variasi qiraat dan hubungannya dengan … · keunikan penulisan mashaf dengan tulisan ... lebih...
Post on 26-Apr-2019
243 Views
Preview:
TRANSCRIPT
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
1
VARIASI QIRAAT DAN HUBUNGANNYA DENGAN KEABSAHAN
PENULISAN MASHAF AL-‘UTHMĀNI
Oleh:
Ikmal Zaidi bin Hashim (KUIS)
Mahfuz bin Jaafar (KUIS)
Shaharudin bin Saad (KUIS)
Abstrak
Ijtihad dan inisiatif Sayidina Uthman r.a dalam mengarahkan penyalinan semula Al-
Quran merupakan usaha yang signifikan dalam memelihara kesucian Al-Quran dan
qiraatnya. Keunikan penulisan mashaf dengan tulisan tanpa baris dan titik ini
mempunyai implikasi jangka panjang terhadap variasi wajah bacaan Al-Quran bukan
sahaja sebagai manifestasi al-Ahruf al-Sab‘ah bahkan mempengaruhi perkembangan
qiraat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya. Maka kajian kualitatif pensejarahan
ringkas ini bertujuan menonjolkan bentuk-bentuk hubungan antara kedua-duanya
secara relatif. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang
kukuh dan signifkan antara kepelbagaian qiraat dengan metode penulisan yang
diaplikasikan dalam Mashaf al-‘Uthmāni yang membuktikan keabsahan metode
penulisan tersebut.
PENDAHULUAN
Al-Quran merupakan satu-satunya kitab suci yang diberi jaminan oleh Allah s.w.t.
Pemeliharaan Allah terhadap Al-Quran merupakan salah satu rahmat Allah ke atas
umat Islam khususnya dan manusia umumnya. Pemeliharaan tersebut meliputi teks
dan isi kandungan Al-Quran. Allah memperlihatkan jaminan tersebut dengan memilih
dalam kalangan manusia golongan yang mengambil berat tentang Al-Quran. Al-
Quran dibaca, dihafal, ditulis, difahami dan dipraktikkan oleh orang Islam.
Kepelbagaian gaya bacaan Al-Quran juga merupakan di antara bukti pemeliharaan
tersebut di samping ilmu-ilmu sokongan hasil usaha para ulama (Ikmal Zaidi
2007:39). Antara faktor utama Al-Quran mampu dibaca sehingga ke hari ini dengan
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
2
pelbagai qiraat ialah disebabkan teks Al-Quran yang ditulis dengan satu sistem
tersendiri iaitu al-Rasm al-‘Uthmāni (Hasan Jabal 2001:224). Maka sistem bacaan
Al-Quran dan sistem tulisannya saling lengkap melengkapi.
VARIASI QIRAAT SEBELUM PENULISAN MASHAF AL-‘UTHMĀNI
Zaman Rasulullah s.a.w
Kepelbagaian Qiraat sebenarnya bermula pada zaman Rasulullah s.a.w lagi. Ini
dibuktikan dengan hadis-hadis yang membicarakan tentang penurunan Al-Quran
dengan al-Ahruf al-Sab‘ah. Al-Suyūtiyy (1996:45) menyebut bahawa hadis-hadis
tersebut diriwayatkan oleh lebih kurang 24 orang sahabat di antaranya Sayidina
‘Umar al-Khattāb, Ubayy ibn Ka‘b, ‘Abd Allāh ibn ‘Abbās, ‘Abd Allāh ibn Mas‘ūd,
Hudhayfah ibn al-Yamān dan lain-lain. Hadis-hadis tersebut dimuatkan dalam
kebanyakan karya hadis muktabar dengan pelbagai sanad dan matan sehingga
mencapai tahap tawātur seperti yang dinyatakan oleh Abū ‘Ubayd al-Qāsim ibn
Salām. Ini membuktikan bahawa Al-Quran telah dibaca oleh Rasulullah s.a.w dengan
lebih daripada satu cara bacaan bertujuan memudahkan umat Islam yang terdiri
daripada pelbagai latar belakang khasnya keturunan yang mempengaruhi kemampuan
dalam sebutan. Namun ini sama sekali tidak bermaksud bahawa Qiraat Tujuh yang
ada pada hari ini merupakan tafsiran kepada al-Ahruf al-Sab‘ah kerana Qiraat Tujuh
hanya wujud pada kurun keempat dan dipelopori oleh Ibn Mujāhid (m. 324H).
Antara hadisnya seperti berikut:
عن النبي بنكعبأن عليهوسلمأبي صلىجبريلفأتاهبنيغفارأضاءةكانعند صلىللا للا
عزعليهوسلم للا يأمركفقالإن تكعلى وجل معافاتهحرفأنتقرئأم قالأسألللا ومغفرتهإن
أتاهثانية تيلتطيقذلكثم قال أحرف سبعة فذكرنحوهذاحتىبلغ أم للا تك يأمركأنتقرئإن أم
قرءواعليهفقدأصابواحرففأيما أحرف سبعة على
Maksudnya :
Daripada Ubayy ibn Ka’b sesungguhnya Rasulullah s.a.w berada di suatu
tempat bernama Adā’ah Bani Ghifar lalu baginda didatangi oleh Jibril s.a.w
lalu berkata : Sesungguhnya Allah s.w.t memerintahkan kamu supaya
membacakan [Al-Quran] kepada umatmu dengan satu harf [cara bacaan].
Lalu baginda bersabda : Aku mohon kemaafan daripada Allah dan
keampunanNya, sesungguhnya umatku tidak mampu. Kemudian Jibril
datang bertemu baginda buat kali kedua lalu memberitahu perkara yang
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
3
sama sehingga menjadi tujuh ahruf [cara- cara bacaan] lalu Jibril berkata :
Sesungguhnya Allah s.w.t memerintahkan kamu supaya membacakan [Al-
Quran] kepada umatmu dengan tujuh ahruf, mana-mana cara bacaan yang
mereka baca maka benarlah mereka.1
Kesimpulannya qiraat pada peringkat ini dalam bentuk hafalan para sahabat yang
menerima bacaan mereka daripada mulut Rasulullah s.a.w, maka semua bentuk
bacaan yang dibaca ketika itu diperakui kebenaran dan kesahihannya oleh baginda
sendiri walaupun ia menimbulkan sedikit perselisihan di antara para sahabat pada
peringkat awal namun akhirnya mereka menerima perbezaan ini dan tidak lagi
menjadi masalah kerana semuanya bersumberkan Rasulullah s.a.w. Di samping itu
Al-Quran bukan sahaja dihafal bahkan ditulis. Rasulullah s.a.w sendiri mempunyai
para penulis wahyu yang terdiri dapada beberapa orang sahabat.Tugas mereka ialah
menulis setiap perkataan dan ayat Al-Quran yang diturunkan oleh Allah s.w.t ke atas
Rasulullah s.a.w dengan seliaan sepenuhnya oleh baginda. Rasulullah s.a.w turut
menggesa para sahabat agar menulis Al-Quran dan tidak mencampurkan dengan yang
lain. Terdapat sahabat yang mempunyai koleksi peribadi tulisan ayat-ayat Al-Quran
yang menjadi panduan dan rujukan mereka dalam membaca Al-Quran (Muhaysin,
1989: 1/133-171). Walau bagaimanapun, penghafalan Al-Quran lebih dominan dalam
kalangan para sahabat r.a berbanding penulisan (Hasan Jabal 2001:16).
Zaman Sahabat r.a. dan Tabiin
Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, qiraat tersebar melalui para sahabat yang terkenal
sebagai Qurrā’. Mereka ialah ‘Uthmān ibn ‘Affān (m. 35H), ‘Ali ibn Abi Tālib (m.
40H), Ubayy ibn Ka’āb (m. 30H), Zayd ibn Thābit(m. 45H), ‘Abd Allāh ibn Mas‘ūd
(m. 32H), Abū Mūsā al-Asy‘ari (m. 44H) dan lain-lain. Abū ‘Ubayd al-Qāsim ibn
Salām telah menyenaraikan sekurang-kurangnya 26 orang sahabat (Muhaysin
1989:272-273). Mereka ini telah menjadi sumber periwayatan yang menjadi teras
dalam penyebaran qiraat dan mempunyai murid yang ramai dalam kalangan para
sahabat dan tabiin. Pada zaman Sayidina ‘Umar r.a, terdapat qiraat yang dinisbahkan
kepada para sahabat tertentu disebabkan kemasyhuran mereka membaca dan
1 Abū Dāwud Sulaymān ibn Ishāq al-Sajastāni (1976), Sunan Abi Dāwud. Kitāb al-Solāh, Bāb Unzila
al-Qur’ān ‘alā Sab‘ah Ahruf, no. hadis 1263.
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
4
mengajar menggunakan cara-cara bacaan tersebut terutamanya dalam kalangan
penduduk tempatan masing-masing. Maka timbullah Qirā’ah Ibn Mas‘ūd yang
menjadi ikutan penduduk Kūfah, Qirā’ah Ubayy ibn Ka‘b yang dibaca oleh penduduk
Syam, penduduk di tempat yang lain pula membaca dengan Qirā’ah Abū Mūsa al-
‘Asy‘ari dan sebagainya. Senario tersebut akhirnya membawa kepada pertikaian
antara umat Islam akibat masing-masing hanya mengetahui qiraat yang popular di
tempat masing-masing dan mempersoalkan qiraat yang asing bagi mereka. Ini
membawa kepada penulisan Al-Quran pada zaman sayidina Uthmān r.a (Sya‘bān
Ismā‘il 2001:15). Ini membuktikan ijtihad Sayidina Uthman r.a sangat tepat pada
masanya dan ini juga membuktikan bahawa qiraat yang merupakan variasi bacaan Al-
Quran yang mempunyai hikmah tersendiri khasnya dalam menjadi faktor utama
kelangsungan teks Al-Quran itu sendiri.
HUBUNGAN QIRAAT DENGAN AL-RASM AL-‘UTHMĀNI
Qiraat yang wujud pada masa al-Maṣāhif al-‘Uthmāniyyah ditulis ialah qiraat yang
dibaca dan diriwayatkan oleh para sahabat r.a daripada Nabi s.a.w dan para qurrā’
dalam kalangan sahabat. Kewujudan al-Suhuf yang dikumpulkan pada zaman
Sayidina Abū Bakr al-Siddiq r.a. hanya bertujuan mewujudkan rujukan bertulis dan
tersusun daripada bertebaran dalam bentuk pelepah tamar, tulang dan batu leper.
Tiada sebarang arahan daripada khalifah untuk berpegang atau meninggalkan mana-
mana qiraat sama ada yang selari atau tidak selari dengan tulisan al-Suhuf tersebut.
Ini menunjukkan al-Ahruf al-Sab‘ah masih kekal dalam bentuknya yang asal dan
tidak berubah dan terkesan dengan penulisan al-Suhuf tersebut, bahkan al-Maṣāhif al-
Fardiyyah masih menjadi rujukan para sahabat (Muhaysin, 1989: 1/434-435). Qiraat
yang mungkin dinasakhkan pada al-‘Ardah al-Akhirāh juga masih dibaca khususnya
oleh yang tidak menyaksikannya kerana berada di luar Madinah. Tetapi selepas itu
kepelbagaian qiraat semakin lama semakin mendatangkan masalah kerana wilayah
Islam semakin luas, umat Islam setiap wilayah telah terbiasa dengan bacaan sahabat-
sahabat tertentu dan faktor-faktor lain yang mendesak agar Al-Quran disalin semula.
Maka pada masa tersebut bermulalah hubungan di antara al-Rasm al-‘Uthmāni
dengan qiraat yang pelbagai. Hubungan ini boleh difahami dengan isu-isu berikut:
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
5
Al-Rasm al-‘Uthmāni sebagai syarat penerimaan qiraat yang mutawātirah /
ṣahihah.
Penulisan al-Maṣāhif al-‘Uthmāniyyah telah mendatangkan kesan yang sangat besar
terhadap kepelbagaian qiraat. Ini terbukti dengan beberapa perkara :
Terhapusnya qiraat yang tidak termasuk dalam al-‘Ardah al-Akhirah.
Hilangnya qiraat yang terkandung dalam mashaf peribadi atau al-Maṣāhif al-
Fardiyyah kepunyaan para sahabat.
Pengkaedahan para ulama dalam menerima dan menolak qiraat.
Qiraat yang tidak termasuk dalam al-‘Ardah al-Akhirah dan yang terkandung dalam
al-Maṣāhif al-Fardiyyah kepunyaan para sahabat dihapuskan apabila Sayidina
‘Uthmān r.a memerintahkan supaya dibakar semua mashaf selain daripada al-Maṣāhif
al-‘Uthmāniyyah (al-Dani t.t:16). Ini kerana penulisan Al-Quran pada zaman Sayidina
Abū Bakr tidak melibatkan sebarang arahan yang seumpama itu, maka
kebarangkalian wujudnya qiraat yang telah dinasakhkan dan tidak lagi dibaca sangat
tinggi. Langkah ini telah menjadikan al-Maṣāhif al-‘Uthmāniyyah dan sebagai
rujukan tunggal dalam menerima satu-satu qiraat. Ghānim Qaddūri al-Hamad
(1982:150) membawakan kata-kata al-Imām Makki ibn Abi Tālib (m. 437H):
“Apabila Nabi s.a.w wafat, beberapa kumpulan sahabat pada zaman Abū
Bakr dan ‘Umar telah keluar dan membuka beberapa kawasan dan mereka
telah mengajar umat Al-Quran dan agama. Mereka telah mengajar
berdasarkan apa yang mereka terima daripada Rasulullah s.a.w maka
berbezalah qiraat sesama mereka seperti berbezanya qiraat para
sahabat tersebut. Apabila ‘Uthmān r.a menulis al-Maṣāhif dan dihantar ke
jajahan-jajahan tersebut, menggesa supaya al-Maṣāhif tersebut dijadikan
panduan dan apa yang berlawanan dengannya supaya ditinggalkan, maka
penduduk setiap jajahan tersebut telah membaca mashaf yang dihantar ke
jajahan mereka berdasarkan qiraat yang telah menjadi amalan mereka
sebelum sampainya mashaf tersebut selagi ia bertepatan dengan tulisan
mashaf dan meninggalkan bacaan atau qiraat yang berlawanan dengan
tulisan mashaf walaupun selama ini mereka telah membacanya. Maka
qiraat-qiraat [yang bertepatan dengan tulisan al-Maṣāhif al-‘Uthmāniyyah]
yang ada pada setiap jajahan tersebut tetap berbeza sehingga ia diriwayatkan
oleh generasi selepas itu...”.
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
6
Untuk mempastikan al-Maṣāhif al-‘Uthmāniyyah tersebut dibaca dengan qiraat yang
betul, Sayidina ‘Uthman turut menghantar qurrā’ bersama-sama mashaf-mashaf
tersebut . Zayd ibn Thābit diutuskan untuk mengajar di Madinah, ‘Abd Allāh ibn al-
Sā’ib di Mekah, al-Mughirāh ibn Syihāb di Syam, Abū ‘Abd al-Rahmān al-Sulāmi di
Kufah dan ‘Āmir ibn ‘Abd al-Qays di Basrah (Sya‘bān Ismā‘il 2001:19). Ini
membuktikan bahawa penetapan syarat iaitu ketepatan dengan al-Maṣāhif al-
‘Uthmāniyyah telah berlaku sejak zaman Sayidina ‘Uthmān lagi. Oleh kerana itu ia
terus menjadi asas pengkaedahan para ulama dalam menerima dan menolak satu-satu
qiraat.
Pengkaedahan Rukun Qiraat
Prof. Dr. Sāmi ‘Abd al-Fattāh Hilāl (2000:11) berpendapat bahawa ulama yang mula-
mula menyatakan secara jelas tentang tiga syarat penerimaan qiraat ialah Makki ibn
Abi Tālib pada akhir kurun keempat. Beliau (Makki) berkata :
هذا،أنماصحسندهواستقاموجههفىالعربيةووافقلفظهخطوإنمااألصلالذىيعتمدعليهفى
المصحف،فهومنالسبعةالمنصوصعليها،ولورواهسبعونألفامتفرقينأومجتمعين.فهذاهو
األصلالذىبنيعليهمنقبولالقراءاتعنسبعةأوسبعةآلف،فاعرفهوابنعليه.
Berdasarkan kenyataan di atas, Makki meletakkan tiga syarat penerimaan qiraat iaitu:
Bertepatan dengan bahasa Arab.
Bertepatan dengan tulisan mashaf atau al-Rasm al-‘Uthmāni.
Sanad yang ṣahih.
Syarat yang pertama iaitu bertepatan dengan bahasa Arab atau bertepatan dengan
dengan wajah-wajah Nahu. Ia bermaksud bertepatan dengan mana-mana wajah Nahu
sama ada ia mewakili yang afṣāh mahu pun yang faṣih, yang disepakati mahu pun
yang diperselisihkan. Ibn al-Jazari (t.t:10) berpendapat bahawa sekiranya berlaku
pertentangan di antara qiraat yang bersumberkan bacaan Rasulullah s.a.w melalui
isnād yang ṣahih dengan Nahu maka qiraat diutamakan. Ini dibuktikan dengan kata-
kata daripada Abū ‘Amr al-Dāni yang juga merupakan tokoh ilmu Nahu yang terkenal
iaitu :
“Para Imām dalam kalangan qurrā’ tidak berbuat sesuatu mengenai
sebarang cara bacaan Al-Quran berdasarkan yang tersohor dan terpilih
daripada segi bahasa bahkan yang paling thābit dan benar dalam
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
7
periwayatan dan al-Naql. Apabila ia benar daripada mereka, bahasa yang
terpilih tidak boleh menyangkalnya kerana qiraat merupakan sunnah yang
menjadi ikutan, ia wajib diterima dan dicari.”
Bertepatan dengan al-Rasm al-‘Uthmāni : Ia bermaksud satu-satu qiraat itu mestilah
bertepatan dengan salah satu daripada al-Maṣāhif al-‘Uthmāniyyah. Ini bermakna
qiraat tersebut boleh dibaca berdasarkan tulisan yang terdapat pada mana-mana
mashaf yang dihantar oleh Sayidina Uthmān r.a ke wilayah-wilayah jajahan Islam. Ini
menunjukkan bahawa al-Maṣāhif al-‘Uthmāniyyah tidak sama tulisannya di antara
satu sama lain lebih-lebih lagi jika satu-satu perkataan itu mempunyai lebih daripada
satu qiraat seperti firman Allah dalam surah al-Tawbah ayat 100:
Pada mashaf Mekah ditulis dengan terdapat perkataan (من ) sebelum
sedangkan pada mashaf yang lain ia tidak ditulis sedemikian. Ini bersesuaian dengan
qiraat Ibn Kathir al-Makki yang membaca dengan (من ). Maksud (احتمال) ialah qiraat
yang selari dengan tulisan mashaf secara tidak langsung atau ( تقديرا ). Contoh :
Perkataan ( ملك ) ditulis pada semua al-Maṣāhif al-‘Uthmāniyyah dengan tanpa alif
selepas mim. Maka qiraat tanpa alif iaitu Nāfi‘, Ibn Kathir, Abū ‘Amr dan Hamzah
selari dan bertepatan dengan tulisan atau rasm secara terus dan langsung ( تحقيقا ).
Manakala qiraat dengan alif selepas mim iaitu qiraat ‘Āṣim dan al-Kisā’i didapati
tidak selari dengan tulisan tetapi dikira sebagai bertepatan secara tidak langsung iaitu
secara ( احتمال ) atau ( تقديرا ) .
Kedua-dua syarat di atas diterima sebulat suara oleh para ulama. Manakala syarat
yang ketiga iaitu sanad yang ṣahih terdapat perselisihan dalam kalangan ulama.
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
8
Majoriti para ulama berpandangan bahawa qiraat mestilah mutawātirah. Hanya
sebilangan kecil (di antaranya Makki) berpandangan memadai dengan sanad yang
ṣahih.
Di antara ulama yang berpendapat bahawa qiraat yang benar dan diterima mestilah
mutawātir ialah Ibn ‘Abd al-Barr, Ibn ‘Atiyyah, Ibn Taymiyyah, al-Nawawi, al-
Adhra‘i, al-Asnawi, al-Zarkasyi, al-Subki, Ibn al-Hājib dan lain-lain yang tidak
terbilang jumlah mereka. Ini merupakan pandangan para qurrā’ yang terdahulu, tiada
siapa yang menyalahinya melainkan Makki dan dikuti dalam kalangan ulama yang
terkemudian iaitu Abū Syāmah dan Ibn al-Jazari (Qabah 1999:90-94) .
Dalam memberikan kesimpulan terhadap perselisihan di atas, Dr. Muhammad Sālim
Muhaysin (1989:421) berkata :
“Saya berpendapat bahawa pandangan jumhur adalah lebih utama (rājih) dan
tidak wajar berpaling daripadanya. Ia merupakan pandangan yang lebih
menenangkan hati dan perasaan. Apabila kita melihat keseluruhan qiraat yang
sampai kepada kita, kita dapati kesemuannya mutawātirah kecuali beberapa
perkataan yang boleh dibilang dengan jari [yang tidak mutawātir] melainkan
ia [qiraat pada perkataan-perkataan tersebut] telah menjadi masyhur dan
terkenal maka ia mencapai hukum tawātur”.
AL-RASM AL-‘UTHMĀNI SEBAGAI ASAS PENOLAKAN QIRAAT
SYĀDHDHAH.
Qiraat Syādhdhah ialah qiraat yang tidak memenuhi salah satu daripada rukun-rukun
qiraat. Qiraat-qiraat tersebut dikatakan berpunca daripada mashaf-mashaf peribadi
para sahabat yang enggan mematuhi arahan Sayidina ‘Uthmān r.a agar dilupuskan
seperti Ibn Mas’ūd dan seterusnya diriwayatkan oleh tabiin. Individu yang
mengumpulkan qiraat-qiraat tersebut ialah Hārūn ibn Mūsā al-A‘war pada kurun
kedua tetapi masih tidak dipanggil sebagai syādhdh. Istilah ini hanya muncul pada
kurun keempat di tangan Abū Ja‘far Muhammad ibn Jarir al-Tabari (Sami t.t:36-37).
Para ulama membahagikan Qiraat Syādhdhah kepada empat bahagian (‘Abd al-Karim
t.t:8-9) :
1. Qiraat yang bertepatan dengan al-Rasm al-‘Uthmāni dan bahasa Arab tetapi
tidak dapat disahkan secara putus daripada segi al-Naql.
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
9
2. Qiraat yang bertepatan dengan al-Rasm al-‘Uthmāni dan sah daripada segi al-
Naql tetapi tidak bertepatan dengan sebarang wajah dalam bahasa Arab.
3. Qiraat yang sah daripada segi al-Naql dan bertepatan dengan bahasa Arab
tetapi menyalahi al-Rasm al-‘Uthmāni.
4. Qiraat yang bertepatan dengan al-Rasm al-‘Uthmāni dan bahasa Arab tetapi
tidak pernah diriwayatkan sama sekali.
Contoh Qiraat Syādhdhah yang berlawanan dengan al-Rasm al-‘Uthmāni:
Al-Hasan membaca اهدناصراطامستقيما yang diriwayatkan daripada Zayd ibn ‘Ali, al-
Dahhāk dan Naṣr ibn ‘Ali (Ibn Jinni 1998:116).
AL-RASM AL-‘UTHMĀNI SEBAGAI HUJAH DALAM MENJAWAB
TUDUHAN MUSUH.
Oleh kerana kepentingan al-Rasm al-‘Uthmāni dalam memastikan kebenaran dan
keaslian teks Al-Quran, musuh Islam sentiasa berusaha untuk mencari jalan untuk
mencapai matlamat mereka iaitu menafikan ketulenan dan keaslian Al-Quran yang
ada pada hari ini atau setidak-tidaknya menanamkan keraguan di hati umat Islam
tentang kitab suci mereka. Di antara tuduhan-tuduhan yang melibatkan al-Rasm al-
‘Uthmāni dan pengumpulan Al-Quran ialah :2
1. Perlantikan Zayd ibn Thābit sebagai pengerusi lajnah penyalinan mashaf dan
bukan Ibn Mas‘ūd yang nyata lebih berkelayakan.
2. Akhir surah al-Tawbah bukan daripada Al-Quran kerana tidak mutawātir
disebabkan hanya didapati pada Khuzaymah al-Anṣāri.
3. Surah al-Mu‘awwidhatān bukan daripada Al-Quran kerana tidak terdapat
dalam mashaf kepunyaan Ibn Mas‘ūd.
4. Sayidina Abū Bakr dan ‘Uthmān telah mengubah Al-Quran kerana telah
menghapuskan surah-surah tertentu, di antaraya surah al-Wilāyah.
5. Berlakunya kesalahan dalam penulisan mashaf tetapi terus menjadi sumber
bacaan umat Islam.
2-Banyak lagi tuduhan yang dilontar oleh para orientalis terhadap Al-Quran amnya dan penulisan Al
Quran khasnya. Al-Imām al-Zarqāni turut memuatkannya dalam Manāhil al-‘Irfān.
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
10
6. Terdapat sebelas tempat dalam mashaf yang telah diubah oleh Hajjāj ibn
Yūsuf al-Thaqafi.
7. Al-Maṣāhif al-‘Uthmāniyyah yang tidak mempunyai baris dan titik merupakan
faktor berlakunya banyak qiraat.
8. Al-Quran asalnya diturunkan tanpa i‘rāb dan hanya ada selepas terciptanya
ilmu Nahu. Ini bererti para ulama Nahu yang telah menjadikan Al-Quran itu
mu‘rab.
Di antara jawapan umum terhadap tuduhan-tuduhan ini ialah :
Janji Allah s.w.t tentang pemeliharaan Al-Quran.
Ijmā‘ semua umat Islam mengenai keaslian Al-Quran meliputi tulisan
dan bacaannya yang mutawātir dan sedia ada pada hari ini merupakan
satu realiti yang sangat sukar untuk dinafikan hanya dengan
mengambil bukti atau dalil yang lemah atau dengan dalil yang benar
tetapi diberikan pentafsiran yang salah (Sami 2000:46).
Di antara orientalis yang terkenal dengan sikap mereka dalam mengkritik Al-Quran
ialah Ignez Golziher, Arthur Jeffry, Theodor Noldeke dan lain-lain.
Contoh : Sebagai jawapan kepada tuduhan terakhir iaitu Al-Quran tiada i‘rāb
sehingga kurun kedua hijrah. Kewujudan al-Rasm al-‘Uthmāni membuktikan
sebaliknya dengan al-I‘rāb bi al-Hurūf iaitu pada al-Asmā’ al-Sittah, al-Af‘āl al-
Khamsah, al-Muthannā dan al-Jam‘ al-Mudhakkar al-Sālim. Selain itu al-I‘rāb bi al-
Harakāt pada al-Asmā’ al-Mamdūdah yang disandarkan kepada gantinama. Terdapat
sebanyak 203 perkataan dalam Al-Quran yang seumpama ini.
Contoh 1 : Al-I‘rāb bi al-Hurūf pada al-Asmā’ al-Sittah
Pada ketiga-tiga perkataan yang bergaris menunjukkan i‘rāb yang jelas terbukti
dengan tulisan (al-Rasm).
Contoh 2 : Al-I‘rāb bi al-Harakāt pada al-Asmā’ al-Mamdūdah yang disandarkan
kepada gantinama.
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
11
Ketiga-tiga perkataan pada tiga ayat di atas menunjukkan cara menulis huruf hamzah
(yang tidak ditulis dalam al-Maṣahif al-‘Uthmāniyyah) di atas huruf wāw
menunjukkan marfū‘, di atas huruf yā’ menunjukkan makhfūd dan tidak ditulis
menunjukkan manṣūb (Hasan Jabal 2000:87)
AL-RASM AL-‘UTHMĀNI SEBAGAI FAKTOR KESINAMBUNGAN BUDAYA
AL-TALAQQI
Al-Talaqqi (juga disebut sebagai al-Musyāfahah / al-Samā‘ wa al-‘Ard) merupakan
satu-satunya cara Al-Quran dengan pelbagai qiraatnya dipindahkan dan diperturunkan
daripada satu generasi kepada generasi yang lain. Ia menjadi satu budaya qurrā’ dan
muqri’ūn zaman berzaman. Rasulullah s.a.w sendiri bertalaqqi dengan Jibril setiap
tahun pada bulan Ramadan. Pada pendapat penulis penerusan budaya ini sedikit
sebanyak disebabkan oleh penulisan Al-Quran dengan al-Rasm al-‘Uthmāni.
Walaupun ilmu Dabt al-Qur’ān telah berperanan dengan baik bagi memudahkan
umat Islam membaca Al-Quran tetapi ia tidak cukup untuk memastikan Al-Quran
dibaca dengan betul. Dengan ertikata yang lain, ilmu al-Rasm al-‘Uthmāni dan ilmu
Dabt al-Qur’ān tidak menjadi penghalang kepada al-Talaqqi untuk terus menjadi
asas utama dalam ilmu Qiraat. Pelbagai bentuk bacaan yang dipanggil sebagai al-Ādā’
seperti idghām, ikhfā’, isymām, rawm, tashil dan lain-lain tidak boleh dilaksanakan
tanpa melihat sendiri mulut guru yang menuturkannya terlebih dahulu dan tulisan
tidak boleh dijadikan sandaran sama sekali. Ini sekali gus memaksa umat Islam untuk
terus mengamalkan budaya menerima bacaan daripada guru seterusnya
menyemarakkan pembacaan dan pengajian Al-Quran.
AL-RASM AL-‘UTHMĀNI SEBAGAI SEBAHAGIAN DARIPADA ULŪM AL-
QIRĀ’ĀT.
Qiraat merupakan satu ilmu yang disokong oleh pelbagai ilmu (‘Ulūm al-Qirā’āt)
yang bersifat al-Riwāyah dan al-Dirāyah. Ilmu al-Riwāyah berkonsepkan perincian
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
12
sumber dan metodologi pemerolehan fakta dalam memastikan kebenaran dan
ketepatan fakta tersebut seterusnya keabsahan dan kebolehpercayaannya. Manakala
ilmu al-Dirāyah pula berorentasikan penganalisaan fakta yang menatijahkan suatu
bentuk teori dan gagasan pemikiran yang mampu diaplikasi dan diimplimentasikan.
Ilmu al-Rasm merupakan di antara ‘Ulūm al-Qirā’āt yang bersifat al-Riwāyah di
samping ilmu-ilmu lain iaitu Uṣūl al-Qirā’āt wa Farsy al-Hurūf, Al-Qirā’āt al-‘Amali
( al-Jam‘ wa al-Ifrād ), Al-Tahrirāt wa al-‘Azw, Tārikh ‘Ilm al-Qirā’āt, Tarājim al-
Qurrā’, Al-Qirā’āt al-Syādhdhah dan Dabt al-Qur’ān. Di antara ilmu-ilmu yang
bersifat al-Dirāyah pula ialah Tawjih al-Qirā’āt al-Mutawātirah wa al-
Syādhdhah,I‘rāb al-Qur’ān wa Sarfuh, Al-Lahajāt al-Qur’āniyyah wa al-Aṣwāt dan
Al- I‘jāz al-Balāghi fi al-Qur’ān. Kombinasi kesemua ilmu ini sangat penting dalam
pengajian ilmu Qiraat (Ikmal Zaidi 2007:39-51).
KESIMPULAN
Kepelbagaian qiraat sebenarnya membuktikan tiada percanggahan di antara wajah-
wajah bacaan daripada segi makna dan pengertian. Kepelbagaian qiraat adalah
bersifat tanawwu‘ iaitu variasi dan bukan ta‘ārud atau kontradik. Penulisan mashaf
dengan keunikan gaya tulisannya bukan sahaja telah menjadi faktor kesatuan umat
Islam tatkala zaman Sayidina Uthman r.a bahkan menjadi faktor kelangsungan qiraat
yang pelbagai dan kesinambungan legasi paling berharga iaitu Al-Quran itu sendiri.
Ini disebabkan qiraat telah disokong oleh pelbagai ilmu yang lahir bagi
memperkukuhkan kebenarannya.
RUJUKAN
‘Abd al-Karim Ibrāhim ‘Iwad Sālih, Muhādarāt fi al-Qirā’āt al-Shādhdhah. Tanta :
Fakulti Al-Qur’ān Al-Karim li al-Qirā’āt wa ‘Ulūmihā, Universiti Al-Azhar t.t
al-Dāni, Abū ‘Amr ‘Uthmān ibn Sa‘id, al-Muqni‘ fi Rasm Maṣāhif al-Amṣār.
Kaherah : Maktabah al-Kulliyyāt al-Azhar. t.t
al-Hamad, Ghānim Qaddūri, Rasm al-Mushaf : Dirāsah Lughawiyyah Tārikhiyyah.
Baghdad : al-Lajnah al-Wataniyyah. 1982.
JURNAL QIRAAT TAHUN PERTAMA
BIL 1 MUHARRAM 1439 (OKTOBER 2017) ISSN 2600-7657
13
al-Suyūti, Jalāl al-Din ‘Abd al-Rāhman,al-Itqān fi ‘Ulum al-Qur’ān, 2 j. Damsyik :.
Dār Ibn Kathir. 1996
Ibn al-Jazari, Syams al-Din Abu al-Khayr Muhammad ibn Muhammad, Al-Nashr fi
al-Qirā’āt al-‘Ashr. Beirut : Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah. t.t.
Ibn Jinni, Abū al-Fath‘Uthman, al-Muhtasab fi Tabyin Wujūh Shawādh al-Qirā’āt wa
al-‘Idāh ‘anhā, 2 j. Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah.1998.
Ikmal Zaidi Hashim, Konsep al-Riwayah dan al-Dirayah dalam Pengajian Ilmu
Qiraat. Jurnal Pengajian Islam. Fakulti Pengajian dan Peradaban Islam KUIS..
Bil. 2 Januari 2007
Ikmal Zaidi Hashim, Sumbangan Abu Bakr ibn Mujahid dan Kitab al-Sab‘ah
terhadap Pengkaedahan Rukun-rukun Qiraat. Jurnal Pengajian Islam.
Akademi Islam KUIS. Bil. 3 Julai 2008.
Muhammad Hasan Jabal, Difā‘ ‘an al-Qur’ān al-Karim. Basyūn : al-Barbari li al-
Tibā‘ah al-Hadithah. 2000
Muhammad Hasan Jabal, Wathaqah Naql al-Naṣ al-Qur’ani min Rasūlillah ila
. Ummatih. Tanta: Dar al-Sahabah lil al-Turath. 2001
Muhaysin, Muhammad Sālim, Fi Rihāb al-Qur’ān al-Karim, 2 j.Beirut : Dār al-Jayl.
1989.
Sāmi ‘Abd al-Fattāh Hilāl, Muhādarāt fi al-Qirā’āt al-Syādhdhah. Tanta : Fakulti Al-
Qur’ān Al-Karim li al-Qirā’āt wa ‘Ulūmihā, Universiti Al-Azhar. 2000.
Sāmi ‘Abd al-Fattāh Hilāl, Rasm al-Muṣhaf. Tanta : Fakulti Al-Qur’ān Al-Karim li al-
Qirā’āt wa ‘Ulūmihā, Universiti Al-Azhar. 2000.
top related