bab 13 analisis prinsip qarḍ dalam pinjaman...
TRANSCRIPT
Bab 13
Analisis Prinsip Qarḍ dalam Pinjaman TEKUN
Nik Abdul Rahim Nik Abdul Ghani & Lokmanulhakim Hussain
Secara asasnya, qarḍ merupakan akad tabarru‘ (kebajikan) dan akad
irfāq (belas kasihan). Ia disyariatkan semata-mata untuk membantu
peminjam atau penghutang. Syariah meletakkan beberapa parameter
khusus yang agak ketat dalam akad qarḍ. Asas utama ialah akad qarḍ
tidak dibenarkan pengenaan sebarang manfaat yang kembali kepada
pemberi pinjam atau pemiutang. Sehubungan dengan itu, pemberi
pinjam atau pemiutang tidak dibenarkan mengenakan sebarang caj ke
atas hutang tersebut kecuali caj atas kos sebenar yang biasanya
berkaitan perbelanjaan secara langsung seperti yuran proses. Ini sejajar
dengan keputusan badan-badan kewangan Islam antarabangsa dan
kebangsaan. Setakat ini, akad qarḍ tidak dipraktikkan secara meluas
dalam institusi kewangan Islam di Malaysia melainkan beberapa buah
institusi mikro kredit. Antara institusi mikro kredit terbesar di Malaysia
ialah TEKUN. TEKUN Nasional merupakan sebuah agensi di bawah
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Ia ditubuhkan
untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat
kepada bumiputera untuk memulakan atau memajukan lagi perniagaan
mereka. Selain bumiputera, TEKUN juga menawarkan skim pinjaman
kepada kaum India bagi membantu mereka menjalankan perniagaan
secara lebih berkesan. Di samping itu, pihak TEKUN juga
menyediakan khidmat bantuan dan sokongan dari sudut kursus dan
peluang-peluang perniagaan bagi meningkatkan lagi kualiti perniagaan
yang dijalankan. Buat masa ini, meskipun TEKUN menawarkan
pelbagai produk dan skim, kesemuanya masih berasaskan kepada
prinsip qarḍ. Oleh kerana majoriti usahawan TEKUN adalah dari
kalangan kaum Melayu Islam, pelaksanaan pinjaman TEKUN perlu
dinilai dari sudut syarak bagi memastikan pematuhan terhadap hukum
syarak. Justeru, kertas ini cuba mengupas isu-isu syariah dalam
pinjaman TEKUN dimulai dengan analisis terhadap akad qarḍ dalam
Islam dengan memberi penekanan kepada prinsip-prinsip asas yang
wajib dipatuhi dalam akad qarḍ. Subtopik seterusnya akan melihat
takyīf fiqhī bagi skim pinjaman TEKUN sebelum analisis secara kritis
dijalankan terhadap beberapa isu-isu Syariah yang timbul dalam
implementasi skim pinjaman tersebut.
Analisis Prinsip Qarḍ dalam Pinjaman TEKUN 157
Akad Qarḍ menurut Perspektif Syariah
Definisi dan hikmah pensyariatan
Qarḍ dari segi bahasa bermaksud potong (Ibn Manzur 1956, 7: 216). Ia
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai pinjaman atau hutang.1
Manakala dari segi istilah para fuqaha, terdapat beberapa definisi yang
dikemukakan oleh mereka berdasarkan mazhab masing-masing.
Menurut tokoh mazhab Ḥanafī, Ibn ‘Ᾱbidīn (1966, 5: 161) qarḍ ialah
“sesuatu yang diberikan daripada harta mithlī untuk diselesaikan
(pembayarannya) dengan harta yang sama.” Mazhab Mālikī
mentakrifkannya sebagai “memberi sesuatu yang berharga dengan
balasan yang tidak berbeza dengannya bukan segera (bertangguh pada
masa akan datang)” (al-Dasūqī t.th., 3: 222).
al-Sharbīnī (1997, 2: 117) daripada mazhab Syafii pula
mendefinisikan qard sebagai “pemberian milik sesuatu supaya
dipulangkan gantian seumpamanya”. Manakala dalam mazhab Ḥanbalī,
ia ditakrifkan oleh Ibn Mufliḥ (4: 204) sebagai “memberi harta kepada
orang lain yang akan memanfaatkannya dan dipulangkan
seumpamanya.” Oleh itu, jelas daripada definisi-definisi yang diberikan
oleh setiap mazhab, semuanya hampir sama dan menunjukkan kepada
makna yang satu iaitu “memberi harta kepada orang yang akan
memanfaatkannya dan dipulangkan gantiannya pada masa akan
datang.” (al-‘Imrānī, 1427: 22; Abū ‘Arjah & Sabaḥ, 2005: 107).
Memberi qarḍ adalah disunatkan dan merupakan salah satu amalan
taqarrub yang digalakkan dalam Islam sebagaimana difahami daripada
nas-nas al-Quran, Sunnah dan ijmak para ulama (Abū ‘Arjah & Sabaḥ
2005: 108). Para ulama mengistinbat banyak hikmah dan faedah
daripada pensyariatan qarḍ. Antaranya ialah qarḍ melatih seseorang
untuk memberi infak dan menghapuskan penyakit bakhil atau kedekut.
Selain itu, qarḍ juga dapat menanam rasa ukhuwwah antara
komuniti Muslim yang menjadi prinsip yang ditekankan al-Quran.
Prinsip ukhuwwah ini menuntut kerjasama yang jitu antara satu sama
lain di kalangan Muslimin dalam menyelesaikan sebarang masalah.
Malahan pensyariatan qarḍ juga mengandungi prinsip kerjasama sosial
(takāful ijtima‘ī) yang perlu dihidupkan di kalangan orang-orang Islam
sepertimana tuntutan Allah Taala (al-Quran 5: 2; 49: 10).
Prinsip-prinsip asas dalam akad qarḍ
Dalam artikel ini, beberapa prinsip asas yang penting berkaitan dengan
qarḍ akan diperhalusi sebelum dilakukan analisis syariah terhadap
pinjaman yang ditawarkan di TEKUN. Sehubungan dengan itu, prinsip-
prinsip asas yang telah dikenal pasti adalah seperti berikut:
1. Akad qarḍ ialah akad irfāq dan tabarru‘
Majoriti ulama menegaskan bahawa akad qarḍ ialah akad tabarru‘ dan
irfāq. Ini adalah sifat asal akad qarḍ. Justeru, ia berbeza daripada akad
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 158
mu‘āwaḍah. Tabarru‘ bermaksud seseorang mukallaf membelanjakan
harta atau manfaat untuk orang lain pada masa sekarang atau hadapan
tanpa sebarang bayaran atau balasan dengan berniat melakukan
kebajikan dan kebaikan (birr wa ma‘rūf). Ia merupakan sejenis kontrak
pemindahan milik yang berasaskan kepada pertolongan, bantuan, dan
belas kasihan daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan
bayaran (Hammad 2008: 107). Manakala mu‘āwaḍah pula bermaksud
pertukaran antara dua barangan (‘iwaḍayn). Ia juga satu bentuk kontrak
pemindahan milik tetapi berasaskan kepada pembentukan hak dan
obligasi yang saling berbalas antara dua pihak yang berkontrak
(Hammad 2008: 316).
Dalam akad mu‘āwaḍah, kedua-dua pihak berkontrak mendapat
manfaat duniawi, manakala dalam akad qarḍ, pihak yang memberi
wang pinjaman (muqriḍ) tidak mendapat manfaat. Sebaliknya hanya
pihak yang meminjam (muqtariḍ) yang mendapat manfaat. Sekiranya,
ada unsur mensyaratkan manfaat kepada pemberi pinjaman, maka ia
telah mengeluarkan qarḍ tersebut daripada sifat asalnya. al-Qarāfī
(1998: 4) menegaskan:
ن املعروف امتنعميت خرج ع
Maksudnya: Apabila ia (qarḍ) terkeluar daripada prinsip ma‘rūf
(kebajikan), maka ia dilarang.
Oleh itu, qarḍ merupakan satu akad yang bersifat kebajikan dan
taqarrub yang mengandungi elemen belas kasihan atau irfāq.
2. Prinsip “setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat, maka ia riba”
Prinsip ini diambil daripada kaedah yang berbunyi:
منفعة فهو راب كل قرض جرMaksudnya: Setiap qarḍ yang memberi manfaat (kepada pemberi
pinjaman) maka ia adalah riba.
Sebahagian ulama menyebut lafaz ini berasal daripada hadis Nabi
SAW dan ada yang menyebutnya sebagai āthār daripada sahabat. Kata-
kata ini walaupun dari sudut ilmu hadis tidak sabit dengan sanad yang
sahih, tetapi ia telah menjadi kaedah yang disepakati oleh seluruh umat
Islam dalam bab qarḍ (al-Shirazi 1428, 5: 452). Para ulama
menjelaskan bahawa qarḍ yang membawa kepada manfaat menjadi
‘illah (al-manāṭ) kepada pengharaman qarḍ tersebut. Oleh itu, apa yang
perlu dilakukan ialah taḥqīq al-manāṭ (mempraktikkan/menentukan
kewujudan ‘illah tersebut) dalam kes-kes baru yang lain. Dengan kata
lain, jika ‘illah ini wujud dalam kes-kes tersebut, maka ia dilarang,
sebaliknya jika ‘illah tidak wujud, maka ia dibenarkan.
Secara umum, prinsip ini menunjukkan bahawa semua jenis manfaat
yang terkait dengan pinjaman (qarḍ) adalah dianggap riba. Walau
Analisis Prinsip Qarḍ dalam Pinjaman TEKUN 159
bagaimanapun, para ulama menjelaskan ada beberapa pengecualian
manfaat yang harus seperti berikut (al-‘Imrānī 1427: 343):
a) Manfaat yang tidak disyaratkan bagi pemiutang ketika
melunaskan hutang. Ini diharuskan kerana termasuk dalam ḥusn al-
qaḍā’ (melunaskan hutang dengan cara yang baik).
b) Manfaat yang disyaratkan bagi peminjam seperti pemiutang
mensyaratkan bayar sedikit atau mensyaratkan tempoh (tangguh).
c) Manfaat yang disyaratkan untuk dikongsi bersama tanpa wujud
mudarat kepada salah satu seperti mensyaratkan pembayaran hutang
di negara lain jika sukar dilakukan di tempat berlakunya kontrak
pinjaman tersebut.
Kesimpulannya, prinsip ini bermaksud setiap pinjaman (qarḍ/loan)
yang membawa faedah atau manfaat yang semata-mata disyaratkan
khusus ke atas peminjam (muqtariḍ/borrower) untuk diberikan kepada
pemberi pinjaman (muqriḍ/creditor), ataupun yang mengambil hukum
yang sama seperti disyaratkan, adalah dianggap riba. Ini termasuklah
mensyaratkan tambahan dibayar kepada muqriḍ/creditor sama ada dari
segi kadar dan sifat yang sama jenis atau tidak sama jenis. Malahan
mensyaratkan kerja tertentu atau mensyaratkan pinjaman balasan
kepada muqriḍ/creditor juga termasuk dalam faedah yang dilarang.
3. Persyaratan (ishtirāṭ) dalam akad qarḍ
Isu persyaratan dalam akad qarḍ agak luas kerana melibatkan pelbagai
bentuk akad sama ada akad mu‘āwaḍah atau bukan mu‘āwaḍah. Secara
spesifiknya, tulisan ini hanya memberi fokus kepada isu mensyaratkan
diberikan akad qarḍ yang lain kepada muqriḍ/creditor sebagai balasan
(in return) kepada qarḍ yang pertama. Dengan kata lain, pemiutang
telah mensyaratkan bahawa hutang boleh diberikan dengan syarat pihak
peminjam memberi hutang kepadanya semula.
Isu ini dinamakan oleh fuqaha Maliki sebagai “ ني وأسلفكأسلف ” yang
bermaksud pinjamkan kepada ku, nescaya aku akan pinjamkan kepada
engkau (al-Ḥaṭṭāb 1992 6: 273). Manfaat yang disyaratkan dalam kes
ini kembali kepada pemiutang pertama. Bentuknya berlaku apabila
pemiutang (creditor) berkata kepada penghutang (borrower), “Saya
akan memberi pinjam kepadamu sekian jumlah dengan syarat kamu
memberi pinjam kepada saya jumlah ini.” Ini juga dipanggil reciprocal
loans (al-qurūḍ al-mutabādilah) antara pemiutang dan penghutang.
Fuqaha’ Mālikī, Shāfi‘ī dan Ḥanbalī menjelaskan pengharaman bentuk
persyaratan ini.
al-Ḥaṭṭāb (1992, 6: 273) menyebutkan:
.ال خالف يف املنع من أن يسلف اإلنسان شخصا ليسلفه بعد ذلك
Maksudnya: Tidak ada khilaf bahawa dilarang seseorang memberi
pinjam/hutang kepada seseorang peminjam yang lain supaya dia juga
memperolehi pinjaman/hutang daripada si peminjam.
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 160
Persyaratan ini haram kerana ia membawa kepada manfaat atau
faedah kepada pemiutang. Para ulama telah bersepakat bahawa
pinjaman yang membawa faedah bersyarat kepada pemiutang adalah
diharamkan. Dalam kes ini, pemiutang memperoleh manfaat pinjaman
daripada penghutang kerana disebabkan kontrak pinjaman pertama
dimeterai. Malahan isu ini termasuk dalam larangan mensyaratkan akad
dalam akad yang lain yang diharamkan.
4. Syarat qabḍ dalam akad qarḍ
Qabḍ di sini merujuk kepada penerimaan wang oleh peminjam. Isu
qabḍ dibincangkan oleh para ulama bagi memastikan berlakunya kesan
hukum qarḍ iaitu pemindahan milik harta daripada pemiutang kepada
penghutang. Adakah pemindahan milik ini berlaku hanya dengan akad
atau perlu kepada qabḍ (penerimaan)?.
Secara ringkasnya, majoriti ulama yang terdiri daripada kalangan
mazhab Ḥanbalī, Ḥanafī dan pendapat kuat (al-aṣaḥḥ) dalam mazhab
Shāfi‘ī berpandangan bahawa qabḍ menjadi syarat pemindahan milik
kepada peminjam.
Dalam kitab Radd al-Muḥtār ‘alā al-Durr al-Mukhtār bagi mazhab
Ḥanafī, dinyatakan:
.حممد و اإلمام أي عندمها القبض بنفس القرض املستقرض وميلك
Maksudnya: Dan peminjam memiliki harta pinjaman dengan penerimaan
menurut pendapat kedua-dua mereka iaitu Imam dan Muhammad (Ibn
‘Abidin 1966, 5: 164).
Menurut al-Shīrāzī dalam kitab al-Muhadhdhab bagi mazhab
Shāfi‘ī:
التصرف يقف عقد ألنه ابلقبض، ميلكه أنه وجهان أحدمها فيه ميلك الذي الوقت ويف
إال ميلكه ال أنه والثاين. كاهلبة القبض على فيه امللك فوقف القبض، فيه على
.واإلتالف واهلبة ابلبيع ابلتصرف
Maksudnya: Dan mengenai waktu ia dianggap memilikinya (qarḍ) terdapat
dua pendapat: Pertama, dia memiliknya dengan sebab qabḍ, kerana ia satu
kontrak yang mana taṣarrufnya bergantung kepada qabḍ maka begitu juga
pemilikan akan bergantung kepada qabḍ seperti hibah. Pendapat kedua: dia
tidak memilikinya melainkan selepas melakukan taṣarruf dengan jual beli,
hibah atau itlāf (merosakkan) (al-Nawawī 2001, 13: 166).
Dalam kitab al-Mubdi‘, Ibn Mufliḥ (2000, 5: 119) menyatakan:
عليه امللك فوقف القبض، على فيه التصرف يقف عقد ألنه ابلقبض فيه امللك ويثبتMaksudnya: Dan sabit pemilikan baginya dengan sebab qabd kerana ia
adalah satu kontrak yang mana taṣarruf pada harta tersebut bergantung
kepada penerimaan (qabḍ), maka begitu juga pemilikan akan bergantung
kepada qabḍ.
Analisis Prinsip Qarḍ dalam Pinjaman TEKUN 161
Takyīf Fiqhī Pinjaman Tekun
TEKUN adalah sebuah badan yang ditubuhkan untuk membantu
golongan miskin dan sederhana bagi menjalankan perniagaan dan
projek keusahawanan. Buat masa ini, TEKUN hanya menawarkan
produk dan skim yang berasaskan kepada pinjaman sahaja.
Berdasarkan kepada dokumen-dokumen termasuk borang, surat
tawaran pinjaman dan perjanjian, analisis dijalankan terhadap konsep
pinjaman yang ditawarkan oleh TEKUN.
Sebelum analisis terhadap skim pinjaman TEKUN dijalankan, takyīf
fiqhī terhadap skim pinjaman TEKUN perlu diselesaikan. Takyīf fiqhī
bermaksud penentuan hukum fiqh atau sifat yang sesuai bagi
permasalahan yang dikaji. Sehubungan dengan itu, penentuan hukum
fiqh bagi pinjaman TEKUN diteliti berdasarkan skim-skim yang
ditawarkan termasuk dokumen-dokumen yang berkaitan. Secara
umumnya TEKUN menawarkan empat skim pinjaman utama yang
berbeza mengikut kadar perbezaan jumlah pinjaman seperti jadual
berikut:
Pinjaman Jumlah Tempoh Bayaran
Skim Pinjaman Mikro (SPM) RM 1,000 – RM 5,000 Sehingga 3 tahun
Skim Pinjaman Mikro (SPM) >RM 5,000 – RM 10,000 Sehingga 5 tahun
Skim Pinjaman Kecil (SPK) >RM 10,000 – RM 50,000 Sehingga 5 tahun
Skim Pinjaman Sederhana (SPS) >RM 50,000 – RM 100,000
Sumber: Laman Sesawang TEKUN
Berdasarkan kepada sumber daripada laman sesawang2 TEKUN,
berikut ialah beberapa ciri-ciri penting skim pinjaman TEKUN:
Perkara Keterangan
Tempoh bayaran
balik
Tempoh bayaran balik pinjaman adalah antara 6 bulan hingga 10
tahun
Cara bayaran
balik
Peminjam WAJIB datang membuat bayaran balik pinjaman di
Pejabat TEKUN Kawasan atau menerusi
BSN, Maybank, Bank Rakyat, Agrobank dan Pos Malaysia atau
menerusi Cek Tertunda Tarikh.
Sumbangan
Tabung
Pengurusan
TEKUN
Usahawan diminta membayar Sumbangan Tabung Pengurusan
TEKUN sebanyak 4% daripada nilai pinjaman setiap tahun
sepanjang tempoh pinjaman. Bayaran sumbangan ini hendaklah
dibuat bersama dengan bayaran balik pinjaman.
Simpanan Usahawan diminta untuk membuat simpanan sebanyak 5%
daripada nilai pinjaman setiap tahun. Simpanan ini hendaklah
dibuat bersama dengan bayaran balik pinjaman.
Perlindungan
Insuran
Usahawan TEKUN akan mendapat perlindungan di bawah
Insuran Pinjaman dan Insuran Hayat & Kemalangan (peminjam)
yang ditetapkan oleh TEKUN Nasional dalam tempoh pinjaman
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 162
Penelitian terhadap dokumen-dokumen pinjaman TEKUN
mendedahkan bahawa skim yang ditawarkan di TEKUN adalah
dikenali dalam syarak sebagai qarḍ. Ini boleh dilihat melalui Panduan
Permohonan Pinjaman TEKUN Nasional, Prosedur Pengurusan
Pinjaman TEKUN, dan contoh Perjanjian Pinjaman TEKUN. Lafaz
‘pinjaman’ tertera digunakan dalam semua dokumen-dokumen
tersebut. Malah, dinyatakan dalam perjanjian bahawa ada ‘bayaran
balik’ bagi pinjaman yang diberikan.
Meskipun pinjaman tersebut tidak dinamakan sebagai qarḍ ḥasan,
tetapi hukum qarḍ sepertimana dikehendaki dalam syariat ialah mesti
bersifat ḥasan (baik atau benevolent) selaras dengan tuntutan Allah
Taala dalam Quran (al-Baqarah 245):
وئ ۇئ وئۉ ې ې ې ې ى ى ائ ائ ەئ ەئ
ۇئ ۆئ ۆئ ۈئMaksudnya: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman
kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah
melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? dan
(ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian
rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.
Dari satu sudut yang lain, TEKUN juga dilihat mempunyai ciri-ciri
financial intermediary (perantara kewangan) yang menguruskan aliran
wang dari pihak kerajaan kepada rakyat. Dana yang diperolehi oleh
TEKUN adalah dalam bentuk pinjaman daripada Kerajaan dan perlu
dibayar balik dalam tempoh jangka masa panjang tanpa interest. Maka
dana yang diperolehi sebenarnya telah menjadi hak milik TEKUN.
Melalui dana ini, TEKUN menyalurkan pinjaman kepada rakyat dalam
bentuk pembiayaan mikro yang mudah dan cepat.
Oleh itu, pinjaman TEKUN adalah dianggap sebagai hukum qarḍ.
Maka setiap qarḍ mesti tertakluk kepada rukun dan syarat-syaratnya
seperti yang telah digariskan dalam hukum syarak. Justeru, pinjaman
yang ditawarkan kepada usahawan TEKUN perlu dianalisis
berdasarkan kepada prinsip qarḍ dalam Islam.
Analisis Syariah terhadap Pinjaman Tekun
1. Isu manfaat dalam qarḍ
a) Sumbangan Tabung Pengurusan 4%
Dalam konteks pinjaman TEKUN, terdapat caj 4% yang dinamakan
sebagai “Sumbangan Tabung Pengurusan”. Caj yang dikenakan ke atas
peminjam ini dianggap sebagai syarat yang telah ditetapkan dalam
pinjaman, sekalipun tertera perkataan “dengan rela hati” disumbangkan
oleh peminjam. Ini kerana setiap pengusaha yang meminjam mesti
membayar balik pinjaman termasuk caj pengurusan tersebut.
Sumbangan tabung pengurusan ini boleh disifatkan sebagai bayaran
fi atau ujrah mengikut hukum syarak. Berdasarkan kepada
Analisis Prinsip Qarḍ dalam Pinjaman TEKUN 163
perbincangan mengenai qard di atas, antara prinsip asas qarḍ ialah
prinsip irfāq yang tidak membenarkan sebarang pengenaan caj atau
bayaran kerana sebab pinjaman. Maka pihak pemberi pinjaman
(TEKUN) tidak harus mengenakan caj ujrah atas pinjaman yang
diberikan. Walau bagaimanapun, menurut syarak pihak pemberi pinjam
boleh mengenakan fi yang berasaskan kepada kos sebenar (actual cost)
jika ia boleh dibuktikan. Hal ini selaras dengan keputusan AAOIFI
dalam shariah standard dan juga resolusi Muzakarah Cendikiawan
Nusantara ke 7 yang diadakan di Johor Baharu (ISRA, 2014). Kos
sebenar yang dimaksudkan merujuk kepada perbelanjaan secara
langsung (direct expenses) dan bukan perbelanjaan tidak langsung.
Berikut ialah teks shariah standard AAOIFI (perkara ke 9):
9/1. It is permittted to a lending institution to charge for services rendered
in loans equivalent to the actual amount directly spent on such services. It
is not permitted to the institution to charge an amount in excess of such a
service charge. All charges in excess of the actual amount spent are
prohibited, and it is necessary to ensure precision in the determination of
the actual charges so that they do not lead to an excess that can be deemed
a benefit......
9/2. Indirect expenses incurred in rendering services for loans are not
included in actual expenses, like the salaries of the employees, the rentals
of space, assets and means of transport as well as other management and
general expenses of the institution.
Maksudnya: 9/1. Diharuskan bagi institusi pinjaman untuk mengenakan caj
bagi servis yang diberikan dalam akad pinjaman menyamai dengan amaun
sebenar yang dibelanjakan secara langsung bagi servis tersebut. Dilarang
bagi institusi berkenaan mengenakan caj amaun yang melebihi caj servis
tersebut. Semua caj yang melebihi daripada amaun sebenar yang
dibelanjakan adalah haram, dan amatlah penting dipastikan secara tepat
dalam menentukan caj sebenar agar ia tidak membawa kepada lebihan
yang boleh dianggap sebagai faedah/manfaat (yang haram)....
9/2. Perbelanjaan tidak langsung yang ditanggung ketika memberikan
servis bagi akad pinjaman adalah tidak termasuk dalam perbelanjaan
sebenar, seperti gaji pekerja, sewa tempat, aset dan pengangkutan serta
juga lain-lain pengurusan dan perbelanjaan umum institusi tersebut.
Justeru, apabila pihak TEKUN mengenakan caj 4% daripada jumlah
amaun pinjaman ke atas peminjam, timbul persoalan adakah kadar 4%
tersebut boleh dijustifikasikan sebagai kos sebenar. Jika sekiranya
kadar tersebut dikenakan bagi tujuan menampung kos-kos pengurusan
dan perbelanjaan tidak langsung seperti gaji pekerja, bayaran sewa
bangunan dan seumpamanya, maka pengenaan caj tersebut perlu dinilai
semula kerana ia tidak menepati salah satu asas dan prinsip dalam qarḍ.
b) Bayaran proses pinjaman
Bayaran proses pinjaman ialah kos yang perlu ditanggung untuk
mendapatkan pinjaman dari segi dokumentasi dan sebagainya.
Kebanyakan ulama bersetuju bahawa kos perbelanjaan bagi
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 164
dokumentasi pinjaman adalah ditanggung oleh pemohon pinjaman
(Azman 2013: 9). Ini adalah berdasarkan kepada dalil firman Allah
Taala (al-Baqarah 282):
ٹٺ ٿ ٿ ٿ ٿ ٹ ٹ ٹ ٺڀ ڀ ٺ ٺ
ڃڤ ڤ ڤ ڤ ڦ ڦ ڦ ڦ ڄ ڄ ڄ ڄMaksudnya: Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang
berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan
hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia
mengurangkan sesuatu pun daripada hutang itu.
Para ulama juga berpendapat perbelanjaan-perbelanjaan penyerahan
dan pembayaran dalam kontrak pinjaman adalah ditanggung oleh
peminjam. Ini dijelaskan dalam beberapa mazhab seperti Mazhab
Mālikī dan al-Shāfi‘ī. al-Dasūqī (t.th, 3: 145) mengemukakan:
.نزاع بال عليه كيله فأجرة رده وإذا املقرتض على كيله فأجرة مثال إرداب اقرتض فمن
Maksudnya: Sesiapa yang meminjam sebanyak satu irdib (sukatan),
sebagai contoh, maka upah sukatan tersebut ditanggung oleh peminjam,
dan ketika membayar balik, kos menyukat juga ditanggung oleh peminjam
tanpa khilaf.
Begitu juga al-Ramlī daripada mazhab al-Shāfi‘ī, di mana beliau
menjelaskan dalam Nihayat al-Muḥtāj (1984, 4: 229):
طالبه املقرض يتحملها ومل مؤنة وللنقل اإلقراض، حمل غري يف املقرتض املقرض ظفر لو
.الكلفة من فيه ملا املطالبة، يوم بلد اإلقراض بقيمة
Maksud: Sekiranya pemberi pinjam menerima bayaran pinjaman daripada
peminjam di tempat lain (daripada tempat berhutang), dan ia melibatkan
kos yang tidak tertanggung oleh pemberi pinjaman, dia boleh menuntut
peminjam untuk menanggung kos negeri tempat berhutang pada hari
bayaran kerana ia melibatkan kos.
Justeru, kos bekalan untuk membawa dan perbelanjaan pinjaman
adalah ditanggung oleh peminjam, kerana khidmat dan kos
perbelanjaan tersebut adalah bertujuan menyempurnakan penyerahan
pinjaman tersebut. Malahan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Bank
Negara Malaysia telah meneliti isu pengenaan ujrah yang berkaitan
dengan qarḍ. Berdasarkan kepada resolusi Syariah MPS, BNM, pada
mesyuarat ke-77 bertarikh 3 Julai 2008 dan mesyuarat ke 78 bertarikh
30 Julai 2008, MPS telah memutuskan beberapa perkara, antara lain
ialah (Bank Negara Malaysia, 2010: 150):
iv. Pengenaan ujrah bagi perkhidmatan, manfaat dan keistimewaan yang
berkaitan dengan pemberian qard, penangguhan hutang dan pertukaran
tunai dengan tunai pada nilai berbeza adalah tidak dibenarkan. Namun
demikian, caj bagi menampung kos sebenar (nafaqah/taklufah)
pengendaliannya boleh dikenakan.
Analisis Prinsip Qarḍ dalam Pinjaman TEKUN 165
Dalam konteks pinjaman TEKUN, bayaran proses yang dikenakan
adalah berdasarkan kepada jumlah nilai pinjaman seperti berikut:
Pinjaman Bayaran
RM 1,000 – RM 5,000 RM 50
>RM 5,000 – RM 10,000 RM 100
>RM 10,000 – RM 20,000 RM 150
>RM 20,000 – RM 30,000 RM 200
>RM 30,000 – RM 40,000 RM 250
>RM 40,000 – RM 50,000 RM 300
Bayaran proses ini boleh dijustifikasikan sebagai bayaran fi atau
ujrah mengikut hukum syarak. Sebagaimana dijelaskan sebelum ini,
ujrah yang terlibat dengan akad qarḍ mestilah mencerminkan kos
sebenar (actual cost) yang melibatkan perbelanjaan secara langsung
(direct expenses). Maka secara asasnya bayaran proses tersebut adalah
diharuskan kerana ia dikenakan bagi tujuan menampung kos-kos
pemprosesan pinjaman, yang secara syaraknya hendaklah ditanggung
oleh peminjam. Namun kadar yang boleh dikenakan hendaklah benar-
benar mencerminkan kos sebenar. Oleh itu, kadar bayaran proses yang
dikenakan oleh TEKUN yang bergantung kepada kadar pinjaman, perlu
dikaji dan dinilai semula kerana pengenaan kos sebenar sepatutnya
tidak berbeza mengikut perbezaan amaun pinjaman yang ditawarkan.
Justeru, setiap kos sebenar wajar ditentukan dan dinyatakan secara jelas
bagi mengelakkan berlakunya unsur riba yang diharamkan.
2. Persyaratan akad dalam qarḍ
Simpanan wajib 5%
Berdasarkan kepada panduan permohonan pinjaman TEKUN,
usahawan yang ingin meminjam diminta untuk membuat simpanan
sebanyak 5% daripada nilai pinjaman setiap tahun. Simpanan ini
hendaklah dibuat bersama dengan bayaran balik pinjaman. Simpanan
yang perlu dilakukan oleh usahawan ini perlu dianalisis melalui metode
takyīf fiqhī dalam menentukan sifat fiqh yang sesuai bagi simpanan
tersebut.
Berdasarkan kepada penelitian yang dilakukan, simpanan ini boleh
ditakyīfkan sama ada salah satu antara dua prinsip syariah:
i) Hukum Akaun Wadi‘ah (qarḍ)
Simpanan ini boleh dikatakan mengambil hukum seperti akaun wadiah.
Akaun wadiah telah ditakyīfkan sebagai qarḍ oleh Majlis Penasihat
Syariah Bank Negara.3 Sekiranya kita mengambil kira takyīf ini, duit
simpanan tersebut akan menjadi milik penuh TEKUN dan TEKUN
wajib memulangkannya kepada usahawan apabila sampai tempohnya.
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 166
Namun begitu, oleh kerana simpanan ini menjadi syarat kepada
kontrak pinjaman pertama yang ditawarkan TEKUN kepada usahawan,
maka terdapat dua isu syariah di sini, iaitu:
Pertama: Isu manfaat dalam qarḍ
Isu ini sama seperti isu yang pertama iaitu apabila pinjaman yang
diberikan membawa kepada manfaat kepada pemiutang/pemberi
pinjaman, maka ia akan menjadi riba. Manfaat yang dimaksudkan
berbentuk umum termasuk manfaat meminta qarḍ yang lain daripada
peminjam. Oleh itu, mensyaratkan qarḍ yang lain sebagai balasan
kepada qarḍ yang diberikan kepada usahawan termasuk dalam hal ini.
Kedua: Isu al-qurūḍ al-tabāduliyyah atau aslifni wa uslifuka
Ia juga termasuk dalam isu al-qurūḍ al-tabāduliyyah (reciprocal
loans). Ia berlaku apabila dua pinjaman yang saling memberi syarat
satu sama lain, di mana satu pinjaman diberikan dengan persetujuan
tertakluk kepada janji peminjam untuk memberi pinjaman kepada
pemiutang. Persoalan yang timbul daripada keadaan ini ialah
persyaratan qarḍ (simpanan 5%) dalam qarḍ (pinjaman) boleh
dianggap sebagai manfaat tambahan kepada pemiutang, maka ia
menjadi haram.
Selain itu, isu pengharaman ini boleh dikembalikan kepada hukum
terhimpun dua akad dalam satu meskipun tiada manfaat tambahan
(terikat satu akad dengan satu akad lain). Beberapa teks syariah
daripada kitab fiqh klasik mengenai isu persyaratan qarḍ dalam qarḍ
(al-qurūḍ al-tabāduliyyah) telah dijelaskan sebelum ini.
ii) Hukum Rahn
Meskipun jumlah 5% yang diminta ini dinamakan simpanan, ia juga
boleh ditakyīfkan kepada rahn (cagaran). Ini dapat difahami melalui
objektik atau kegunaan simpanan wajib tersebut. Antara kegunaan
(objektif) simpanan yang diwajibkan tersebut ialah apabila usahawan
tidak membuat bayaran dalam tempoh tertentu, duit simpanan tersebut
akan ditolak bagi menampung kos hutang tertunggak. Oleh itu, ia
seolah-seolahnya menjadi cagaran kepada pinjaman yang diberikan.
Sekiranya ia dianggap sebagai rahn, maka wang simpanan tersebut
masih menjadi milik murtahin (usahawan) termasuk keuntungan yang
diperoleh daripada hasil simpanan di mana-mana bank. Pihak TEKUN
hanya bertindak sebagai pemegang amanah wang simpanan tersebut.
Justeru, dua takyīf fiqhī ini perlu ditentukan secara jelas agar tidak
timbul pertikaian mengenai status pemilikan kepada wang simpanan
tersebut. Takyīf fiqhī sebagai satu bentuk cagaran adalah lebih jelas
kerana tujuan simpanan adalah untuk menampung hutang yang
berkemungkinan tertunggak.
Analisis Prinsip Qarḍ dalam Pinjaman TEKUN 167
3) Syarat pemilikan wang pinjaman dengan qabḍ (penerimaan)
Berdasarkan kepada analisis terhadap dokumen skim pinjaman,
terdapat beberapa kaedah pelaksanaan yang dijalankan dalam
perjanjian kontrak pinjaman TEKUN. Artikel ini memberi fokus
kepada aspek bayaran balik permulaan dan ia perlu dianalisis dari sudut
syariah kerana ia terkait dengan isu qabḍ dalam akad qarḍ.
Bayaran balik satu bulan permulaan
Menurut majoriti ulama sepertimana yang telah dinyatakan, qabḍ
menjadi syarat kepada pemindahan milik wang pinjaman daripada
pemberi pinjaman (TEKUN) kepada peminjam (usahawan).
Dalam perjanjian pinjaman TEKUN, perkara 4.4 menyatakan
bahawa usahawan perlu bersetuju bayaran balik pinjaman satu bulan
permulaan ditolak daripada pinjaman yang diluluskan. Timbul isu di
sini, kerana bayaran balik telah ditolak daripada pinjaman sedangkan
peminjam (usahawan) masih belum menerima (qabḍ) wang tersebut.
Ini bercanggah dengan konsep qarḍ yang dianggap belum sempurna
selagi tidak wujud qabḍ (penerimaan) oleh pihak peminjam.
Malahan, mengikut syariah, apabila ditolak sebelum diserahkan,
wang pinjaman hanyalah baki yang telah ditolak. Jika wang pinjaman
yang diluluskan RM50,000 lalu ditolak bayaran balik satu bulan
permulaan sebanyak 1,000 sebelum diserahkan kepada peminjam,
maka ini bermakna wang pinjaman sebenar hanyalah 49,000.
Sedangkan pihak pemberi pinjam mengenakan caj 4% daripada jumlah
50,000. Maka cara terbaik ialah bayaran permulaan hendaklah
dilakukan sebaik sahaja wang tersebut diserahkan kepada usahawan
tersebut, walaupun pada bayaran balik tersebut berlaku hari yang sama.
Kesimpulan
Buat masa sekarang, pinjaman TEKUN yang ditawarkan kepada para
usahawan dianggap sebagai hutang atau pinjaman (qarḍ). Pelaksanaan
qarḍ yang dijalankan hendaklah bertepatan dengan syariah dan
mestilah dikawal selia dengan beberapa prinsip dan ḍawābiṭ khusus
yang memelihara akad tersebut daripada termasuk dalam riba yang
diharamkan. Terdapat empat isu syariah yang dibincangkan dalam
artikel ini iaitu isu sumbangan tabung pengurusan, bayaran proses
pinjaman, simpanan wajib dan bayaran balik satu bulan permulaan
ketika penyerahan hutang. Keempat-empat isu tersebut adalah terkait
dengan hukum dan prinsip qarḍ yang mempunyai syarat-syarat yang
agak ketat dari sudut fiqh. Justeru, pelaksanaan dan operasi dalam
pinjaman TEKUN hendaklah diperbaiki dan diperhalusi supaya tidak
mengheret kepada isu-isu syarak yang berkaitan dengan qarḍ. Jika
keempat-empat isu tersebut tidak dapat diselesaikan, maka kesesuaian
penggunaan akad qarḍ sebagai asas kepada pinjaman TEKUN
hendaklah dinilai semula.
Isu Syariah & Undang-undang Siri 21 168
Pihak TEKUN dicadangkan agar membuat eksplorasi terhadap
beberapa kontrak dan konsep syarak yang lain untuk dipraktikkan.
Selain qarḍ, terdapat beberapa kerangka teori dan kontrak yang boleh
dicadangkan bagi pelaksanaan institusi pembiayaan mikro Islam.
Namun begitu, pelaksanaannya sudah tentu satu proses yang
komprehensif bermula daripada pemilihan kontrak yang sesuai,
dokumentasi undang-undang seperti perjanjian antara usahawan dan
TEKUN dan juga mengambil kira kemampuan para usahawan yang
ingin dibantu melalui program mikro kredit ini.
Antara kontrak-kontrak yang boleh dieksplorasi oleh pihak
pembiaya ialah seperti berikut:
1. Muḍārabah
2. Mushārakah
3. Ijārah
4. Ijārah wa iqtinā’
5. Murābaḥah
6. Tawarruq
7. Bay‘ al-salam
8. Bay‘ al-istiṣnā‘
9. Mushārakah mutanāqiṣah
Walau bagaimanapun, sebahagian daripada kontrak-kontrak tersebut
mungkin mempunyai kekangan dan batasan implementasinya. Malahan
setiap kontrak tersebut mempunyai sifat yang berlainan dan mungkin
kesesuaiannya bergantung kepada keadaan para peminjam dan
pengusaha perniagaan. Kontrak-kontrak yang dinyatakan di atas boleh
dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kontrak mikro kredit dan
kontrak mikro ekuiti. Kontrak mikro kredit seperti tawarruq, ijārah dan
murābaḥah. Manakala mikro ekuiti pula melibatkan kontrak seperti
muḍārabah dan mushārakah.
Nota Hujung 1 Pinjaman dalam Bahasa Melayu merujuk kepada dua bentuk sama ada
meminjam barangan seperti buku atau meminjam wang tunai. Sekiranya
subjek pinjaman ialah barangan fizikal seperti buku, maka ia dinamakan
dalam Syarak sebagai i‘ārah, manakala jika subjek pinjaman ialah wang,
maka ia dinamakan sebagai qarḍ. Artikel ini hanya memberi fokus kepada
skim pinjaman di TEKUN yang hanya melibatkan wang iaitu qarḍ atau
hutang.
2 TEKUN, Syarat dan prosedur skim pinjaman TEKUN Nasional.
http://www.tekun.gov.my/web/guest/34;jsessionid=E7FA90C7FC5436312
B11A8E5F7249DC7 (atas talian 10/1/15)
3 MPS pada mesyuarat khas ke-6 bertarikh 8 Mei 2008 telah memutuskan
bahawa hukum wadi’ah yad dhamanah yang melibatkan wang mengambil
hukum qard dari segi garis panduan (ḍawābiṭ) dan kesan-kesan lanjutan
daripadanya (Bank Negara Malaysia, 2010: 101)
Analisis Prinsip Qarḍ dalam Pinjaman TEKUN 169
Rujukan
al-Qur’an
Abu ‘Arjah, Sāmi Muḥammad & Sabāḥ, Māzin Misbāḥ. 2005. Aḥkām
Radd al-Qarḍ fi al-Fiqh al-Islāmī. Majallat al-Jāmi‘ah al-
Islamiyyah, 13(2), 148–103.
Azman Mohd Nor. 2013. Kerangka dan Mekanisma Penentuan Kos
Sebenar dalam Kewangan Islam. dlm Muzakarah Cendikiawan
Syariah Nusantara Ke-7: Ujrah: Isu-isu dan aplikasi dalam
kewangan Islam. Kuala Lumpur: International Shari’ah Research
Academy for Islamic Finance (ISRA).
al-Dasuqi, Muhammad ‘Arfah. T.th.. Hashiyat al-Dasuqi ‘ala al-Sharh
al-Kabir. Damsyik: Dar Ihya’ al-Kutub al-‘Arabiyyah.
al-Hattab, Muhammad bin Muhammad bin ‘Abd al-Rahman. 1992.
Mawahib al-Jalil fi Sharh Mukhtasar al-Khalil. Beirut: Dar al-
Fikr.
‘Imrani, ‘Abdullah bin Muhammad. 1427. al-Manfa‘ah fi al-Qard
Dirasah Ta‘siliyyah Tatbiqiyyah. Riyad: Dar Ibn al-Jawzi.
al-Nawawi, Muhyi al-Din Yahya bin Sharaf. 2001. al-Majmu‘ Sharh
al-Muhadhdhab. Jedah: Maktabat al-Irshad.
al-Qarafi, Ahmad bin Idris bin ‘Abd al-Rahman. 1998. al-Furuq.
Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
al-Ramli, Muhammad bin Shihāb al-Dīn. 1984. Nihāyat al-Muhtāj ila
Sharh al-Minhaj. Beirut: Dar al-Fikr.
al-Sharbini, Shams al-Dīn Muhammad bin al-Khaṭīb. 1997. Mughni al-
Muhtaj fi Ma‘rifat Ma‘āni Alfāz al-Minhāj. Beirut: Dar al-
Ma‘rifah.
Bank Negara Malaysia. 2010. Shariah resolutions in Islamic Finance
2nd ed. Kuala Lumpur: Bank Negara Malaysia.
Hammad, Nazīh Kamāl. 2008. Mu‘jam al-Muṣṭalahāt al-Māliyyah wa
al-Iqtisadiyyah fi Lughat al-Fuqaha‘. Damsyik: Dar al-Qalam.
Ibn ‘Ᾱbidīn, Muḥammad Amin. 1966. Radd al-Muḥtār ‘ala al-Durr al-
Mukhtār. Damsyik: Matba‘at Muṣtafa al-Ḥalabi.
Ibn Manzur Abu al-Fadl Jamal al-Din Muhammad bin Mukram. 1956.
Lisan al-‘Arab. Beirut: Dar Sadir.
ISRA. 2014. Resolusi Muzakakrah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke
8, 2014. In Muzakakrah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke 8
(pp. 1-3). Kuala Lumpur: International Shari’ah Research
Academy for Islamic Finance (ISRA).
Muflih, Burhan al-Din bin Muhammad bin ‘Abdullah. 2000. al-Mubdi‘
Sharh al-Muqni‘. Beirut: al-Maktab al-Islami.
TEKUN, Laman Rasmi TEKUN. http://www.tekun.gov.my