Download - ABSTRAK_JawapanThesis
ABSTRAK
Tujuan utama kajian ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kemahiran dalam
menjanakan idea dalam penulisan Bahasa Cina di kalangan murid Tahun 5 di salah
sebuah sekolah rendah yang terletak di Bahagian Sibu, Sarawak. Untuk kajian ini, teknik
pengajaran yang akan dicadangkan adalah pengajaran berasaskan gambar rajah bersiri
dan kajian ini akan dijalankan ke atas 34 orang murid yang sedang belajar dalam Tahun
5. Murid-murid ini terdiri daripada 23 orang yang berbangsa Cina dan 11 orang murid
berbangsa Iban. Semua murid dalam kelas ini mempunyai taraf sosio-ekonomi yang
berbeza. Kaedah kajian ini adalah berbentuk eksperimen, iaitu kajian banding kumpulan.
Kaedah yang digunakan adalah melalui kaedah kuantitatif iaitu data diperoleh melalui
Ujian Pra, Ujian Pos dan borang soal selidik. Ujian Pra dikendalikan bagi mendapatkan
gambaran awal murid tentang tahap penguasaan kemahiran menjana idea dalam
Penulisan Esei Bahasa Cina. Kemudian, Ujian Pos diberi kepada murid-murid untuk
mengenal pasti keberkesanan penggunaan gambar rajah bersiri dalam pengajaran
penjanaan idea yang digunakan dalam penulisan Bahasa Cina. Selepas itu, borang soal
selidik diberi kepada murid-murid bagi mengetahui maklum balas murid terhadap kesan
teknik pengajaran berasaskan gambar rajah bersiri dalam memperbaiki keupayaan
mereka untuk menjana idea dalam penulisan Esei Bahasa Cina. Seperti yang
diperhatikan dalam kelas, murid- murid menghadapi masalah menjana idea yang bernas
dalam penulisan Esei Bahasa Cina. Untuk mengatasi masalah ini, teknik pengajaran
berasaskan gambar rajah bersiri akan dicadangkan. Sehubungan dengan itu, objektif
utama kajian ini adalah mengenalpasti keberkesanan teknik pengajaran berasaskan
gambar rajah bersiri untuk memperbaiki keupayaan murid menjana idea dalam
penulisan Esei Bahasa Cina.