assign warga tua- edit[1]
TRANSCRIPT
TAJUK TUGASAN: PENGABAIAN WARGA TUA
Pendahuluan
Malaysia merupakan sebuah negara sedang mengalami kerancakan pembangunan dengan
kelahiran manusia yang semakin bijak. Namun, fenomena yang mendukacitakan iaitu isu
pengabaian warga tua semakin menular ke seluruh pelusuk buana bagaikan virus yang semakin
hari semakin membimbangkan dan semakin mendapat perhatian semua pihak. Tidak ketinggalan
juga para wartawan yang menginginkan topik hangat memandangkan isu ini meniti dari bibir ke
bibir dalam segenap lapisan masyarakat. Saban hari, isu ini sering terpampang di dada akhbar, di
corong radio atau televisyen serta internet. Pepatah Melayu yang berbunyi ‘bagai kacang
lupakan kulit’ dilihat amat sesuai dibincangkan bagi isu golongan warga emas yang kian terabai
kebajikannya.
Latar Belakang
Warga tua boleh didefinisikan sebagai mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Penubuhan Dasar
Warga Tua Malaysia bertujuan untuk mewujudkan masyarakat warga tua yang sejahtera,
bermaruah, mempunyai martabat diri yang tinggi dengan mengoptimumkan potensi diri dan
menentukan mereka menikmati semua peluang di samping mendapat penjagaan dan
perlindungan (Anon, 2011a).
Rumah warga tua adalah sebuah institusi kebajikan yang memberi penjagaan dan
perlindungan penuh kepada warga tua yang tidak mempunyai pendapatan untuk menampung
kehidupan sendiri disebabkan tiada kemampuan dari segi fizikal dan kewangan, tidak
mempunyai tempat tinggal, tidak mempunyai anak yang sanggup menyumbang nafkah hidup
kepadanya atau kerap kali menjadi punca perselisihan tanggapan dan menjejaskan keharmonian
serta kesejahteraan keluarga. Jabatan ini memastikan institusi tersebut merasa seperti rumah
mereka sendiri dengan kehadiran kakitangan yang mesra. Msalnya, terdapat tiga buah Rumah
Warga Tua di seluruh Negeri Sabah yang menempatkan Warga Tua misalnya Rumah Warga Tua
Sri Pritchard Kinarut, Rumah Warga Tua Sri Harapan Sandakan an Rumah Warga Tua Air Panas
Tawau (Anon, t.th).
Terdapat beberapa aktiviti yang telah diperkenalkan bertujuan supaya penghuni warga tua
tidak merasa bosan dan menganggap rumah tersebut adalah tempat tinggal mereka. Antara
aktiviti yang dilakukan adalah penjagaan 24 jam oleh kakitangan bertugas, bimbingan dan
nasihat kepada penghuni yang menghadapi masalah peribadi, menerima kunjungan daripada
masyarakat luar atau agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan sekolah serta membantu
melaksanakan kerja ringan seperti membersihkan asrama, membantu di dapur atau dewan
makan, bercucuk tanam dan membantu penghuni uzur. Untuk melaksanakan kerja-kerja ini
penghuni di beri elaun dibawah ‘ Prosedur Pembayaran Elaun Kerja Penghuni Rumah Warga
Tua 2002’ (Anon, t.th).
Dapatan Kajian
Isu pengabaian atau penyisihan warga tua semakin menjadi-jadi dari sehari ke sehari. Hal
ni menarik minat ramai masyarakat di luar sana untuk mengkaji mengenainya. Beberapa contoh
kajian telah diambil untuk menguatkan lagi punca berlakunya masalah yang membimbangkan
ini. Kewujudan dan pertambahan rumah orang tua di negara kita jelas menggambarkan kesan
kehidupan masyarakat khususnya di alaf 21 ini apabila kita tua nanti.
Dalam satu kajian yang dibuat oleh Jabatan Kebaikan Masyarakat (KJM), warga emas
melayu paling ramai menghuni rumah orang tua di seluruh negara di bawah seliaan jabatan
berkenaan. Timbalan Penguasa Rumah Orang Tua Seri Kenangan Cheng Melaka, Mohd Emran
Abdul Salam, berkata majorit daripada 236 penghuni rumah berkenaan merupakan penghuni
melayu (Anon, 2008).
Menurut statistik Jabatan Pembangunan Masyarakat, JAPEM, dari tahun 2000 hingga
2008, seramai sembilan warga emas dilaporkan tinggal sendirian manakala sejumlah 21 orang
lagi dilaporkan menghadapi masalah penjagaan. Walaupun jumlah berkenaan masih kecil,
namun perbuatan anak tempatan seumpama itu tidak dapat diterima masyarakat di negara ini
bahkan sangat memalukan dan dikesali (Anon, 2008).
Satu Kajian telah dijalankan di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur bertujuan meninjau
fenomena bagaimana seseorang penjaga atau seorang anak dewasa mengharungi pengalaman
dalam mengurus aktiviti harian ibu bapa mereka yang sudah tua. Hasil kajian mendapati
masyarakat yang bekerja sering kali mengalami masalah kewangan untuk menjaga ibu bapa
mereka. Jadi mereka mengharapkan bantuan daripada kerajaan untuk meringankan beban
mereka. Misalnya pihak kerajaan boleh menyediakan pusat jagaan harian untuk warga tua bagi
memudahkan anak-anak menghantar ibu bapa semasa mereka pergi bekerja. Kewujudan pusat
jagaan warga tua secara percuma ibarat ‘durian runtuh’ bagi masyarakat yang mengalami
masalah kewangan hidup. Walau bagaimanapun, masih ramai masyarakat di luar sana sanggup
untuk membuat bayaran demi memastikan keselamatan ibu bapa mereka terjamin semasa
ketiadaan anak yang keluar bekerja. Si anak akan menjemput ibu bapa mereka sebaik sahaja
pulang dari bekerja (Khadijah Alavi, 2007).
Kajian juga pernah dijalankan oleh bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM
mengenai aspek sokongan emosi. Hasilnya pelajar ini dapat mengesahkan pasangan penjaga
sebagai pemberi bantuan fizikal dan emosi utama dalam proses penjagaan warga tua. Sesetengah
insan mungkin merasa bebanan untuk menyara keluarga sendiri apatah lagi menyara orang tua
mereka tatkala kos kesihatan semakin hari semakin meningkat. Artikel ini meninjau tentang
siapa yang terlibat di sebalik pengabaian warga ua serta siapa pula yang terlibat di sebalik
penjagaan ibu bapa. Ternyata, kajian ini telah berjaya membuktikan bahawa pasangan penjaga
memainkan peranan yang besar. Masalah pengabaian warga tua dapat dikurangkan sekiranya
pasangan penjaga sentiasa memberi galakan dan dorongan positif mengenai penjagaan warga tua
(Khadijah Alavi et al. 2011).
Kajian kes turut dilakukan oleh Syahrin bin ahmad, seorang pelajar Universiti Teknologi
Mara, UITM. Kajian tersebut dijalankan untuk mendapatkan rekabentuk persekitaran pusat
penjagaan warga tua. Kajian tersebut telah dilakukan di Rumah Sri Kenangan Cheras, Kuala
Lumpur. Kajian tersebut juga memerlukan ramai responden bagi mendapatkan keputusan yang
lebih tepat (Syahrin bin Ahmad, 2001).
Antara kajian lain adalah kajian untuk memperihal hubungan dan sokongan sosial
daripada ahli keluarga dan jiran tetangga kepada warga tua. Kajian tersebut dilakukan di Daerah
Limbongan, Pasir Puteh, Kelantan bertujuan untuk menentukan perkaitan di antara ciri latar
belakang terpilih warga tua, hubungan sosial warga tua dengan keluarga, dan jiran tetangga, serta
sokongan sosial daripada keluarga dan jiran tetangga, dengan kesejahteraan sebenar dan
kesejahteraan tanggapan warga tua (Wan Ibrahim Wan Ahmad, 1999).
Faktor Pengabaian Warga Tua
Persoalan faktor pengabaian atau penyisihan golongan warga tua sering bermain di minda.
Dengan kelulusan tinggi yang dimiliki oleh sebilangan besar anak-anak zaman ini menjadikan
mereka begitu memfokuskan pandangan dan pemikiran mereka kepada kerjaya semata-mata bagi
membina kejayaan hidup dengan pangkat, gelaran dan jawatan yang bergerak seiring dengan
usaha dan komitmen mereka terhadap kerjaya. Keadaan ini amat menyedihkan apabila si anak
zaman ini tidak ada lagi peruntukan masa untuk ibu bapa di kampung yang sentiasa menantikan
panggilan telefon atau menjengah mereka pada hujung minggu (Anon. 2010a).
Maklumat daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) menjelaskan punca
berlakunya pengabaian terhadap warga tua yang sudah tidak berupaya di negara ini ialah kerana
malu untuk menjaga mereka yang menghadapi masalah fizikal dan mental, dan ada juga kerana
membalas dendam terhadap kelakuan, peristiwa atau pun kisah lampau warga tua berkenaan.
Selain itu, tedapat juga kes yang dilaporkan melibatkan keluarga terdekat atau adik-beradik yang
tidak mahu menjaga ibu bapa lebih-lebih lagi untuk menjaga saudara mereka yang tidak
berkahwin yang sudah tentu tidak mempunyai anak (Anon. 2008).
Masalah kewangan juga dikatakan punca ketidakmampuan mereka untuk selalu
menjengah ibu bapa di kampung atau menjaga orang tua sehingga mengambil keputusan
menghantar orang tua mereka ke pusat kebajikan dan rumah warga tua. Proses urbanisasi dan
modenisasi yang begitu pesat berlaku di negara ini menjadikan anak-anak tinggal di taman
perumahan yang terdiri daripada rumah teres, apartmen, rumah pangsa dan kondominium yang
terdapat pelbagai lapisan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Atas alasan malu
dan tidak mahu dipandang serong oleh komuniti dan masyarakat kediaman mereka, maka si anak
tidak sanggup untuk membawa ibu bapa mereka tinggal bersama kerana ibu bapa yang telah tua
atau nyanyuk akan menimbulkan masalah dengan komuniti dan masyarakat setempat (Anon.
2010a).
Punca warga tua terbiar juga disebabkan oleh sifat individualisme dan mementingkan diri
masyarakat kita di Malaysia. Tamadun manusia walau apa pun agamanya, meletakkan
kedudukan yang tinggi kepada orang yang lebih tua, terutamanya terhadap kedua ibu-bapa.
Tamadun itu semakin hari semakin ditelan arus pembangunan. Akibatnya anak-anak yang sudah
berkeluarga bukan sahaja tidak lagi berminat tinggal dengan ibu bapa malah jumlah orang
menghubung kaitkan antara punca masalah sosial dengan cara penyelesaiannya.
Dari satu aspek yang lain, punca pengabaian warga tua juga mungkin disebabkan oleh
tindakan ibu bapa itu sendiri. Pengabaian terhadap kedua ibu bapa juga mungkin disebabkan oleh
pengalaman anak-anak itu sendiri di alam kanak-kanaknya. Mungkin semasa mereka kecil,
kedua ibu bapa mereka bersifat bengis, suka mendera sama ada dari aspek fizikal atau mental,
ditambah pula dengan kurangnya pendidikan agama. Maka, anak-anak akan bertindak balas dan
menyimpan perasaan untuk membalas dendam terhadap kedua ibu bapanya yang dianggap kejam
itu. Oleh itu, salah satu cara untuk memuaskan hati ialah dengan mengabaikan kebajikan dan
kesihatan kedua ibu bapa mereka yang uzur dan tidak berkeupayaan sebagaimana yang dialami
oleh anak- anak mereka dulu. Perasaan dendam terhadap orang tua kita seharusnya diluputkan
kerana pintu kemaafan itu terletak di telapak kaki ibu dan ayah.
Bukan itu sahaja, anak-anak juga sering memandang ringan terhadap orang tua mereka.
Mereka menganggap ibu bapa telah tua tidak berguna dan berjasa lagi. Mereka tidak terfikir
tentang jasa-jasa yang telah diberikan oleh ibu bapa mereka sehingga anak-anak dapat menikmati
kesenangan seperti yang dinikmati hari ini. Ingatlah, mereka amat berpengalaman dan segala
pandangan, nasihat serta tunjuk ajar mereka patut dihargai dan dijadikan pedoman hidup. Selain
itu, yang menyebabkan orang tua diabaikan sehingga ada anak-anak yang sanggup menghantar
ibu bapa ke rumah orang tua atau membiarkan mereka tinggal sendirian ialah disebabkan
kecacatan, nyayuk, tidak bersefahaman diantara anak atau menantu dengan ibu bapa, kesibukkan
anak dengan tugas harian dan masalah kewangan (Anon. 2010b)
Langkah Mengatasi Masalah Pengabaian Warga Tua
Menjaga warga tua merupakan tanggungjawab semua pihak terutamanya institusi keluarga,
masyarakat dan kerajaan bak kata pepatah 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh' . Terdapat juga
pepatah melayu lama yang menyatakan,'tiada gunung yang tidak dapat didaki dan tiada lurah
yang tidak dapat dituruni’. Hakikatnya, setiap pemasalahan pasti ada jalan penyelesaiannya. Oleh
yang demikian, pelbagai langkah drastik dan dominan perlu direncanakan dan dilaksanakan
secara berperingkat dan dinamik untuk memerangi isu pengabaian warga tua.
Terdapat pelbagai langkah berkesan yang mungkin boleh dilakukan oleh kerajaan untuk
mengatasi masalah pengabaian warga tua. Kaedah yang paling berkesan adalah melalui kaedah
media massa seiring dengan kerancakan pembangunan yang sedang berlaku di Malaysia. Kaedah
tersebut boleh dilakukan melalui penyebaran maklumat yang bertujuan untuk meningkatkan
kesedaran dan minat dalam pengurusan dan penjagaan ibu bapa.
Kerajaan seharusnya memainkan peranan dalam meningkatkan kempen kesedaran kepada
masyarakat di luar sana mengenai kesan daripada pengabaian warga tua. Kempen ini akan dapat
memberi kesedaran kepada generasi muda supaya mengingati jasa keda-dua ibu bapa mereka
sekaligus mampu membalas jasa ibu bapa. Generasi muda sepatutnya sentiasa berusaha untuk
menggembirakan hati warga tua bagi membalas jasa dan pengorbanan mereka dalam
membesarkan dan memastikan anak-anak mendapat keperluan yang mencukupi. Kempen
kesedaran tentang masalah yang berkaitkan warga tua seperti mengadakan hari ibu dan hari bapa.
Hari ibu dan hari bapa harus disambut bagi menyanjung dan mengingati jasa dan pengorbanan
mereka. Melalui hari ibu dan bapa ini ia sikit sebanyak akan menyedarkan golongan anak-anak
yang tidak mempedulikan ibu bapa mereka.
Kerajaan juga sepatutnya perlu menambah program advokasi bagi membentuk kesedaran
masyarakat tentang penuaan yang positif dan meningkatkan kesedaran berkaitan dengan warga
tua dalam komuniti setempat. Ia boleh dijalankan melalui publisiti dan kempen melalui media
cetak dan media elektronik. Kerajaan perlulah lebih aktif dalam menyampaikan maklumat dan
pengetahuan kepada masyarakat. Maklumat dan pengetahuan yang perlu disebarkan adalah
mengenai pusat penjagaan yang berkonsepkan ‘pondok’, pusat jagaan harian, pusat jagaan
sementara (respite care), kumpulan sokongan penjagaan (caregiver support group),
perkhidmatan bantuan ke rumah-rumah (home help services),bantuan kewangan dan peralatan
untuk warga tua serta penjaga mereka (Khadijah Alavi, 2007).
Memandangkan pelbagai masalah sosial yang timbul di negara barat, masyarakat harus
mengekalkan nilai moral yang sedia ada tanpa sesekali terikut dengan budaya barat. Nilai moral
seperti menghormati orang tua merupakan suatu nilai luhur yang diamalkan oleh masyarakat
Melayu dari zaman dahulu kala lagi. Jadi, generasi muda mestilah berpegang kepada nilai moral
yang menjadi asas dalam menghuraikan permasalahan sosial seperti masalah warga tua yang
terbiar dan lain-lain.
Selain itu, kerajaan boleh mengadakan pusat jagaan harian untuk warga tua bagi
memudahkan anak-anak menghantar ibu bapa semasa mereka pergi bekerja. Hal ini kerana ramai
generasi muda yang bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup. Mereka terpaksa
meninggalkan ibu bapa di rumah semasa keluar bekerja. Mereka sebenarnya risau dengan
keselamatan dan perasaan ibu bapa tetapi pekerjaan mereka harus diteruskan jua untuk menyara
mereka. Jadi, mereka bolehlah menghantar ibu bapa ke pusat jagaan harian untuk warga tua
sementara mereka keluar bekerja. Selepas pulang dari tempat kerja. Mereka boleh membawa
pulang ibu bapa mereka semula. Hal ini dapat diselesaikan sekiranya pihak kerajaan bersetuju
untuk mewujudkan atau menambahkan pusat jagaaan warga tua.
Langkah seterusnya, anak-anak haruslah diberi didikan agama dan pendedahan dari awal
lagi tentang menghormati ibu bapa. Anak-anak yang diberi didikan agama dari kecil lagi akan
dapat mengelakkan masalah penyisihan ibu bapa. Anak-anak yang mempunyai asas agama pasti
akan mempunyai rasa tanggung jawab dalam menjalankan tugas menjaga ibu bapa yang sudah
berumur. Selain didikan agama yang diterapkan kepada anak-anak sejak kecil lagi pendidikan
moral juga perlu diterapkan disekolah rendah dan sekolah menengah. Pendidikan agama yang
dihubungkan dengan memperbanyakkan konsep inter-generasi di mana agensi atau pusat
penjagaan haruslah menyediakan penjagaan kepada penjaga perlulah diwarwarkan agar mereka
lebih sedar tentang sumber yang boleh didapati terutamanya mereka yang tinggal di kawasan
luar bandar.
Selain itu, kerajaan perlu menyediakan satu sistem pendaftaran penjaga supaya segala
bentuk bantuan dan program boleh disalurkan dengan mudah. Maknanya, persoalan siapa yang
menjaga siapa dalam masyarakat dapat dikesan atau diketahui (Anon. 2010a).
Sikap segelintir anak yang mengambil jalan mudah dengan menghantar ibu bapa mereka
ke rumah warga tua tetap tidak wajar walau apa jua alasannya. Alasan sibuk bekerja atau
masalah kewangan sekalipun tidak mampu dijadikan alasan sama sekali. Jika diperhatikan pada
hari ni, terdapat ramai anak yang beralasan terdesak menghantar ibu bapa mereka ke rumah
orang tua disebabkan tekanan dan desakan ekonomi.
Memang ada anak-anak menjaga orang tua mereka dengan rela hati dan penuh kasih sayang
sehingga kadang-kadang mereka sendiri mengalami tekanan secara sedar atau tidak. Tugas
menjaga bukan sahaja memerlukan tenaga, tetapi masa, dan sumber kewangan yang cukup di
samping menjalankan tanggungjawab sosial yang lain.jadi kerajaan perlu menyediakan pelbagai
bantuan, program, dan insentif kepada penjaga yang menjaga warga tua (Anon. 2010c).
Pihak berkuasa tempatan pula seharusnya membentuk dasar dalam memberi keutamaan
perumahan kepada penjaga yang menjaga ibu bapa yang tua, di samping mewujudkan struktur
perumahan yang sesuai untuk ibu bapa yang tua di bandar. Masyarakat di Malaysia mungkin
boleh mengambil contoh negara maju seperti Amerika Syarikat. Negara seperti Amerika Syarikat
telah menyediakan perumahan atau bangunan untuk warga tua yang lebih suka hidup sendiri. Hal
ini tidak sesekali mendorong genserasi muda menghantar warga tua ke rumah kebajikan
sebaliknya diharapkan langkah proaktif dapat diambil bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti
rumah penjagaan harian untuk warga tua dan rumah penjagaan sementara, terutama untuk
melatih warga tua berdikari dan memberi peluang kepada penjaga berehat seketika (Anon.
2010c).
Secara praktis, kerajaan telah mengaplikasikan bantuan dan sokongan untuk warga tua
dan penjaga mereka di Malaysia. Tetapi kekurangan rumah penjagaan harian dan rumah
penjagaan sementara amat serius dalam jangka masa sepuluh tahun akan datang. Polisi ini secara
signifikan dapat mengurangkan beban penjagaan oleh anak dewasa dan kesejahteraan warga tua
pula lebih terjamin dan berkualiti (Khadijah Alavi et al. 2011).
Walau bagaimanapun, apa yang paling penting dalam usaha membanteras masalah
pengabaian warga tua adalah dengan memastikan terlebih dahulu niat dan hati masing-masing
bersih dan tulus. Generasi muda perlu mengikis sifat memandang remeh kepada orang tua yang
kurang bernasib baik . Anak-anak juga perlu membuang sifat memandang hina kepada ibu bapa
yang dianggap semain tua semakin tidak berguna dan tidak diperlukan lagi.
Masyarakat haruslah mengubah sikap dengan mengamalkan sistem keluarga luasan iaitu
isi rumah yang merangkumi ibu bapa, anak-anak, datuk dan nenek atau anggota keluarga yang
lain. Hal ini secara tidak langsung dapat memupuk rasa tanggungjawab dan perasaan berkasih
sayang sesama isi rumah. Selain itu, sistem ini juga dapat memberi sokongan serta ikatan
kekeluargaan yang kuat oleh ahli keluarga terhadap warga tua. Tambahan lagi, berbuat baik
terhadap kedua-dua orang tua hukumnya adalah wajib kerana ia merupakan perintah daripada
Allah Subhanahu Wata’ala (Anon. 2008).
KESIMPULAN
Kesimpulannya, menjaga warga tua atau ibu bapa yang sudah lanjut usia bukan masalah
individu, sebaliknya melibatkan semua pihak terutama institusi keluarga, masyarakat dan
kerajaan. Maka, semua pihak harus berganding bahu berusaha menyelesaikan masalah ini yang
seolah-olah menjadi satu fenomena di zaman kini. Sesungguhnya, setiap masalah pasti ada jalan
penyelesaian.
Walau apa jua alasan yang diberikan oleh seseorang individu yang mengambil keputusan
menghantar ibu bapa mereka ke rumah kebajikan, perbuatan tersebut tetap tidak diterima. Tidak
sewajarnya seseorang anak berbuat demikian kerana ia bermakna si anak menderhaka dan
mengabaikan tanggung jawab sebagai seorang anak. Tamadun manusia sentiasa meletakkan
kedudukan yang tinggi tidak kira apa jua agama yang dianuti. Janganlah sesekali mengamalkan
sikap individualism atau mementingkan diri kerana ia akan memakan diri sendiri kelak.
Jika ibu bapa sanggup menjaga kehadiran anak yang ramai, maka si anak pula wajar
menjaga ibu bapa mereka juga, lebih-lebih lagi mereka yang sudah tua dan tidak berupaya
menyara hidupnya sendiri. Sebenarnya, setiap yang dilakukan atau dikorbankan belum cukup
untuk membalas jasa ibu dan bapa, namun semasa mereka masih hidup inilah kesempatan kita
untuk berbakti kepada mereka dengan sebaik-baiknya.
Justeru, tunaikanlah tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa yang telah banyak
berkorban untuk kita dan jadilah anak yang memuliakan ibu bapa sehingga akhir hayat mereka.
Janganlah sesekali kita menjadi ‘Si Tanggang’ zaman moden dan hanyut dalam dunia khayalan
yang akhirnya memakan diri sendiri. Ingatlah, hidup ini satu putaran.
RUJUKAN
Anon. 2011a. http://id.wikipedia.org/wiki/Orang_tua (20 Oktober 2011).
Anon. 2010a. Faktor pengabaian anak terhadap ibu bapa. http://awanis29.blogspot.com/2010/05/rumusan-faktor2-pengabaian-anak.html (21 Oktober 2011).
Anon. 2010b. Pengabaian ke atas warga tua. http://fenomena-sosial.blogspot.com/2010/09/pengabaian-warga-tua.html (21 Oktober 2011).
Anon. 2010c. http://bm-stpm.blogspot.com/2010/02/menjaga-warga-emas-tanggungjawab-semua.html#axzz1btFdlKdP (21 Oktober 2011).
Anon. 2008. Media Permata. http://hjmohdazizan.multiply.com/journal/item/69 (24 Oktober 2011).
Anon. t.th. http://www.sabah.gov.my/jpka/institusi/khidmat%20rwt.html (18 Oktober 2011).
Syahrin bin Ahmad. 2001. Rekabentuk persekitaran pusat penjagaan warga tua kajian kes: Rumah Sri Kenangan Cheras. http://eprints.ptar.uitm.edu.my/993/ (22 Oktober 2011)
Khadijah Alavi, 2007. Pengalaman Anak Dewasa Berpendapatan Rendah yang Menjaga Ibu Bapa Tua: Satu Pendekatan Berteraskan Pendidikan Komuniti. Universiti Putra Malaysia.
Khadijah Alavi et al. 2011. Keperluan Sokongan Emosional dalam Kalangan Anak Dewasa yang Menjaga Warga Tua. Universiti Putra Malaysia.
Wan Ibrahim bin Wan Ahmad. 1999. Hubungan Sosial, Sokongan, dan Kesejahteraan Warga Tua: Satu Kajian di Pedesaan Kelantan. http://psasir.upm.edu.my/8762/ (22 Oktober 2011).