Download - pengucapan umum
1.0 Pengenalan
Pengucapan awam adalah apabila anda berdiri di hadapan sekumpulan manusia dan
bercakap kepada mereka, Rahmat Ismail,(2000:1). Pengucapan awam juga adalah satu seni
menyampaikan ucapan kepada sekumpulan manusia. Kemahiran dalam pengucapan umum
sebenarnya adalah merupakan satu keperluan bagi semua individu yang perlu digunakan
dalam kehidupan sehariannya. Boleh dikatakan semua kerjaya di dalam mana-mana
organisasi dalam dunia ini memerlukan kemahiran dalam pengucapan umum sama ada
menjadi pemimpin atau pun pengikut.
Sebenarnya, kepentingan pengucapan awam ini telah dikaji sejak seawal 1000 tahun
sebelum masehi lagi. Ahli-ahli falsafah Greek dan Roman telah membuat kajian tentang
pengucapan umum ini dan telah membentuk pelbagai teori tentang pengucapan yang
berkesan. Plato adalah antara orang terawal menggunakan pengucapan awam.
Pengucapan awam adalah merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari dan
bukanlah keistimewaan turun temurun atau warisan yang diperturunkan dari satu generasi ke
generasi seterusnya. Terdapat ramai pemimpin dunia yang bijak dalam menyampaikan
ucapan umum tidak datang dari keluarga yang pandai berucap di khalayak, contohnya bekas
presiden Indonesia iaitu Presiden Suharto, Pemimpin India yang termahsyur iaitu Mahathma
Gandhi dan sebagainya.
1.1 Definisi Ucapan
a) Menurut Arnold dan Wilson, ucapan ialah
“.... ilham atau idea yang dicetuskan, disalurkan dan diluahkan melalui pemikiran, suara dan
gerakan tubuh badan yang meransang audiens dan pengucap sendiri yang ada kalanya
mempengaruhi pula pemikiran, perasaan dan tindakan seterusnya...”
c) Menurut Abdul Muati Ahmad,(1994) menyatakan bahawa pengucapan umum
menggunakan anggota komunikasi verbal dan bukan verbal.
Di sini dapat disimpulkan bahawa pengucapan umum adalah satu kaedah komunikasi
secara lisan yang disampaikan dalam situasi yang terancang. Yang dimaksudkan dengan
terancang di sini ialah dari segi tempat, masa dan isu yang hendak disampaikan.
1.2 Pengelasan Ucapan
Ucapan boleh dikelaskan kepada dua, iaitu pengelasan ucapan berdasarkan tujuan dan
pengelasan ucapan berdasarkan cara.
1.2.1 Pengelasan Ucapan Berdasarkan Tujuan
Terdapat 4 bentuk pengelasan ucapan berdasarkan tujuan, iaitu:
a) Ucapan berbentuk pemberitahuan
Ucapan bentuk pemberitahuan dibuat untuk menyampaikan maklumat. Contoh
ucapan dalam bentuk ini ialah taklimat, ceramah ringkas, pembentangan kertas kerja dan
sebagainya.
b) Ucapan Berbentuk Pemujukan atau Mempengaruhi
Ucapan jenis ini dibuat bertujuan untuk mengubah kepercayaan, sikap dan perlakuan
khalayak. Contohnya ialah kempen politik, kempen antidadah, keselamatan jalan raya dan
sebagainya. Kredibiliti seseorang pengucap amat penting untuk mengukuhkan hujah-hujah
bagi mempengaruhi pendengar. Apa yang lebih penting, pengucap perlu menunjukkan sikap
ambil berat tentang kepentingan pendengar dan membuktikan pengucap adalah seorang yang
‘cakap serupa bikin’.
c) Ucapan Untuk Menghibur
Ucapan jenis ini dibuat untuk mencetuskan kegembiraan atau keriangan dalam
sesuatu majlis. Contohnya dalam majlis-majlis keraian, majlis makan malam dan sebagainya.
Ucapan untuk menghibur bukanlah hanya humor semata-mata tetapi adalah apa sahaja
perkara yang menarik adalah asas kepada ucapan menghibur. Ciri-ciri yang perlu ada dalam
ucapan menghibur ialah, optimistik, tidak mengelirukan dan diselangseli dengan cerita,
gurauan dan teka-teki.
d) Ucapan Untuk Majlis Khas
Ucapan jenis ini hanya dibuat dalam majlis-majlis tertentu yang mempunyai tujuan
yang spesifik. Contohnya adalah seperti ucapan alu-aluan, mempengerusikan sesuatu majlis,
ucapan penganugerahan dan sebagainya.
1.2.2 Pengelasan Ucapan Berdasarkan Cara
Pengelasan ucapan berdasarkan cara juga terbahagi kepada empat iaitu:
a) Impromtu
Impromtu bermaksud ucapan yang dibuat tanpa sebarang persediaan yang khusus dan
tiba-tiba. Ucapan jenis ini biasanya dilakukan apabila tetamu yang diundang tidak hadir dan
diganti dengan orang lain atau kebetulan pengucap berada di tempat kejadian.
b) Dihafal
Ucapan yang telah disediakan terlebih awal dan dihafal kata demi kata. Ucapan jenis
ini biasanya kaku dan tidak boleh diubahsuai berdasarkan situasi. Ucapan ini biasanya dibuat
dalam majlis yang melibatkan protokol. Contohnya, dalam majlis yang dihadiri oleh
pembesar, tetamu diraja dan orang kenamaan.
c) Dibaca
Ucapan jenis ini disediakan lebih awal untuk dibaca perkataan demi perkataan dari
teks dan manuskrip. Ucapan jenis ini juga tidak boleh diubah sesuka hati. Ucapan jenis ini
digunakan dalam sesuatu majlis rasmi dan penuh adat istiadat dan juga separa rasmi.
Contohnya ialah majlis konvokesyen, penganugerahan pingat dan sebagainya.
1.3 Unsur-unsur Pengucapan Umum
Menurut Rahmat Ismail, (2000:2), terdapat empat unsur utama yang membentuk sesuatu
ucapan, iaitu:
a) Pengucap
Pengucap ialah orang yang bertanggungjawab untuk menyampaikan isi ucapannya kepada
audien atau khalayak dengan tujuan yang tertentu.
b) Ucapan/mesej
Ucapan atau skrip ialah isi bicara yang telah ditetapkan oleh pihak tertentu untuk diluahkan
kepada kepada pendengar dengan tujuan yang tertentu
c) Khalayak/ audien/ pendengar
Khalayak membawa maksud sekumpulan manusia yang mendengar bicara dan memberi
tindak balas terhadap bicara atau ucapan tersebut. Kumpulan pendengar ini merupakan
sasaran utama pengucap ataupun secara ringkasnya isi ucapan direka khas untuk mereka.
d) Situasi
Situasi membawa maksud keadaan atau gaya persembahan ucapan dan situasi tempat
ucapan itu diadakan.
2.0 Elemen-elemen Penting Dalam Pengucapan Umum
Elemen-elemen yang perlu di ambil perhatian dalam menjayakan sesebuah
pengucapan umum ialah terdiri daripada perkara-perkara berikut:
a) Ucapan/ mesej
b) Pengucap
c) Pendengar/ audien
d) Saluran/perantara
e) Maklum balas
f) Gangguan
g) Setting
a) Ucapan/mesej
“ Satu-satunya cara untuk mempengaruhi audien adalah dengan menjadi
audien kepada mereka. Oleh yang demikian pilihlah tajuk yang berkaitan dengan mereka.”
Rahmat Ismail,(2000:3).
Jika dihayati kata-kata di atas, pemilihan tajuk amat penting dan boleh memberi
impak yang besar dalam sesuatu ucapan. Oleh itu jika diberi pilihan untuk memilih tajuk,
pilihlahlah tajuk berdasarkan ciri-ciri di bawah:
i). Pastikan pemilihan tajuk dibuat oleh pihak penganjur atau dipilih sendiri.
ii). Pilih tajuk yang memenuhi minat kita dan juga minat audien.
iii). Pilih tajuk yang telah dikuasai sepenuhnya dan bersesuaian dengan bidang
kepakaran.
iv). Tajuk yang berkaitan dengan pengalaman kita dan audien.
v). Tajuk yang berkaitan dengan isu-isu semasa.
vi). Tajuk yang dipilih mempunyai kepentingan kepada audien.
vii). Tajuk mesti sesuai dengan majlis.
Setelah pemilihan tajuk dilakukan, pengucap perlu menentukan fokus ucapannya
supaya ucapan menjadi lebih lancar dan bernas serta dapat memberi faedah kepada
audiennya.
b) Pengucap.
Karektor dan kredibiliti seorang pengucap perlu dibentuk agar ia boleh memberi
kesan yang mendalam kepada pendengar. Justeru itu, pengucap yang baik perlu memiliki
karektor-karektor di bawah bagi menjadi pengucap yang berkredibiliti. Di antaranya ialah:
i) Bermotivasi tinggi
Apa yang dimaksudkan dengan bermotivasi di sini ialah seorang pengucap yang
sentiasa bermotivasi walau di mana sahaja atau dalam keadaan apa jua. Sama ada dalam
situasi yang ceria atau pun dalam saat-saat yang genting. Contohnya dalam situasi yang tidak
tentu arah seperti kejadian gempa bumi, pengucap masih mampu bertenang dan memberi
arahan kepada orang ramai apa yang patut dibuat.
ii) Kesedaran Diri
Pengucap yang baik perlu mempunyai kesedaran diri iaitu ia tahu apakah kekuatan
diri yang dimilikinya. Dengan adanya kesedaran diri, pengucap boleh mengasah ataupun
terus mencungkil kekuatan dan kehebatan untuk digunakan semasa berucap. Selain
mengetahui potensi diri sendiri, pengucap juga dapat mengenal pasti kelemahan sendiri dan
cuba memperbaikinya.
iii) Berilmu pengetahuan yang luas
Seorang pengucap yang baik perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu yang
boleh dikongsi bersama. Pengetahuan am terutamanya perlu diperluaskan kerana audiens
mungkin dari golongan yang pelbagai bidang pekerjaan, pangkat, status dan kelulusan.
Kebiasaannya, audien lebih tertarik pada isu-isu semasa. Semakin hangat sesuatu isu semakin
menjadi bahan perbualan di kalangan pendengar. Jadi pengucap yang baik perlu peka dan
mengambil tahu isu-isu terbaru untuk menarik minat pendengar.
iv) Pandai menyelitkan unsur humor
Unsur humor dalam pengucapan merupakan satu cara untuk menarik minat
pendengar. Ramai berpendapat, sifat humor adalah semulajadi dan memerlukan bakat.
Walaubagaimanapun, unsur-unsur humor juga boleh dilatih berulangkali bagi mendapatkan
kesan yang seolah-olah bakat semulajadi. Malah ia juga boleh ditulis dalam bentuk skrip.
Walaubagaimanapun, kebijaksanaan diperlukan untuk memilih kisah lucu yang bersesuaian
dengan jenis atau golongan pendengar.
v) Keyakinan diri yang tinggi
Pengucap yang mempunyai keyakinan yang tinggi akan berusaha dan terus berusaha
untuk memberikan persembahan terbaik serta dapat menimbulkan keyakinan diri kepada
orang lain. Kesannya, ia akan memberi impak yang positif kepada pendengar bahawa apa
yang diucapkan memberi erti dan membantu mereka untuk mencapai kejayaan. Oleh itu,
tidak kira dengan siapa kita berucap, sentiasalah bersikap positif kerana sikap ini merupakan
aset yang paling penting kepada kredibiliti sebagai seorang pengucap yang berjaya.
c) Pendengar/ audien
Elemen seterusnya ialah pendengar atau audien. Lebih banyak maklumat yang
diketahui tentang kumpulan sasaran maka lebih berkesanlah ucapan kita. Terdapat pelbagai
jenis audien. Kita perlu mengenalpasti jenis audien supaya kita boleh menghadapi sebarang
kemungkinan atau tindak balas dalam ucapan. Ini kerana jenis audien mempunyai berbagi ciri
dan tahap tumpuan yang berbeza. Jenis-jenis audien yang dikenalpasti di antaranya ialah:
i) Diadik
Merupakan kumpulan audien terkecil yang terdiri daripada seorang perucap dan
seorang pendengar. Ia juga dikenali sebagai komunikasi interpersonal.Dalam keadaan ini,
perucap dan pendengar sering bertukar peranan. Ia boleh berlaku di mana sahaja dan pada
bila-bila masa sahaja.
ii) Kumpulan kecil
Biasanya terdiri daripada tiga orang atau lebih. Tetapi tidak lebih daripada sepuluh
orang. Ia boleh jadi keadaan rasmi dan tidak rasmi. Contohnya mesyuarat, perbincangan,
taklimat dan sebagainya.
iii) Ramai pendengar
Kumpulan pendengar ini terdiri lebih daripada sepuluh orang. Untuk memahami
audien jenis ini, perucap perlu membuat pemerhatian yang sistematik, pengumpulan data,
sumber yang terpilih, kawan, penganjur, penyimpulan yang teliti, empati dan sebagainya.
iv) Jelata
Jelata membawa maksud jumlah audien yang terlalu ramai hingga dapat memenuhi
satu stadium bola sepak atau tersebar luas maka media yang sesuai digunakan untuk audien
seperti ini alah melalui media cetak atau media elektronik.
Selain itu, keadaan audien juga perlu di ambil kira. Perucap perlu membuat tinjauan
untuk memastikan audien yang hadir kerana sukarela ataupun terpaksa. Ini kerana audien
yang sukarela lebih bersikap menerima, tenang dan memberi tumpuan yang seratus peratus.
Begitu juga sebaliknya bagi audien yang dipaksa mendengar. Perucap juga perlu mengambil
kira latar belakang kerjaya audien. Ini kerana karektor seseorang kebiasaanya banyak
dipengaruhi oleh tugas seharian mereka.
d) Saluran
Saluran bermaksud perantara. Saluran terdiri daripada dua iaitu secara lisan dan bukan
lisan. Lisan merupakan apa yang diucapkan. Manakala, bukan lisan pula bermaksud bahasa
badan iaitu yang menggunakan gerak geri badan dalam menyampaikan mesej. Penggunaan
intonasi, kepelbagaian nada suara yang sesuai, kredibiliti pengucap serta penampilan diri dan
hubungan mata dengan pendengar juga merupakan saluran dalam penyampaian mesej yang
berkesan. Penggunaan alat yang sesuai seperti alat audio visual dalam mempersembahkan
data, gambar dan sebagainya adalah amat penting untuk memastikan mesej yang disampaikan
diterima semaksimanya oleh pendengar.
e) Maklum balas
Maklum balas atau respon daripada pendengar adalah merupakan satu penilaian
terhadap ucapan yang telah disampaikan. Sekiranya penonton memberi respon yang baik dan
melibatkan diri secara aktif, ini membuktikan perucap telah berjaya menyampaikan
ucapannya secara dinamik dan berkesan. Begitu juga sebaliknya, jika pendengar memberikan
respon yang kurang memberangsangkan, pengucap perlu membuat penilaian dan memikirkan
penambahbaikan yang harus dilakukan. Oleh itu, pengucap perlu sentiasa peka terhadap
maklum balas yang diterima.
Beberapa perkara perlu diambil tindakan untuk melihat maklum balas daripada
pendengar seperti meminta maklum balas daripada pendengar dan perlu pula memberi tindak
balas terhadapnya. Selain itu, pengucap juga perlu mengulang isi atau mesej yang di anggap
penting untuk mendapatkan maklum balas daripada pendengar.
f) Gangguan
Gangguan sering terjadi dalam sesuatu ucapan sama ada secara sengaja atau tidak. Di
antara ganguan yang sering terjadi adalah dari pendengar. Memang tidak dapat dinafikan,
memang terdapat pendengar yang suka menyampuk atau mengganggu perucap. Pendengar
yang sering menggangu ini biasanya terdiri daripada jenis pendengar yang dipaksa datang
ataupun sememangnya pendengar ini mempunyai sikap suka menggangu dan suka menunjuk
kepandaian mereka.
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa langkah yang boleh dilakukan perucap untuk
mengatasi masalah ini, di antaranya ialah:
i) berdiam diri
ii) menyebut nama ‘pengacau’ di dalam ucapan dan meminta beliau memberi pendapat.
iii) menyindir secara halus.
iv) Memandang sekali sekala ke arah ‘pengacau’.
Selain daripada pendengar, sesuatu pengucapan juga adakalanya terganggu dengan
penggunaan pembesar suara yang tidak berfungsi dengan baik. Adakalanya jenis mikrofon
yang digunakan menjejaskan pemyampaian seseorang. Mikrofon jenis ‘multi directional’
iaitu yang dapat menangkap suara dari pelbagai arah. Penggunaan ‘clip mike’ juga lebih
sesuai kerana ia tidak mengganggu ketika menggunakan bahasa badan apabila berucap.
Keadaan atau persekitaran sekeliling juga adakalanya boleh menimbulkan gangguan
dalam sesuatu pengucapan. Pemilihan kemudahan, saiz, keselesaan tempat juga amat penting
di samping penggunaan PA sistem yang berkualiti dalam memastikan keselesaan pendengar
bagi mengurangkan gangguan-gangguan yang mungkin timbul dalam pengucapan umum.
g) Setting
Elemen yang seterusnya ialah ‘setting’. Iaitu persediaan awal sebelum berlakunya
pengucapan awam. ‘Setting’ membawa maksud perkara-perkara yang perlu diketahui
berkenaan dengan majlis tersebut. Sebagai contoh mengetahui tentang keadaan dan keluasan
tempat seperti saiz, faktor pencahayaan (lampu), suhu dan kemudahan-kemudahan audio,
video yang disediakan seperti mikrofon, LCD, rostrum dan sebagainya. Selain itu, pengucap
juga perlu mengetahui gilirannya untuk berucap atau dengan kata lain keseluruhan perjalanan
majlis tersebut.
3.0 Persediaan Pengucapan Awam
Perancangan dan persediaan yang baik akan membuahkan hasil yang baik. Oleh itu,
dalam proses pengucapan awam, seseorang pengucap perlu membuat persediaan yang
terperinci bagi mengelakkan berlakunya gangguan atau masalah semasa menyampaikan
ucapan.
3.1 Proses persediaan dan perancangan
Di antara persediaan tersebut ialah:
i) Memastikan tentang tajuk, tarikh dan tempoh masa.
ii) Menetapkan objektif.
iii) Penyediaan bahan.
iv) Merangka ucapan.
v) Menulis ucapan:
vi) Membuat nota ringkas
vii)Bahan bantuan ucapan
viii)Menyediakan nota edaran
2.1.1 Tajuk, tarikh dan tempoh masa
Perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh pengucap ialah memastikan tajuk yang
akan disampaikan sama ada pilihan sendiri ataupun telah ditetapkan oleh penganjur.
Disamping memastikan tarikh diadakan dan tempoh masa yang diberi. Ini untuk
memudahkan pengucap membuat persediaan seterusnya.
2.1.2 Objektif
Setelah memastikan tajuk yang hendak disampaikan, pengucap perlu menetapkan
objektif yang hendak dicapai hasil daripada pengucapan tersebut. Objektif perlu kerana ia
dapat memberi panduan bagi mencari isi yang menjurus kepada pencapaian objektif tersebut.
2.1.3 Penyediaan bahan
Langkah seterusnya ialah mengumpulkan bahan-bahan yangh berkaitan dengan tajuk.
Bahan dapat dikumpulkan daripada pemikiran sendiri, pengalaman, pengetahuan, buku,
jurnal, sumber internet dan sebagainya. Pengumpulan bahan bermula daripada umum dan
menjurus kepada yang khusus. Bahan perlu disusun bagi menunjukkan pertalian antara isi-isi
ucapan yang hendak disampaikan.
Bahan-bahan yang dikumpul boleh disusun seperti lakaran idea berikut:
a) idea utama
b) maklumat sokongan
c) penjelasan idea
d) penggunaan rangkai kata-rangkai kata
e) penggunaan kenyataan, petikan dan sorotan idea
2.1.4 Merangka ucapan
Proses seterusnya adalah merangka ucapan. Untuk merangka ucapan, perlu mengandungi tiga
aspek iaitu:
a) Pendahuluan – 15 peratus daripada masa sepenuhnya
b) Kandungan – 75 peratus daripada masa sepenuhnya
c) Penutup – 10 peratus daripada masa sepenuhnya
a) Pendahuluan
Perkara-perkara yang perlu ada dalam pendahuluan ialah:
i) Salam penghormatan – contohnya memberi salam, selamat pagi dan sebagainya.
ii) Penghormatan protokol – sapaan dan penggilan hormat yang tepat.
iii) Kenyataan untuk menarik perhatian – antara teknik yang boleh digunakan ialah:
1) menyatakan fakta-fakta yang menarik dan unik
2) statistik yang menggemparkan.
3) soalan yang mencabar minda
4) kata-kata humor
5) menceritakan kisah benar atau rekaan yang menarik
iv) Rangsangan terhadap tajuk-memotivasikan audien terhadap kepentingan tajuk
v) Preview – membicarakan secara sepintas lalu keseluruhan ucapan
vi) Prosedur – mengikut prosedur yang ditetapkan oleh penganjur mengenai isi pengenalan
vii) Masa
viii) Penggunaan alat audio visual
ix) Orientasi psikologikal – membuat rayuan awal untuk menambat emosi audien
b) Kandungan ucapan
Kandungan ucapan terdiri daripada dua perkara utama iaitu:
i) idea utama – merupakan isi utama yang hendak disampaikan. Bilangan isi bergantung pada
masa yang diberi. 3 hingga 7 isi telah memadai.
ii) maklumat sokongan – untuk menguatkan impak kepada idea utama. Maklumat sokongan
diperkukuhkan dengan data-data yang diperolehi dari sumber yang dipercayai dan sah.
c) Penutup
Penutup dibuat sebagai satu penyataan untuk memberhentikan ucapan. Penutup yang
baik mengandungi :
i) Ringkasan idea utama dengan menghubungkan dengan tajuk yang luas dan umum.
ii) Ulang sebut idea utama – menekankan hujah yang paling kuat.
iii) Mengaitkan kesan dan kepentingan ucapan dengan kehidupan audien.
iv) Memberi kenyataan akhir dengan kata kunci.
2.1.5 Menulis Ucapan
Setelah rangka ucapan dibuat, proses seterusnya ialah menulis ucapan. Proses menulis ucapan
ialah:
a) merancang
b) menulis draf
c) menyemak
Masalah-masalah yang sering timbul dalam penulisan teks ucapan ialah bahan –
bahan yang tidak mencukupi, masalah dalam menyusun atur isi, dan penggunaan ayat yang
kurang menarik dan berbelit-belit.
2.1.6 Penyediaan Kad Nota
Kad nota yang mengandungi isi dan contoh ringkas cerita yang hendak disampaikan
dibuat sebagai panduan kepada pengucap. Sistem kad ini dapat mengatasi masalan lupa
ketika berucap.
2.1.7 Nota Edaran
Nota edaran merupakan nota ringkasan ucapan yang hendak disampaikan. Nota ini
diedarkan kepada pendengar sebagai rujukan untuk membolehkan pendengar lebih
memahami mesej yang hendak disampaikan.
2.1.8 Bahan Bantuan Persembahan
Pada masa kini, ramai pengucap menggunakan bahan bantuan semasa menyampaikan
ucapan seperti LCD, persembahan ‘power point’ dan sebagainya. Bahan yang diguna perlu
jelas dan sesuai serta memenuhi objektif pengucapan.
2.2 Langkah-langkah Mempersembahkan Ucapan Yang Berkesan
2.2.1 Atasi masalah Gugup dan Gemuruh
Bukan semua orang dapat bercakap dikhalayak. Antara perkara-perkara yang menjadi
masalah bagi seseorang pengucap ialah masalah gugup. Kegugupan dan gemuruh menjadi
lumrah bagi seseorang pengucap. Walaubagaimanapun, adakalanya ia dapat menjadi inspirasi
kepada kebanyakan orang dan menjadikannya lebih bersedia.
2.2.2 Guna Bahasa Badan dan Kawalan Suara
Penggunaan bahasa badan dan kawalan suara yang sesuai dan terkawal dapat
menjadikan ucapan kita lebih menarik dan berkesan. Penggunaan bahasa badan adalah 70
peratus berbanding 7 peratus percakapan dan 23 peratus vokal ,Rahmat Ismail (2000:6).
4.0 Penutup
Kesimpulannya, kemahiran dalam pengucapan awam amat penting dikuasai oleh
semua individu kerana hampir keseluruhan hidup dan kerjaya memerlukan kita
berkomunikasi dengan khalayak. Tidak semua pengucap dapat menyampaikan mesej dengan
baik. Oleh itu jadilah seorang pengucap yang dinamik dan berkesan dengan mengamalkan
serta memupuk sikap-sikap yang boleh meningkatkan kredibiliti diri.
Selain itu perancangan yang sistematik dan persediaan awal yang baik serta
memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan juga dapat menjadikan proses pengucapan
menjadi lancar dan memberi impak positif kepada audien. Selain itu, penggunaan alat-alat
atau bahan bantuan yang menarik dan jelas juga dapat membantu pencapaian objektif
pengucapan.
Selain itu, sikap peka dan mengambil berat terhadap audien, tajuk, kemudahan dan
persekitaran akan membantu seseorang pengucap lebih bersedia dalam menangani masalah
dan gangguan yang mungkin timbul dan bersedia untuk menanganinya dengan cara yang
berhemah.
Selain itu, gaya penyampaian pengucapan awam yang menarik memberi kesan yang
besar terhadap minat dan kesediaan mendengar audien. Kebijaksanaan pengucap dalam
mengeksploitasikan minat dan kecenderungan audien amat diperlukan. Antara usaha-usaha
yang sering dilakukan untuk menjadikan pengucapan menarik ialah dengan menyelitkan
unsur humor, bercerita dan sebagainya.
Walaubagaimanapun, jarang kita lihat pengucap menggunakan kaedah bermain dalam
sesi ucapan mereka. Aktiviti ini sesuai sebagi aktiviti selingan seperti permainan berdasarkan
isi ucapan. Aktiviti permainan ini bertujuan supaya audien melibatkan diri secara aktif,
memberi peluang pengucap berinteraksi dan membentuk suasana yang ceria dan
bersemangat.
Akhirnya, sesuatu ucapan yang cemerlang datangnya dari pengalaman dan latihan
serta ilmu yang mencukupi dan kesediaan belajar untuk menjadi pengucap yang hebat dan
cemerlang. Sesuatu ucapan yang cemerlang bukan hanya sekadar wujud dari kesungguhan
dan kemahiran tetapi ia lahir dari ketulusan dan keikhlasan hati. Apa sahaja yang terlintas di
fikiran kita dan terniat di hati akan terserlah melalui fizikal.
(3002 patah perkataan)
RUJUKAN