w-05-154-06-2014

11
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: W-05-154-06/2014 ANTARA LOKASVARAN A/L RAMASAMY ... PERAYU LAWAN PENDAKWA RAYA RESPONDEN DIDENGAR BERSAMA RAYUAN JENAYAH NO: W-05-155-06/2014 (RAYUAN SILANG) ANTARA PENDAKWA RAYA ... PERAYU LAWAN LOKASVARAN A/L RAMASAMY RESPONDEN

Upload: zamribakar196752536

Post on 10-Jul-2016

260 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: W-05-154-06-2014

1

DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA

(BIDANG KUASA RAYUAN)

RAYUAN JENAYAH NO: W-05-154-06/2014

ANTARA

LOKASVARAN A/L RAMASAMY ... PERAYU

LAWAN

PENDAKWA RAYA … RESPONDEN

DIDENGAR BERSAMA

RAYUAN JENAYAH NO: W-05-155-06/2014

(RAYUAN SILANG)

ANTARA

PENDAKWA RAYA ... PERAYU

LAWAN

LOKASVARAN A/L RAMASAMY … RESPONDEN

Page 2: W-05-154-06-2014

2

___________________________

(Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur

Perbicaraan Jenayah No: 45-21-/2010)

Di antara

Pendakwa Raya

lawan

Lokasvaran a/l Ramasamy

KORUM:

MOHTARUDIN BAKI, HMR

TENGKU MAIMUN TUAN MAT, HMR

ZAKARIA SAM, HMR

PENGHAKIMAN

Pengenalan

[1] Rayuan Jenayah No. W-05-154-06/2014 adalah rayuan oleh

tertuduh ke atas keputusan Mahkamah Tinggi yang telah

mensabitkannya di bawah pertuduhan pindaan s.304(a) Kanun

Keseksaan (KK) dan menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara dari tarikh

tangkap.

Page 3: W-05-154-06-2014

3

[2] Rayuan Jenayah No. W-05-155-06/2014 pula adalah merupakan

rayuan Pendakwa Raya ke atas keputusan hakim bicara yang telah

meminda pertuduhan asal terhadap tertuduh dari s.302 KK kepada

s.304(a) KK.

Pertuduhan

[3] Pertuduhan asal ke atas tertuduh adalah seperti berikut:

‘Bahawa kamu pada 19 Oktober 2009, jam lebih kurang 12.30 pagi, di

kawasan Blok A, Flat Sri Puteri, Taman Desa Sri Puteri, Desa Petaling,

Salak Selatan Baru, di dalam Daerah Cheras, di dalam Wilayah

Persekutuan Kuala Lumpur telah melakukan pembunuhan terhadap

Gunalan a/l Balakrishnan K/P No. 860802-14-5157. Oleh yang

demikian kamu telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 302

Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.’

Kes pendakwaan

[4] Pada 18.10.2011, jam lebih kurang 10 malam, Suris Kumar (SP5)

bersama Choudry (simati dalam satu kes lain), Mohan (SP7) dan

Pubalan (SP9) telah pergi ke rumah adik ipar SP5, Tamil Selvam (SP8)

untuk menghadiri jamuan Deepavali di Flat Sri Puteri, Desa Petaling,

Cheras. Mereka makan dan minum di tempat letak kereta dan minum

minuman keras.

[5] Semasa minum, dua orang telah datang berjumpa SP8 untuk

menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku antara SP8 dengan

Page 4: W-05-154-06-2014

4

seorang lain. Selepas itu Gunalan a/l Balakrishan (simati) bersama dua

orang lagi datang menyertai majlis tersebut bersama satu kumpulan.

[6] Selepas tengah malam, datang sekumpulan 5 ke 6 orang

(termasuk 2 orang yang datang berjumpa SP8 tadi) membawa minuman

keras menyertai mereka.

[7] Kemudian salah seorang daripada kumpulan 5 ke 6 orang itu

(dikatakan Vignes) bangun menghidupkan enjin motosikalnya dan

menunggang mengelilingi kawasan flat. Bunyi motosikalnya sangat kuat.

Vignes berhentikan motosikalnya dan bertanya siapakah yang

mengatakan motosikalnya bunyi kuat. SP5 yang berdiri menjawab tiada

orang yang berkata sedemikian.

[8] Kumpulan 5 ke 6 orang itu kemudiannya mengelilingi SP5 dan

salah seorang daripada mereka iaitu tertuduh menunjukkan ke arah

simati. Kemudian tertuduh mengambil penyeduk sampah dan memukul

kepala simati, kemudian menikam belakang simati dengan pisau. Simati

telah meninggal dunia.

[9] SP6, SP7 dan SP8 melihat tertuduh menikam simati.

[10] Pathologist Prof Madya Dr. Faridah binti Mohd Nor (SP4)

mengesahkan kecederaan simati itu akibat luka tikaman iaitu:

i. Stab wound on the left, mid-back, below the top of the left

shoulder;

Page 5: W-05-154-06-2014

5

ii. Stab wound on the left upper back, below the top of the left

shoulder; and

iii. Stab wound on the base of nape of left neck, below the tip of

the left shoulder.

yang telah menembusi paru-paru sebelah kiri menyebabkan

pendarahan di ruang thorax sebelah kiri. Selain itu luka-luka ini

menyebabkan hirisan pada artery sebelah kiri dan menyumbangkan

kepada pendarahan yang banyak.

[11] SP4 juga mengatakan ‘there was no significant natural disease in

his body that could have caused or contributed to his death at that

particular moment in time. He died of multiple stab wounds to the back.

He died of a homicidal death’.

Dapatan hakim bicara di akhir kes pendakwaan

[12] Di akhir kes pendakwaan, hakim bicara mendapati pihak

pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie. Tertuduh

diperintah membela diri.

Kes pembelaan

[13] Tertuduh memberikan keterangan secara bersumpah.

[14] Menurut tertuduh, pada 18.10.2009 beliau telah pergi ke rumah

SP8 untuk menghadiri jamuan Deepavali atas jemputan SP8. Beliau

sampai di rumah itu lebih kurang jam 11.30 malam. Tertuduh pergi ke

Page 6: W-05-154-06-2014

6

suatu ‘port’ di bawah sebatang pokok dan menjamu selera bersama

Vignes, Vengadesh, Prakash dan Manivanan yang telah pun berada di

situ. Mereka minum arak.

[15] Pada masa itu terdapat dua kumpulan lelaki India sedang minum

di situ iaitu kumpulan saudara SP8 dan kumpulan tertuduh.

[16] Ketika sedang minum, Vignes mengambil motosikalnya dengan

menunggang dengan laju dan berbunyi bising. Kumpulan SP8 menegur

Vignes dan mencampakkan gelas ke arah kumpulan tertuduh dan

pergaduhan berlaku. Tertuduh cuba menghalang pergaduhan tersebut.

[17] Pada masa itu tertuduh ternampak Prakash mengambil sesuatu

benda tajam dari motosikal Vignes dan mengejar simati. Tertuduh

menafikan beliau telah menikam simati.

[18] Muniandy @ Murthial Rajendran (SD2) menyokong keterangan

tertuduh. Menurut SD2, dia sampai ke tempat kejadian sebelum

tertuduh sampai. Semasa tertuduh sampai, SD2 dan kawan-kawannya

Vignes, Vengadesh, Prakash dan Manivanan sedang minum dan

berborak di situ iaitu di bawah pokok.

[19] Kemudian Vignes mengambil motosikalnya dan menunggangnya

di kawasan flat. Apabila Vignes balik, kawan-kawan SP8 menegur

Vignes dengan mengatakan bunyi motosikalnya bising. Vignes

menjawab motosikalnya memang begitu. Kemudian kawan-kawan SP8

membaling gelas ke arah Vignes dan pergaduhan pun berlaku.

[20] SD2 dan tertuduh cuba meleraikan pergaduhan tersebut.

Page 7: W-05-154-06-2014

7

[21] Ketika itu Prakash mengambil satu senjata tajam dari sebuah

motosikal dan mengejar simati. SD2 dan tertuduh juga turut dikejar dan

diserang dengan topi keledar oleh beberapa orang dari kumpulan SP8.

Oleh itu, SD2 dan tertuduh melarikan diri.

[22] Menurut SD2, orang yang mengejarnya adalah simati. Beliau

dapat mengecam simati kerana beliau ternampak Prakash mengejar

simati dan berlari ke arah kawasan rumah SP8.

[23] SD2 menafikan tertuduh ada menyerang sesiapa dan tertuduh

juga memang tidak membawa senjata.

Dapatan di akhir kes pembelaan

[24] Hakim bicara mendapati tertuduh telah mencederakan Gunalan

(simati) tapi dalam keadaan gelap, mabuk dan pergaduhan di antara

kumpulan tertuduh dengan kumpulan SP5, tidak cukup untuk

membuktikan dia mempunyai niat untuk membunuh. Tanpa bukti yang

kukuh, hakim bicara berpendapat pendakwaan telah gagal membuktikan

kesnya di bawah s.302 KK. Hakim bicara telah meminda pertuduhan ke

atas tertuduh kepada s.304(a) KK seperti berikut:

‘Bahawa kamu pada 19 Oktober 2009, jam lebih kurang 12.30 pagi, di

kawasan Blok A, Flat Sri Puteri, Taman Desa Sri Puteri, Desa Petaling,

Salak Selatan Baru, di dalam Daerah Cheras, di dalam Wilayah

Persekutuan Kuala Lumpur telah mematikan orang yang tidak

terjumlah kepada membunuh ke atas Gunalan a/l Balakrishnan K/P

No. 860802-14-5157. Oleh yang demikian kamu telah melakukan

Page 8: W-05-154-06-2014

8

kesalahan yang boleh dihukum di bawah seksyen 304 (a) Kanun

Keseksaan.’

[25] Pertuduhan pindaan dibaca, diterang dan difahamkan kepada

tertuduh. Tertuduh mengaku salah, faham segala sifat akibat

pengakuan. Tertuduh telah disabitkan di bawah s.304(a) KK dan

dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun berkuatkuasa dari tarikh

tangkap.

Rayuan

[26] Peguam perayu yang bijaksana telah membangkitkan satu isu

undang-undang di hadapan kami. Menurut peguam perayu, di akhir kes

pembelaan, hakim bicara telah meminda pertuduhan terhadap tertuduh

dari suatu kesalahan di bawah s.302 kepada s.304(a) KK. Pertuduhan di

bawah s.304(a) KK telah disediakan oleh hakim bicara dan dibacakan

kepada tertuduh di mana tertuduh telah mengaku bersalah kepada

pertuduhan pindaan.

[27] Peguam tertuduh berhujah tindakan hakim bicara telah

memprejudis tertuduh di mana:

i. Dari nota prosiding mahupun rakaman CRT tidak ada rekod

yang menunjukkan tertuduh telah diberitahu akan keadaan dan

akibat pengakuan salahnya itu (nature and consequence of his

plea); dan

ii. Lanjutan dari itu dengan mengaku salah kepada pertuduhan

pindaan itu, tertuduh telah hilang haknya untuk merayu di atas

Page 9: W-05-154-06-2014

9

sabitannya itu, seperti mana diperuntukkan oleh s.305 Kanun

Acara Jenayah (KAJ).

[28] Hakim bicara telah gagal menjalankan tugasnya di bawah. S.158

(ii) KAJ.

[29] Timbalan Pendakwa Raya yang bijaksana bersetuju dengan

hujahan peguam perayu bahawa hakim bicara telah tidak mematuhi

peruntukan s.158(ii) KAJ. Oleh itu pihak pendakwaan tidak akan

membantah sekiranya tertuduh ingin merayu di atas sabitan dan

hukumannya.

[30] Tertuduh bagaimanapun mahukan agar sabitan dan hukumannya

diketepikan dan memohon suatu perintah dari Mahkamah agar kesnya

dikembalikan ke Mahkamah Tinggi dan dibicarakan semula di hadapan

hakim bicara yang lain.

Dapatan kami

[31] Adalah dapatan kami sekiranya di akhir kes pembelaan, seperti di

dalam rayuan di hadapan kami, hakim bicara telah memutuskan suatu

kesalahan di bawah s.304(a) KK telah dibuktikan hakim bicara

sepatutnya terus mensabitkan tertuduh di bawah s.304(a) KK tanpa

perlu menyediakan (framing) satu pertuduhan baru di bawah s.304(a)

KK, membacakan pertuduhan itu dan mengambil pengakuan atau plea

dari tertuduh yang baru kerana kes telah pun selesai dibicarakan dan

sudah tiada lagi saksi yang akan dipanggil.

Page 10: W-05-154-06-2014

10

[32] Rasionalnya telah diterangkan di dalam kes Lew Cheok Hin v. Reg.

[1956] 22 MLJ 131 di mana Taylor H. menyatakan (di m.s 133):

‘Some cases admit of a partial defence. The simplest example is the

everyday Magistrate’s case of a man who hits somebody with a billet of

firewood and breaks his arm. The police always, and correctly, charge

the man with voluntarily causing grievous hurt. There is seldom any

reason to amend at the close of the prosecution. The defence may,

however, raise a doubt as to whether the intention was to cause

grievous, as distinct from simple, hurt. There is no point whatever in

amending the charge at that stage. The charge informed the prisoner

what he had to meet and he has already met it, with success on one

point. The unrebutted residue, however, constitutes a complete

offence. The Code provides that in such a case the Court can forthwith

convict of the reduced offence without the formality of an amendment

which at that stage would be quite useless to the accused.’

[33] Adalah jelas hakim bicara telah mengikut prosedur yang salah.

[34] Walaupun Timbalan Pendakwa Raya tidak bersetuju dengan

permohonan tertuduh agar kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk

dibicarakan semula, beliau bagaimanapun menyerahkan perkara ini

kepada Mahkamah untuk membuat keputusan.

Kesimpulan

[35] Berdasarkan alasan-alasan di atas, kami sebulat suara

memutuskan rayuan tertuduh dibenarkan. Sabitan dan hukuman

terhadap tertuduh diketepikan. Kes ini dikembalikan ke Mahkamah

Tinggi untuk dibicarakan semula di hadapan hakim yang lain.

Page 11: W-05-154-06-2014

11

[36] Dengan keputusan di atas, rayuan oleh Pendakwa Raya telah

menjadi akademik.

t.t

ZAKARIA SAM

Hakim

Mahkamah Rayuan Malaysia

Tarikh: 20 April 2016

Mewakili tertuduh/perayu:

Dato’ Rajpal Singh

(Y. Sheelan Samuagam bersamanya)

[Tetuan Rajpal, Farah & Vishnu]

Mewakili pendakwaan:

Aslinda Ahad

Timbalan Pendakwa Raya

Jabatan Peguam Negara