zawiyatul siber : remaja it @masjid
Post on 19-Jan-2017
258 Views
Preview:
TRANSCRIPT
1
ZAWIYATUL SIBER : REMAJA IT @MASJID
Norita Md Norwawi, Mohd Ilias M. Shuhud, Syed Najihuddin Syed Hassan
Universiti Sains Islam Malaysia
Abstrak
Rasulullah telah menyatakan bahawa golongan pemuda yang terikat hatinya dengan masjid
adalah di antara tujuh golongan yang akan dinaungi Allah di Padang Mahsyar kelak.
Baginda juga menyeru agar kita mengasihi dan meraikan golongan yang lebih muda ini
dengan memberikan bimbingan yang berterusan kepada mereka. Mereka sebenarnya adalah
generasi pelapis kepimpinan pada masa akan datang. Namun begitu, perkembangan terkini
mendapati wujudnya keciciran sesetengah golongan ini. Mereka dilaporkan terlibat dengan
kegiatan tidak sihat yang boleh menjerumuskan mereka ke lembah kehinaan. Mereka lebih
gemar melibatkan diri dengan gejala lepak di tempat-tempat awam seperti pusat membeli-belah,
pusat-pusat hiburan seperti karaoke, disko dan sebagainya. Siber kafe juga menjadi salah satu
tempat pilihan mereka berkumpul dan bersosial sesama rakan sebaya. Senario sebegini
menjadikan remaja mudah terlibat dengan aktiviti yang kurang sihat seperti pembaziran masa
dan wang dengan permainan komputer, melayari laman web yang tidak bermoral dan memuat
turun bahan-bahan porno dari Internet. Kertas kerja ini bertujuan untuk mencadangkan agar
program remaja IT@masjid untuk dilaksanakan di masjid-masjid dengan mewujudkan
Zawiyatul Siber atau sudut siber yang berkonsepkan pendidikan Islam. Ini dapat membantu
mengimarahkan masjid yang juga berfungsi sebagai pusat pendidikan dan latihan sebagaimana
yang ditunjukkan oleh Rasullullah . Konsep Zawiyatul Siber ini mestilah bersifat mesra remaja
dan dalam masa yang sama mendidik pengguna remaja dengan etika dan adab pengguna IT
Muslim. Perisian dan perkakasan yang bersesuaian dengan hasrat murni ini perlu dibangunkan
untuk diaplikasikan seperti sistem pengoperasian komputer dari sumber terbuka Ubuntu for
Muslim Edition yang dikenali sekarang sebagai Linux Sabily yang sememangnya dibangunkan
berkonsepkan Islam.
1.0 PENGENALAN
Golongan pemuda dan pemudi adalah kumpulan masyarakat yang perlu diberikan perhatian dan
bimbingan sewajarnya agar menjadi insan yang berguna kepada agama, masyarakat dan negara.
Mereka juga merupakan harapan pelapis kepimpinan generasi akan datang. Usaha mendidik dan
mentarbiah agar mereka agar menjadi pemimpin yang berwibawa, amanah dan bertanggung-
jawab amat perlu melalui penghayatan nilai-nilai Islam yang disebatikan dalam diri mereka yang
sebaik-baiknya dimulakan sejak dari kecil. Tanpa pegangan agama sebagai benteng pertahanan
diri, remaja akan mudah terjebak kepada masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, melepak,
pergaulan bebas yang akhirnya membawa kepada pembuangan bayi dan sebagainya. Rasulullah
telah mengingatkan umatnya di dalam sebuah hadis yang memperihalkan bahawa di antara 7
golongan yang dilindungi oleh Allah dengan naungan-Nya di Padang Mahsyar nanti adalah
2
pemuda-pemuda yang sentiasa beribadah kepada Allah , serta orang yang hatinya terikat
dengan masjid sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis berikut:
Berkata Abu Hurairah : Nabi telah bersabda: “Ada 7 kelompok yang akan
mendapat perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan kecuali
perlindungan-Nya. Mereka adalah pemimpin yang adil, anak muda yang
senantiasa beribadah kepada Allah , seseorang yang hatinya selalu dipertautkan
dengan masjid, 2 orang yang saling mencintai kerana Allah , yakni keduanya
berkumpul dan berpisah kerana Allah , seorang lelaki yang ketika digoda oleh
seorang wanita bangsawan lagi rupawan lalu ia menjawab: “Sesungguhnya aku
takut kepada Allah”, seseorang yang mengeluarkan sedekah lantas
disembunyikannya sampaikan tangan kirinya tidak mengetahui apa yang
diperbuat oleh tangan kanannya, dan seseorang yang berzikir kepada Allah di
tempat yang sunyi lalu ia mencucurkan air mata (HR. Bukhary-Muslim)
Ini mengambarkan peri pentingnya anak-anak muda dibimbing dengan agama dan
kewujudan kumpulan yang mengimarahkan masjid hingga diberi keistimewaan oleh Allah di
Padang Mahsyar kelak. Golongan remaja patut menjadikan Rasulullah serta para sahabat
yang telah mendapat didikan Baginda yang merupakan remaja gemilang seperti Ali bin Abu
Talib, Abd Allah bin al-‟Abbas, al-Zubair bin Al-Awwam, Talhah bin Ubaidillah, Saad bin Abi
Waqqas, Fatimah binti Muhammad dan Ummul Mukminin Aisyah binti Abu Bakar . Mereka
memeluk Islam sewaktu umur mereka belasan tahun lagi. Mereka menjadi tulang belakang
kepada usaha dakwah Rasulullah dalam meninggikan syiar Islam dan menyebarkan mesej-
3
mesej Islam. Jiwa dan keimanan mereka begitu mantap tanpa gentar dengan penentangan dan
penindasan golongan yang bencikan risalah disebarluaskan.
Remaja perlu dididik agar mematangkan mereka dan mampu berfikir serta menjadi
manusia yang bertanggung jawab memikul amanah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah .
Mendidik anak-anak muda golongan remaja terutamanya adalah tanggungjawab bersama bukan
sahaja oleh keluarga malahan setiap anggota masyarakat yang prihatin sebagaimana Allah
berfirman:
“Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api
neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-
malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang
diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang
diperintahkan.” (QS, al-Tahrim:6)
2.0 PENDIDIKAN REMAJA
Untuk mendidik remaja mempunyai cabarannya yang tersendiri apatah lagi di zaman
kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi yang berkembang begitu pesat. Saidina Ali
berpesan “Ajarlah anak kamu dengan perkara lain yang kamu pelajari. Mereka hidup pada
zaman yang bukan zaman kamu”.
Kita harus memahami persekitaran zaman remaja ini dibesarkan dan berusaha
menyesuaikan pendidikan selari dengan apa yang mereka hadapi dalam zaman semasa. Ini dapat
membantu dalam mengurangkan jurang komunikasi yang mungkin timbul dlam usaha mendidik
mereka. Adalah tidak adil untuk mendidik remaja sekarang sebagaimana zaman kita didik oleh
ibubapa dan guru dahulu. Zaman mereka TV hitam putih pun sukar untuk diperolehi dan dilihat
lagi. Sekarang bukan sahaja dengan TV warna tetapi wujud juga stesyen penyiaran awam
malahan swasta serta TV satelit seperti Astro di samping DVD dan sebagainya.
4
Malahan di kala ini, teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi sebahagian dari
hidup mereka. Facebook, MySpace, Friendster, Yahoo Messenger adalah sebahagian dari “alat
permainan” mereka. Jika tidak dibimbing mungkin mereka akan hanyut dan
menyalahgunakannya. Pemikiran remaja zaman ICT ini perlu difahami agar pendidikan lebih
relevan dengan dunia mereka. Adalah tidak adil untuk kita mmendidik mereka sebagaimana ibu-
bapa kita mendidik kita. Kata-kata Saidina Umar bin Al-Khattab yang masyhur tentang
mendidik anak iaitu “Bermainlah dengan anak kamu selama 7 tahun, umur 7 ke 14 tahun masa
untuk mendisiplinkan anak dan apabila berusia 14 ke 21 tahun, bersahabatlah dengan mereka”.
Pemasalahannya ialah bagaimanakah kita menterjemahkan “bersahabat dengan anak yang dalam
peringkat umur remaja” dalam kehidupan kita seharian dan masyarakat?
3.0 MASALAH SOSIAL MELIBATKAN REMAJA
Kajian telah dijalankan untuk meneliti punca-punca berlakunya masalah sosial seperti budaya
lepak di kalangan remaja. Azizi Yahaya dan Nalini a/p Madavan (2007) antaranya melaporkan
hubungan kekeluargaan merupakan faktor yang dominan dan signifikan yang mempengaruhi
remaja di samping faktor kendiri remaja dan pendidikan agama. Corak asuhan ibu bapa dan
peranan ibu bapa sebagai contoh teladan adalah pengaruh utama. Hubungan kekeluargaan yang
renggang, kurang pendidikan agama serta kebosanan duduk di rumah kerana ibu bapa bekerja
menjadi antara punca remaja melepak seterusnya terlibat dengan gejala sosial seperti
penyalahgunaan dadah, merempit dan pergaulan bebas sehingga membabitkan pembuangan bayi
dan sebagainya.
Remaja yang kini begitu sinonim dengan gejala lepak sama ada di kompleks membeli-
belah, pusat-pusat hiburan seperti karaoke, disko dan snuker. Kafe siber juga dilaporkan menjadi
sarang mereka menghabiskan masa dengan permainan komputer, melayari laman-laman web
yang tidak berfaedah dan memuat turun bahan-bahan porno. Perkara ini pula disokong oleh
premis-premis kafe siber yang berorientasikan perniagaan dan keuntungan yang dilengkapi
peralatan komputer yang canggih. Fenomena “ketagihan dengan permainan komputer telah biasa
dilaporkan yang melibatkan pembaziran wang, masa dan cuai dengan tanggungjawab sebagai
seorang pelajar malahan sebagai seorang Muslim seperti mengabaikan solat dan sebagainya.
Sebahagian dari premis juga menyediakan makanan dan minuman bagi kemudahan pelanggan
5
mereka. Maka dengan demikian, begitu selesalah pelanggan untuk duduk selama berjam-jam
sehingga larut malam bersama kawan-kawan untuk bermain permainan komputer hatta
melibatkan perjudian..
Sehubungan dengan itu, beberapa kajian telah dijalankan berkaitan pengunaan kafe siber
di kalangan remaja melaporkan bahawa majoriti pengguna kafe siber adalah mereka yang dalam
lingkungan umur 15 hingga 35 tahun (Furuholt, Kristiansen, & Wahid, 2005). Mereka ini
didapati mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan belajar sesama sendiri cara-cara
penggunaan Internet. Kajian tersebut juga merumuskan bahawa kafe siber telah dijadikan
sebagai pusat melepak, pusat permainan, tempat berhubung dengan rakan-rakan melalui emel
serta sembang secara online, muat turun bahan seperti muzik, membuat pembelian online,
berjudi, melayari Internet untuk tugasan sekolah, membaca berita mengenai artis-artis dan
melawat laman web lucah, ( Jamaluddin, 2008; Wishart, 2004; Furuholt & Kristiansen, 2007).
Oleh itu para remaja Muslim perlu dibimbing mengenai penggunaan Internet dengan konsep
Allah yang Maha Melihat. Walau bagaimanapun dengan persekitaran kafe siber yang
berorientasikan perniagaan bukanlah ruang yang sesuai untuk mendidik mereka menjadi
pengguna IT Muslim yang amanah dan bertanggung jawab. Oleh itu kertas kerja ini
menyambung perbincangan Ariffin Abdul Mutalib et al. (2008) untuk mencadangkan sudut siber
di masjid yang dipanggil Zawiyatul Siber dengan matlamat mentarbiyah golongan sasar remaja
Muslim dengan pendidikan ICT yang bersesuaian dengan etika Islam dalam masa yang masa
menjadi tarikan untuk mereka ke masjid dan tidak lalai dalam tanggungjawab mereka. Mudah-
mudahan usaha ini akan dapat membantu mewujudkan suasana mesra remaja dalam usaha
mengimarahkan masjid-masjid di Malaysia.
4.0 KAFE SIBER DI MALAYSIA
Sehubungan dengan itu, dari pemerhatian penulis, terdapat 3 jenis kafe siber : 1) Berorientasikan
perniagaan dan keuntungan; 2) Berorientasikan khidmat yang biasanya wujud di institusi
6
pengajian tinggi untuk pelajar menyiapkan tugasan; serta 3) Berorientasikan khidmat untuk
kegunaan pelancong dari luar negara biasanya di lapangan terbang atau hotel-hotel. Walau
bagaimanapun, jika diselidiki tiada definisi jelas untuk kafe siber di Malaysia. Premis kafe siber
seolah-olah telah disamatarafkan sebagai pusat hiburan dan pusat perjudian. Difahamkan bahawa
permohonan lesen dan pembaharuan lesen kafe siber ini adalah di bawah pengurusan Majlis
Perbandaran.
Sejauh manakan penguatkuasaan polisi, prosedur dan peraturan yang perlu dipatuhi di
kalangan pengusaha premis kurang diketahui. Setakat ini jika terdapat penangkapan yang
dilaporkan, adalah melibatkan penggunaan perisian cetak rompak di premis tersebut. Sejauh
mana pemantauan kunjungan para pelajar sekolah, serta aktiviti yang wujud di premis itu kurang
diketahui. Masyarakat juga kurang memberikan perhatian serius kepada gejala sosial yang timbul
hasil daripada kewujudan kafe siber yang kurang bertanggungjawab ini. Perundangan siber
berkaitan kafe siber juga kurang diberikan perhatian. Keadaan ini amat berbeza di Barat, di mana
kumpulan NGO serius dalam memperjuangkan perbuatan salahguna oleh premis kafe siber ke
atas kalangan pengguna remaja khasnya.
Lanjutan dari isu-isu yang timbul berkaitan kafe siber dan remaja, kertas kerja ini
mencadangkan model kafe siber yang berteraskan pendidikan Islam yang disarankan untuk
dilaksanakan di masjid-masjid sebagai satu alternatif yang lebih positif. Usaha ini bukan sahaja
mendedahkan remaja kepada dunia ICT tetapi juga sebagai satu strategi untuk mendekatkan
mereka kepada masjid. Usaha ini juga membantu mengimarahkan masjid terutama dari kalangan
remaja yang begitu kurang bilangannya. Maka fungsi masjid yang bukan terhad hanya kepada
ibadah khusus tetapi juga sebagai pusat pendidikan komuniti sama ada fardu ain mahupun fardu
kifayah dapat dihidupkan. Satu pendekatan yang lebih mesra remaja boleh direalisasikan sebagai
satu tarikan untuk mereka ke masjid. Program-program khas perlu dijalankan untuk mentarbiyah
golongan ini khasnya dan masyarakat umumnya. Personel yang mempunyai kemahiran ICT juga
perlu diwujudkan bagi melaksanakan program ini.
Selari dengan hasrat itu, konsep pendidikan dalam Islam perlu menekankan penawar bagi
keruntuhan akhlak dengan menghubungkan makhluk dengan Allah serta mewujudkan
program-program tarbiyah bagi mengukuhkan iman, ruh dan akhlak yang selaras dengan
tuntutan agama. Penghalang kepada pendidikan golongan remaja ini sebenarnya berpunca dari
7
ketiadaan falsafah atau ruh Islam yang jelas dalam program pendidikan mereka. Dengan nilai-
nilai agama inilah diharapkan akan menjadi benteng dan perisai mereka dari terlibat dengan
masalah sosial remaja yang semakin lama semakin tenat. Kafe siber adalah menjadi minat remaja
zaman kini yang perlu diambil sebagai satu peluang untuk mendekati mereka di samping
mentarbiyah mereka.
5.0 ZAWIYATUL SIBER : SUDUT SIBER@MASJID
Zawiyatul Siber atau sudut ICT di masjid disarankan untuk diwujudkan sebagai satu platfom
untuk mendidik remaja dalam masa yang sama menjadi daya tarik untuk mereka hadir ke masjid.
Langkah ini sebagai satu alternatif bagi kafe siber dalam mewujudkan persekitaran (bi’ah)
solehah dalam pendidikan mereka khususnya dalam penggunaaan ICT.
Masjid sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah adalah merupakan
institusi pendidikan masyarakat yang tidak terbatas kepada ibadah khusus semata-mata. Pada
zaman Nabi , masjid merupakan pusat pemerintahan, pusat pentarbiyahan, pusat komuniti
malahan menjadi pusat latihan ketenteraan. Sebagaimana yang dinyatakan sebelum ini, institusi
masjid perlulah “mesra remaja” agar golongan remaja berminat untuk pergi ke masjid bukan
setakat seminggu sekali pada setiap hari Jumaat.
5.1 Sistem Pengurusan Zawiyatul Siber (SPZS)
Ariffin Abdul Mutalin et al. (2009), telah mencadangkan satu model Sistem Pengurusan
Zawiyatul Siber (SPZS) yang mempunyai beberapa fungsi utama iaitu :
Jaduan 1: Komponen Sistem Pengurusan Zawiyataul Siber (Ariffin et al. 2009).
KOMPONEN KETERANGAN
Pengurusan ZS
Digunakan untuk menguruskan tempahan
komputer yang akan digunakan.
Masa dan kos yang terlibat boleh dipantau.
8
Komputer akan tidak aktif selepas tempoh tamat.
Jana laporan berkala berkaitan penggunaan ZS
Pemantauan ZS
Perisian untuk memantau aktiviti dan penggunaan
Internet di kalangan pengguna ZS seperti laman
web yang dilawati dan rakan-rakan sembang
online.
Perisian yang boleh memantau penggunaan emel.
Perisian yang boleh menapis dan menghalang
muat turun bahan yang sensitif atau lucah.
Auto Rehat
Perisian yang boleh diset supaya komputer
berehat beberapa minit sebelum azan waktu solat
fardhu. Sistem ZS akan disambung semula secara
automatik setelah solat dijangka selesai.
Latihan IT Perisian E-latihan untuk pendidikan penggunaan
Internet yang selamat dan beretika.
Keselamatan
Komputer
Mekanisme pencegahan dan rawatan dari
serangan virus, pencerobohan dan keselamatan
komputer.
Sehubungan dengan itu, SPZS ini telah mula dibangunkan peringkat demi peringkat. Fasa
pertama adalah untuk melihat dari keperluan infrastruktur. Kajian ini dijalankan di makmal
Fakulti Sains dan Teknologi, USIM. Keperluan rangkaian dan perkakasan seperti server dan
workstation telah dikenal pasti. Sistem pengoperasian berasaskan sumber terbuka (Open source)
Linux iaiatu UBuntu telah dipilih untuk digunakan sebagai platform. Di Indonesia, di kalangan
golongan penggemar Linux menggelarkannya “OS halaalan toyyiban”. Tiada isu cetak rompak
dalam penggunaannya kerana boleh diperolehi secara percuma. Salah satu aplikasi Islamik yang
menjadikan model rujukan adalah aplikasi Linux Sabily. Rajah 1 sehingga Rajah 10 dalam
bahagian seterusnya menunjukkan contoh antara muka Linux Sabily yang memperlihatkan
persekitaran Islamik.
9
5.2 Contoh Antara Muka (Interface) Linux Sabily
Paparan berikut memberikan beberapa contoh interface perisian yang dibangunkan itu.
Rajah 1 : Paparan loading masuk utama
Rajah 2 : Paparan ayat 108, Surah Yusuf yang menyebut perkataan „Sabili‟ bermaksud „Jalanku‟
10
Rajah 3 : Paparan login masuk
Rajah 4 : Paparan desktop yang boleh diubahsuai dan zikrullah pada aksara tetikus
11
Rajah 5 : Paparan perisian Zekr untuk bacaan al-Quran
Rajah 6 : Paparan perisian Zekr untuk bacaan tafsir al-Quran
Paparan zikrullah pada aksara
tetikus yang akan muncul semasa
arahan sedang diproses oleh
komputer
12
Rajah 6 : Paparan perisian „Minbar‟ untuk waktu solat dan arah kiblat mengikut kawasan tertentu
Rajah 7 : Paparan kalendar Islam
Paparan peringatan kepada Allah
untuk pengguna yang akan
muncul pada masa-masa tertentu.
13
Rajah 8 : Paparan perisian „Fsool‟ untuk mempelajari sirah Rasulullah
Rajah 9: Paparan pengurusan fail seperti system operasi Microsoft Windows
14
Rajah 10: Paparan khidmat sokongan sekiranya pengguna memerlukan bantuan dan pertanyaan
Fasa seterusnya aplikasi bagi memantau pelayaran laman web akan dibina bagi
mengawasi dan menapis penggunaan laman Web yang tidak sesuai seperti laman Web berunsur
lucah. Satu aplikasi untuk memantau penggunaan Internet di kalangan pengguna juga akan
dimasukkan dalam SPZS ini. Di samping pengawalan penggunaan yang diaktifkan dan
direhatkan secara automatik mengikut waktu solat juga akan dibina. Asas persekitaran SPZS ini
seterusnya boleh digunakan untuk membangunkan kandungan yang bersesuaian.
15
6.0 KESIMPULAN
Remaja perlu diberikan alternatif dalam proses pentarbiyahan mereka. Jiwa mereka perlu
difahami agar penyampaian dakwah berjalan dengan lancar. Dalam hal ini, institusi masjid perlu
didekatkan dengan jiwa mereka. Justeru, persekitaran masjid perlulah mesra remaja dan kanak-
kanak.
Adalah diharapkan model SPZS ini dapat digunakan sebagai satu model kafe siber
Muslim yang menekankan kepada tarbiyah, ta’dib dan ta‘lim bertepatan dengan aspek
pendidikan Islam untuk diterapkan dalam penggunaan ICT agar menjadi satu ibadah yang diredai
Allah bukan mengundang kemurkaan-Nya.
Penghargaan
Penulis ingin meyatakan penghargaan dan terima kasih di atas segala pandangan dan input serta
sokongan terutamanya Dekan Fakulti Sains dan Teknologi, USIM, Pengarah Pusat Teknologi
Maklumat, USIM, Juruteknik Makmal Komputer Nur Nadia Elma, saudara Meor Bu, pelajar
tahun 3 Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer yang terlibat dengan projek ini secara langsung
iaitu Yahya Sjarony dan Wab Marzuki. Semoga usaha ini diberkati.
7.0 BIBLIOGRAFI
Al-Quran al-Karim
Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail (1400H). Sahih al-Bukhari. Kaherah: al-Maktabah al-
Salafiyah. c.1.
Abd. Hamid, M.A., Suratman, A. S. & Othman, M. F. (2001). Senario Pendidikan Moral
Masyarakat Melayu Zaman Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT): Trend, Hala tuju dan
Model Pendidikan Moral Keluarga Islam. Jurnal teknologi, 35(e) Dis. 2001: 45–70.
Abu Bakar, A. B. (2007). Information and Communication Technology Skills and Mosque
Administrators. In Abrizah Abdullah, et al. (Eds.): ICOLIS 2007, Kuala Lumpur: LISU,
FCSIT, 2007:pp 313-318.
Ahmad, J., Ahmad, S., Ab. Majid, M. & Wahid, H. (2009).Dana dan Harta Masjid di Malaysia:
Ke arah Pengurusan Strategik. Akses pada 29hb Mei, 2009 di
pkukmweb.ukm.my/~ekonis/BI/ proceeding.html .
16
Atan, M. A. (2009) .Pengurusan Masjid : Pengalaman Republik Singapura. Akses pada 29hb
Mei, 2009 di static.scribd.com/docs/2ot21r5rphyxf.pdf .
Furuholt, B. & Kristiansen, S. (2007). Internet Cafés in Asia and Africa –Venues for Education
and Learning? [Online] The Journal of Community Informatics, Vol 3, No 2.
Furuholt, B., Kristiansen, S., & Wahid, F. (2005). Information Disemmination in a Developing
Society: Internet Kafe Users in Indonesia. The Electronic Journal on Information Systems
in Developing Countries. Vol 22 (3). Ms 1-16.
Zakiyah Jamaluddin (2008). Kemudahan Kafe Siber dan Penularan Salah Laku Remaja. In the
Proceedings of The 6th International Malaysian Studies Conference (MSC6), Kucing
Sarawak. 5-7 Ogos.
Junaini, S.N. & Kadikon, S. (2008). Isu dan Cabaran dalam Memperkasakan Ummah melalui
ICT. In the Proceedings of InSIST 2008, Putra World Trade Centre, Kuala Lumpur.
Wahid1, F. (2008). Pemberdayaan Pendidikan Islam Merespon Perkembangan Teknologi
Informasi. El-Tarbawi Jurnal pendidikan Islam. Vol 1 (1) pp 71-82
Wishart, J. (2004).Internet safety in emerging educational contexts. Journal of Computers &
Education 43 ms 193–204.
Azizi Yahaya. & Nalini a/p Madavan (2007). Faktor-Faktor Lepak dan Hubungan Keibubapaan
di Kalangan Pelajar Remaja di Sekolah Menengah di Empat Buah Negeri. Akses pada 2
Jun, 2009 di eprints.utm.my/3864/1/Azizi_lepak.pdf.
Ariffin Abdul Mutalib, Norita Md Norwawi, Siti Norezam Othman, Nadiyah Eliyas (2009).
Zawiyatul Siber: Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pengimarahan Masjid.
Seminar Pengurusan Masjud Peringkat ASEAN. Julai. Universiti Utara Malaysia.
top related