Pilihan Yang Mereka Harus Pilih Iaitu Antara Ganjaran & Semangat Cintakan Negara
Berita Harian, 8 Dis 2009
Sasaran Kata: Kejayaan suntik semangat di Laos
Oleh Norbakti Alias
Mew Choo, beregu wanita jadi sandaran negara raih emas acara badminton
TAHNIAH buat Lee Chong Wei, Wong Mew Choo dan gandingan wanita, Wong Pei Tty-Chin
Eei Hui yang berjaya menjuarai acara masing-masing di Grand Prix (GP) Siri Super Dunia
yang berakhir di Johor Bahru, kelmarin.
Pasti kejayaan itu menjadi penyuntik semangat dalam mengharungi cabaran di Sukan Sea
iaitu kejohanan utama terakhir buat mereka, tahun ini.
Penulis juga percaya biarpun ganjaran untuk pingat emas di Sukan Sea jauh lebih rendah
daripada hadiah kemenangan diperolehi mereka di GP itu, namun misi pemain tetap sama -
mengharumkan nama mereka di pentas antarabangsa.
Malah, tindakan Chong Wei, yang menarik diri daripada Sukan Sea, mencium bendera kecil
Malaysia di bajunya selepas kejayaan menundukkan Park Sung-hwan, cukup menceritakan
segalanya. Kejayaannya adalah juga kejayaan Malaysia.
Biarpun dibayangi kontroversi pembayaran wang kemenangan daripada kejohanan sama di
Kota Kinabalu tahun lalu yang belum diterima pemain negara daripada Persatuan
Badminton Malaysia (BAM), kumpulan pemain ini tetap fokus kerana misi mereka hanya
untuk kemenangan.
Mungkin dalam fikiran pemain, masih terdetik masalah yang sama akan berlaku, tapi demi
tanggungjawab, mereka tetap memberi yang terbaik di gelanggang.
Kenapa penulis katakan mungkin perkara itu masih terdetik pada fikiran pemain? Segalanya
nampak kurang konkrit daripada BAM dalam urusan awal mahu mengendalikan kejohanan
penutup tirai sirkit Siri Super itu.
Pada awalnya, Kuala Terengganu dipilih menganjurkan kejohanan itu dan ia turut
diumumkan Timbalan Presiden Persekutuan Badminton Dunia, Paisarn Rangsikitpho, namun
selang beberapa hari Johor Bahru pula menjadi pilihan.
Penulis difahamkan pemilihan awal Kuala Terengganu itu ditentukan hanya oleh seorang
pegawai kanan BAM sahaja tanpa memeriksa kemudahan serta tidak merujuk kepada badan
induk kebangsaan itu sendiri.
Namun, hanya selepas menyedari banyak masalah, termasuk gelanggang yang dikatakan
masih belum mendapat sijil layak menduduki, menyebabkan keputusan awal ditarik balik
dan Johor Bahru dipilih.
Begitupun jelas, pemilihan gelanggang baru itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada
kehadiran penonton di mana dari hari pertama hingga final, jelas tempat duduk banyak
yang kosong.
Ini adalah tahun keempat bandar raya itu menganjurkan kejohanan badminton
antarabangsa di mana tiga tahun berturut-turut untuk Kejohanan Asia, manakala tahun ini
sahaja dua pertandingan - GP Emas dan terbaru GP Siri Super.
Sebenarnya, di kalangan pemerhati dan pegawai BAM sendiri, sudah nampak ada yang mula
tidak kena dalam persatuan itu apabila pegawai yang bertanggungjawab nampak sudah
hilang fokus.
Penyakit lama sudah nampak berulang, dengan lebih banyak menabur janji atau 'lip service'
sahaja tapi hakikatnya, kerja tak ke mana kerana orang yang bertanggungjawab tidak fokus
dan membiarkan terlalu banyak perkara bermain dalam fikirannya.
Penulis khuatir BAM akan kembali melalui zaman gelapnya di mana ada pegawai yang
terlalu berkuasa mahu membuat keputusan sendiri, bukannya membahagikan kerja bagi
meringankan beban tugas mereka. Kini, hanya masa sahaja yang bakal menentukan semua
itu.
P O S T E D B Y D E A N A T 4 : 4 8 A M