label dan kepentingannya kepada pengguna

Upload: abdul-hadi

Post on 09-Jul-2015

186 views

Category:

Documents


0 download

TRANSCRIPT

LABEL DAN KEPENTINGANNYA KEPADA PENGGUNA

Pada masa kini jika kita pergi ke mana-mana pasaraya kita boleh lihat pelbagai produk dijual dengan pembungkusnya yang pelbagai warna dan mempunyai label produk. Pengeluar setiap produk kini memastikan produk mereka mempunyai label yang cukup untuk pengguna mereka berbanding dengan pengeluar produk dua puluh atau tiga puluh tahun sebelum ini yang hanya mementingkan reka bentuk dan hiasan luar produk sahaja. Kita boleh lihat label diletakkan diatas semua produk yang dikeluarkan oleh industri besar ataupun kecil tidak kira barangan elektrik, perabut dan makanan. Jadi, apa yang dimaksudkan dengan label produk?. Label produk bermaksud sesuatu simbol atau maklumat mengenai sesuatu produk seperti harga, jenis bahan yang digunakan, tarikh luput dan cara penggunaan dan maklumat ini biasanya diletakkan di bahagian luar pembalut produk. Banyak negara telah mewajibkan setiap produk yang dijual di negara mereka perlulah mempunyai label yang mencukupi untuk pengguna mereka. Mengapa label produk diwajibkan dan apakah kepentingannya kepada pengeluar dan pengguna?. Oleh itu terdapat banyak kekpentingan yang boleh kita perolehi berdasarkan label produk. Kepentingan label produk ialah dengan menggunakan label produk pengguna boleh membezakan sesuatu produk. Hal ini kerana pengguna tidak boleh mengenalpasti sesuatu produk dengan hanya melihat nama produk. Dengan adanya label pengguna boleh membezakannya kerana label menerangkan sesuatu produk dengan lebih terperinci dengan memberitahu kandungan bahan produk, jangka hayat produk dan kegunaan produk. Pengguna sudah tentu tidak boleh membezakan produk dengan hanya melihat warna, bentuk pembungkus dan jenama kerana kadangkala ada juga beberapa produk yang pembungkusannya seakan-akan sama dengan pembungkusan produk lain. Jadi dengan adanya label sudah tentu ianya akan memudahkan pengguna membuat keputusan. Selain itu kepentingan label produk ialah untuk menerangkan fungsi-fungsi produk. Hal ini boleh dibuktikan apabila pengguna ingin membeli sesuatu produk misalnya telefon bimbit. Sudah tentu pengguna ingin tahu perbezaan antara setiap model telefon bimbit. Jadi pada pembungkus setiap telefon bimbit mesti ada label yang menerangkan mengenai fungsi, aplikasi dan kelebihan sesuatu telefon bimbit. Terdapat satu situasi dimana telefon bimbit yang sama bentuk, saiz, warna tetapi terdapat perbezaan dari segi saiz memori dalamannya. Jadi sudah tentu ini akan memudahkan pengguna untuk memilih telefon bimbit yang akan dibelinya. Situasi ini bukan sahaja berlaku ketika membeli alat telekomunikasi tetapi juga ketika hendak membeli produk-produk yang lain. Tanda harga termasuk juga sebagai label produk. Kebiasannya syarikat pengeluar produk telah meletakkan harga produk untuk dijual di pasaran pada pembungkus produk mereka. Tetapi biasanya pihak penjual tidak kira

peniaga pasaraya ataupun pekedai runcit akan meletakkan tanda harga mereka sendiri samaada mereka mahu menaikkan ataupun menurunkan harga produk yang akan dijual. Oleh itu, sebagai pengguna yang prihatin kita pasti akan membezakan harga sesuatu produk ketika hendak membelinya. Dengan adanya tanda harga kita boleh membezakan harga produk. Sekiranya harga produk itu tidak relevan dengan harga pasaran misalnya dijual pada harga yang sangat tinggi kita boleh melaporkannya kepada persatuan-persatuan pengguna yang terdapat di Malaysia. Dengan menggunakan label, pengeluar produk boleh meyakinkan pengguna bahawa produk mereka berkualiti. Kebiasaannya pengeluar produk akan mempamerkan logo-logo yang menunjukkan mereka telah memenangi anugerah yang mengiktiraf produk mereka ialah produk yang berkualiti. Pengguna yang ingin membeli barangan berkenaan dengan produk berkenaan pasti tertarik dan yakin untuk membeli produk mereka. Oleh itu, secara tidak langsung hal ini mendatangkan faedah kepada pengeluar produk. Selain itu, pengeluar produk boleh memberi jaminan kepada pengguna mengenai produk mereka. Dengan penggunaan logo halal yang diperolehi daripada JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) mereka boleh menarik pengguna yang beragama Islam memberi produk mereka tanpa raguragu. Selain itu label produk yang dibubuh juga mengandungi maklumat mengenai kandungan bahan. Hal ini membolehkan pengguna membezakan kandungan produk kerana kadangakala mereka alah kepada kandungan sesuatu produk. Sebagai contoh jika seseorang itu alergik kepada laktosa daripada produk tenusu haiwan sudah tentu dia tidak akan memilih produk yang dihasilkan daripada tenusu haiwan kerana dia boleh mengetahui melalui label produk yang dipamerkan. Dengan itu risiko untuk mendapat alahan dapat dicegah. Label produk juga amat penting kerana kadangkala produk yang dibeli mengandungi bahan-bahan yang beracun dan berbahaya. Oleh itu label yang yang dikeluarkan pada produk mestilah mempunyai simbol-simbol amaran yang menyatakan mengenai produk itu. Simbol-simbol ini hendaklah jelas dan boleh dilihat oleh pengguna. Selain itu, pengeluar produk mestilah menyediakan satu label mengenai cara-cara mengendalikan produk-produk ini. Hal ini kerana dengan adanya label dan panduan yang jelas maka risiko kemalangan dan kecederaan ketika menggunakan produk-produk yang berbahaya dapat dikurangkan. Label makanan juga penting bagi mereka yang mengamalkan gaya pemakanan yang sihat dan adakalanya orang yang ingin mengurangkan berat badan juga akan mengambil perhatian terhadap label makanan. Hal ini kerana pada label produk makanan biasanya terdapat maklumat pemakanan produk tersebut. Ini penting kerana maklumat pemakanan biasanya menyatakan kandungan gula, lemak tepu, lemak tidak tepu dan jumlah kalori. Selain itu kandungan vitamin juga akan diberitahu didalam maklumat pemakanan. Oleh itu, pengguna akan lebih mudah untuk membuat keputusan samaada untuk memilih makanan yang tinggi ataupun rendah kalori. Pengeluar produk juga biasanya akan meletakkan tarikh luput pada label sesuatu produk. Tarikh yang diberikan itu sebenarnya merujuk

kepada tempoh yang dijanjikan oleh pengeluar produk untuk produknya masih lagi elok dan boleh digunakan. Tarikh ini penting bagi pengguna dan penjual. Bagi penjual, mereka boleh menentukan masa bagi menukar stok mereka apabila produk itu tidak terjual dan telah tamat atau hampir tamat tarikh tempoh penggunaan produk. Kepentingannya kepada pengguna pula ialah pengguna boleh mengelakkan daripada terbeli produk yang telah rosak dan tamat tempoh dengan melihat tarikh luput produk. Oleh kerana itu tarikh luput produk sangat penting kerana ianya memberi kesan kepada kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli. Tambahan pula pada masa kini pihak-pihak pengeluar produk juga sering meletakkan nombor telefon, faks dan laman web yang boleh dihubungi bagi membolehkan pengguna produk mereka memberikan maklumbalas mengenai produk mereka. Maklumbalas yang diberikan oleh pengguna tidak semestinya aduan mengenai produk tetapi kadangkala cadangan yang boleh membantu syarikat pengeluar produk untuk menambahbaik produk dan mengembangkan lagi pasaran produk mereka. Sebenarnya terlalu banyak kepentingan yang boleh kita perolehi daripada pelabelan sesuatu produk. Bukan sahaja kita dapat membezakan harga tetapi kita juga boleh menjaga kepentingan dan hak kita sebagai pengguna. Diharapkan dimasa hadapan kerajaan juga lebih aktif dalam melaksanakan undang-undang yang lebih baik bagi mewajibkan setiap pengeluar produk mempamerkan label pada produk mereka. Kesimpulannya, kita sebagai pengguna perlulah lebih prihatin terhadap label-label produk yang dipamerkan oleh pihak pengeluar dan sentiasa sedar akan hak kita sebagai pengguna.