b-05-71-03-2014-1

14
1 DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA (BIDANG KUASA RAYUAN) RAYUAN JENAYAH NO: B-05-71-03/2014 ANTARA PRINCE BATHOLOWMEW OBITUBE ... PERAYU LAWAN PENDAKWA RAYA RESPONDEN ___________________________ (Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam Perbicaraan Jenayah No: 45A-21-02/2012) Di antara Pendakwa Raya lawan Prince Batholowmew Obitube KORUM: MOHTARUDIN BAKI, HMR ZAKARIA SAM, HMR ABDUL RAHMAN SEBLI, HMR

Upload: zamribakar196752536

Post on 10-Jul-2016

236 views

Category:

Documents


8 download

TRANSCRIPT

Page 1: B-05-71-03-2014-1

1

DALAM MAHKAMAH RAYUAN MALAYSIA

(BIDANG KUASA RAYUAN)

RAYUAN JENAYAH NO: B-05-71-03/2014

ANTARA

PRINCE BATHOLOWMEW OBITUBE ... PERAYU

LAWAN

PENDAKWA RAYA … RESPONDEN

___________________________

(Dalam Perkara Mahkamah Tinggi Malaya di Shah Alam

Perbicaraan Jenayah No: 45A-21-02/2012)

Di antara

Pendakwa Raya

lawan

Prince Batholowmew Obitube

KORUM:

MOHTARUDIN BAKI, HMR

ZAKARIA SAM, HMR

ABDUL RAHMAN SEBLI, HMR

Page 2: B-05-71-03-2014-1

2

PENGHAKIMAN

Prakata

[1] Permohonan telah dibuat oleh perayu untuk:

i. Rayuannya didengar bersama dengan rayuan oleh Pendakwa

Raya terhadap pembebasan dan pelepasan Micheal Okene

Ekeke (Micheal) (Rayuan Jenayah No. B-05-83-04/2014) dan

ii. perayu diberi kebebasan merujuk kepada rekod rayuan kes

Micheal semasa rayuan perayu di dengar.

[2] Permohonan ini telah dibenarkan.

Pertuduhan

[3] Perayu seorang warganegara Nigeria telah dipertuduh di

Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan pertuduhan berikut:

‘Bahawa kamu pada 20 Ogos 2011, jam lebih kurang 6.05 pagi, di Blok

5, Desa Satu Apartment, Lorong D1/5, Desa Aman Puri, di dalam

Daerah Gombak di dalam Negeri Selangor Darul Ehsan, telah

mengedar dadah berbahaya iaitu 9189.0 gram Cannabis dan dengan

ini kamu telah melakukan satu kesalahan di bawah seksyen 39B(1)(a)

Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen

39B (2) akta yang sama.’

Page 3: B-05-71-03-2014-1

3

Kes pendakwaan

[4] Pada 20.8.2011 jam 5.15 pagi, Insp. Sherman Jackson Jon Bon

(SP2) setelah diberi taklimat mengenai satu kegiatan pengedaran dadah

di kawasan Desa Aman Puri, Gombak, Selangor telah mengetuai

sepasukan anggota Bahagian Gerakan Operasi Jabatan Siasatan

Jenayah Narkotik, telah bertolak ke Desa Aman Puri.

[5] Pada jam 6.05 pagi ketika SP2 dan pasukannya sampai di Blok 5,

Desa Satu Apartment, Lorong D1/5, Desa Aman Puri, SP2 melihat dua

orang lelaki Afrika yang mana salah seorangnya sedang menarik

sebuah beg dan seorang lagi sedang menggalas sebuah beg.

[6] Apabila SP2 memperkenalkan diri sebagai polis dengan

menunjukkan kad kuasanya, kedua-dua lelaki tersebut telah

melepaskan beg yang dibawa oleh mereka dan melarikan diri. Kedua-

dua lelaki tersebut telah berjaya ditangkap setelah berlaku pergelutan

dalam jarak 5 meter.

[7] Perayu dicamkan sebagai lelaki yang menggalas beg ‘Deuter’

manakala lelaki yang menarik beg ‘Minerva’ telah dicamkan sebagai

Micheal Okene Ekeke (Micheal). Turut ditangkap bersama-sama

mereka dua orang wanita Thailand Miss Sunguya Wongprasertphol

(Sunguya) dan Miss Lampu Nucituen (Lampu).

[8] SP2 kemudian membuat pemeriksaan terhadap beg-beg tersebut

di tempat kejadian dengan disaksikan oleh kesemua tangkapan. Hasil

pemeriksaan, SP2 telah menjumpai 10 ketulan mampat tumbuhan

Page 4: B-05-71-03-2014-1

4

kering disyaki ganja di dalam beg yang digalas perayu manakala bagi

beg tarik oleh Micheal, SP2 telah menjumpai 10 ketulan mampat

tumbuhan kering disyaki ganja.

[9] SP2 membawa pulang kesemua tangkapan dan barang-barang

kes ke IPK Selangor dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Insp.

Syarzana Syarliza bt. Abdul Ghani (SP3).

[10] Hasil analisa, ahli kimia (SP10) mengesahkan bahawa berat

bersih bagi 10 ketul mampat tumbuhan kering yang dijumpai di dalam

beg yang digalas perayu adalah 9189.0 gram dadah jenis Cannabis

manakala berat bersih bagi 10 ketulan mampat tumbuhan kering yang

dijumpai di dalam beg tarik oleh Micheal adalah 9096.7 gram dadah

jenis Cannabis. Cannabis disenaraikan di dalam Jadual Pertama Akta

Dadah Berbahaya, 1952 (ADB).

[11] Perayu dan Micheal telah dipertuduh secara berasingan bagi

kesalahan di bawah s.39B(1) ADB. Sunguya dan Lampu kemudiannya

dilepaskan dengan jaminan bon.

[Di peringkat ini kami hanya menumpukan perhatian kepada kes

rayuan oleh perayu sahaja.]

Dapatan di akhir kes pendakwaan

[12] Hakim bicara memutuskan perayu di lihat sedang menggalas beg

P38 di bahunya. Ini menunjukkan perayu mempunyai pemilikan secara

langsung (actual possession) ke atas dadah di dalam beg tersebut.

Perbuatan perayu membawa dadah tersebut terjumlah kepada

Page 5: B-05-71-03-2014-1

5

perbuatan mengedar seperti yang ditakrifkan di bawah s.2 ADB. Kuantiti

dadah yang banyak menolak kemungkinan dadah tersebut untuk

kegunaan perayu sendiri. Pengetahuan perayu mengenai kandungan

dadah dalam begnya dibuktikan melalui tindakan perayu yang cuba

melarikan diri, bergelut dan melawan ketika hendak ditahan setelah SP2

memperkenalkan dirinya polis.

[13] Kes prima facie telah dibuktikan dan perayu telah dipanggil

membela diri.

Kes pembelaan

[14] Perayu memilih untuk memberikan keterangan secara bersumpah.

[15] Perayu tinggal di Blok 5, Aman Puri, Kepong, Kuala Lumpur

bersama teman wanitanya yang bernama Gigi dan dua orang lagi

kawan lelaki.

[16] Menurut perayu pada malam itu rakannya Micheal yang tinggal di

kawasan kejiranan yang sama telah meminta bantuan perayu dan

teman wanitanya untuk mengambil teman wanita Micheal yang sedang

menunggu di satu perhentian bas. Teman wanita Micheal tidak tahu

jalan ke apartment Micheal di Aman Puri dan telah dihantar oleh

pemandu teksi ke perhentian bas yang salah.

[17] Perayu, teman wanitanya dan Micheal telah pergi ke tempat yang

dimaklumkan. Perayu melihat teman wanita Micheal di perhentian bas

dengan membawa satu beg.

Page 6: B-05-71-03-2014-1

6

[18] Teman wanita perayu dan teman wanita Micheal telah menaiki

teksi dan beredar ke apartment Aman Puri. Perayu dan Micheal tidak

ikut serta kerana hendak membeli makanan.

[19] Perayu dan Micheal telah pulang dengan menaiki bas. Setelah

turun di perhentian bas, mereka berjalan kaki ke apartment mereka.

Perayu melihat beberapa orang yang menaiki motosikal yang mengaku

mereka adalah anggota polis telah menahan mereka. Badan mereka

diperiksa dan tidak ditemui apa-apa barang salah. Dengan berpandukan

alamat yang diberikan oleh perayu, anggota polis itu telah membawa

perayu dan Micheal ke apartment perayu. Tiada barang salah ditemui di

apartment perayu.

[20] Kemudian perayu dan Micheal di bawa ke medan kereta yang

berhampiran blok mereka dan perayu melihat kedua-dua teman wanita

mereka telah ditahan bersama-sama dengan dua buah beg dan satu

beg tangan. Kemudian perayu dan Micheal di tahan.

[21] Menurut perayu beliau dan Micheal tidak membawa sebarang

beg.

[22] Kemudian mereka berempat dibawa sekali lagi ke apartment

perayu. Sekali lagi apartment perayu digeladah. Pada ketika itu beg-beg

itu ditinggalkan di bawah apartment. Kemudian mereka berempat di

bawa balik ke balai.

Page 7: B-05-71-03-2014-1

7

Dapatan di akhir kes pembelaan

[23] Hakim bicara memutuskan pembelaan perayu telah gagal

menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwaan.

Dengan itu pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes mereka

melampaui keraguan yang munasabah. Perayu disabitkan dan

dijatuhkan hukuman mati.

[24] Perayu mengemukakan rayuan ini.

Rayuan

[25] Di hadapan kami perayu membangkitkan dua isu.

[26] Pertama, perayu tidak mendapat suatu perbicaraan yang adil

kerana pihak pendakwaan telah tidak mendedahkan sepenuhnya fakta

yang memihak kepada perayu seperti yang diperuntukkan di bawah

s.51A(1)(c) Kanun Acara Jenayah (KAJ).

[27] Peguam perayu menghujahkan adalah undang-undang yang

mantap bahawa pematuhan ke atas s.51A KAJ adalah mandatori dan

merujuk kepada kes Dato’ Seri Anwar Ibrahim v. PP [2010] 4 CLJ 265 di

mana Mahkamah Persekutuan telah memutuskan:

‘[29] Section 51A CPC (A1274/06) is new. It provides for a mandatory

obligation on the part of the prosecution to supply to an accused

person the first information report made under s.107 CPC, a copy of

any document which would be part of the prosecution’s case and any

Page 8: B-05-71-03-2014-1

8

statements of facts favourable to the defence, (with a safeguard on the

public interest consideration).’

[28] Peguam perayu menghujahkan bahawa pihak pendakwaan telah

tidak menzahirkan bahawa Sugunya dan Lampu telah memberi

percakapan di bawah s.112 KAJ yang memihak kepada perayu di dalam

perbicaraan terhadap Micheal. Keterangan yang dimaksudkan ialah:

i. Sugunya di dalam percakapan s.112 nya (P51-di m.s 314 RR3

di dalam perbicaraan Micheal) mengatakan bahawa:

a. Pada 18.8.2011 beliau telah diberikan 2 beg oleh seorang

perempuan di Thailand apabila bertolak dari Bangkok ke

Danok;

b. Beliau mengambil teksi dari Danok ke Kuala Lumpur di

mana beliau telah bertemu dengan perayu, Micheal dan

Lampu dan mereka kemudiannya ditangkap. Sugunya tidak

menyatakan perayu ada membawa beg.

ii. Lampu di dalam percakapan s.112nya yang pertama (P52-di

m.s 317 RR3 di dalam perbicaraan terhadap Micheal) tidak ada

menyatakan perayu ada membawa sebuah beg, berlawanan

dengan keterangan SP2; dan

iii. Di dalam percakapan s.112 Lampu yang kedua (D58-di m.s

317 RR3 dalam perbicaraan kes Micheal) Lampu mengatakan

semasa ditangkap ‘Pendek’ membawa dua beg. Ini

Page 9: B-05-71-03-2014-1

9

menyanggah keterangan SP2 yang mengatakan perayu

membawa satu beg ketika ditangkap.

[29] Peguam perayu berhujah, kegagalan pihak pendakwaan

mengemukakan fakta ini tergolong kepada suppression of material

evidence di mana andaian di bawah s.114(g) Akta Keterangan, 1950

adalah terpakai terhadap pihak pendakwaan.

[30] Adalah dapatan kami dokumen yang perlu dibekalkan di bawah

s.51A KAJ tidak termasuk percakapan saksi-saksi lain di bawah s.112

KAJ. Perayu hanya layak untuk percakapannya sahaja.

[31] Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang bijaksana di dalam hujahan

balasannya mengakui pihak pendakwaan tidak mengemukakan atau

menawarkan Sugunya dan Lampu kerana kepentingan kedua-dua saksi

ini kepada kes perayu tidak pernah dibangkitkan oleh peguam bicara

perayu semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi. Peguam bicara

langsung tidak mencadangkan bahawa dadah-dadah tersebut adalah

milik Sugunya ataupun Lampu.

[32] Adalah undang-undang yang mantap bahawa perayu perlu

membangkitkan pembelaannya seawal mungkin, di peringkat kes

pendakwaan lagi. Mahkamah Persekutuan di dalam kes Tan Kim Ho &

Anor v. PP [2009]3 CLJ 236 @ 253 telah memutuskan:

‘[33]…….. Even if the plaintiff’s or prosecution’s witness does not say

anything relating to the defence case, it is still the duty of the defence

to bring out his case during plaintiff’s or prosecution’s case. In fact this

duty to disclose his defence during the prosecution’s case is more

relevant in criminal cases than in civil. This is particularly so when the

Page 10: B-05-71-03-2014-1

10

plaintiff or prosecution’s witness is relevant to the fact in issue. In

criminal cases, the prosecution does not know what the defence is

going to be, except in alibi, until the defence adduces its evidence.’

[33] Percakapan Sugunya (P51) dan Lampu (P52 dan D58) yang

dirujuk oleh peguam perayu di dalam hujahannya di hadapan kami

adalah merujuk kepada keterangan di dalam perbicaraan kes Micheal

dan bukannya kes perayu. Di dalam rayuan di hadapan kami persoalan

mengenai percakapan P51, P52 dan D58 langsung tidak diajukan atau

dibangkitkan melalui saksi-saksi pendakwaan iaitu pegawai penangkap

SP2 mahupun pegawai penyiasat, SP3. Dalam hal keadaan begini

peguam perayu tidak boleh menggesa Mahkamah ini menggunakan

peruntukan s.114(g) Akta Keterangan terhadap kes pendakwaan.

[34] Tambahan pula perayu sendiri sekiranya mahu melalui Micheal

(sekiranya dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan perayu) boleh

mengemukakan percakapan-percakapan Sugunya dan Lampu tetapi ini

tidak dilakukan. Kenyataan tersebut juga boleh dibawa masuk melalui

pegawai penyiasat (SP3).

[35] Oleh itu soal suppression of evidence oleh pihak pendakwaan

tidak wujud.

[36] Bagi pihak pendakwaan, mereka telah berjaya membuktikan kes

prima facie mereka tanpa Sugunya dan Lampu, oleh itu tiada keperluan

untuk pihak pembelaan memanggil mereka sebagai saksi.

[37] Tambahan pula, kenyataan s.112 Sugunya dan Lampu hanyalah

suatu kenyataan sahaja yang belum dibuktikan kebenarannya.

Page 11: B-05-71-03-2014-1

11

Kenyataan mereka masih berbentuk exculpatory yang masih tertakluk

kepada pembuktian.

[38] Kami memutuskan isu ini sebagai tidak bermerit.

[39] Di atas isu kedua, peguam perayu berhujah terdapat dua versi

oleh pihak pendakwaan yang bercanggah dalam isu pemilikan iaitu:

i. Versi pertama, melalui keterangan SP2 perayu dan Micheal

masing-masing membawa beg yang berisi ganja; dan

ii. Versi kedua, melalui percakapan s.112 Lampu ‘Pendek’ yang

membawa kedua-dua beg tersebut.

[40] Sebagai kesimpulannya peguam perayu menghujah sabitan

perayu adalah tidak selamat.

[41] Kami berpendapat pihak pendakwaan tidak mengemukakan dua

versi. Versi pertama adalah versi pihak pendakwaan sementara versi

kedua adalah versi pembelaan.

[42] Walaupun Sugunya dan Lampu tidak ditawarkan sebagai saksi,

pihak pembelaan masih boleh membawa masuk kenyataan-kenyataan

Lampu dan Sugunya (P51, P52 dan D58) melalui perayu di bawah

s.32(1)(i) Akta Keterangan, tetapi ini tidak dilakukan.

[43] Hakim bicara di m.s 165 dan 166 RR2 penghakiman memutuskan:

Page 12: B-05-71-03-2014-1

12

‘Dari aspek pengetahuan pula, untuk menghubungkan OKT sebagai

mempunyai pengetahuan terhadap dadah Cannabis yang dijumpai itu,

apa yang dihujahkan oleh pihak pendakwaan, ada meritnya bilamana

dihujahkan bahawa OKT mempunyai pengetahuan tentang kewujudan

dadah Cannabis tersebut. Reaksi OKT yang dikatakan melawan dan

berlaku pergelutan ketika dadah tersebut ditemui oleh SP2, jelas

menunjukkan bahawa OKT mengetahui akan terdapatnya dadah di

dalam ekshibit-ekshibit tersebut. Reaksi OKT tersebut adalah

konsisten dengan kewujudan dadah yang dijumpai. Ditambah pula

dengan keterangan yang OKT dilihat sedang menggalas beg tersebut

dikedua-dua bahunya. Tambahan lagi, selepas SP2 memperkenalkan

diri sebagai polis, OKT cuba melarikan diri. Mengapa hendak

melarikan diri hanya semata-mata pihak polis memperkenalkan diri?

Inferens yang boleh dibuat ialah, OKT mengetahui bahawa di dalam

beg galas P38 yang digalasnya itu mengandungi barang salah. Dan

barang salah itu adalah dadah-dadah Cannabis yang dimaksudkan.’

[44] Terdapat keterangan dari SP2 bahawa selain memperkenalkan

dirinya sebagai polis semasa operasi, anggota pasukannya juga

memakai police vest luminous (lihat m/s 19 RR1) dan keterangan ini

tidak dicabar oleh pembelaan. Sekiranya perayu tidak menggalas beg

yang berisi dadah, apa perlu beliau melarikan diri dari polis iaitu suatu

‘conduct’ yang relevan di bawah s.8 Akta Keterangan. Perayu gagal

memberikan penjelasan mengapa beliau melarikan diri seperti yang

diperuntukkan oleh peruntukan s.9 Akta yang sama: Lihat Parlan Dadeh

v. PP [2008] 6 MLJ 19.

[45] Kami juga bersetuju dengan dapatan hakim bicara di akhir kes

pembelaan (di m.s 178 RR2):

Page 13: B-05-71-03-2014-1

13

‘Namun selepas menganalisa serta menimbangkan kepada isi

pembelaan tersebut, didapati yang pembelaan tersebut hanyalah

merupakan satu penafian semata-mata tanpa disokong oleh mana-

mana keterangan yang lain. Walaupun dinafikan hakikat yang beg

galas P38 itu dan isi kandungannya itu masih digalas oleh OKT di

bahunya sendiri semasa pemantauan dilakukan oleh saksi-saksi pihak

pendakwaan khususnya SP2, itu sukar dinafikan. Pembelaan OKT

seolah-olah ada orang ketiga terlibat sama di dalam insiden tersebut,

jelas merupakan suatu rekaan dan ‘after-thought’ demi untuk

melepaskan dirinya sahaja. Ia tidak langsung dibangkitkan semasa

saksi-saksi pendakwaan memberikan keterangan. Membangkitkannya

hanya di peringkat pembelaan adalah sesuatu yang amat meragukan

dan sukar untuk dipercayai. (Lihat keputusan Chua Beow Huat v. PP

[1970] 2 MLJ 29 dan PP v. Selvaraju Mudaliar a/l Kalliparamal [2006] 3

MLJ 784).

Keterangan-keterangan dari saksi pendakwaan terutamanya dari

SP2 jelas menunjukkan bahawa semasa beliau tiba di tempat

kejadian, beliau nampak OKT sedang berjalan dalam keadaan

menggalas beg di baju di dalam keadaan yang mencurigakan, lalu

kemudiannya telah bertindak menahan OKT. Sebaik sahaja beliau

memperkenalkan diri sebagai polis, OKT telah cuba melarikan diri

namun OKT berjaya ditangkap.

Saya mendapati yang pembelaan yang dikemukakan oleh OKT

jelas tidak mempunyai merit. Pembelaan yang dikemukakan itu adalah

sesuatu yang tidak munasabah dan tidak ‘credible’.

Kesimpulan

[46] Kami berpuashati bahawa pihak pendakwaan telah berjaya

membuktikan kes mereka terhadap perayu melampaui keraguan yang

munasabah. Kami dapati rayuan perayu tidak bermerit. Sabitan dan

Page 14: B-05-71-03-2014-1

14

hukuman ke atas perayu adalah selamat. Kami sebulat suara menolak

rayuan ini.

t.t

ZAKARIA SAM

Hakim

Mahkamah Rayuan Malaysia

Tarikh: 20 April 2016

Mewakili perayu:

Hisyam Teh Poh Teik

(Gurmit Singh Hullon bersamanya)

[Tetuan Teh Poh Teik & Co]

Mewakili responden:

Tengku Intan Suraya bt. Tengku Ismail

Timbalan Pendakwa Raya

Jabatan Peguam Negara