyy18
dan al-Shawkaniyy19
kaedah
kiraan matawang tersebut hanya digunakan bagi jumlah yang kurang dari satu uqiyyah iaitu
kurang dari 40 dirham. Ini menunjukkan kaedah kiraan bagi matawang telah menjadi
keadaan yang biasa digunakan pada masa itu.
2.4 Emas dan perak sebagai alat penyimpan nilai
Emas dan perak sememangnya telah diiktiraf sebagai barangan yang bernilai sejak tamadun
awal manusia lagi. Allah s.a.w menegaskan perkara ini di dalam surah al-Tawbah. Firman
Allah s.w.t dalam surah al-Tawbah ayat 3420
:
Maksudnya:
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak
membelanjakannya di jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan
(balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
Ayat ini menyatakan dengan terang tentang larangan iktinaz emas dan perak. Ini secara tidak
langsung telah memberi satu kefahaman bahawa emas dan perak telah berperanan sebagai
penyimpan nilai kekayaan. Fungsi ini telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan lagi dan
menjadi alat simpanan sejak zaman berzaman.
2.5 Larangan memecah dan mengurangkan berat matawang
Firman Allah s.w.t dalam surah Hud ayat 87:21
Maksudnya:
Mereka berkata: “Wahai Shuaib! Adakah sembahyangmu (yang banyak itu)
meyuruhmu perintahkan kami supaya meninggalkan apa yang disembah oleh
datuk nenek kami, atau supaya kami lakukannya apa yang kami suka
melakukannya dalam menguruskan harta kami?”
17 Umar Azmon Amir Hassan (2002), “Penggunaan Mata Wang Dinar Dalam Era Globalisasi”, (Kertas Kerja di Seminar
Dinar Peringkat Kebangsaan, Kolej Universiti Islam Malaysia : Kuala Lumpur, 16 Mac 2002), h. 8 18 Al-Qurtubiyy dalam kitabnya, al-Jami’ li ahkam al-Quran, jilid 9, hlm 156. 19 Al-Shawkaniyy, Muhammad bin Ali bin Muhammad, Fath al-Qadir, Dar al-Fikr, Beirut, t.t, jilid 3, hlm 13 20 Al-Quran. Al-Tawbah 9:34 21 Al-Quran. Hud 11:87
Dinar Emas dalam Islam 455
Imam al-Tabariyy22
dan ahli tafsir lain menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan
kata-kata “supaya kami lakukannya apa yang kami suka melakukannya dalam menguruskan
harta kami” membawa erti pemecahan dan pemotongan dirham.
Apa yang dapat difahami daripada ayat ini ialah salah satu dari ajaran rasul-rasul iaitu
kepentingan dalam menjaga keutuhan matawang dan tidak boleh dibuat sewenang-
wenangnya kerana perbuatan tersebut akan merosakan keseimbangan masyarakat. Apabila
matawang sudah tidak dipercayai lagi oleh orang ramai, maka akan terjadi masalah dalam
transaksi sesama mereka. Mereka saling tidak percaya mempercayai antara satu sama lain
dan setiap orang akan mengensyaki adakah matawang yang diberikan kepada mereka itu
memang dari jenis yang menepati piawaian sebenar matawang atau sebaliknya. Keadaan ini
telah bermula sejak zaman rasul yang awal seperti Shu’aib a.s (Kamaru Salam Yusof 2005)
3. Dinar Emas Dan Matawang Dalam Al-Hadis
Hadis nabi merupakan penjelas kepada konsep umum yang disebut dalam al-Quran. Hadis
Nabi s.a.w menjadi tempat yang sesuia dan praktikal dalam menjelaskan permasalahan wang
dan matawang. Antara permasalahan yang disentuh oleh hadis-hadis tersebut ialah:
3.1 Bentuk matawang
Bentuk matawang yang digunapakai pada zaman Rasulullah s.a.w adalah daripada bentuk
matawang Rom, Parsi, Yaman dan lain-lain. Nabi s.a.w tidak membatalkan penggunaan
matawang tersebut tetapi hanya membetulkan beberapa cara penggunaannya dan hak-hak
yang perlu ditunaikan.
Sukut (diam) Baginda ke atas penggunaan bentuk matawang ini disepanjang zaman
kerasulan Baginda menjadi hujjah bahawa matawang yang wujud itu diterima dan dianggap
sebagai hadis kerana diam Baginda s.a.w terhadap sesuatu yang berlaku dihadapan Baginda
s.a.w adalah satu hadis atau sunnah.23
3.2 Kaedah pengiraan matawang
Dalam penggunaan dinar emas dan dirham perak sebagai matawang terdapat dua kaedah
pengiraan unit-unit matawang tersebut iaitu; sama ada menggunakan timbangan berat logam
tersebut atau kiraan bilangan matawang. Kebanyakkan hadis Rasulullah s.a.w banyak
menunjukkan bahawa timbangan berat menjadi neraca dalam penentuan nilai dinar dan
dirham. Namun, terdapat juga kaedah bilangan yang disebutkan, tetapi bilangan itu sendiri
merujuk kepada timbangan berat. Nabi s.a.w menggunakan nilai timbangan `uqiyyah dan
dirham ketika menyebut nisab matawang perak dan menggunakan unit dinar ketika menyebut
nisab emas. Antara hadis tersebut ialah:
أبو سعيد رضي الله عنه يقول قال النبي )ص( ليس فيما دون خمس
اواق صدقة وليس فيما دون خمس ذود صدقة وليس فيما دون خمس
24اوسق صدقة Maksudnya:
22 Al-Tabariyy, Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Khalid, Jami’ al-Bayan al-Ta’wil ay al-Quran, jilid 12, hlm. 101 23 Menurut Muhammad `Ujjaj al-Khatib (2003), definisi hadis atau sunnah yang diberikan oleh ulama’ hadis (muhaddithin) ialah
semua perkara yang datang daripada Rasulullah s.a.w sama ada perkataan, perbuatan atau pengakuan atau sifat fizikal dan
tingkahlaku atau sirah Baginda s.a.w sama ada sebelum diutuskan atau selepas diutuskan menjadi Nabi. 24 Al-Bukhari, Sahih, Kitab al-Zakat, Bab ma uddiya zakatu falaysa bikanz
456 Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Hailani Muji Tahir
Abu Said r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Tidak dikenakan
zakat pada harta (emas dan perak) yang kurang dari lima uqiyyah. Juga tidak
dikenakan zakat pada unta yang kurang dari lima ekor dan tidak dikenakan zakat
pada makanan yang kurang dari lima aswuq.
Walaupun unit-unit dinar, `uqiyyah dan dirham merujuk kepada bilangan tetapi bilangan
tersebut adalah unit kepada timbangan. Contohnya, unit bilangan gram pada masa sekarang
disebut satu atau dua gram adalah merujuk kepada timbangan berat. Begitu juga apabila
Rasulullah s.a.w menyebut empat puluh dinar atau dua ratus dirham, maka ianya merujuk
kepada timbangan berat matawang emas dan perak. Jika sekiranya matawang tersebut diubah
timbangannya maka, ianya tidak lagi digelar dinar atau dirham (Kamaru Salam Yusof 2005).
Terdapat beberapa hadis yang menyokong kaedah timbangan sebagai pengukur kepada
nilai matawang. Di samping itu, terdapat riwayat hadis yang menjelaskan bahawa Rasulullah
s.a.w telah membuat ketetapan mengenai sukatan dan timbangan akibat kecelaruan dalam
sukatan ketikaBaginda s.a.w tiba di Madinah (Tabariyy tt).
Sabda Nabi s.a.w:
عن ابن عمر عن النبي صلى الله عليه وسلم قال مكيال مكيال أهل المدينة
25والوزن وزن اهل مكة
Maksudnya:
Dari Ibnu Umar dari Nabi s.a.w Baginda bersabda: Sukatan (yang diterima pakai)
ialah sukatan penduduk Madinah dan timbangan (yang diterima pakai) ialah
timbangan penduduk Mekah.
Selain itu terdapat hadis lain tentang riba juga turut menyokong bahawa kaedah timbangan
telah disarankan penggunaannya.
Hadis riba yang masyhur:
بيعوا الذهب بالذهب عن أبي سعيد الخدري أن رسول الله )ص( قال لا ت
26ولاالورق بالورق الا وزنا بوزن مثلا بمثل سواء بسواء
Maksudnya:
Dari Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Janganlah kamu
menjual emas dengan emas dan juga perak dengan perak kecuali hendaklah sama
timbangan dan sama jenis.
Hadis ini menunjukkan bahawa kaedah timbangan lebih jelas digunakan kerana ketepatan
kepada nilaian sesuatu barang. Ini menunjukkan bahawa kaedah bilangan kemungkinan juga
akan berlaku ketidaksamaan berat antara kepingan ataupun berlaku pengikisan dan geseran
terhadap emas dan perak.
25 Abu Dawud, Sunan, Kitab al-Buyu` bab fi qawl al-Nabiyy al-Mikyal al-Madinah. 26 Muslim, Sohih, Kitab al-Musaqah, bab riba.
Dinar Emas dalam Islam 457
3.3 Keperluan menjaga matawang
Rasulullah s.a.w juga menekan keperluan kepada penjagaan matawang daripada sebarang
kerosakan dan penyelewengan. Hadis yang menerangkan hal tersebut ialah:
Dari `Alamah bin Abdudallah dari ayahnya katanya bahawa Rasulullah s.a.w
telah melarang merosakkan matawang yang digunakan oleh orang Islam,
kecualilah oleh pihak berkuasa. 27
Hadis ini menjadi sandaran kepentingan menjaga maslahah umum masyarakat iaitu menjaga
matawang daripada dipermain-mainkan sesuka hati oleh sesiapa sahaja. Pengertian ini tidak
berjanggah dengan kaedah umum Islam yang mementingkan pemeliharaan hak awam.
Matawang adalah salah satu dari hak orang ramai dan sebarang penyelewengan terhadapnya
akan menyebabkan kesusahan dalam kehidupan masyarakat (Kamaru Salam Yusof 2005).
Antara bentuk penyelewengan matawang menurut para ulama’ ialah:
Menukarkan matawang tersebut kembali menjadi jongkong emas dan perak dan
tidak lagi berbentuk matawang.
Mengurangkan timbangannya dengan mengikis dan sebagainya.
Mencampurkan dengan logam-logam lain yang berharga murah.
3.4 Pengharaman riba
Perkara yang berkaitan matawang juga ada disentuh dalam hadis-hadis riba. Matawang emas
dan perak diketegorikan barangan yang menjadi riba sekiranya transaksi dilakukan tidak
mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Perkara ini telah dijelaskan dalam hadis riba yang masyhur:
Dari Ubadah bin Samit katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w: Emas dengan
emas, perak dengan perak, biji-bijian dengan biji-bijian, barli dengan barli,
tamar dengan tamar dan garam dengan garam (hendaklah ditukarkan) secara
sama jenis, sama kualiti dan serta merta. Sekiranya berbeza barangan ini, maka
juallah sekehendakkmu asalkan (diserahkan) serta merta. 28
3.5 Kewajipan zakat
Hadis dalam menunjukkan kewajipan mengeluarkan zakat juga ada menyebut tentang konsep
matawang dalam penentuan nisab zakat apabila sudah mencukupi hawlnya. Rasulullah s.a.w
telah menjelaskan nisab bagi emas dan perak. Antara hadis-hadis tersebut ialah:
Daripada Ali r.a diriwayatkan dari Nabi s.a.w bahawa Baginda bersabda;
”Bawa datang (zakat) satu dirham dari setiap 40 dirham. Kamu tidak dikenakan
apa-apa lagi sehingga mencukupi 200 dirham. Bila cukup 200 dirham maka,
dikenakan padanya lima dirham. Apa-apa yang bertambah dari itu, maka ikutlah
pengiraannya.” 29
Dari Ibnu Umar dan Aisyah r.a bahawa Nabi s.a.w mengambil zakat setengah
dinar dari setiap 20 dinar dan seterusnya. Baginda s.a.w mengambil satu dinar
pula dari 40 dinar. 30
27 Abu Dawud, Sunan, Kitab al-Buyu` bab fi kasr darahim. 28 Muslim, Sahih, Kitab al-Musaqah, bab al-Sarf 29 Abu Dawud, Sunan, Kitab al-Zakah, bab fi zakat al-sa’imah. 30 Ibnu Majah, Sunan, Kitab al-Zakah , bab Zakah al- Wariq wa al-Dhahab.
458 Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Hailani Muji Tahir
Hadis-hadis zakat ini menunjukkan bahawa matawang dianggap sesuatu yang bernilai dan
menjadi salah satu rukun kehidupan masyarakat sama seperti unsur-unsur lain terutama dalam
ternakan dan hasil pertanian. Oleh yang demikian, pemilikan ke atas matawang emas dan
perak yang telah mencukupi nisab dab hawlnya wajib mengeluarkan zakat.
4. Penggunaan Dinar Emas Sebagai Matawang Menurut Pandangan Fuqaha’
Semenjak awal Islam lagi matawang yang diguna pakai oleh masyarakat pada ketika itu ialah
dinar iaitu matawang emas dan dirham iaitu matawang perak. Kedua-dua matawang ini
adalah sejenis kerana tujuan penggunaannya adalah sama iaitu harga (al-Thamaniyyah). Akan
tetapi, kedua-duanya tidak diketahui kadar secara tabi’i dan syarak, bahkan sumber
rujukannya ialah menurut adat kebiasaan dan istilah yang dipakai. Kadangkala ia datang dari
negara lain berbentuk syiling atau koin (madrubah), samada kecil atau besar, tulen atau
dicampur dan dikeluarkan zakat jika sampai kepada 200 dirham. Mereka menggunakannya
dalam muamalat harian kadangkala berbentuk bilangan dan kadangkala berbentuk timbangan.
Mereka memiliki sejenis alat timbangan (sonjah) yang boleh mengenalpasti sukatan dirham
mengikut sukatan. Tujuan matawang dinar dan dirham digunakan ialah sebagai alat untuk
bermuamalat iaitu harga dan berlainan dengan semua harta benda lain yang bertujuan untuk
mengambil manfaat daripadanya (Abdul Rahman Yusri Ahmad 2004).
Menurut sejarah, penggunaan dinar dan dirham pada zaman awal Islam dan sebelumnya
bukanlah dibentuk di negara Islam. Dinar yang digunakan oleh golongan Islam ketika itu
adalah daripada negara Rom dan dirham pula adalah daripada negara Parsi. Bentuk yang
digunakan oleh mereka adalah sejenis dan mengikut timbangan yang telah ditentukan. Akan
tetapi, umat Islam ketika itu tidak menggunakan dinar dan dirham sebagai matawang menurut
syarak, bahkan mereka ibaratkan sebagai sekeping emas dan perak (Ahmad Farid Mustafa et
tt).
Apabila kebangkitan Nabi Muhammad s.a.w. amalan penggunaan dinar dan dirham
diteruskan dan baginda tidak melarang sahabat-sahabat baginda untuk terus menggunakannya
sebagai matawang. Ini merupakan iqrar atau pengakuan daripada Baginda s.a.w dan ianya
menjadi adat turun temurun di kalangan masyarakat. Nabi s.a.w membenarkan umatnya
menggunakan emas dan perak sebagai matawang kerana ianya dianggap sebagai logam yang
paling berharga dan bernilai di kalangan manusia.
Matawang emas dan perak menjadi neraca kepada nilaian barangan dan perkhidmatan.
Para ulama’ telah menyatakannya dengan jelas dalam karya meraka dan mereka memberi
perhatian yang khusus kepada sistem tukaran dengan berlandaskan matawang emas dan
perak. Para fuqaha’ menggunakan perkataan ‘dinar’, ‘dirham’ dan ‘fulus’ bagi menunjukkan
jenis dan bentuk matawang.
Imam al-Ghazzali ada mengatakan:
“Allah menciptakan dinar dan dirham sebagai hakim perantara bagi seluruh
harta sehingga semua harta boleh diukur dengan keduanya. Dikatakan seekor
unta bernilai 100 dinar, begitu juga minyak za’farab bernilai 100 dinar. Kedua-
duanya sama ukuran dan sama nilai” (al-Ghazzali 1993).
Imam al-Ghazzali menjelaskan bahawa wang sebagai unit hitungan/akaun yang digunakan
untuk mengukur nilai barangan dan perkhidmatan. Ia juga berfungsi sebagai alat perantara
yang membantu dalam proses pertukaran barangan dan perkhidmatan (Ahmad Hassan 1999).
Selain itu, beliau menetapkan wang sebagai alat simpanan nilai kerana ia terdiri daripada
logam yang bernilai dan tahan lama.
Dinar Emas dalam Islam 459
Ibnu Khaldun juga menjelaskan bahawa wang sebagai alat simpanan nilai dalam
ungkapannya yang berbunyi:
“Kemudian Allah Taala menciptakan daripada dua logam emas dan perak
sebagai nilai untuk setiap harta. Dua jenis ini merupakan simpanan dan
perolehan kebanyakan manusia di dunia.” (Ibn Khaldun 1988)
“Sesungguhnya Allah s.w.t menjadikan emas dan perak benda yang berharga
bagi semua barangan yang dinilaikan” (Ibn Khaldun 1988).
Manakala Abu `Ubaid, al-Kasani, Ibn Qayyim, Ibn Rusyd dan al-Syairazi masing-
masing menyatakan bahawa dinar dan dirham merupakan alat pengukur nilai bagi semua
jenis barangan dan perkhidmatan.
Abu `Ubaid al-Qasim bin Salam menyatakan:
“Menurutku dinar dan dirham adalah nilai harga bagi sesuatu, sedangkan
perkara lain tidak boleh menjadi nilai harga bagi keduanya” (Abu `Ubaid al-
Qasim Salam 1988)
Di sini menunjukkan bahawa Abu `Ubaid telah mengisyaratkan bahawa dinar dan dirham
merupakan standard ukuran bagi semua jenis barangan. Dan sebarang komoditi lain tidak
boleh menjadi pengukur nilai kepada emas dan perak.
Al-Kasani ada menyebut:
“... dan nilai barangan, sebagaimana ianya dinilai dengan dirham dan dinar ia
juga dinilai dengan matwang fulus (wang tembaga), maka ianya adalah menjadi
harga” (Al-Kasani, Alaudin Abu Bakr bin Mas’ud 1986).
Al-Syairazi menegaskan:
“... dan dengan kedua-duanya(dirham dan dinar) dapat diketahui harga harta
benda dan apa yang bertambah dengannya daripada keuntungan...” (Al-Syairazi
476M).
Ibn al-Qayyim ada menyebut:
“Dinar dan dirham adalah nilai harga bagi sesuatu barangan. Nilai harga ialah
ukuran dalam memberi nilai barangan, maka ia wajib bersifat tetap dan stabil
iaitu tidak naik dan tidak turun nilainya. Sekiranya ia boleh naik dan turun nilai
seperti barangan lain, tentunya kita tidak lagi mempunyai unit ukuran yang
sebenar untuk mengukur nilai barangan. Bahkan semuanya adalah komoditi.
(Ibn al-Qayyim 1991)
“... dengan kedua-duanya(iaitu emas dan perak) setiap sesuatu dapat dinilai
dan tidak dapat dinilaikan melainkan dengan kedua-duanya” (Ibn al-Qayyim
1982).
Ibn Rusyd menyatakan:
“Ketika seseorang susah menemukan nilai persamaan antara barang-barang
yang berbeza, maka jadikan dinar dan dirham sebagai alat ukurannya. Apabila
seseorang menjual seekor kuda dengan beberapa helai baju. Maka, nilai seekor
kuda tersebut sama nilai dengan beberapa helai baju. Sekiranya kuda itu
bernilai 50 dinar tentunya baju tersebut bernilai 50 dinar juga.” (Ibn Rusyd
1992)
460 Salmy Edawati Yaacob, Sanep Ahmad & Hailani Muji Tahir
Pernyataan para fuqaha’ ini yang berkaitan penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang
menunjukkan bahawa dinar dan dirham telah disokong dan diterima penggunaannya sebagai
matawang. Dinar dan dirham juga berfungsi sebagaimana matawang iaitu sebagai penyimpan
nilai, alat pengukur nilai dan alat peratara pertukaran. Oleh itu, penggunaan dinar dan dirham
sebagai matawang adalah dituntut dalam Islam.
5. Kesimpulan
Dinar emas dan dirham perak telah disebut penggunaannya pada zaman Rasulullah s.a.w.
Konsep asas matawang telah dijelaskan secara umum didalam al-Quran iaitu sebagai unit
matawang, alat perantaraan, alat simpanan nilai dan penggunaan kaedah kiraan bilangan.
Manakala hadis nabi merupakan penjelas kepada konsep umum yang disebut dalam al-Quran.
Hadis Nabi s.a.w menjadi tempat yang sesuai dan praktikal dalam menjelaskan permasalahan
wang dan matawang. Antara permasalahan yang disentuh oleh hadis-hadis tersebut ialah
bentuk matawang, kaedah kiraan matawang, keperluan menjaga matawang, pengharaman riba
dan kewajipan zakat. Selain itu, ulama’ Islam seperti Ibn Khaldun, Imam al-Ghazzali, Abu
`Ubaid, al-Kasani, Ibn Qayyim, Ibn Rusyd dan al-Syairazi juga turut menyokong bahawa
matawang emas dan perak menjadi neraca kepada nilaian barangan dan perkhidmatan.
Mereka telah menyatakannya dengan jelas dalam karya meraka dan telah memberi perhatian
yang khusus kepada sistem tukaran dengan berlandaskan matawang emas dan perak. Para
fuqaha’ menggunakan perkataan ‘dinar’, ‘dirham’ dan ‘fulus’ bagi menunjukkan jenis dan
bentuk matawang.
Rujukan
Abdul Rahman Yusri Ahmad (2004), Qadaya Islamiyyah Muasirah fi al-Nuqud wa al-Bunuk wa al-Tamwil, al-Dar
al-Jamiiyyah, Iskandariah, Mesir.
Abu ‘Abdullah Muhamad bin Ahmad al-Ansari al-Qurtubi (1937), al-Jami‘ Li Ahkam al-Qur’an, juz ke-5, Mesir
:Dar al-Kitab.
Abu al-Suud, Muhammad bin Muhammad al-Amadi (tt), Irshad al-aql al-salim maszaya al-
Abu Ja’afar al-Nuhhas, Ma`ani al-Quran al-Karim, Jami’ah Umm al-Qura, Mekah, 1409, jilid 1,
Adel Allouche (1994), Mamluk Economics, Salt Lake City: University of Utah Press
Ahmad Farid Mustafa etl., al-Iqtisad al-Naqdi wa al-Masrafi baina al-Nazoriyyah wa al-Tadbiq, Muassasah
Syabab al-jamiah, Iskandariah, Mesir.
Ahmad Hassan (1999), al-Awraq al-Naqdiyyah fi al-iqtisad al-Islamiyy. Damsyiq: Dar al-Fiqr
Alaxander Del Mar (1968), A History of Money in Ancient Countries. New York: Burt Franklin
al-Baghawiyy, Abu Muhammad al-Husayn bin Mas’ud al-Farra’ (1987), Ma’alim al-Tanzil, Beirut;Dar al-
Ma’rifah
Al-Ghazali, Abu Hamid, Ihya’ Ulumuddin, Bab al-Sukr, jil. 4, hlm. 49, Dar al-Ma’rifat, Beirut.
Al-Kasani, Alaudin Abu Bakr bin Mas’ud (1986), Badai’ al-Sonai’ fi Tartib al-Syarai’, jil. 5, hlm. 185, Dar al-
Kutub al-Ilmiah, Beirut.
Al-Naisaburi, Nizamuddin al-Hasan bin Muhamad bin al-Husein al-Qummi, m. 728H, Gharaib al-Quran wa
Raghaib al-Furqan, Tahqiq: al-Syeikh Ibrahim Utwah Iwadh, Matba’ah al-Babi al-Halabi, Mesir.
Al-Saraksi, Syamsuddin Abu Bakr Bin Ahmad Bin Sahl al-Saraksi, Kitab al-Mabsut, Matba’ah al-Sa’adah, Mesir,
al-Sayutiyy (1993), Abd al-Rahman bin al-Kamal Jalal al-Din, al-Dur al-Mansthur, jilid 2.
Al-Shawkaniyy (tt), Muhammad bin Ali bin Muhammad, Fath al-Qadir, jilid 3,Dar al-Fikr, Beirut.
Al-Syairazi, Ibrahim bin Ali bin Yusuf,m. 476M, al-Muhazzab, jil. 1, hlm. 345, Matba’ah al-halabi, Mesir.
Al-Syeikh Muhamad Ali bin al-Syeikh Hussein Mufti al-Malikiyyah, Tahzib al-Furuq wa al-Qawaid al-Saniyyah
fi al-Asrar al-Fiqhiyyah, Dar Ihya’ al-Kutub al-Arabiyyah, Mesir.
Al-Tabariyy, Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Khalid, Jami’ al-Bayan al-Ta’wil ay al-Quran, jilid 12, hlm. 101
Dinar Emas dalam Islam 461
Amat @ Anwar Haji Zainal Abidin (2002), 'Sejarah Penggunaan Matawang Dinar' dalam Seminar Dinar Pringkat
Kebangsaan, anjuran Universiti Sainis Islam Malaysia, 16 Mac 2002 di Kuala Lumpur
Encyclopedia Britannica (2002). (CD-ROM)
Ezani Yaacob (2002), Wang “Dari Perspektif Islam dan Konvensional”, Jurnal Tasawwur Islam, Jil. 5, Ogos 2002,
Shah Alam: Pusat Pendidikan Islam Universiti Teknologi Mara
Ibn al-Qayyim (1982), I’lam al-Muwaqiin, jil. 2, hlm. 135, Dar al-Fikr; Mesir.
Ibn Khaldun, Abdul Rahman bin Khaldun (1984), al-Muqadimah, Dar al-Sa’b, hlm. 344, Kaherah, Mesir.
Ibn Qudamah, Muwaffiq al-Din Abu Muhamad Abdullah bin Ahmad bin Muhamad bin Qudamah, Syarh ala
Mukhtasar al-Kiraqi, Cetakan syari’ al-Falaki, Kaherah, Mesir
Ibnu al-Jawziyy, Abd Rahman bin Ali bin Muhammad (1984), Zad al-Masir fi Ilmi Tafsir, Beirut: al-Maktabah al-
Islamiy
Ibnu Kathir , Ismail bin Umar bin Kathir al-Dimashqiyy. 1981M/1401H, Tafsir al-Quran al-azim, Beirut; Dar al-
Fikr
Imran N. Hosein (2008), Dinar Emas dan Dirham Perak: Islam dan Masa Depan Wang, Kuala Lumpur :Darul
Fikir
Kamaru Salam Yusof (2005), Matawang Semasa dan Permasalahannya Menurut Islam, Tesis Ijazah Doktor
Falsafah, Fakulti Pengajian Islam.
Rafiq Yunus al-Misriy (1981), al-Islam wa al-Nuqud, al-Markaz al-Alami li Abhath al-Iqtisad al-Islamiy, Jeddah.
Syauqi Ahmad Dunya (1984), Durus fi al-Iqtisad al-Islamiy, al-Nazoriyyah al-Iqtisodiyyah min Manzur Islamiy,
Cetakan Pertama, 1404h/1984M, hlm. 308-310.
Umar Azmon Amir Hassan (2002), “Penggunaan Mata Wang Dinar Dalam Era Globalisasi”, (Kertas Kerja di
Seminar Dinar Peringkat Kebangsaan, Kolej Universiti Islam Malaysia : Kuala Lumpur, 16 Mac 2002).