Download - Fungsi Karya Agung Melayu Dalam Masyarakat
FUNGSIKARYA AGUNG MELAYU
KEPADA MASYARAKAT
1.0 PENGENALAN KARYA AGUNG
Karya agung ialah karya klasik yang memberikan kesan budaya, pemikiran,
pandangan serta falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan sesuatu bangsa.
Karya agung yang dihasilkan merupakan pembentuk dan cerminan budaya dan
tamadun sesuatu bangsa. Ia melambangkan keunggulan daya cipta sesuatu bangsa
dalam membina tradisi dan identiti yang tersendiri. Bangsa Melayu turut memiliki
khazanah karya agung yang bernilai tinggi. Karya agung Melayu mengandungi
idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan
masyarakatnya dalam bentuk sastera dan seni. Karya agung Melayu ditulis dan
diungkapkan dalam bahasa Melayu yang tidak mengambil kira bangsa atau etnik
dalam kawasan dunia Melayu. Antara contoh karya agung Melayu ialah Salalatus-
Salatin, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Acheh dan
sebagainya.
Nilai adalah konsepsi abstrak tentang sesuatu yang berharga dalam diri
manusia mengenai perkara yang dianggap baik dan perkara yang dianggap buruk
(Sri Saptina H, Dwi Nugroho dan M.A. Purwandari, 2008: 7). Menurut Bagja Waluya
(2007: 25) pula, nilai merupakan suatu bentuk abstrak dari hal-hal yang bersifat ideal
dan disepakati bersama dalam masyarakat. Nilai secara sederhana merupakan
suatu hal yang dianggap baik atau buruk bagi kehidupan. Nilai merupakan sesuatu
yang abstrak. Secara umumnya, nilai boleh diklasifikasikan kepada lima jenis, iaitu
nilai sosial, nilai kebenaran, nilai keagamaan, nilai kebaikan atau nilai moral dan nilai
keindahan (Bagja Waluya, 2007: 27).
Nilai sosial adalah suatu yang sudah melekat dalam masyarakat yang
berhubung dengan sikap dan tindakan manusia. Nilai kebenaran merupakan nilai
yang bersumber pada unsur akal manusia (rasio, budi dan cipta). Nilai kebenaran
merupakan suatu nilai yang mutlak sebagai suatu hal yang kudrat dan Allah S.W.T
memberikan nilai kebenaran akal fikiran manusia. Nilai kebaikan atau nilai moral
pula melibatkan nilai yang bersumberkan pada kehendak atau kemahuan dan nilai
keagamaan adalah nilai ketuhanan yang tertinggi dan mutlak. Nilai ini bersumberkan
kepada hidayat dari Tuhan Yang Maha kuasa. Berbeza pula dengan nilai keindahan.
Nilai keindahan adalah nilai yang bersumberkan pada unsur rasa manusia (estetik).
1
Keindahan adalah bersifat universal dan semua orang memerlukan keindahan.
Namun, setiap orang berbeza-beza dalam menilai sesebuah keindahan.
2.0 PENDAHULUAN FUNGSI KARYA AGUNG MELAYU KEPADA
MASYARAKAT
Tamadun sesuatu bangsa adalah warisan daya cipta bangsa itu yang dapat
dikesani dan dihayati melalui karya-karya terdahulu yang ternukil oleh bijak pandai
iaitu karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah dan ilmuan bangsa itu (Hassan
Ahmad, 2005). Karya-karya ini dianggap sebagai karya agung. Oleh itu, karya agung
dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan
zaman iaitu yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu
Melayu. Nilai yang dimaksudkan adalah nilai seninya, budayanya, ilmu dan
pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang
luar biasa, dan nilai bahasanya yang tinggi dan indah.
Tegasnya, “karya agung” ialah karya ulung yang meninggalkan kesan budaya,
pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama
sesuatu bangsa. Karya ulung ini adalah karya yang berjaya meninggalkan kesan
seni, ilmu, falsafah dan nilai budaya dan sosial yang kekal dalam kesedaran atau
psyche dan ingatan bersama bangsa itu sepanjang sejarahnya. Unsur mutu, nilai
ketamadunan dan nilai kemanusiaan semestinya hadir dalam karya seperti itu.
Mortimer Adler (1961) dalam Mohd Rashid Md. Idris (2013) menyenaraikan tiga
sifat utama sesuatu karya agung. Pertama, karya yang dapat dikaitkan dengan
masalah dan isu masa kini. Kedua, karya yang tidak jemu dibaca berulang kali
manakala ketiga ialah karya yang bersesuaian dengan pemikiran yang hebat dan
boleh mengisi minda individu sehingga masa kini.
Karya agung melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk
membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Dalam membuat analisis karya
agung terdapat tiga aspek yang diambil kira iaitu daripada segi konsep penulisan
yang mana penulisan adalah pelahiran perasaan, fikiran dan idea dalam bentuk
grafik. Bentuk-bentuk grafik ini disusun hingga melambangkan bunyi bahasa yang
2
dapat di baca dan difahami maksudnya.aspek kedua ialah kekuatan pengarangan
yang mana berkaitan dengan kelebihan dan cara pengarang mengolah idea
sesebuah karya itu. Manakala aspek ketiga ialah motif pengarang yang mana ianya
berkaitan dengan tujuan sesuatu karya itu dihasilkan. Karya agung yang dianalisis
ialah Tuhfat al-Nafis, Hikayat Abdullah, Hikayat Hang Tuah dan Bustan al-Katibin.
3.0 FUNGSI KARYA AGUNG MELAYU KEPADA MASYARAKAT
3.1 Tuhfat Al-Nafis
Gambar 1: Buku Tuhfat Al-NafisSumber: http://www.snipview.com/q/Tuhfat%20al-Nafis
3.1.1 Konsep Penulisan
Menurut Virginia Matheson, penterjemah karya agung ini, pengarang Tuhfat
al-Nafis lebih cenderung dengan suku kaum Bugis. Hal ini kerana tema Tuhfat al-
Nafis dikatakan lebih cenderung kepada cerita raja-raja dan rakyat Bugis atau lebih
dikenali sebagai Bugis-centric (Arba’iyah Mohd Nor, 2002). Tuhfat al-Nafis
3
dimulakan dengan ringkasan yang diambil daripada Sulalatus Salatin atau Sejarah
Melayu. Kemudian, penulisannya menceritakan dengan lebih terperinci tentang
sejarah Kesultanan Johor-Riau. Watak dinamik atau watak utama dalam Tuhfat al-
Nafis adalah orang-orang Bugis yang dikatakan gagah dan berdiplomasi
sehinggakan dapat meraih kedudukan penting di negeri-negeri Riau, Selangor,
Sambas dan Matan-Sukadana.
Dalam karya Tuhfat al-Nafis, hasil kepengarangan Raja Ali Haji mempunyai
konsep penulisannya yang tersendiri dalam menghasilkan karya ini. Raja Ali Haji
telah menyalin sahaja peristiwa daripada sumbernya. Beliau juga telah membuat
perbandingan maklumat dengan sumber-sumber yang diperolehnya. Hal ini
demikian kerana beliau mahu kandungan yang ditulisnya berkualiti dan
dimanfaatkan oleh para pembaca. Pembaca tertarik dengan hasil penulisannya
kerana pengarang terlebih dahulu membuat perbandingan dan memilih bahan-
bahan atau maklumat-maklumat yang tepat dan sesuai untuk digunakan dalam
penulisan karya ini.
Selain itu, Raja Ali Haji juga melakukan pentafisran semula sumber yang
diterima terlebih dahulu sebelum menyampaikan idea tersebut. Beliau telah
menginterprestasikan fakta-fakta yang didapatinya berdasarkan sumber-sumber
yang diperolehnya. Bahagian kedua dalam Tuhfat al-Nafis, sumber yang dirujuk
digabungkan dengan peristiwa dan perkembangan yang didengar atau disaksikan.
Kemudian, beliau telah memberikan tafsiran dan pendapat dari sudut pandangannya
sendiri.
Raja Ali Haji juga menggunakan teknik penceritaan kerana beliau
menceritakan sebuah peristiwa dengan terperinci dan teliti. Hal ini demikian kerana
beliau mempunyai ketajaman pemerhatiannya dan seorang yang bijaksana.
Ketepatan peristiwa yang diceritakan adalah tinggi kerana beliau menyaksikan
sendiri peristiwa sejarah yang berlaku. Oleh itu, Raja Ali Haji menulis atas
kehendaknya sendiri dan bersikap objektif dan kritikal dalam menilai setiap peristiwa
yang dikaji.
Seterusnya, daripada segi teknik penulisan dan bahasa. Teknik penulisan
Raja Ali Haji juga berbeza daripada Abdullah Munsyi walaupun mereka dikatakan
sezaman dan penggunaan bahasa mereka juga kelihatan jauh berbeza. Hal ini
4
demikian kerana mereka mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza. Raja
Ali Haji berpendididkan Arab, pendakwah dan hidup dalam lingkungan istana di
Pulau Penyengat, Riau. Oleh itu, terserlahlah penggunaan gaya bahasa Melayu
klasik dalam karyanya ini.
Raja Ali Haji juga tidak menggalakkan penggunaan bahasa pasar kerana
beliau percaya penggunaan bahasa pasar akan merosakkan kedudukan dan
kemurniaan bahasa Melayu. Teknik penulisannya juga masih terikat dengan teknik
penulisan sastera tradisional Melayu yang mana kita dapati jalan cerita sering
terganggu. Sesuatu cerita itu kadang-kadang tidak diakhiri dengan sempurna malah
dimasukkan cerita yang lain di dalam cerita yang sedang diceritakan.
3.1.2 Kekuatan Pengarangan
Raja Ali Haji sebagai pengarang kepada karya Tuhfat al-Nafis telah
menggunakan sumber rujukannya yang pelbagai dalam penghasilan karya ini.
Beliau sememangnya sedar akan kepentingan sumber dalam penulisan sesebuah
karya. Berpandukan karya Tuhfat al-Nafis, sumber yang digunakan oleh beliau
adalah terdiri daripada sumber bertulis dan sumber lisan. Namun begitu, sumber
bertulis yang dirujuk oleh beliau tidak dinyatakan dalam karya ini. Rujukan terhadap
sumber bertulis dapat dikenal pasti melalui frasa ‘tersebut di dalam siarah’, aku
dapat dalam setengah kaul’ dan ‘aku terjumpa dengan sejarah’. Manakala, sumber
lisan pula berupa pengumpulan ingatan atau hafalan yang berkemungkinan
diperoleh daripada tokoh kerabat Di Raja Johor-Riau atau dari negeri Melayu yang
lain.
Kebiasaannya, sumber lisan pula ditandai dan dikenal pasti dengan
menggunakan ungkapan ‘kata setengah kaul’, ‘kata kaul orang-orang tua’ dan ‘kata
sahibul hikayat’. Walau bagaimanapun, sekiranya sumber yang dirujuk diragukan
kebenarannya, maka beliau akan menyatakan dengan perkataan ‘konon’ dan
‘wallahualam’. Dengan cara memaparkan sumber dalam penulisannya, Raja Ali Haji
berharap beliau dapat memaparkan kebenaran sejarah dan tidak menimbulkan
keraguan atau kekeliruan terhadap pembaca karya beliau.
5
Selain itu, dalam penulisan Tuhfat al-Nafis pengarang lebih mementingkan
kebenaran daripada kepalsuan. Tuhfat al-Nafis merupakan sebuah karya sejarah
tetapi unsur-unsur mitos, dongeng dan legenda juga masih mempengaruhi karya ini.
Walau bagaimanapun, unsur imaginasi ini tidak banyak digunakan kerana
pengarang mementingkan kebenaran daripada kepalsuan. Yahya Ismail dalam
Mohd Rashid Md Idris (2014) meletakkan Tuhfat al-Nafis karya Raja Ali Haji ini
masih memancarkan kebesaran feudal. C. Hooykaas dalam Mana Sikana (2004)
juga telah meletakkan Tuhfat al-Nafis sebagai sebuah buku sejarah yang sangat
penting dan mempunyai keistimewaannya tersendiri yang mana pengarang
mengetahui banyak hal sejarah serta tarikh-tarikhnya.
3.1.3 Motif Pengarang
Tujuan utama penulisan karya ini adalah untuk memberikan penerangan
kepada khalayak umum mengenai hubungan sosiopolitik antara masyarakat Melayu
dan Bugis. Selain itu, Raja Ali Haji juga memberi penerangan tentang peristiwa yang
berkaitan dengan kehidupan masyarakat Melayu dan Bugis. Beliau menulis adalah
dengan dorongan untuk menghasilkan sebuah ‘kitab yang sempurna’ dan bukanlah
untuk memenuhi titah perintah orang yang berkuasa.
Selain itu, pengarang juga menjadikan karya tersebut sebagai alat untuk
mempertahankan kedudukan suku Bugis dalam Kesultanan Melayu terutamanya
negeri Johor. Pembaca akan mengetahui kedudukan masyarakat Bugis pada masa
dahulu dan kedudukannya akan diketahui umum oleh pembaca setelah membaca
hasil kepengarangan ini. Karya ini juga bukan sekadar mengangkat martabat kaum
Bugis tetapi ia turut memuatkan sentimen atau gambaran tidak baik atau negatif
kepada musuh-musuh kaum Bugis seperti Raja Kecil dan suku kaumnya di
Minangkabau dan kaum Melayu sendiri.
Selain itu, karya ini juga membawa pembacanya mengenali tentang
kebudayaan, ketinggian dan kemakmuran perdagangan kerajaan Johor. Ia juga
memaparkan kisah tentang pengalaman penduduk di sekitar gugusan kepulauan
Melayu sebelum dan sesudah kedatangan kuasa-kuasa Eropah. Tuhfat al-Nafis
memberikan gambaran yang cukup menarik berkisar tentang kehidupan harian di
Pulau Penyengat iaitu pusat pentadbiran kerajaan.
6
Karya ini juga menceritakan tentang sejarah Kerajaan Riau-Lingga, sebuah
kerajaan Melayu selepas kejatuhan kerajaan Kesultananan Melaka. Menurut
pengkaji, karya ini merupakan karya sejarah Melayu yang paling kompleks dan
canggih antara semua karya Melayu yang dikarang sebelum abad ke-20. Latar
peristiwa meliputi jangka waktu dari awal abad ke-17 hingga pertengahan abad ke-
19. Tuhfat al-Nafis meliputi penceritaan tentang kerajaan Melayu di Semenanjung
Melayu, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan, dan Betawi.
Pengarang cuba menaikkan imej Opu Bugis lima bersaudara. Hal ini dapat
dilihat apabila pengarang cuba mempengaruhi pembaca dengan mengetengahkan
tentang kehandalan pahlawan Bugis. Raja Ali Haji telah memaparkan tentang
semangat Bugis yang sememangnya handal dalam peperangan sehingga mereka
dapat memegang jawatan yang tinggi dalam tampuk pemerintahan kerajaan Melayu
Johor pada waktu itu. Dalam penulisan Tuhfat al-Nafis ini, pengarang menyatakan
bahawa campur tangan Opu Bugis Lima Bersaudara selalunya berjaya
menyelesaikan masalah perebutan takhta antara dua pihak yang bersengketa.
Contohnya, pengarang ada menceritakan Opu Lima Bersaudara membantu Sultan
Muhammad Zainuddin bagi mendapatkan takhta pemerintahan kerajaan Matan yang
sebelum ini dikuasai oleh Pangeran Agung.
Pengarang juga cuba mencungkil pengalaman pahit dan kehampaan orang
Melayu disebabkan kehilangan hak pemerintahan. Kehilangan kuasa Melayu adalah
berpunca daripada kejahilan raja Melayu yang tidak melihat tipu muslihat Bugis
sebaliknya meraikan Bugis sebagai penyelamat yang mengembalikan kedaulatan
mereka. Raja Melayu sebenarnya diperkotak-katikkan serta diperdayakan oleh
kuasa dan kemakmuran.
Motif pengarang menulis Tuhfat al-Nafis juga adalah untuk mengkritik peribadi
raja Melayu yang lemah. Hal ini boleh dikatakan bahawa karya ini mengandungi
unsur satira yang mana tujuan penulisan satira bukannya untuk bercerita tetapi lebih
kepada mengkritik. Satira kritikan ini adalah penglahiran semula realiti secara
“sendaan” walaupun kritis. Pengolahan cerita menjadi lebih menarik melalui unsur
humor dan ironi. Teknik inilah yang merangsang daya fikir intelektual dan
menggerakkan penilaian semula sikap dan tindakan. Tuhfat al-Nafis wajar dijadikan
“cermin” kepada raja untuk menilai semula dirinya serta tindak-tanduknya.
7
3.2 Hikayat Abdullah
Gambar 2: Buku Hikayat AbdullahSumber: http://www.goodreads.com/book/show/8608024-hikayat-abdullah
3.2.1 Konsep Penulisan
Penulisan bermaksud penghasilan wacana yang bermakna dan bermaklumat.
Dalam Hikayat Abdullah, terdapat pelbagai konsep penulisan yang diketengahkan
oleh pengarangnya supaya karyanya dapat diterima oleh pembaca. Konsep
penulisan pertama yang diketengahkan oleh pengarang ialah bahasa. Pembaharuan
yang dibawa oleh Abdullah hanyalah dari segi pemikiran tetapi tidak pada bahasa.
Bahasa yang digunakan dalam karyanya tidak berbeza dengan bahasa Sejarah
Melayu dan hikayat-hikayat lain. Bezanya Abdullah tidak lagi memulakan hikayatnya
dengan bahasa mukadimah seperti dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu.
Penggunaan perkataan sebermula, arakian, maka dan syahadan membuktikan
8
Abdullah meneruskan bahasa hikayat-hikayat lama dalam karya agungya Hikayat
Abdullah. Ada kalanya Abdullah gemar menggunakan ayat yang panjang dan
menyulitkan pembaca untuk memahaminya contohnya:
Maka jawabnya, “Tuan, sahayalah cakap membawa jalan membawa jalan kepada
susunan itu, akan tetapi tuan sekarang ada penuh kapal-kapal Inggeris pada segenap
jajahan tanah Jawa itu menjaga, tiadalah boleh masuk dan keluar barang perahu atau keci;
dan lagi pula Holanda itu pun terlalu keras kawalnya, serta dengan cemburuannya”.
(Hikayat Abdullah, 2007: 69)
Selain itu, Abdullah juga menggunakan pantun dan syair dalam tulisannya.
Sebagai contoh, Abdullah Munsyi telah menciptakan pantun untuk memuji kebaikan
Tuan Raffles dan isteri. Penggunaan pantun ini menarik minat pembaca dan
menunjukkan kepelbagaian bahasa. Seterusnya, Abdullah Munsyi juga banyak
menggunakan Bahasa Inggeris dalam karyanya Hikayat Abdullah ini. Misalnya
character (halaman 5), engineer (halaman 6) dan secretaris goverments (halaman
6). Terdapat juga penggunaan bahasa Arab seperti khatib (halaman 4) dan sayid
(halaman 35).
Di samping itu, Abdullah Munsyi juga menggunakan Sudut Pandangan Orang
Pertama Serba Tahu dengan aku atau saya yang bercerita sebagai konsep
penulisannya dalam Hikayat Abdullah ini. Sudut Pandangan ini amat sesuai
digunakan kerana isi cerita Abdullah ialah pengalaman dirinya. Watak “aku”
(Abdullah) sebagai watak utama yang digunakan ini memaparkan lagi keberkesanan
cerita yang disampaikan. Hal ini demikian kerana, pembaca lebih mudah menerima
cerita yang ditulis hasil daripada pengalaman penulisnya.
3.2.2 Kekuatan Pengarangan
Kekuatan kepengarangan Abdullah Munsyi dapat dilihat berdasarkan
pemikirannya dalam kitab Hikayat Abdullah. Pemikiran beliau dalam Hikayat
Abdullah merangkumi pelbagai aspek contohnya agama, politik dan sosial.
9
Pemikiran-pemikiran ini yang diterapkan dalam hikayat beliau berjaya mengangkat
karya beliau sehingga menjadi karya agung. Contohnya:
(a) Pandangan dan pemikirannya terhadap kepercayaan orang Melayu.
Abdullah Munsyi tidak bersetuju dengan kepercayaan orang Melayu yang terlalu
percaya kepada perkara yang tahyul. Beliau beranggapan perkara itu karut dan
sewajarnya tidak diikuti kerana kepercayaan itu akan menjadi halangan untuk
kemajuan bangsa Melayu. Abdullah begitu kuat menentang adat dan kepercayaan
usang terutama kepercayaan karut- marut dan bertentangan dengan Islam yang
masih kuat dipegang masyarakat pada zamannya. Abdullah berpendapat punca
kejumudan adat dan kepercayaan karut marut itu adalah kurangnya beriman
seseorang terhadap Allah dan Rasul. Ini dapat dilihat penentangannya terhadap
adat menjual anak seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Abdullah.
“Nasihat: Bahawa ini pun satu adat nenek moyang bodoh yang tiada ia mengetahui Allah
Taala, adakah sebab dijualkan itu menjadi panjang umurnya dan jikalau dipelihara oleh ibu
bapanya menjadi pendek umurnya atau mati? Maka sekali-kali jangan kita percaya yang
demikian.”
(Hikayat Abdullah, 2007)
(b) Pandangan dan pemikirannya terhadap menuntut ilmu.
Selain itu, terdapat juga petikan di dalam Hikayat Abdullah ini yang menerapkan
unsur keislaman ini. Misalnya dalam karya Hikayat Abdullah hasil karangan
Abdullah Abdul Kadir Munshi ini, pendidikannya sedari kecil sangat menitikberatkan
hal-hal keagamaan dan keilmuan. Hal ini dapat dilihat berdasarkan petikan daripada
karya tersebut, iaitu;
“Adapun ilmu dan kepandaian itu menjadi tangga kepada pangkat kekayaan, dan kekayaan
itu membawa kepada kebesaran. Maka bahawasanya segala benda yang dijadikan Allah
10
dalam dunia itu masing-masing adalah dengan harganya, iaitu dapat dinilaikan oleh
manusia melainkan ilmu itulah sahaja yang tiada ternilai oleh manusia akan harganya.”
(Hikayat Abdullah, 2004)
Petikan di atas menunjukkan ciri falsafah Islam apabila segala yang
dinyatakan berbalik kembali kepada kepercayaan dan kepatuhan terhadap kata-kata
Allah. Selain itu, menuntut ilmu juga adalah perkara yang sangat dituntut dalam
Islam. Hal ini terbukti melalui kata hikmah yang berbunyi “sesuatu amal seharusnya
didahului dengan ilmu”. Kata-kata ini adalah antara kata-kata yang ditekankan
dalam agama.
(c) Pandangan dan pemikirannya terhadap Bahasa Melayu.
Munsyi Abdullah begitu berminat untuk mempelajari dan mendalami bahasa Melayu
dan pemikirannya terhadap bahasa Melayu jelas apabila beliau menegaskan betapa
pentingnya bahasa Melayu perlu dipelajari oleh orang Melayu. Kenyataan ini dapat
dijelaskan berdasarkan pendiriannya terhadap bahasa Melayu seperti yang ditulis
oleh beliau dalam Hikayat Abdullah yang antara lainnya beliau menyatakan rasa
kesalnya terhadap orang-orang Melayu yang tidak mengambil berat tentang bahasa
Melayu.
“Nasihat: adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihatkan dan memikirkan hal
orang Melayu ini, belum sedarkan akn dirinya , ia tinggal dalam bodohnya itu, oleh sebab ia
tiada mau belajar bahasanya sendiri dan tiada mau menaruh tempat belajar bahasanya itu.
Maka mustahil pada akal: Adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai
dengan sendirinya? Bukankah segala bang-bangsa yang lain di dunia ini masing-masing ada
belajar bahasanya, melainkan orang Melayu?”
(Hikayat Abdullah, 2007: 40)
11
3.2.3 Motif Pengarang
Karya-karya kesusasteraan dihasilkan oleh pengarangnya bertujuan untuk
dinikmati dan dihayati oleh khalayak. Khalayak adalah masyarakat yang
menggunakan hasil-hasil kesusasteraan tersebut yang berhubungan langsung
dengan pengarang. Terdapat dua fungsi kesusasteraan yang utama iaitu
kesusasteraan berfungsi sebagai alat pendidikan dan kesusasteraan sebagai
medium kepuasan estetik. Berdasarkan karya agung Hikayat Abdullah, pengarang
sememangnya menekankan pendidikan dalam karyanya dan dalam mengemukakan
gagasan penulis pasti mempunyai mesej tertentu untuk diambil iktibar oleh
pembaca. Oleh itu, pelbagai nasihat yang terdapat dalam kitab beliau telah
membuktikan motif kepengarangan sebagai alat pendidikan kepada masyarakat
khususnya orang Melayu.
Misalnya, Abdullah memberi gagasan berupa pendapatnya terhadap adat-
adat yang dianggap bodoh dan kolot seperti adat menjual anak. Abdullah
menyatakan adat tersebut bodoh kerana segala yang berlaku itu daripada Allah.
Abdullah seperti meminta pembaca supaya jangan terlalu percaya pada adat-adat
seperti itu. Menyentuh tentang raja pula, kezaliman raja menjadikan rakyat berasa
takut melakukan apa sahaja yang dapat memajukan diri mereka seperti untuk
membuat rumah, takut untuk menambah ilmu dan takut untuk menyalahi adat
kerana kan dihukum oleh orang-orang raja. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa
Abdullah Munsyi cuba menyedarkan orang-orang Melayu menerusi karya agungnya
ini.
Seterusnya, kesusasteraan sebagai pemberi kepuasan estetik. Dalam
Hikayat Abdullah, pengarang menggunakan pelbagai gaya bahasa yang indah untuk
memerikan sesuatu hal. Selain itu, penyisipan beberapa unsur lain dapat
mengindahkan bahasa supaya mempunyai nilai seni tinggi dan menarik. Hikayat
Abdullah turut menggunakan bahasa Melayu klasik. Buktinya, ia menggunakan ayat
yang panjang, banyak menggunakan kata pangkal ayat dan istilah-istilah klasik.
Contohnya pada halaman 331 Hikayat Abdullah, 2007 :
Sebermula kepada tahun Masihi sanat 1843, kepada dua puluh delapan hari bulan August,
maka bahawa dewasa yang tersebut itu datanglah Tuan Gavernor Butterworth dua laki
12
isteri, ke dalam negeri Singapura, ia itu menjadi pemerintah tiga buah negeri iaitu
Singapura, Pulau Pinang dan Melaka.
Selain itu, keunikan teks ini juga boleh dilihat berdasarkan penggunaan
bahasa dalam penghasilannya berdasarkan kepada makna dalaman dan makna
luaran. Setiap makna tersebut mempunyai ciri-ciri yang tersendiri dan bidangnya
sangat luas untuk dibincangkan. Makna dalaman merupakan makna yang hanya
diketahui oleh penulis dan mereka sahaja yang boleh merumuskannya. Manakala
Makna luaran merupakan makna yang disepakati oleh pembaca. Oleh itu, makna
luaran kelihatan lebih menarik untuk diketengahkan kerana ia memberi fokus
terhadap pembaca.
Dalam Hikayat Abdullah, kita dapat lihat bahawa pengarang banyak
menggunakan gaya bahasa peribahasa (makna luaran). Oleh itu, keindahan gaya
bahasa peribahasa telah menyerlahkan identiti Hikayat Abdullah sebagai sebuah
karya Melayu klasik yang mempunyai nilai estetika tersendiri.
Hikayat Abdullah juga mengandungi banyak penggunaan gaya bahasa
peribahasa bagi menggambarkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan suasana,
pemerintah atau raja-raja Melayu, pembinaan sesuatu kerajaan, perutusan dari satu
pihak kepada pihak yang lain dan sebagainya lagi. Antara contoh-contoh
penggunaan gaya bahasa peribahasa dalam karya ini adalah seperti berikut.
Bahawa demikianlah adanya sebab kurang fikiranku dan bodohku pada masa itu tiada
menurut perkataan Tuan Raffles menyuruhkan aku mengambil tanah itu, mak abah barulah
sekarang aku menyesal; akan tetapi apakah gunanya, seperti kata Melayu, “Sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian apa gunanya”.
(Hikayat Abdullah: 170)
Peribahasa ini ingin menunjukkan betapa kesalnya pengarang menolak
pelawaan Raffles untuk memiliki tanah. Contoh seterusnya:
13
Bahawa aku meminta ampun kepada segala orang yang pandai membaca hikayat ini;
bahawa sekali-kali tiada aku memuji diriku pandai, bahawa sesungguhnya jauhlah aku
sekali-kali daripada nama pandai itu; maka seperti kata Melayu, “ Tiada rotan, akar pun
bergunalah”.
(Hikayat Abdullah (2007): 122)
Peribahasa “Tiada rotan, akar pun bergunalah” pula menjelaskan tentang
sikap rendah diri Abdullah yang menyatakan bahawa beliau tidak terlalu pandai
apabila beliau diminta mengajarkan bahasa Melayu kepada Tuan Paderi Thomsen.
3.3 Hikayat Hang Tuah
Gambar 3: Buku Hikayat Hang TuahSumber: http://www.goodreads.com/book/show/6473033-hikayat-hang-tuah
3.3.1 Konsep Penulisan.
Pelbagai konsep yang telah digunakan oleh penulis dalam Hikayat Hang
Tuah ini. Dalam aspek bentuk, sastera rakyat dapat dibahagikan kepada dua bentuk,
14
iaitu berbentuk cerita atau naratif dan berbentuk bukan cerita atau bukan naratif.
Sastera yang berbentuk cerita juga dikenali sebagai cerita rakyat atau cerita lisan
yang terdiri daripada beberapa jenis. Antara jenis cerita rakyat ialah cerita lipur lara,
cerita teladan, cerita jenaka, mitos dan sebagainya. Manakala, sastera bentuk bukan
cerita pula terdiri daripada puisi seperti nyanyian rakyat, teka-teki, pantun dan
gurindam. Berpandukan Hikayat Hang Tuah, dapat dikenal pasti bahawa pengarang
menggunakan sastera tulisan yang berbentuk cerita atau naratif.
Konsep penulisan yang seterusnya ialah bahasa asing yang digunakan oleh
pengarang dalam karya ini. Hikayat hang Tuah banyak menerima unsur-unsur
bahasa asing seperti bahasa Arab, Portugis, Jawa dan Sanskrit. Antara contoh
perkataan yang menerima pengaruh bahasa Arab ialah hatta, mukah, wasiat,
shahadan, firasat dan kaus. Pengaruh bahasa Portugis yang dapat dilihat dalam
Hikayat Hang Tuah ini ialah perkataan lanchao yang membawa maksud sejenis
perahu layar yang laju, armada yang bermaksud angkatan laut yang terdiri daripada
kapal-kapal perang, dan perkataan di-mitar-nya yang membawa maksud ditujunya.
Konsep yang dapat juga diketengahkan melalui karya Hikayat Hang Tuah
ialah tulisan. Kedatangan Islam telah membawa perubahan yang amat ketara
terhadap masyarakat Melayu ketika itu. Perubahan yang berlaku adalah dari aspek
tauhid, akidah dan sistem tulisan. Tulisan Jawi adalah berasal dari tulisan Arab yang
disebarkan oleh pendakwah-pendakwah Islam berketurunan Arab melalui
penerapan sistem tulisan Arab dalam tulisan Jawi. Kemudian ditambah dengan
huruf-huruf baharu. Berdasarkan karya Hikayat Hang Tuah, sistem ejaan yang
digunakan ialah sistem ejaan Jawi. Penggunaan huruf Jawi dapat dilihat dengan
jelas sekali menerusi perkataan “Bismillahirrahmanirrahim” dan “wabihinastainubihi”
yang kerap kali digunakan di dalam Hikayat Hang Tuah.
Konsep yang keempat ialah penggunaan kosa kata klasik. Kosa kata klasik
yang digunakan dalam Hikayat Hang Tuah ialah kosa kata yang berasal dari Arab,
Jawab, Siam dan Sanskrit. Contoh kosa kata klasik yang digunakan oleh pengarang
ialah ratna mutu manikam, edan kesmaran, sahaya, masygul dan sebagainya.
Konsep yang terakhir ialah pengulangan kata. Pengulangan kata dapat dilihat
dalam aspek gaya bahasa yang melibatkan cara dan gaya seseorang pengarang
menyampaikan buah fikiran dalam karyanya. Gaya bahasa yang baik adalah
15
melibatkan penggunaan banyak perbendaharaan kata. Berdasarkan Hikayta Hang
Tuah, pengulangan perkataan banyak terdapat dalam penulisan pengarang. Antara
contoh yang dapat dikenal pasti terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ialah sekalian,
maka, syahadan, arakian, alkisah, hatta, setelah, sekalian dan sebagainya. Sebagai
sebuah hasil karya klasik, gaya bahasa jenis perulangan perkara yang lazim dan
selalu digunakan dalam penulisan karya jenis ini.
3.3.2 Kekuatan Pengarangan
Pengarang memuatkan unsur-unsur puisi dalam karya Hikayat Hang Tuah.
Penggunaan puisi mampu menjadikan cerita atau karya tersebut berestetik dan
indah apabila dibaca oleh para pembaca. Selain itu, puisi ini juga dapat
menyampaikan maksud sama ada secara tersirat dan tersurat. Oleh itu, sudah
semestinya dapat menarik minat pembaca untuk lebih menghayati pembacaan
mereka dengan terlebih dahulu memahami isi yang pengarang sampaikan.
Penggunaan pantun pula diselitkan dalam karya ini bagi menambahkan keindahan
bahasa cerita dan pembaca akan berasa terhibur apabila membacanya. Contoh
penggunaan puisi dalam hikayat ini ialah :
Kain bersuji di atas atap,
Pakaian raja hari raya;
Jika sudi tuan santap,
Jika tidak apakan daya.
Selain itu, kekuatan pengarang dapat dilihat apabila beliau banyak
memaparkan aspek-aspek kemasyarakatan, kemanusiaan, kebudayaan, nilai-nilai
moral dan sebagainya. Aspek kemasyarakatan dapat dilihat apabila watak-watak
dalam hikayat ini mengamalkan sikap bekerjasama, gotong-royong, bersatu padu
dan sebagainya. Contohnya ialah sikap gotong-royong dan saling bekerjasama
terpamer apabila rakyat bersama-sama membina istana Melaka dan menyiapkan
sebuah kapal atau jong.
16
Bagi aspek kebudayaan pula dapat dilihat dalam karya ini melalui adat resam
yang diamalkan oleh rakyat pada masa tersebut. adat resam yang diamalkan adalah
seperti adat pertabalan raja, adat menyambut tetamu, adat bertemu dengan raja
atau pembesar kerajaan, dan sebagainya. Sikap yang terdapat dalam Hikayat Hang
Tuah perlu dicontohi oleh para pembaca dan dijadikan sebagai motivasi diri untuk
menghadapi cubaan dan dugaan yang mencabar. Sekiranya nilai-nilai positif tidak
diterapkan dalam diri seorang manusia, maka urusan yang dilakukan akan menjadi
bertambah rumit dan sering mendapat masalah.
Persoalan juga memainkan peranan penting untuk melihat kekuatan bagi
sesebuah kepengarangan yang dihasilkan. Terdapat banyak persoalan yang
diketengahkan oleh pengarang dalam Hikayat Hang Tuah dan menjadi kekuatan
untuk mengangkat karya tersebut menjadi sebuah karya yang agung. Antara
persoalan yang terdapat dalam karya ini ialah keberanian dan kepahlawanan Hang
Tuah. Kepahlawanan Hang Tuah dapat dilihat melalui sikap dan akhlaknya dan
beliau memiliki ilmu mempertahankan diri bagi menewaskan musuh. Beliau telah
mengalahkan lanun-lanun bersama dengan sahabat-sahabatnya iaitu Hang Jebat,
Hang Lekir, Hang Kasturi dan Hang Lekiu. Semasa beliau masih kecil juga, beliau
bersama kawan-kawannya pernah membunuh empat orang yang sedang
mengamuk di hadapan Bendahara Paduka Raja. Contoh yang dapat dilihat adalah
seperti berikut:
“Maka Hang Tuah dan Hang Jebat pun melompat ke kiri ke kanan menyalahkan tikaman
orang itu. setelah lalu, ditikamnya orang itu, maka melompat Hang Tuah dan Hang Jebat,
ditikamnya seorang: itu pun rebah lalu mati”.
(Hikayat Hang Tuah: 1997:37)
Kekuatan pengarang yang seterusnya dalam dilihat melalui pengajaran yang
terdapat dalam hikayat ini. Antara pengajaran yang boleh memberi kesan kepada
para pembaca ialah kita perlulah sentiasa berhati-hati dalam segala tindakan
terutamanya dalam hubungan sesama manusia. Hal ini dapat dilihat berdasarkan
peristiwa Majapahit diserang oleh orang mengamuk untuk melihat sejauh mana
keutuhan dan keharmonian dolongan masyarakat Majapahit. Contoh petikan ayat
yang mengandungi pengajaran ini adalah seperti berikut:
17
“Maka setelah lagi orang mengamuk enam puluh itu mengamuk segala orang Majapahit,
mana yang terlintang itu dibunuhnya. Setelah dilihat oleh Patih Kerma Wijaya dan Hang
Tuah, orang mengamuk itu datang pula- segala orang yang memalu bunyi-bunyian Betara
Majapahit itu pun habis lari cerai-berai, segala bunyi-bunyian yang dipalu itu pun habis
ditinggalkannya – maka Hang Tuah pun geram rasanya. Maka ia pun memekik, katanya,
“Ceh, barang siapa undur setapak juga, kupenggal lehernya dengan tempa Melaka ini.
Bukan orangnya yang hendak digertak-gertak itu.”
(Hikayat Hang Tuah, 1997:205)
3.3.3 Motif Pengarang
Antara motif pengarang yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah ialah
mengetengahkan sifat-sifat positif yang terdapat dalam diri Hang Tuah itu sendiri.
Jati diri Melayu terserlah melalui keperibadian Hang Tuah yang dianggap sebagai
wira unggul Melayu dan sangat berwibawa. Sikap Hang Tuah telah dipaparkan oleh
pengarang dalam pelbagai aspek seperti fizikal, mental dan rohani. Contohnya yang
dapat dilihat melalui sifat-sifat positif ini ialah Hang Tuah mempunyai sifat
keberanian yang tinggi dan luar biasa kerana beliau mampu mengalahkan seramai
70 orang yang mengamuk di Majapahit. Sifat keberanian ini perlu ada dalam diri
setiap orang bagi mengelakkan berlakunya penindasan dan ketidakadilan dalam
sesuatu pentadbiran.
Selain itu, pengarang juga menjelaskan kepentingan menuntut ilmu sebagai
menaikkan semangat kepada generasi seterusnya untuk lebih mendalami pelbagai
jenis ilmu pengetahuan. Hang tuah telah memantapkan diri dengan mempelajari
pelbagai ilmu sama ada secara zahir adan batin. Hang tuah juga dapat dilihat
penguasaan ilmunya apabila beliau mampu bertutur dalam 12 jenis bahasa dan
fasih berkata-kata. Contoh yang dilihat keperibadian dan keilmuan Hang Tuah dapat
dilihat seperti di bawah :
18
“Maka Syahbandar pun kasih mesra rasanya melihat laku Laksamana berkata-kata dengan
bahasa Arab itu, fasih lidahnya dengan manis mukanya berkata-kata, sangat ia
merendahkan dirinya”.
(Hikayat Hang Tuah, 1997: 473)
3.4 Bustan al-Katibin
Gambar 4: Buku Bustan al-KatibinSumber: http://www.yayasankaryawan.com/index.php?
option=com_virtuemart&page=shop.view_images&product_id=13&image_id=16&Itemid=31
3.4.1 Konsep Penulisan
Bustan al-Katibin merupakan tulisan yang paling awal tentang bahasa Melayu
yang disusun oleh orang Melayu, iaitu Raja Ali Haji yang berasal dari Pulau
Penyengat di Kepulauan Riau. Berdasarkan hikayat ini, Raja Ali Haji cuba
menyemaikan konsep adab yang sebenar sebagai satu kaedah disiplin yang
membolehkan seseorang Melayu itu mengenali tertib kedudukan dirinya dalam
19
masyarakat dan alam sekitarnya yang nyata serta yang ghaib dengan lebih tepat
dan wajar, tertib kedudukan ilmu, yang semua itu akan membawa kepada
pengenalan dan pengakuan terhadap kedudukan Tuhan yang tertinggi dalam
seluruh martabat kewujudan. Kesemua itu hanya boleh disemai melalui pengajaran
bahasa, ilmu dan adab yang diperturunkan kepada aseluruh masyarakat Islam dari
zaman permulaan Islam lagi.
Selain itu, konsep penulisan yang terdapat dalam hikayat ini adalah secara
langsung diambil daripada bahasa Arab. Hikayat ini yang menekankan tentang
bidang nahu bahasa Melayu iaitu bidang fonologi, morfologi, dan sintaksis
keseluruhannya dipinjam dalam bahasa Arab. Pengaruh bahasa Arab dalam nahu
bahasa Melayu yang terdapat dalam hikayat Bustan al-Katibin ini adalah disebabkan
oleh latar belakang pendidikan Raja Ali Haji yang amat menguasai bahasa Arab.
Oleh hal yang demikianlah hasil karyanya turut dipengaruhi oleh bahasa Arab.
3.4.2 Kekuatan Pengarangan
Raja Ali Haji merupakan penulis hikayat Bustan al-Katibin yang terdiri
daripada 10 pasal utama ini dimulai dengan sebuah huraian mukadimah yang
menjelaskan tentang kaitan antara bahasa dengan adat, adab, dan budi pekerti.
Selain itu, tajuk pemikiran Raja Ali Haji dalam mukadimah berkisar seputar fadhilat
(keutamaan) ilmu dan akal untuk menjaga dan meningkatkan kualiti moral dan
menjadi insan Kamil sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah.
Dalam mukadimah, Raja Ali Haji juga mensyaratkan kepada pembaca dalam
memahami buku ini untuk memiliki lima perkara iaitu Al-Himmah (kesungguhan), Al-
Mudarasah (analisi), Al-Muhafazah (penghafalan). Al-Mudzakarah (kajian lebih
lanjut) dan Al-Muthala’ah (kajian lebih mendalam). Sepuluh pasal yang disusun oleh
Raja Ali Haji dalam kitab ini berisi kaedah, prinsip, dan tata cara penulisan bahasa
Melayu dalam aksara Jawi yang disesuaikan dengan tatabahasa (Nahu dan Saraf)
dalam bahasa Arab.
Dalam Hikayat Bustan al-Katibin, jelas menunjukkan pengarangnya iaitu Raja
Ali Haji adalah orang Melayu yang pertama menulis tentang nahu Bahasa Melayu.
Kekuatan kepengarangan yang terdapat karya awal ini adalah mengenai nahu atau
20
tatabahasa Bahasa Melayu. Pengetahuan tentang nahu yang dihasilkan ini
membolehkan pembaca mempelajari pelbagai aspek struktur bahasa pada peringkat
awal pembinaannya lagi.
Tujuan Raja Ali Haji menghasilkan kitab ini adalah untuk menyebarkan ilmu
bahasa dan ilmu tulisan, menghasilkan buku tatabahasa bahasa Melayu serta
menerapkan hukum bahasa. Bustan al-Katibin juga mengandungi perbincangan
kepentingan mempelajari bahasa dan huraiannya dalam konteks tatabahasa luas
dan mendalam. Di sini jelasa menunjukkan kekuatan kepengarangannya adalah
dalam bidang tatabahasa.
Selain itu, kekuatan kepengarangan yang terdapat dalam hikayat ini adalah
mengandungi perbincangan mengenai aspek ilmu yang terkandung dalam bahasa
Melayu, selain pengajaran Raja Ali Haji dalam ilmu dan akal yang bukan sahaja
sesuai untuk pembacaan pada zamannya, bahkan masih lagi bermanfaat untuk
diketahui serta dikaji oleh sarjana dan pembaca kini. Raja Ali Haji turut
mengemukakan 10 adab berguru yang wajar dijadikan ikutan dan teladan kepada
pelajar, sekali gus dianggap menjadi peringatan yang berguna kepada mereka yang
sedang menuntut ilmu. Raja Ali Haji jelas dengan pemikirannya bahawa adab
menuntut ilmu itu perlu dipatuhi dalam mencari keredhaan Allah S.W.T.
Seterusnya, dalam Bustan al- Katibin, pengarang banyak memberi
pandangan atau pemikirannya berdasarkan pencarian ilmu yang diberkati iaitu
dengan, iaitu mengenali Allah dan seluruh kewujudan, memperteguh keimanan dan
ketakwaan, dan menyemai adab kesopanan. Raja Ali Haji dengan lantang dan jelas
menyatakan bahawa terdapat perkaitan yang erat antara kebolehan berbahasa dan
adab sopan yang mulia dengan ilmu yang tinggi.
“…adab dan sopan itu daripada tutur kata juga asalnya, kemudian baharulah pada
kelakuan. Bermula apabila berkehendak kepada menunturkan ‘ilmu atau berkata-kata yang
beradab dan sopan, tak dapat tiada mengetahuilah dahulu ‘ilmu yang dua itu, iaitu ‘ilmu wa
al-kalam (pengetahuan dan pertuturan).”
(Bustan al-Katibin :3)
21
Berdasarkan kepada falsafah dan pegangan demikian terhadap peranan dan
kedudukan bahasa dalam usaha melahirkan seorang manusia Melayu yang beradab
sopan, berakal dan berbudi bahasa yang mulia, dan berilmu tinggi, maka Raja Ali
Haji menghasilkan karya Bustan al-Katibin ini. Mengikut Raja Ali Haji, keturunan dan
pangkat yang tinggi tanpa ilmu yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan
yang mulia, menjadi sia-sia belaka. Oleh hal yang demikian, dalam bahagian
Mukadimah Bustan Al-Katibin, beliau telah menerangkan dahulu kelebihan-
kelebihan ilmu dan akal untuk meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam
pembelajaran bahasa. Ilmu yang paling penting dan pertama yang harus dipelajari
oleh orang Islam ialah ilmu agama Islam.
Oleh itu, semasa beliau menghuraikan tentang bahasa Melayu, terlebih
dahulu beliau telah menghuraikan secara terperinci adab dan syarat menuntut ilmu,
iaitu merupakan asas kepada psikologi pendidikan yang mampu melahirkan seorang
Melayu yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi juga boleh bercakap dengan budi
bahasa dan adab sopan yang mulia. Penyemaian adab dalam diri seseorang
merupakan proses pendidikan yang dapat membawa kepada disiplin jasad, akal dan
unsur kerohaniannya yang seterusnya akan membolehkan seseorang itu mencari,
memperoleh, dan mengamalkan ilmu yang benar.
3.4.3 Motif Pengarang
Dalam hikayat Bustan al-Katibin ini terdapat dua motif yang ingin disampaikan
oleh Raja Ali Haji kepada pembaca-pembaca hikayat ini. Kedua-dua motif ini adalah
untuk memberikan nasihat kepada pembaca-pembaca dan aspek estetika iaitu
memberikan garis panduan tentang nilai, ilmu dan adab yang perlu ada dalam diri
seseorang. Raja Ali Haji menekankan bahawa perkara paling utama yang harus
dipelajari oleh orang Melayu tentang bahasanya ialah ilmu yang terkandung di
dalamnya, kerana bahasa padanya ialah alat dalam sistem pemikiran yang
digunakan secara kreatif oleh manusia untuk mencapai ilmu yang benar tentang
alam ciptaan Allah.
Berdasarkan tujuan pertama hikayat ini dihasilkan iaitu memberikan nasihat
kepada para pembaca, pengarang menasihati pembaca agar ikhlas dan
bersungguh-sungguh menuntut ilmu . Bagi Raja Ali Haji, seseorang yang berasal
22
dari keturunan yang berada atau yang mempunyai pangkat yang tinggi tanpa ilmu
yang sahih, akal budi yang luhur, dan adab sopan yang mulia, golongan tersebut
hanyalah orang yang sia-sia. Contohnya dalam Bustan al-Katibin (ms 2) :
“……. jikalau beberapa pun bangsa (keturunan) jika tiada ilmu dan akal dan adab, ke
bawah juga jatuhnya”.
Oleh hal yang demikian, dalam bahagian mukadimah Bustan al-Katibin, Raja
Ali Haji telah menerangkan terlebih dahulu kelebihan ilmu dan akal untuk
meletakkan perspektif dan tujuan sebenar dalam pembelajaran bahasa.
Selain itu, pengarang juga turut memberi nasihat kepada para penuntut ilmu
supaya mematuhi segala adab, syarat dan peraturan menuntut ilmu. Para guru pula
dinasihatkan supaya mengajar dengan tertib dan mengikut segala susunan bab-bab
dan fasalnya. Tidak lupa juga kepada para penyalin hikayat ini, Raja Ali Haji
menasihatkan agar para penyalin hikayat ini tidak menyalin dengan menokok
tambah bahan atau mengurangkan mana-mana isi yang terdapat dalam hikayat ini.
Seterusnya, tujuan hikayat dihasilkan adalah dari aspek estetika iaitu untuk
memberi panduan tentang nilai, ilmu dan adab yang perlu ada dalam diri setiap
manusia. Raja Ali Haji ingin menyebarkan ilmu pengetahuan iaitu tentang ilmu
bacaan dan tulisan yang menjadi asas kepada pembinaan akal dan adab. Untuk
memenuhi tujuan ini, Raja Ali Haji bukan sahaja menghuraikan kaedah ejaan jawi,
bentuk dan fungsi perkataan serta binaan sintaksis, tetapi juga tentang kaedah
penulisan surat, pelbagai gaya, wacana bahasa dan sebagainya.
Dalam hikayat ini, pengarang menegaskan tentang kepentingan nilai dan
adab terutamanya adat berguru. Menurut beliau, seseorang yang tidak memelihara
adab adalah seorang yang tidak berguna. Menurut beliau lagi, terdapat lima syarat
menuntut ilmu yang berkat adalah bersungguh-sungguh menuntut ilmu, mengulang
kembali ilmu yang telah dibaca, menghafal ilmu yang telah dibaca, bertukar
pendapat dengan kawan tentang sesuatu ilmu yang diperolehi dan memikirkan
makna yang terdapat disebalik ilmu tersebut. Seseorang itu perlu menjaga adabnya
dengan guru agar ilmu yang diperolehi akan diberkati oleh-Nya. Dengan mengikuti
adab dan syarat menuntut ilmu, pembelajaran bahasa Melayu mampu melahirkan
23
penutur yang bukan sahaja fasih bercakap tetapi bercakap dengan budi bahasa dan
adab sopan yang mutlak dengan ilmu yang sahih dan benar.
4.0 KESIMPULAN
Karya agung Melayu adalah cetusan akal fikiran Melayu yang luar biasa. Kita
boleh melihat keluarbiasaan akal Melayu ini pada dua tahap keupayaan mentalnya
iaitu keupayaan berfikir secara kreatif melalui kaedah atau proses mental yang dapat
kita sebut kaedah metafora. Kaedah metafora iaitu kaedah berfikir melalui
perumpamaan, perbandingan, kiasan dan tamsil ibarat bagi menyampaikan sesuatu
konsep yang abstrak dengan menggunakan sesuatu benda daripada alam nyata
sebagai analoginya. Tahap kedua ialah kebolehan mentalnya untuk menyusun
fikirannya dalam bentuk pengungkapan yang sangat berstruktur.
Keempat-empat karya agung yang dianalisis ini iaitu Tuhfat al-Nafis, Hikayat
Abdullah, Hikayat Hang Tuah dan Bustan al-Katibin memiliki konsep penulisan,
kekuatan pengarangan dan motif pengarang yang tersendiri dan sesuai dengan
zamannya. Aspek-aspek yang dianalisis diharapkan dapat memberikan penerangan
tentang karya-karya agung itu dan memberi manfaat kepada semua.
24