bengkel kemahiran hidup
TRANSCRIPT
Bengkel Kemahiran Hidup
Untuk menjalankan tugasan bagi soalan kedua ini, saya telah melawati sebuah sekolah iaitu SK
Satu Sultan Alam Shah, yang terletak di Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. Saya melawati
sekolah ini berdasarkan cadangan seorang kenalan yang juga merupakan guru Kemahiran Hidup
di sekolah tersebut iaitu En Ismady b Mohamad. Beliau telah banyak membantu saya dengan
membawa saya mengunjungi bengkel Kemahiran Hidup beliau yang saya sifatkan sebagai
‘sangat bagus dan teratur’.
Menurut beliau, bagi memastikan bengkel Kemahiran Hidup menepati spesifikasi dan mematuhi
standard pengurusan ruang kerja yang berkesan, ianya dapat dicapai berdasarkan program 5S.
Program 5s ialah (1) sisih, (2) susun, (3) sapu, (4) seragam dan (5) sentiasa amal.
Contoh bengkel Kemahiran Hidup yang menggunakan konsep ruang kerja 5s
Secara ringkas, saya akan terangkan bagaimana seseorang guru Kemahiran Hidup boleh
menggunakan konsep ini dalam pengelolaan kekemasan bengkel atau ruang kerja mereka. Saya
juga sertakan sekali beberapa keping gambar sebagai lampiran bagi memudahkan penjelasan
mengenai pengurusan bengkel Kemahiran Hidup.
Sisih
Sisih bermaksud mengasingkan barang-barang yang tidak diperlukan di tempat kerja dan
membuangkannya. Terdapat dua kategori iaitu bahan yang diperlukan dan bahan yang tidak
diperlukan. Bahan yang diperlukan terbahagi pula kepada beberapa ciri iaitu (1) bahan yang
tidak diperlukan tetapi mesti disimpan, (2) bahan yang kadangkala perlu digunakan semula dan
(3) bahan yang digunakan selalu. Contoh barang-barang ini ialah seperti reja kayu boleh
digunakan untuk mengalas projek semasa menggunakan ragum atau proses mencabut paku. Ini
boleh mengelakkan projek daripada rosak. Contoh yang kedua ialah seperti kertas las. Kertas las
yang telah digunakan boleh digunakan semula untuk melicinkan permukaan kayu atau logam
yang disapu lapisan pertama. Bahan yang tidak diperlukan juga terbahagi kepada beberapa cirri
seperti (1) bahan yang tidak diperlukan dan senang dibuang, contohnya, reja kayu kecil dan
berus cat, (2) bahan yang ada nilai untuk dijual, seperti tin cat dan lebihan potongan aluminium,
dan (3) bahan tiada nilai tapi kos tinggi untuk dihapuskan seperti minyak hasil daripada kerja
servis dan gris yang telah digunakan.
Susun
Susun barang-barang yang diperlukan dengan teratur supaya ianya mudah diambil untuk
digunakan. Asingkan bahan-barang kepada tiga peringkat iaitu pertama bahan yang selalu
digunakan dan kedua, bahan yang kadangkala digunakan. Bagi bahan yang selalu digunakan,
cara kendaliannya ialah ianya mesti disimpan dalam stor dengan pengenalan yang jelas.
Contohnya alatan mesin mudah alih dan alatan tangan. Adakan panel alatan dan juga kabinet
alatan. Manakala bagi bahan yang kadangkala digunakan pula, cara kendaliannya ialah ianya
perlu ditempatkan dalam stor atau jauh sedikit daripada panel alatan.
Papan Panel Alatan Tangan dihias dengan menarik dan tersusun rapi.
Sapu
Pastikan bengkel sentiasa dalam keadaan bersih, tiada habuk di atas lantai, mesin dan perkakas.
Cara kendaliannya ialah dengan mengadakan jadual tugas untuk menyapu lantai, menyapu
minyak pada alatan logam, dan mengelap kelengkapan alatan seperti mesin gerudi.
Seragam
Setiap guru dan pelajar yang menggunakan bengkel mesti tahu peranan yang mesti dilaksanakan.
Ini bertujuan supaya keadaan bengkel sentiasa dalam keadaan teratur, kemas dan bersih. Amalan
penggunaan bengkel mesti dipatuhi walau siapapun yang menggunakan bengkel mengikut
prosedur yang betul.
Sentiasa Amal
Kerja-kerja rutin mesti dilakukan mengikut kaedah yang telah ditetapkan. Contohnya menyusun
alatan, menjaga kebersihan, melakukan kerja pengasingan barang-barang yang tidak diperlukan
di tempat kerja dan membuangkannya.
Bilik Kemahiran Hidup perlulah menjadi sebuah bilik yang sangat kondusif untuk pengajaran
dan pembelajaran. Peranan guru-guru yang mengajar mata pelajaran Kemahiran Hidup adalah
sangat penting bagi memastikan bengkel KH ini sentiasa sedia untuk digunakan secara kondusif
dan menarik. Bagi memastikan bengkel KH digunakan dengan baik dan teratur, peraturan am
penggunaan dan keselamatan bengkel mestilah dipamirkan. Berikut merupakan beberapa contoh
peraturan tersebut.
1. Masuk setelah mendapat kebenaran dan arahan daripada guru
2. Pakai pakaian yang sesuai dan memakai kasut getah
3. Jangan berlari dan bermain di dalam bengkel
4. Jangan menyentuh alatan dan mesin tanpa mendapat kebenaran dan penyeliaan daripada
guru
5. Duduk dan bekerja ditempat yang telah ditetapkan
6. Jika berlaku kemalangan atau kecederaan , segera beritahu guru yang berkenaan
7. Pastikan bengkel dalam keadaan selamat dan selesa ketika penggunaannya dan bersih
serta kemas sebelum meninggalkannya.
Carta yang digunakan untuk memaparkan cara pemakaian yang betul semasa dibengkel
Kemahiran Hidup
Papan maklumat yang sangat berinformasi.
Peti Pertolongan Cemas perlu ada di dalam bengkel Kemahiran Hidup untuk digunakan semasa
memberikan rawatan kecemasan kepada pelajar.
Berikut merupakan peraturan keselamatan di bengkel Kemahiran Hidup yang perlu diberi
perhatian khusus oleh guru dan juga murid yang menggunakan bengkel KH ini.
1. Bengkel haruslah memberikan keutamaan kepada keselamatan.
2. Pengguna bengkel mestilah selamat sebelum menggunakan , semasa menggunakan dan
selepas menggunakan bengkel dan segala peralatan di bengkel
3. Guru dan pelajar mestilah tahu bagai mana bertindak apabila berlaku
I. Kecederaan dan kemalangan
II. Kejutan elektrik
III. Kebakaran
4. Bengkel perlu ada peti kecemasan yang mengandundi ubat luka dan sapuan untuk lecur
serta kain balutan untuk kecederaan ringan.
5. Jika berlaku kecederaan yang serius dan teruk hendakan dilaporkan kepada guru bertugas
dan terus dirujuk kepada hospital yang terdekat
6. Bengkel juga mesti mempunyai alat pencecah kebakaran yang berfungsi disetiap bengkel.
Alat pencegah kebakaran mestilah digantung ditempat mudah dilihat dan mudah dicapai.
7. Jika berlaku kebakaran besar hendaklah keluar dengan segera mengikut pelan kecemasan
kebakaran dan memanggil bomba melalui talian kecemasan 999
8. Jika berlaku sebarang kejutan elektrik, hendaklah dimatikan suis utama terlebih dahulu
atau menekan suis keselamatan bengkel
9. Jangan sentuh mangsa kejutan dengan tangan, gunakan kayu kering untuk mengalih
mangsa daripada benda atau wayar yang menjadi punca kejutan elektrik
Dalam proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Kemahiran Hidup yang berbentuk
amali, penggunaan bengkel dan bilik-bilik khas amat diperlukan. Selain daripada itu, bengkel
juga digunakan untuk menyimpan dan menempatkan alatan tangan dan mesin serta bahan-bahan.
Kesemua peralatan dan bahan tersebut perlu disusun dan diselenggara dengan baik.
Penyelenggaraan adalah satu proses yang perlu dilakukan terhadap peralatan dan mesin bagi
menentukan jangka hayatnya selain daripada selamat digunakan (Yahya, 1989).
Pengurusan bengkel yang sistematik amat diperlukan bagi memastikan kelancaran perjalanan
dan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran. Untuk mendapatkan suasana dan
keadaan bengkel yang rapi, ceria dan harmonis, masa yang lama diperlukan. Keadaan ini akan
menyebabkan beban guru kemahiran Kemahiran Hidup bertambah. Di samping itu juga,
pengurusan bengkel merupakan satu bidang yang perlu ditekankan kerana aktiviti-aktiviti
pengurusan boleh mempengaruhi hasil kerja dan kepuasan kepada perlaksanaan program dan
pengguna.
Guru yang rajin dan tekun akan dapat menggunakan kreativitinya untuk menghias bengkel
dengan maklumat yang berguna untuk menceriakan bengkel dan membantu p & p guru supaya
lebih berkesan.
Hiasan dinding dengan menggunakan gambar alatan tangan yang berlabel nama alatan
Pengurusan bengkel melibatkan perancangan dan pengendalian bengkel yang meliputi proses-
proses menyediakan kemudahan asas (seperti pendawaian, pengudaraan dan perpaipan),
penyusunan ruang untuk peralatan utama, penyusunan perabot di dalam ruang kerja, kedudukan
stor, laluan keselamatan dan penggunaan warna di dalam bengkel. Pengurusan bengkel juga
melibatkan pengurusan alatan dan bahan yang meliputi pengurusan, pemilihan dan kawalan
alatan (perancangan pembelian alat, pemilihan alatan dan kelengkapan, spesifikasi alatan; kaedah
penyusunan dan penyimpanan alat; dan kawalan alatan).
Tugas-tugas ini dijalankan secara khusus sebagai satu profesion lain. Pengurusan bengkel
memerlukan guru-guru yang berpengetahuan dan berpengalaman dalam hal pengurusan bengkel
supaya kerja-kerja penyelenggaraan dapat dijalankan dengan lancar dan sempurna.
Tanggungjawab guru Kemahiran Hidup bukan setakat melaksanakan proses pengajaran dan
pembelajaran, tetapi juga melibatkan tanggungjawab guru dalam pengendalian bengkel bagi
memastikan prestasi pelajar-pelajar meningkat serta cemerlang selaras dengan kehendak
kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara maju pada tahun 2020.
Rujukan
Amalan Pengurusan Dan Penyelenggaraan Bengkel Dalam Kalangan Guru-Guru Kemahiran Hidup Bersepadu di 12 Buah Sekolah Menengah Di Negeri Perlis. Dimuatturun pada 5 Mac 2012 daripada http://www.fp.utm.my/ePusatSumber/pdffail/ptkghdfwP/ZAINOLBP050214D2008TTP.pdf
KemahiranHidup2U. Dimuatturun pada 5 Mac 2012 daripada
http://kemahiranhidup2u.blogspot.com/2010/09/pengurusan-bengkel-kemahiran-hidup.html
Pusat Perkembangan Kurikulum (2002). Huraian Sukatan Pendidikan KH KurikulumBersepadu Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: PPK
Pusat Perkembangan Kurikulum (2000). Sukatan Pendidikan KH Kurikulum Bersepadu SekolahRendah. Kuala Lumpur: PPK
Sebutir Mutiara : Nota Padat Kemahiran Hidup. Dimuatturun pada 5 Mac 2012 daripada
http://imann9969.blogspot.com/2009/03/nota-padat-kemahiran-hiduphbls1103.html