kebaikan dan keburukan menonton televisyen
TRANSCRIPT
KEBAIKAN DAN KEBURUKAN MENONTON TELEVISYEN
1.0 Pendahuluan
Perkembangan media elektronik dapat ditakrifkan sebagai kemajuan
dalam penciptaan alat-alat yang berkaian dengan elektrik. Pada zaman
sains dan teknologi ini, pelbagai jenis media elektronik yang canggih telah
dihasilkan. Perkembangan media elektronik ini telah menyenangkan
kehidupan masyarakat dengan memiliki kehidupan yang lebih mewah dan
selesa. Sebagai contoh, perkembangan media elektronik telah
menghasilkan televisyen yang bertambah besar saiznya. Oleh itu,
masyarakat kita lebih mementingkan hiburan yang dapat member
keseronokan melalui media elektronik canggih tersebut daripada
mempunyai minat untuk membaca. Selain membawa kebaikan, televisyen
juga membawa keburukan kepada penontonnya secara langsung mahupun
tidak.
1.1 Definisi
Menurut kamus dewan edisi keempat, televisyen ialah penyiaran
(pemancaran) gambar hidup (gambar bergerak) berserta bunyi
menerusi kabel atau udara pada skrin atau kaca peti televisyen.
Televisyen merupakan salah satu media elektronik yang amat
berpengaruh dan hampir di setiap rumah mempunyai sekurang-
kurangnya sebuah televisyen. Kebaikan pula bermaksud perbuatan
baik, sifat baik atau faedah. Manakala keburukan pula bermaksud
kekurangan, ketidakbaikan, kebusukan, kekejian, kecemaran atau
keaiban.
2.0 Kebaikan menonton televisyen
2.1 Memberikan peluang kepada penonton untuk mengikuti
rancangan yang digemari.
Rangkaian televisyen yang banyak memberikan peluang kepada
orang ramai untuk memilih rancangan yang mereka minati.
Tambahan lagi setelah ASTRO beroperasi, kita dapat menyaksikan
hampir 50 saluran televisyen dan sebahagian besarnya dapat kita
tonton sepanjang 24 jam di rumah masing-masing.
Pelbagai program, daripada yang berunsur hiburan hinggalah
kepada program yang berunsur maklumat dan pengetahuan serta
berita semasa terhidang kepada televisyen satelit, terdapat
beberapa rangkaian khas yang menyiarkan rancangan hiburan,
seperti filem terbaru, video muzik dan drama bersiri.
Di samping itu, sesiapa yang berminat dalam bidang sains, kajian,
dan dapatan terbaru dapat mengikuti perkembangan semasa
mengenainya melalui Discovery Channel. Mereka yang mahu
berhibur dengan gelagat haiwan pula boleh mengikutinya melalui
Animal Planet, manakala sesiapa yang berminat dengan alam
semula jadi, boleh menonton rancangan National Geographic.
Dengan ini, penonton berpeluang untuk menyaksikan apa jua
bentuk rancangan yang mereka minati dengan mudah sekali.
2.2 Orang ramai mudah mendapat maklumat.
Selain itu, rangkaian televisyen juga dapat dijadikan sumber
maklumat oleh orang ramai dan ini bermakna matlamat kerajaan
untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat lebih mudah dicapai.
Sesetengah rancangan, khususnya rancangan dokumentari ASTRO
amat bermanfaat kepada orang ramai kerana maklumat yang
dimuatkan di dalamnya adalah terkini dan menyeluruh dalam
semua aspek. Saluran yang memaparkan rancangan dokumentari
misalnya, membolehkan orang ramai menimba ilmu dalam
pelbagai bidang. Rancangan sedemikian,dapat disiarkan di
televisyen dengan kerap kerana ada penaja yang membiayai kos
penyiarannya, khususnya rancangan yang disiarkan oleh saluran
televisyen swasta. Biasanya, rancangan sedemikian banyak
mempunyai penaja di peringkat antarabangsa kerana rancangan
sedemikian mendapat permintaan yang tinggi oleh penonton.
2.3 Menyampaikan perkembangan terkini di dalam dan luar
negara.
Tambahan lagi, siaran televisyen juga memberi kemudahan kepada
kita dalam menyampaikan perkembangan terbaru dari dalam dan
luar negara. Sebagai contoh, pihak pelabur memperoleh berita
terkini mengenai pelaburan dengan cepat walaupun sesuatu
peristiwa itu berlaku di luar negara. Boleh dikatakan, apa jua
berita terbaru dapat disampaikan kepada penonton dengan serta-
merta. Perkara ini amat penting kepada golongan menceburi
bidang perniagaan disebabkan sesuatu keputusan yang penting dan
menguntungkan dapat dibuat berdasarkan maklumat terkini.
Contohnya, seseorang pelabur di Bursa Saham Malaysia dapat
bertindak cepat dengan menjual semua sahamnya apabila
mengetahui sesuatu peristiwa buruk yang boleh menjejaskan
pasaran saham dunia akan berlaku. Tindakan pantas pelabur
berdasarkan maklumat tersebut dapat mengelakkan daripada
kerugiaan yang jumlahnya bukan sedikit bahkan mungkin
mencecah angka ratusan juta ringgit.
2.4 Mengeratkan hubungan serta mengharmonikan institusi
kekeluargaan.
Di samping itu, menonton televisyen juga dapat mengeratkan
hubungan kekeluargaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya dan
kakak atau abang dengan adik-adiknya serta keluarga akan menjadi
harmoni. Contohnya, seluruh ahli keluarga menonton televisyen
bersama-sama, sudah pasti akan kedengaran gelak ketawa yang
ceria, gurau senda, usik-mngusik, serta saling nasihat-menasihati
antara satu sama lain. Hal ini merupakan suatu kelaziman yang
akan berlaku sekiranya kita berkumpul sama-sama dengan individu
yang kita kenali. Di kesempatan inilah, ibu bapa sebagai ketua
keluarga dapat memberi contoh yang baik kepada anak-anak
dengan mengurangkan masa menonton dan hendaklah pandai
dalam memilih program-program yang hendak ditonton. Mereka
mestilah memikirkan kesan-kesan yang bakal terjadi sama ada
dalam jangka masa pendek mahupun panjang.
Selain itu, ibu bapa juga dapat mengesan atau mengetahui
masalah-masalah yang dihadapi anak-anak mereka dalam
kehidupan seharian. Oleh itu, ibu bapa boleh membantu dalam
menyelesaikan masalah tersebut ataupun sekadar mengambil
langkah berjaga-jaga terhadap masalah yang dihadapi anak-anak
mereka supaya tidak menimbulkan masalah yang lebih besar.
Secara tidak langsung, kita dapat membendung gejala keruntuhan
akhlak dalam kalangan remaja kini yang merupakan gejala sosial
yang tidak sihat dalam masyarakat kita. Oleh itu, menonton
televisyen dapat mengeratkan serta mengharmonikan hubungan
kekeluargaan.
2.5 Meningkatkan ilmu pengetahuan dalam kalangan masyarakat.
Seperti yang kita ketahui, televisyen merupakan salah satu sumber
kepada masyarakat untuk mendapatkan mendapatkan maklumat
sekaligus dapat meningkatkan ilmu pengetahuan yang sedia ada.
Misalnya, stesen televisyen kerajaan iaitu Radio Televisyen
Malaysia (RTM) banyak menyediakan program-program yang
penuh berinfomasi dan bermaklumat seperti Dokumentari Argotek
yang menyampaikan pengetahuan mengenai teknologi dalam
bidang pertanian. Banyak info terkini berkaitan pertanian yang
boleh diperolehi daripada rancangan tersebut.
Begitu juga dengan stesen televisyen swasta seperti stesen
televisyen nombor satu di Malaysia iaitu TV3 yang merupakan
anak syarikat Media Prima turut menyediakan rancangan yang
berbentuk infomasi dan ilmu pengetahuan. Contohnya, rancangan
Medik TV, Ilmuan Islam, Jejak Rasul, Al-Kuliyah, dan lain-lain
lagi. Melalui rancangan Medik TV, pelbagai pengetahuan tentang
dunia perubatan didedahkan kepada masyarakat umum dalam satu
usaha memperkenalkan teknologi perubatan yang terkini. Selain
itu, rangkaian televisyen ini juga menyediakan rancangan-
rancangan yang berbentuk islamik kepada penduduk Malaysia
yang majoritinya beragama Islam. Seperti rancangan Ilmuan Islam
dan Jejak Rasul, umat Islam dapat mengetahui dan mengkaji
mengenai sejarah umat Islam yang terdahulu. Oleh itu, rancangan
seperti ini, amat berguna kepada masyarakat kita dan
menambahkan ilmu pengetahuan kita tentang sesuatu perkara.
3.0 Keburukan menonton televisyen
Di sebalik kebaikan, wujud juga aspek negatif. Antaranya adalah seperti
yang berikut:
3.1 Kemasukan budaya luar yang negatif
Kita tidak dapat menafikan bahawa sesetengah saluran televisyen
banyak mendedahkan kepada orang ramai, terutamanya golongan
remaja kepada budaya luar yang tidak sesuai dengan masyarakat
yang mengamalkan budaya ketimuran yang murni dan
mempraktikkan amalan agama yang baik. Sebagai contoh, filem-
filem daripada negara Barat banyak mengandungi unsur-unsur
ganas, seks, percintaan yang terlampau, tahayul dan banyak lagi
unsur negatif lain. Kini, bukan sahaja filem-filem dari Barat yang
mengandungi unsur-unsur negatif tersebut, malah filem-filem dari
negara-negara Timur juga turut terpengaruh dengan budaya yang
dibawa dari Barat. Contohnya filem-filem dari negara China,
Taiwan, Thailand, Filiphina, Indonesia dan juga tanah air kita,
Malaysia. Perkara ini sebenarnya, sangat bertentangan dengan
budaya yang telah kita amalkan sebelum ini. Hal ini demikian
kerana, semakin hari pertambahan saluran televisyen dengan
rangkaian 24 jam dan disiarkan program-program sedemikian
bekemungkinan dapat mencemarkan pemikiran anak muda dewasa
ini.
3.2 Mengganggu aktiviti harian
Di samping itu, sesetengah rancangan televisyen juga boleh
menggangu aktiviti seharian seseorang itu. contohnya siaran
langsung acara sukan seperti perlawanan bola sepak peringkat
dunia yang biasanya disiarkan pada lewat malam dan berlarutan
hingga ke awal pagi. Hal ini sudah pasti menganggu atau
menjejaskan qualiti tidur seseorang itu semata-mata untuk
menyaksikan perlawanan yang di siarkan itu. Pada ke esokan
harinya, orang dewasa mahupun remaja yang bergelar pelajar
terpaksa bangun awal untuk ke tempat kerja ataupun ke sekolah
pasti akan berasa letih kerana tidakcukup tidur pada sebelah
malamnya. Seseorang itu juga boleh menjadi ketagihan untuk
mengikuti sesuatu siri yang diminatinya sehinggakan sanggup
meninggalkan pekerjaan yang sedang dilakukannya semata-mata
untuk menonton televisyen. Hal ini, secara terang-terangan boleh
menjejaskan prestasi seseorang dalam yang mereka ceburi.
3.3 Melunturkan semangat kejiranan
Semenjak kebelakangan ini, semangat kejiranan dan amalan
kunjung-mengunjung semakin tipis dalan kalangan masyarakat
kita. Jikalau dahulu peribahasa seperti “ringan sama dijinjing, berat
sama dipikul” telah menjadi pegangan hidup masyarakat kita,
tetapi kini peribahasa ini tidak dipegang lagi oleh masyarakat kita.
Dalam zaman yang serba canggih dengan perkembangan sistem
teknologi yang begitu pesat di serata tempat sedikit sebanyak telah
memberi impak yang besar terhadap rangkaian televisyen. Oleh
itu, lahirlah manusia yang tidak lagi mementingkan semangat
kejiranan. Masyarakat zaman sekarang khususnya remaja banyak
menghabiskan masa mereka di hadapan televisyen sahaja, tanpa
menghiraukan hal-hal yang berlaku di persekitaran mereka.
Tambahan pula, pihak penerbitan swasta mahupun kerajaan
sungguh bijak menyusun rancangan–rancangan yang menarik di
kaca televisyen sehinggakan tiada waktu senggang langsung antara
satu rancangan ke rancangan yang lain. Oleh itu, banyak masa
dihabiskan di hadapan televisyen sahaja, jadi mereka yang gemar
menonton televisyen beralasan bahawa tiada masa yang lapang
untuk kunjung-mengunjung sesama jiran tetangga. Bagi mereka,
amalan kunjung-mengunjung dianggap kerja yang membuang
masa dan sia-sia sahaja. Mereka hidup bagaikan “enau di dalam
belukar, melepaskan pucuk masing-masing” dan “masing-masing
perahu, masing-masing kayuh”.
3.4 Memyekat minat membaca dan perkembangan otak kanan
Pengaruh televisyen banyak memberi kesan negatif kepada
kanak-kanak dan para remaja khususnya. Hal ini demikian kerana,
perkembangan teknologi televisyen telah menyekat minat
membaca golongan berkenaan. Akibat daripada kurangnya
membaca, prestasi akademik seseorang itu semakin menurun.
Seperti yang kita ketahui, “menbaca adalah jambatan ilmu”.
Sekiranya kita tidak mempraktikkan amalan membaca, bagaimana
kita boleh mendapat ilmu? Membaca amat penting terutamanya
pada zaman yang serba canggih ini. Dalam usia yang muda lagi,
kanak-kanak mesti dilatih untuk membaca dan menambah teknik
mereka dalam pembacaan. Hasil daripada pengalaman guru-guru
yang mengajar matapelajaran Bahasa Melayu, mendapati bahawa
masih terdapat segelintir pelajar yang bakal menduduki
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak tahu membaca.
Adakah ini salah ibu yang mengandung? Sudah tentu tidak.
Sebenarnya hal ini berpunca daripada kecanggihan televisyen
yang sekarang ini dianggap kawan karib mereka yang tidak kira
masa ataupun tempat.
Selain daripada itu, apabila kita menonton televisyen, kita hanya
menggunakan dua deria sahaja iaitu telinga dan mata untuk
mendengar dan melihat. Tetapi otak kita jarang digunakan dalam
masa tersebut. Hal ini, amat berbeza jika kita membaca buku cerita
ataupun novel misalnya. Apabila kita membaca buku, kita akan
cuba untuk menggambarkan atau imaginasi apa yang diceritakan
dalam penulisan tersebut. Secara tidak langsung, kita telah
mengaktifkan otak kanan kita. Sebaik-baiknya, otak kanan dan
otak kiri perlu diseimbangkan untuk menjamin ingatan yang kuat
di masa hadapan dan tidak mudah nyanyok diusia tua kelak.
3.5 Membazirkan wang dan masa.
Pada hakikatnya, menonton televisyen banyak membazirkan masa
dan wang ringgit sesetengah orang. Sejak kebelakangan ini,
negara kita telah dibanjiri dengan program-program realiti yang
banyak dipengaruhi dari negara-negara Barat contohnya Amerika
Syarikat. Antara program realiti yang telah diadakan seperti
Malaysian Idol, Akademi Fantasia, Mentor, dan terbaru ialah One
A Million. Pembaziran wang ini berlaku apabila penonton
terpengaruh dengan program-program tersebut dan terlalu fanatik
dengan artis realiti mereka sehinggakan mereka sanggup
mengeluarkan sejumlah wang untuk mengundi artis-artis pilihan
mereka. Lazimnya, mereka mengundi bukan sekali dua, malah
mungkin beratas-ratus kali. Jika difikirkan secara logiknya, berapa
banyak wang yang telah mereka habiskan untuk sesuatu program
sekiranya setiap undian dicaj sebanyak lima puluh sen. Jadi, siapa
yang mengaut keuntungan? Adakah orang yang mengundi akan
mendapat keuntungan? Seperti pepatah Melayu ada menyebut
“sesal dahulu berpendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”. Jadi
fikir- fikirkanlah.
Tambahan lagi, hal ini bukan sahaja membazirkan wang, tetapi
juga masa yang turut tergadai. Pembaziran masa terjadi apabila
seseorang itu terlalu banyak masa dihabiskan di hadapan kaca
televisyen dengan hanya menonton rancangan-rancangan yang
berunsurkan hiburan semata-mata. Seperti sedia maklum bahawa
program-program yang berbentuk hiburan banyak memaparkan
unsur-unsur negatif seperti pergaulan bebas antara lelaki dan
perempuan, mendedahkan aurat dan banyak lagi yang secara
terang-terangan menyalahi hukum syariat agama Islam. Jadi, masa
yang digunakan itu lebih baik dimanfaatkan untuk hal yang lebih
berfaedah, misalnya membaca buku-buku yang dapat menjana
minda.
4.0 Kesimpulan
Pada hakikatnya, saya dapati televisyen penting sebagai suatu bentuk
media informasi dan hiburan kepada orang ramai. Kebaikan dan
keburukan daripada penontonan siaran televisyen sebenarnya ditentukan
oleh diri kita sendiri sebagai penonton. Dalam hal ini, kita harus
mempunyai pendirian positif, di samping perlu mengawal diri berdasarkan
prinsip yang rasional agar kita memperoleh lebih banyak manfaat.
Kawalan emosi amat penting agar kita tidak terpengaruh dengan gejala
negative yang dibawanya. Tegasnya, apabila menonton, biarlah berpada-
pada jangan sampai terlalu membuang masa.
Bibliografi
Hasliza Hassan (2003, Sept). Kajian Dedahkan Televisyen Pengaruh Remaja
Ganas. [ Berita Harian ]
Hizral Tazzif Hisham (2003, Mei 24.Malaysia laksana televisyen digital
sepenuhnya pada 2014. [ Berita Harian ], 18-19.
Menanggani pengaruh budaya asing di Malaysia. (2001, April ).
[Berita Harian], 20
Shaharom TM Sulaiman (2004, Jun). Menghadapi pengglobalan negatif di
televisyen. [Harian Metro], 29
Perpustakaan Negara Malysia (2005), Kamus Dewan Edisi Keempat, Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Televisyen: Kebaikan Dan Keburukan
http://alyadina.blogspot.com/
Kebaikan Dan Keburukan Menonton Televisyen
http://tatabahasabm.tripod.com/tulisan/kbincangan.htm
KamusDewan
http://sbmb.dbp.gov.my/knb/cariankata/dbp_ka_rujukan_kamus_dbp.aspx