ulasan berkenaan artikel penguasaan guru dalam ict diutamakan.doc
TRANSCRIPT
Ulasan Berkenaan Artikel Penguasaan Guru Dalam ICT Diutamakan-Utusan
Malaysia (13 Jan 2010)
1.0 PENGENALAN
Pergerakan masa sememangnya turut membawa perubahan kepada dunia
pendidikan. Sememangnya perubahan yang wujud dalam dunia pendidikan ini
merupakan satu aspek yang penting agar system pendidikan kita sentiasa sinonim
dengan keperluan semasa dan sejajar dengan pergerakan kemajuan dunia.
Hakikatnya perubahan tersebut turut mewujudkan pelbagai isu yang perlu
ditempuhi dan diharungi oleh warga dunia pendidikan khususnya barisan guru-guru.
Salah satu isu perubahan yang ingin diketengahkan adalah berkenaan dengan
pengintegrasian teknologi maklumat dalam pendidikan.
Pada tanggal 13 Januari 2010, pihak Utusan Malaysia telah menyiarkan satu
artikel berkenaan dengan ucapan Menteri Pelajaran Malaysia yang juga Timbalan
Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yasin iaitu mengenai penguasaan guru
dalam teknologi maklumat dan komunikasi diutamakan.
Perenggan pertama artikel berkenaan mengetengahkan isu penguasaan
golongan guru terhadap bidang teknologi maklumat dan komunikasi. Perenggan kedua
artikel ini pula berkisar mengenai kursus dan program yang dilaksanakan kepada
barisan pentadbiran dan guru-guru sekolah bagi mewujudkan golongan celik komputer.
Isu berkenaan dengan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi yang telah
disediakan oleh kerajaan kepada bidang pendidikan turut diselitkan dalam perenggan
keempat dalam artikel tersebut. Selain itu juga, penekanan berkenaan infrastuktur
pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah turut terkandung dalam
perenggan kelima artikel berkenaan.
Antara isu lain yang terkandung dalam artikel berkenaan adalah cabaran
teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Isu berkenaan cabaran
teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan akan dihuraikan melalui punca
permasalahan lantas mewujudkan cabaran-cabaran tersebut. Malahan huraian
berkenaan cara mengatasi cabaran-cabaran tersebut turut diselitkan dalam tugasan ini.
2.0 ISU-ISU BERKENAAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN
KOMUNIKASI (ICT) DALAM PENDIDIKAN MENERUSI ARTIKEL
UTUSAN MALAYSIA 13 JANUARI 2010.
Sebelum isu-isu yang terdapat dalam artikel Utusan Malaysia tersebut diulas
dengan lebih mendalam, wajarlah konsep teknologi maklumat dan komunikasi dikupas
secara ringkas terlebih dahulu.
Teknologi maklumat merupakan satu bidang ilmu yang berasaskan pelbagai
disiplin terutamanya komunikasi dan sistem komputer. Yusuf Hashim menyatakan
bahawa bidang ini merupakan kajian tentang penggunaan proses dan perkakasan
dalam menangani maklumat yang pelbagai bentuk.
Sharifah Alwiah Alsagoff (1987) menyatakan bahawa teknologi maklumat
(Information Technology) atau IT dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (Information
and Communication Technology) atau ICT merupakan teknologi yang diperlukan untuk
pemprosesan data. Ruang lingkup tajuk teknologi sangat luas iaitu berkenaan dengan
segala aspek dalam pengurusan dan pemprosesan maklumat.
Secara tepat dan mudahnya, teknologi maklumat dan komunikasi adalah satu
medium untuk berhubung, menyimpan, melindungi, memproses, memindah, melihat
dan mendapatkan maklumat tanpa mengira tempat dan waktu.
Berbalik semula kepada artikel Utusan Malaysia yang bertarikh 13 Januari 2010
tersebut, isu berkenaan penekanan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi
kepada barisan guru merupakan agenda utama artikel tersebut. Selain daripada itu
juga, beberapa isu lain yang berkaitan seperti program teknologi maklumat dan
komunikasi yang dilaksanakan kepada guru,inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi
yang telah disediakan oleh kerajaan kepada bidang pendidikan, infrastuktur
pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah dan yang terakhir sekali
adalah berkenaan dengan cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam
pendidikan.
2.1 Penekanan Penguasaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kepada Guru.
Tumpuan dan penekaan terhadap penguasaan teknologi maklumat dan
komunikasi kepada guru sememangnya mempunyai tujuan yang penting untuk dicapai.
Hal ini adalah guru merupakan penggerak dalam sesuatu sesi proses pengajaran dan
pembelajaran. Menurut Ahmad Subki (2012), guru bertanggungjawab terhadap proses
pembelajaran seseorang individu dan guru harus menggunakan kaedah dan teknik
pengajaran yang mampu menarik minat murid. Rentetan daripada kepentingan itulah
barisan guru perlu diberi penekanan agar dapat menguasai bidang teknologi maklumat
dan komunikasi agar kepentingannya dapat dicapai.
Tambahan lagi, menurut Yazid (2001), guru adalah merupakan sumber kepada
keberkesanan pendidikan. Walaupun sesuatu sistem pendidikan itu baik, sekiranya
agen yang menyampaikan itu tidak efektif maka maksud yang ingin disampaikan tidak
akan tercapai matlamatnya. Jelas di sini menunjukkan bahawa guru merupakan satu
medium dalam mencapai keberkesanan pendidikan. Oleh kerana itulah penguasaan
guru terhadap bidang teknologi maklumat dan komunikasi perlu diberi perhatian.
Kepentingan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi kepada guru juga
dapat dilihat daripada kenyataan yang tertulis dalam Dewan Masyarakat (Mei 2012)
yang menyatakan bahawa kesan globalisasi dan liberalisasi menuntut guru yang
berilmu agar celik dan mahir dalam penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi
(TMK). Dalam suasana alaf baharu yang berorientasi TMK, teknologi memainkan
peranan yang besar dalam pendidikan. Guru yang aktif dan bersikap terbuka akan
sentiasa melihat teknologi baharu sebagai perkara yang positif dan berusaha mencari
alternatif yang terbaik bagi menguasainya. Pengaplikasian teknologi dalam pengajaran
akan menghasilkan generasi berteknologi yang mampu mengharungi era globalisasi,
sekali gus merealisasikan impian negara agar menjadi negara maju pada 2020. Atas
dasar kepentingan inilah barisan guru-guru di Malaysia perlu memperkukuhkan diri
dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi. Hal ini adalah kerana barisan
guru adalah titik permulaan dalam memastikan kejayaan sesuatu proses pengajaran
dan pembelajaran.
Selain daripada itu juga, penekanan terhadap penguasaan teknologi maklumat
dan komunikasi kepada golongan guru adalah bagi mencapai hasrat yang terkandung
dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menurut Dr. Ismail Zain (2008) yang dipetik
daripada Utusan Malaysia menyatakan bahawa kebestarian sesuatu pengajaran itu
bergantung kepada sejauhmanakah seseorang guru dapat mengintegrasikan aspek
pedagogi, psikologi dan teknologi dalam proses penyampaian ilmu ke arah melahirkan
seorang pelajar yang berfikiran kritis dan kreatif, seimbang dari segi intelek, rohani dan
jasmani serta dapat hidup dalam keadaan yang harmonis yang berpegang teguh pada
agama dan kepercayaan pada Tuhan sepertimana yang terdapat dalam falsafah
pendidikan negara. Jelas menerusi perenggan ini penguasaan guru dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi mampu mencapai hasrat Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.
Selain daripada itu, penguasaan guru dalam bidang teknologi maklumat dan
komunikasi menurut Wan Mustama (2004) dalam Jurnal Pengurusan Dan Pentadbiran
Pendidikan adalah usaha bagi meningkatkan kemahiran guru terutama dalam bidang
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) agar mereka lebih kreatif dan inovatif dalam
teknik pembelajaran di samping memiliki ilmu dan pengetahuan lebih luas. Daripada
kenyataan tersebut jelas menunjukkan bahawa kini ilmu pengetahuan bukan sekadar
diperoleh daripada bahan-bahan bercetak malahan ianya kian berkembang dalam
dunia tekonologi maklumat. Oleh hal demikian, guru yang berupaya menguasai bidang
teknologi maklumat dan komunikasi dilihat mampu memperkukuhkan lagi ilmu
pengetahuan sedia ada. Selain daripada itu juga, guru yang kreatif dan inovatif kesan
daripada penguasaan bidang teknologi maklumat dan komunikasi amat penting
bagimemperkembangan potensi murid secara bersepadu dan menyeluruh yang
merangkumi aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani. Hal ini diperkukuhkan dengan
kenyataan Ab. Rahim Selamat (1992) iaitu melalui pengajaran & pembelajaran kreatif
dan inovatif guru, murid dapat memperoleh ilmu pengetahuan, menguasai kemahiran
dan mengamalkan sikap dan nilai serta dapat mengembangkan daya kreativiti dan
inovasi mereka.
Tambahan lagi, menurut cadangan Lembaga Peperiksaan Negara yang dipetik
oleh Naim Hj Ahmad (2000), guru yang kreatif dan inovatif dalam ICT akan
mempelbagaikan kaedah pengajaran bagi menarik minat murid menggunakan bahan-
bahan yang sesuai dari internet untuk tujuan pengayaan, mempelbagaikan teknik
penyampaian dalam bilik darjah bagi membolehkan pelajar memahami konsep serta
menguasai kemahiran asas dengan lebih berkesan.
Kesimpulannya penguasaan guru dalam bidang teknologi maklumat dan
komunikasi merupakan satu elemen penting dalam kerjayanya sebagai pendidik dan
mempunyai tujuan tersendiri dalam meningkatkan prestasi murid sekaligus bagi
memartabatkan bidang pendidikan negara.
2.2 Program Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Yang Dilaksanakan
Kepada Guru.
Menurut artikel yang dipilih bagi tugasan ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata
bahawa pendedahan bidang teknologi maklumat dan komunikasi kepada guru besar,
pengetua dan guru-guru telah dilaksanakan melalui kursus yang berterusan dan
implikasinya mewujudkan golongan celik komputer yang ketara.
Sememangnya kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi
meningkatkan kemahiran golongan pendidik terutamanya dalam bidang teknologi
maklumat dan komunikasi. Menurut Muhamad Hasan (2000), dalam tempoh RMK-8,
Bahagian Pendidikan Guru menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah
diberi tanggunghawab untuk memberi penekanan khusus terhadap penggunaan ICT
dengan mengkaji semula kurikulum latihan guru dan menyediakan kursus jangka
pendek dalam latihan guru oleh Pusat Sumber Pendidikan Negeri (PSPN). Jelas di sini
menunjukkan kerajaan telah berusaha meningkatkan keupayaan guru dalam
bidang teknologi maklumat dan komunikasi melalui pelaksanaan khusus bermula
daripada golongan guru pelatih sehinggalah kepada guru-guru senior dan hal ini
sekaligus mampu meningkatkan penguasaan keseluruhan guru dalam bidang teknologi
maklumat dan komunikasi tanpa mengira lapisan tempoh perkhidmatan.
Usaha kerajaan bagi meningkatkan penguasaan golongan pendidik terhadap
bidang teknologi maklumat dan komunikasi tidak terhenti setakat itu sahaja. Kerajaan
telah Kempen Teknologi Maklumat pada 11 Oktober 1997. Kempen ini sebenarnya turut
membawa kesan positif kepada golongan pendidik. Hal ini adalah kerana kerajaan
menyedari bahawa negara ini perlu mempersiapsediakan golongan belia terutamanya
guru pelatih bagi bidang pendidikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi
maklumat dan komunikasi agar dapat menjadi penyambung kepada usaha yang telah
dilaksanakan pada hari ini.
Hal ini adalah selaras dengan kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam
ucapannnya pada perasmian kempen tersebut, iaitu sebuah negara mesti sentiasa
berfikir tentang hari esok. Kerana memikirkan hari esoklah kita telah membuat
keputusan untuk menggunakan kuasa teknologi maklumat. Kerajaan telah memberi
komitmen untuk berperanan aktif dalam mencapai cita-cita ini. Kita bukan sahaja akan
menyediakan kepimpinan dari atas ke bawah yang diperlukan untuk memajukan
pembangunan teknologi maklumat tetapi kita juga akan membawa masyarakat
melonjak bersama.
Atas kesedaran tersebut, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menjalinkan
satu usahasama dengan pihak Intel Education Malaysia bagi melahirkan golongan guru
baru yang telah bersiap sedia dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi
untuk dilaksanakan semasa di sekolah kelak. Menurut kenyataan yang diterbitkan oleh
Utusan Malaysia (7 Jun 2010), program ini adalah bagi memastikan guru pelatih dapat
membiasakan diri bagimengintegrasikan penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah sekaligus akan
memberi kesan dan impak positif kepada pencapaian serta prestasi akademik murid-
murid yang mempunyai pelbagai kecerdasan.
Konklusinya kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bagi memastikan
golongan-golongan pendidik berupaya menguasai bidang teknologi maklumat dan
komunikasi. Usaha-usaha yang dilaksanakan turut melibatkan satu pelan jangka masa
panjang bagi tujuan menyediakan bakal tenaga pendidik yang telah sedia
diperkukuhkan dengan kemahiran dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
2.3 Inisiatif Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Yang Disediakan Oleh Kerajaan
Kepada Bidang Pendidikan.
Menurut artikel Utusan Malaysia itu juga, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut
mengulas berkenaan dengan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi yang telah
disediakan oleh kerajaan kepada bidang pendidikan. Menurut beliau, Kementerian
Pelajaran Malaysia telah menyediakan pelbagai program bagi menyebarkan sekaligus
memperkukuhkan dunia pendidikan di Malaysia bukan hanya bagi memudahkan guru
malahan juga mempunyai pelbagai kebaikan kepada murid-murid. Antara inisiatif yang
disediakan adalah melalui video pendidikan melalui web iaitu EduWeb TV dan juga
School Net.
Amnya video pendidikan melalui web ataupun dikenali sebagai EduWeb TV
memudahkan guru-guru memilih dan seterusnya menjadikan soalan peperiksaaan yang
telah disediakan di web tersebut sebagai satu panduan dalam menyediakan set soalan
peperiksaan Selain daripada itu juga, guru boleh memilih dan seterusnya menggunakan
video yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran. Para murid juga. boleh
melayari video-video pendidikan dengan mudah terus daripada pelayar web. Tambahan
lagi, para murid turut boleh mengikuti pelbagai soalan yang disediakan. pelajar lain
menggunakan topik yang disediakan oleh anda.
Sememangnya keupayaan guru dalam menaplikasikan EduWeb Tv ini
memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang diterangkan di atas.
Hal ini turut diperakui oleh Norasiah Abdullah (2009) iaitu penggunaanEduWeb Tv
merupakan satu medium bagi melicinkan proses pengajaran dan pembelajaran kerana
berfokuskan kepada isi-isi penting kepada topik yang akan disampaikan serta
mengelakkan rasa bosan pelajar seterusnya mengekalkan minat pelajar. Ia juga boleh
menghiburkan pelajar.
Selain daripada EduWeb TV, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menyentuh
berkenaan dengan School Net. Sememangnya program School Net ini merupakan satu
insiatif dan menjadi tujuan kerajaan berkehendakkan guru yang berkeupayaan dalam
bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
SchoolNet merupakan rangkaian persendirian maya yang menyediakan
sambungan internet jalur lebar ke sekolah dan ia adalah pendekatan terbaru sistem
pendidikan negara bagi menyediakan kemudahan pembelajaran melangkaui bilik
darjah. Menurut Nor Fariza Ramlan (2012), SchoolNet menyediakan pelbagai aplikasi
kepada penggunanya, termasuk aplikasi komunikasi elektronik seperti e-mel dan
kumpulan berita, aplikasi akses jarak jauh, aplikasi pemindahan dokumen, aplikasi
pengedaran maklumat dan aplikasi pencarian maklumat. Hal ini menunjukkan bahawa
hanya guru yang berkeupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi
mampu mendepani perubahan kemajuan ini. Oleh sebab itulah kerajaan begitu optimis
bagi menyediakan guru yang berkeupayaan dalam bidang bidang teknologi maklumat
dan komunikasi.
Guru yang berkeupayaan dalam bidang teknologi maklumat dan
komunikasi dengan kemahiran mengendalikan School Net juga dilihat sebagai satu
podium bagi memastikan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai guru pakar tercapai.
Menurut Nor Fariza Ramlan (2012), pelaksanaan SchoolNet ini mampu meningkatkan
perkongsian ilmu dengan mengoptimumkan tenaga pengajar pakar di negara ini.
Melalui teknologi ini, seorang guru pakar mampu mengajar sesuatu mata pelajaran
melebihi daripada satu kelas di sekolah yang sama dan sekolah lain.
Selain itu, guru yang berkeupayaan dalam bidang bidang teknologi maklumat
dan komunikasi.serta dapat menguasai SchoolNet dengan sebaiknya boleh
memanfaatkan infrastruktur berkenaan bagi mengubah bilik darjah mereka menjadi
persekitaran menarik justeru dapat menambah minat pelajar terhadap pendidikan.
Dengan teknologi ini juga, seorang guru yang berkeupayaan dalam bidang
bidang teknologi maklumat dan komunikasi boleh mengajar sesuatu subjek kepada
bilangan bilik darjah lebih banyak di sekolah sama dan sekolah lain. Portal SchoolNet
ini membolehkan guru berkongsi modul pembelajaran dan pengajaran interaktif sesama
mereka. Jelas di sini menunjukkan guru yang mempunyai berkeupayaan dalam bidang
bidang teknologi maklumat dan komunikasi amat penting bagi mengendalikan inisiatif
yang telah dilaksanakan bagi kemudahan banyak pihak sekaligus mampu
meningkatkan mutu pendidikan negara.
2.4 Infrastuktur Pembangunan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Di
Sekolah.
Artikel yang dipilih bagi menyempurnakan tugasan ini juga bukan sekadar
memperkatakan mengenai keupayaan guru dalam dalam bidang bidang teknologi
maklumat dan komunikasi, malahan turut menyentuh berkenaan isu infrastuktur
pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi di sekolah yang diwujudkan oleh
kerajaan. Selain daripada pembinaan 6633 makmal komputer di sekolah dan 3029
Pusat Akses Internet, terdapat beberapa lagi usaha yang dijalankan oleh kerajaan.
Kerajaan telah menyediakan pelbagai peralatan kemudahan teknologi maklumat
dan komunikasi di sekolah sepertimana yang diperkatakan oleh Tan Sri Muhyiddin
Yassin dalam artikel yang dipilih itu. Hal ini diperkukuhkan oleh Robiah Sidin & Nor
Sakinah Mohamad (2007) dalam kajiannya yang menyatakan bahawa pihak kerajaan
bersetuju untuk membekalkan peralatan ICT ke sekolah yang merangkumi komputer
riba, projektor LCD atau tv, troli dan skrin. Sememangnya setiap orang guru yang
terlibat dengan pelaksanaan program PPSMI di kelas-kelas yang berkenaan diberikan
komputer riba dan dibolehkan membawa balik ke rumah supaya mereka dapat
membuat persediaan awal sebelum masuk ke bilik darjah. Kelas-kelas juga disediakan
dengan LCD dan troli untuk digunakan guru di bilik darjah. KPM sendiri telah
membekalkan kepada setiap sekolah dengan bahan pembelajaran untuk digunakan
sebagai bahan bantu pembelajaran dan rujukan guru serta untuk ulangkaji pelajar.
Bahan-tersebut terdiri daripada perisian interaktif, rancangan TV pendidikan, buku-buku
bacaan tambahan, modul-modul dan alat Bantu mengajar.
Selain daripada menyediakan peralatan ICT, kerajaan juga memandang serius
berkenaan masalah kekurangan peruntukan pula. Menurut Robiah Sidin & Nor Sakinah
Mohamad (2007) menyatakan bahawa dalam Bajet 2008, kerajaan telah meluluskan
peruntukan wang sebanyak RM30 bilion untuk pendidikan tidak termasuk RM15 juta
lagi untuk pendidikan ICT di luar bandar. Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan
bersikap serius dalam merealisasikan hasrat ini dengan melaburkan begitu banyak
modal semata-mata untuk membangunkan insan celik komputer yang lebih berdaya
saing di era digital ini.
2.5 Cabaran Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Dalam Pendidikan.
Artikel yang memetik ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Forum Pembelajaran
dan Teknologi Baru 2010 di Pusat Persidangan Queen Elizabeth II berkenaan dengan
penguasaan guru dalam teknologi maklumat dan komunikasi turut mengulas serba
sedikit berkenaan dengan cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam
pendidikan. Sememangnya cabaran-cabaran ini serba sedikit mengganggu proses guru
dalam menguasai teknologi maklumat dan komunikasi. Oleh hal demikian saya turut
mencadangkan beberapa usul bagi mengatasi setiap cabaran teknologi maklumat dan
komunikasi yang wujud.
Menurut Wan Mustama (2004), cabaran teknologi maklumat dan komunikasi
dalam pendidikan terbahagi kepada lima aspek. Apek pertama adalah berkenaan
dengan kesukaran menghabiskan sukatan pelajaran. Aspek kedua adalah halangan
pihak pentadbiran sekolah. Aspek ketiga adalah berkaitan dengan sikap negative guru.
Aspek kedua terakhir adalah maklumat dan laporan tidak tepat serta aspek terakhir
adalah berkaitan dengan jurang digital.
Apek pertama adalah berkenaan dengan kesukaran menghabiskan sukatan
pelajaran. Sukatan pelajaran merupakan satu garis panduan bagi setiap warga
pendidik. Amnya perancangan yang baik amat perlu dititikberatkan dalam menyusun
atur waktu proses pengajaran dan pembelajaran agar mencakupi kesuluruhan topik dan
aspek yang telah dimuatkan di dalam sukatan pelajaran. Keadaaan ini secara tidak
langsung telah menjadi satu cabaran bagi guru-guru dalam menerapkan penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan.
Menurut Naim Hj. Ahmad (2000), penggunaan internet untuk diakses dan dilayari
memerlukan masa yang agak lama untuk diaplikasikan sewaktu proses pengajaran dan
pembelajaran. Beliau juga telah mengutarakan penyediaan alatan teknologi seperti LCD
mengambil masa yang lama terutamanya kepada guru-guru lama yang tidak
mempunyai pengetahuan dan kemahiran berkenaan teknologi. Hal ini dilihat mampu
menjejaskan waktu proses pengajaran dan pembelajaran sekaligus menganggu
perancangan bagi menghabiskan sukatan pelajaran.
Terdapat beberapa cadangan dan langkah yang telah dijalankan bagi mengatasi
cabaran yang telah dikeutarakan di atas. Pendekatan pengajaran berkonsepkan
teknologi maklumat dan komunikasi perlu dirancang bersesuaian dengan spesifikasi
kurikulum. Sharifah Alwiah Alsagoff (1987) menyatakan bahawa penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi perlu diperluaskan mencakupi penggunaan internet seperti
mengakses laman web, email, on-line dan perlu diselaraskan dengan program
pendidikan dengan teratur bagi memastikan pengurusan masa yang baik dapat
dilaksanakan.
Hal ini memperjelaskan bahawa cabaran penggunaan internet memerlukan
mengambil masa yang lama dapat diatasi dengan perancangan guru bagi
menyenaraikan alamat web yang berkait dengan isi pembelajaran murid terlebih
dahulu. Penyediaan alatan seperti LCD yang dianggap mengambil masa yang panjang
juga dapat diatasi melalui penyediaan juruteknik di sekolah-sekolah. Pihak kerajaan
turut menyediakan kursus teknologi maklumat kepada tenaga pengajar di sekolah yang
diadakan melalui kursus-kursus semasa. Selain daripada itu juga, kementerian telah
melaksanakan tindakan awal dengan mempersiapkan guru-guru pelatih berkenaan
teknologi maklumat dan komunikasi melalui latihan berkenaan Teknologi dalam
Pengajaran dan Pembelajaran yang telah disenaraikan sebagai satu silibus di Institut
Pendidikan Guru.
Seterusnya adalah berkenaan dengan aspek kedua cabaran teknologi maklumat
dan komunikasi dalam pendidikan iaitu berkenaan dengan halangan pihak pentadbiran
sekolah. Penyampaian ilmu pengetahuan kepada murid sememangnya diakui dapat
dipercepatkan dan dipermudahkan melalui pengaplikasian teknologi maklumat dan
komunikasi.
Realitinya menurut Muhamad Hasan Adul Rahman (2000) terdapat segelintir
pihak pentadbiran sekolah yang meletakkan prosedur yang ketat kepada para guru
yang ingin menggunakan alatan-alatan teknologi sebagai bahan bantu mengajar. Hal ini
adalah kerana alatan tersebut memerlukan infrastruktur yang berkos tinggi dan
penyelenggaraan yang baik. Implikasinya guru-guru lebih selesa menggunakan kaedah
pengajaran dan pembelajaran biasa berbanding bahan teknologi maklumat.
Terdapat cadangan yang difikirkan mampu mengatasi cabaran penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan berkenaan halangan pihak
pentadbiran sekolah tersebut. Penggunaan Model Apple Classroom of Tomorrow
(ACOT) yang telah diperkenalkan pada tahun 1995 telah menggariskan lima langkah
perubahan bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berasaskan
teknologi maklumat dan komunikasi.
Langkah pertama adalah berkenaan Kemasukan (Entry) yang mengetengahkan
penerimaan positif kesemua pihak terutamanya pihak pentadbir dan dan guru
berkenaan kemasukan teknologi dalam bidang pendidikan. Langkah kedua pula adalah
melalui Pemilihan (adoption) iaitu pemilihan bahan yang sesuai sahaja bagi sesuatu
kelas sekaligus mengelakkan penggunaan alatan lain yang tidak berkaitan dan hanya
menggalakkan penggunaan lebihan alatan.
Langkah ketiga pula adalah berkenaan Kesesuaian (adaptation) iaitu
pengaplikasian alatan yang bersesuaian dengan tahap murid. Hal ini adalah bagi
memastikan keberkesanan kaedah penggunaan alatan tersebut yang disesuaikan
dengan alatan yang digunakan.
Model ini turut menggariskan Penggunaan (appropriation) alatan dengan kaedah
dan teknik yang betul agar alatan tersebut dapat digunakan secara berterusan.
Langkah ini bertujuan memastikan alatan teknologi dapat digunakan dalam tempoh
masa yang lama sekaligus mengurangkan kos penyelenggaraannya. Langkah terakhir
pula adalah merekacipta (invention) iaitu pihak pentadbir dan guru mampu merekacipta
bahan-bahan tambahan bagi meneguhkan pemudahcara dalam menyampaikan ilmu
pengetahuan kepada murid-murid.
Penggunaan model ini mengetengahkan peranan setiap pihak dalam menjaga
alatan serta perubahan sikap dan mentaliti berkenaan alatan komunikasi. Langkah-
langkah ini dilihat mampu mengubah prosedur ketat yang dikenakan oleh pihak
pentadbiran ke arah yang lebih mesra pengguna. Tambahan lagi, sikap dan pandangan
guru juga akan turut berubah dalam mengubahsuai proses pengajaran dan
pembelajaran mereka seiring dengan arus pemodenan yang berlaku.
Aspek ketiga bagi cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam
pendidikan adalah berkaitan dengan sikap negatif guru. Kebanyakan guru telah sebati
dengan kaedah pengajaran tradisional dan sukar menyesuaikan diri dengan teknologi
intruksional. Yusup Hasyim (1998) mempersetujui kenyataan yang telah dikeutarakan
oleh Becker & Watt (1966) iaitu ledakan teknologi maklumat dan komunikasi memberi
cabaran baharu kepada profesion guru dan sistem pendidikan.
Menurut Becker & Watt (1966) juga, ada kalangan guru yang ‘buta teknologi
maklumat dan komunikasi’, menyebabkan timbul sikap negatif dan tidak berminat
mengajar menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi selain sikap malas
menyediakan bahan atau peralatan teknologi maklumat dan komunikasi untuk
pengajaran.
Cabaran berkenaan sikap negatif guru dapat diselesaikan apabila pemikiran guru
lebih bersifat keterbukaan dalam menerima perubahan-perubahan baru dalam dunia
pendidikan. Maizun Binti Jamil (2009) menyokong pendapat Steers & Black (1994) iaitu
persediaan mental, pengetahuan dan kemahiran dalam kalangan anggota adalah
penting ke arah sesuatu perubahan dalam sesebuah organisasi. Latihan yang cukup
akan membantu guru menambahkan pengetahuan dan kecekapan terhadap alatan
teknologi maklumat dan komunikasi sekaligus menimbulkan minat dikalangan guru-guru
tersebut.
Aspek keempat cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan
adalah maklumat dan laporan tidak tepat. Amnya tugas guru tidak hanya meliputi
proses pengajaran dan penyampaian ilmu pengetahuan malahan juga melibatkan kerja-
kerja pengkeranian yang memerlukan guru-guru merekodkan dan memasukkan data-
data berkenaan prestasi murid dalam sistem. Namun proses memasukkan data yang
dikendalikan melalui sesuatu perisian terdedah kepada pemprosesan dan
penganalisisan laporan serta maklumat yang tidak tepat. Hal ini mungkin disebabkan
oleh proses kemasukan data yang terlalu banyak dan berterusan. Menurut Zoraini Wati
Abas (1993),kesilapan juga boleh berlaku terhadap data prestasi murid sekiranya
berlaku kecuaian semasa memasukkan data atau kesilapan dalam pembangunan
sistem data itu sendiri kerana kompleksnya sesuatu sistem data tersebut.
Cadangan yang ingin dikeutarakan bagi mengawal cabaran ini adalah melalui
ppihak pentadbir sekolah. Hubungan yang baik dan tolak ansur amat penting dalam
sesebuah organisasi. Hal ini merujuk kepada sikap dan layanan pihak pentadbir kepada
staff berkenaan kebajikan pekerja bagi mengelakkan berlakunya tekanan kerja dan
perpindahan pekerja ke organisasi lain. Perpindahan ini akan menyumbang kepada
masalah hilangnya pekerja yang memiliki sesuatu kemahiran. Lebih teruk lagi, pekerja
baru yang menggantikan tempat pekerja lama tidak memahami konsep dan cara kerja
pekerja lama tersebut dan seterusnya menjuruskan ke arah berlakunya kesilapan kerja
terutamanya dalam skop memasukkan data.
Malah masalah seperti kemasukan data yang salah (Garbage In Garbage Out -
GIGO) dapat dihapuskan sekiranya pentadbir memberi peluang dan masa yang
secukupnya untuk kakitangan mereka menjalankan tugas. Selalunya kesilapan berlaku
kerana kecuaian pekerja yang melakukan kerja secara tergopoh-gapah. Mungkin
kerana mahu cepat siap, faktor kuantiti sahaja yang diambil kira, dan ini menyebabkan
mereka mengabaikan faktor kualiti. Kebajikan pekerja perlu diambil berat. Adalah
dicadangkan juga setiap data atau maklumat yang dimasukkan disemak oleh "Quality
Control". Hal ini dapat menghasilkan data yang lebih tepat dan jitu.
Aspek terakhir bagi cabaran teknologi maklumat dan komunikasi dalam
pendidikan adalah jurang digital. Jurang digital terbentuk apabila berlakunya
ketidakseimbangan yang wujud di kalangan masyarakat. Ketidakseimbngan ini amnya
merangkumi aspek ekonomi, kemudahan infrastruktur, pendapatan, pemodenan,
pendidikan dan sebagainya dan hal ini secara tidak langsung turut memberikan impak
terhadap kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi dan digital di sekolah.
Ab. Rahim Selamat (1992) menyatakan bahawa situasi jurang digital
menyebabkan pengajaran guru kurang berkesan dan tidak dapat diaplikasi di luar bilik
darjah memandangkan sosioekonomi murid – murid di luar bandar yang rendah.
Penggunaan komputer yang terhad dan tidak berterusan boleh membantutkan
penerimaan ilmu pengetahuan yang hendak disampaikan.
Selain daripada itu juga, Ab. Rahim Selamat (1992) mengakui wujudnya jurang
perbezaan dari segi taburan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di antara
kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kawasan Lembah Kelang
dan kawasan lain di Semenanjung Malaysia.
Hakikatnya cabaran ini bukannya sesuatu yang boleh dipandang serius kerana
kerajaan telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi cabaran yang telah
digariskan ini. Kerajaan telah mewujudkan kesedaran berkenaan penggunaan komputer
untuk mempercepatkan penerimaan dan penggunaan teknologi maklumat. Kempen
Kesedaran Teknologi Maklumat pada 11 Oktober 1977 telah dilancarkan oleh Perdana
Menteri, Dato’ Seri Mahathir Mohamad. Kerajaan juga memperlonggarkan syarat
pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi individu yang ingin memiliki
komputer persendirian. Kerajaan turut melancarkan program Satu Rumah Satu
Komputer dengan membekalkan komputer kepada murid-murid. Kerajaan juga
memastikan setiap sekolah, mendapat skim peruntukan kelengkapan makmal komputer
yang cukup kepada semua sekolah terutamanya sekolah-sekolah di kawasan luar
bandar. Cabaran ini cuma berlaku di sekolah-sekolah pendalaman yang baru dibuka
dan mengalami masalah tempoh penerimaan alatan teknologi yang agak lambat namun
proses penerimaan tersebut tetap berlaku.
Penutup
Sememangnya diakui bahawa sistem pendidikan sekolah di Malaysia hari ini
dikatakan dapat menyediakan murid-murid yang serba boleh bagi menghadapi masa
depan yang lebih mencabar. Peranan teknologi maklumat sangat penting dalam sistem
pendidikan yang semakin mencabar dan menghadapi persaingan global ini. Dunia yang
dianggap sudah tidak bersempadan daripada sudut pergerakan maklumat telah
memberikan inspirasi supaya setiap sekolah menerima tanpa soal jawab aplikasi dan
implimentasi ICT dalam organisasi berkenaan.
Hal ini telah disedari oleh kerajaan dan kerajaan mula mengatur langkah bagi
menghadapi situasi tersebut. Dari masa ke semasa, kerajaan akan sentiasa mencari
jalan supaya pendidikan di Malaysia dapat dipertingkatkan. Kerajaan mula mengorak
langkah dengan menyediakan barisan guru yang mantap dan berpengetahuan luas
terutamanya dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi.
Perkembangan pendidikan baharu dalam pengetahuan teknologi maklumat dan
komunikasi memerlukan anjakan peranan pendidikan dan profesion keguruan. Untuk
mencapai matlamt menjadikan negara sebagai negara yang maju, kita memerlukan
lebih ramai guru yang mempunyai pengkhususan bidang pengetahuan komunikasi
maklumat (TMK)
Justeru, adalah penting bagi guru-guru untuk membuat persediaan yang
mencukupi agar dapat memenuhi tuntutan dan jangkaan masyarakat untuk
menggabungkan ICT dalam pengajaran. Keyakinan dan efikasi yang tinggi membantu
mempermudahkan proses peningkatan kemahiran dalam pelaksanaan ICT dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.
Dalam keghairahan mengguna teknologi maklumat dalam pendidikan, kita harus
berwaspada terhadap bahaya dan kesan negatif akibat penggunaan yang tidak
terkawal. Walau apapun pandangan kita, penggunaan teknologi maklumat dalam
pengajaran dan pembelajaran sedikit sebanyak sudah pasti akan mengubah corak
pendidikan masa depan dan tingkah laku kanak- kanak.
Rujukan
Ab. Rahim Selamat. (1992). Teknologi Sistem Pengajaran. Petaling Jaya: Fajar Bakti.
Ahmad Subki & Syed Ismail (2012). Asas Kepimpinan Dan Perkembangan
Profesionalisme.Selangor: Penerbitan Multimedia SDN. BHD.
Dr. Ismail Zain. (2008) Pendidikan Bertaraf Dunia Ke Arah Pembestarian Dalam Proses
Pengajaran Dan Pembelajaran. Utusan Malaysia. 27 Oktober.
Isyak Din, Azmi Zakaria, Wan Mustama, Rafee Che Kasim & Mazlan Shamsuddin
(2004). Jurnal Pengurusan Dan Pentadbiran Pendidikan 14 (02).
Maizun binti Jamil. (2009). Penggunaan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (ICT)
Dalam Pendidikan Telah Memberi Kesan Positif Dalam Sistem Pengajaran Dan
Pembelajaran Di Institusi Pengajian Tinggi. Penilaian Tahap Kecekapan. Universiti
Putra Malaysia.
Mohd. Termizi Che Anuar. (2010) Penguasaan Guru Dalam ICT Diutamakan. Utusan
Malaysia, 13 Januari:1,
Muhamad Hasan Adul Rahman. (2000). Media Pengajaran Penghasilan Bahan
Pengajaran Berkesan. Terbitan UPM.
Muhamad Rafiq Abdul Rahman. (2012) Pendidikan Menerusi Teknologi Maklumat Dan
Komunikasi. Dewan Masyarakat. Mei 2012.
Naim Hj Ahmad. (2000). Teknologi Pendidikan. Serdang: Universiti Putra Malaysia.
Nor Fariza Ramlan. (2012) School Net diperluas ke Johor. Berita Harian, 2 September.
Norasiah Abdullah, Nor Risah Mat Lazim & Rosnah Zain. (2009). Teknologi Dalam
Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Robiah Ridin & Nor Sakinah Mohamad. (2007) ICT dalam Pendidikan: Prospek dan
Cabaran dalam Pembaharuan Pedagogi. Jurnal Pendidikan 32 (2007).
Sharifah Alwiah Alsagoff. (1987). Teknologi Pengajaran. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
Dan Pustaka.
Yazid Abdul Manap (2001). Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab
Bersama. Bestari Koleksi Guru Johor, JPN Johor.
Yusup Hasyim. (1998). Teknologi Pengajaran. Shah Alam: Fajar Bakti.
Zoraini Wati Abas (1993). Komputer dan Pendidikan, Kuala Lumpur: Penerbit Fajar
Bakti