fungsi kesusasteraan melayu
TRANSCRIPT
Fungsi kesusasteraan Melayu
Kesusasteraan Melayu merujuk kepada hasil karya dan ciptaan seni yang terdapat
dalam kalangan masyarakat Melayu. Ianya adalah satu bentuk ciptaan seni yang
disampaikan melalaui bahasa. Sastera juga dapat dikatakan sebagai seni bahasa. Ini
kerana sastera ialah ungkapan spontan daripada perasaan yang mendalam malah sastera
juga merupakan ekspresi fikiran melalui medium bahasa.
Antara fungsi kesusasteraan ialah sebagai alat pendidikan. Pengalaman-pengalaman
para pengarang ini diterjemahkan melalui kisah-kisah yang ditulis oleh mereka yang
terangkum didalamnya pelbagai bidang ilmu seperti ekonomi, politik, sosiologi dan agama.
Pengalaman mereka ini dijadikan prosa atau puisi dan diadun dengan unsur-unsur
pengajaran,moral atau ilmu pengetahuan yang tinggi nilainya yang mana akan dapat dikutip
oleh para pembaca maka berlakulah pendidikan secara tidak langsung. Jadi dapat dilihat
dengan jelas bahawa kesusasteraan mampu menjadi bahan untuk pendidikan buat
masyarakat.
Seterusnya, kesusasteraan juga berfungsi untuk memberi kepuasan estetik. Penulis
cerita akan merasa tenteram dan damai apabila mampu menghasilkan sesuatu cerita yang
dapat menyentuh perasaannya. Bagi pembaca pula, dengan membaca karya yang
mempamerkan keindahan akan merasa satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan
dalam dirinya.
Selain itu, kesusasteraan Melayu turut berfungsi untuk memberi pengajaran. Para
sasterawan melalui karya mereka akan memberi pengajaran melalui hasil karya
kesusasteraan mereka yang mana banyak menyingkap tentang nilai-nilai murni dalam
kehidupan. Sebagai contoh Seloka Pak Pandir dan Pantun Nasihat . Karya-karya ini banyak
menjadi rujukan buat masyarakat dalam menjalani kehidupan harian.
Malah, kesusasteraan Melayu juga berfungsi bagi memberi hiburan. Kesusasteraan
digunakan bagi mengisi masa lapang dan dijadikan hobi . Karya-karya sastera seperti
Seloka Pak Pandir bukan saja memberi pengajaran tetapi juga menyeronokkan untuk
dibaca. Malah jika pada zaman dahulu, cerita-cerita rakyat akan diceritakan pada waktu-
waktu lapang bagi menghilangkan kebosanan.
FUNGSI KESENIAN MELAYU
Kesenian Melayu dapat diertikan sebagai bentuk-bentuk yang menyenangkan,
indah dan ada kesan serta kepuasan keindahan dalam proses penghayatan seni itu. Antara
jenis kesenian Melayu ialah seni tari, seni suara, seni kraf tangan dan juga seni muzik.
Kesenian Melayu mempunyai fungsi yang tersendiri kepada masyarakat. Antara
fungsi utama kesenian Melayu ialah sebagai medium hiburan kepada masyarakat. Umum
mengetahui bahawa pada zaman dahulu, tidak ada kemudahan hiburan seperti radio dan
televiyen seperti hari ini, maka wujudnya beberapa hiburan seperti tarian dan juga muzik
bagi mengelakkan masyarakat pada zaman dahulu berasa bosan. Persembahan tarian yang
mengasyikkan dan juga dendangan muzik dapat menghiburkan masyarakat. Pada masa
kini, kesenian ini biasanya dipersembahkan sebagai satu persembahan kebudayaan di
dalam sesuatu majlis, walaupun persembahan kesenian tidak serancak seperti dahulu kala,
namun ianya masih memegang fungsi sebagai medium hiburan.
Selain itu, kesenian Melayu turut berfungsi sebagai media untuk pendidikan. Jika
dilihat kesenian yang ada di Malaysia, kebanyakkannya mempunyai maksud tersirat
disebalik setiap perkataan mahupun perbuatan yang dipersembahkan. Sebagai contoh,
marhabban dan ghasidah jika diteliti, ianya bukan sekadar nyanyian biasa kerana ianya
lebih kepada puji-pujian kepada Allah S.W.T. Di sini dapat dilihat bahawa, kesenian bukan
sahaja untuk berhibur malah dapat mendidik peserta dan juga penonton marhabban atu
ghasidah tersebut. Sementara di sekolah pula, wujud kelab dan juga persatuan kebudayaan
yang mana membuka peluang buat pelajar mempelajari seni tarian,seni suara,seni kraf
tangan dan sebagainya sekaligus dapat mencungkil bakat terpendam mereka. Ini juga dapat
mendidik pelajar untuk mencintai kesenian dan berusaha memeliharanya.
Seterusnya, kesenian juga diperlukan dalam upacara ritual dan keagamaan. Hal ini
dapat dilihat dengan jelas di dalam tarian ulek mayang. Umum mengetahui tarian tersebut
sering dikaitkan dengan upacara pemujaan semangat air. Tarian ini akan dipersembahkan
di pantai bagi memuja semangat air supaya muncul dan membantu menghalau semangat
air yang mengganggu nelayan.
Di samping itu, kesenian turut berfungsi sebagai lambang identiti bangsa. Ini kerana
melalui sesuatu kesenian itu, mereka yang menyaksikan persembahan tersebut mampu
mengetahui pemilik asal kesenian tersebut malah adab dan budaya sesuatu bangsa turut
diselitkan di dalam kesenian tesebut. Bangsa Cina contohnya, terkenal dengan tarian singa
yang dikaitkan dengan sambutan Tahun Baru Cina. Jika disebut wayang kulit maka negeri
Kelantan akan terbayang diminda penonton. Keadaan yang sama berlaku sekiranya kita
menyaksikan persembahan tarian ngajat dan sebagainya yang menjadi identity utama
masyarakat Borneo.
FUNGSI KEBUDAYAAN MELAYU
Kebudayaan merupakan merupakan tamadun sesuatu masyarakat yang diwarisi.
Kebudayaan bersifat dinamik dan mempunyai ciri – ciri menerima dan menolak. ianya juga
dapat ditakrifkan sebagai cara hidup kumpulan manusia atau masyarakat melayu.
Kebudayaan Melayu berfungsi sebagai teras kebudayaan kebangsaan yang
berfungsi sebagai suatu bentuk kebudayaan yang agak liberal. Perubahan dalam
kebudayaan dapat membuka ruang kepada unsur – unsur kebudayaan sukuan dan kaum
yang lain.
Antara fungsi kebudayaan Melayu ialah merapatkan jurang perbezaan antara kaum.
Hal ini adalah bertujuan supaya rakyat dapat bersatu padu di bawah satu payung
kebudayaan yang dimiliki bersama dan menghormati lambang kebangsaan. Contohnya,
semasa sambutan hari kemerdekaan Negara, rakyat Malaysia yang pelbagai kaum bersatu
padu mempersembahkan variasi tarian yang terdapat di Malaysia seperti zapin, ngajat,
inang, dan tarian kipas.
Seterusnya kebudayaaan juga berfungsi bagi mewujudkan satu kesatuan
kebudayaan dan keselarasan dalam menghasilkan satu kebudayaan yang melambangkan
identiti bagi budaya Malaysia. Sebagai contoh, masyarakat Malaysia sering ditekankan
untuk mengamalkan budaya ketekunan, tolong-menolong, mengotakan janji, memegang
amanah, jujur, menghormati ibu bapa dan juga kepimpinan. Dapat dilihat di sini bahawa
walaupun masyarakat Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk yang mengamalkan
adat yang berbeza, tetapi mereka masih menerapkan ciri-ciri kebudayan yang sama di mana
ia telah menjadi identiti masyarakat Malaysia.
Selain itu, kebudayaan turut menjadi landasan bagi menanam nilai-nilai kebangsaan
dan menolak nilai-nilai yang hanya mementingkan sesuatu kaum sahaja. Hal ini dapat dilihat
dengan jelas di Malaysia iaitu walaupun Negara Malaysia terdiri daripada masyarakat
majmuk yang meraikan perayaan yang berbeza, setiap perayaan diraikan dengan meriah
oleh seluruh rakyat malah cuti umum turut diberikan bagi memberi peluang kepada rakyat
untuk meraikan perayaan tersebut. Banyak majlis rumah terbuka diadakan malah terdapat
juga majlis yang diadakan di dewan untuk memberi peluang kepada masyarakat yang tidak
meraikan perayaan tersebut untuk turut merasai kemeriahan sesuatu perayaan. Sebagi
contoh, perayaan hari raya aidilfitri turut diraikan oleh masyarakat bukan Islam.
Akhir sekali, kebudayaan Melayu juga merupakan amalan pada peringkat rasmi dan
tertinggi seperti sistem protokol, adat istiadat pengurniaan, pelantikan, pertabalan dan
sebagainya. Hal ini adalah seperti yang masih dilaksanakan di dalam istana di mana ianya
merupakan kebudayaan daripada yang wujud sejak zaman berzaman. jika dilihat amalan
budaya ini masih berkekalan sehingga hari ini, malah sesiapa sahaja yang memasuki istana
harus mengikuti segala adat dan protokol istana tidak kira sama ada mereka berbangsa
Melayu mahupun bangsa-bangsa yang lain.