INSTITUT PENDIDIKAN GURU MALAYSIA
KAMPUS PENDIDIKAN TEKNIK,
KUALA LUMPUR
TUGASAN 2 (ESEI INDIVIDU)
NAMA : NUR DIYANA BINTI NASRUDDIN
NO KP : 841031-08-6158
KUMPULAN : DPLI REKA BENTUK DAN TEKNOLOGI
AMBILAN DIS 2011
KOD DAN MATA PELAJARAN : EDM 2104 PEDAGOGI
NAMA PENSYARAH BIMBINGAN : EN. P. SANMUGASUNDRAM
TARIKH SERAHAN : 12 MAC 2012
Pengenalan
Pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan dan
kemajuan sesebuah Negara. Pendidikan yang berkualiti dan cemerlang merupakan satu usaha
membangunkan generasi muda pada alaf baru ini supaya menjadi rakyat yang berkualiti dan
bermutu tinggi serta yang akan menjadi aset kepada Negara di masa hadapan. Sistem
Pendidikan Kebangsaan memerlukan usaha-usaha yang mantap dan sistematik yang boleh
meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya ke tahap kualiti yang lebih tinggi dan
cemerlang agar dapat menangani cabaran-cabaran abad ke-21 ini secara umumnya dan
wawasan khususnya.
Pendidikan jelas merupakan pelaburan yang terpenting bagi sesebuah Negara. Maka,
tidak hairanlah mengapa kerajaan memperuntukkan bajet yang begitu besar pada setiap tahun
di dalam bidang pendidikan. Ini bertujuan bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mencapai
wawasan 2020 dan menjadi sebuah Negara yang maju di mata dunia. Dengan itu, usaha untuk
mencapai realiti ini mesti dimulakan dari akar umbinya iaitu memantapkan bidang pendidikan
Negara. Salah satu cabang dalam sistem pendidikan adalah bidang pendidikan perguruan.
Pengajaran pula ialah sesuatu tugasan dan aktiviti yang diusahakan bersama oleh guru
dan muridnya. Pengajaran ini adalah dirancangkan guru secara sistematik dan teliti untuk
melaksanakannya dengan kaedah dan teknik mengajar yang sesuai, membimbing, menggalak
dan memotivasikan murid supaya mengambil inisiatif untuk belajar, demi memperolehi ilmu
pengetahuan dan menguasai kemahiran yang diperlukan. Antara ciri-ciri pengajaran yang baik
adalah iaitu guru sebagai pengajar dan murid sebagai pembelajar, melibatkan instruksi diikuti
dengan latihan, indoktrinasi dan pelaziman, melibatkan proses pemikiran dan penggunaan
bahasa atau simbol, ada kaitan dengan tugasan dan pencapaian, boleh dijalankan dengan
aktiviti berpusatkan guru, murid dan gabungan guru-murid serta berpusatkan sumber,
meliputi rancangan mengajar, proses yang melibatkan interaksi dua hala, dan penerapan
unsur sains dan seni.
Umumnya “Pembelajaran merupakan proses memperolehi ilmu pengetahuan atau
kemahiran”. Mengikut Robert M. Gagne (1970) dalam The Condition of Learning,
pembelajaran merupakan “perubahan tingkahlaku atau kebolehan seseorang yang dapat
dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan”. Mengikut
Woolfolk (1980) dalam Educational Psychology for Teachers, pembelajaran dilihat sebagai
perubahan dalaman yang berlaku kepada seseorang dengan membentuk perkaitan yang baru,
atau sebagai potensi yang sanggup menghasilkan tindak balas yang baru.
Pembelajaran pula merupakan satu proses berterusan. Ia boleh diadakan secara formal
ataupun tidak formal. Pembelajaran formal merupakan pendidikan yang diterima di institusi-
institusi pendidikan seperti sekolah dan universiti yang biasanya dikelolakan oleh pendidik-
pendidik yang mendapat latihan oleh kementerian pendidikan. Pembelajaran tidak formal pula
merupakan tambahan kepada pembelajaran formal. Seperti pembelajaran formal, aktiviti
pembelajaran bukan formal juga dirancang secara sistematik serta dikelola oleh pakar
pendidik. Selain itu pembelajaran juga mempunyai teori-teori atau mazhab pembelajaran.
Empat mazhab pembelajaran utama adalah behavioris, kognitif, sosial dan humanis.
Mazhab Behavioris adalah pembelajaran yang berkaita edngan perubahan tingkah
laku. Ia ditumpukan kepada perhubungan rangsangan dan gerak balas yang menghasilkan
perubahan tingkah laku dimana tingkah laku pelajar boleh diperhati, dikawal dan diramal.
Mazhab Kognitif pula adalah bila pembelajaran merupakan satu proses dalaman yang berlaku
dalam akal fikiran, dan tidak dapat diperhatikan secara langsung daripada tingkah laku
manusia. Mazhab ini memfokuskan kepada cara pembelajaran seperti pemikiran celik akal,
kaedah penyelesaiana masalah, penemuan, kategori pembelajaran dan resepsi.
Mazhab sosial atau neobehavioris menyarankan teori pembelajaranyang
menggabungkan teori mazhab behavioris dan kognitif. Pembelajaran adalah berasaskan
proses pemodelan iaitu pembelajaran melalui proses pemerhatian atau peniruan. Ia meliputi
aspek tingkah laku yang nyata dan juga aspek pemikiran dalaman seperti disarankan oleh ahli
psikologi kogmitif. Mazhab humanis berpendapat pembelajaran manusia bergantung kepada
emosi dan perasaannya. Setiap manusia mempunyai cara belajar yang berbeza dan tersendiri.
Oleh itu, strategi pembelajaran dan pengajaran hendaklah diatur mengikut kehendak dan
perkembangan emosi pelajar itu sendiri.
Masalah-masalah yang dihadapi oleh guru GSTT di bilik darjah dan
implikasinya.
Proses pengajaran dan pembelajaran meliputi pengajaran guru dan disertai dengan
aktiviti pembelajaran murid. Seorang guru perlu mempunyai kemahiran seperti pengurusan
bilik darjah, komunikasi dan interaksi yang berkesan dalam memberikan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Sebagai seorang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), saya
mempunyai pengalaman mengajar di pelbagai jenis sekolah sama ada sekolah kebangsaan dan
juga sekolah jenis kebangsaan. Terdapat banyak masalah yang timbul semasa saya
mengendalikan sesebuah kelas dan implikasi kesan dari masalah yang timbul itu.
Antara masalah yang timbul adalah sempadan bahasa. Tidak semua pelajar dapat
menguasai bahasa yang digunakan dalam sesuatu matapelajaran itu. Sebagai contoh, saya
sebagai Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) berpengalaman mengajar di sekolah menengah
aliran bahasa mandarin. Pelajar-pelajar di sekola tersebut mempunyai masalah dalam
memahami matapelajaran seperti Bahasa Malaysia dan Sejarah iaitu matapelajaran yang perlu
kaedah pemahaman dan fakta. Masalah juga timbul apabila guru tidak dapat menterjemah
sesuatu istilah dalam bahasa ibunda pelajar tersebut menyebabkan mereka ini kurang faham
tentang sesuatu topik pelajaran. Kesan dari masalah tersebut menyebabkan pelajar kurang
memahami pelajaran tersebut dan memudarkan minat mereka terhadap pelajaran itu. Ia juga
menyebabkan pelajar tidak suka kepada guru tersebut kerana tidak dapat menyampaikan
sesuatu pelajaran dan beranggapan guru tersebut tidak pandai mengajar.
Selain disebabkan bahasa, minat juga menjadi masalah semasa proses pengajaran dan
pembelajaran berlangsung. Ia berlaku apabila seseorang pelajar itu lebih cenderung meminati
subjek yang lebih penting. Sebagai contoh di sekolah menengah aliran Bahasa Mandarin
tersebut, pelajar-pelajar lebih meminati subjek yang lebih mencabar seperti Matematik dan
subjek-subjek aliran Sains. Mereka kurang menitikberatkan matapelajaran minor seperti
Sejarah dan Geografi. Ia menjadi masalah kepada guru-guru yang mengajar subjek yang
kurang penting ini dan terpaksa memikirkan cara bagaimana hendak menarik minat pelajar-
pelajar terhadap sesuatu topik matapelajaran. Implikasi dari masalah tersebut adalah peratusan
pencapaian pelajaran sesebuah sekolah itu menjadi tidak seimbang dan hanya bergantung
kepada sesetengah subjek sahaja. Selain itu ia juga menambah beban guru kerana harus
memikirkan jalan bagaimana mahu menarik minat pelajar kepada subjek yang kurang penting
ini.
Selain dari itu, disiplin juga menjadi isu dalam bilik darjah. GSTT biasanya
ditugaskan mengajar kelas yang tercorot. Selalunya pelajar-pelajar kelas ini bermasalah sama
ada dari segi pelajaran ataupun disiplin. Disiplin merupakan isu yang tidak asing untuk semua
jenis sekolah sama ada sekolah luar bandar atau di bandar, sekolah kebangsaan ataupun
sekolah jenis kebangsaan. Bukan sahaja GSTT mengalami masalah ini, guru yang
berpengalaman juga terpaksa menghadapi masalah disiplin pelajar. Masalah disiplin selalu
berlaku samada di dalam sekolah atau dalam bilik darjah. Semua ini kerana pelajar-pelajar
terdiri daripada pelbagai latar belakang, mempunyai sahsiah, intelek, jasmani, rohani dan
sosioekonomi yang berbeza. Seperti yang kita sedia maklum, apabila tingkah laku bermasalah
atau disiplin berlaku dalam bilik darjah, proses pengajaran dan pembelajaran akan terjejas.
Contoh masalah disiplin yang kerap berlaku semasa pengajaran dan pembelajaran ialah
melawan dan tidak menghormati guru, membaca bahan-bahan lain, mengeluarkan kat-kata
kesat, makan, membuat bising atau bergerak bebas di dalam bilik darjah, mengganggu
pengajaran dan pembelajaran,tidak membuat kerja seperti yang diarahkan, ponteng kelas dan
lewat masuk ke kelas. Intensiti gangguan terhadap persekitaran pengajaran dan pembelajaran
mempunyai perkaitan dengan jenis kekerapan dan tempoh berlaku tingkah laku tersebut.
Selain itu, ia juga mempengaruhi keselamatan psikologi para pelajar,kesediaan mereka untuk
belajar, dan tingkah laku masa depan mereka.Faktor kepada masalah disiplin ini adalah
daripada guru itu sendiri di mana pendekatan dan kaedah pengajaran yang digunakan tidak
menarik atau tidak sesuai. Sesetengah guru gagal memilih dan menggunakan pendekatan dan
kaedah pengajaran yang dapat menarik dan mengekalkan minat murid kepada perkara yang
disampaikan oleh guru. Hasilnya, murid menjadi bosan, tidak menumpukan perhatian dan
menimbulkan masalah disiplin. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad,
2007)
Kurangnya bahan bantu mengajar di sesebuah sekolah juga menjadi masalah dalam
pengajaran dan pembelajaran. Ini kerana pihak sekolah mengambil berat tentang keperluan
bahan bantu mengajar ataupun bahan bantu mengajar itu sudah lama dan tidak sesuai
digunakan lagi. Ini menyebabkan pelajar kurang dapat memahami sesuatu pelajaran kerana
ada sesetengah subjek atau topik memerlukan lebih penjelasan menggunakan bahan bantu
mengajar atau maujud seperti Matematik dan Sains.
Bilangan murid yang terlalu ramai juga merupakan masalah yang dihadapi dalam
bilik darjah. Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila bilangan murid
terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan pelajar. Ada pelajar
yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh guru. Guru
tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi,pelajar yang
tertinggal atau atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti
yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya membuat bising, mengganggu
rakan dan bergerak ke sana sini. (Shahabudin Hashim, Rozihani Yaakub, Mohd Zohir Ahmad,
2007).
Selain itu antara masalah yang dikenalpasti ialah suasana bilik darjah yang kurang
selesa. Keadaan bilik darjah yang tidak terurus, kerusi meja yang banyak dan nampak
berselerak, cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak
berfungsi menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar ,menyebabkan mereka gelisah. Oleh
sebab itu,mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini
memungkinkan berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran.
Cara mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh guru GSTT dalam bilik
darjah
Masalah-masalah yang dihadapi oleh guru-guru masakini boleh diatasi menggunakan
konsep-konsep dan kemahiran dalam ilmu pendidikan iaitu melalui pengurusan bilik darjah,
interaksi dan komunikasi antara pelajar dan guru. Setiap bilik darjah perlu ada peraturan-
peraturan yang harus dituruti oleh setiap pelajar. Ini bagi mendidik pelajar supaya mengikuti
peraturan dan bersikap kerjasama antara pelajar dengan pelajar juga antara pelajar dengan
guru. Guru juga boleh menanam sikap sayangi bilik darjah ke dalam diri pelajar-pelajar. Guru
boleh adakan kempen bilik darjah sebagai rumah kedua pelajar-pelajar. Ini bagi melahirkan
persekitaran bilik darjah yang harmonis dan kondusif kepada pelajar. Secara tidak langsung ia
dapat menarik minat dan semangat pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran yang
berlangsung dalam bilik darjah itu. Guru juga boleh melahirkan jati diri dalam diri pelajar-
pelajar itu dan pentingkan setiakawan antara pelajar-pelajar. Ini untuk melahirkan sikap
hormat menghormati dan tolong menolong antara pelajar.
Jika seseorang guru itu bijak, kreatif dan inovatif, maka dia akan dapat menggunakan
kaedah pengajaran pembelajaran yang berkesan dan melibatkan pelajar secara aktif dan
terkawal. Kaedah berkesan yang digunakan akan dapat mengurangkan masalah yang tidak
dikehendaki. Kepelbagaian kaedah, teknik dan strategi pengajaran dan pembelajaran akan
menjadi pelajar aktif, seronok dan mudah menerima apa yang diajar oleh guru. Ini akan
menimbilkan minat pelajar terhadap sesuatu subjek pelajaran.
Menurut (Ahmad Mohd Salleh, 2004) antara sifat-sifat guru yang disukai murid
menurut Atan Long (1993) ialah mempunyai emosi yang stabil dan mental yang sihat,
mempunyai badan yang sihat dan sahsiah yang dinamik, mempunyai kecerdasan otak yang
lebih tinggi daripada kebanyakan orang, mempunyai sifat kreatif, imaginasi dan ikhtiar,
mempunyai suara dan tingkahlaku yang beradab, bertata tertib, bertimbang rasa, mempunyai
simpati dan bijaksana dalam menghadapi masalah, sabar, jujur dan ikhlas, tegas, menepati
masa dan berkebolehan mengurus, mempunyai sikap yang positif dan menggalakkan,
memberi bimbingan yang demokratik dan menjaga status ikhtisas perguruan.
Menurut Tengku Sarina Aini Tengku Kasim & Yusmini Md. Yusoff 2006,
menyatakan bahawa tugas guru bukan bersifat statik dan hanya tertumpu kepada objektif
akademik sahaja. Tetapi guru berperanan dan mempunyai pengaruh yang besar kepada
pembetukan kehidupan sosial pelajar. Sehubungan itu, pembinaan hubungan berkesan antara
guru dan murid adalah pendekatan terbaik bagi mencapai hasrat ini. Antara kelebihan apabila
wujud hubungan baik antara guru dan pelajar ialah akan melahirkan persefahaman yang baik
antara mereka serta wujud rasa percaya mempercayai dan ini dapat memberi kesan positif
kepada proses pengajaran dan pembelajaran.
Sebagai guru kita harus mempunyai kemahiran komunikasi yang baik dengan murid-
murid. Ini bagi membentuk pembelajaran dan pengajaran yang berkesan. Untuk mengamalkan
komunikasi yang berkesan guru harus memiliki kemahiran penggunaan kaedah dan teknik
mengajar khasnya teknik menyoal. Guru yang mempunyai kemahiran berkomunikasi yang
berkesan ialah guru yang boleh bertutur atau menulis dengan jelas dan tepat. Kemahiran
komunikasi ini akan dapat membolehkan pelajar mengikuti pelajaran yang diajar dengan
tepat. Kemahiran komunikasi ini akan membolehkan pelajar mengikuti pelajaran yang diajar
dengan tepat. Guru-guru boleh menggunakan cara komunikasi dalam bilik darjah seperti
menguruskan aktiviti kumpulan, mengamalkan strategi pemusatan pelajar, menggunakan
kaedah mengajar seperti perbincangan, bercerita, kaedah socrates dan penerangan. Guru juga
boleh menggunakan alat bantu mengajar untuk menyampaikan mesej dan konsep serta
menggunakan teknik menyoal dengan berkesan. Ringkasnya komunikasi berkesan penting
untuk membentuk bilik darjah yang kondusif dan sesuai untuk pembelajaran dan pengajaran
yang berkesan.
Kewujudan interaksi dua hala di antara guru dengan murid, dan murid dengan murid
dalam bilik darjah boleh membentuk amalan yang sihat dalam bilik darjah dalam proses
pembelajaran dan pengajaran. Sebagai guru, kita harus mewujudkan interaksi yang berkesan
dan akan menjadikan pengajaran guru lebih berkesan dan menarik minat murid-murid.
Masalah-masalah di bilik darjah boleh diatasi dengan guru mengamalkan sikap kepimpinan
demokratik kerana ia dapat mewujudkan interaksi dua hala dan membawa suasana sosioemosi
yang sihat, mesra dan harmonis antara guru dan murid-murid. Guru juga boleh mengelola
lebih banyak aktiviti kumpulan bagi menggalakkan pelajar berinteraksi antara satu sama lain
seperti projek kumpulan, buzz, perbincangan atau aktiviti pemulihan. Guru juga boleh
menggunakan teknik menyoal untuk mendapatkan tindak balas dari pelajar mengenai sesuatu
aktiviti atau topik. Selain itu penggunaan percakapan yang sesuai juga penting untuk
menggalakkan pelajar mengemukakan pendapat ayau memberi tindakbalas. Guru juga
seharusnya membantu murid yang ada masalah sama ada masalah peribadi atau berkaitan
maslaah di sekolah. Guru juga harus mendorong murid-murid normal supaya mereka dapat
menerima murid-murid bermasalah dalam kumulan mereka dan tidak menyingkirkan murid-
murid bermasalah tersebut. Cara ini dapat melibatkan lebih ramai murid berinteraksi di antara
satu sama lain.
Kesimpulannya, tahulah kita bahawa ilmu pendidikan itu penting dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Sebagai guru perlulah mengaplikasikan ilmu-ilmu pendidikan
bagi mengatasi masalah-masalah dalam bilik darjah seperti disiplin dalam bilik darjah,
interaksi dan komunikasi . Ini untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran itu lebih
berkesan.
Refleksi
Sepanjang saya menyiapkan tugasan esei individu ini, saya telah membuat banyak
rujukan bagi mendapat informasi-informasi yang diperlukan. Pada mulanya saya kekurangan
idea kerana tidak mendapat gambaran apa yang perlu dilakukan dalam menyiapkan tugasan
ini. Atas jasa baik pensyarah pembimbing iaitu En. P. Sanmugasundram kerana telah memberi
idea kepada saya dan rakan sekelas akhirnya saya mula mendapat sedikit gambaran mengenai
tugasan ini.
Saya telah melayari internet dan merujuk buku-buku pedagogi untuk mendapat
maklumat tentang pembelajaran dan pengajaran dari aspek komunikasi, interaksi dan disiplin
dalam bilik darjah. Sememangnya sebagai bekas guru sandaran tidak terlatih selama empat
tahun di sekolah-sekolah di Ipoh, tidak dinafikan terdapat pelbagai masalah yang saya hadapi
di dalam bilik darjah. Ini kerana saya tidak mempunyai asas dalam ilmu pendidikan yang
boleh diaplikasikan dalam bilik darjah. Saya hanya bergantung dan merujuk kepada guru-guru
yang lebih senior dan berpengalaman.
Oleh itu diharap selepas ini saya akan menjadi guru yang lebih berkualiti dalam
menghadapi proses pengajaran dan pembelajaran apabila saya kembali semula ke sekolah.
Ucapan terima kasih saya utarakan kepada pensyarah pembimbing saya iaitu En. P.
Sanmugasundram kerana telah banyak membantu saya.
RUJUKAN: :
1. Shahabuddin Hashim, Rozihani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. (2007). Strategi
dan teknik mengajar berkesan. Kuala Lumpur: PTS Professional
Publishing Sdn. Bhd.
2. Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (2012). Panduan Ilmu pendidikan untuk DPLI
Pedagogi. Kuala lumpur. Kump. Budiman Sdn Bhd.
3. Abdul Rahim Abdul rashid. (1999). Profesionalisme motivasi pengurusan bilik
darjah. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
4. Sang M. S. (1991). Pedagogi 2 : Strategi pengajaran dan pengajaran mikro.
Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
5. Ahmad Mohd Salleh. (2003). Pendidikan Islam : Falsafah, sejarah dan kaedah
pengajaran pembelajaran. Selangor: Fajar Bakti Sdn. Bhd.
6. Sang M. S. (2008). Pengurusan hal ehwal murid. Selangor: Penerbitan
Multimedia Sdn. Bhd.
7. Sang M. S. (2010). Pedagogi untuk Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.