bab 04_kerja tanah

15
BAB 4 : KERJA TANAH 4.1 PENGENALAN Dalam usaha melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan awam, kerja tanah merupakan salah satu operasi yang tidak kurang pentingnya dalam aspek Kejuruteraan Awam dimana kerja ini perlu diberi perhatian yang khusus bagi menjamin kestabilan sesebuah struktur binaan yang akan dibina di atasnya nanti. Kerja tanah ini juga merupakan kerja awalan sebelum pembinaan sesuatu bangunan dapat dijalankan. Dalam binaan bangunan, kerja tanah merujuk kepada penyediaan aras pembentukan seperti yang dikehendaki dalam lukisan tapak yang telah disediakan. Aras pembentukan yang dimaksudkan ialah aras tanah yang dibentuk sama ada dengan memotong atau menambun tapak bagi menempatkan bangunan yang dicadangkan. Oleh yang demikian, kerja tanah ini bergantung sepenuhnya pada keadaan tapak jika dibandingkan dengan aras pembentukan. Sekiranya tapak tersebut mempunyai aras yang sama, maka kerja tanah tidak perlu dijalankan. Hal ini demikian kerja tanah hanya diperlukan sekiranya tapak tersebut mempunyai aras yang lebih tinggi daripada aras pembentukan. Sebaliknya, jika aras tapak tersebut lebih rendah daripada aras pembentukan, kerja penambunan pula diperlukan dalam situasi seperti ini.

Upload: hafiz-nurahim

Post on 12-Dec-2014

251 views

Category:

Documents


2 download

TRANSCRIPT

Page 1: Bab 04_Kerja Tanah

BAB 4 : KERJA TANAH

4.1 PENGENALAN

Dalam usaha melaksanakan kerja-kerja kejuruteraan awam, kerja tanah

merupakan salah satu operasi yang tidak kurang pentingnya dalam aspek

Kejuruteraan Awam dimana kerja ini perlu diberi perhatian yang khusus bagi

menjamin kestabilan sesebuah struktur binaan yang akan dibina di atasnya nanti.

Kerja tanah ini juga merupakan kerja awalan sebelum pembinaan sesuatu

bangunan dapat dijalankan.

Dalam binaan bangunan, kerja tanah merujuk kepada penyediaan aras

pembentukan seperti yang dikehendaki dalam lukisan tapak yang telah disediakan.

Aras pembentukan yang dimaksudkan ialah aras tanah yang dibentuk sama ada

dengan memotong atau menambun tapak bagi menempatkan bangunan yang

dicadangkan. Oleh yang demikian, kerja tanah ini bergantung sepenuhnya pada

keadaan tapak jika dibandingkan dengan aras pembentukan. Sekiranya tapak

tersebut mempunyai aras yang sama, maka kerja tanah tidak perlu dijalankan. Hal

ini demikian kerja tanah hanya diperlukan sekiranya tapak tersebut mempunyai aras

yang lebih tinggi daripada aras pembentukan. Sebaliknya, jika aras tapak tersebut

lebih rendah daripada aras pembentukan, kerja penambunan pula diperlukan dalam

situasi seperti ini.

Page 2: Bab 04_Kerja Tanah

Walaubagaimanapun, terdapat juga tapak yang memerlukan kerja

pemotongan dan penambunan tanah secara serentak. Situasi ini biasanya berlaku

pada tapak yang terletak di kaki bukit atau tanah yang tidak rata dimana tanah yang

dipotong biasanya akan dipindahkan ke kawasan yang perlu ditambun.

Tapak yang telah dipotong biasanya telah sedia padat dan hanya perlu

dicerun dan diratakan mengikut aras pembentukan yang dikehendaki. Keadaan ini

berbeza dengan penambunan tapak yang memerlukan kerja-kerja tambahan kerana

kawasan yang ditambun perlu dipadatkan terlebih dahulu sebelum kerja pencerunan

dan meratakan tanah dapat dijalankan.

Rajah 4.1.1 : Kerja pemotongan tanah di tapak bina rumah kediaman Semi-Double

1 Tingkat di Wakaf Bharu

Selain itu, kerja tanah biasanya melibatkan penggunaan loji atau jentera

secara intensif. Contohnya ialah jentolak, jengkaut, trak, penggelek dan pencerun.

Kebanyakan loji ini biasanya disewa daripada syarikat yang khusus menyewakan

loji seperti yang dilakukan oleh firma tempat saya menjalani latihan industri, HC

Hidayah Construction. Kebanyakan loji atau jentera disewa daripada syarikat

penyewaan loji yang berlainan. Hanya syarikat pembinaan yang besar sahaja yang

mampu memiliki loji yang besar seperti ini.

Page 3: Bab 04_Kerja Tanah

4.2 TINJAUAN TAPAK

Sebelum kerja-kerja tanah dapat dijalankan, tinjauan tapak akan

dilakukan bertujuan untuk mendapatkan maklumat secara pandangan kasar

dan pendapat-pendapat daripada masyarakat tempatan. Berdasarkan

konteks kejuruteraan awam, tinjauan tapak merujuk kepada kerja yang

dilakukan secara melawat atau meninjau keadaan tapak bina yang

dicadangkan sebelum bermulanya kerja pembinaan dan seterusnya

memudahkan perlaksanaan kerja-kerja tanah yang akan dijalankan.

Dalam melakukan peninjauan terhadap tapak, terdapat beberapa

maklumat penting yang perlu diketahui. Hal ini penting dalam memastikan

keberkesanan perlaksanaan kerja-kerja tanah disamping mengelakkan

sebarang kemungkinan yang akan berlaku. Antara maklumat-maklumat yang

diperlukan melalui tinjauan tapak ialah seperti berikut;

i. Arah matahari

Untuk mengetahui arah naik dan turun matahari bagi memastikan ruang-

ruang di dalam bangunan mendapat cahaya yang mencukupi.

ii. Pemandangan

Pemandangan yang cantik dan menarik akan membantu meningkatkan

harga pasaran.

iii. Mengelakkan kawasan rendah

Tapak dipastikan tidak terlalu hampir dengan sungai atau kawasan rendah

bagi mengelakkan berlakunya banjir.

iv. Kemudahan awam

Bekalan air, elektrik dan telefon serta jalinan jalan raya, pengangkutan,

pendidikan dan lain-lain keperluan asas perlu diambil kira.

v. Tanah tapak bangunan

Tanah seharusnya dipastikan tanah asal dan bukan tanah timbus tempat

buangan sampah atau tanah sawah (paya).

Page 4: Bab 04_Kerja Tanah

vi. Faktor alam sekitar

Pembinaan hendaklah dielakkan berhampiran dengan kuari, lombong, kilang

atau lapangan terbang terutamanya bagi projek kediaman supaya tiada

gangguan dari segi pencemaran bunyi, udara dan kekotoran terhadap

pemilik di kemudian hari.

vii. Kawasan tanah rata

Kawasan tanah rata akan memudahkan kerja dan menjimatkan kos

pembinaan jika dibandingkan kawasan berbukit bukau yang memerlukan

kerja-kerja meratakan tanah.

4.3 PENYIASATAN TAPAK

Penyiasatan tapak merupakan satu proses kerja yang dilakukan

dalam proses pembinaan. Penyiasatan tapak ini dilakukan bagi

mengenalpasti lapisan tanah dan kekuatan tanah serta untuk membuktikan

kesahihannya dan menambahkan maklumat terkumpul. Maklumat yang

diperoleh akan digunakan untuk menyediakan reka bentuk binaan yang

selamat dan ekonomi.

Perkara yang perlu dilakukan kontraktor dalam penyiasatan tanah

ialah mendapatkan maklumat tentang keadaan setiap lapisan tanah

termasuk jenis tanah dan sifat tanah, kekerasan tanah, keterangan serta

kedalaman batu dasar di pelbagai lokasi dan kedalaman tapak cadangan.

Hal ini penting dalam mereka bentuk asas yang bersesuaian. Pihak

kontraktor juga hendaklah menentukan aras air bumi dalam tanah, tekanan

air di kawasan berkenaan dan mengenal pasti teknik yang sesuai untuk

merendahkan aras air bumi itu.

Walaubagaimanapun, sebelum kerja penyiasatan tapak dijalankan di

tapak bina, pihak kontraktor perlu mendapatkan maklumat-maklumat tentang

keadaan tapak. Antara maklumat-maklumat yang perlu diperolehi adalah

seperti berikut;

a) Peta geologi

Page 5: Bab 04_Kerja Tanah

o Diperoleh daripada Jabatan Geologi Malaysia. Peta ini memberi

maklumat mengenai sifat geologi tanah bagi sesuatu kawasan di

mana ia akan memberi maklumat awal tentang sifat geologi tanah

supaya dapat diadakan persiapan untuk penyelidikan seterusnya.

b) Laporan kajicuaca

o Diperoleh daripada Jabatan Kajicuaca dimana ia memberikan

maklumat seperti taburan hujan, banjir dan paras pasang surut.

c) Gambar udara (Fotogrametri)

o Diperolehi daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia. Melalui

gambar udara ini kita dapat mengenalpasti kedudukan sungai, tasik

serta dapat mengenali halangan-halangan ke tempat tersebut serta

bentuk muka bumi secara kasar bagi membolehkan perancangan,

perhubungan (jalan) ke tempat penyelidikan tapak dapat dijalankan.

d) Pelan kawasan lama

o Diperolehi daripada Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan. Melalui

pelan yang ada keadaan kawasan serta binaan-binaan yang sedia

ada dapat dipastikan serta menyesuaikannya dengan cadangan

pembinaan yang baru.

e) Rekod-rekod perlombongan

o Diperolehi daripada Jabatan Tanah dan Galian. Ia mengandungi

rekod-rekod kerja perlombingan yang lalu. Rekod-rekod ini akan

membantu dalam mengenalpasti keadaan tanah di kawasan yang

dicadangkan.

f) Sesalur Kemudahan

o Diperolehi daripada Pihak Berkuasa Kerajaan Tempatan bagi

mengetahui kedudukan sesalur kemudahan yang sedia ada seperti

kabel elektrik, telefon, paip-paip air dan pembentungan. Ini bertujuan

untuk mengelakkan kerosakan sesalur semasa kerja pengorekan.

Apabila keperluan-keperluan berjaya dipenuhi, penyiasatan tapak

boleh dijalankan bergantung kepada kehendak kontraktor. Penyiasatan

tapak yang dijalankan adalah bertujuan untuk mengenalpasti kesesuaian

Page 6: Bab 04_Kerja Tanah

tapak bagi kerja yang dicadangkan. Hal ini seterusnya memudahkan pihak

yang terlibat mengambil langkah yang sesuai bagi mengatasi sebarang

kerumitan yang mungkin timbul semasa pembinaan yang disebabkan oleh

keadaan tanah dan keadaan tempat yang lain.

Selain itu, penyiasatan tapak juga bertujuan untuk mengenalpasti

perubahan-perubahan yang mungkin berlaku disebabkan oleh perubahan

keadaan asal dan juga mengkaji kemungkinan apa yang akan berlaku

disebabkan perubahan itu. Dengan ini, pihak yang terlibat dapat memberi

gambaran tentang kemungkinan masalah-masalah yang akan dialami ketika

pembinaan. Penyiasatan tapak juga membolehkan perekabentuk memilih

dan merekabentuk jenis-jenis asas yang baik, selamat dan berekonomi.

Contoh yang paling ketara dapat dilihat melalui pembinaan asas bagi

Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur dimana ahli geologi pada ketika

itu mengorek ratusan lubang gerudi pada tanah bagi mengeluarkan ribuan

sampel tanah untuk diuji. Pengujian tanah ini bertujuan untuk mencari

batuan dasar yang keras bagi menyokong beban menara yang akan dibina.

Walaubagaimanapun, kajian yang dijalankan menemui keputusan yang teruk

kerana pihak yang menjalankan kajian menemui batu kapur yang berbagai

sifat iaitu batu kapur yang teruk diikuti dengan batu kapur yang keras dan

batu kapur yang lembut.Jika pembinaan menara diteruskan di tempat

terbabit, berkemungkinan tanah akan menjadi tidak rata dan bangunan

Menara Berkembar Petronas mungkin akan runtuh atau tenggelam.

Rajah 4.3.1 : Menara Berkembang Petronas

Lantaran itu, Charlie Thornton yang merupakan jurutera bagi projek

terbabit mengemukakan idea yang bernas dimana beliau mencadangkan

pengalihan seluruh bangunan 60 meter keatas tanah yang lebih lembut. Ia

Page 7: Bab 04_Kerja Tanah

kelihatan seperti idea yang tidak normal namun sebenarnya, terdapat

pemikiran jelas disebaliknya. Beliau merancang untuk membina asas melalui

cerucuk besar 120 meter kebawah tanah ke lapisan batu dalam kerak bumi

diikuti dengan membina batuan dasar sendiri di atasnya. Bangunan

pencakar langit terbabit akan dibina di atas permukaan konkrit yang luas dan

seterusnya menjadikan pembinaan asas bagi Menara Berkembar Petronas

sebagai asas yang paling dalam di dunia.

4.4 PROSES KERJA YANG DILAKUKAN

4.4.1 AKTIVITI KERJA TANAH

Kerja tanah terdiri daripada beberapa aktiviti seperti yang ditunjukkan dalam

rajah 4.4.1. Antara aktiviti-aktiviti yang dimaksudkan ialah pembersihan,

pengorekan, pemunggahan, pengangkutan, penuangan, pemadatan dan

pencerunan. Walaupun demikian, tidak semua aktiviti dalam kerja tanah perlu

dilakukan pada sesuatu projek. Sebagai contoh, tapak yang mempunyai aras yang

sama dengan aras pembentukan hanya memerlukan kerja pembersihan dan

pencerunan semata-mata. Sementara tapak yang mempunyai aras yang lebih tinggi

hanya memerlukan pengorekan dan pencerunan sahaja. Kesimpulannya, aktiviti

yang diperlukan bergantung kepada keadaan tapak dan keperluan projek.

Jadual 4.4.1 : Aktiviti Kerja Tanah

Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, kerja tanah melibatkan penggunaan loji

secara intensif. Oleh itu, setiap kerja tanah pada sesuatu tapak memerlukan satu

Pembersihan

Pengorekan

Pemunggahan

Pengangkutan

Penuangan

Pemadatan

Pencerunan

Page 8: Bab 04_Kerja Tanah

gabungan penggunaan beberapa jenis loji yang bersesuaian. Seperti kerja tanah,

pemilihan loji juga bergantung pada keadaan tapak. Berikut merupakan jenis loji

yang digunakan berdasarkan kepada kehendak aktiviti kerja tanah;

Aktiviti Loji

Pembersihan Jentolak

Pengorekan Jentolak, Jengkaut

Pemunggahan Jengkaut

Pengangkutan dan Penuangan Trak

Pemadatan Penggelek

Pencerunan Pencerun

Jadual 3.2.1 : Aktiviti kerja tanah dan penggunaan loji

4.4.2 PEMBERSIHAN

Dalam beberapa projek pembinaan rumah kediaman dibawah HC

Hidayah Construction, kebanyakan kerja tanah dimulakan dengan

pembersihan tapak dimana ia bertujuan untuk membersihkan semak-samun

dan menumbangkan pokok-pokok yang besar. Pembersihan tapak ini

biasanya dilakukan dengan menggunakan jentolak yang disewa dari syarikat

pembekal loji yang berdekatan.

Rajah 4.4.2.1 : Kerja membersihkan semak-samun sedang dijalankan

Page 9: Bab 04_Kerja Tanah

Penumbangan pokok-pokok besar dapat dilakukan dengan menggunakan

jentolak. Walaubagaimanapun, penumbangan pokok-pokok besar tidak begitu

mudah untuk dilakukan kerana ia melibatkan beberapa langkah yang perlu diambil.

Sebelum pokok besar ditumbangkan, pemotongan dilakukan terhadap akar pada

arah yang berlawanan dengan arah pokok melalui bilah jentolak. Selepas itu,

pemotongan dilakukan pula terhadap akar pada kedua-dua sisi pokok yang

bersudut pugak dengan potongan. Walaubagaimanapun, terdapat pokok yang

terlalu besar dimana ia perlu ditebang dahulu sebelum akar dan tunggulnya dicabut.

Rajah 4.4.2.2 : Jentolak sedang giat menumbangkan pokok

Selepas semak-samun dan pokok-pokok besar dibuang daripada tapak,

lapisan tanah atas pada keseluruhan tapak perlu dikikis sedalam antara 150 mm

hingga 300 mm. Tanah yang dikikis ini akan dilonggokkan di tepi tapak untuk

digunakan kemudiannya. Ini ialah lapisan tanah yang subur yang akan digunakan

semula pada masa penanaman rumput dan pokok setelah bangunan siap dibina.

Tanah yang subur ini diperlukan kerana tanah pada aras pembentukan biasanya

tidak mengandungi baja. Oleh itu, penggunaan tanah atas ini dapat menjimatkan

kos perbelanjaan kerana tanah yang subur tidak perlu dibeli daripada tempat yang

lain.

Page 10: Bab 04_Kerja Tanah

Rajah 4.4.2.3 : Tanah yang dilonggokkan di tepi tapak

Selain semak-samun dan pokok besar, ada kemungkinan terdapat perkara-

perkara lain di tapak binaan. Antaranya ialah binaan lama dan batu besar.

Tinggalan binaan lama merujuk kepada bangunan separuh kekal yang dibina

daripada konkrit dan kayu. Kerja perobohan dan pembersihan terhadap binaan lama

ini biasanya diserahkan kepada kontraktor kecil yang pakar dalam bidang ini.

Sementara itu, jika terdapat batu besar di tapak, batu itu juga perlu

dikeluarkan. Situasi ini dapat dilihat melalui kerja tanah yang dijalankan di

tapak bina di bawah projek “Cadangan Membina dan Menyiapkan 2 Unit

Rumah Kediaman Berkembar Batu (Kekal) 1 Tingkat Lot PT 260 / 261, Pasir

Mas, Kelantan” dimana batu besar ditemui di dalam tanah ketika jentolak

sedang menjalankan kerja pengorekan. Batu besar tersebut berjaya

dialihkan dengan menggunakan bilah jentolak. Walaubagaimanapun,

sekiranya jentolak gagal untuk mengalihkan batu tersebut, letupan terpaksa

digunakan dalam situasi ini. Kerja membersihkan dan meletupkan batu ini

biasanya diserahkan kepada kontraktor kecil yang pakar dalam bidang ini

atas faktor keselamatan.

4.4.3 PENGOREKAN

Aktiviti pengorekan tanah merujuk kepada pemotongan tanah di tapak untuk

mendapatkan aras pembentukan yang dikehendaki. Loji yang biasa digunakan

dalam aktiviti pengorekan ini meliputi kombinasi antara jentolak dengan jengkaut.

Loji lain yang mungkin digunakan ialah tali seret dan pengorek-kaut.

Page 11: Bab 04_Kerja Tanah

Di firma HC Hidayah Construction, kebanyakan kerja tanah yang dijalankan

tidak menggunakan jentolak dan jengkaut secara berasingan. Sebaliknya, kerja

tanah dijalankan dengan menggunakan loji yang menggabungkan fungsi sebagai

jentolak dan jengkaut iaitu jentera penggali. Jentera penggali merupakan traktor

yang menggunakan roda getah, dilengkapkan dengan ciri-ciri jentolak pada

bahagian hadapannya dan ciri-ciri pengorek-kaut pada bahagian belakangnya.

Jentera penggali menolak tanah dengan cara merendahkan bilahnya

untuk tujuan pemotongan tanah sehingga tanah yang dikorek memenuhi

bilah tersebut. Selepas itu, tanah yang memenuhi bilah tersebut akan

dilonggokkan di tepi tapak sebelum diangkut ke tempat yang lain. Sementara

itu, pengorek-kaut yang terdapat pada bahagian belakang jentera penggali

pula digunakan untuk menjalankan pengorekan terhadap bahan yang lembut

sehingga sederhana keras dan memunggahnya ke dalam loji pengangkut.

Ada masanya, tanah yang telah dikorek akan dibawa ke tempat yang

ditentukan jika tidak terlalu jauh. Pengorekan terhadap tanah juga bertujuan

untuk menanam sisa-sisa buangan atau semak-samun yang tertinggal di

tapak bina seperti yang ditunjukkan dalam rajah dibawah.

Pemilihan terhadap jentera penggali beroda disebabkan ia dapat

bergerak lebih laju jika dibandingkan dengan jentera yang menggunakan

trek keluli. Selain itu, dengan adanya jentera beroda, pemadatan tanah

dapat dijalankan.

Rajah 4.4.3.1 : Pengorekan tanah untuk menanam sisa buangan

Page 12: Bab 04_Kerja Tanah

Rajah 4.4.3.2 : Sisa buangan ditempatkan di dalam lubang korekan untuk ditanam

4.4.4 PEMUNGGAHAN, PENGANGKUTAN DAN PENUANGAN

Aktiviti pemunggahan dan pengangkutan diperlukan sekiranya tanah yang

dikorek perlu dikeluarkan dari tapak. Tanah tersebut mungkin dipindahkan ke tapak

yang lain yang perlu ditambun atau dibuang di tempat buangan yang ditentukan.

Pengorek-kaut yang terdapat pada Jentera penggali boleh digunakan untuk

memunggah seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Jikalau tanah yang dikorek

lembut atau sederhana keras, pengorek-kaut pada jentera penggali dapat mengorek

sendiri tanah itu dan memunggahnya ke dalam loji pengangkut.

Pemilihan loji pengangkut yang sesuai adalah berdasarkan muatan yang

dapat diangkut dan kelajuannya bergerak di atas tapak. Loji pengangkut yang

digunakan dalam firma HC Hidayah Construction ialah lori trak yang berupaya

menjongketkan gerabaknya sama ada ke belakang atau ke tepi seperti yang

ditunjukkan pada rajah 4.4.4. Ciri-ciri ini penting bagi memudahkan pergerakan

tanah yang telah dipunggah ke dalam gerabak untuk dibuang ke tempat tertentu.

Page 13: Bab 04_Kerja Tanah

Rajah 4.4.4 : Pengorek-kaut sedang memunggah tanah ke dalam gerabak lori trak

4.4.5 PEMADATAN

Pemadatan tanah merupakan satu mekanisme dalam mengurangkan

rongga udara yang harus dilakukan untuk meningkatkan kekuatan ricih

tanah dimana kekuatan ricih tanah ini bergantung kepada jenis tanah,

ketumpatan, dan kandungan lembapan. Kekuatan ricih tanah perlu diketahui

untuk menilai keupayaan galas untuk tanah.

Dalam aktiviti yang melibatkan kerja pemadatan tanah, kawasan

yang ditambun perlu dipadatkan bagi meningkatkan ketumpatan tanah yang

longgar. Secara umumnya, tanah yang longgar biasanya mengandungi

banyak ruang udara dan air. Proses pemadatan secara mekanik akan

memaksa butiran tanah menjadi lebih rapat di samping mengeluarkan udara

dan air daripada tanah tersebut. Seterusnya, pemadatan tersebut akan

dapat mempertingkat keupayaan galas, mengurangkan kebolehtelapan dan

mengurangkan kemungkinan berlakunya hakisan tanah.

Page 14: Bab 04_Kerja Tanah

Proses pemadatan dilakukan secara berperingkat mengikut lapisan

demi lapisan. Tanah yang longgar akan dituang dan direbakkan dalam

lapisan setebal 150-250 mm dimana perebakan ini dapat dilakukan dengan

menggunakan bahagian jentolak yang terdapat pada bahagian hadapan

jentera penggali.

Rajah 4.4.5 : Pemadatan Tanah sedang giat dijalankan

Sebelum pemadatan dijalankan, kelembapan yang optimumperlu

diberikan kepada tanah. Kelembapan ini diperlukan sebagai bahan pelincir

dalam proses pemadatan. Dalam hal ini, tanah yang terlalu lembap perlu

dikeringkan, sementara tanah yang terlalu kering memerlukan penambahan

kandungan pelembapan sebelum pemadatan tanah dilakukan dengan

bantuan jentera penggali.

4.5 KOMEN DAN CADANGAN

Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, kerja tanah merupakan kerja awalan

sebelum kerja pembinaan bangunan dapat dijalankan. Secara keseluruhannya,

kerja tanah yang dijalankan dalam keseluruhan projek pembinaan dibawah HC

Hidayah Construction adalah memuaskan. Jentera penggali dipandu oleh pemandu

yang berpengalaman dalam mengawal jentera penggali.