salam sejahtera dan salam pengakap!€¦ · salam sejahtera dan salam pengakap! alhamdulillah,...

7

Upload: others

Post on 19-Jan-2021

35 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

Page 1: Salam Sejahtera dan Salam Pengakap!€¦ · Salam Sejahtera dan Salam Pengakap! Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita berjaya
Page 2: Salam Sejahtera dan Salam Pengakap!€¦ · Salam Sejahtera dan Salam Pengakap! Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita berjaya

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum Warahmatullah Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam Pengakap!

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah

kurnia-Nya, kita berjaya melangkah ke tahun 2021 dengan penuh tanggungjawab,

amanah dan harapan untuk menjadikan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM)

sebuah organisasi yang cekap, moden dan berdikari serta dapat menyediakan

program yang berkualiti untuk Muda Remaja.

Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2021 kepada semua Ahli Majlis,

Pesuruhjaya-Pesuruhjaya, Pemimpin-Pemimpin dan ahli-ahli Pengakap sekalian.

Semoga tahun ini, PPM akan terus maju untuk menjadi sebuah pertubuhan Muda

Remaja yang terunggul di rantau ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih

kepada semua ahli yang sentiasa bertungkus-lumus menyumbangkan tenaga dan

bakti kepada Persekutuan Pengakap Malaysia tanpa mengharapkan apa-apa

balasan.

Saya juga mengucapkan sekalung penghargaan kepada rakan-rakan strategik

PPM, khasnya Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan,

Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri, Planetarium Negara,

Jabatan Laut Malaysia, Jabatan Taman Laut Malaysia, Putrajaya Holdings, World

Wildlife Fund, Tourism Malaysia, KIND Malaysia, Bernama dan lain-lain lagi yang

turut menghulurkan bantuan dari segi logistik, kepakaran dan tenaga manusia

dalam usaha menjayakan program-program PPM. Syabas, tahniah dan terima

kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat.

Page 3: Salam Sejahtera dan Salam Pengakap!€¦ · Salam Sejahtera dan Salam Pengakap! Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita berjaya

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, dunia sedang dilanda pandemik

Covid’19 dan telah menjejaskan kehidupan seharian masyarakat. Oleh yang

demikian, PPM telah mengambil langkah inisiatif melalui pelaksanaan aktiviti

secara maya. Tahniah diucapkan kepada para pemimpin yang telah berjaya

menjalankan program-program mengikut norma baharu sepanjang fasa Perintah

Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.

Saudara-saudari sekalian,

PPM telah berdiri dengan gagah sejak tahun 1908 lagi, dan masih kekal relevan

selepas 112 tahun organisasi ini ditubuhkan. Kini, PPM sudah mempunyai keahlian

lebih 300,000. PPM akan terus meningkatkan jumlah keahlian agar menjadi

sebuah organisasi Muda Remaja terbesar di Malaysia yang dianggotai oleh

pelbagai kaum, bersifat insklusif serta mempunyai daya impak yang maksima.

Sejak beberapa tahun yang lepas, PPM telah banyak membuat penambahbaikan

dan telah melancarkan Plan Strategik PPM 2018-2023. Namun demikian, kejayaan

yang telah dicapai perlu ditambah baik. Kepengakapan masa kini harus

berkembang mengikut peredaran zaman agar terus relevan sebagai wadah

penggerak utama pembangunan insan.

Saudara-saudari sekalian,

Sejak dua tahun yang lepas, saya telah melancarkan Halatuju Kepengakapan

Negara, di mana kita telah merancang 10 fokus utama. Pada tahun ini pula, kita

telah mengenalpasti lima fokus utama yang perlu diberi perhatian khusus.

PERTAMA, MEMBANGUN ORGANISASI YANG MAMPAN

Seperti mana yang saudara-saudari sedia maklum,

PPM harus beroperasi dengan efisien dan sistematik serta mempunyai identiti

yang hebat. PPM harus bersedia dengan perancangan yang komprehensif untuk

melakukan transformasi bagi memastikan organisasi terus relevan dan berdaya

saing.

Page 4: Salam Sejahtera dan Salam Pengakap!€¦ · Salam Sejahtera dan Salam Pengakap! Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita berjaya

Sistem pentadbiran di peringkat Ibu Pejabat Persekutuan, Negeri dan Daerah

perlu diperkasakan. PPM akan menggunakan kaedah Global Support Assessment

Tool (GSAT) yang diperkenalkan oleh WOSM untuk menilai tahap kecekapan dan

keberkesanan pentadbiran di semua peringkat.

GSAT merupakan Standard Kualiti bagi menilai kepatuhan Organisasi terhadap

amalan terbaik antarabangsa dalam tadbir urus dan kepengakapan yang

berkualiti.

KEDUA, MEMPERKASA PROGRAM MUDA REMAJA

Semua program dari peringkat Pengakap Kanak-Kanak hingga peringkat Remaja

dan Kelana akan terus diperkasakan. PPM akan mengkaji dan mengemaskini

keperluan lencana-lencana kemajuan dan kepandaian supaya relevan dengan

keperluan dan minat pemegang taruh masa kini. Melalui strategi ini, PPM dapat

melahirkan ahli Pengakap yang holistik, berfikiran tinggi, berinovasi serta berdaya

saing.

Pelbagai skim lencana berasaskan Sustainable Development Goals (SDGs),

Technical and Vocational Education and Training (TVET) dan Science, Technology,

Engineering and Mathematics (STEM) akan digubal.

Kepesatan pembangunan teknologi dan maklumat pada masa kini amat

memerlukan tenaga kerja mahir, khususnya dalam bidang berkaitan STEM.

Melalui STEM, ahli Pengakap boleh berfikir secara logik, merekacipta,

menggunakan teknologi dan menyelesaikan masalah secara kreatif dan inovatif.

Melalui Skim Better World Framework pula, ahli-ahli Pengakap akan berpeluang

mendapat pelbagai anugerah berprestij dan bertaraf dunia seperti Scouts of the

World Award (SWA), Messengers of Peace Award dan World Scouts Environment

Badge. Selain itu, mereka juga berpeluang untuk mencapai Anugerah Pengakap

Raja, B-P Award, The Duke of Edinburgh’s International Award dan Anugerah

Remaja Perdana Negara.

Page 5: Salam Sejahtera dan Salam Pengakap!€¦ · Salam Sejahtera dan Salam Pengakap! Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita berjaya

Bagi memperkasakan lagi jati diri Muda Remaja Negara, PPM telah merancang

untuk menerapkan kurikulum Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM)

dalam setiap aktiviti kepengakapan. Anugerah ini telah diadaptasikan daripada

The Duke of Edinburgh's Award yang mula diperkenalkan pada tahun 1956.

The Duke of Edinburgh's Award merupakan satu program yang telah berjaya

menerima pengiktirafan antarabangsa setelah melalui proses perancangan dan

penambahbaikan yang sangat teliti. Program ini dilaksanakan untuk mendorong

anak-anak muda mengasah bakat-bakat mereka, seterusnya menggalakkan

mereka untuk menjalani gaya hidup yang lebih optimis melalui elemen-elemen

cabaran yang telah diterapkan dalam skim lencana tersebut.

Setakat ini, sebanyak 126 buah negara di seluruh dunia telah berusaha untuk

mendapatkan The Duke of Edinburgh's Award. Anugerah ini bukanlah satu

pertandingan, tetapi ianya lebih memberi penekanan kepada cabaran bagi

seseorang individu, selain daripada menjalani gaya hidup yang seimbang, fleksibel

serta melibatkan diri secara sukarela. Ianya juga merupakan satu wadah bagi

memberi sokongan dan semangat kepada golongan Muda Remaja dalam

menanam nilai-nilai yang berkualiti seperti sentiasa bersemangat, berupaya untuk

bekerjasama, dan bersikap patriotik menjurus ke arah pencapaian personaliti

unggul.

KETIGA, MENGURUS SUMBER DEWASA KEPENGAKAPAN (ADULTS IN

SCOUTING - AIS)

Bagi menguruskan sumber dewasa kepengakapan, PPM telah menggubal struktur

kepimpinan tersusun yang dianggotai oleh mereka yang berkelayakan, jujur,

rajin, bijak, dan berdedikasi serta sanggup memberi komitmen yang luar biasa

dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

PPM akan menggunakan pendekatan yang sistematik untuk meningkatkan

keberkesanan, komitmen, dan motivasi pemimpin. Sistem Pengurusan Sumber

Manusia yang sistematik akan dilaksanakan untuk meningkatkan kecekapan

pemimpin bagi menjana program yang berkualiti, relevan dan menarik untuk

golongan Muda Remaja. Akademi Pengakap Malaysia akan dilancarkan bagi

melaksanakan latihan pendidikan berterusan untuk pemimpin.

Page 6: Salam Sejahtera dan Salam Pengakap!€¦ · Salam Sejahtera dan Salam Pengakap! Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita berjaya

Pemimpin perlu meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai

sikap yang baik untuk melatih Muda Remaja mengembangkan potensi dalam

aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. PPM akan melantik pemimpin yang

kompeten, berketrampilan dan multitasking untuk memberi impak yang tinggi dan

berupaya memberi nilai tambah kepada organisasi.

KEEMPAT, MENJANA SUMBER KEWANGAN SECARA BERTERUSAN

PPM perlu mengurus aset-aset di seluruh negara agar dapat menjana sumber

kewangan yang berterusan. Jawatankuasa Aset dan Enterprise telah ditubuhkan

untuk mengoptimumkan sumber pendapatan. Aktiviti Yayasan Pengakap Malaysia

akan dipergiatkan. Pengurusan kewangan yang berhemah dan telus akan

diimplementasikan agar PPM dapat beroperasi dengan lebih sempurna dan

cemerlang. Pada masa ini, PPM sedang giat meneroka peluang-peluang untuk

menjana hasil daripada lot-lot tanah yang kita miliki agar dapat menjana sumber

kewangan. Beberapa projek telah dikenalpasti bagi meningkatkan aktiviti

penjanaan sumber kewangan berterusan.

KELIMA, MEMPERKASA JENAMA DAN PROFIL

PPM hendaklah memperkasa keunikan Jenama Pengakap. Kita perlu mencipta

suatu persepsi di mana Pengakap dilihat sebagai sebuah organisasi yang hebat,

berkualiti, unik dan istimewa.

PPM akan memperbaiki Sistem Komunikasi dan Perhubungan Awam secara

berterusan agar mendapat penjenamaan yang tinggi di kalangan masyarakat.

Liputan media berkenaan aktiviti kepengakapan akan diperkayakan. Majalah, buku

dan risalah akan diterbitkan secara konvensional dan digital. Penggunaan media

sosial akan diperluaskan. Beberapa tindakan akan diambil bagi memperkasa imej

dan kebolehlihatan PPM di kalangan pemegang taruh.

Selain daripada lima fokus utama ini, PPM akan meneruskan lain-lain agenda

seperti menambah jumlah keahlian, menjalinkan kerjasama strategik dan

mempromosikan kepelbagaian dan kebersamaan.

Page 7: Salam Sejahtera dan Salam Pengakap!€¦ · Salam Sejahtera dan Salam Pengakap! Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita berjaya

PENUTUP

Saudara-saudari sekalian,

Kita hendaklah sentiasa memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada

masyarakat dan negara supaya dapat menaikkan lagi nama baik PPM di seluruh

dunia. Saya berharap kita semua akan bersama-sama mengorak langkah yang

dinamik dalam usaha menyumbang perkhidmatan serta komited dalam

pembangunan kepengakapan negara.

Dalam keadaan persekitaran yang kompetitif, PPM perlu mengharungi masa depan

yang mencabar dengan langkah yang proaktif agar terus menjadi relevan, unggul

dan dihormati. Semoga strategi yang dirancang ini akan memacu PPM ke arah

sebuah organisasi yang mapan dalam senario global yang mencabar.

Semoga Persekutuan Pengakap Malaysia akan terus menerajui kecemerlangan.

Sekian,

Wabillahhitaufik, walhidayah, wassalamualaikum,warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Salam Pengakap!

(Siaran Amanat Tahun Baharu 2021 Persekutuan Pengakap Malaysia telah disiar-kan dan disampaikan oleh YBhg. Mej. Jen. Prof. Dato' Dr. Mohd Zin Bidin (B), Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara Persekutuan Pengakap Malaysia pada jam 9.30 pagi 1 Januari 2021.). Sila layari:-

You Tube: https://youtu.be/Sl3Ao9lrwAg

Disunting oleh:

Siti Aishah binti Nazlan

Penolong Setiausaha Eksekutif (Pentadbiran)

Merangkap Pegawai Khas

kepada Pemangku Ketua Pengakap Negara/

Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara

Ibu Pejabat Pengakap Kebangsaan, PPM

Dengan kerjasama;

Jawatankuasa Profil Kepengakapan Negara

Persekutuan Pengakap Malaysia