Download - KRL 3043 latihan ilmiah (draf 1 - 3).doc
PERMARKAHAN
SEMESTER 1 SESI 2015/2016
PROGRAM PENSISWAZAHAN GURU ( PJJ )
KRL 3043 :LATIHAN ILMIAH
( Penulisan lengkap draf Bab 1 hingga Bab 3 bagi laporan kajian )
DISEDIAKAN OLEH
NAMA NO MATRIK NO TELEFON
MOHD HELLY BIN ABDULLAH D 20102046619 012-6470264
KUMPULAN KULIAH : UPSI81 ( A151PJJ )
NAMA TUTOR E-LEARNING : ENCIK HISHAMUDDIN B AHMAD
TARIKH SERAH : 9 OKTOBER 2015
ISI KANDUNGAN
BAB 1 : PENGENALAN
1.1 Pendahuluan 1.2 Latar Belakang Kajian 1.3 Pernyataan Masalah 1.4. Objektif Kajian 1.5 Soalan Kajian 1.6 Kepentingan Kajian
1.6.1 Kepada Guru dan Pelajar 1.6.2 Kepada Jabatan Pelajaran Negeri 1.6.3 Kepada Kementerian Pelajaran Malaysia
1.7 Batasan Kajian 1.8 Definisi Pemboleh ubah/Operasional
1.8.1 Keberkesanan1.8.2 Penilaian1.8.3 Kata Hubung1.8.4 Bahasa Melayu1.8.5 Melalui Internet1.8.6 Berbanding1.8.7 Konvensional
1.9 Rumusan
BAB 2 : TINJAUAN LITERATUR
2.1 Pendahuluan2.2 Teori Berkaitan 2.3 Kajian – Kajian Lepas Berkaitan
2.3.1 Kajian Tempatan 2.3.2 Kajian Luar Negara
2.4 Rumusan
BAB 3 : METODOLOGI
3.1 Pendahuluan 3.2 Reka Bentuk Kajian3.3 Persampelan3.4 Instrumen Kajian
3.4.1 Pembangunan Instrumen Kajian 3.4.2 Pemboleh Ubah Kajian
3.5 Prosedur Analisis Data 3.5.1 Tatacara Pengutipan Data
3.6 Rumusan
BAB 1
PENGENALAN
1.1 PENDAHULUAN
Dalam era dunia globalisasi, pengintegrasian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT)
dalam pendidikan menjadi semakin relevan dan menjadi keutamaan. Internet merupakan salah
satu daripada teknologi ICT yang paling berkembang pesat dan menjadi begitu dominan dalam
konteks kehidupan masa kini. Cabaran ini membawa kepada implikasi yang sangat besar kepada
pengajaran dan pembelajaran ( PdP ) di sekolah-sekolah serta institusi pendidikan.
Persaingan masyarakat dunia yang lebih hebat dalam abad ke-21 dan perubahan ke arah
masyarakat IT menimbulkan cabaran baru kepada institusi pendidikan masa kini. Untuk
mencapai matlamat Wawasan 2020 dan mewujudkan masyarakat IT, maka inisiatif untuk
mengintegrasikan penggunaan ICT dan multimedia dalam PdP adalah perlu. Teknologi
maklumat dan komunikasi telah mengubah cara hidup manusia berkomunikasi, bekerja serta
menjalankan perniagaan. Cabaran ini membawa kepada implikasi yang besar kepada PdP di
dalam bilik darjah dan juga dalam bidang penyelidikan. Prasarana telekomunikasi dan sistem
maklumat berasaskan multimedia membenarkan pelajar berinteraksi secara aktif dengan
melayari laman web untuk mendapatkan maklumat. Peranti tambahan seperti CD Rom, teknologi
video dan digital telah menyediakan satu persekitaran media yang serba boleh untuk keperluan
dan reka bentuk guru dan pelajar (Ng Wai Kong, 1999).
Penggunaan Internet dapat menyediakan sumber yang begitu banyak kepada guru dan murid
meneroka dan mencari bahan untuk persediaan PdP. Melalui laman web pendidikan yang
disediakan sama ada tempatan atau luar negara, guru dan murid dapat memanfaatkannya sebaik
mungkin. Laman web pendidikan dapat memberi kefahaman yang lebih kepada murid-murid
dalam sesuatu mata pelajaran. Sebagai contoh dalam proses penilaian di mana sesuatu penilaian
itu hanya dijalankan sekali sahaja dalam satu-satu masa serta memerlukan guru untuk menyemak
dan menerangkan sesuatu persoalan yang terdapat dalam penilaian itu. Keadaan ini berbeza
dengan penilaian yang dijalankan dalam sesuatu laman web di mana ianya boleh berbentuk
interaktif yang membenarkan murid belajar secara kendiri dan boleh diulang-ulang bagi
mendapatkan kefahaman.
Melalui Internet juga membolehkan program latihan atau penilaian secara interaktif dapat
disalurkan melalui talian dan di akses secara jarak jauh. Pembelajaran dalam talian atau e-
pembelajaran ini merupakan satu kaedah yang memudahkan dan menyeronokkan. Pembelajaran
ini membolehkan murid, belajar di mana sahaja dan pada bila-bila masa sahaja. Ini
membolehkan murid menguruskan sendiri masanya dengan lebih efektif. Pembelajaran secara
maya ini juga membolehkan pelajar meneroka maklumat baru menerusi perpustakaan digital atau
laman web. Penggunaaan sumber ICT yang terancang, menarik dan isi pelajaran yang berkesan
akan menghasilkan murid yang mempunyai ciri-ciri yang berikut:-
Murid yang lebih bertanggungjawab terhadap pelajarannya.
Murid boleh menentukan keperluan bahan untuk pembelajarannya.
Murid bebas melakukan carian maklumat mengikut keperluan tahap
pencapaian dan pengetahuan.
Murid dapat membina pengetahuan baru berasaskan kepada carian
maklumat, komunikasi dua hala dan penemuan kendiri.
1.2 LATAR BELAKANG KAJIAN
Kajian ini bertujuan untuk menilai dan mendapat maklum balas tentang sejauh mana
keberkesanan dan kelebihan penggunaan Internet dalam proses penilaian berbanding dengan
penilaian yang dijalankan secara konvensional bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, fokus kepada
tatabahasa iaitu penggunaan kata hubung dalam mata pelajaran Bahasa Melayu murid tahun 6 di
Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Melaka. Kumpulan eksperimen ini akan melalui
proses pengajaran dan pembelajaran bagi tajuk berkaitan kata hubung. Setelah proses pengajaran
dan pembelajaran selesai, kumpulan eksperimen akan melalui pula proses penilaian dengan dua
kaedah yang berbeza.
Pertamanya penilaian melalui kaedah konvensional dan keduanya melalui kaedah
interaktif melalui Internet. Satu perbandingan min skor akan dibuat bagi melihat perbezaan
pencapaian di antara dua kaedah penilaian tersebut dengan menggunakan perisian SSPS.
Seterusnya, tinjauan juga dilakukan dengan menemu bual guru-guru bagi melihat pandangan
atau pendapat tentang kelebihan menggunakan Internet dalam proses penilaian bagi mata
pelajaran Bahasa Melayu. Dapatan yang diperolehi menunjukkan bahawa tiada perbezaan yang
signifikan antara penilaian secara konvensional dibandingkan dengan penilaian melalui Internet.
Dapatan penilaian melalui Internet juga dilihat tidak menjejaskan pencapaian responden
berbanding pencapaian secara konvensional. Manakala dapatan melalui temu bual pula tidak
menafikan tentang kepentingan dan kelebihan aplikasi Internet khusus dalam aspek penilaian
sekiranya diurus dengan baik.
1.3 PERNYATAAN MASALAH
Dalam proses pembelajaran murid-murid, ianya tidak berakhir dengan penyampaian
pelajaran oleh guru sahaja malah di akhir sesuatu pembelajaran kita ingin mendapat maklumat
tentang murid, melihat keberkesanan pembelajaran dan dapat mengenal pasti aspek yang boleh
diperbaiki. Salah satu cara untuk mendapatkan maklumat ini ialah melalui proses penilaian.
Proses penilaian sering dianggap sesuatu yang merunsing dan menakutkan murid-murid
atau sesiapa sahaja yang akan menempuhinya. Terdapat tanggapan bahawa penilaian itu sinonim
dengan peperiksaan atau ujian yang tidak terlepas dari proses menjawab soalan dengan menanda,
membulat, menggaris, mengisi tempat kosong dan lain-lain gerak balas sehingga boleh
menimbulkan kebosanan atau kejemuan terhadap proses penilaian konvensional ini, dan
seterusnya murid menjadi kurang berminat atau timbul sikap sambil lewa dengan proses
penilaian tersebut. Keadaan ini menimbulkan tanggapan atau perasaan tidak seronok murid-
murid dalam menjadikan penilaian itu sebagai proses pembelajaran berkesan.
Sebenarnya maksud penilaian lebih luas, McMillan (2001) mentakrifkan penilaian
sebagai pengumpulan, pentaksiran dan penggunaan maklumat untuk menolong guru membuat
keputusan yang lebih baik dalam bilik darjah. Justeru itu, melihat kepada perkembangan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) masa kini kajian ini cuba membuktikan bahawa
penilaian melalui Internet adalah berkesan dan dapat menarik minat murid menjadikan penilaian
ini suatu proses pembelajaran kendiri bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran.
1.4 OBJEKTIF KAJIAN
Objektif bagi kajian yang dijalankan ialah untuk:-
a) Menentukan keberkesanan murid-murid menjawab soalan melalui Internet berbanding
secara konvensional ?
b) Menentukan kelebihan penggunaan Internet dalam proses penilaian berbanding kaedah
konvensional ?
1.5 SOALAN KAJIAN
Kajian yang dijalankan merangkumi perkara seperti berikut:-
a) Adakah terdapat perbezaan pencapaian yang signifikan antara kaedah penilaian
menjawab soalan melalui Internet dengan kaedah penilaian secara konvensional ?
b) Apakah terdapat kelebihan kaedah penilaian melalui Internet bagi guru berbanding
penilaian secara konvensional ?
c) Adakah penggunaan Internet dapat memberi impak kepada guru dan murid dalam
persediaan PdP ?
1.6 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian yang dibuat mempunyai kepentingan untuk renungan dan penilaian pihak-pihak berikut:-
1.6.1 Kepada Guru Dan Pelajar
Menyedarkan para guru tentang kelebihan penggunaan Internet dalam proses pengajaran dan
pembelajaran khususnya proses penilaian serta memberi rangsangan, motivasi dan minat untuk
murid-murid menggunakan proses penilaian yang berterusan sebagai suatu proses pembelajaran
secara kendiri.
1.6.2 Kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN)
Agar pihak Jabatan Pelajaran Negeri memberi penekanan terhadap kepentingan penggunaan
Internet dalam proses P&P khususnya dalam aspek penilaian dan tidak hanya terikat dengan
penilaian secara konvensional semata-mata. Di sini JPN boleh menggunakan soalan-soalan
terkumpul (bank soalan) bagi menghasilkan suatu laman interaktif secara online atau pun offline.
1.6.3 Kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM)
Diharap pihak KPM dengan menggunakan segala kepakaran yang ada atau dengan kerjasama
pihak tertentu, dapat menghasilkan suatu laman interaktif melalui Internet secara percuma atau
dengan bayaran yang minimun iaitu laman penilaian atau latihan menjawab soalan mengikut
sukatan pelajaran terkini bagi membantu murid-murid membuat latihan secara kendiri di
samping dapat menggunakan kemudahan Internet yang dibekalkan secara optimum.
1.7 BATASAN KAJIAN
Kajian ini menumpukan aspek tatabahasa iaitu berkaitan penggunaan kata hubung dalam ayat
Bahasa Melayu. Dalam kajian yang dibuat, ianya melibatkan beberapa buah kelas Tahun 6
dengan mengumpul 30 orang murid daripada keseluruhan murid tahun 6 yang terhad kepada
sebuah sekolah sahaja iaitu Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang, Melaka. Mereka ini
merupakan sampel perwakilan sebenar untuk sebuah sekolah yang ingin dikaji. Oleh itu, hasil
dapatan kajian ini tidak dapat digeneralisasikan kepada semua pelajar tahun 6 sekolah rendah di
seluruh negara.
Dalam kajian yang akan dibuat ini, murid-murid eksperimen terlebih dahulu akan melalui
proses pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya mereka ini akan melalui pula proses
penilaian. Di sinilah murid-murid eksperimen ini akan melalui dua kaedah penilaian yang
berbeza iaitu pertamanya, melalui kaedah konvensional dan keduanya kaedah penilaian melalui
Internet untuk dibuat perbandingan keberkesanan dua kaedah tersebut. Dalam kajian ini akan
wujud beberapa kesukaran dari segi kemudahan peralatan ICT iaitu bilangan komputer terhad
yang terdapat di makmal komputer sekolah. Begitu juga dengan talian Internet yang
kemungkinan mengalami gangguan talian atau berlaku talian yang tidak dapat menampung
kepada akses yang banyak. Oleh itu beberapa pendekatan akan diambil, seperti menjalankan
eksperimen dalam kumpulan kecil secara berperingkat-peringkat dalam jangka masa yang sama.
1.8 DEFINISI PEMBOLEHUBAH/OPERASIONAL
Beberapa istilah telah digunakan dalam kajian adalah seperti berikut:-
1.8.1 Keberkesanan
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP, 1994) mendefinisikan “keberkesanan” sebagai perihal
berkesan atau berkesannya sesuatu tindakan, perubahan dan sebagainya. Dalam kajian ini,
keberkesanan adalah merujuk kepada sejauh mana penggunaan Internet memberi kesan dalam
proses penilaian Mata Pelajaran Bahasa Melayu bagi aspek yang diajar.
1.8.2 Penilaian
Merujuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP,1994) juga, “penilaian” didefinisikan sebagai perihal
perbuatan menilai atau pentaksiran. Dalam konteks kajian ini, penilaian adalah proses atau
prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam mentaksir hasil pengukuran yang
bertujuan untuk memberi maklumat tentang pencapaian proses pembelajaran, kemahiran atau
sikap.
1.8.3 Kata Hubung
Merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (2008), “kata hubung” juga dikenali kata penyambung
ayat iaitu sejumlah perkataan yang bertugas menghubungkan dua binaan ayat atau lebih sehingga
menjadi satu bentuk ayat yang berlapis, yang dikenali sebagai ayat majmuk.
1.8.4 Bahasa Melayu
Mata pelajaran Bahasa Melayu bertujuan melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa
dan berkomunikasi selaras dengan peranannya sebagai bahasa ilmu (KPM, 2003). Dalam
konteks kajian ini, mata pelajaran Bahasa Melayu adalah merujuk kepada proses pengajaran dan
pembelajaran yang melibatkan penyampaian dan penerimaan isi kandungan yang berkaitan
sesuatu tajuk yang diajar pada masa berkenaan.
1.8.5 Melalui Internet
Internet atau WWW (World Wide Web) merupakan satu sistem rangkaian kawasan meluas
(WAN) yang membolehkan komputer berkomunikasi antara satu sama lain melalui pelbagai
media komunikasi. Dalam konteks kajian ini, “melalui Internet” adalah merujuk kepada sistem
pembelajaran interaktif melalui Internet iaitu dengan menggunakan laman web, www.zoom-
a.com.
1.8.6 Berbanding
Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP,1994) mendefinisikan “berbanding” ialah
dibandingkan. Oleh itu, dalam konteks kajian ini berbanding adalah merujuk kepada
perbandingan antara kaedah penilaian secara konvensional dengan kaedah penilaian
menggunakan Internet.
1.8.7 Konvensional
Dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP,1994) mendefinisikan “konvensional” mengikut
atau sebagaimana yang ditentukan oleh konvensi, biasa atau sebagaimana kebiasaannya. Dalam
konteks kajian ini, konvensional adalah merujuk kepada proses penilaian yang biasa dilakukan
iaitu mengedar kertas soalan dan kertas jawapan kemudian pelajar menanda kertas jawapan
dengan pensel.
1.9 RUMUSAN
Penggunaan Internet dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu khususnya dalam
aspek penilaian merupakan suatu dimensi baru kepada murid sekolah rendah untuk beralih dari
kaedah penilaian secara konvensional kepada penilaian secara interaktif melalui Internet. Dengan
berkembangnya ICT dan mengambil kira kemudahan ICT dan Internet yang dibekalkan oleh
KPM di sekolah-sekolah, suatu kaedah penilaian baru perlu diteroka dan dimajukan sebagai
suatu proses PdP.
Internet amat berpotensi membuatkan PdP lebih menarik dan bermakna. Dengan
kemudahan yang sedia ada, terpulanglah kepada guru untuk membawa penggunaan Internet
dalam proses pembelajaran murid-murid. Walaupun akses ke talian Internet masih belum stabil
tetapi kemudahan untuk menggunakan Internet terdapat di mana-mana; di rumah, perpustakaan
awam, pusat beli-belah dan lain-lain dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Sudah pasti
proses pembelajaran menggunakan program interaktif melalui Internet menyeronokkan murid-
murid dan memudahkan proses pengajaran guru. Di samping itu, ia juga merupakan kaedah
paling cepat dan berkesan untuk menyemai budaya celik komputer di kalangan pelajar dan warga
sekolah. Justeru itu, KPM perlu menilai penggunaannya bagi membantu pelajar dan guru di
sekolah dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam aspek penilaian.
BAB 2
TINJAUAN LITERATUR
2.1 PENDAHULUIAN
Dalam bab ini, pengkaji akan mengemukakan pendapat dan hasil dapatan kajian oleh pengkaji
tempatan dan luar negara berkaitan dengan aspek penilaian dalam pengajaran dan pembelajaran.
Dalam bidang pendidikan, kualiti sesuatu pembelajaran dan pengajaran diukur melalui objektif
pengajaran yang pelajar dapat capai sewaktu sesi pembelajaran dijalankan di dalam kelas.
Justeru itu pengkaji akan menjalankan proses PdP dan seterusnya pengkaji akan
melakukan proses penilaian terhadap PdP tersebut. Di sini pengkaji ingin melihat dan menilai
keberkesanan proses penilaian ke atas pembelajaran bagi aspek Tatabahasa Bahasa Melayu tahun
6 bagi tajuk berkaitan kata hubung yang dijalankan dengan menggunakan dua kaedah penilaian
iaitu penilaian secara interaktif melalui Internet melalui tapak web www.zoom-a.com dan
penilaian melalui kaedah konvensional dengan menggunakan kertas dan pensel.
Dari penilaian yang dilakukan ini, pengkaji akan membuat perbandingan hasil dapatan ke
atas murid-murid dari kumpulan eksperimen bagi meninjau keberkesanan program penilaian
yang dikaji. Seterusnya pengkaji juga melakukan temu bual terhadap guru tentang kelebihan
program atau Internet khusus dalam aspek penilaian yang digunakan, berbanding dengan
penilaian secara konvensional.
Pengajaran Pembelajaran
Penilaian
Matlamat
2.2 TEORI DAN KONSEP
Penilaian dianggap sebahagian daripada proses PdP. Penilaian juga penting bagi menentu atau
melihat sejauh mana sesuatu proses PdP itu berjaya mencapai objektifnya. Rajah 2.1 dapat
memperlihatkan bagaimana penilaian, proses pengajaran dan pembelajaran bertindak balas di
antara satu sama lain bagi mencapai matlamat yang dijangkakan.
Rajah tindak balas antara
Matlamat, Penilaian, Pengajaran dan Pembelajaran
Penilaian dalam kelas biasanya mengutamakan penilaian formatif, iaitu mengesan perkembangan
pembelajaran dengan segera untuk mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid-murid.
Manakala penilaian sumatif dilakukan bagi tujuan untuk mengetahui secara menyeluruh akan
penguasaan dan tahap pencapaian murid-murid. Penilaian adalah lebih sesuai digunakan dalam
proses PdP dan tidak hanya mengadakannya untuk tujuan ujian semata-mata. Ini adalah kerana
melaluinya pelbagai pendekatan boleh digunakan untuk mendapatkan maklumat yang
diperlukan.
Tambahan pula, penilaian juga merangkumi ujian yang merupakan suatu alat yang
bersistematik bagi menentukan prestasi atau peringkat pencapaian seseorang murid dalam
sesuatu bidang atau kemahiran. Bentuk penilaian yang digunakan di sekolah-sekolah rendah
meliputi pelbagai cara dan kaedah. Dua cara melaksanakannya, satu cara informal seperti
pemerhatian, soal jawab lisan atau kuiz dan satu cara lagi dalam bentuk formal seperti ujian
pensel dan kertas yang dianggap konvensional berbanding dengan bentuk penilaian interaktif
melalui Internet. Justeru itu, dua kaedah penilaian akan digunakan dalam kajian ini dan semua
aktiviti penilaian akan direkodkan supaya penganalisisan dapat dijalankan.
Mengikut Tuckman (1975:12) iaitu merujuk buku Pedagogi Bahasa karangan Kamarudin Hj.
Hashim, ujian bolehlah dijelaskan sebagai satu jenis atau kumpulan alat pengukuran yang
biasanya digunakan untuk mengetahui tentang seseorang. Ia adalah alat pengukuran yang dapat
memberikan sampel tingkah laku seseorang dengan cara menjawab soalan atau menyelesaikan
masalah.
2.3 KAJIAN – KAJIAN LEPAS BERKAITAN
Antara kajian yang telah dijalankan adalah seperti berikut :-
2.3.1 Kajian Tempatan
Kajian yang berkaitan dengan penilaian ini pernah dijalankan oleh Lihanna Borhan dari Fakulti
Pendidikan Universiti Malaya. Tajuk kajian yang dilakukan ialah “Penilaian Autentik Dalam
Pendidikan Awal Kanak-kanak Melalui Portfolio”. Kajian yang dijalankan adalah
membincangkan dan mencari alternatif yang sesuai bagi menggantikan penilaian bertulis yang
dilihat kurang sesuai bagi pendidikan awal kanak-kanak. Dapatan daripada kajian ini, portfolio
merupakan satu kaedah yang berpotensi memainkan peranan penting dalam pendidikan awal
kanak-kanak dan juga dapat memenuhi kebanyakan fungsi dan objektif penilaian.
2.3.2 Kajian Luar Negara
Menurut kajian yang dijalankan oleh Gay (1985) iaitu merujuk modul OUM HBEF3203
Pengukuran Dan Penilaian Dalam Pendidikan, “penilaian ialah satu proses yang sistematik
semasa mengumpul dan menganalisis data bagi menentukan sama ada sesuatu objektif yang telah
ditetapkan itu telah tercapai”. Ini seterusnya membolehkan guru membuat pertimbangan atau
keputusan yang tepat berhubung pengajaran dan pembelajaran. Apabila menyentuh tentang ujian
atau penilaian, Gagne (1970:3) dalam buku bertajuk Pedagogi Bahasa karangan Kamarudin Hj.
Husin, memberi definisi ujian sebagai cara yang sistematik untuk mengukur tingkah laku
seseorang individu kerana pembelajaran telah dikaitkan dengan perubahan tingkah laku. Oleh itu
jelaslah bahawa ujian adalah satu cara yang sistematik dan harus dijalankan dengan baik dan
mengikut peraturan-peraturan tertentu.
2.4 RUMUSAN
Penilaian merupakan perkara yang penting dalam proses pendidikan. Ia melibatkan sejauh mana
mutu dan kualiti dalam sesuatu perkara dapat dinilai. Justeru itu, penilaian dalam proses PdP
perlu dilakukan sama ada ianya dilakukan secara formal atau tidak formal adalah untuk
menentukan penguasaan pelajar terhadap kemahiran, pengetahuan dan kebolehannya. Malah,
penilaian dilakukan untuk mengesan perkembangan pelajar dari segi nilai dan sikap serta
membantu guru dalam mempertingkatkan pengajaran mereka agar lebih berkesan.
Walau bagaimanapun dalam zaman ledakan ICT kini, Internet telah membolehkan
perkhidmatan dan program latihan disalurkan melalui talian dan dapat diakses secara jarak jauh.
Proses penilaian melalui Internet ini memberi impak pembelajaran atau peluang yang lebih luas
kepada pelajar menerusi penglibatan aktif, interaktif, kolaboratif dan seterusnya menggalakkan
pembelajaran kendiri. Pengalaman pembelajaran khususnya dalam aspek penilaian boleh
diperolehi menerusi penggunaan Internet, tidak hanya berada dalam lingkungan kelas atau
penggunaan kertas dan pensel sahaja; malah penggunaan Internet mampu menambah nilai
pembelajaran sekiranya diurus dalam persekitaran pembelajaran yang sesuai.
Di dalam bab ini, pengkaji membuat tinjauan kajian yang berkaitan dengan penggunaan
Internet dalam proses penilaian sebagai suatu prospek pembelajaran kendiri. Pengkaji juga ada
mengemukakan beberapa teori dan model yang menerangkan tentang pendapat atau kelebihan
Internet berbanding dengan kaedah penilaian konvensional. Berdasarkan kajian penggunaan
Internet, diharapkan proses penilaian interaktif melalui Internet akan memberi kesan positif ke
atas pencapaian pelajar yang dikaji di dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu.
BAB 3
METODOLOGI
3.1 PENDAHULUAN
Kajian yang akan dijalankan ini adalah untuk melihat sama ada kaedah penilaian interaktif
melalui Internet dapat menunjukkan keberkesanan atau menjejaskan pencapaian murid dalam
aspek berkaitan tatabahasa iaitu Kata Hubung bagi Mata Pelajaran Bahasa Melayu tahun 6.
Justeru itu beberapa aspek akan diguna dan diambil kira dalam kajian ini adalah seperti reka
bentuk kajian, populasi dan sampel kajian, alat-alat kajian dan tatacara pengutipan serta
penganalisisan data.
3.2 REKA BENTUK KAJIAN
Kajian ini akan menggunakan reka bentuk kajian eksperimen dan juga tinjauan, bagi
membandingkan keberkesanan kaedah penilaian melalui Internet dengan kaedah biasa iaitu
penilaian secara konvensional. Kajian ini akan dijalankan ke atas sekumpulan murid eksperimen
yang mempunyai kebolehan atau pencapaian yang pelbagai. Murid-murid kumpulan eksperimen
ini akan diberikan borang maklumat pelajar (Lampiran A). Borang berkenaan disediakan bagi
mengetahui beberapa aspek seperti jantina, umur, status pekerjaan ibu bapa, kemudahan dan
pengetahuan tentang penggunaan komputer atau Internet.
Seterusnya murid-murid kumpulan eksperimen akan menjalani proses pengajaran dan
pembelajaran bagi tajuk yang berkaitan dalam tempoh masa yang tertentu. Setelah proses
pengajaran dan pembelajaran ini selesai, murid kumpulan eksperimen akan melalui proses
Borang SoalSelidik
PenilaianKonvensional
Proses Pengajaran dan
Pembelajaran
Penilaian MelaluiInternet
Temu BualGuru
menjawab soalan atau menjalani penilaian terhadap aspek yang diajar melalui dua kaedah iaitu
pertamanya, murid ini akan dibekalkan soalan berkaitan Kata Hubung Bahasa Melayu dalam
bentuk objektif (Lampiran B) dan dikehendaki menjawab soalan secara konvensional dengan
menulis pada kertas jawapan. Kertas jawapan ini akan dikumpulkan dan disemak hasil
dapatannya. Seterusnya kumpulan eksperimen ini juga akan dinilai melalui penggunaan Internet
iaitu murid menjawab soalan secara online di mana soalannya (Lampiran C) adalah sama tetapi
kedudukan soalan adalah berubah. Kertas ujian juga akan disemak dan hasil dapatannya dibuat
secara automatik melalui Internet. Kedua-dua kaedah penilaian ini akan dibuat perbandingan dari
segi gred pencapaian atau skor yang mereka perolehi.
Di akhir eksperimen atau kajian ini, pengkaji juga membuat tinjauan tentang kelebihan
menggunakan kaedah penilaian melalui Internet berbanding konvensional dengan mengadakan
temu bual terhadap guru-guru bahasa Melayu di sekolah kajian ini dijalankan.
Aliran Reka Bentuk Kajian
3.3 PERSAMPELAN
Kajian ini akan dijalankan di sebuah sekolah rendah di daerah Melaka Tengah, Melaka iaitu di
Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Palembang. Populasi kajian terdiri dari murid tahun 6 sekolah
tersebut iaitu seramai 185 orang murid. Sampel kajian pula terdiri dari 3 buah kelas Tahun 6 iaitu
13 orang murid dari Kelas 6 Anggerik (6A), 12 orang murid dari Kelas 6 Melur (6M) dan 5
orang murid dari Kelas 6 Siantan (6S) iaitu berjumlah 30 orang murid yang merupakan 16%
daripada keseluruhan murid Tahun 6 di sekolah tersebut. Pemilihan sampel ini juga
menggunakan kaedah persampelan kelompok sebagai kumpulan eksperimen di mana pemilihan
murid diambil dari tiga kumpulan kelas untuk sampel kajian. Murid-murid yang dijadikan
sampel ini juga adalah terdiri dari kalangan murid pelbagai pencapaian dalam mata pelajaran
Bahasa Melayu.
3.4 INSTRUMEN KAJIAN
Instrumen kajian yang akan digunakan di dalam kajian ini ialah borang soal selidik maklumat
pelajar, satu set soalan penilaian konvensional dan tapak laman web pembelajaran interaktif
melalui Internet (www.zoom-a.com).
3.4.1 Pembangunan Instrumen Kajian
a) Borang Maklumat Pelajar
Borang maklumat pelajar diberikan kepada semua pelajar yang terlibat dalam kajian yang
akan dijalankan. Ia mengandungi maklumat seperti nama, jantina, keturunan, latar
belakang pekerjaan ibu bapa dan kebolehan dan kemudahan tentang komputer atau
Internet (Lampiran A ).
b) Penilaian
Kertas soalan (penilaian secara konvensional) dan penggunaan Internet melalui laman
web www.zoom-a.com akan diguna atau diberikan kepada semua murid yang terlibat
dalam kajian ini. Penilaian ini dibuat setelah murid kumpulan eksperimen telah habis
proses pembelajaran bagi tajuk yang akan dinilai. Penilaian ini adalah bertujuan untuk
menentukan tahap pencapaian bagi aspek atau tajuk yang diajarkan. Soalan yang terdapat
pada kertas soalan dengan soalan dalam Internet adalah sama dari segi kandungan yang
disoal tetapi kedudukan soalan adalah berbeza. Soalan yang akan diberikan kepada murid
adalah menepati Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah.
c) Temu Bual
Pengkaji akan menemu bual guru Mata Pelajaran Bahasa Melayu bagi mendapat
pandangan tentang persoalan; adakah terdapat kelebihan penggunaan Internet dalam
aspek penilaian berbanding penilaian yang dijalankan secara konvensional.
3.4.2 Pemboleh Ubah Kajian
Pemboleh ubah bagi kajian ini ialah kaedah penilaian yang digunakan ke atas sampel atau
kumpulan eksperimen iaitu penilaian secara interaktif dengan menggunakan Internet di atas
tapak web yang telah ditentukan.
3.5 PROSEDUR ANALISIS DATA
Data yang akan diperolehi daripada kedua-dua kaedah penilaian, iaitu penilaian secara
konvensional dan penilaian melalui Internet akan dianalisis dan dibuat perbandingan dengan
menggunakan program Statistical for Social Science (SPSS). Manakala ujian pengesanan
dianalisis dengan menggunakan Ujian-t.
3.5.1 TATACARA PENGUTIPAN DATA
Pengumpulan data akan dijalankan oleh pengkaji terhadap murid-murid yang terlibat dalam
kumpulan eksperimen. Pengumpulan data dalam kajian ini juga akan dibuat dengan dua kaedah
penilaian yang berbeza iaitu penilaian atau ujian secara konvensional dan ujian interaktif melalui
Internet. Setiap ujian mengandungi 25 soalan bagi setiap kaedah yang digunakan untuk dijawab
secara individu. Masa yang diperuntukkan adalah 30 minit untuk setiap ujian. Manakala
maklumat tentang kelebihan penilaian menggunakan Internet berbanding konvensional akan
dijalankan secara tinjauan dengan menemu bual guru-guru mata pelajaran Bahasa Melayu.
3.6 RUMUSAN
Kajian ini menggunakan reka bentuk eksperimen dan tinjauan. Kumpulan eksperimen adalah
seramai 30 orang murid dari tiga buah kelas Tahun 6 iaitu 15 orang murid dari Kelas 6 Anggerik,
10 orang murid dari Kelas 6 Melur dan 5 orang murid dari Kelas 6 Siantan Sekolah Kebangsaan
Jalan Datuk Palembang, Melaka. Kumpulan eksperimen ini akan menjawab soalan melalui dua
kaedah yang telah ditetapkan. Keputusan yang diperolehi dari ujian tersebut akan dikumpulkan
dan dianalisis. Manakala tinjauan kelebihan penilaian menggunakan Internet pula hanya
melibatkan temu bual dengan lima orang guru Mata Pelajaran Bahasa Melayu di sekolah
berkenaan.
Adalah diharapkan keputusan ujian atau penilaian interaktif melalui Internet dapat memberikan
kesan yang positif atau sekurang-kurangnya kaedah tersebut tidak menjejaskan pencapaian murid
berbanding penilaian yang dijalankan secara konvensional. Dengan kemajuan ICT, diharap ianya
memberi dimensi baru dalam aspek penilaian bagi membantu mempertingkatkan lagi proses
pembelajaran murid di sekolah. Manakala aplikasi Internet diharap memberi banyak kelebihan
kepada guru-guru keseluruhannya dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran yang
berkualiti khususnya dalam melaksanakan proses penilaian secara berterusan.