keharmonian asas pembangunan ummah oleh: malaysia
TRANSCRIPT
1
KEHARMONIAN ASAS PEMBANGUNAN UMMAH
Oleh: Malaysia
Pendahuluan
Kehidupan yang aman, tenang dan harmoni merupakan cita-cita segenap
lapisan rakyat dalam sesebuah negara. Dengan adanya keharmonian, mereka
dapat melakukan pelbagai pekerjaan bagi meningkatkan pencapaian diri dan
keluarga. Manakala di pihak pemerintah pula, keharmonian yang wujud akan
membolehkan berbagai-bagai perancangan dibuat bagi membangun negara
mencapai kemakmuran.
Keharmonian adalah asas utama bagi membolehkan segala program
pembangunan ummah dilaksanakan. Suasana hidup masyarakat yang harmoni,
aman dan bebas daripada kacau bilau akan menyediakan ruang yang kondusif
kepada pihak pemerintah bagi melaksanakan program pembangunan ummah
secara yang terancang. Justeru, menjadi tanggungjawab kepada umat Islam
untuk memastikan keharmonian hidup dapat dipertahankan walau di mana
mereka berada.
Keharmonian Masyarakat Majmuk di Malaysia
Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai keunikan tersendiri
dengan rakyat berbilang kaum, etnik dan agama. Dengan jumlah penduduk
sebanyak 28.3 juta, orang Melayu adalah sebagai kaum terbesar dengan
bilangan 14.2 juta orang yang merangkumi 50.1% daripada jumlah penduduk.
Orang Cina merupakan kaum kedua terbesar dengan jumlah 6.4 juta orang
yang merangkumi 22.6%. Bumiputera lain yang terdiri daripada Orang Asli di
Semenanjung dan pribumi Sabah dan Sarawak pula menduduki tempat ketiga
dengan bilangan 3.3 juta orang yang mewakili 11.7%. Manakala kaum India
berada di tempat seterusnya dengan jumlah 1.9 juta orang yang mewakili
(6.7%). Jumlah penduduk beragama Islam pula dianggarkan sebanyak 61.3 %
penduduk Malaysia.
2
Meskipun komposisi penduduk Malaysia terbina daripada pelbagai kaum,
etnik, keturunan, budaya dan agama, keharmonian yang wujud di kalangan
rakyat masih teguh terpelihara. Sifat ‘pluralisme’ ini telah menjadikan Malaysia
sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian pola budaya (social
diversities) yang bukan sahaja menjadi aset kepada tarikan dan destinasi
pelancongan, tetapi juga menjadi contoh kepada kemakmuran dan keharmonian
hidup masyarakat berbilang kaum.
Dalam rangka memastikan keharmonian hidup rakyat sentiasa dipelihara,
Perlembagaan Malaysia yang dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan
telah meletakkan beberapa asas penting sebagai panduan kepada seluruh
rakyat. Antaranya, Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan
bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh
diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Peruntukan ini amat signifikan bukan sahaja dalam konteks meletakkan Islam
pada kedudukan yang istimewa berbanding agama lain, bahkan sebagai rangka
asas bagi menjamin keharmonian beragama di kalangan rakyat Malaysia.
Manakala Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa
semua orang adalah sama dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata
di sisi undang-undang. Seterusnya Perkara 8 (2) pula menyebut tentang tidak
boleh ada perbezaan terhadap warganegara semata-mata atas sebab agama,
kaum, keturunan atau tempat lahir atau lainnya, kecuali sebagaimana yang
dibenarkan dengan nyatanya oleh Perlembagaan.
Selain soal kedudukan Islam dan agama lain, kesamarataan adalah asas
penting bagi memastikan wujudnya keharmonian dalam negara ini. Peruntukan
ini menjadi satu prinsip yang utama dalam memastikan keadilan kepada seluruh
rakyat. Keharmonian hanya akan wujud apabila rakyat dilayan dengan adil dan
saksama. Seorang rakyat tidak boleh dibezakan dengan orang lain hanya atas
dasar anutan agama, etnik atau jantina yang berlainan.
3
Selain daripada asas-asas yang terkandung dalam Perlembagaan,
penggubalan Rukun Negara juga menjadi teras penting dalam mewujudkan
keharmonian di kalangan rakyat. Lima prinsip Rukun Negara ialah Kepercayaan
kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan,
Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Prinsip yang
terkandung dalam Rukun Negara ini mengandungi nilai kenegaraan yang
sangat penting dalam usaha mewujudkan negara yang aman dan harmoni.
Berdasarkan kedudukan ini, jelas bahawa Perlembagaan Malaysia
sangat menjunjung tinggi asas-asas keharmonian dan perpaduan. Ini
diperkukuhkan lagi dengan penggubalan Rukun Negara menjadi falsafah
nasional ke arah memupuk perpaduan dan keharmonian dalam kalangan
masyarakat majmuk di negara ini.
Pendekatan dan Strategi Dalam Memupuk Keharmonian
Dalam usaha mewujudkan perpaduan serta memupuk keharmonian
antara rakyat berbilang kaum di negara ini, berbagai-bagai pendekatan dan
strategi telah dan sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Antara pendekatan
yang dilaksanakan ialah penggubalan dasar dan polisi bagi menyatupadukan
rakyat, sekaligus merapatkan jurang perbezaan antara kaum di negara ini.
Walaupun matlamat umum penggubalan dasar-dasar tersebut bagi mewujudkan
keharmonian, namun terdapat beberapa dasar yang digubal khusus bagi
memberi fokus ke arah mencapai matlamat perpaduan dan seterusnya
memupuk keharmonian antara kaum di Malaysia.
Salah satu daripada dasar yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan ialah
Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dasar ini diperkenalkan pada tahun 1971 oleh
Perdana Menteri Malaysia ketika itu, YAB Tun Abdul Razak Dato' Hussein.
Matlamat tersurat DEB adalah untuk mencapai perpaduan negara dan integrasi
nasional dan ia telah digubal dalam konteks strategi serampang dua mata, iaitu;
4
i. Untuk mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan
meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang
pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum; dan
ii. mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat
Malaysia untuk memperbetul ketidakseimbangan ekonomi supaya
dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan
kaum mengikut fungsi ekonomi.
Dasar ini dibentuk menerusi Majlis Perundingan Negara sebagai jentera
penggerak untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.
Majlis Perundingan Negara juga telah mencadangkan kepada kerajaan untuk
mewujudkan Jabatan Perpaduan Negara untuk melaksanakan aktiviti berbentuk
muhibbah. Majlis Muhibah dan Pejabat Muhibah di peringkat pusat, negeri,
daerah dan kawasan telah ditubuhkan di bawah peruntukan Peraturan-
Peraturan Perlu (Majlis-Majlis Muhibah) 1969 yang telah diwartakan pada 18
Julai 1969.
Sebagai kesinambungan Dasar Ekonomi Baru, kerajaan telah menggubal
satu dasar baru yang dikenali Dasar Pembangunan Nasional (DPN). Dasar ini
telah dilancarkan oleh YAB Dato‟ Seri Dr. Mahathir bin Mohamad, (Tun)
Perdana Menteri Malaysia, pada 17 Jun 1991. Antara matlamat akhir Dasar
Pembangunan Negara (DPN) ialah perpaduan negara kerana masyarakat yang
bersatu padu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial
politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. Secara
umum, Dasar Perpaduan Negara masih mengekalkan strategi asas DEB, iaitu
pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat. Ia bertujuan
memperbaiki ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum dan seterusnya
menyumbang ke arah mengukuhkan perpaduan kaum.
Antara strategi di bawah dasar ini adalah untuk menggalak dan
memperkukuhkan integrasi nasional dengan mengurangkan jurang
ketidakseimbangan yang luas dalam pembangunan ekonomi antara negeri dan
antara kawasan bandar dan luar bandar. Ia juga bagi membangunkan sebuah
5
masyarakat yang progresif, iaitu semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup
yang tinggi di samping mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif
serta menghayati perasaan bangga dan cintakan negara.
Kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Kebudayaan Kebangsaan
sebagai satu langkah penting ke arah mencapai matlamat perpaduan dan
keharmonian kaum di Malaysia. Dasar ini adalah sangat relevan dalam konteks
negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama seperti
Malaysia. Tiga prinsip utama dasar ini ialah: pertama, berteraskan kepada
kebudayaan rakyat asal rantau ini; kedua, unsur-unsur kebudayaan lain yang
sesuai dan wajar boleh diterima; dan ketiga, Islam menjadi unsur yang penting
dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.
Tiga objektif utama dasar ini diperkenalkan, iaitu mengukuhkan
perpaduan bangsa dan negara melalui kebudayaan, memupuk dan memelihara
keperibadian kebangsaan yang tumbuh daripada kebudayaan kebangsaan dan
memperkaya dan meningkatkan kualiti kehidupan, kemanusiaan dan kerohanian
yang seimbang dengan pembangunan sosioekonomi.
Penggubalan Dasar Pelajaran Kebangsaan juga merupakah salah satu
langkah bagi mencapai matlamat keharmonian rakyat berbilang kaum di
Malaysia. Dasar ini diwujudkan melalui Penyata Razak 1956 dan dimaktub
dalam Ordinan Pelajaran 1957. Ia disemak pada 1960 yang menghasilkan
Laporan Rahman Talib yang dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961.
Rasional di sebalik penggubalan dasar ini ialah kesedaran bahawa
sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa mengambil kira
keperluan pembangunan, pembentukan identiti kebangsaan dan perpaduan
negara. Sistem pendidikan berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat
pendatang dan keturunan mereka kepada negara asal mereka. Sistem ini
mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi apabila Tanah
Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi sesuai. Oleh itu, antara langkah
yang diambil ialah dengan menggubal satu dasar pendidikan kebangsaan yang
dapat memenuhi keperluan negara Malaysia yang merdeka.
6
Objektif dasar ini dinyatakan dalam pendahuluan kepada Akta Pelajaran
1961, iaitu;
“Bahawasanya dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan
Pelajaran 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pendidikan yang
akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan
perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politiknya..”.
Walaupun objektif ini dinyatakan secara umum, tetapi dalam
melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada
Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah mentafsirkannya
sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan
menyediakan tenaga kerja (`tenaga rakyat‟ - istilah yang digunakan oleh
Laporan Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.
Hasrat kerajaan melalui penggubalan Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah
untuk memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini dalam jangka panjang dan
jangka pendek, dan seterusnya bagi melahirkan masyarakat yang bersatupadu,
berdisiplin dan terlatih. Hasilnya, dasar ini telah dapat merapatkan jurang
pengenalan bidang pekerjaan mengikut kaum sama ada di dalam sektor awam
atau swasta.
Di samping itu, ianya telah dapat mengurangkan kadar kemiskinan
terutama bagi kaum bumiputera yang berpendidikan. Dalam masa yang sama,
kurikulum yang sama dan bercorak kebangsaan telah menyumbang ke arah
memupuk perasaan dan kesedaran kebangsaan Malaysia di kalangan mereka
yang melalui sistem pendidikan kebangsaan. Realitinya, perpaduan dan
keharmonian bukan hanya hasil pendidikan semata-mata, akan tetapi ia
merupakan satu daripada faktor penting yang perlu diambil kira.
Seterusnya, kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Penerapan
Nilai-Nilai Islam dalam Pentadbiran sebagai sebahagian daripada usaha untuk
memasukkan nilai-nilai murni sejagat dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat
Malaysia. Rasional pihak kerajaan memberi perhatian kepada nilai-nilai,
7
khususnya nilai-nilai murni daripada intipati ajaran Islam adalah untuk
memelihara maruah dan membentuk identiti yang kukuh di kalangan
warganegara Malaysia.
Dalam rangka memelihara maruah dan membentuk identiti yang kukuh,
nilai adalah unsur terpenting yang perlu dimiliki oleh warganegara Malaysia. Ia
merupakan satu faktor utama yang boleh memastikan kelahiran sesebuah
masyarakat yang disegani. Sesuatu bangsa yang tidak mempunyai nilai
kehidupan yang tertentu akan mudah menjadi mangsa kepada bangsa lain yang
sentiasa berusaha mengembangkan nilai-nilainya dan dengan perkembangan
ini akan dapat menguasai bangsa yang tidak mempunyai nilai-nilai yang kukuh.
Bagi masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan
agama serta menjalani cara hidup yang berbeza-beza, pengamalan nilai-nilai
yang dapat diterima oleh semua rakyat adalah menjadi asas penting dalam
usaha ke arah membentuk identiti dan perpaduan. Tanpa nilai yang universal
ini, rakyat akan terdorong untuk menerima dan menyanjung nilai-nilai lain yang
sangat asing bagi masyarakat Malaysia. Ini akan menyebabkan kesetiaan
rakyat Malaysia serta identitinya sebagai warganegara akan menjadi kabur dan
maruah bangsa tidak dapat dijunjung tinggi.
Matlamat akhir dasar ini digubal adalah untuk membentuk sebuah
masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti kukuh dan disegani oleh
masyarakat lain. Selain itu, ia juga bagi menubuhkan sebuah negara bahagia,
menghapuskan sikap yang negatif dalam menjalankan tugas dan menghasilkan
perkhidmatan yang bermutu.
Penggubalan dan pelaksanaan dasar ke arah mewujudkan perpaduan
dan keharmonian diperkukuhkan lagi dengan beberapa pendekatan yang
diperkenalkan oleh pihak kerajaan. Gagasan 1Malaysia merupakan salah satu
pendekatan yang diperkenalkan YAB Perdana Menteri Malaysia ke-6, Dato‟ Sri
Najib Tun Abd.Razak pada 3 April 2009. 1Malaysia digagaskan sebagai formula
untuk memastikan aspirasi negara, iaitu “Wawasan 2020” dapat dicapai.
Gagasan ini berpaksikan prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”
8
bertujuan melahirkan bangsa Malaysia yang lebih berdaya tahan dan mampu
menghadapi cabaran globalisasi yang melanda dunia ini.
Objektif Utama Gagasan 1Malaysia adalah bagi mewujudkan perpaduan
dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa
nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia adalah
penerusan agenda pembinaan negara menerusi perpaduan yang utuh dalam
kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Dua aspek utama pelaksanaan
Gagasan 1Malaysia ialah:
Aspek Pertama : Penerapan Teras Perpaduan
Teras perpaduan akan menguatkan semangat bersatu padu dalam
kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didukung oleh nilai-
nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia.
Aspek Kedua : Penerapan Nilai-Nilai Aspirasi
Nilai-nilai Aspirasi akan membantu dalam mewujudkan tenaga kerja yang
berdaya maju dan mampu bersaing dalam persekitaran global dan
seterusnya membantu melonjakkan kedudukan ekonomi negara ke tahap
yang lebih kukuh dan matang.
Gagasan 1Malaysia disandarkan kepada tiga prinsip teras dalam
memperkukuhkan perpaduan nasional, iaitu:
i. Penerimaan
Menerima hakikat bahwa rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum
yang mempunyai kepelbagaian dari segi cara hidup, amalan dan
kebudayaan. Rakyat harus menerima antara satu sama lain sebagai
rakan setia.
ii. Kenegaraan
9
Konsep perpaduan semangat nasionalisme dan cinta akan negara
menjadi asas pembentukkan 1Malaysia.
iii. Keadilan Sosial
Memberikan kebajikan dan aspek-aspek sosial yang penting secara adil
tanpa mengira latar belakang atau agama. Setiap wakil rakyat bertindak
melepasi sempadan kaum masing-masing dan melebarkan perkhidmatan
kepada kaum-kaum lain.
Sebagai pelengkap kepada dasar dan pendekatan bagi mewujudkan
keharmonian antara rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini, kerajaan
juga telah mengetengahkan pendekatan Islami yang dinamakan pendekatan
`Wasatiyyah`. Ia merupakan satu pendekatan pembangunan manusia,
masyarakat dan Negara Malaysia yang bersifat menyeluruh berdasarkan ajaran
Islam yang diamalkan secara sederhana serta berimbang bagi melahirkan
modal insan dan masyarakat yang cemerlang.
Pendekatan wasatiyyah sangat digalakkan oleh Islam kerana sifatnya yang
sederhana, berimbang dan syumul dalam semua kegiatan hidup individu dan
masyarakat. Ia berupaya meningkatkan kualiti hidup ummah dari segi ilmu
pengetahuan, pembangunan insan yang unggul, sistem ekonomi dan
kewangan, pertahanan dan juga perpaduan.
Melalui pelbagai dasar dan pendekatan yang telah dilaksanakan ini, nyata
bahawa perpaduan dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum di negara ini
dapat dipelihara dan dipertahan sehingga ke hari ini.
Pembangunan Ummah di Malaysia
Keharmonian yang wujud di Malaysia telah membolehkan program-
program pembangunan ummah dilaksanakan secara terancang dari semasa ke
semasa. Hakikatnya, skop pembangunan ummah bukan hanya tertumpu
kepada kemajuan fizikal seperti apa yang dipelopori oleh tamadun Barat,
sebaliknya ia lebih menjurus kepada pembinaan insan yang kamil. Ini kerana
10
kemajuan manusia bermakna kemajuan fikirannya, ilmunya, nilai budayanya,
kemanusiaannya dan adabnya.
Islam bukan sahaja telah mendapat tempat dalam dasar pentadbiran
negara, malahan arah tuju dasar negara dan proses pembangunannya secara
beransur-ansur dipandu mengikut nilai-nilai Islam sejagat. Kesungguhan
kerajaan dalam memartabatkan agama Islam serta memacu pembangunan
ummah di Malaysia amat terserlah melalui berbagai-bagai dasar, strategi dan
pendekatan yang telah dilaksanakan. Walaupun dasar, strategi dan pendekatan
ini tidak semuanya dilabelkan dengan perkataan Islam, namun terasnya adalah
bersumberkan kepada ajaran Islam yang berpandukan kepada prinsip-prinsip
`maqasid al-syariah`.
Pengurusan dan Penggubalan Dasar Bagi Hal Ehwal Islam
Atas kesedaran yang tinggi kepada perlunya satu badan bagi menggubal
dasar dan menyelaras pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di
Malaysia, Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah bersetuju menubuhkan Majlis
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 17 Oktober 1968. Tujuan
utama MKI adalah untuk menyelaras pentadbiran Agama Islam dari peringkat
pusat supaya tidak ada perbezaan dan perselisihan dengan Majlis Agama Islam
Negeri-negeri. Untuk melaksanakan tujuan ini majlis ini bertangungjawab;
i. Membincang, menimbang dan menguruskan apa-apa perkara
yang dirujukan kepada majlis oleh Majlis Raja-raja, mana-mana
Kerajaan-kerajaan Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri atau
seseorang Ahli Majlis, dengan tujuan hendak memberi nasihat
atau saranan.
ii. Memberi nasihat kepada Majlis Raja-raja, Kerajaan Negeri atau
majlis Agama Islam Negeri atau apa-apa perkara berkenaan
dengan perundangan atau pentadbiran Agama Islam dan
pelajaran Agama Islam dengan tujuan hendak memperbaiki,
11
menyemak atau menggalakkan persamaan undang-undang atau
pentadbiran.
MKI diuruskan oleh Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri, yang
bertindak sebagai urus setia kepada Majlis. Pada tahun 1974, urus setia MKI
telah dinaik taraf kepada Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri yang
kemudiannya dijenamakan semula sebagai Bahagian Hal Ehwal Islam (Baheis),
Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1985. Mulai 1 Januari 1997, Bahagian ini
telah dinaiktaraf kepada sebuah jabatan dan dikenali sebagai Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Sejajar dengan naiktaraf tersebut, Jakim berperanan sebagai agensi
pusat dalam merancang pengurusan hal ehwal Islam dan pembangunan
ummah. Lapan fungsi utama Jakim adalah seperti yang berikut:
i. Bertanggungjawab sebagai perancang yang menentukan
pembangunan dan kemajuan hal ehwal Islam di negara ini;
ii. Merangka dasar bagi pembangunan hal ehwal Islam di negara
ini dan menjaga kesucian akidah dan ajaran Islam;
iii. Membantu menggubal dan menyeragam undang-undang dan
peraturan yang diperlukan serta menilai dan menyelaras
pelaksanaan undang-undang dan pentadbiran yang sedia ada
dari masa ke semasa dalam usaha untuk menyelesaikan
masalah-masalah umat Islam;
iv. Melaksanakan program-program pembangunan ummah dan
penghayatan Islam dalam pengurusan negara;
v. Menyelaras mekanisma penguatkuasaan undang-undang serta
peraturan-peraturan pentadbiran hal ehwal Islam di seluruh
negara;
12
vi. Membuat penilaian program-program hal ehwal Islam yang
dilaksanakan di negara ini;
vii. Bertindak sebagai pengumpul, penyebar dan pusat rujukan
maklumat mengenai hal ehwal Islam; dan
viii. Melaksanakan usaha-usaha pembangunan ummah melalui
kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.
Hakikatnya, penubuhan MKI dan kemudiannya disusuli pula dengan
penubuhan Jakim menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan
agenda pembangunan ummah dapat dilaksanakan dengan terancang dan
sistematik. Kewujudan institusi ini akan membolehkan penyelarasan hal ehwal
Islam antara negeri-negeri dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Penyelarasan dalam bidang Kehakiman dan Perundangan Islam
Masalah ketidakseragaman undang-undang antara negeri di Malaysia
merupakan antara isu yang berlaku disebabkan hal ehwal Islam terletak di
bawah bidang kuasa negeri. Justeru, Jakim melalui Jawatankuasa Teknikal
Undang-Undang Syarak dan Sivil telah membantu menggubal undang-undang
Islam yang disediakan sebagai „model‟ untuk diterima pakai oleh negeri-negeri.
Antara hasil yang telah dicapai melalui penubuhan Jawatankuasa Teknikal
Undang-Undang Syarak dan Sivil ialah:
i. Menyediakan enam rang undang-undang model Islam yang seragam
dalam usaha penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Islam
seluruh negeri, iaitu Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam,
Undang-Undang Keluarga Islam, Undang-Undang Tatacara Mal,
Undang-Undang Tatacara Jenayah Syariah, Undang-Undang
Keterangan Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Kesalahan
Jenayah Syariah. Pada 22 Mac 2001 Majlis Raja-Raja telah bersetuju
13
untuk menggunapakai lima rang undang-undang berkenaan kecuali
Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah;
ii. Menyelesaikan masalah atau konflik undang-undang yang terdapat
dalam
Perlembagaan Persekutuan melalui pindaan kepada Perkara 121
Perlembagaan Persekutuan, dengan mewujudkan Perkara 121(1A)
yang memberi kuasa eksklusif kepada Mahkamah Syariah tanpa
campur tangan daripada Mahkamah Sivil dan pindaan kepada
Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang
kuasa penahanan dan penangkapan oleh Hakim Syarie sebagaimana
kuasa Majistret (1988);
iii. Memperkenalkan suatu inovasi baharu terhadap dunia Islam melalui
pengenalan hak suami dan isteri dalam menuntut harta sepencarian;
iv. Mengatasi masalah ketidakseragaman keputusan dan pentadbiran
Mahkamah Syariah melalui usaha-usaha yang telah membuahkan
hasil seperti yang berikut :
(a) Pengasingan Mahkamah Syariah daripada Jabatan Agama
Islam Negeri;
(b) Penyusunan struktur Mahkamah Syariah kepada tiga
peringkat, iaitu Mahkamah Rendah Syariah, Mahkamah
Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah;
(c) Meningkatkan taraf hakim Mahkamah Syariah setanding
dengan hakim mahkamah sivil;
(d) Menyediakan peruntukan undang-undang yang lebih lengkap
dan kemas bagi Mahkamah Syariah; dan
(e) Mewujudkan skim Pegawai Syariah (LS).
14
v. Membuat pindaan kepada Kanun Tanah Negara dengan
memasukkan peruntukan mengenai Mahkamah Syariah dalam usaha
mengharmonikan undang-undang Syariah dan Sivil, iaitu Seksyen
421A Kanun Tanah Negara; dan
vi. Mencadangkan pindaan kepada undang-undang sivil agar selaras
dengan
Hukum Syarak.
Dari sudut penggubalan undang-undang Islam yang seragam,
Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil telah menggubal
beberapa undang-undang untuk Wilayah Persekutuan dan dijadikan model
untuk diguna pakai di seluruh negara.
Penyelarasan dan penyeragamam undang-undang Islam yang
dilaksanakan ini ternyata telah berjaya mengangkat kedudukan perundangan
institusi kehakiman dan perundangan Islam di Malaysia setanding dengan
undang-undang sivil yang berkuat kuasa. Ia sekaligus mewujudkan hubungan
yang harmoni antara masyarakat Islam dengan pihak berkuasa agama di
peringkat persekutuan dan juga negeri.
Pemurnian Akidah
Sebagaimana yang telah diakui bahawa kesucian akidah umat Islam di
Malaysia terpelihara di bawah Perlembagaan Persekutuan, iaitu di bawah
Perkara 11(4) yang melarang sebarang dakyah agama lain kepada umat Islam.
Menyedari bahawa banyak faktor yang boleh menggugat kesucian akidah
orang-orang Islam, kerajaan telah menyusun pelbagai program penjelasan,
penerangan, kursus dan dialog berkenaan perkara-perkara yang dapat
memantapkan memperkasa akidah umat Islam. Golongan yang baharu
memeluk Islam diberi kursus-kursus kefahaman dan penghayatan secara
berjadual.
15
Kerajaan juga telah mengujudkan satu Unit Khas di Jakim bagi
melaksanakan kajian dan pemantauan terhadap penyebaran ajaran sesat dan
menyeleweng. Ini bertujuan menangani segala macam gejala penyelewengan
akidah menerusi ajaran-ajaran salah dan sesat. Penubuhan Panel Pakar
Akidah di Jakim yang dianggotai oleh pakar akademik dan tokoh Islam banyak
membantu Jakim menangani masalah ini.
Majlis Agama Islam Negeri- juga mewajibkan kepada individu yang ingin
mengajar atau menyampaikan ceramah agama Islam supaya mendapatkan Sijil
Tauliah Mengajar Agama daripada pihak Majlis. Langkah ini bagi mengawal
sebarang anasir atau pengaruh ajaran sesat daripada merebak. Mengajar
agama tanpa tauliah adalah satu kesalahan di bawah Enakmen Kesalahan
Jenayah Syariah. Pada masa yang sama juga, Jakim dan Kementerian Dalam
Negeri (KDN) sentiasa bekerjasama dalam menapis dan mengharamkan buku-
buku yang mengandungi unsur-unsur penghinaan dan penyelewengan akidah
umat Islam.
Yang penting, kerajaan tidak pernah bersikap sambil lewa dalam hal-hal
yang berkaitan dengan akidah umat Islam. Segala pendekatan dan saluran
digunakan secara bersepadu dan terancang bermula daripada pendidikan
hinggalah ke penguatkuasaan undang-undang semata-mata untuk memastikan
akidah umat Islam terpelihara di bumi Malaysia, sekali gus menjamin
keharmonian ummah.
Pembangunan Sistem Kewangan dan Perbankan Islam
Secara umumnya umat Islam di Malaysia telah mula merintis jalan dalam
membangunkan ekonomi ummah sejak akhir dekad 60-an. Institusi yang
pertama mengamalkan konsep transaksi Islam ialah Lembaga Tabung Haji
(LTH) atau sebelum itu dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-
Bakal Haji. Ia ditubuhkan pada tahun 1969 dan berfungsi untuk membolehkan
orang-orang Islam menyimpan wang secara beransur-ansur bagi memenuhi
perbelanjaan menunaikan fardu haji dan melibatkan diri dalam bidang
16
penanaman modal dalam lapangan perusahaan, perdagangan, perladangan
dan hartanah melalui cara yang halal di sisi Islam.
Beberapa pihak kemudiannya telah menyeru kerajaan supaya
menubuhkan sebuah bank Islam dan meminta kerajaan mengambil tindakan
segera menggubal undang-undang bagi membolehkan penubuhan bank dan
institusi kewangan yang beroperasi berlandaskan prinsip Islam. Maka pada 30
Julai 1981, kerajaan telah melantik Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank
Islam (National Steering Committee) yang dipengerusikan oleh YM Raja Tan Sri
Mohar bin Raja Badiozaman dan LTH dilantik sebagai urus setia.
Dalam laporannya, jawatankuasa tersebut telah mencadangkan satu
kerangka asas untuk mewujudkan sistem perbankan Islam di Malaysia.
Berdasarkan syor tersebut, kerajaan telah meluluskan Akta Bank Islam 1983
(ABI) dan mula berkuat kuasa pada 7 April 1983. Hal ini telah membawa
kepada penubuhan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) pada Julai 1983
sebagai bank Islam pertama di Malaysia yang diperbadankan di bawah Akta
Syarikat 1965. Objektif utama penubuhannya ialah untuk menjalankan operasi
sebagai bank perdagangan berlandaskan hukum Syarak dan menyediakan
kemudahan kepada semua rakyat negara ini. Seperti dalam pengurusan bagi
bank-bank lain, Bank Negara Malaysia (BNM) diberi kuasa di bawah Akta Bank
Islam untuk mengawal selia Bank Islam.
Kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia juga mempunyai objektif
jangka panjang, iaitu ingin mewujudkan Sistem Perbankan Islam seiring dengan
sistem bank konvensional. Objektif ini dapat dicapai dengan tiga adunan strategi
utama, iaitu pertama, sistem ini mempunyai ahli yang cukup, kedua,
perkhidmatan dan produknya merangkumi keseluruhan sistem bank, dan ketiga,
perlu diwujudkan pasaran antara-bank yang operasinya mengikut prinsip
syariah.
Sejajar dengan objektif itu, pada awal tahun 1993 sebanyak 21 produk
bank Islam telah berjaya diwujudkan, antaranya al-Wadi‘ah, al-Mudharabah, al-
Musyarakah, al-Murabahah, al-Bai’ bi Thaman Ajil, Bai’ al-salam, al-Ijarah, al-
17
Bai’ al-Ta’jiri, al-Wakalah, al-Rahn, al-Qardh al-Hassan dan al-Kafalah.
Sehingga penghujung tahun 1993, Sistem Perbankan Islam di Malaysia telah
mengandungi sebuah bank Islam dan 20 buah institusi kewangan konvensional
terdiri daripada 10 buah bank perdagangan, lapan buah syarikat kewangan dan
dua buah bank saudagar yang menawarkan perkhidmatan dan produk
berdasarkan prinsip Islam. Selain itu, pada 3 Januari 1994, pasaran wang
antara-bank secara Islam telah dilaksanakan.
Pada masa ini, kewangan Islam berkembang pesat di Malaysia, disokong
oleh persekitaran yang kondusif dan infrastruktur kewangan yang komprehensif
dan menerima pakai amalan terbaik pengawalseliaan dan undang-undang
global. Berdasarkan laporan tahunan 2012 yang dikeluarkan oleh Bank Negara
Malaysia, jumlah aset Perbankan Islam berjumlah RM 494,585.7 juta, iaitu
23.80% daripada keseluruhan aset perbankan di Malaysia. Sementara kadar
pertumbuhan purata pula adalah di sekitar 18% hingga 20% setiap tahun.
Manakala jumlah aset takaful pula adalah RM19,043.31 juta, iaitu 8.80%
daripada keseluruhan aset industri insuran dan takaful di Malaysia.
Malaysia juga memberikan penekanan yang penting kepada
pembangunan modal insan bagi memastikan ketersediaan tenaga kerja mahir
dalam sektor kewangan Islam. Liberalisasi yang pesat dalam industri kewangan
Islam, di samping persekitaran yang memudahkan urusan perniagaan telah
mendorong institusi kewangan asing memilih Malaysia untuk menjalankan
perniagaan perbankan Islam. Ini telah dapat memupuk komuniti institusi
kewangan tempatan dan antarabangsa yang pelbagai dan semakin besar.
Kejayaan Malaysia membangunkan industri kewangan Islam dalam
tempoh lebih daripada 30 tahun telah memberikan asas yang kukuh kepada
kestabilan kewangan yang melengkapkan kekayaan, kepelbagaian dan
kematangan sistem kewangan Islam. Situasi ini memenuhi sebahagian daripada
agenda pembangunan ummah dalam bidang ekonomi dan kewangan sekaligus
membibitkan keharmonian kehidupan ummah.
18
Pembangunan Pendidikan Islam
Pendidikan Islam merupakan antara bidang utama yang diberi tumpuan
oleh pihak kerajaan dalam usaha mengangkat martabat umat Islam di Malaysia.
Dari segi pelaksanaannya, pendidikan agama Islam di Malaysia diurus oleh
beberapa pihak. Selain daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), pihak berkuasa agama negeri,
masyarakat setempat dan pihak swasta juga terlibat dalam mengurus
pendidikan agama Islam. Walau bagaimanapun, kewujudan sekolah-sekolah
yang mengajar pendidikan agama Islam perlu terlebih dahulu mendapat
kelulusan daripada pihak berkuasa agama negeri.
Kewujudan Pendidikan Islam dalam arus perdana pendidikan negara
bermula daripada Ordinan Pelajaran 1952, Laporan Razak 1956, Ordinan
Pelajaran 1957,Penyata Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 dan Akta
Pelajaran 1961. Pada hari ini, pelajaran Agama Islam tersebut dikenali sebagai
Pendidikan Islam. Dengan perubahan pada nama mata pelajaran tersebut,
Pendidikan Islam berkembang meliputi pelbagai aspek dan tumpuan yang perlu
diberikan sebagai memenuhi hasrat untuk menjadi landasan utama dalam
membentuk peribadi dan sahsiah murid-murid Islam dalam sistem pendidikan
negara.
Bagi mengukuhkan bidang Pendidikan Islam di persada pendidikan
negara, terdapat berbagai-bagai program dilaksanakan untuk menjadikan
Pendidikan Islam lebih berkesan dalam mencapai matlamat yang dihasratkan.
Antara program yang dilaksanakan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan
Agama (SMKA), Kelas Aliran Agama (KAA), Program j-QAF, Program
Pengembangan bahasa Arab, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan
juga Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA)
Bagi melahirkan modal insan seimbang yang mempunyai kemahiran
dalam pelbagai bidang kerjaya, dan dalam masa yang sama tidak mengetepikan
kekuatan akidah dan syariat dalam diri, maka konsep penggabungan dua aliran
akademik dan agama dilaksanakan. Hasil daripada penggabungan ini telah
19
melahirkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di seluruh negara.
Di sini murid-murid dididik untuk menjadi golongan profesional yang mempunyai
asas akidah dan agama yang kuat. Sehingga kini sebanyak 56 buah SMKA
sedang bergerak menuju kecemerlangan di persada pendidikan negara.
Berdasarkan kepada kejayaan serta permintaan yang bertambah daripada
masyarakat, maka bilangan SMKA dijangka akan bertambah pada masa
hadapan.
SMKA menawarkan pakej-pakej mata pelajaran Sains-Agama, Teknikal
Agama dan Ikhtisas Agama. Kemasukan ke SMKA berasaskan pemilihan
daripada kalangan pelajar terbaik dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR). Namun kekuatan SMKA adalah terletak pada `biah` atau suasana
pendidikan yang berteraskan agama. Tarbiyah yang berterusan dari bilik darjah
ke asrama, melalui penerapan program tarbiyah yang kemas di bawah Badan
Dakwah dan Rohani (BADAR) berjaya membimbing pelajar-pelajar SMKA untuk
membesar sebagai `Syabb Nasya’a Fi Ri’aayat al-Islam.
Kesan daripada minat masyarakat untuk menghantar anak-anak untuk
mendapat pendidikan agama, sama seperti yang ditawarkan di SMKA, maka
KPM telah mewujudkan Kelas Aliran Agama (KAA) di sekolah-sekolah harian
biasa di seluruh negara. Bermula pada tahun 1990, kini sebanyak 500 buah
sekolah menengah harian biasa telah menawarkan KAA dengan murid
berjumlah 15,000 orang di seluruh negara. Pada dasarnya KAA adalah kelas-
kelas yang menawarkan mata pelajaran dan aktiviti yang sama seperti di SMKA.
KPM kini sedang menjalankan usaha untuk memperluaskan KAA di menengah
atas, iaitu di tingkatan empat dan tingkatan lima di sekolah-sekolah yang terpilih.
Program j-QAF adalah suatu usaha kerajaan untuk memperkasakan
Pendidikan Islam khususnya dan Sekolah Kebangsaan amnya. j-QAF adalah
akronim kepada Jawi, Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain. Program ini
dilaksanakan di sekolah-sekolah rendah secara berperingkat-peringkat mulai
tahun 2005 hingga tahun 2010 dengan menggunakan model-model P&P
tertentu oleh tenaga guru yang dilantik dan dilatih khusus tentang program j-
20
QAF melalui modul Latihan Perguruan berasaskan sekolah. Matlamat program
ini adalah untuk melahirkan murid yang khatam al-Quran, menguasai tulisan
dan bacaan jawi serta asas Bahasa Arab, mengamal dan menghayati Fardu Ain
selepas tahun enam menjalani pendidikan asas di sekolah rendah.
Program Pengembangan Bahasa Arab merupakan sebahagian daripada
usaha memperkasa ummah melalui pendidikan. Pembelajaran bahasa Arab
yang sebelum ini terhad diajar di madrasah telah mula mendapat tempat dalam
sistem pendidikan kebangsaan. Pelaksanaan bahasa Arab di sekoah rendah
dijalankan secara rintis, kemudiannya dilaksanakan secara menyeluruh melalui
pelaksanaan program j-QAF pada 2005. Usaha-usaha ini berjaya menjadikan
lebih ramai anak-anak berpeluang mempelajari Bahasa Arab. Selain itu, Sijil
Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang berasaskan Bahasa Arab telahpun
diterima sebagai setaraf dengan STPM dan boleh digunakan untuk
menyambung pelajaran di institusi pengajian tinggi atau untuk tujuan mencari
pekerjaan.
Dalam rangka mengangkat martabat pendidikan Islam agar dapat
bergerak seiring dengan kemajuan negara, kerajaan juga telah mewujudkan
program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK). SABK adalah sekolah-
sekolah yang asalnya merupakan Sekolah Agama Rakyat (SAR) atau Sekolah
Agama Negeri (SAN) yang telah menandatangani MoU dan berdaftar dengan
KPM mulai tahun 2005. Pendaftaran SABK di bawah KPM akan memberi
peluang kepada sekolah-sekolah agama yang daif mendapat bantuan
secukupnya dan boleh menjalankan program pendidikan dengan lebih baik.
Justeru, KPM memberi bantuan dalam bentuk geran perkapita, pembangunan
dan perolehan, penyelenggaraan dan pembaikan kecil juga bantuan SAR-
KAFA. Guru- guru di SABK juga diserapkan ke dalam skim perguruan dan diberi
latihan khusus atau dilantik secara kontrak. Sehingga kini sebanyak 169 buah
SAN dan SAR telah mendaftar sebagai SABK dibawah KPM dan layak
menerima bantuan- bantuan berkenaan.
21
Manakala program Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang
diuruskan oleh pihak Jakim bersama Jabatan Agama Islam Negeri juga telah
mengalami perkembangan yang amat membanggakan. Mengikut Laporan
Penaziran KAFA 2012, jumlah murid yang mengikuti program KAFA ialah
seramai 1,178,432 orang di seluruh negara. Manakala jumlah guru yang terlibat
mengendalikan kelas-kelas tersebut ialah seramai 32,766 orang. Berdasarkan
permintaan yang semakin meningkat, kerajaan akan cuba memperluaskan lagi
kelas KAFA bagi membolehkan kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun dapat
mengikuti program ini.
Cabaran dan Halangan
Kerajaan sentiasa komited dalam melaksanakan agenda pembangunan
ummah meskipun berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran dan halangan.
Segala cabaran dan halangan tersebut akan cuba ditangani dengan penuh
hikmah dan bijaksana. Langkah ini diberi penekanan bagi memastikan usaha-
usaha ke arah pembangunan ummah di Malaysia tidak terjejas.
Secara umumnya, umat Islam di Malaysia dan di seluruh dunia amnya
kini berhadapan dengan cabaran pemesongan akidah dan perubahan aliran
logikal yang begitu mendesak. Dalam era globalisasi ini, muncul semacam satu
budaya baru yang menuntut kecenderungan mencipta sesuatu yang baharu
termasuklah soal agama dan kepercayaan. Ia umpama New Age of Religion,
iaitu manusia berupaya mengamalkan aktiviti-aktiviti kerohanian tanpa memeluk
sebarang agama.
Antara buku-buku kerohanian tanpa agama ini ialah seperti The Seven Spiritual
Law of Success, The Path To Love: Spiritual Strategies for Healing dan
Overcoming Addictions: The Spiritual Solution dan lainnya.
Selain itu, penyebaran fahaman Syiah kepada umat Islam di Malaysia
dianggap sebagai satu tindakan yang boleh menggugat keharmonian
bermasyarakat di kalangan umat Islam yang telah sekian lama berpegang
dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah. Kemunculan fahaman Syiah secara
meluas di Malaysia bermula daripada kemenangan revolusi Islam yang diketuai
22
oleh Ayatullah Al-Khomeini di Iran pada tahun 1979 dan menjadikan Iran
sebagai Republik Islam. Atas nama kerajaan Islam itulah segelintir rakyat
Malaysia telah memberi sokongan tanpa menyedari orang-orang Iran yang
berfahaman Syiah telah menyebarkan fahaman mereka di Malaysia.
Dalam bidang pendidikan Islam, antara cabaran yang dihadapi oleh
kerajaan ialah dilema antara kehendak masyarakat dan batasan sistem yang
sedia ada. Masyarakat mahukan supaya lebih banyak pendidikan agama
diberikan kepada anak-anak mereka di sekolah dan ada mahukan sekolah-
sekolah berorientasikan agama sepenuhnya sedangkan sistem pendidikan
kebangsaan perlu memberi ruang kepada pendidikan akademik dan mata
pelajaran lain diajar di sekolah-sekolah.
Sebarang usaha memasukkan mata pelajaran baharu hendaklah melalui
proses mendapatkan kelulusan terlebih dahulu daripada pihak yang berkenaan.
Syarat ini perlu kerana peraturan Pendidikan di bawah Akta 550 telah
menetapkan senarai mata pelajaran yang boleh diajar di sekolah-sekolah.
Justeru, usaha untuk memasukkan mata pelajaran agama selain daripada yang
telah sedia wujud perlu melalui proses yang sama dan ini memerlukan masa
dan kesediaan yang cukup dari pelbagai pihak.
Keperluan terhadap kawalselia yang kukuh bagi memacu pertumbuhan
yang lestari merupakan antara cabaran dalam bidang kewangan dan perbankan
Islam. Di samping itu, kekurangan inovasi yang menjadi kekangan kepada
sistem ini untuk bersaing dan berada dalam kedudukan yang sama dengan
sistem konvensional juga menjadi salah satu cabaran yang terpaksa dihadapi.
Oleh yang demikian, antara usaha yang dilihat dapat menyumbang kepada
inovasi dalam bidang ini ialah penerokaan lebih banyak kontrak dan prinsip
Syariah yang boleh diguna pakai dalam kewangan Islam. Para penasihat
Syariah tidak seharusnya menghadkan diri mereka kepada penulisan ulama
silam, tetapi mereka juga seharusnya berusaha dan melakukan penyelidikan
yang akan membawa banyak manfaat kepada sistem ini dan umat secara
keseluruhannya. Penyelidikan merupakan inisiatif atau kaedah utama untuk
dilihat dapat memenuhi keperluan ini.
23
Perkembangan teknologi maklumat dan kebebasan media juga perlu
dipantau dan dikawal oleh kerajaan. Kebelakangan ini dapat dikesan adanya
kecenderungan segelintir individu yang cuba mencetuskan provokasi terhadap
masyarakat Islam di Malaysia. Usaha ini dilakukan dengan cara menerbitkan
video-video yang mengandungi penghinaan terhadap Islam di laman `youtube`
dan sebagainya. Antara kes-kes yang berkaitan ialah penerbitan video oleh
individu bukan Islam yang memaparkan juadah berbuka puasa bersama
hidangan yang tidak halal. Hal ini diburukkan lagi dengan satu lagi penerbitan
video bertajuk “1 Hari di Hariraya” yang memaparkan tindakan seorang jurulatih
anjing yang mempromosi sambutan hari raya bersama anjing peliharannya.
Tindakan-tindakan yang menyentuh sensitiviti agama seharusnya
dielakkan kerana ia boleh mencetuskan rasa tidak puas hati dan seterusnya
mengugat keharmonian di antara penganut agama. Sebagai umat Islam, kita
dilarang sama sekali mencerca sembahan orang-orang musyrik sebagaimana
firman Allah SWT;
__________________________
Al-Quran, Al-An‟am 6:108
Bermaksud : Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain dari
Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa
pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap
umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat
kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah
lakukan.
24
Demikianlah antara cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pihak kerajaan
dalam rangka menjayakan agenda pembangunan ummah di Malaysia. Dalam
masa yang sama kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan keamanan dan
keharmonian dapat terus dipertahankan.
Penutup
Adalah menjadi harapan kerajaan agar keharmonian dan keamanan
dalam Negara Malaysia akan kekal berpanjangan untuk faedah rakyat dan
ummah serantau. Meskipun faktor geografi menjadi pemisah, namun jalinan
ukhuwwah Islam akan tetap memadukan rakyat kita sebagai insan bersaudara.
Justeru, sama-samlah kita bermohon kepada Allah SWT agar rantau ini
sentiasa dikurniakan keamanan dan keharmonian bagi membolehkan program-
program pembangunan ummah dapat dilaksanakan secara bersepadu dan
holistik.