syababmusafir92.weebly.com · web viewmuhamad amin bin trimo orang jawa setelah perbincangan antara...
TRANSCRIPT
Soalan A1 :Muhamad Amin bin Trimo
Orang Jawa
Setelah perbincangan antara ahli kumpulan kami, kami telah sepakat untuk
memilih kebudayaan etnik Jawa untuk dibincangkan dan mengulas aspek-aspek dari
segi bangsa, struktur masyarakat /kelas sosial, kepercayaan, bahasa, adat resam dan
jantina. Etnik Jawa merupakan sebahagian daripada kaum Melayu yang terdapat di
Malaysia
Pengenalan Kebudayaan
Kebudayaan amat berkait rapat dengan ketamadunan sesuatu bangsa.
Kebudayaan merangkumi tradisi, kepercayaan, perilaku dan benda-benda yang
dipergunakan antara lain masyarakat-masyarakat tertentu dan apa yang memisahkan
cara hidup manusia sejak wujudnya manusia di permukaan bumi ini. Kebudayaan juga
adalah cara hidup manusia yang diturunkan dari satu generasi kepada satu generasi
melalui pengetahuan sama ada bahasa mahupun media simbolik lain dan pengalaman.
Kebudayaan juga adalah keseluruhan yang kompleks di mana di dalamnya terdapat
ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, hukum, adat istiadat dan
kemampuan-kemampuan yang lain serta kebiasaan perilaku manusia sebagai anggota
masyarakat.
Uniknya makna kebudayaan seuniknya budaya yang terdapat dalam sesuatu
kaum. Kaum Melayu khasnya mempunyai berbagai keistimewaan dan keunikan yang
tiada tolok bandingnya. Serumpun Melayu mempunyai pelbagai masyarakat, sama ada
masyarakat Minang, Jawa, Melayu Kedah Tua dan berbagai lagi. Namun, masyarakat
Jawa mempunyai keunikan tersendiri yang tidak dapat dibandingkan dengan etnik
serumpun yang lain. Seperti yang diketahui, masyarakat Jawa merupakan sebahagian
daripada masyarakat di alam Melayu. Pengkajian ini sesungguhnya sangat menarik
kerana berapakah ramai anak bangsa yang mengetahui tentang kebudayaan bangsa
Melayu itu sendiri?. Sesungguhnya masyarakat Jawa mempunyai banyak persamaan
dengan masyarakat Melayu sama ada dari paras rupa, corak hidup dan kepercayaan.
Adalah sukar untuk membezakan antara masyarakat Jawa dengan masyarakat Melayu.
BANGSA JAWA
Kepulauan Jawa, Indonesia
Sebelum mengorak langkah dengan lebih jauh lagi, sewajarnya kita mengetahui
sedikit sebanyak tentang apa itu Jawa. Menurut Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan
Melayu muka surat 1026, Jawa adalah salah sebuah pulau dalam Kepulauan
Indonesia. Keluasan pulau ini ialah 131 350 km persegi termasuk Pulau Madura dan
pulau-pulau kecil lain. Jawa mempunyai penduduk yang paling padat di Asia Tenggara
sekitar 120 juta. Terdiri daripada lima propinsi iaitu Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa
Timur, Daerah khusus Ibu Kota Jakarta dan Daerah Istimewa Yogyakarta.
Kebudayaan Jawa seperti yang diketahui adalah salah satu kebudayaan di Asia
yang paling kuno dan identiti akan tradisi, perilaku dan peralatan kuno. Kekayaan ini
cukup nyata dari sejarah kebudayaan Jawa yang wujudnya selama lebih dari seribu
tahun di daerah-daerah tertentu di pulau Jawa. Walaupun begitu, kebudayaan Jawa itu
berasal dari berbagai-bagai tradisi, kepercayaan dan cara hidup orang-orang dan bagi
orang Jawa yang tinggal di pulau Jawa, ‘kebudayaan’ adalah sesuatu yang mereka
anuti dan percaya sesuai dengan kondisi dan situasi lokal, sejarah dan pengaruh-
pengaruh luar. Jadi, walaupun kebanyakan orang Jawa akan mendentifikasikan dirinya
sendiri dengan ‘kebudayaan Jawa’, aspek-aspek dari cara hidup mereka akan
bervariasi berdasarkan dimana mereka tinggal. Begitu juga dengan sejauh mana
penggembaraan masyarakat Jawa.
Kebudayaan Jawa yang asli dari masyarakat-masyarakat di pulau Jawa sudah
berjalan selama puluh-puluhan generasi. Ini bererti kebudayaan ini sudah sangat kaya
dalam unsur-unsur kebudayaan universal seperti sistem organisasi sosial,
pengetahuan, kesenian, bangsa dan bahasa. Malah setelah berpuluh-puluh generasi
kebudayaan Jawa ini tumbuh dari gagasan-gagasan tentang pergaulan antara manusia
dan pandangan dunia sehinggalah terciptanya benda-benda yang memantulkan identiti
konkrit akan masyarakatnya.
Menurut Wikipedia , kebanyakan imigran Jawa yang datang ke Tanah Melayu
berasal dari beberapa buah daerah di Pulau Jawa seperti di Jawa Barat, Jawa Tengah
dan Jawa Timur. Selain itu, terdapat juga masyarakat Jawa yang datang dari Pulau
Madura yang terletak di bahagian utara Jawa Timur. Sejarah mengatakan bahawa,
imigran Jawa berhijrah ke beberapa pulau lain sebelum datang ke Tanah Melayu.
Antara pulau yang menjadi kawasan petempatan mereka ialah Singapura, Palembang
dan Lampung di Sumatera dan Pontianak di Kalimantan Borneo. Masyarakat Jawa
pada suatu ketika dahulu hanya sekadar singgah sebelum menuju ke Tanah Melayu.
Sungguhpun demikian, ramai juga antara masyarakat Jawa yang sempat menetap di
kawasan-kawasan tersebut dua hingga lima tahun sebelum datang ke Tanah Melayu.
Inilah disebabkan oleh peluang pekerjaan di Tanah Melayu lebih baik berbanding di
kawasan lain.Tidak kurang juga imigran yang datang ke Tanah Melayu yang terdiri
daripada kalangan mereka yang mengerjakan haji. Jumlah masyarakat Jawa yang
mengetahui selok-belok agama sangatlah kurang. Oleh sebab itulah ramai yang datang
ke Tanah Melayu untuk membimbing masyarakat Jawa dan kemudiannya bersama-
sama menjalani kehidupan di Tanah Melayu.
Umumnya di Malaysia, terdiri daripada satu hingga dua juta bilangan masyarakat
Jawa yang boleh didapati di beberapa buah negeri sahaja. Negeri Johor dan Selangor
adalah dua buah petempatan yang sangat popular bagi masyarakat Jawa. Namun
begitu, terdapat juga beberapa buah negeri yang mempunyai komposisi masyarakat
Jawa seperti Perak, Melaka dan Negeri Sembilan. Petempatan masyarakat Jawa di
Malaysia banyak tertumpu di kawasan Pantai Barat.
Walaupun masyarakat Jawa mempunyai banyak persamaan dengan masyarakat
Melayu, namun masih terdapat perbezaan yang menunjukkan betapa uniknya
masyarakat Jawa yang dipayungi kepulauan Melayu ini sama ada dari segi bahasa
mahupun corak kehidupan. Walaupun begitu, masyarakat Jawa telah mengalami
proses asimilasi sehingga telah beransur-ansur diserap ke dalam masyarakat Melayu.
Dalam erti kata lain, masyarakat Jawa telah dimelayukan. Proses asimilasi ini boleh
dilihat apabila banyak perkahwinan ataupun percampuran generasi baru masyarakat
Jawa dengan masyarakat Melayu amnya.
Sewajarnya kita mengetahui tentang asal usul masyarakat Jawa sebelum
mendalami lagi pengetahuan mengenai masyarakat Jawa ini. Orang Jawa seperti yang
diketahui memiliki stereotipe sebagai suku bangsa yang sopan dan halus. Tetapi
mereka juga terkenal sebagai suku bangsa yang tertutup dan tidak mahu berterus-
terang. Sifat ini kononnya berdasarkan watak orang Jawa yang ingin menjaga
keharmonian atau keserasian dan menghindari konflik, kerana itulah mereka cenderung
untuk diam dan tidak membantah apabila terjadi perbezaan pendapat. Masyarakat
Jawa yang terdapat di Malaysia pada hari ini berasal dari Pulau Jawa Indonesia.
Kebanyakan masyarakat Jawa ini datang ke Tanah Melayu sekitar tahun 1796 hingga
1940. Selepas dari tahun-tahun tersebut, kedatangan mereka pun berkurangan.
Kedatangan imigran Jawa pada mulanya adalah sebagai tenaga buruh di
ladang-ladang yang dibuka oleh Kerajaan Inggeris. Pada masa itu, berlakunya
kekurangan buruh untuk bekerja di dalam sektor perladangan. Oleh itu, bagi memenuhi
permintaan tenaga kerja yang semakin meningkat hasil pembangunan Tanah Melayu
oleh kerajaan Inggeris, pengimportan tenaga kerja luar amatlah dialu-alukan. Ini
menyebabkan ramai imigran dari negara China, India dan Jawa dibawa masuk ke
Tanah Melayu dan menjadi permulaan kedatangan masyarakat Jawa ke Tanah
Melayu. Seperti masyarakat Cina dan India, kebanyakan masyarakat Jawa yang datang
ke Tanah Melayu sangat mahir dalam kemahiran bercucuk tanam. Mereka menanam
pelbagai jenis tanaman termasuklah rempah, lada hitam dan sebagainya. Kemahiran ini
sesungguhnya, amatlah diperlukan oleh Kerajaan Inggeris.
Penanaman lada hitam dan gambir banyak tertumpu di negeri Johor dan
menyebabkan ramai imigran datang ke negeri Johor. Selain datang secara individu,
kebanyakan mereka dijemput khas oleh kerajaan Inggeris memandangkan penanaman
secara komersial memerlukan banyak tenaga kerja namun tidak mendapat sambutan
khususnya daripada masyarakat Melayu. Selain bekerja sebagai buruh, masyarakat
Jawa juga bekerja dalam sektor pembinaan jalan. Mereka bertugas untuk membuat
jalan bersama imigran India. Di Johor pula, kebanyakan mereka dijadikan sebagai
buruh untuk melebarkan sungai. Justeru itu, kebanyakan penempatan di Johor dikenali
sebagai Parit seperti Parit Sulung, Parit Jawa, Parit Setan dan lain-lain.
Namun sejajar dengan peredaran masa, kebanyakan petempatan masyarakat
Jawa di kawasan-kawasan kampung yang telah dibuka menyebabkan mereka telah
beralih kerja dengan melakukan kerja-kerja kampung sahaja. Kerja-kerja yang
dilakukan adalah seperti bersawah, berkebun, berladang, nelayan dan sebagainya.
Kebanyakan mereka bekerja sendiri kerana lebih selesa dan tidak terkongkong. Ada
juga yang menceburi bidang perniagaan runcit atau menjual barangan seperti kain batik
atau sebagainya, tetapi jumlahnya adalah kecil. Mereka lebih berminat untuk menyara
kehidupan dengan hasil kampung sahaja. Inilah yang dilakukan semasa kedatangan
awal mereka. Namun dewasa ini, masyarakat Jawa semakin mementingkan ilmu dan
pembelajaran. Sosio ekonomi mereka makin berkembang maju. Telah banyak
perbezaan terutamanya apabila masyarakat Jawa telah menjadi sebahagian daripada
rakyat Malaysia.
Masyarakat Jawa merupakan masyarakat yang paling banyak mengalami proses
asimilasi berbanding dengan masyarakat pendatang yang lain. Sehingga hari ini,
masyarakat Jawa terus mengalami proses tersebut sehingga generasi muda pada hari
ini sukar untuk menerima sebagai orang Jawa yang tulen memandangkan segala corak
kehidupan telah bertukar kepada masyarakat tempatan. Pada dasarnya terdapat
beberapa perkara yang menyebabkan masyarakat Jawa mengalami proses asimilasi.
Antaraya adalah dari segi wajah yang seiras, bahasa yang hampir sama, agama yang
sama, persamaan corak hidup, pakaian dan perkahwinan. Ini menyebabkan
masyarakat Jawa telah diterima sepenuhnya sebagai bangsa Melayu di bawah satu
rumpun.
STRUKTUR MASYARAKAT/KELAS SOSIAL
Masyarakat Jawa (Gambar hiasan)
Masyarakat Jawa asli juga terkenal akan struktur masyarakat atau kelas
sosialnya.. Pakar antropologi Amerika yang ternama, Clifford Geertz, pada tahun
1960an membahagikan masyarakat Jawa kepada tiga kelompok iaitu kaum Santri,
Abangan dan Priyayi. Menurutnya kaum Santri adalah penganut agama Islam yang
taat, kaum Abangan pula adalah penganut Islam secara nominal atau penganut
Kejawen, sedangkan kaum Priyayi adalah kaum bangsawan.
Priyayi atau berdarah biru dalam kebudayaan Jawa merupakan istilah untuk
menerangkan suatu kelas sosial yang mengacu kepada golongan bangsawan. Suatu
golongan tertinggi dalam masyarakat kerana memiliki keturunan dari keluarga kerajaan.
Golongan priyayi tertinggi disebut Priayi Ageng (bangsawan tinggi). Gelaran dalam
golongan ini adalah berdasarkan tinggi rendahnya suatu kehormatan. Beberapa
gelaran dari yang tertinggi hingga dengan hanya satu gelaran saja iaitu Raden.
Gelaran bagi seorang priyayi juga meningkat seiring dengan usianya. Misalnya
ketika seorang anak lelaki lahir diberi nama Bomantara, ia bergelar Raden Mas, jadi
nama lengkapnya adalah Raden Mas Bomantara, ketika menginjak akil baligh
gelarannya bertambah satu kata menjadi Bandara Raden Mas, ketika menapak dewasa
(18 atau 21 tahun) bertambah lagi menjadi Bandara Raden Mas Aryo. Pada saat
dewasa dan telah memiliki jawatan dalam hierarki kebangsawanan, ia akan memiliki
gelaran yang berbeza dari gelaran yang telah dimilikinya. Misalnya apabila menduduki
jabatan pemimpin ketenteraan maka gelarannya akan berubah menjadi Gusti Pangeran
Adipati Haryo. Dan setiap kedudukan yang dipimpininya akan memilki gelaran
tambahan atau gelaran yang berubah nama.
Kelompok Santri pula adalah orang yang memiliki pengetahuan dan
mengamalkan agama. Abangan pula digunakan untuk mereka yang bukan Priyayi dan
juga bukan Santri. Namun penggolongan ini tidaklah terlalu tepat, kerana
pengelompokkan Priyayi atau bukan Priyayi adalah berdasarkan garis keturunan
seseorang, sedangkan pengelompokkan Santri dan Abangan dibuat berdasarkan sikap
dan perilaku seseorang dalam mengamalkan agamanya (Islam). Dalam realiti, ada
Priyayi yang Santri dan ada pula yang Abangan, bahkan ada pula yang bukan muslim.
Namun, jika dilihat dalam masyarakat Jawa di Malaysia, kelas sosial tidak dititik
beratkan. Ini kerana kebanyakan masyarakat Jawa di Malaysia telah mengasimilasikan
kehidupan masyarakatnya dengan masyarakat Tanah Melayu khususnya. Namun
dalam kelas sosial, terdapat dua kelas yang sangat dihormati dalam masyarakat Jawa
Malaysia. Dalam menjalani kehidupan seharian, masyarakat Jawa mempunyai
beberapa sistem. Setiap kehidupan mereka diketuai oleh seorang ketua. Ketua
memainkan peranan yang penting dalam menjalani kehidupan dalam kerukunan
masyarakat Jawa. Antara ketua yang penting dalam masyarakat Jawa ialah Lurah dan
Kiai.
Lurah atau lebih dikenali sebagai penghulu dalam masyarakat Jawa mempunyai
tanggungjawab dan memikul amanah yang besar bagi memastikan keselesaan
penduduk kampung. Lazimnya pemilihan Lurah adalah berdasarkan kebolehan,
pengalaman, keturunan dan pengetahuan dalam agama. Secara khususnya, pelantikan
Lurah akan dilakukan secara punguran suara. Mereka akan melakukan punguran suara
sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat. Uniknya amalan ini, pemilihan akan
dilakukan secara demokrasi dengan pungutan suara sama ada warga tua mahupun
muda. Malah pemilihan ini juga sewajarnya dipersetujui oleh penduduk kampung
secara keseluruhannya.
Jawatan Lurah kebiasaannya akan dipegang selagi diterima oleh penduduk
kampung. Sekiranya Lurah telah meninggal dunia atau meletakkan jawatan disebabkan
oleh keuzuran yang tidak dapat dielakkan, pemilihan seperti kaedah yang sama akan
dilakukan. Lurah baru yang dilantik merupakan anak sulung atau anak yang mempunyai
kebolehan kepimpinan seperti bapanya. Jika tidak, jawatan Lurah akan diberikan
kepada orang lain yang mempunyai kebolehan yang sama. Menurut masyarakat Jawa
tradisional, jawatan Lurah dibantu oleh beberapa orang pembantu atau lebih dikenali
sebagai perabot Desa. Perabot Desa pula boleh dibahagikan kepada beberapa
peranan seperti Jongkok (pembantu Lurah), Jarik Wakil (kerani), Kamitua (bendahari),
Kebayan (pesuruh), Kaum (pegawai agama), Djagabeya atau Kepetegan (polis atau
jaga) dan Andjir (pegawai air).Setiap pembantu mempunyai tugas yang dikhaskan.
Dengan adanya pembantu tersebut, kerja-kerja Lurah akan menjadi lebih mudah.
Sungguhpun demikian, jawatan pembantu ini jarang-jarang diadakan dalam masyarakat
Jawa di negara ini pada masa kini kerana telah diambil alih oleh Jabatan-Jabatan
Kerajaan. Untuk melicinkan lagi perjalanan pentadbiran, rumah Lurah akan dijadikan
sebagai Pejabat Utama. Antara tugas Lurah selain dari menjaga keselamatan kampung
adalah menjadi ketua apabila terdapat aktiviti gotong-royong dan menjadi orang tengah
yang menghubungkait antara masyarakat lain dan sebagainya.
Disamping Lurah, terdapat juga jawatan Kiai atau Siak. Seperti yang diketahui,
Kiai terdiri daripada kaum lelaki yang berpengetahuan dalam bidang agama dan soal
kemasyarakatan. Oleh itu dapat dikatakan bahawa peranan yang dimainkan oleh Kiai
dalam masyarakat Jawa adalah penting. Kiai bertanggungjawab untuk menjadi imam
dalam sembahyang berjemaah. Selain itu Kiai juga bertanggungjawab untuk
memulakan doa dalam majlis kenduri doa selamat atau sebagainya. Kiai juga sering
kali menjadi penceramah apabila menyambut Maulud Nabi. Dengan kata lainnya,
seorang Kiai perlu lengkap dengan segala hal berhubung dengan agama dalam
memberi pertunjuk kepada masyarakat. Terdapat juga di kalangan Kiai yang
mengadakan kelas fardu ain. Kelas fardu ain ini bukan sahaja terbuka kepada golongan
kanak-kanak tetapi juga untuk orang dewasa yang berminat untuk mengikuti
pembelajaran agama. Dengan ini, segala masalah dan kemuskilan yang berkaitan
dengan agama dapat diatasi
Peranan yang dimainkan oleh Kiai dalam masyarakat Jawa juga penting dalam
hal pengurusan pentadbiran. Sekiranya Lurah tiada, Kiai ditugaskan untuk mentadbir
masyarakat Jawa dalam hal-hal yang berbangkit sama ada mengenai keduniaan atau
akhirat. Oleh itulah masyarakat Jawa memandang tinggi akan Kiai kerana
kebolehannya dalam segala segi sama ada yang berkaitan dengan keduniaan atau
keakhiratan. Terdapat juga di kalangan Kiai yang bertanggungjawab dalam mengubat
pesakit. Masyarakat Jawa meletakkan peranan Kiai dalam menggunakan ayat-ayat suci
Al-Quran untuk menjampi air yang akan diminum oleh pesakit. Air yang dijampi itu
dipercayai mampu menyembuhkan penyakit tersebut.
Peranan yang dimainkan oleh Kiai sangatlah besar dan meliputi hal-hal
berkenaan dengan kematian. Pesakit yang sedang nazak akan dibacakan dengan
surah Yassin. Ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan penyakit pesakit dan dengan
izin Allah pesakit dapat meninggal dalam keadaan yang aman. Dalam hal kematian,
Kiai berperanan sebagai imam untuk sembahyang jenazah. Ini adalah sebagai tanda
penghormatan ke atas Kiai yang memainkan peranan yang cukup penting dalam adat
kematian. Selain itu, Kiai juga akan mengiringi jenazah sehingga ke kawasan
perkuburan. Kiai akan membacakan talkin dengan nada yang lantang. Ini bertujuan
untuk mengingatkan si mati dan orang yang masih hidup apabila disoal malaikat kelak.
Jadi di sini jelas menunjukkan, betapa Kiai dan Lurah mempunyai status sosial
yang tinggi di kalangan masyarakat Jawa Malaysia. Oleh sebab itulah, Kiai dan Lurah
dipandang mulia kerana ilmu, kebolehan dan sifat yang ada pada dirinya itu.
KEPERCAYAAN
Kepercayaan Hantu Semar dalam masyarakat Jawa
Kepercayaan merupakan sesuatu yang penting dalam sesebuah masyarakat.
Orang Jawa asli sebahagian besar secara nominal menganut agama Islam. Tetapi
terdapat juga yang menganut agama Kristian, Protestan dan Katholik. Umumnya
masyarakat Jawa di Malaysia merupakan masyarakat yang mengganut agama suci
Islam. Agama Islam yang dianuti oleh mereka sama dengan agama Islam yang menjadi
anutan masyarakat Melayu. Keseragaman ini sememangnya penting untuk
melestarikan persefahaman kepercayaan di kalangan kelompok. Malah ia juga penting
untuk memastikan Islam terus terpelihara di negara ini.
Masyarakat Jawa bermazhabkan Sya’fie dengan memegang teguh lima rukun
Iman dan mempercayai enam rukun Islam. Dua rukun inilah yang menjadi landasan
kepercayaan mereka untuk menjadi seorang Islam yang sempurna di mata Allah SWT.
Oleh kerana masyarakat Jawa lebih menekankan aspek pembelajaran, beberapa buah
pondok telah dibina untuk dijadikan tempat untuk belajar fardu ain bagi menguatkan lagi
pegangan. Kebiasaannya, kelas ini akan dikendalikan oleh Kiai atau imam.
Namun begitu, terdapat juga masyarakat Jawa yang mengambil inisiatif sendiri
untuk mengajar anak-anak di rumah. Anak-anak akan diajar membaca Al-Quran di
samping menyelitkan beberapa ilmu lain yang berkaitan dengan agama. Mereka akan
diajar daripada peringkat bawah hingga kepada peringkat tinggi. Selain itu, golongan
dewasa juga digalakkan untuk mempelajari ilmu agama untuk meningkatkan lagi
pengetahuan mengenai Islam.
Masyarakat Jawa juga percaya akan aspek persaudaraan. Jika dikaji ,
masyarakat Jawa seperti juga masyarakat Melayu lain , amat mementingkan aspek
persaudaraan. Malah tali persaudaraan sendiri amat ditekankan oleh agama Islam.
Oleh itu, masyarakat Jawa adalah saudara kepada masyarakat Islam yang lain. Secara
tuntasnya, dapatlah diputuskan bahawa , oleh kerana agama itu sendirilah yang
menyatukan masyarakat Jawa dan Melayu. Sesungguhnya, agama memainkan
peranan yang amat penting dalam membentuk keperibadian yang sempurna.
Disamping kepercayaan terhadap agama Islam, terdapat juga segelintir
masyarakat Jawa yang mengamalkan amalan animisme. Amalan ini dianggap sebagai
satu amalan yang kuno dan masih juga diamalkan oleh segelintir masyarakat Jawa
walaupun telah menganut agama Islam. Amalan ini lebih menekankan tentang aspek
makhluk-makhluk halus dan semangat sesuatu tempat. Terdapat segelintir masyarakat
Jawa yang mempercayai sesuatu tempat tersebut mempunyai makhluk halus. Oleh itu,
adalah penting untuk meneroka sesebuah tempat sebelum diduduki atau didirikan
bangunan. Terdapat segelintir warga emas masyarakat Jawa yang mempercayai
tentang semangat di tempat yang baru. Sekiranya semangat tersebut hilang atau
diganggu gugat seperti membersihkan kawasan, dipercayai akan menyebabkan
seseorang itu mendapat penyakit. Oleh itu, mereka perlu membuat beberapa semahan
atau menjamu dengan bertih supaya semangat tersebut pulih seperti sedia kala.
Selain itu, masyarakat Jawa juga mempercayai beberapa objek yang mempunyai
kuasa seperti busut, batu-batu besar atau pokok-pokok besar. Kuasa ini dikatakan
mampu member kesan kepada mereka yang mengusik atau melakukan perkara yang
tidak senonoh kepada objek tersebut. Justeru itulah ramai di kalangan mereka yang
mengambil peluang dengan menjadikan busut, batu atau pokok besar sebagai satu
objek yang boleh mendatangkan keuntungan seperti tikam nombor ekor.
Sungguhpun demikian, amalan dan kepercayaan animisme ini semakin hilang di
telan zaman kerana Islam menegaskan amalan ini dianggap sebagai perbuatan syirik
yang bertentangan dengan agama. Masyarakat Jawa mengamalkan agama Islam
sebagai kepercayaan yang kukuh melalui niat di hati dan praktikal dalam perbuatan.
BAHASA
Contoh Huruf dalam Bahasa Jawa
Bahasa seperti yang diketahui merupakan alat untuk membentuk minda,
perasaan dan keinginan. Selain penanda bangsa, bahasa juga dapat merefleksikan
latar budaya. Bahasa Jawa adalah bahasa pertuturan yang digunakan penduduk suku
bangsa Jawa terutama di sesetengah bahagian Banten, Jawa Barat, Jawa Tengah &
Jawa Timur di Indonesia. Bahasa Jawa terbahagi menjadi dua yaitu Ngoko dan Kromo.
Ngoko sendiri dalam perkembangannya secara tidak langsung terbahagi lagi kepada
Ngoko kasar dan Ngoko halus ( campuran ngoko dan kromo ). Malah Krama juga
terbagi lagi menjadi Krama, Krama Madya dan Krama Inggil ( Krama Halus ). Krama
Madya ini pun agak berbeza antara Krama yang digunakan dikota dengan Krama yang
digunakan di desa. Malah Krama Halus juga berbeza antara Krama Halus atau Inggil
yang digunakan oleh kalangan Kraton dengan kalangan rakyat biasa.
Penduduk Jawa yang berhijrah ke Malaysia turut membawa bahasa Jawa ke
Malaysia. Bahasa dalam masyarakat Jawa merujuk pada bahasa Jawa yang
merupakan bahasa ibu bagi masyarakat Jawa yang tinggal di Malaysia, namun terdapat
juga elemen asimilasi melalui penggunaan Bahasa Melayu di kalangan sesama
masyarakat Jawa atau seharian. Terdapat beberapa tingkat tutur kata berbeza dalam
bahasa masyarakat Jawa di Malaysia yang digunakan sesuai dengan pangkat atau
kedudukan seseorang supaya menyampaikan rasa hormat kepada mereka sewaktu
disapa sehingga rasa harmonis dilestarikan antara semua anggota masyarakat Jawa.
Kedua tingkat tutur utama yang dipakai masyarakat Jawa di Malaysia adalah tingkat
Krama dan Ngoko. Bahasa Jawa Krama itu dipakai dalam situasi formal atau kalau dua
orang asing bertemu yang ingin saling menyampaikan rasa hormat tetapi bahasa Jawa
Ngoko itu lebih kasar dan dianggap tidak formal dan cocok dipakai antara teman-teman
atau dengan orang yang rapat atau intim.
Yang menarik mengenai bahasa Jawa adalah tingkat tutur bahasa Jawa Krama
itu masih lagi digunakan dalam percakapan sehari-hari seperti sekarang. Namun masih
terdapat kegusaran mengenai kepupusan bahasa yang semakin luntur dipuput waktu.
Sama juga halnya dengan tingkat tutur bahasa Jawa Karma Inggil yang dianggap
tingkat tutur tertinggi dan paling sopan yang hanya dipakai untuk menyampaikan rasa
hormat pada orang-orang yang memiliki posisi atau kedudukan yang jauh lebih tinggi
daripada penuturnya. Pelestarian tingkat ini khususnya adalah warisan orang-orang
yang tinggal di sekitar daerah perkampungan Jawa.
Terdapat juga loghat dalam bahasa Jawa yang terbahagi kepada dua kategori
iaitu loghat sosial dan loghat daerah.Loghat dalam Bahasa Jawa menurut kelas sosial
terbahagi kepada lapan iaitu Ngoko, Ngoko Andhap, Madhaya, Madhayantara, Kromo,
Kromo Inggil, Bagingan dan Kedhaton. Loghat Bagingan dan Kedhaton digunakan di
kalangan keluarga Kraton dan sulit difahami oleh orang Jawa kebanyakan.
Perbezaan perkataan menurut loghat sosial dalam Bahasa Jawa boleh difahami melalui
contoh berikut:
* Bahasa Malaysia: “Maaf, saya nak tanya rumah kak Budi itu, di mana?”
1. Ngoko kasar: “Eh, aku arep takon, omahé Budi kuwi, nèng*ndi?’
2. Ngoko halus: “Aku nyuwun pirsa, dalemé mas Budi kuwi, nèng endi?”
3. Ngoko meninggikan diri sendiri: “Aku kersa ndangu, omahé mas Budi kuwi, nèng
ndi?”
4. Madya: “Nuwun sèwu, kula ajeng tanglet, griyané mas Budi niku, teng pundi?”
5. Madya alus: “Nuwun sèwu, kula ajeng tanglet, dalemé mas Budi niku, teng pundi?”
6. Krama andhap: “Nuwun sèwu, dalem badhé nyuwun pirsa, dalemipun mas Budi
punika, wonten pundi?”
7. Krama: “Nuwun sewu, kula badhé takèn, griyanipun mas Budi punika, wonten
pundi?”
8. Krama inggil: “Nuwun sewu, kula badhe nyuwun pirsa, dalemipun mas Budi punika,
wonten pundi?”
Namun masyarakat Jawa di Malaysia menggunakan bahasa Jawa dengan loghat
biasa. Malah penggunaan bahasa Jawa Krama serta Ngoko dari masa ke semasa
sangat bergantung di bahu generasi muda sekarang. Amat wajarlah sekiranya generasi
muda sekarang berusaha untuk menggunakan semua tingkat tutur bahasa Jawa ini
dalam interaksi sehari-harinya. Walaupun begitu sudah ironis bahawa orang yang lebih
tua menyatakan begini kerana bahasa ibunda itu diajar sejak lahir sehinggalah ke usia
remaja. Maka seharusnya menjadi tanggung jawab orang tua mengajar anak-anaknya
tingkat tutur bahasa Jawa itu, bukan sekadar mengharapkan kaum muda mengamalkan
di sekolah atau di tempat lain. Meninggalkan pertanggungjawaban penggunaan
bahasa Jawa di kalangan komuniti tak cukup untuk memastikan kelestarian
penggunaan tingkat tutur bahasa Jawa yang kompleks ini.
Menurut pengalaman dan hasil kajian, kami mendapati bahawa masyarakat
Jawa di Malaysia sangat teguh mewarisi bahasa Jawa dan mengamalkannya di
kalangan ahli keluarga dan masyarakat Jawa setempat. Namun proses asimilasi terjadi
melalui pergaulan mereka dengan pelbagai kaum terutamanya dengan masyarakat
Melayu sama ada di sekolah, kedai, pasar atau di kawasan setempat. Jika bahasa
Jawa tidak diperhidupkan, mungkin di masa depan hanya segenggam orang yang
mengingati semua peraturan dan cara pengucapan tingkat tutur bahasa Jawa Krama ini
iaitu bahasa Jawa formal kerana majoriti masyarakat Jawa memakai bahasa Jawa
Ngoko dalam pertuturan. Ini kerana wujudnya bahasa-bahasa lain seperti Bahasa
Melayu dan Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa utama dalam pembelajaran di
Malaysia.
Sekiranya memfokuskan perubahan bahasa Jawa, harus diingat bahawa bahasa
Jawa itu sebenarnya terdiri atas sembilan tingkat tutur dan di masa lampau secara luas
digunakan oleh masyarakat Jawa. Hanya kerana perubahan modernisasi yang
menuntut masyarakat Jawa menuntut ilmu menyebabkan penggunaan dan
pemahamannya kian berkurangan. Terdapat juga anak-anak muda di kalangan
masyarakat Jawa yang berkahwin campur memahami percakapan Jawa yang
diutarakan oleh ibu dan bapanya namun sukar untuk menjawab dalam bahasa Jawa
kembali kerana tidak diamalkan dan diajar di sekolah. Oleh kerana itu, ibu bapa
sewajarnya menerapkan penggunaan dan pemahaman bahasa sejak dari kecil untuk
mengukuhkan jati diri yang kuat di kalangan anak muda. Namun seharusnya bahasa
lain terutamanya Bahasa Melayu tidak dipinggirkan. Sesungguhnya , bahasa
memainkan peranan yang sangat penting untuk memartabatkan sesuatu bangsa. Bak
kata pepatah, bahasa itu jiwa bangsa, rosak bahasa bina salah bangsa.
ADAT RESAM
Pakaian perkahwinan Masyarakat Jawa
“Biar mati anak, jangan mati adat”. Itulah antara pepatah yang menunjukkan
betapa pentingnya adat dalam kewujudan sesuatu bangsa. Bagi masyarakat Jawa, adat
kematian adalah suatu perkara yang mesti dihadapi oleh setiap manusia. Masyarakat
Jawa mempunyai satu sistem atau cara tertentu untuk menyempurnakan sesuatu
kematian. Sebaik sahaja berlakunya sesuatu kematian, ahli keluarga akan memberitahu
imam atau Kiai untuk menguruskan kematian. Kemudian mereka akan menyebarkan
berita tersebut kepada seluruh kampung termasuklah ahli keluarga yang jauh.
Ahli masjid akan mengetuk gentung atau beduk untuk memberitahu tentang
kematian. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat kampung supaya
menziarahi si mati. Seketika sahaja selepas pengebaran berita, rumah si mati akan
dikerumi saudara-mara dan sahabat handai. Pada waktu yang sama, penggali kubur
akan dipanggil untuk menggali liang lahad. Lazimnya terdapat seorang penggali kubur
yang telah ditugaskan manakala yang lain hanya sekadar membantu. Sekiranya di mati
meninggal dunia pada waktu malam, jenazah akan dikebumikan keesokan harinya
selepas Zohor. Namun, sekiranya meninggal pada sebelah pagi, jenazah akan
dikebumikan di sebelah petang. Ini adalah sejajar dengan tuntutan agama yang
mengkehendaki jenazah dikebumikan segera.
Cara menyempurnakan mayat bermula dengan mayat diangkat dari tempat
meninggal dunia dan diletakkan di atas sebuah pangkin atau katil yang bertilam dan
beralas kain cadar yang bersih dan diletakkan di tengah-tengah rumah. Di bahagian
atas katil turut dipasangkan langit-langit yang diperbuat daripada kain untuk melindungi
mayat daripada sebarang habuk atau najis binatang. Mayat pula akan diselimuti dengan
sehelai kain batik lepas iaitu kain yang tidak berjahit. Sebelum itu, kedua-dua belah
tangannya akan dirapatkan pada dada dan kedua-dua belah kakinya dirapatkan juga.
Bahagian muka mayat tidak ditutup dengan kain tersebut supaya ahli keluarga dapat
menatap wajah si mati untuk kali yang terakhir.
Terdapat juga segelintir masyarakat jawa yang meletakkan sebilah kacip pinang
melintang dari kiri ke kanan si mati adalah dipercayai kacip tersebut dapat menghalang
mayat daripada dilangkahi hantu syaitan. Di bahagian hadapan katil pula diletakkan
sebuah bekas bara api yang senantiasa berasap dengan membakar serbuk harum kayu
setanggi atau kayu gaharu dengan menggunakan sabut kelapa. Kedua-dua jenis kayu
ini dibakar selagi mayat berada di atas rumah. Mengikut adat masyarakat Jawa, kayu
setanggi dan gaharu yang dibakar selama tiga hari tiga malam walaupun si mati telah
dikebumikan dapat mewangikan keadaan rumah serta sekaligus dapat menghalang
hantu syaitan yang mungkin mengacau si mati tersebut.
Pada masa yang sama beberapa peralatan lain turut disediakan. Antaranya ialah
kain kapan, keranda dan sebagainya. Kebanyakkan kelengkapan ini disediakan oleh
ahli keluarga dengan dibantu oleh imam dan beberapa orang yang mempunyai
kemahiran dalam menguruskan jenazah. Kain kapan digunakan untuk membalut
seluruh susuk tubuh si mati melainkan bahagian muka sahaja yang dibalut dengan kain
nipis bagi memudahkan ahli keluarga menyingkap untuk melihat wajah si mati.
Kebanyakan balutan kain kapan akan dilakukan dengan kemas,cermat dan hormat.
Telah menjadi satu peraturan para pelawat sama ada saudara mara ataupun sahabat
handai dikehendaki menghormati si mati dengan tidak membuat perkara yang boleh
mengeruhkan lagi keadaan seperti berbual dengan kuat atau berkata-kata tentang
perkara yang tidak senonoh apabila mayat masih lagi berada di rumah. Larangan ini
turut dituntut oleh agama Islam. Selain itu, sebarang tangisan yang kuat malahan
teresak pun amat dilarang oleh agama Islam sedangkan kita lebih digalakkan supaya
mendiamkan diri dengan bertafakur kepada Tuhan dan membaca beberapa surah al-
Quran terutama surah Yassin atau al-Fatihah untuk disedekahkan kepada si mati.
Amalan ini membolehkan si mati akan sentiasa tenang ketika berada di alam barzakh.
Selepas semua persediaan telah dibuat, mayat perlu dimandikan dengan segera.
Mayat lazimnya dimandikan oleh muhrimnya atau sejantina dengannya ditengah rumah
atau bilik air. Mandian hendaklah dilakukan dengan cermat oleh tukang mandi. Setelah
selesai mandi, mayat akan dilumurkan dengan dua jenis serbuk iaitu kapur barus dan
cendana yang diletakkan di celah pelipat paha, ketiak dan sebagainya manakala pada
bahagian-bahagian lain pula diletakkan kepingan kapas. Selepas itu barulah mayat
diangkat dan diletakkan di ruang tamu untuk dikapankan dengan menggunakan kain
yang tidak berjahit. Mayat yang telah dibungkus kemudian diikat menggunakan bebrapa
utas tali dari kaki hingga ke leher melainkan di sebelah kepala dibiarkan ikatan
sementara. Sebelum mayat dibalut adalah menjadi satu kemestian kaum keluarga si
mati yang rapat menaburkan sejemput serbuk cendana sebagai penghormatan untuk
kali terakhir kepada si mati. Selepas menabur cendana barulah kepala si mayat
dibungkus dan diiikat kemudian dimasukkan ke dalam keranda yang diperbuat daripada
kayu. Di sebelah bawah keranda direntangkan sebidang kain putih yang dipakukan.
Kemudian keranda akan ditutup dan diletakkan diusungan. Usungan dilakukan secara
bergilir-gilir yang terdiri daripada kaum lelaki.
Sebelum dihantar ke kawasan perkuburuan, mayat akan disembahyangkan
terlebih dahulu sama ada dirumah atau di masjid. Mayat akan diletakkan dihadapan
dengan mihrab masjid. Selepas selesai sembahyang jenazah, keranda mayat dipikul
dan diusung semula untuk menuju ke kawasan perkuburan. Sebelum itu, liang lahad
telah awal-awal lagi digali oleh penggali kubur. Sesampai di tanah perkuburan, mayat
dimasukkan ke dalam liang lahad. Imam akan membuak kain kapan dan disendalkan
mayat dengan kepalan tanah untuk membetulkan posisi mayat di liang lahad. Sebelum
mayat ditimbus dengan tanah, imam membacakan azan pada telinga si mati barulah
tanah ditimbuskan dan dicacakkan dengan dua batang batu nisan ketika itu juga bagi
yang telah ada. Imam akan membacakan talkin di atas tikar yang dibentangkan di tepi
kubur si mati.
Biasanya, talkin dibaca menggunakan bahasa Arab kemudian disusuli dengan
bahasa Melayu. Bacaan ini harus dilakukan bagi memperingatkan si mati tentang
Tuhan yang maha Esa, agama, nabi, kitab dan saudara mara. Ini sedikit sebanyak
dapat membantu si mati dapat menjawab soalan malaikat Mungkar dan Nankir di alam
barzakh. Selesai talkin dibacakan, tahlil dan doa diaminkan oleh sekalian pengiring,
kedua-dua air yang ada di dalam baling disiram dari bahagian kepala hingga ke
bahagian kaki disusuli dengan taburan bunga rampai.
Dengan demikianlah selesai sudah adat istiadat pengebumian mayat bagi
masyarakat jawa. Semua orang yang terlibat akhirnya bersalaman dan pulang ke
rumah. Selepas itu, kenduri doa selamat untuk arwah akan diadakan iaitu pada hari
ketiga, ketujuh, keempat belas, keempat puluh dan keseratus. Kemudian, kenduri turut
diadakan pada tiap-tiap tahun berikutnya.
Disamping adat kematian, masyarakat Jawa juga amat mementingkan dan
mengambil berat akan adat perkahwinan. Melalui adat perkahiwnan kebanyakan jodoh
anak-anak ditentukan oleh ibu bapa dan kebiasaannya ibubapa tidak begitu cerewet.
Ibu bapa daripada pihak lelaki akan memilih perawan yang mempunyai sifat yang
terpuji seperti lemah-lembut, bersopan santun, menghormati orang tua dan rajin
bekerja. Ibubapa daripada pihak perempuan pula akan memilih teruna yang
mempunyai sikap ringan tulang, pandai dalam soal agama, menghormati orang tua dan
tahu tanggungjawab terhadap keluarga.
Apabila ibubapa daripada pihak lelaki bersetuju, mereka akan menghantar wakil
yang terdiri daripada mereka yang mengetahui selok-belok dalam adat merisik. Ketika
itu wakil akan menanyakan tentang hajat mereka kepada ibubapa gadis. Sebelum itu,
pihak lelaki akan memberitahu pihak perempuan. Semasa merisik, sebentuk cincin
akan diletakkan sebagai tanda tanya bagi memastikan anak gadis mereka masih
belum berpunya. Cincin akan disimpan oleh pihak perempuan sekiranya pihak
perempuan bersetuju menerimanya sebaliknya jika pihak perempuan tidak bersetuju,
cincin tersebut boleh dipulangkan kemudian.
Hari pertunangan akan dilangsungkan sebaik sahaja pihak perempuan bersetuju.
Pada hari tersebut, ibubapa dan wakil yang biasanya terdiri daripada keluarga terdekat
akan datang ke rumah wakil perempuan tersebut. Pada hari itu, ibu pihak lelaki akan
menyarungkan cincin pada jari bakal pengantin perempuan sebagai tanda yang
menunjukkan mereka telah berpunya. Ada juga cincin disarung oleh kakak, adik atau
ibu saudara kepada bakal pengantin lelaki. Kebiasaannya tempoh pertunangan
ditentukan melalui perbincangan. Ada yang menggariskan tempoh pertunangan selama
setahun dan tidak kurang juga yang melebihi tempoh tersebut. Sebelum itu,
perbincangan kali kedua akan dilakukan supaya dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Hari perlangsungan dilakukan sebaik sahaja tempoh pertunangan tamat. Pada
masa itu, kedua-dua pihak akan mengadakan kenduri yang besar. Apa yang menarik
dalam masyarakat Jawa, mereka akan membuat pelbagai jenis kuih untuk dijamukan
kepada saudara-mara atau sahabat handai yang datang ke majlis tersebut. Antara kuih
yang lazim dibuat adalah tumpi, tempeyek dan bahulu. Bagi mereka yang bekerja di
bahagian dapur, mereka akan dihidang dengan minuman ringan. Begitu juga mereka
yang sedang mendirikan khemah, membelah kayu dan mencuci pinggan mangkuk.
Masyarakat Jawa memastikan semua saudara mara atau sahabat yang datang
dijamu dengan sempurna. Boleh dikatakan sepanjang hari mereka akan dijamukan
dengan makanan ringan. Adalah menjadi satu kesalahan sekiranya tuan rumah tidak
menyediakan makanan ringan kepada saudara-mara dan akan menjadi sebutan
masyarakat setempat selepas kenduri kelak.
Masyarakat Jawa akan melakukan kerja secara gotong-royong atau lebih
dikenali sebagai rewang dalam bahasa Jawa. Oleh itu, segala kerja menjadi ringan
sebelum ketua dilantik. Antaranya adalah tukang masak yang akan dibantu oleh
beberapa orang pembantu, orang yang mendirikan khemah, membasuh pinggan
mangkuk atau membelah kayu api. Lazimnya sebelum tengah hari, kerja-kerja
memasak selesai. Ini disebabkan masyarakat Jawa melakukan kerja-kerja tersebut
sejak awal pagi lagi. Ini adalah penting supaya keadaan kelam kabut tidak akan berlaku
apabila tetamu mula bertandang.
Pengantin lelaki akan sampai ke rumah pengantin perempuan pada sebelah
petang sekitar pukul satu atau dua. Pada masa itu, paluan kompang akan mengiringi
kedatangan pengantin lelaki. Persekitaran dihiasi dengan bunga manggar untuk
menyerikan lagi majlis. Kedatangan pengantin lelaki disambut pengantin perempuan
dan mereka akan berjalan seiringan menuju ke rumah. Kemudian, mereka akan diiringi
sehingga ke pelamin. Ada segelintir masyarakat Jawa yang meletakkan pelamin di
tengah-tengah halaman rumah supaya dapat dilihat oleh semua orang.
Sebaik sahaja kedua-dua pengantin duduk di pelamin, persembahan pencak
silat dilakukan bagi memeriahkan lagi upacara persandingan. Pertunjukkan kuda
kepang juga turut dimainkan. Setelah itu, kedua-dua pengantin akan dibawa masuk ke
ruang tamu untuk dipertontonkan kepada khalayak ramai. Setelah petang, kedua-dua
pengantin diiring menuju ke rumah pengantin lelaki pula. Sekiranya rumah pengantin
lelaki jauh, bermakna kenduri di rumah lelaki akan dilakukan berselang hari.
Apabila upacara persandingan selesai, majlis kenduri pun berakhir. Masyarakat
Jawa membersihkan segala peralatan pinggan mangkuk secara bergotong-royong
terutamanya kaum perempuan. Kaum lelaki pula akan menguruskan khemah, kerusi
meja dan sebagainya. Kemudian makanan yang berlebihan akan diberi kepada
saudara-mara sebelum mereka pulang. Pengagihan ini menjadi kemestian dalam
masyarakat Jawa dan ini dikenali sebagai berkat. Jika saudara-mara atau sahabat
handai tiada atau sudah pulang, tuan rumah membekalkan berkat tersebut. Lazimnya,
berkat ini terdiri daripada nasi minyak, lauk kurma,acar dan sedikit telur dan pulut.
Sesungguhnya , melalui warisan adat resam dan budaya ini mampu untuk
mengekalkan warisan nenek moyang terdahulu. Malah tanpa diketahui, pengamalan
adat resam ini juga mempunyai nilai positif yang tiada tolong bandingnya.
JANTINA
Lelaki dan Perempuan Jawa
Disamping pengetahuan mengenai adat resam kaum Jawa, molek kiranya kita
mengetahui tentang keunikan Kaum Jawa dalam perkaitan di antara peranan kaum
lelaki dan perempuan dalam masyarakatnya. Lelaki dan perempuan merupakan
makhluk Allah yang saling melengkapi antara satu sama lain. Sifat saling melengkapi
inilah yang menjadi lumrah dalam kehidupan.
Kajian tentang stereotaip jantina menunjukkan bahawa biasanya perempuan dan
lelaki mempunyai stereotaip yang sama. Lelaki di dapati bersikap logik, dominan,
berdikari dan agresif. Perempuan pula disifatkan sebagai sensitif, emosional,
penyayang, menggunakan intuisi, agak berdikari dan mudah berputus asa.
Kemungkinan besar sifat personaliti seperti ini tidak semulajadi sepenuhnya kerana
dalam beberapa budaya tedapat kaum wanita agresif dan dominan manakala kaum
lelaki bersifat emosional dan sensitif. Oleh itu, budaya memainkan peranan penting
dalam menentukan sikap tertentu dan menyembunyikan sikap yang lain.
Dalam masyarakat Jawa, sejak dari kecil,anak-anak lelaki dan perempuan di
layan secara berbeza sejak dilahirkan. Kanak-kanak dapat mengenalpasti diri sendiri
sebagai lelaki atau perempuan dan secara terbuka mencari dan menerima maklumat
tentang sifat kelelakian atau kewanitaan. Anak lelaki disuruh jangan menjadi pondan
dan anak perempuan pula disuruh bersopan. Anak lelaki juga tidak digalakkan
menunjukkan emosi dan anak perempuan dihalang menjadi agresif. Ini terbukti
mengenai pendedahan keluarga masyarakat Jawa dalam kehidupan. Anak-anak lelaki
akan diajak bertani oleh bapa. Manakala anak-anak perempuan akan diajar
menguruskan kerja rumah oleh ibu.
Inilah yang menjadi pegangan orang tua zaman dahulu. Pernyataan ini benar,
Dalam masyarakat Jawa, lelaki dianggap sebagai sumber kekuatan dalam sesuatu
masyarakat. Sama seperti kebanyakan kaum serumpun Melayu yang lain, kaum lelaki
dianggap sebagai ketua. Contohnya seperti pelantikan Kiai atau Siak dan Lurah.
Jawatan ketua ini akan disandang oleh kaum lelaki. Menurut kepercayaan, kaum lelaki
lebih berfikiran matang tanpa mengikut perasaan dibandingkan dengan kaum
perempuan. Ini kerana jiwa perempuan yang lebih sensitif akan menjadikan mereka
lebih beremosi dalam membuat keputusan.
Sifat kaum lelaki yang lebih kuat juga menjadikan mereka sebagai orang yang
sangat penting dalam menjadi ketua keluarga. Tugas-tugas ketua keluarga merangkumi
pencari nafkah. Kaum lelaki masyarakat Jawa pada masa dahulu menyara hidup
keluarga mereka dengan membuat kerja kampung contohnya seperti petani. Kekuatan
sifat fizikal mereka dengan susuk tubuh yang sasa mekar , kuat, gagah, maskulin, keras
dan perkasa menjadi penyumbang yang penting dalam menjalankan kerja mencari
rezeki.
Malah kaum lelaki turut menjadi pelindung seluruh anggota keluarga. Mereka
menjaga keselamatan isteri dan anak-anak mereka. Sifat lelaki Jawa yang tegas dari
luar namun lembut dari dalam. Lelaki Jawa seperti juga lelaki Melayu tidak memarahi
anak-anak secara terbuka , tetapi disampaikan melalui isteri. Malah pandangan dan
jelingan mata mereka juga mampu menyampaikan mesej tertentu kepada anak-anak.
Boleh dikatakan juga bahawa bapa adalah pelindung keluarga dalam diam.
Berbanding dengan perempuan Jawa , mereka lebih dicirikan sebagai seorang
wanita yang penuh dengan nilai-nilai kelembutan. Terdapat istilah Jawa yang menyebut
bahawa isteri sebagai “Kanca Wingking” yang bermaksud isteri adalah tulang belakang
suami dalam mengelolakan bahtera rumah tangga.Bertepatan dengan sikap dan sifat
mereka yang feminin, halus, lemah-lembut dan manis, adalah bersesuaian tugas
mereka untuk membuat kerja-kerja di rumah sementara menunggu pulangnya suami
dari mencari rezeki. Antara kerja-kerja rumah yang dibuat oleh kaum perempuan adalah
memasak, mengemas rumah, menjaga kebajikan anak-anak dan lain-lain.
Malah wanita Jawa dikaitkan dengan sifat berkorban yang tinggi. Mereka
sanggup berkorban apa sahaja demi keluarga yang tercinta. Wanita Jawa juga
disifatkan sebagai pembantu kepada suami. Wanita yang lembut menjaga kebajikan
suami. Setelah suami pulang dari mencari rezeki, wanita Jawa akan menyambut
kepulangan suami dengan wajah yang berseri-seri dengan selitan melur di di atas
sanggul. Sambil menunggu lauk dipanaskan, mereka akan memicit dan mengurut
badan suami untuk menghilangkan rasa penat selepas seharian bekerja. Selepas itulah
makanan akan dihidangkan dan mereka akan melayan suami makan sambil
bersembang.
Terdapat istilah Jawa yang menyebut “Suwarga nunup neraka katut” yang
bermaksud suami adalah yang menentukan isteri akan masuk syurga atau neraka. Ini
bersamaan dengan pernyataan “syurga di bawah telapak kaki suami”. Tiada guna
amalan wanita itu, walau setinggi gunung, tetapi mengabaikan tanggungjawab terhadap
suami dan anak-anak. Terdapat juga pepatah Jawa yang mengatakan “Kalau suami
masuk syurga bererti isteri juga akan masuk syurga”. Ini bermaksud, isteri merupakan
pendorong suami yang terbaik. Sekiranya suami lalai dan leka, adalah menjadi
tanggungjawab isteri untuk membimbingnya. Menurut Islam, isteri dijadikan daripada
tulang rusuk kiri suami. Betapa penyataan ini tepat jika dibandingkan dengan sifat
saling melengkapi antara lelaki dan perempuan.
Namun dewasa ini, melalui proses pemodenan dan pembangunan, masyarakat
Jawa juga saling berinteraksi dengan masyarakat luar dan mengubah sedikit demi
sedikit peranan setiap jantina. Kini, masyarakat Jawa sudah keluar dari kepompong
melalui peluang pendidikan . Terdapat anak-anak Jawa yang melanjutkan pelajaran ke
luar negara dan menjadi pemimpin. Contohnya seperti Datuk Khir Toyo yang
merupakan anak jati Jawa Negari Selangor. Malah perbezaan jantina antara lelaki dan
perempuan juga semakin terhakis mengikut peredaran zaman. Namun sifat kewanitaan
dan kelakian lelaki Jawa sebenar tidak akan luput.
Kesimpulannya, masyarakat Jawa merupakan masyarakat pendatang yang
banyak mengalami proses asimilasi dengan masyarakat tempatan. Proses ini adalah
disebabkan corak hidup, bahasa dan adat yang mereka amalkan sama dengan
masyarakat tempatan yang lain. Oleh itulah ramai di kalangan generasi muda sendiri
tidak tahu asal usul masyarakat mereka. Di Malaysia, petempatan masyarakat Jawa
bukanlah secara menyeluruh. Malah hanya bertumpu di beberapa buah negeri sahaja.
Namun kewujudan mereka mampu mewarnai kepelbagaian budaya masyarakat
Malaysia yang pelbagai. Walaupun sedikit demi sedikit kebudayaan mereka
diasimilasikan dengan masyarakat Melayu, mereka masih mengekalkan identiti mereka.
Bak kata pepatah “tidak lapuk dek hujan, tidak lekang di panas”.
Soalan A2:
Muhamad Sodiqin bin Badrin LATAR BELAKANG & SEJARAH MASYARAKAT INDIA DI MALAYSIA
Malaysia merupakan sebuah Negara yang mempunyai komposisi penduduknya
yang terdiri daripada pelbagai etnik dan kaum bermasyarakat majmuk, berbilang-bilang
etnik dan cara hidup menurut etnik masing-masing. Hal ini merupakan suatu daya
tarikan yang unik dalam arena antarabangsa hingga Malaysia diangkat menjadi sebuah
model negara yang aman dan harmoni, kerana Malaysia merupakan satu-satunya
negara yang menghimpunkan pelbagai etnik dan kaum dalam sebuah negara yang
berdaulat. Identiti inilah menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara yang disegani
dan dihormati oleh negara-negara lain serta menjadi rujukan utama dalam aspek
keharmonian dan keberlangsungan hidup bersama dalam sebuah negara yang
pelbagai adat resam dan budaya yang berbeza antara satu sama lain.
Statistik yang dikeluarkan melalui bancian yang telah dilaksanakan oleh Jabatan
Pendaftaran Negara mendapati bahawa hampir 80% masyarakat India mendominasi
sebagai tiga kelompok kaum terbesar di Malaysia selepas kaum Melayu dan kaum
Cina. Namun begitu, tidak semua masyarakat India dikategorikan sama dari aspek
budaya dan bahasa, kerana dipisahkan menerusi perbezaan kasta yang diwarisi sejak
turun-temurun lagi di samping perbezaan dialek yang wujud dalam kalangan mereka.
Antaranya ialah seperti Malayalam, Telegu, Punjabi, Sikh, Tamil Sri Lanka, Bengali,
Sindhi, dan lain-lain logi.
Walaupun perbezaan dari segi kasta dan dialek yang berlaku, masyarakat India
khususnya di Malaysia hidup dalam aman dan harmoni di samping hormat
menghormati antara satu sama lain yang berteraskan prinsip Rukun Negara dan
Konsep 1 Malaysia yang mahukan semua rakyat Malaysia hidup dalam harmoni
dengan penuh semangat muhibah, semangat toleransi serta budaya hormat-
menghormati dipraktikkan.
Jika kita melihat lipatan sejarah masa yang dibukukan dengan kronologi yang
tersusun, nescaya kita akan dapati bahawa masyarakat India mula wujud sejak
sebelum zaman pasca merdeka lagi, iaitu pada zaman penjajahan British. Pada zaman
pemerintahan British, sistem tanaman lading seperti tebu, kopi, dan getah telah
diperkenalkan di Tanah Melayu.
Pengusahaan pertanian ini memerlukan tenaga pekerja yang ramai. Sementara itu,
penduduk tempatan (orang Melayu) pula terlibat dalam pertanian sara diri, yang mana
mereka tidak berminat untuk bekerja dengan penjajah . Justeru, pihak British terpaksa
mencari alternatif lain dengan mengimport tenaga buruh di tanah-tanah jajahan mereka
yang lain menerusi tanah jajahan India menjadi pilihan yang terbaik bagi
mengusahakan pertanian perladangan mereka. Buruh-buruh dari India lebih mudah
diperoleh di samping murah dari segi kos merancakkan lagi proses imigrasi ini berlaku
secara besar-besaran.
Tahun 1911-1930 –an menyaksikan penghijrahan besar-besaran yang melibatkan
orang-orang India ke Tanah Melayu dalam bilangan yang besar rata-ratanya seramai
90 ribu orang setiap tahun (Sandhu, K.S. 1969). Kebanyakan mereka yang datang ke
Tanah Melayu menerusi sistem kontrak yang diperkenalkan oleh pihak British, Sistem
Kangani perlu berkhidmat selama beberapa tahun yang ditetapkan oleh pihak British.
Selepas tempoh kontrak tamat, mereka bebas boleh memilih sama ada mahu
meneruskan kontrak, menetap di Tanah Melayu atau pulang semula ke negara asal
mereka.
Kira- kira 85% orang India yang berhijah ke Tanah Melayu adalah berketurunan
Tamil. Selainnya adalah dari kalangan orang-orang Telegu, Malayalam, dan orang India
Utara (Sandhu, K.S., 1969). Sementara itu, lebih kurang 80% orang India yang
berhijrah ke Tanah Melayu adalah menganuti agama Hindu (Arasaratnam, S., 1980).
Hampir keseluruhan orang India yang berhijrah bekerja serta menetap di ladang-ladang
tebu, kopi dan getah. Sementara itu, pihak majikan lading-ladang pula mahu
mengekalkan tenaga buruh India yang murah lagi mudah diuruskan.
Oleh hal yang demikian, rumah-rumah kediaman disediakan secara percuma,
sekolah-sekolah rendah Tamil kebanyakannya disediakan oleh majikan bagi anak-anak
pekerja. Kedai-kedai runcit dan kedai-kedai todi juga turut dibuka. Kuil-kuil juga dibina di
setiap lading. Kemudahan-kemudahan tersebut telah mewujudkan persekitaran tertutup
di mana tiada sebab mengapa seseorang buruh India itu keluar dari ladangnya.
Selain daripada masyarakat India yang menetap di kawasan lading-ladang, terdapat
segolongan orang India dan Sri Lanka yang menetap di kawasan bandar. Mereka ini
kebanyakannya beragama Hindu. Agama Hindu yang diamalkan oleh golongan ini lebih
bersifatkan agama teks. Kuil-kuil besar dan teratur dibina oleh golongan ini. Mereka
juga menyambut beberapa perayaan agama yang penting.
Apabila negara mencapai kemerdekaan yang gilang-gemilang tanggal 31 Ogos 1957,
corak pemikiran masyarakat India di negara ini turut berubah. Pada awalnya, mereka
hanya menganggap bahawa negara ini hanya sebagai tempat mencari nafkah sahaja,
namun anggapan ini mula berubah dan Tanah Melayu mula dianggap sebagai tanah air
mereka sendiri.
Selepas merdeka, situasi dan polisi Negara membolehkan orang India
memperkukuhkan lagi tradisi dan agama mereka yang diwarisi sejak turun-temurun.
Kemakmuran dan pembangunan yang pesat telah membawa perubahan dalam taraf
hidup, ekonomi serta pendidikan orang India. Hal ini mendorong orang India
memperkembangkan aspek agama dan perkembangan agama dan budaya dengan
lebih baik lagi.
Pertubuhan-pertubuhan agama, sosial dan politik orang India turut memainkan
peranan penting dalam usaha memperkembangkan kebudayaan dan agama orang
India. Usaha ini nampaknya berterusan sehingga sekarang menjelang Wawasan 2020.
Sumbangan dan galakan kerajaan Malaysia merupakan faktor utama yang sangat
penting bagi memperkembangkan kebudayaan dan agama orang India.
Kini, masyarakat India boleh dikatakan masih lagi mengekalkan ciri-ciri kebudayaan
mereka yang kaya dengan keunikan yang tersendiri. Amalan agama dan sambutan
perayaan turut mendapatperhatian ramai. Beberapa perayaan oang India kini lebih
bersifat sosial, di mana orang-orang bukan penganut agama Hindu juga turut serta
menyertai sambutan tersebut
ADAT RESAM MASYARAKAT INDIA Adat KelahiranAdat Valaikaapu
Adat Valaikaappu adalah adat yang dilakukan ketika kandungan sulung wanita hamil
menjangkau usia tujuh hingga sembilan bulan. Wanita hamil tersebut akan dipakaikan
sebentuk gelang tangan baru yang dikenali sebagai Suulkaappu. Suul bermaksud
`kandungan ibu’ dan Kaappu pula bermaksud 'perlindungan'. Gelang ini dipakai
bertujuan untuk melindungi bayi di dalam kandungan daripada kesukaran semasa
bersalin.
Adat Valaikaappu diadakan pada hari dan masa yang baik menurut kalendar India.
Upacara ini akan diadakan di rumah suami atau ibu bapa dan disertai oleh kaum wanita
yang telah bersuami dan mempunyai anak yang dipanggil cumanggali. Gelang tangan
yang dipakaikan dalam upacara ini terdiri daripada beberapa jenis iaitu gelang kaca,
pancalogam dan emas mengikut kemampuan masing-masing. Setelah anak dilahirkan,
gelang tangan emas tersebut akan dileburkan untuk dibuat perhiasan bagi bayi tersebut
dan akan dipakaikan pada hari pemberian nama.
Pada hari upacara dilakukan, hadiah kepada wanita hamil tersebut yang dikenali
sebagai ciir diatur ke dalam dulang yang mempunyai bilangan ganjil. Hadiah ini
termasuk barang kemas, sari, gelang tangan, serbuk kumkum, kunyit, buah-buahan,
sirih pinang, sikat dan cermin serta pelbagai manisan. Hadiah di dalam dulang ini akan
diletak di ruang tamu dan seterusnya upacara memandikan wanita hamil tersebut
diadakan. Upacara ini juga dikenali sebagai mutugu niir (kulittal). Wanita hamil tersebut
didudukkan di bilik mandi dan dimandikan dengan air seperti air susu, air kunyit, air
kelapa muda, air mawar dan bunga-bungaan. Setelah mandi, wanita hamil tersebut
akan dihias seperti pengantin dan seterusnya akan dikalungkan dengan kalungan
bunga oleh suaminya.
Wanita hamil tersebut dipakaikan dengan sari perkahwinan atau sari baru yang dibeli
oleh ibu bapanya dan didudukkan di ruang tamu. Seterusnya lampu minyak kuttu
vilakku dihidupkan sebagai memohon restu Tuhan dan sebagai memulakan upacara.
Berbagai makanan juga disediakan khas bagi wanita hamil tersebut seperti pelbagai
jenis nasi, kuih muih, buah-buahan dan bunga-bungaan.
Lazimnya, adat ini dimulakan dengan upacara sembahyang. Para cumanggali akan
memulakan upacara dengan menyapu krim cendana (sandhanam) pada kedua belah
tangan dan pipi wanita hamil, kumkum diletak di dahi dan gelang tangan dipakaikan.
Makanan yang disediakan juga disuapkan kepada wanita hamil tersebut. Sebagai tanda
terima kasih, wanita hamil akan menghadiahkan sirih pinang, kunyit, bunga dan
beberapa gelang kepada cumanggali yang menjalankan upacara ini.
Seterusnya, Upacara Aalatti dijalankan iaitu dengan menyediakan air kunyit yang
dicampurkan kapur sirih dan diisi dalam sebuah dulang khas dan sirih diletakkan di
tengah-tengahnya. Kapur barus dihidupkan di atas sirih tadi. Dulang diangkat oleh tiga
orang cumanggali dan diputar mengikut arah jam dan dilambai sebanyak tiga kali di
hadapan wanita hamil tersebut. Salah seorang cumanggali akan mencelup ibu jarinya
ke dalam air aalatti dan menyapunya ke dahi wanita hamil itu. Setelah itu, isi dulang
aalatti dibuang di hadapan pintu rumah.
Seterusnya wanita yang hamil itu akan memakan salah satu nasi yang disediakan.
Nasi-nasi tersebut diletak di atas daun pisang berasingan dan seterusnya dibungkus
dengan kain putih dan disimpul. Wanita hamil itu diminta membuka salah satu
bungkusan yang diingini. Jika bungkusan yang dibuka adalah nasi manis, dipercayai
anak yang bakal lahir adalah perempuan, sebaliknya pula adalah lelaki.
Selesai Upacara Valaikaapu dijalankan, wanita hamil tersebut akan tinggal di rumah ibu
bapanya selama sebulan selepas bersalin. Upacara Valaikaappu ini masih diterima dan
diamalkan masyarakat India tetapi disesuaikan mengikut faktor ekonomi, pendidikan
dan struktur lapisan masyarakat.
Adat Menyambut Kelahiran Waktu kelahiran adalah penting bagi masyarakat India dimana ia akan dicatat dengan
tepat bagi menentukan bintang bayi mengikut almanak Hindu. Bintang bayi ini akan
menentukan mental, fizikal dan rohani bayi sehingga dewasa. Sebaik sahaja bayi
dilahirkan, sami atau sesiapa sahaja yang berpengetahuan tinggi mengenai agama
Hindu akan membisikkan Gayatri Mantiram, iaitu sejenis mantera Tuhan di telinga bayi
sebelum tali pusat dipotong. Bayi yang baru dilahirkan juga akan disapu madu
bercampur minyak sapi pada lidahnya. Minyak savvennai, yang merupakan campuran
minyak bijan, minyak lenga dan mambu juga kadangkala digunakan untuk kecantikan
dan supaya bayi tidak diserang sebarang penyakit. Setitik minyak bijan yang dicampur
dengan sedikit susu ibu dan disapu ke mulut bayi akan bertindak menjadi pelawas
dalam sistem penghadaman dan membantu tumbesaran bayi tersebut.
. Bayi yang dilahirkan di hospital akan dibawa pulang ke rumah pada hari ketiga,
kelima, ketujuh dan sebagainya iaitu pada bilangan hari ganjil. Sebelum bayi dibawa
masuk ke rumah Upacara Aalati dilakukan untuk mengelak bala atau sebarang
malapetaka daripada berlaku. Bagi Upacara Aalati ini, dulang yang mengandungi
serbuk kunyit, kapur sirih yang dicairkan, arang, sirih dan kapur barus yang dinyalakan
diangkat dan diputar tiga kali mengikut arah jam dan juga lawan jam. Dulang juga
dilambai sebanyak tiga kali. Seterusnya para cumanggali akan mencelupkan ibu jarinya
ke dalam dulang tersebut dan mencalitkan ke dahi ibu dan anak. Setelah ibu dan anak
masuk ke dalam rumah, isi dulang aalati dibuang.
Ibu dan bayi akan diasingkan dari ahli keluarga dan orang luar dilarang melawat
kecuali untuk tujuan perubatan selama dua minggu. Jika proses bersalin secara
pembedahan, ibu yang baru bersalin tidak dibenarkan mandi selama dua minggu atas
sebab-sebab kesihatan akibat fizikal ibu yang lemah kerana pembedahan dan kesan
kelahiran. Bagi ibu yang bersalin normal, si ibu akan mandi selang sehari selepas
bersalin. Beberapa herba dan dedaun seperti aadatoodai dididihkan bersama air. Air
tersebut digunakan untuk mandi. Rambut ibu akan dikeringkan dengan segera dengan
asap kemenyan bagi mengelakkan sakit kepala, selsema dan juga untuk menyegarkan
tubuh badan selepas bersalin.
Bayi pula kebiasaanya dimandikan pada waktu petang oleh seorang wanita yang
berpengalaman. Mandian ini dilakukan dengan menyiram ke seluruh badan bayi
dengan menggunakan air suam yang kadangkala dicampur dengan bahan-bahan
herba. Ia bertujuan untuk mengelak penyakit sawan atau kuning. Susu juga digunakan
sebagai bahan utama untuk melembutkan kulit bayi.
Ketika bayi dimandikan, urutan perlahan dilakukan pada tubuh bayi dan tulang
belakang bayi supaya tidak bengkok. Bagi tujuan kecantikan, hidung, kening dan telinga
turut diurut. Beberapa bahan seperti serbuk kunyit, minyak bijan, kas-kas dan kacang
hijau yang ditumbuk digunakan sebagai pembersih badan bayi bertujuan untuk
mengelakkan penyakit kulit dan melicinkan kulit bayi. Selesai dimandikan, bayi
ditonggengkan dengan mengangkat kedua belah kaki sambil menepuk bahagian
punggung untuk mengeluarkan kahak. Setelah itu bayi diasapkan dengan asap
kemenyan, dan disapu dengan bedak yang diperbuat dari tepung beras supaya tidak
dihinggapi ruam. Akhir sekali bayi akan dibedung dengan kain bertujuan untuk
meluruskan anggota badan bayi.
Adat Mendodoi Bayi Amalan mendodoi bayi merupakan upacara yang paling penting dalam masyarakat
India. Upacara mendodoi ini juga dikenali sebagai taalaattu bermaksud penggoyangan
lidah. Upacara dimulakan dengan ucapan aaraaro aariraro atau cerita-cerita nasihat. Ia
bertujuan agar bayi tersebut menjadi seorang yang berguna. Namun amalan ini
semakin berkurangan dilakukan dan hanya diamalkan oleh generasi tua sahaja.
Sebaik sahaja bayi berusia enam belas hari, upacara pemberian nama dilakukan. Ia
dilakukan dengan memasukkan bayi ke dalam buaian dan dikendalikan oleh ahli
keluarga yang tertua yang arif tentang agama dan perkara yang berkaitan dengan
dewa-dewa.
Upacara dimulakan dengan mengadakan upacara sembahyang sebagai tanda
kesyukuran. Terdapat juga upacara memuja Dewi Pecciyamman dan Dewi Kaatteeri
dilakukan oleh segelintir masyarakat India. Upacara pemujaan dilakukan dengan
membersihkan sekeliling rumah dan memasang lampu minyak di keliling rumah. Bahan-
bahan persembahan juga disediakan seperti kari ayam betina, telur rebus, ikan kering
dan sebagainya. Bayi kemudiannya dimasukkan ke dalam buaian dan namanya
diumumkan pada orang ramai.
Seterusnya, saudara mara yang hadir akan memberi pelbagai hadiah dan upacara
diakhiri dengan jamuan dan upacara sembahyang bagi mendoakan kesejahteraan bayi.
Nama-nama yang dipilih lazimnya berdasarkan almanak dengan mengikut tarikh
kelahiran bayi. Nama-nama tokoh sejarawan, nenek moyang serta yang berkaitan
dengan agama Hindu juga dipilih bagi bayi tersebut kerana nama yang dipilih ini akan
mempengaruhi perwatakannya kelak.
Adat PerkahwinanAdat Merisik
Dalam peringkat merisik, beberapa aspek perlu diberi perhatian seperti faktor etnik,
sub etnik, kasta dan agama. Selain itu, faktor-faktor lain seperti status ekonomi dan
status sosial merangkumi aspek seperti umur, tahap pendidikan, jenis pekerjaan, etika
dan moral, rupa paras dan latar belakang keluarga juga turut diambil kira. Selalunya
maklumat-maklumat ini diperolehi secara langsung dari pihak yang terlibat dan juga
secara tidak langsung menerusi sahabat-handai dan saudara mara. Ada kalanya orang
tengah yang dipanggil tirumana taraga akan membantu dalam kerja-kerja merisik.
Tetapi kini peranan tersebut telah diambil alih oleh ejen-ejen perkahwinan yang
berdaftar.
Adat Bertunang Adat ini dilakukan selepas adat merisik dilakukan. Adat parisam terbahagi kepada dua
iaitu parisam biasa atau udan parisam. Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang
dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan, manakala udan parisam adalah
pemberian hadiah yang dilakukan pada hari yang sama di sebelah pagi sebelum
perkahwinan dilangsungkan. Dalam masyarakat India, parisam umpama sebuah majlis
pertunangan. Bakal pengantin lelaki akan mengunjungi bakal pengantin perempuan
untuk melihat sendiri paras rupa dan perawakan calon isterinya. Adat ini dikenali
sebagai pen paarttal atau dalam bahasa Melayu dipanggil sebagai melihat bakal isteri.
Ketika itu wakil pihak lelaki perlu datang dalam jumlah ganjil walaupun bilangan
tersebut ramai.
Parisam akan dibawa ke rumah pengantin perempuan diketuai oleh bakal pengantin
lelaki dengan memakai pakaian tradisional masyarakat India. Pada masa yang sama
alat muzik tradisional seperti naatasawaram dan meelam dimainkan. Pihak perempuan
akan menyediakan buyung yang dikenali sebagai puurana kumbum yang diletakkan di
ruang tamu. Lampu minyak yang dipanggil sebagai kuttu vilakku diletakkan
bersebelahan puurana kumbum sebagai menunjukkan kurniaan tuhan. Buah tangan
seperti kelapa, sirih, pinang, cendana, buah-buahan, bunyi-bunyian serta serbuk
kumkum akan dibawa.
Barang-barang ini dibawa sebagai tanda kedatangan mereka atas niat yang baik dan
untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Pihak perempuan akan menerima
hantaran tersebut sekiranya bersetuju. Jika tidak, mereka hanya melayan orang yang
datang sebagai tetamu dan tidak boleh mengambil barang-barang tersebut.
Bakal pengantin perempuan akan memakai sari dan dipertanggungjawabkan
menghidang air minuman atau dipimpin keluar oleh seorang wanita lain ke ruang tamu
Pada masa itu bakal pengantin lelaki berpeluang melihat pengantin perempuan dengan
lebih dekat lagi. Oleh itu bakal pengantin perempuan perlu melayani para tetamu yang
bertandang termasuklah bakal suami.
Kemudian kunjungan ini dibalas oleh wakil perempuan. Kali ini pengantin perempuan
tidak turut serta. Dalam masyarakat India, adat pen paarttal juga bertujuan untuk
mengetahui latar belakang bakal pengantin lelaki.
Adat penyesuaian bakal pengantin, dikenali sebagai Thairumanam Poruttam Paartal
dijalankan terlebih dahulu, dalam ajaran Hindu tidak terdapat konsep perceraian.
Terdapat 21 aspek perlu diambil kira untuk menentukan kesesuaian pasangan bakal
pengantin dengan cara tilikan almanak Hindu. Diantara yang masih diamalkan oleh
masyarakat Hindu iaitu Tina poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira
poruttam, Pentiikka poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati
poruttam, Vaiya poruttam, Racau poruttam dan Veetai poruttam.
Seterusnya, proses ikat janji atau niccayam dilakukan selepas mendapat persetujuan
kedua-dua belah pihak. Wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam
jumlah bilangan yang ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih
pinang, bunga-bungaan, buah-buahan, cendana dan kumkum untuk diberikan kepada
wakil perempuan.
Sebaik sahaja sampai ke rumah bakal pengantin perempuan, bapa kedua-dua belah
pihak akan berbincang mengenai perkahwinan tersebut. Sekiranya bapa salah seorang
bakal pengantin telah meninggal dunia, perbincangan akan diadakan dengan saudara-
mara. Sekiranya kedua-dua belah pihak pengantin bersetuju, mereka akan mengikat
janji.
Bakal pengantin lelaki seterusnya akan melafazkan ikat janji bagi menyatakan
persetujuan untuk mengahwini bakal pengantin perempuan. Seterusnya perkahwinan
tersebut akan diumumkan kepada orang ramai. Sebagai tanda ikatan, kedua-dua
pengantin akan menukar sirih pinang yang dinamakan taambuulan marrutal. Kemudian
mereka akan membincangkan mengenai hari perkahwinan dan tentang belanja untuk
pengantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya. Kemudian upacara niccayam
akan dilakukan dan lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.
Pada masa ini beberapa orang saudara-mara boleh mengalungkan kalungan bunga
pada bakal pengantin perempuan. Ini dikenali sebagai orrai-maalai atau kalungan
tunggal.
Kad jemputan memainkan peranan yang penting dalam perkahwinan masyarakat
India. Kad jemputan ini dibuat berdasarkan almanak Hindu. Sekiranya terdapat
kesilapan, bermakna perkahwinan tidak dapat dijalankan dengan lancar. Kad jemputan
yang telah dicetak disapu dengan serbuk kunyit cair sebagai lambang keharmonian.
Beberapa keping kad jemputan dalam bilangan ganjil akan dibawa bersama ke kuil
untuk dibawa bersembahyang (arccanai). Kad diletakkan di atas dulang bersama sirih,
wang ringgit, kelapa, pinang dan sebagainya sebagai lambang kekayaan. Upacara ini
dinamakan sebagai paanam paaku. Kemudian dulang akan dibawa ke rumah pengantin
perempuan untuk diberi kepada pengantin lelaki dan begitulah sebaliknya. Pada masa
yang sama sirih pinang akan diberikan sebagai tanda jemputan perkahwinan secara
rasmi.
Adat Sebelum PerkahwinanPenyediaan Thaali (Tirumaanggalyam)
Thaali atau tjirumaangalyam merupakan lambang suci perkahwinan yang dikalungkan
pada leher kedua-dua pengantin. Pada thaali itu diikat segumpal benang putih yang
disapu dengan kunyit. Terdapat pelbagai jenis thaali yang digunakan oleh masyarakat
India seperti lingath thaali, pottut thaali, tennant thaali dan sebagainya. Ini disebabkan
terdapat pelbagai suku (kasta) dalam kalangan masyarakat India. Adat penyediaan
thaali ini dilakukan tujuh atau sembilan hari sebelum hari perkahwinan. Pihak lelaki
akan membawa emas, cendana, kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran untuk
pembuat thaali. Ini adalah untuk memastikan tukang thaali mengetahui hari yang sesuai
untuk membuat thaali. Tiga hari sebelum perkahwinan, thaali akan diambil dan
diletakkan di tempat sembahyang atas suruhan pembuat thaali. Pihak pengantin adalah
dilarang untuk menawar perkhidmatan yang dilakukan oleh pembuat thaali.
Selepas itu upacara sembahyang dilakukan dan ini dinamakan sebagai thaalippadaiyal.
Dalam upacara itu bubur manis dan nasi manis disediakan termasuklah dhoti dan sari
untuk pasangan pengantin. Secara umumnya thaali tidak diwajibkan diperbuat daripada
emas. Ini kerana thaali masih boleh dibuat daripada kunyit yang dikatakan lebih selamat
dan tidak dicuri orang
Adat Mukuurtta Kaal
Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan. Adat mukuurtta
kaal ini diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India. Untuk
menjalankan adat tersebut sebatang pokok yang masih muda dan lurus akan ditebang
untuk dijadikan mukurtta kaal. Batang pokok tersebut berukuran dua atau tiga meter
dan mempunyai lilitan batang antara 20 hingga 30 sentimeter.
Adat mendirikan mukuurtta kaal adalah sebagai menandakan perkahwinan akan
dilangsungkan di rumah tersebut. Bahan-bahan lazim seperti sirih pinang, kumkum,
kunyit dan sebagainya disediakan. Ahli-ahli keluarga pengantin akan bermohon pada
Tuhan supaya perkahwinan dapat dilangsungkan tanpa gangguan. Batang kayu diambil
dan dibersihkan serta dibuang kulitnya.
Seterusnya, upacara Kanggenam, iaitu menanam sebatang pokok yang lurus dan
disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan.
Lazimnya, pengantin lelaki tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari
perkahwinan. Upacara ini dimulakan dengan lima orang perempuan yang sudah
berkahwin akan menyapukan kunyit cair dan kumkum pada batang kayu tersebut dari
pangkal hingga hujung. Kemudian hujung kayu diikat dengan daun ara atau mangga
menggunakan kain berwarna merah. Kayu akan dipacak sedalam setengah meter dan
bahan-bahan tadi akan dimasukkan ke dalam lubang tersebut sebagai lambang
kekayaan.
Kemudian upacara sembahyang dilakukan oleh pengantin beserta lima orang
perempuan tersebut. Sebanyak sembilan jenis bijirin ditabur pada batang kayu dan
lampu minyak dinyalakan. Pada masa yang sama pengantin berikrar akan menjaga
alam sekitar sebagai lambang persahabatan dengan alam sekitar. Kebiasaannya adat
mendirikan mukuurtta kaal dilakukan di rumah pengantin lelaki.
Adat Melangsungkan Perkahwinan
Adat Thirumanan Thirumanan bermaksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara
pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat. Terdapat tiga jenis
perkahwinan dalam masyarakat India iaitu Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam
dan Diya Thairumanam yang mana perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan
aspek suku (kasta) kaum India.
Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda dengan berdoa supaya pengantin
hidup bahagia hingga hari tua. Sebelum itu, Pedanda akan duduk mengelilingi unggun
api dengan membaca mantera Tuhan bagi memohon restu perkahwinan yang bakal
dilangsungkan. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara
menyarung cincin. Pengantin lelaki akan mengalungkan thaali yang diperbuat daripada
benang yang disapu dengan kunyit dan hujungnya diikat dengan seketul kunyit kepada
pengantin perempuan hingga aras dada. Ketika ini, natheswaram dan melam dimainkan
dengan nada rancak menandakan klimaks upacara ini dengan pengantin lelaki
mengikat thaali kepada pengantin perempuan. Seterusnya, semua hadirin yang hadir
akan berdoa supaya Tuhan merestui kedua-dua mempelai yang diraikan sambil
menabur bunga sejurus sahaja natheswaram dan melam dimainkan.
Kedua mempelai kemudiannya memberi hormat kepada ibu bapa atau mertua dengan
menukar dulang berisi buah-buahan dan menyapu debu suci pada dahi pengantin.
Antara adat yang dilakukan untuk menghormati dan mendapat restu termasuklah
menyerah sebiji kelapa yang dilubangkan pada bahagian atasnya, menuang air susu ke
dalamnya, memberi sirih, mencium tapak kaki ibu bapa (membasuh kaki ibu bapa),
memberi hadiah dhoti (bapa mertua) serta sari (ibu mertua) dan wang.
Biasanya pasangan pengantin akan bertukar-tukar kalungan bunga sebanyak tiga kali
dan berkongsi minum air susu bercampur pisang di dalam sebiji gelas. Upacara ini
menandakan pasangan ini secara rasmi telah menjadi suami isteri. Beberapa faktor
penting yang diambil kira sebelum upacara perkahwinan dilangsungkan untuk
mendapat kebahagiaan hidup, antaranya seperti masa yang baik untuk melangsungkan
perkahwinan, pengertian thaali, valatu kal, pemberian manisan, hadiah, penghormatan
kepada pengantin lelaki, simbol pokok pisang, jamuan perkahwinan dan meroboh
khemah perkahwinan.
Selepas Perkahwinan
Terdapat beberapa adat yang dijalankan oleh masyarakat India selepas
berlangsungnya sesuatu perkahwinan. Antara adat tersebut ialah pengantin perempuan
dikehendaki pergi ke rumah pengantin lelaki sebagai menghormati suami selepas
mereka disahkan sebagai pasangan suami isteri. Kemudian pengantin lelaki pula
dikehendaki pergi ke rumah pengantin perempuan selama tiga hari. Pada masa itu ibu
bapa mertua akan menghormati kedua-dua pengantin dengan mengadakan jamuan.
Pada hari ketiga selepas perkahwinan, khemah lazimnya akan dirobohkan. Sebelum
khemah dirobohkan, ayam akan disembelih sebagai tanda menunjukkan tamatnya
upacara perkahwinan. Namun amalan tersebut tidak lagi dilakukan pada masa kini.
Hanya jamuan ringan sahaja yang diberikan kepada mereka yang merobohkan khemah
perkahwinan.
Jamuan perkahwinan tidak ketinggalan diadakan selepas upacara perkahwinan
dijalankan. Sekiranya perkahwinan dilakukan di kuil, sayur-sayuran akan dihidangkan
kepada para tetamu. Sekiranya jamuan diadakan di dewan, makanan selain dari sayur-
sayuran dihidangkan, kecuali daging kerana daging amat dilarang dalam agama Hindu.
Jamuan tersebut akan turut disertai oleh saudara mara serta sahabat handai.
Adat Kematian
Bagi masyarakat India, mereka mempercayai konsep kelahiran semula, iaitu kematian
adalah ibarat tidur dan mereka akan bangun selepas tidur. Sarjana India juga
menyatakan kematian adalah perpisahan roh dan jasad, di mana jasad akan hancur,
tetapi kembali ke alam barzakh . Dalam masyarakat India, mayat akan dibakar atau
dikebumikan. Untuk melaksanakan upacara ini, pelbagai adat tertentu akan dilakukan.
Semasa Kematian Sekiranya seseorang itu telah meninggal dunia, mayat akan diletakkan di ruang tamu.
Kepala mayat dihadapkan ke arah selatan dan sebuah lampu minyak atau kaamaatci
amman vilakku dipasang dinyalakan. Kemudian sebiji kelapa terbelah dua dan sirih
pinang diletakkan berhampiran si mati. Kemenyan dan kapur barus diasap sebagai
simbol ketenangan jiwa si mati. Serbuk suci atau tiruniiru disapu pada dahi si mati
sebelum disembahyang.
Sepanjang mayat berada di dalam rumah, si mati perlu dijaga dengan sebaiknya. Kaki
dan tangan mayat perlu diluruskan, ibu jari tangan dan kaki diikat dengan kain putih dan
diletakkan ke dada. Mata dan mulut mayat juga perlu ditutup rapat. Setelah itu barulah
si mati dibalut dengan menggunakan kain. kunyit disapu pada mata untuk membunuh
kuman dan seterusnya duit syiling diletakkan di atas dahi. Sirih pinang ditumbuk dan
dimasukkan ke dalam mulut dan lubang hidung akan disumbatkan dengan kapas. Air
mawar direnjis dan mayat turut diasapkan dengan kemenyan yang dibakar supaya tidak
berbau.
Untuk menunjukkan kesedihan, gambar-gambar yang tergantung diterbalikkan dan
barang-barang perhiasan dibawa keluar dari ruang tamu. Lagu-lagu suci seperti
teevaaram, tiruvaasakam dan seumpamanya dinyanyikan serta diimainkan sehingga ke
tanah perkuburan. Tujuannya agar roh si mati sentisa tenang dan aman.
Mayat akan dimandikan terlebih dahulu dan dibaringkan di atas katil di ruang tamu
atau halaman rumah. Kaum lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan si
mati sahaja boleh membawa air dalam jumlah yang ganjil. Air tersebut diperolehi dari
sungai, perigi atau sumber-sumber air yang lain, kecuali air paip. Buyung yang berisi air
akan ditutup dengan menggunakan kain dhoti untuk mengelakkan habuk memasuki air
tersebut.
Kaum wanita pula akan menyambut air tersebut yang digunakan untuk memandikan
mayat. Sebelum dimandikan, minyak dan araippu digunakan untuk disapukan pada
kepala sebagai mandian terakhir. Sapuan minyak ini dilakukan oleh ahli keluarga dan
diikuti oleh saudara mara terdekat. Belakang tapak tangan digunakan untuk menyapu
minyak ini dan bukannya menggunakan tapak tangan sebagaimana lazimnya. Mayat
seterusnya dimandikan oleh orang yang telah berumur. Selepas dimandikan, si mati
akan dipakaikan dengan pakaian baru iaitu sari bagi mayat perempuan dan dhoti bagi
mayat lelaki. Mayat yang sudah dibersihkan itu akan diletakkan di ruang tamu sebagai
langkah menghormati tetamu.
Upacara Menanggalkan Thaali Thaali vaangutal merupakan upacara menanggalkan thaali semasa berlakunya
sesebuah kematian dalam sesebuah keluarga. Thaali, iaitu rantai suci perkahwinan
hanya boleh ditanggal oleh seorang isteri setelah suamiya meninggal dunia. Dalam
upacara tersebut, si isteri hendaklah duduk di sebelah si mati dan dijirus dengan
sebuyung air semasa mayat suaminya dimandikan. Kemudian bunga akan dikalungkan
pada leher balu dan kemudian bunga tersebut dikalungkan pada si mati. seterusnya
seorang wanita yang sudah berusia dan mempunyai hubungan kekeluargaan akan
memegang tangan si mati sambil mengalungkan kalungan bunga ke leher balu dan
proses ini dilakukan sebanyak tiga kali. Balu tersebut dikehendaki meletakkan kalungan
bunga ke dalam dulang yang berisi minyak, bunga dan susu yang dibawa oleh seorang
perempuan lain. Ini dilakukan seolah-olah menunjukkan si suami membuangkan thaali
dari leher balu. Thaali itu seterusnya akan dimasukkan ke dalam dulang dan disimpan
dalam rumah.
Upacara Vaaikkarisi
Setelah dimandi dan dihias dengan cantik, mayat akan dimasukkan ke dalam keranda.
Kapur barus dimasukkan bersama supaya mayat tidak berbau. Kemudian ke dalam
mulut mayat akan dimasukkan sedikit makanan sebagai menandakan pemberian
terakhir dan inilah yang dinamakan vaaikkarisi. Makanan yang akan dimasukkan ke
dalam mulut mayat berupa beras yang diletakkan di dalam sebuah dulang dan
diletakkan berhampiran kepala mayat.
Sebelum dimasukkan ke dalam mulut mayat, beras akan diarak dari kiri ke kanan. Duit
syiling yang diletakkan di dalam dulang yang sama dibalut dengan kain putih. Ini
dilakukan oleh kaum perempuan sahaja.
Upacara vaaikkarisi akan dilakukan oleh kaum lelaki di tanah perkuburan pula, justeru
itu kaum perempuan amat dilarang turut serta ke tanah perkuburan. Sekiranya si mati
mempunyai cucu atau cicit, mereka dikehendaki memegang neippantam. Neip
bermaksud minyak sapi dan pantam adalah obor. Beberapa batang kayu kecil akan
dibalut di bahagian hujung dengan menggunakan kain yang disapu dengan minyak sapi
dan dinyalakan.
Cucu atau cicit tersebut dikehendaki mengelilingi mayat mengikut lawan jam sebanyak
tiga kali. Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Saudara mara yang terdekat
akan memberi sari atau dhoti kepada si mati sebagai hadiah terakhir. Keranda akan
ditutup dan diangkat untuk dibawa ke tanah perkuburan, pada masa yang sama ucapan
tenna adudaiya shinanee pottri disebut beberapa kali sebagai menandakan upacara
tersebut telah direstui oleh tuhan. Ahli-ahli keluarga akan mengelilingi mayat mengikut
lawan jam sebanyak tiga kali sebagai tanda penghormatan.
Sementara itu, kollic catti; iaitu sebuah periuk tanah liat yang mengandungi api perlu
diangkat dengan menggunakan pelepah kelapa yang dibelah tiga di bahagian hujung
dan diikat pada periuk. Kollic catti dibawa oleh ahli keluarga si mati sama ada anak
ataupun bapa. Anak sulung melakukan untuk bapa yang telah meninggal dunia dan
anak bongsu untuk ibunya. Seseorang yang membawa kollic catti perlu mengiringi
mayat.
Sebelum itu pembawa kollic catti dikehendaki mencukur rambut. Ini menunjukkan
bahawa mereka akan hidup lebih bahagia seperti rambut yang baru tumbuh. Ada juga
yang mencukur janggut atau misai sebagai menggantikan rambut. Pada masa yang
sama sebuah nyiru diisikan dengan bahan-bahan seperti padi goreng, biji sawi dan
bijan. Sepanjang perjalanan, bahan-bahan tersebut ditabur dan setiap bahan-bahan
tadi mempunyai perlambangan yang tersendiri.
Pengebumian Mayat orang India akan diusung ke tanah perkuburan dengan menggunakan
pengusung. Apabila tiba di tanah perkuburan, pengusung perlu membayar duit kepada
penyelenggara sebagai upah mengorek liang lahad. Keranda akan digerakkan
beberapa kali sebelum menghampiri liang lahad. Pergerakan dimulakan dengan
dengan mengubah bahagaian kaki ke kubur dan kemudian bahagian kepala. Ini adalah
seperti pergerakan bayi yang berada di dalam kandungan.
Oleh itu si mati dipercayai berada di dalam perut Dewi Bumi. Kemudian keranda
diletakkan bersebelahan dengan kubur bagi mayat yang dikebumikan atau diletakkan di
atas kayu api unyuk dibakar. Duit syiling dimasukkan ke dalam dhoti dan diletakkan di
antara kaki mayat, lalu diambil oleh pengurus kubur sebagai tanda keizinan mayat
dikebumikan. Setelah itu upacara sembahyang dilakukan oleh semua yang berada di
situ.
Pembawa Kollic catti atau buyung dikehendaki mengelilingi mayat sebanyak tiga kali
menurut arah jam. Kemudian diikuti oleh pengurus mayat yang akan menebuk kollic
catti dengan menyebut 'sorkam seer, kaiulaasam seer' berulang kali. Pada pusingan
ketiga, pembawa kollic catti berada di hadapan mayat dan duduk melutut tetapi tidak
menghadap mayat. Kemudian tiga batang kayu yang menyala dibakar dan disusun ke
tanah satu persatu.
Upacara ini dilakukan untuk mengurangkan kesedihan keluarga si mati. Setelah
mayat dikebumikan, satu bentuk manusia akan dilukis di atas kubur. Satu lubang akan
dibuat di bahagian kepala dan susu akan dicurahkan pada lubang tersebut. Ada juga
yang memasukkan bijirin ke lubang tersebut. Setelah mayat dikebumikan, satu bentuk
manusia akan dilukis di atas kubur. Satu lubang akan dibuat di bahagian kepala dan
susu akan dicurahkan pada lubang tersebut. Ada juga yang memasukkan bijirin ke
lubang tersebut. Selesai upacara tersebut, semua yang hadir perlu ke rumah si mati
untuk upacara penyempurnaan adat pengebumian sebelum balik ke rumah.
Selepas Kematian Selepas selesai upacara pengebumian, rumah perlu dibersihkan sebaik sahaja mayat
dibawa ke kubur. lampu minyak dinyalakan dibekas tempat pembaringan mayat dan
selepas itu ahli-ahli keluarga dikehendaki mandi untuk membersihkan diri selepas
upacara pengebumian dijalankan. Makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran atau
haiwan yang tidak berdarah akan dihidangkan untuk ahli-ahli keluarga si mati. Sebaldi
air akan diletakkan di hadapan rumah dan lampu minyak sentiasa dinyalakan.
Selain itu debu suci dan garam disertakan. Kemudian ahli-ahli keluarga dikehendaki
menyentuh garam dan menyapu pada dahi sebelum masuk ke dalam rumah. Air yang
berada di dalam baldi digunakan untuk mencuci kaki dan selepas itu berakhirlah sudah
upacara pengkebumi. Bagi mereka yang membawa kollic catti akan pulang ke rumah
untuk melakukan upacara kollic catti. Pembawa kollic catti hendaklah mandi di sungai
atau kolam dan kemudian barulah boleh masuk ke rumah. Ini adalah menunjukkan
tamatnya upacara kollic catti. Bagi mayat yang dibakar, abu mayat akan dikumpulkan
keesokan harinya. Susu terlebih dahulu disiram pada abu mayat untuk menyejukkan
bara api. Kemudian abu bahagian kepala dimasukkan ke dalam sebuah periuk ,
manakala abu yang lain dimasukkan ke dalam periuk yang berasingan. Abu yang telah
dimasukkan ke dalam periuk akan disembahyangkan oleh ahli keluarga. Terdapat dua
cara dalam pengurusan abu mayat di kalangan masyarakat India, iaitu samada abu
mayat ditanam atau dimasukkan ke dalam kain kuning dan dilepaskan ke laut.
Berkabung Masyarakat India seperti juga masyarakat lain akan berkabung selepas berlakunya
sesebuah kematian. Tempoh mula berkabung samada lapan atau enam belas hari
selepas kematian. sekiranya mereka berkabung selepas lapan hari kematian, saudara-
mara dan sahabat-handai akan berkumpul di rumah si mati dengan membawa pelbagai
jenis juadah tradisional termasuklah sayur-sayuran dan buah-buahan.
Semua ini dibawa untuk dipersembahkan kepada si mati. Gambar atau potret si mati
diletakkan di atas almari atau dinding dan kemudian dikalungkan dengan bunga yang
menarik. Di sisi gambar tersebut pula dinyalakan lampu minyak dan bunga ditabur.
Kemudian upacara sembahyang dimulakan dengan meminta Tuhan supaya melindungi
si mati. pada masa yang sama nyanyian lagu-lagu suci dimainkan. setelah itu makanan
dihidangkan kepada para tetamu.
Berkabung pada hari keenam belas pula dipanggil sebagai karumaati iaitu hari
bersembahyang. Sebuah khemah yang lengkap dengan kerusi didirikan. Potret si mati
dihias dengan cantik dan seorang pedanda dijemput untuk upacara sembahyang. Batu-
bata diikat dengan benang dan dibalut dengan kain merah dan dimasukkan ke dalam
periuk. Kemudian batu tersebut dibasahkan dengan air, susu, air kelapa muda dan air
mawar. Upacara basahan batu-bata itu dinamakan sebagai kal niruttutal atau upacara
mendirikan batu.
Pada masa yang sama lagu-lagu suci dimainkan. Upacara sembahyang dilakukan
sebanyak tiga kali. Setiap kali sembahyang, makanan dihidangkan kepada para tetamu.
Sembahyang yang pertama dilakukan pada pukul sebelas malam. Sembahyang yang
kedua dilakukan pada pukul dua belas malam dan yang ketiga pada awal pagi. Hari
berikutnya, pedanda mengambil rumput dan membuat bentuk seperti keranda. Rumput
akan dibakar dan mentera serta doa dibaca, bertujuan agar roh si mati sentiasa dalam
keadaan tenang dan aman. Selesai upacara bersembahyang, pedanda akan dibayar
dengan upah berbentuk wang ringgit, sayur-sayuran dan buah-buahan. Dengan ini,
berakhirlah upacara karumaati.
PANTANG LARANG MASYARAKAT INDIA1) Pantang Larang dalam Mengandung
Semasa mengandung ibu bagi kaum India mestilah menjaga pantang larang sebaik-
baiknya. Ibu mengandung sangat sensitif dengan perkara-perkara begini kerana
mereka berbadan dua dan mental mereka sangat mudah terganggu. Ada sejenis katak
yang melompat tinggi adalah tidak dibenarkan untuk berjumpa oleh ibu mengandung
semasa ia melompat, ini kerana petanda buruk atau sial akan tiba. Selain itu, ibu
mengandung tidak dibenarkan untuk keluar pada waktu malam kerana banyak roh-roh
yang jahat yang berkeliaran di luar.
2) Pantang Larang KelahiranApabila bayi dan ibu kembali ke rumah, mereka diasingkan dari ahli keluarga yang lain
di sebuah bilik khas yang sentiasa dijaga kebersihannya. Bagi dua minggu pertama,
orang luar dilarang melawat mereka kecuali untuk tujuan perubatan.
Jika proses bersalim secara pembedahan , ibu yang baru bersalin tidak dibenarkan
mandi selama dua minggu atas sebab-sebab kesihatan akibat fizikal ibu yang lemah
kerana pembedahan dan kesan kelahiran. Bagi ibu yang bersalin, si ibu akan mandi
selang sehari selepas bersalin.
3) Pantang Larang ketika Tetamu Berkunjung ke Rumah
Tuan rumah tidak boleh membenarkan tetamu yang pertama kali datang menziarahi
melakukan kerja seperti membasuh pinggan. Ini kerana dipercayai akan membawa sial.
Ini kerana tetamu sepatutnya dilayan oleh tuan rumah.
4) Pantang Larang dalam Makanan
Apabila makanan hendak dihidang menggunakan daun pisang, air perlu direnjis dahulu
pada daun berkenaan. Kemudian barulah makanan diletak padanya yang berperanan
sebagai pinggan untuk makan. Selesai makan, terdapat cara daun pisang itu harus
dilipat. Sekiranya daun pisang dilipat dari atas ke bawah, maknanya individu berkenaan
berasa puas dengan hidangan yang dinikmatinya. Sekiranya daun pisang dilipat
dengan cara bahagian bawah (bahagian yang dekat dengan individu yang sedang
makan) dilipat ke atas, isyarat yang dihantar adalah bahawa kita berpendapat makanan
tidak enak dan tidak berkeinginan untuk berkunjung semula untuk dihidangkan
makanan seperti itu.
Selain itu, masyarakat India percaya bahawa sekiranya seorang makan nasi di tempat
yang gelap, maka hantu, penunggu atau roh akan sama-sama menjamah makanan itu.
Akibatnya, individu tadi tidak akan kenyang serta tidak akan mendapat zat daripada
makanan kerana telah diserap oleh "orang kedua " tadi
5) Pantang Larang Merisik
Bakal pasangan akan saling membalas kunjungan ketika merisik. Tetapi ketika
rombongan bakal pengantin perempuan, bakal pengantin perempuan dilarang ikut
serta. Hal ini juga kerana ia merupakan perbuatan yang tidak sopan.
6) Pantang Larang Kematian
gambar si mati tidak boleh digantung secara formal tetapi terbalik.
barang perhiasan perlu dikeluarkan dari ruang tamu.
ahli keluarga perlu mengelilingi mayat sebanyak 3 kali lawan jam sebagai tanda
penghormatan.
sedikit makanan berupa beras disuapkan sebagai pemberian terakhir.
(Vaaikkarisi)
KEPERCAYAAN MASYARAKAT INDIA
Dalam menyentuh aspek agama dan kepercayaan masyarakat India di Malaysia,
rata-ratanya menganuti agama Hindu. Namun begitu, masyarakat India di sekitar
Malaysia mempunyai dua pegangan mazhab penting dalam agama Hindu. Mazhab
tersebut merujuk kepada dua orang Dewa yang terkenal dalam kalangan masyarakat
India, iaitu Mazhab Saivanisme (merujuk kepada mereka yang menyembah Dewa
Shiva), manakala Mazhab Vaishanavisme pula merujuk kepada mereka yang
menyembah Dewa Vishnu. Sementara itu, masyarakat India juga terdiri daripada
mereka yang berketurunan Punjabi atau Sikh. Ajaran kaum Sikh sebenarnya
merupakan gabungan ajaran-ajaran agama Hindu dan agama Islam yang diasaskan
oleh Guru Nanak.
Berbalik kepada topik kita tadi, saya ingin membincangkan tentang perihal agama
Hindu yang menjadi agama majoriti bagi kaum India. Agama Hindu yang menjadi
anutan mereka berteraskan kepada tiga Dewa utama bagi masyarakat India, iaitu Dewa
Brahma (Dewa Pencipta), Dewa Vishnu (Dewa Pelindung) dan Dewa Shiva (Dewa
Pemusnah). Kebanyakan mereka lebih mengikuti ajaran Mazhab Saivanisme dengan
terdirinya kuil-kuil yang dibina yang terdiri daripada Dewa-Dewa yang mempunyai
kaitan dan hubungan kekeluargaan dengan Dewa Shiva.
Dalam kepercayaan ajaran Hindu, mereka percaya bahawa lembu merupakan jelmaan
Tuhan mereka yang menjelma dari alam indera loka ke alam dunia untuk melihat
manusia sama ada mereka memperlakukan lembu itu secara baik atau dengan cara
tidak baik. Justeru, lembu dianggap sebagai ‘haiwan suci’ dalam agama Hindu. Para
penganutnya dilarang keras sama sekali daripada memakan haiwan tersebut sebagai
tanda memuliakan haiwan tersebut.
Sementara itu, ajaran Hindu bermatlamatkan supaya penganutnya mencapai
nirvana atau moksha, yang mana membolehkan mereka bersatu dengan Tuhan
mereka (Dewa Brahma). Oleh hal yang demikian, mereka percaya bahawa setiap
manusia mempunyai tujuh kelahiran semula.
Sekiranya mereka membuat pelbagai kesalahan dan dosa pada kelahiran lalu, maka
mereka mempunyai nasib yang kurang baik pada kelahiran yang akan dating. Namun,
hal ini berbeza dengan mereka yang melakukan kebaikan pada kelahiran yang lalu,
mereka memperoleh pelbagai kurnia dari Tuhan mereka dengan memperoleh tingkatan
tertinggi dalam kehidupan mereka, nirvana atau moksha.
Mereka juga percaya bahawa Sungai Ganga merupakan sungai suci yang mampu
menghapuskan dosa-dosa yang mereka lakukan. Sungai Ganga menjadi lokasi penting
dalam apa-apa ritual agama Hindu dengan cara mandi di Sungai Ganga. Mereka juga
percaya bahawa abu mayat yang dibakar yang dihanyutkan ke Sungai Ganga mampu
membawa ketenangan pada roh-roh mereka yang meninggal dunia.
Di samping itu, setiap perayaan atau festival yang diraikan oleh masyarakat India
rata-ratanya sangat berkait rapat dengan Dewa-Dewi suci agama Hindu. Contohnya,
perayaan Thaipusam yang diraikan pada setiap tahun dikaitkan dengan Dewa Murugan
atau Dewa Subrahmanya. Perayaan ini lazimnya disambut hanya di beberapa Kuil-Kuil
Dewa Subrahmanya seperti Kuil Murugan di Batu Caves, Kuil Thandayuthabani di
Pulau Pinang, dan kuil-kuil lain yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Dewa
Murugan dikatakan wujud menerusi restu dari Dewa Shiva menerusi bara api
kerohanian yang dikeluarkan dari mata ketiga-Nya, iaitu di dahi-Nya. Antara perayaan
lain yang mempunyai hubungan perkaitan dengan Dewa suci masyarakat India ialah
perayaan Deepavali. Mereka ialah Dewa Krishna yang berjaya menewaskan Dewa
Narakasuran yang berlaku zalim kepada manusia.
Soalan C:
Cadangkan pedagogi relevan budaya dan kepelbagaian kelompok untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya dan seterusnya melahirkan warganegara bersatu padu.
Kepelbagaian sosiobudaya di dalam bilik darjah melibatkan murid-murid yang
terdiri daripada pelbagai budaya. Oleh itu, peranan guru sangat penting di dalam
mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Beberapa kaedah
pengajaran dan pembelajaran boleh digunakan untuk mewujudkan persekitaran bilik
darjah yang mesra budaya ini. Di antaranya ialah melalui pengajaran dan pembelajaran
aktiviti secara berkumpulan. Menurut Mohd Yusof Othman (1998), menyatakan satu
kaedah yang boleh dilakukan dalam usaha untuk meningkat dan menjana ilmu adalah
belajar secara kumpulan. Belajar secara berkumpulan sama ada dalam bentuk yang
formal seperti membentuk dalam kumpulan tertentu (study circle) dengan matlamat
yang sama, atau kumpulan yang tidak formal dan mempunyai ahli-ahli yang terdiri
daripada pelbagai latarbelakang yang berbeza. Belajar secara berkumpulan
sebenarnya lebih berkesan berbanding dengan belajar bersendirian. Hal ini kerana
dalam belajar secara berkumpulan, idea atau pemikiran dapat dikongsi bersama. Begitu
juga dengan pengalaman yang berbeza yang dialami oleh setiap ahli kumpulan dapat
dikongsi bersama. Oleh itu, setiap kumpulan haruslah terdiri daripada murid-murid yang
berbagai-bagai budaya. Di samping itu, mereka secara tidak langsung dapat menyelami
dan mengenali budaya sesama mereka. Pembahagian kumpulan juga boleh ditentukan
oleh guru sendiri supaya murid-murid yang pelbagai kaum dapat dibahagikan secara
sama rata di dalam setiap kumpulan.
Kaedah pengajaran koperatif dan kolaboratif merupakan suatu aktiviti
pembelajaran sekumpulan murid di bawah bimbingan guru dan mereka akan bertukar-
tukar idea dan pendapat melalui perbincangan atau menyumbangkan kemahiran
masing-masing dengan tujuan menyelesaikan masalah atau projek yang telah
ditugaskan. Guru akan membahagikan kumpulan murid dengan mengambil kira aspek
kepelbagaian sosiobudaya dan kebolehan murid. Contohnya, di dalam sebuah
kumpulan mesti terdapat murid yang pandai, sederhana dan lemah. Hal ini kerana
murid yang pandai dapat membantu murid yang lemah sehingga dapat menguasai
sesuatu pelajaran. Kebiasaannya murid akan lebih senang untuk belajar dengan rakan
sebaya mereka sendiri kerana terdapat sesetengah murid yang berasa segan atau
malu untuk bertanya kepada guru. Guru akan membimbing setiap kumpulan dan murid-
murid akan berusaha bersama-sama untuk mencapai setiap objektif yang ditentukan.
Kumpulan murid tersebut akan mempunyai semangat bekerjasama dan objektif
pelajaran lebih cepat dan berkesan daripada usaha secara sendiri. Selain itu,
kemahiran interaksi sosial dapat dipupuk di kalangan murid-murid. Melalui kaedah ini
juga, masalah pengurusan bilik darjah seperti dapat dikurangkan dan dikawal ke tahap
yang minimum seperti guru dapat mengawal disiplin murid serta mengurangkan
ketegangan di antara satu sama lain dan seterusnya dapat mewujudkan persekitaran
bilik darjah yang mesra budaya.
Selain itu, kaedah projek dapat dijalankan dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran di dalam bilik darjah untuk mewujudkan persekitaran bilik darjah yang
mesra budaya. Kaedah projek merupakan aktiviti yang dilakukan oleh murid-murid
melalui aktiviti permainan, kerja praktik, kajian dan lawatan secara berkumpulan.
Contohnya, dalam mata pelajaran Sains guru memberi satu topik untuk selesaikan
secara berkumpulan dan murid dikehendaki menjalankan kajian ke atas masalah
tersebut. Melalui kaedah ini, murid-murid dapat menjalankan aktiviti pembelajaran
dengan penuh minat dan perhatian dalam satu situasi yang sebenar untuk
mendapatkan hasil yang diharapkan. Aktiviti ini dijalankan selepas murid-murid telah
menguasai kemahiran-kemahiran tertentu dalam mata pelajaran. Di antara ialah projek
kaji selidik, projek hasil tangan dan projek lawatan. Kebaikan kaedah projek ini yang
paling utama adalah memberi peluang kepada murid-murid bagi mendapatkan
pengetahuan dan pengalaman dengan cara sendiri. Murid juga berpeluang merasa dan
melihat sendiri sesuatu pengalaman. Pembelajaran melalui pengalaman memberi
kesan yang mendalam kepada murid kerana mereka akan lebih mudah faham melalui
kaedah visual. Semangat kerjasama dan sifat sosial yang positif dapat dipupuk melalui
kerja projek yang dilakukan secara kumpulan mengikut kebolehan dan pelbagai
sosiobudaya.
Kaedah dan teknik pemudahcaraan juga boleh digunakan sebagai langkah untuk
mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Guru berperanan untuk
menggerakkan sesuatu aktiviti pembelajaran agar dapat berjalan dengan lancar. Guru
bertindak sebagai fasilitator, motivator, pembimbing dan menggalakkan murid-murid
supaya melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran dan mewujudkan
suasana pembelajaran yang kondusif bagi memastikan kelancaran proses
pembelajaran berlaku tanpa sebarang gangguan. Kaedah pemudahcaraan ini
digunakan untuk aktiviti kumpulan seperti perbincangan, perbahasan, seminar, forum,
sumbangsaran, sesi buzz dan aktiviti yang menggunakan pendekatan pemusatan
murid. Contohnya, melalui aktiviti perbincangan murid-murid akan bertukar-tukar fikiran
atau idea serta berkongsi maklumat tentang sesuatu perkara. Di antara topik-topik yang
sesuai untuk aktiviti ini ialah topik isu semasa, peristiwa, sejarah, watak cerita, sastera,
konsep keluarga, kebersihan, pencemaran, perpaduan rakyat, peranan murid dan
sebagainya. Murid-murid dapat dilatih berfikir dengan teliti, berbual dengan gaya yang
menarik dan mengemukakan pandangan mereka dengan jelas, tepat dan logik. Selain
itu juga, ia dapat memberi peluang kepada murid untuk menggunakan kemahiran lisan
mereka untuk berinteraksi dan berkomunikasi secara berkesan di antara satu sama lain
di samping memupuk semangat bekerjasama dan mewujudkan interaksi sosial yang
positif.
Selain itu, kaedah penyelesaian masalah juga merupakan satu alternatif yang
boleh dijalankan oleh guru bagi mewujudkan persekitaran bilik darjah yang mesra
budaya. Penyelesaian aktiviti merupakan aktiviti yang melibatkan masalah berbentuk
perkataan, masalah bukan mekanis, teka-teki, kuiz atau penggunaan kemahiran
tertentu dalam situasi yang sebenar. Melalui kaedah ini, murid-murid dilatih supaya
berfikir secara kritis dan kreatif untuk menyelesaikan aktiviti-aktiviti yang melibatkan
prose berfikir dan membuat keputusan. Kaedah ini memerlukan murid-murid membuat
aplikasi menggunakan kemahiran, prinsip atau teori yang sudah dipelajari untuk
menyelesaikan masalah yang diberi. Aktiviti ini perlu disertai oleh pemikiran peringkat
tinggi seperti yang disarankan oleh Bloom bermula dari peringkat aplikasi, analisis,
sintesis sehingga peringkat penilaian. Murid akan melalui aras yang mudah terlebih
dahulu dan kemudian setelah berjaya menguasainya barulah ke aras yang lebih sukar
setelah. Aktiviti ini boleh dijalankan secara berkumpulan bagi menyelesaikan masalah
yang telah diberikan oleh guru. Interaksi dan hubungan yang wujud sesama ahli
kumpulan dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang kondusif. Kaedah
penyelesaian masalah ini akan menggalakkan dan mencabar murid-murid supaya
mencari jawapan untuk soalan bermasalah atau membuat generalisasi daripada proses
kajian lebih-lebih lagi aktiviti dibuat secara kumpulan. Pengajaran dan pembelajaran
murid-murid akan lebih bermakna sekiranya mereka melibatkan sepenuhnya dalam
aktiviti pembelajaran mereka. Kaedah ini membolehkan murid menggunakan
pengalaman, pengetahuan lepas serta kemahiran yang telah dikuasai untuk
menjalankan kajian. Kebiasaannya, kaedah ini melibatkan murid-murid bergerak aktif di
antara satu sama lain untuk meneroka mencari sesuatu jalan penyelesaian. Secara
tidak langsung murid-murid akan bekerjasama dalam satu pasukan yang mempunyai
kepelbagaian sosiobudaya.
Seterusnya, kaedah pembelajaran kontekstual juga dapat dilaksanakan dalam
merealisasikan persekitaran bilik darjah yang mesra budaya. Ia tertumpu pada aspek
yang pelbagai bagi mana-mana persekitaran sama ada di dalam bilik darjah, dalam
makmal, makmal komputer atau lokasi tertentu yang sesuai dengan isi pelajaran.
Contohnya, ia boleh dijalankan ketika guru lain menggantikan sesuatu kelas.
Kadangkala, guru sering pergi berkursus lama dan semasa ketiadaan guru, guru boleh
meninggalkan pelbagai maklumat di dalam CD bagi memudahkan proses pengajaran
guru ganti. Murid-murid boleh diberi peluang menggunakan komputer dan berbincang
secara berkumpulan mengenai sesuatu topik dan maklumat yang diberikan.
Pembelajaran kontekstual berlaku apabila murid memproses maklumat atau ilmu
pengetahuan baru dengan cara tertentu dan memberi makna kepada pemahaman
mereka sendiri. Guru harus menyediakan kepelbagaian persekitaran pembelajaran
suntuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan dan menyediakan pembelajaran
yang konkrit yang melibatkan aktiviti “Hands On” dan “Minds On”. Kepelbagaian
sosiobudaya murid-murid dapat digunakan sepenuhnya melalui belajar secara
kerjasama sama ada aktiviti berkumpulan atau koperatif. Pengajaran dan pembelajaran
kontekstual dapat membantu guru mengaitkan bahan subjek yang dipelajari dengan
situasi dunia sebenar dan memotivasikan murid untuk membuat perkaitan antara
pengetahuan dengan mengaplikasikannya ke dalam kehidupan seharian.
LAMPIRAN
BIBLIOGRAFI
Kamus Dewan Edisi Keempat (2005) Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur
Mok Soon Sang (2002)..Pedagogi Untuk Kursus Diploma Perguruan Semester 3. Edisi
Ketiga Terbitan Ke-4 Kumpulan Budiman Sdn Bhd. Subang Jaya.
Asal Usul Jawa
http://firmanbudi.wordpress.com/2009/03/01/history-of-java/
http://id.wikipedia.org/wiki/Jawa
Cari Dictionary Online
http://www.cari.com.my
Bahasa Jawa
http://id.wikipedia.org/wiki/Bahasa_Jawa
Budaya Jawa
http://id.wikipedia.org/wiki/Tari_Tayub
Masyarakat Jawa di Malaysia
http://razalitumirin-zali.blogspot.com/2009/06/masyarakat-jawa-di-malaysia.html