221 contoh watak dari jmk 221
TRANSCRIPT
Kebanyakan penulis wanita cuba menonjolkan imej wanita melalui karya mereka .
Bahaskan kenyataan ini dengan merujuk kepada novel Fatimah Busu dan Khadijah
Hashim.
1. Pendahuluan
Mengikut Rene Welek dan Austin Warren (1988), karya sastera merupakan
dokumen sosial masyarakat penciptanya. Kita dapat mengenali manusia yang wujud
dalam dunia realiti melalui karya sastera. Oleh sebab itu karya sastera dapat dikaji
sebagai dokumen sosial dan sebagai gambaran tentang realiti sosial.1
Mengikut A. Wahab Ali, untuk melihat Imej beliau menggolongkan watak-watak
yang hendak dibicarakan kepada tiga golongan berdasarkan ciri-ciri tradisional, transisi
dan moden yang terdapat pada watak-watak itu.2
Didalam menggolongkan watak atau mencari imej watak yang terdapat di dalam
kedua-dua novel ini, penggolongan berdasarkan ciri-ciri tersebut bagi saya adalah tidak
sesuai. Apa yang perlu dicari ialah seberapa banyak imej wanita yang di tonjolkan oleh
pengarang dalam kedua-dua novel walaupun ia tidak melibatkan watak utama dan hanya
sebuah kenyataan pendek ataupun dialog.
1 Rene Welek dan Austin Warren. 1988. Teori Kesusasteraan, Terj. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.
2 A. Wahab Ali, 1989. Imej Manusia dalam Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
1
Jika kita terlalu mengkaji watak utama sudah tentu kita tidak akan menjumpai apa
yang dikehendaki oleh tajuk. Kita mungkin akan menyebabkan watak yang dikaji akan
diwarnai oleh kita sendiri sama ada putih seputihnya atau hitam sehitamnya. Kajian kita
sudah tentu akan dipengaruhi watak utama walaupun menurut A. Wahab Ali (1989:121-
124):
Memang ada cara penggolongan lain yang boleh digunakan untuk melihat imej
mereka ini umpamanya berdasarkan sifat perwatakan buruk baiknya seperti yang
dilakukan oleh Anis Sabirin. Berdasarkan imej tertentu daripada wanita itu seperti
yang dilakukan oleh Siti Aishah Mat Ali, akan tetapi kedua-dua cara ini ada
kelemahannya. Cara yang tersebut tidak dapat gambarkan imej wanita dengan
tepat.
2. Biodata penulis
2.1 Fatimah Busu
Fatimah Busu dilahirkan pada bulan Januari 1943 di Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu,
Kelantan. Setelah tamat pendidikan formalnya di sekolah rendah dan menengah, beliau
menyambung pengajian dengan mengikuti kursus perguruan di Maktab Perempuan
Melayu, Durian Daun, Melaka. Kemudian, beliau berkhidmat sebagai guru untuk
beberapa tahun. Pada awal dekan 1970-an, Fatimah Busu menyambung pengajian
tingginya di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Berkat kesungguhannya
dalam bidang akademik, Fatimah Busu memperoleh Ijazah Sarjana Sastera (1978) dan
2
Doktor Falsafah (1994) di universiti yang sama. Kemudian beliau bertugas sebagai
pensyarah sehingga bersara pada tahun 1998. Kini beliau berkhidmat secara kontrak
sebagai penyarah di USM3.
Dalam jagat kesusasteraan tanah air, genre cerpen dan novel telah menonjolkan
bakat kepengarangan Fatimah Busu. Sehingga kini, beliau telah menghasilkan tiga
kumpulan cerpen iaitu Lambaian Tanah Hijau (DBP, 1980), Yang Abadi (Teks
Publishing, 1980) dan Al-Isya' (Teks Publishing, 1985). Sebanyak 10 buah cerpennya
pernah memenangi Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia. Cerpen-cerpen
yang berjaya ialah "Mawar Yang Belum Gugur." (1971); "Nasinya Tumpah" (1972),
"Freshie" dan "Lambaian Tanah Hijau" (1973); "Bunga-bunga Pulau" dan " Sampah
Yang Hanyut" (1974); "Anak Bumi Tercinta" dan "Anak-anak dari Kampung Pasir
Pekan" (1975); "Mahar Asmara" (1983/1984) dan "Al-Amin" (1984/1985). Manakala
genre novel yang dihasilkan, iaitu "Ombak Bukan Biru" dan "Kepulangan". Antologi
puisinya yang terbaru "Apa Ada Di Sana (Versi Dunia)" telah diterbitkan pada tahun
2004 4.
Hasil pena terkini Fatimah Busu ialah "Ada Apa Di Sana (Versi Dunia)" (Pustaka
Nusa,2004), "Salam Maria" (Absolute Publications, 2004), "Keajaiban Alam" (Pekan
Ilmu Publications, 2004) dan "The Missing Piece Bah. 1 (Citra Kurnia Ent., 2005).
3 http//www.ujanailmu.com.my
4 http//www.ujanailmu.com.my
3
2.2 Khadijah Hashim
Khadijah Hashim dilahirkan di Batu Pahat, Johor dan mendapat pendidikan di
sekolah Melayu, Inggeris dan Agama. Mula-mula beliau bekerja sebagai seorang guru
agama tetapi kemudiannya lebih meminati bidang kewartawanan. Beliau mula-mula
menjadi seorang wartawan di Utusan Melayu tetapi kemudiannya berpindah ke Berita
Harian. Sewaktu masih menjadi guru lagi, beliau sudah mulai menulis. Dia merupakan
seorang penulis yang banyak memenangi Hadiah Sastera Nasional khususnya untuk
cerpen. Kebanyakan dari cerpen-cerpen beliau adalah mengenai persoalan keluarga
terutamanya keadaan rumahtangga. Selain dari menulis cerpen beliau juga menulis novel
dan drama radio. Beliau dianggap sebagai salah seorang dari penulis-penulis wanita yang
paling produktif kerana banyak menghasilkan karya-karya. Badai Semalam merupakan
novelnya yang pertama yang diterbitkan pada tahun 1968.
3. Sinopsis
3.1 Sinopsis Novel Kepulangan
Novel Kepulangan memaparkan watak Tuk Cik iaitu perempuan tua yang ada
beberapa orang anak. Kesusahan hidup yang dilalui oleh keluarga wanita ini dipaparkan
oleh pengarang dengan berlatarkan keadaan kampung tradisional. Watak Tukcik
mengutamakan pengorbanan dan ketaatan kepada suami dan seterusnya memelihara
anak-anak selepas kematian suami. Tuk cik seorang yang penyayang kepada anak-anak
mereka. Tuk cik telah menggunakan seluruh kehidupannya turut membantu penduduk
kampungnya yang bernasib malang dan dalam serba kekurangan. Wanita yang
mempunyai pelbagai masalah dan dihimpit penderitaan bangun di kampungnya untuk
4
hidup dan membesarkan anak-anak.Walaupun hanya seorang anak yang berjaya
mencecahkan kaki ke menara gading namun kejayaan membesarkan anak dan
menghadapi liku-liku hidup itulah kejayaan yang sebenar yang seharusnya dicapai oleh
setiap manusia. Kasih sayang seorang ibu kepada anak-anak yang diberikan oleh wanita
ini menjadikan kepulangan satu novel yang dapat mengimbau kembali kenangan kita
kepada zaman kehidupan di kampung.
3.1 Sinopsis Novel Badai Semalam
Badai Semalam pula meninjau cinta dari pelbagai aspek. Watak-watak utama
dalam novel ini ialah Mazni, Zaki dan Karim. Cerita banyak tertumpu kepada watak
utama, Mazni. Cintanya kepada ibu tua yang membesarkannya. Cintanya terhadap Zaki,
kawan baik yang selalu membimbingnya. Zaki juga mencintai Mazni secara diam.
Namun, cinta sahaja tidak cukup untuk menjamin kebahagiaan. Mazni tewas dengan
Karim yang digambarkan sebagai seorang yang tahu apa yang dia mahu lantaran
kedudukannya sebagai seorang anak dari keluarga berada. Zaki mengalah kecewa. Mazni
tersepit di antara budi dan cinta.
Watak Mazni yang ditonjolkan dalam cerita ini disamapaikan oleh pengarang
sebagai seorang wanita yang cekal bangun membina kehidupan baru di atas kegagalan
masa silam. Sebagai seorang manusia yang diduga dengan pelbagai dugaan. Mazni dan
ibunya walaupun menumpang tetapi masih menjaga hati dan perasaan Cik Rohana (ibu
Karim) sekeluarga. Demi visi hidupnya dia sanggup berkorban apa saja. Beliau
5
menghadapi kehidupan di dunia dengan seadanya dan baginya kehidupan di dunia adalah
untuk mendapat keredhaan Allah s.w.t.
Novel berlatarbelakangkan Negeri Johor ini dengan watak Mazni, seorang gadis
yang tabah, sabar dan bersemangat kuat, ideal, bertolak ansur untuk mencapai
kemenangan. Menurut A. Ghani Hamid (1968 : Radio Singapura) menjelaskan ;
“Badai Semalam” merupakan kisah kritik masyarakat yang menyemai bibit-
bibit keinsafan dan menarik perhatian kepada keruntuhan akhlak, ekonomi dan daya
fikir”
Khadijah Hashim dalam novel tersebut di beberapa tempat mengambil bahagian
untuk membuat komen sinis atau pun memberi nasihat kepada pembaca5. Pengarang juga
cuba menonjolkan Mazni sebagai seorang wanita yang dapat dicontohi oleh wanita-
wanita lain, wanita yang mempunyai semangat untuk hidup dinamis sesuai dengan
masyarakat moden sekarang. Ia adalah gadis yang tidak buai angan-angan, tidak hanya
bercita kosong tetapi berusaha untuk melaksanakan cita-citanya itu. Imej yang
ditonjolkan oleh pengarang menjadi lambang gadis moden yang bersemangat kental,
waja gadis yang ‘ideal’ (sempurna). Dia adalah gadis yang sempurna.
Mengikut A. Wahab Ali, Badai Semalam adalah novel yang ditulis oleh
pengarang wanita yang beliau anggap istimewa kerana menyelitkan aspek kehidupan dari
kaca mata wanita. Novelnya amat sederhana dari segi struktur tetapi dapat menonjolkan
imej wanita yang agak luar biasa juga6
5 Abdullah Hussain, Dewan Bahasa, (Februari 1969)6 A. Wahab Ali, 1989. Imej Manusia dalam Sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
6
4. Persoalan Tugasan
Bersesuaian dengan tajuk tugasan, “Kebanyakan penulis wanita cuba
menonjolkan imej wanita melalui karya mereka . Bahaskan kenyataan ini dengan
merujuk kepada novel Fatimah Busu dan Khadijah Hashim”, maka persoalan utama yang
akan dikupas dalam tugasan ini ialah sejauh mana imej wanita yang cuba ditonjolkan
oleh pengarang wanita dalam karya mereka dapat menonjolkan imej wanita. Di dalam
kedua-dua novel ini kita dapat lihat imej wanita kadang-kadang ditonjolkan secara tidak
sengaja oleh pengarang.
Langkah awal membaca beberapa novel karya Fatimah Busu dan Khadijah
Hashim telah menyebabkan saya memilih novel “Kepulangan” karya Fatimah Busu dan
“Badai Semalam” karya Khadijah Hashim sebagai teks tugasan.
Walaupun sarat dengan loghat Kedaerahan dan teknik imbas kembali dalam novel
“Kepulangan” tulisan Fatimah Busu dan kisah cinta seorang wanita dalam novel “Badai
Semalam” tulisan Khadijah Hashim, imej wanita dalam kedua-dua novel itu tidak sukar
untuk dikesan malah banyak ditonjolkan.
Memang benarlah penulis wanita banyak memuatkan imej wanita dalam karya
mereka. Saya bersetuju seratus peratus penulis wanita banyak menonjolkan imej wanita
7
dalam karya mereka walaupun imej itu tidak melibatkan watak utama dan ditonjolkan
secara tidak sengaja. Kedudukan wanita dalam bidang ekonomi, wanita dalam bidang
pendidikan, imej wanita yang jahat mulutnya, wanita sebagai isteri, wanita sebagai ibu
dan gambaran wanita dalam kehidupan sehari-hari memang banyak ditonjolkan.
Justeru itu, maka tidak hairanlah penulis wanita yang lahir di tengah-tengah
budayanya akan cuba untuk memaparkan imej dan budaya mereka. Kreativiti yang
diperolehi sebahagiannya adalah hasil daripada pengalaman budaya di dalam
masyarakatnya dan kemudian dihasilkan dalam bentuk karya sama ada dalam bentuk
puisi atau prosa.
Seorang penulis tidak dapat lepas dari pengaruh sosiobudaya masyarakatnya.
Latar sosiobudaya dapat dilihat melalui watak-watak yang dikemukakan, sistem
kemasyarakatan, kesenian, dan benda-benda kebudayaan yang terungkap dalam karya
karya sastera. Dalam hubungan ini, maka tidak hairanlah jikalau hasil karya yang ditulis
oleh Fatimah Busu cuba memaparkan imej wanita Pantai Timur dan Khadijah Hashim
cuba memaparkan imej wanita di Selatan tanah air.
8
5.0 Imej Wanita
5.1 Wanita Sebagai Perancang
Dalam kedua-dua novel ini kita dapat melihat pengarang cuba menonjolkan imej
wanita sebagai seorang perancang. Wanita-wanita ini merancang masa depan dengan
baik sekali. Kita dapat lihat di dalam novel kepulangan, Tuk Cik sewaktu dalam
perjalanan pulang dari kampung keluarganya di Murat telah merancang bagaimana
menggunakan buluh untuk dijadikan dinding pelupuh dan membuat atap nipah. Perkara
ini dapat dilihat daripada beberapa petikan yang berikut:
“Buat dinding tidak payah mana. Kalu demo bawa balik buluhnya, kita
sendiri boleh belah, boleh kerisik, lepas tu anyam buat dinding. Kalau buat dinding
berkelara itu bolehlah kata payah” .(halaman 40 Novel Kepulangan)
`Demo balik ini, teruslah tebas daun nipah. Kita boleh berkas dan rendam
terus dalam kubang. Esok lusa boleh jahit, ingat payah sangatkah`(halaman 40
Novel Kepulangan)
`Kalu banyak , kita boleh buat tapai ubi kayu. Goreng celup tepung, tentu
laku kalau jual tepi jalan itu… orang jual kuih-kuih di sana tidak ada, ada tidak
adanya Makngah Cik Wan saja’. (Halaman 43 Novel Kepulangan)
Perancangan dari awal untuk membuat sebuah rumah membuatkan wanita itu
berusaha berperingkat-peringkat. Walaupun nampak mudah hasil kerja yang hendak
9
dicapai namun perancangan awal yang dibuat telah membawa kejayaan.Tuk cik yang
sudah membuat perancangan awal walaupun sudah berbadan dua namun dia masih
mampu menjalankan kerja berat dan menggunakan kepandaiannya dalam membuat
anyaman dinding pelupuh, menjahit atap dan membelah buluh. Keadaan ini dapat dilihat
dalam beberapa petikan seperti di bawah ini:
“Waktu itu sudah lekat perut tiga bulan. Patutlah Muyam itu feel buruk,
apa tidaknya baru dalam kandungan tiga bulan kena panjat rumah bubuh atap
sendiri di serambi. Belah buluh, anyam buat dinding pelupuh, jahit atap, tebang
batang bemban kicap untuk buat jahit atap. Macam-macam kena buat sendiri”.
Halaman 45 Novel Kepulangan .
Begitulah Tuk Cik, walaupun seorang wanita dan tidak berpendidikan namun
beliau merancang dan berusaha bagi memberikan kehidupan yang selesa kepada keluarga
barunya walaupun terpaksa menumpang di rumah Tuk Urai dan seterusnya menumpang
di tanah Bidin.
Di dalam Badai Semalam Mazni merancang hidupnya sendiri, beliau berhenti
sekolah dan mencari pekerjaan. Beliau berkorban dengan berhenti sekolah kerana tidak
mampu untuk menanggung sara hidup bersama ibunya yang sudah tua. Walaupun sudah
berhenti Mazni tetap belajar dan ini menunjukan beliau mempunyai perancangan
hidupnya.
10
`Maz fikir dah sampailah masanya Maz mesti berkorban untuk untuk
Mak……….! Mak sekarang sakit, perlukan wang untuk berobat. Jadi Maz berniat
untuk mencari kerja aja….’ Halaman 26 Badai Semalam.
Kita juga dapat melihat wanita ditonjolkan sebagai perancang namun begitu tidak
semua yang dirancang akan menjadi. Contohnya di dalam novel Badai Semalam, bila
Zaki menagih cinta dari Mazni setelah kematian Karim, Mazni tidak berani berjanji
ataupun menjanjikan apa-apa kerana pengalaman yang lepas menjadi pengajaran
kepadanya. Ia cuma menyatakan kepada Zaki
“Kalau Takdir mengatasi tadbir, kita akan bertemu. Dan akan sama-sama
ke bibir Selat Teberau ini …….” (Halaman 187).
Mazni takut untuk berjanji kerana “Tidak semua yang dirancang itu berlaku
sebagaimana yang dijangka”. Memanglah manusia mampu merancang tapi tidak dapat
menguasai Takdir.
5.2 Kedudukan wanita dalam bidang ekonomi
Pengarang memaparkan watak Tuk Cik bersama dengan anak-anak
perempuannya berusaha mendapatkan pendapatan yang lebih baik daripada usaha yang
mereka lakukan. Beliau berjaya menambahkan pendapatan keluarga dan berjaya
menampung kehidupan dengan menyewakan kisaran dan lesung dan menjalankan
11
perniagaan jualan kuih – muih di kedai atas pasir tepi sungai.Keadaan ini dapat dilihat
daripada petikan halaman 46 dan 47 seperti di bawah:
“Semuanya telah ada di rumah.Orang dari hujung Pasir pun kadang-
kadang datang hendak sewa kisaran dan lesung hindik di rumah. Dapat sewaan
beras secupak dua tiap-tiap hari, sudah lepas makan beras sendiri. Halaman 46
Petang –petang bila lepas asar selalunya Tuk Cik mula angkut anak-anak bawa
ke bangsal , lepas itu angkut kuih-kuih pula yang hendak dijual bagi mencari rezaki
tambahan membantu keluarga.
Walau pun mendapat upah yang tidak seberapa dan hanya mampu menampung
hidup buat sementara, kesusahan yang dialami turut mengajar wanita erti hidup, imej
kental seorang wanita dalam mencari rezeki dapat dilihat di halaman 77 novel
Kepulangan.
“Sekali ingat lagi, kalau perempuan yang tidak ada anak hendak dijaga,
hendak digendong, hendak disusu, tidak lengkap sifat-sifat perempuan rasanya.
Anak-anak ramai pun , cari makan tidak pernah putus. Semua kerja telah buat.
Apa pun ada, kalau hendak upah pergi tawar diri. Ambil upah mengirik padi
sampai beratus gemal sehari, ambil upah mengetam padi sampai junjung terpeleot
tekak. Asal boleh makan anak-anak senang hati, tidak dapat buat harta pun tidak
apa”.
Di dalam Badai Semalam kita juga dapat melihat watak wanita bekerja bekerja
bagi menampung kehidupan. Mazni, ibunya dan Mak Atun tabah menjalani kehidupan
12
dengan bekerja bagi menampung sara hidup. Mazni yang terpaksa berhenti sekolah
bekerja di bank. Keputusan berhenti sekolah dan bekerja yang diambil oleh Mazni
walaupun dengan rasa yang berat telah dapat merubah nasib mereka sekeluarga.Ini dapat
dilihat di halaman 27 Badai Semalam.
”Maz faham..... Tapi Mak, keputusan Maz ni bukanlah bererti Maz sudah
berubah sikap, Maz sudah berubah hati, Maz tak ada cita-cita tinggi! Tidak. Cita-
cita untuk belajar terus tu tetap bersemadi di dada ni. Percayalah! Maz akan
meneruskan pelajaran Maz bila hidup kita pulih semula. Fahamilah hati Maz ni,
Mak....!”
Di halaman 14 Badai Semalam kita juga dapat lihat Mak Atun sibuk dengan
tugasnya sebagai pembantu rumah. Kerja yang dijalankan oleh Mak Atun menunjukkan
imejnya sebagai wanita. Beliau rajin menyediakan makan-minum, mengemas rumah dan
menjaga orkid tuan rumah namun itulah yang mampu dilakukan oleh wanita itu untuk
menyara hidup. Walaupun sering berulang alik dari rumah sendiri, miskin, mempunyai
anak yang ramai dan suami berkerja sebagai penarik beca roda tiga tetapi dia seorang
amah yang bertanggung jawab dan kerjanya.
5.3 Kedududukan wanita sebagai ibu dan pengorbanan wanita
Pengarang kedua-dua novel cuba menonjolkan imej wanita sebagai seorang ibu.
Imej wanita yang mengambil berat pasal anak-anak ditonjolkan oleh pengarang . Imej ibu
yang penyayang dan baik hati ditonjolkan oleh pengarang dan di garap sebaik mungkin
13
oleh pengarang. Perbandingan tugas wanita dulu berbanding sekarang sebagai seorang
ibu juga di tonjolkan. Perkara ini dapat dilihat dihalaman 76 novel kepulangan,
“Ingat sekali memang susah pelihara anak-anak, semenjak kecil hingga ke
tua. Bukan macam orang-orang sekarang bela anak, kata sahaja beranak, yang
jaga, yang beri makan, yang beri susu orang lain. Bila sudah pandai berjalan,
pandai berak kencing bertempat, baru duduk dengan diri sendiri”
Berbanding dengan wanita sekarang, wanita dulu menjaga anak dengan sepenuh
hati. Ini dapat di lihat dalam novel kepulangan. Timah dijaga oleh tuk cik dengan sebaik
mungkin, walaupun ia anak bongsu tetapi kasih sayang dan penjagaan yang diberi oleh
ibu yang penyayang seperti tuk cik kepada Timah adalah sama seperti anak-anak yang
lain.
“Bukan macam dulu, kalu beranak memang beranak sungguh-sungguh,
toreh getah pun anak duduk tergendong di atas belakang. Mengetam padi pun anak
duduk tidur tergolek dalam jerami bawah saman buruk atau kajang buruk tengah
panas berdiri”.
Tetapi bila teringat anak-anak sakit, anak-anak mati, rasanya bagai hancur
luluh jantung hempedu. Berbulan, bertahun-tahun tidak boleh hilang lagi.
Begitulah, semenjak muda-muda dulu hingga kehari ini. Halaman 77 novel
Kepulangan.
14
Tulisan ini turut menunjukkan sifat keibuan seorang wanita yang bergelar ibu
yang menyayangi anaknya tidak dapat menggambarkan kepiluan seorang wanita yang
bergelar ibu bila anak-anak sakit atau mati.
Sifat keibuan yang ada dalam diri seorang ibu yang inginkan anak berjaya dan
pandai sebagai mana anak orang lain telah di tonjolkan oleh penulis di halaman 27 Badai
Semalam.
“Mak ! Maz merasakan apa yang mak rasakan, Maz sedar bagaimana
besarnya erti ilmu pengetahuan pada setiap manusia di zaman serba maju ni. Maz
faham……”
Impian melihat anak menjadi manusia yang berpelajaran tinggi walaupun
dicengkam penderitaan tetap ada dalam diri setiap wanita. Berbekalkan ilmu didada
sudah tentu menjamin kebahagiaan masa depan dan inilah yang diimpikan oleh setiap
wanita yang bergelar ibu.
Cik Bibah digambarkan sebagai seorang ibu yang berhati mulia, mungkin dari
keluarga baik-baik yang tahu mengenang budi bak kata orang “hutang emas boleh
dibayar,hutang budi dibawa mati”. Ia selalu berpesan pada Mazni supaya menghargai
orang lain dan menasihati anaknya.
15
“Hidup mesti tahu menghargai budi orang” halaman 103 Badai Semalam.
Cik Bibah tahu siapa dirinya serta kedudukannya, sering menasihati anaknya. dan
sebagai seorang ibu beliau menghormati bekas tuan rumahnya anak beranak. Pernah
suatu ketika, sebaik saja Mazni pulang, Cik Bibah segera menyuruh Mazni naik ke
tingkat atas rumah dua tingkat itu kerana Karim ingin benar bertemu dengannya. Sebagai
seorang ibu, cik Bibah turut mengutamakan tuan rumah itu anak beranak.
Sebagai wanita yang bergelar ibu, isteri kepada seorang suami serta seorang anak
kepada seorang ibu. Imej seorang wanita yang sentiasa berkorban demi orang lain dan
ingin berdikari memang ada dalam diri setiap wanita. Walaupun susah dan menghadapi
berbagai dugaan, pengorbanan yang ada dalam diri wanita walaupun tidak nampak tetapi
tetap ada.
“Sudah beranak berbini, rasanya hendaklah tinggal sendiri pula. Ada
rumahtangga sendiri, tidak kacau serabut dengan orang, Makan nasi campur
garam pun orang kata di rumah sendiri” halaman 34 Kepulangan.
Petikan ini menunjukkan pengarang cuba menonjolkan imej wanita yang sanggup
menghadapi risiko walaupun terpaksa bersusah payah dahulu.
Pengorbanan Mazni yang sanggup berhenti sekolah, lalu mencari kerja semata-
mata untuk membiayai belanja perubatan ibunya dan mengenepikan cita-citanya
walaupun tersiksa untuk membuat keputusan itu menunjukkan kasih Mazni pada ibunya
16
melebihi segalanya. Inilah imej wanita yang cuba ditonjolkan oleh pengarang. Ini dapat
dilihat dalam petikan kata-kata Mazni yang berbunyi;
”Aku mesti membela nasib ibuku dulu sebelum aku membela nasib diriku
sendiri” Halaman 37
Pemberhentiannya dari sekolah itu merupakan satu pengorbanan untuk ibu yang
tercinta. Ia terlalu sayangkan ibunya.
”Didakapnya ibu tua itu erat-erat dengan tangisan yang menyayat hati”
halaman 15
5.4 Gambaran wanita dalam kehidupan sehari-hari.
Penulis di dalam kedua-dua novel juga menggambarkan pelbagai gambaran
tentang kehidupan sehari-hari wanita dalam penulisannya. Di dalam kedua-dua novel
banyak imej wanita di tonjolkan antaranya sikap ipar duai wanita dalam hubungan
keluarga,wanita yang garang, suka berleter, jiran yang suka menjaga tepi kain orang iaitu
mengumpat serta wanita yang jahat mulutnya
‘Susah duduk dengan ipar biras yang sama-sama ada anak kecil. Anak-anak
yang kerkah , ibu-ibu yang cakar muka’.halaman 34 Novel Kepulangan
17
Di dalam novel Kepulangan Halimah ditonjolkan sebagai ipar yang tidak senang
hati dengan iparnya yang lain dan jahat mulutnya jadi kita dapat melihat imej wanita
yang suka berleter telah wujud sejak dulu lagi dan dileteri sudah menjadi asam garam
bagi wanita yang bergelar menantu.
“Pagi-pagi buta sudah siap sedia di dapur masak untuk semua orang, mana
hendak jaga anak sendiri, laki sendiri. Kalau tanak nasi kena seperiuk besar, kalau
tidak, tidak cukup untuk semua orang . Kalau nasi tidak cukup, si tua pandai
meleber saja”.halaman 34
Di dalam novel Badai Semalam contoh yang dapat kita ambil ialah sikap Cik
Mahani dan Cik Ainun yang di gambarkan oleh pengarang sebagai wanita yang suka
mengumpat orang serta bermulut jahat, mereka berdua sering melemparkan tomahan
yang buruk kepada orang lain. Mereka turut membuang masa dengan memperkatakan
perihal orang lain.
Wanita sebenarnya mempunyai tugas yang berat untuk mendidik anak-anak
mereka supaya menjadi manusia yang berguna tetapi mereka tidak berbuat demikian.
Anak-anak mereka dibiarkan berpeleseran dengan laki-laki. Mereka Cuma pandai
mencaci muda-mudi tanpa meneliti keadaan keluarga mereka sendiri. Begitulah yang
berlaku pada hari ini. Watak yang ditonjolkan sudah tentu mewakili segelintir wanita
yang ada di atas dunia ini yang memang suka menyusahkan orang.
18
“Hai …! Dah anulah tu…., sebab tu terburu-buru dinikahkan oleh Cik
Rohana. Kalau tidak ada apa-apa masakan budak tengah sekolah tu dikerah
bernikah…..” Halaman121 Badai Semalam.
Sikap wanita yang suka mengumpat menyebabkan Ibu Mazni begitu kecewa lagi
apabila mendengar tomahan fitnah dari orang tentang Mazni yang berkelakuan tidak
senonoh itu. Keadaan wanita yang ditonjolkan oleh pengarahg memberi contoh tentang
imej wanita yang suka memburukkan orang lain masih ada pada hari ini.
”Oh..... patutlah. Perempuan tak sedar diri. Kita tak layan keletah anak
daranya. Dia buat kacau pulak. Hemm... manusia . Mak jangan dengar cakap Cik
Mahani tu. Dia sengaja hendak menjahanamkan kita... Tak apa, biar saya ajar
mukanya. Melampau sangat. Buat mulut yang bukan-bukan.” halaman 130 Badai
Semalam.
”Duduk dengan mertua –saya, datuk-nenek orang hendak bergerak
sejengkal pun tidak kena , hendak sentuh beras sebiji pun tidak kena. Kerja
tunggang-tonggek macam babi tanah, maki seranah kena telan hari-hari” halaman
37 Kepulangan.
Dalam kedua-dua petikan di atas yang walaupun salah satu diluahkan oleh watak
lelaki namun ianya menggambarkan betapa marahnya watak tersebut. Di dalam dialog
19
pertama Karim amat marah kepada Cik Mahani dan didalam dialog kedua
menunjukkkan bahawa watak tok cik marahkan Halimah dan mertuanya yang sentiasa
tidak berpuas hati dengan dirinya. Dari kedua-dua dialog ini kita dapat melihat
bahawasanya terdapat watak wanita yang tidak disukai oleh orang lain. Walaupun dialog
tidak ditujukan secara terus kepada watak namun ianya dapat mengggambarkan rasa
tidak puas seseorang kepada watak yang terlibat yang jahat mulut.
Kesimpulan
Setelah membaca, memahami dan mengkaji kedua-dua novel, imej wanita yang
ditonjolkan oleh pengarang memang ada.Jadi jelaslah pada kita sekarang, di dalam
kedua-dua novel karangan wanita ini pengarang cuba menonjolkan imej wanita dengan
begitu baik sekali.
Walaupun di dalam kedua-dua novel ini pengarang kurang menonjolkan imej
wanita yang bertakwa dan melakukan ibadat dengan jelasnya sebagaimana yang terdapat
dalam novel Salam Maria tetapi sekiranya semua wanita Islam mengikuti keyakinanan
dan keikhlasannya beribadat kepada Allah sudah pasti dunia ini akan menjadi aman dan
sentosa kerana sesuai dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Sesungguhnya
dunia ini dipenuhi dengan perhiasan yang indah-indah, tetapi tidak ada perhiasan yang
lebih indah daripada wanita yang soleh” (Ibn. Majah, 1981, 1: 596 dalam Andek Masnah,
1999: 24).
20
Rujukan
A. Wahab Ali, 1989. Imej Manusia dalam Sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Andek Masnah Andek Kelawa. 1999. Kepimpinan wanita dalam Islam. Bangi: Penerbit
Universiti Kebangsan Malaysia.
Muhammad Ali Al-Hashimi. 1998a. Keperibadian Wanita Muslimah. Jilid 1. Terj.
Bandar Baru Bangi: Maktabah al-Qardhawi.
Muhammad Ali Al-Hashimi. 1998b. Keperibadian Wanita Muslimah. Jilid 11. Terj.
Bandar Baru Bangi: Maktabah al- Qardhawi.
Fatimah Busu. 2004. Salam Maria. Selangor: Absolute Press (M) Sdn. Bhd.
Fatimah Busu. 1980. Kepulangan. Pulau Pinang: Teks Publishing Sdn Bhd.
Khadijah Hashim. 1968. Badai Semalam. Johor Baharu: Penerbitan Penamas Malaysia.
Kalthum Ibrahim. 2006 GEMA Online Journal of Language Studies 14Volume 6(1) 2006Maria Zaitun Dalam Salam Maria Lambang Wanita Mukmin Masa Kini: Pusat Pengajian Bahasa dan Linguistik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ruzy Suliza Hashim. (2004). Realisme Magis dan Ikhtiar Wanita dalam Salam Maria –Satu Penelitian Awal. Kertas Kerja yang dibentangkan di Majlis Diskusi Buku danPelancaran Salam Maria anjuran Pusat Penyelidikan Pembangunan Wanita,Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, 3 Disember 2004.
Welek dan Austin Warren. (1988). Teori Kesusasteraan, Terj. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
21