simbolisme watak dan perwatakan berdasarkan …
Post on 15-Oct-2021
23 Views
Preview:
TRANSCRIPT
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
1
SIMBOLISME WATAK DAN PERWATAKAN BERDASARKAN
KONTEKS SOSIO-BUDAYA MASYARAKAT MALAYSIA DALAM
FILEM OLA BOLA (2016)
(Symbolism Character and Characterization Based on Socio-Cultural Context
of Malaysians In Ola Bola Film (2016))
Nor Ain Binti Matnoh, Zairul Anuar Md. Dawam & Sim Chee Cheang
ABSTRAK
Watak dan perwatakan merupakan reprensentasi sosio-budaya yang memberi makna dan
menyampaikan mesej kepada masyarakat. Ini dinyatakan oleh Fludernik (2009) bahawa watak
dan perwatakan membawa kepada pembinaan makna kepada penonton. Justeru artikel ini
menganalisis simbol watak dan perwatakan berdasarkan konteks sosio-budaya masyarakat
Malaysia melalui filem Ola Bola (2016). Ia bertujuan membincangkan bagaimana watak dan
perwatakan dalam filem ini mewakili kehidupan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada
pelbagai kaum. Konsep Semiotik Ferdinand De Saussure (1857-1931) digunakan sebagai
pendekatan kajian untuk menilai pemaparan simbol mengenai sosio-budaya melalui
pemaparan watak dan perwatakan dalam keseluruhan filem ini. Kajian ini mendapati filem Ola
Bola (2016) memaparkan kepentingan hubungan antara kaum (perpaduan) melalui
persahabatan dan pengorbanan oleh watak dan perwatakan. Kajian juga mendapati pengucapan
dialog dan perlakuan watak dan perwatakan menyampaikan mesej mengenai kepentingan
agama dan penggunaan bahasa ibunda seperti Bahasa Malaysia, Tamil dan Cina. Selain itu
melalui dialogs dan props, filem ini juga memaparkan penerimaan terhadap pengaruh unsur-
unsur luar seperti Bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian masyarakat Malaysia. Secara
keseluruhannya, watak dan perwatakan dalam filem ini digunakan bagi menyampaikan mesej
mengenai kepentingan jati diri bangsa Malaysia.
Kata Kunci: Simbol; Semiotik; Sosio–Budaya; Watak dan Perwatakan; Filem;
ABSTRACT
Characters and characterization are socio-cultural representations that convey meaning and
messages to society. According to Fludernik (2009) characters and characterization lead to the
construction of meaning. Thus, this article analyzes the symbolism in character and
characterization based on the socio-cultural context of Malaysian society through the Ola Bola
(2016) film. The article will discuss how the characters and characterization in this film
represent the lives of Malaysians of various races. The Semiotic concept by Ferdinand De
Saussure's (1857-1931) is used as a research approach to evaluate the portrayal of socio-cultural
symbols through the portrayal of characters and characterization in the film. This study found
that the Ola Bola (2016) film highlights the importance of interpersonal relationships (unity)
through friendship and sacrifice between the characters. The study also found that the dialogue
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
2
and character’s speech convey messages about the importance of religion and the use of native
languages such as Malaysia, Tamil and Mandarin. Apart from dialogs and props, the film also
shows the acceptance of external elements such as English language in the everyday life of
Malaysian society. Overall, the characters and characterization in this film are used to convey
a message about the importance of the Malaysian identity.
Keywords: Symbols; Semiotic; Socio-Cultural; Character and characterization; Film;
PENGENALAN
Simbol wujud dalam bidang kesenian. Ia dicipta oleh mereka yang terlibat dalam bidang seni
tersebut. Ini dinyatakan oleh David Hesmondhalgh (2013) bahawa penggiat seni budaya
merupakan mereka yang terbabit sebagai pencipta simbol (symbol creators) dengan mencipta
pelbagai simbol sama ada daripada nyanyian, tarian, lukisan, atau lakonan. Penciptaan simbol
tersebut biasanya menggambarkan sosio-budaya sesebuah masyarakat. Ia digunakan untuk
mengkritik dan menyampaikan mesej tertentu kepada masyarakat.
Dalam filem, simbol merupakan elemen naratif yang membentuk penceritaan. Syd
Field (dlm. Norinawati Binti Kamarulzaman, 2007) menyatakan watak dan perwatakan adalah
nadi kepada struktur naratif untuk membina atau memperkernbangkan sesuatu lakon layar. Ia
akan menentukan tindakan terhadap sesuatu perkara yang akan dihadapinya dalam filem (Irwin
R. Blacker, 1986). Justeru, watak dan perwatakan yang dikaitkan dengan elemen naratif yang
lain seperti latar tempat dan masa serta plot juga merupakan representasi kehidupan golongan
tertentu dalam masyarakat. Watak dan perwatakan juga adalah salah satu simbol penting dalam
menyampaikan sesuatu mesej. Ini sesuai dengan peranan filem yang merupakan cerminan
untuk melihat wajah dan jiwa masyarakat yang terbina daripada pemikiran berdasarkan
peristiwa dan pergelutan sosial di sekitarnya (Ku Seman Ku Hussain, 2009).
Watak bukan hanya dilihat melalui wajah dan cara bercakap sahaja, tetapi melibatkan
beberapa aspek utama seperti fizikal, mental, budaya dan moral. Ini kerana watak dan
perwatakan melakukan sesuatu perbuatan yang menggambarkan dirinya seperti perilaku, sifat,
tabiat, keperibadian watak, tingkah laku dan sebagainya. Seterusnya segala aspek pada watak
dan perwatakan ini akan menjadi simbol yang mewakili atau menggambarkan kehidupan sosio-
budaya masyarakat. Watak dan perwatakan yang dipaparkan dalam filem tempatan biasanya
sinonim dengan budaya masyarakat Malaysia. Malah pelbagai benda atau objek yang dikaitkan
dengan props dalam filem yang digunakan oleh watak juga merupakan simbol untuk
menyampaikan maksud tersirat kepada audiens.
KAJIAN SEMIOTIK DALAM FILEM
Semiotik adalah cabang ilmu untuk mengkaji tanda dalam suatu konteks senario, gambar, teks
dan adegan dalam filem yang dapat dimaknai. Secara umumnya, makna semiotik itu sendiri
berasal daripada perkataan Greek, iaitu akar kata Semeion, iaitu tanda atau sign yang membawa
maksud dalam sistem perlambangan (De Saussure, 1983:24). Charles Sander Peirce (1839-
1914), juga menyatakan semiotik adalah konsep mengenai tanda yang berkaitan dengan fikiran
manusia dalam kehidupan sebenar.
Selain itu, Ferdinand De Saussure (1857-1913) membahagikan semiotik kepada dua
komponen iaitu signifier dan signified. Signifier atau penanda merupakan benda yang meliputi
imej, objek dan bunyi. Manakala signified adalah petanda yang memberi gambaran tertentu
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
3
kepada benda tersebut. Ini dinyatakan oleh Sanoda Anak Anyai (2007) bahawa benda yang
ditanda untuk menjadi (sesuatu) yang dilambangkan. Manakala Pierce membahagikan tanda
kepada tiga bahagian iaitu ikon, indeks dan simbol. Ikon adalah tanda yang sama atau mirip
antara penanda dan petanda yang disampaikan secara langsung. Indeks pula tanda yang
mempunyai sebab dan akibat yang bersifat kenyataan. Manakala simbol adalah tanda yang
disampaikan dengan makna tersirat lain secara tidak langsung.
De Saussure (1857-1913) dan Barthes (1915-1980) juga turut menitikberatkan bahasa
sebagai semiotik yang mempunyai makna tersirat. Ia digunakan dalam pelbagai cara dan lebih
merujuk kepada budaya, sosial dan pendidikan. Justeru, pendekatan semiotik yang mengkaji
fenomena budaya terungkap dalam bahasa dilakukan supaya masyarakat mampu memahami
cara hidup yang dilalui. Misalnya, lembu adalah penanda, tetapi kata dan bunyi lembu pula
adalah petanda iaitu terdapat makna tersirat yang cuba disampaikan (Mana Sikana, 2013).
Sosio-budaya pula adalah segala aspek yang berkaitan dalam memberi gambaran
terhadap unsur-unsur kemasyarakatan, politik, kesusasteraan, falsafah, nilai dan keagamaan
(Mohamad Kamal bin Abd Aziz, 2016). Fadli Al-Akiti (2018) juga menyatakan bahawa sosio-
budaya merujuk kepada penelitian yang secara jelas terhadap asas, latar dan kefahaman suatu
realiti sosial dan budaya yang realiti. Penelitian itu dijelaskan melalui karya-karya yang
dihasilkan sama ada melalui media cetak dan elektronik seperti kajian lepas, buku, artikel,
filem, dan sebagainya. Justeru, gambaran itu cuba dicatatkan atau dipaparkan berdasarkan pada
zaman tersebut, iaitu latar, kepercayaan dan latar sejarah yang mewujudkan sosio-budaya
tersebut. Oleh itu, secara tidak langsung ini akan memberi makna sebenar terhadap penghasilan
kesejarahan sosio-budaya tersebut.
Kajian mengenai simbol atau tanda dalam filem yang pertama dilakukan oleh Christian
Metz (1991). Menurut Ike Desi Florina (2014) berdasarkan Metz, syot dalam filem memberi
makna yang khusus terhadap gambaran sesuatu dan bukannya sewenang-wenang digunakan.
Kajian makna dalam filem juga dilakukan oleh Fortier M (1997) yang merangkumi
pemahaman terhadap tanda dan makna, sama ada dalam perkataan, imej dan kelakuan.
Semiotik yang berkaitan dengan sistem tanda (penanda dan petanda) dan simbol dalam filem
sangat berkait rapat dengan budaya masyarakat. Ini dinyatakan oleh Barthes (1915-1980)
apabila kehidupan sosial juga merupakan suatu sistem tanda. Justeru, kehidupan sosial
seringkali digambarkan melalui filem. Ini disebabkan filem berkemampuan menjangkau
banyak segmen sosial yang mampu mempengaruhi audien. Melalui simbol yang mempunyai
makna tersirat memberi mesej dan pengajaran kepada penonton. Misalnya, watak-watak yang
memaparkan tokoh-tokoh tertentu sering dipergunakan secara simbolik agar masyarakat
sekarang sentiasa menghargai dan mengingati pengorbanan mereka sebelum ini.
Simbol pada sesuatu objek, imej atau bunyi, kejadian atau tempat yang mempunyai
pelbagai makna tersirat sering melambangkan kehidupan sosio-budaya masyarakat. Justeru,
kajian terhadap elemen naratif seperti tema, watak perwatakan, plot dan lain-lain lagi elemen
naratif sering dilakukan dalam filem. Misalnya, penelitian terhadap filem tersebut seperti
pengaruh filem terhadap anak, pengaruh filem dan sosial, filem dan politik, pengaruh filem
terhadap seks dalam masyarakat dan sebagainya. Penelitian ini dilakukan disebabkan filem
adalah sarana penyampaian yang cepat diterima dan secara umumnya tidak jauh berbeza
dengan kehidupan masyarakat.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif melalui teknik analisis kandungan naratif dengan
menfokuskan watak dan perwatakan dalam filem tempatan Malaysia iaitu Ola Bola (2016).
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
4
Kaedah kualitatif adalah penerangan dan pemerhatian bukan numerikal. Ia juga adalah
prosedur penelitian yang menghasilkan data deskriptif yang berupa kata-kata tertulis, dan
menggunakan penghayatan terhadap interaksi antara konsep yang dikaji (Semi, 1993: 23).
Kajian ini menganalisis bagaimana elemen naratif iaitu watak dan perwatakan
membawa kepada pembinaan makna kepada penonton (Fludernik 2009). Dengan kata lain,
elemen watak dan perwatakan ini dinilai dalam filem Ola Bola (2016) bagi mengenalpasti
makna tersirat yang mampu memberi mesej atau pengajaran kepada penonton berdasarkan
konsep Semiotik Ferdinand De Saussure (1857-1913). Berdasarkan konsep ini, makna tersirat
yang ingin diperolehi adalah berkaitan dengan sosio-budaya masyarakat Malaysia. Sosio-
budaya tersebut merangkumi perpaduan kaum, asal-usul, adat, budaya, agama, sosial dan
sebagainya.
Melalui kajian ini, kutipan data dilakukan melalui pemerhatian penontonan dalam
setiap sudut babak yang dipaparkan. Untuk memproses data, terdapat beberapa langkah untuk
mencapai analisis. Antaranya, setiap babak dalam filem ini dibahagikan dan tontonan
difokuskan dengan mengenalpasti watak dan perwatakan dalam adegan. Seterusnya, setiap
proses kutipan data akan diperincikan dalam setiap watak dan perwatakan yang merangkumi
dialog, perlakuan, prop, latar masa dan tempat atau persekitaran. Data yang mewakili setiap
sosio-budaya masyarakat akan dikumpul untuk diambil kira sebagai data yang sah.
Jadual 1: Teori Semiotik Ferdinand De Saussure (1857-1931)
Tanda
Penanda (signifier) Petanda (signified)
Watak dan perwatakan.
Ali
Balak@Eric
Muthu
Watak dan perwatakan dilihat
berdasarkan:
1. Dialog
2. Perlakuan
3. Prop
4. Persekitaran
Sosio-budaya masyarakat Malaysia
SINOPSIS FILEM OLA BOLA (2016)
Filem Ola Bola telah berjaya mencetuskan satu fenomena untuk mengukuhkan lagi perpaduan
kaum di Malaysia (Berita Harian Online, 2016). Tan Su Lin (2016) menyatakan filem ini juga
memaparkan semangat kekitaan rakyat Malaysia melalui watak–watak pasukan bola sepak
tersebut. Bukan itu sahaja, filem Ola Bola juga telah menyarakan realiti kehidupan sebenar
kehidupan di Malaysia dengan menggunakan kesemua bahasa iaitu bahasa Melayu, Tamil,
Inggeris, Mandarin, Kantonis dan Hokkien (Astro Awani Online, 2015). Justeru, filem ini telah
menerjah rakyat Malaysia yang telah lupa soal perpaduan dan memaparkan scenario realiti
yang dialami dalam kehidupan masyarakat seperti konflik keluarga, cinta, tekanan jiwa dan
sebagainya (Ainol Amr Iz Isma il, 2016).
Filem Ola Bola yang berdurasi 01:48:00 ini diarahkan oleh Chiu Keng Guan. Filem ini
mengisahkan seorang wartawan bernama Marianne yang ditugaskan untuk membuat kajian
mengenai pasukan bola sepak negara yang telah mencipta nama pada era 80-an. Kajian tersebut
telah mengimbau kembali era 80-an, iaitu ketika pasukan bola sepak negara ketika itu berdepan
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
5
dengan cabaran dimana pemain-pemainnya mempunyai perbezaan pendapat dan tidak
sehaluan sehingga menyebabkan kekalahan dalam perlawanan penting. Keadaan semakin
rumit apabila hampir setiap pemain mempunyai isu dan masalah masing-masing. Walau
bagaimanapun, mereka hanya mempunyai satu peluang untuk beraksi di persada dunia.
Disebabkan itu, para pemain perlu mengetepikan hal peribadi demi mengharumkan nama
negara. Ketika semangat kembali menyemarak dalam diri, pasukan negara sekali lagi diduga
dengan satu cabaran yang mematahkan semangat mereka dan harapan negara. Berdasarkan
sinopsis tersebut, filem Ola Bola diilhamkan daripada peristiwa sebenar yang terjadi sebelum
kejohanan Sukan Olimpik Moscow 1980. Ia merupakan sebuah filem yang membawa penonton
melihat semangat, keunikan dan kekuatan yang terdapat dalam kepelbagaian bangsa di
Malaysia.
PERBINCANGAN DAPATAN KAJIAN
Filem tempatan Ola Bola telah menampilkan beberapa simbol khususnya melalui watak dan
perwatakan. Kepelbagaian watak dan perwatakan dalam filem ini telah memberi gambaran
bahawa rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai latarbelakang dan
asal usul yang berbeza. Antara watak dan perwatakannya yang dipaparkan dalam filem ini ialah
Ahmad Ali, Chow Kwok Keong, Muthu Kumar, Ong Tiam Cai, Eric Yong, Sarjeet Singh,
Mohammad Abu, Chow Mei Ling, Tan Siew Lee, Marianne, Rahman, dan Harry Mountain.
Sebagai contoh watak Ahmad Ali, Mohammad Abu, Rahman mewakili kaum Melayu.
Manakala Chow Kong Keong, Ong Tiam Cai, Eric Yong, Chow Mei Ling dan Tan Siew Lee
mewakili kaum Cina. Seterusnya watak Muthu Kumar dan Sarjeet Singh pula mewakili kaum
India.
Setiap watak utama yang mewakili kaum tersebut telah diperjelaskan asal-usul mereka
melalui latar tempat. Antaranya watak Muthu Kumar digambarkan tinggal di Estet Ladang
Pokok Kelapa. Gambaran ini sesuai dengan sejarah asal-usul kedatangan masyarakat India
pada pemeritahan British yang kebanyakkannya dibawa masuk untuk menjadi tenaga kerja
estet yang dimiliki oleh British. Begitu juga dengan watak Chow Kwok Keong atau Tauke dan
Rahman yang memaparkan perbezaan latar tempat tempat tinggal. Berdasarkan latar tempat
kawasan rumah Rahman lebih kelihatan kawasan kampung, manakala tempat tinggal Tauke
kelihatan rumah kedai lama yang berdindingkan kayu papan. Melalui latar tempat yang dihuni
oleh watak-watak tersebut menggambarkan mereka berasal daripada latarbelakang yang
berbeza. Namun disebabkan minat yang sama dan ingin menyumbang kepada kejayaan negara,
mereka sanggup hidup bersama-sama dalam mencapai impian. Ini memberi petanda atau
gambaran mengenai pentingnya perpaduan dan kerjasama dalam mencapai kejayaan.
Melalui teori semiotik (1857-1931), watak utama merupakan penanda (signifier)
manakala petanda (signified) merupakan simbol atau tanda di sebalik watak dan perwatakan
tersebut. Sebagai contoh setiap watak dan perwatakan yang digambarkan melalui dialog dan
perlakuan mewakili sosio-budaya masyarakat tempatan Malaysia. Justeru, penggunaan dialog
oleh watak menggambarkan perbezaan cara hidup antara orang tempatan dan luar negara.
Dialog ini dipaparkan pada minit 00:18:25:
Tauke: You don’t even know whether he is a helper or troublemaker. He has a brown
hair and blue eyes. He is not like us.
Rahman: You See. It’s different. Aren’t we still Brothers?.
Tauke: It’s different lah. They eat steak, but we eat Nasi Lemak together, right?.
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
6
Rajah 1: Syot dialog antara watak Tauke dan Rahman
Secara tersirat, dialog yang dinyatakan oleh watak Tauke dan Rahman memaparkan
beberapa perkara yang berkaitan dengan sosiobudaya yang meliputi cara hidup dan pemikiran
masyarakat Malaysia. Antaranya dialog tersebut memaparkan kontradiksi ketidakpenerimaan
terhadap pengaruh penjajah dalam menentukan pembentukan negara, namun pada masa yang
sama mereka juga bertutur dalam Bahasa Inggeris yang berasal dari penjajah Inggeris. Ini
menunjukkan walaupun kebanyakkan rakyat tidak menyukai penjajahan, namun mereka
sebenarnya telah dipengaruhi oleh yang dibawa penjajah. Antaranya, cara berkomunikasi
dalam bahasa Inggeris. Dari aspek positifnya, penggunaan bahasa Inggeris ini juga
menunjukkan fungsinya sebagai bahasa kedua dalam sistem pendidikan dan pertuturan harian
yang semakin penting dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum seiring dengan
penggunaan bahasa ibunda. Bukan itu sahaja, melalui dialog istilah “Nasi lemak” juga memberi
simbol terhadap penyatuan pelbagai kaum melalui cara kehidupan iaitu pemakananan yang
digemari oleh kebanyakan rakyat Malaysia (Rajah1). Makanan tersebut secara tidak langsung
telah menjadi makanan tradisi di Malaysia yang telah diterima oleh semua kaum. Ia juga
menggambarkan unsur persamaan yang dikongsi bersama oleh semua kaum di Malaysia.
Selain itu, penggunaan dialog oleh watak dalam filem tersebut juga turut
menggambarkan jatidiri watak yang masih mementingkan penggunaan Bahasa ibunda masing-
masing dan sikap individualistik generasi sekarang. Ini berdasarkan adegan dan dialog watak
utama Eric Yong kepada kanak-kanak yang menjalani latihan bolasepak pada minit 00:04:50
(Rajah 2).
Eric Yong: All of you are playing as individuals. Why didn’t you pass the
ball?
Kid: Tommy ran too slow. We are Arsenal. Of course, we won’t pass the
ball to him.
Kid: Just because you wear…
Eric Yong: Speak Mandarin.
Kid: It is just because you’re wearing a fancy jersey.
Eric Yong: Did you come here to learn how to play football or sell jerseys?. In the
past, we weren’t like all of you. You don’t know how to play football. You only know
how to buy fancy kits. As punishment, run five laps around the field.
Kid: Hah…
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
7
Rajah 2: Syot penggunaan dialog berdasarkan sikap kanak-kanak bermain bola sepak
bersama watak Eric Yong
Berdasarkan adegan dan dialog di atas, ia memaparkan watak kanak-kanak sebagai
simbol penanda yang memberi petanda sikap individualistik generasi sekarang. Secara
simboliknya memaparkan sikap generasi sekarang yang melakukan sesuatu hanya sekadar
untuk mendapatkan nama atau populariti, namun ia bukanlah sesuatu yang harus diagung-
agungkan kerana kejayaan tersebut harus dicapai secara bersama.
Watak Eric Yong turut menekankan kepentingan bahasa ibundanya iaitu bahasa
Mandarin dalam kalangan kanak-kanak atau generasi sekarang. Malah ketegasan watak Eric
Yong, memberi mesej kepada ibubapa untuk mendidik anak-anak agar lebih
bertanggungjawab, bersikap matang dan hormat terhadap orang lain. Ternyata watak dan
perwatakan yang memaparkan ketegasan Eric Yong merupakan simbol kepada generasi lama
yang perlu ada dalam generasi muda dalam mendidik anak-anak atau generasi masa kini.
Secara ikoniknya, penggunaan prop oleh watak juga menggambarkan sejarah
pembangunan atau kemajuan terdahulu. Penggunaan prop kereta api ketika watak Marianne
mengunjungi Sabah dilakukan untuk menggambarkan kehidupan zaman dahulu yang belum
begitu moden. Malah secara simboliknya ia juga menggambarkan perubahan yang berlaku
dalam kehidupan (Rajah 3). Dalam kehidupan masyarakat di pendalaman seperti Sabah,
kemudahan kereta api adalah sinonim (atau ikon menurut Pierce) dengan perlambangan
kehidupan yang belum begitu moden. Dalam filem tersebut, juga dipaparkan kreativiti
masyarakat untuk mencipta troli haram yang tidak diluluskan oleh pihak kerajaan. Troli
tersebut digunakan untuk memudahkan orang yang tidak berkemampuan mengangkat barang
daripada pekan Tenom atau membawa pesakit yang uzur dan ibu yang sakit ingin melahirkan
anak ke hospital. Secara simboliknya, pemaparan adegan yang penggunaan props oleh watak
ini memberi mesej bahawa pihak kerajaan belum melakukan usaha sepenuhnya dalam
membantu masyarakat pedalaman. Selain itu, secara simboliknya, pemaparan adegan Marianne
menaiki keretapi lama untuk bertemu tokoh terdahulu menunjukkan untuk bergerak
kehadapan, iaitu kita harus bersedia untuk kembali ke belakang dengan mengkaji sejarah silam.
Kontradiksi kehidupan moden watak dalam filem tersebut dan props keretapi lama adalah
simbol antara kemodenan dan kesediaan generasi ini untuk menggali dan mencari sejarah lalu.
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
8
Rajah 3: Syot kemudahan kereta api lama melalui watak Marianne memberi symbol
pencarian semua sejarah lama
Perpaduan kaum sangat utuh dipaparkan dalam filem ini. Adegan watak yang mewakili
kaum Cina turut sama berjoget apabila terdapat persembahan nyanyian di atas pentas, secara
simboliknya menunjukkan penerimaan masyarakat Cina terhadap budaya masyarakat Melayu.
Jika mengimbas semula, penerimaan masyarakat Cina terhadap budaya setempat penting
dalam memastikan isu perbalahan disebabkan perbezaan sosio-budaya dan politik pada 13 Mei
1969 tidak lagi berlaku. Simbol ini digambarkan melalui watak dan perwatakannya yang
mampu menyampaikan mesej agar masyarakat lebih berfikiran terbuka untuk menerima
perbezaan budaya antara satu sama lain. Misalnya, pada minit ke 00:11:36 memaparkan watak
Ali, Abu, Ong Tian Cai dan Muthu yang menaiki motor bersama-sama pergi ke pusat hiburan
Fun Fair dan berhibur seperti berjoget bersama-sama merupakan simbol terhadap perpaduan
kaum. Latar tempat pusat hiburan ini juga memberi simbol perpaduan kaum kerana tempatnya
yang terbuka dan lebih memudahkan masyarakat bertemu secara aman, dan bersuka ria (Rajah
4). Disamping dapat mengeratkan lagi perhubungan sesama kaum dan lebih membuka minda
dan fikiran.
Rajah 4: Syot Watak Ali, Abu, Ong Tian Cai dan Muthu di pusat Hiburan Fun Fair
Turut dipaparkan melalui simbol watak dan perwatakan dalam filem ini ialah
pentingnya semangat rajin berusaha. Sikap rajin berusaha adalah tonggak untuk mencapai
sesuatu kejayaan. Justeru, simbol ditunjukkan dalam beberapa watak iaitu watak Tauke pada
minit 00:11:25, 00:27:57 dan 00:36:10 (Rajah 5). Adegan ini memaparkan Tauke tidak
bergantung sepenuhnya menjadi pemain bola negara, tetapi melalui latar tempat yang
dipaparkan ia bekerja di sebuah pejabat, pusat hiburan Fun Fair dan menoreh getah. Watak
adik Tauke, Mei Ling juga turut menunjukkan tidak bergantung dengan pekerjaan abangnya
sahaja apabila turut bekerja di kedai jahit kain dan menoreh getah. Ia juga menjadi
tanggungjawabnya untuk menampung ibu dan persekolahan adik-adiknya yang masih kecil.
Secara simboliknya selain menunjukkan sifat rajin berusaha, pemaparan watak tauke dan
adiknya memberi gambaran bahawa kaum Cina merupakan kaum yang rajin berusaha untuk
memperbaiki taraf hidup mereka. Pemaparan watak Muthu yang bekerja di ladang kelapa dan
watak Rahman dengan kehidupan di kampong memberi gambaran asal-usul pelbagai kaum di
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
9
Malaysia. Namun pemaparan adegan yang menunjukkan watak Tauke melakukan pelbagai
pekerjaan berbanding watak Muthu dan Rahman, ia memberi gambaran sebab-sebab kenapa
ramai orang Cina lebih berjaya berbanding kaum lain tidak kira dalam sektor Pendidikan,
Perusahaan dan sebagainya.
Rajah 5: Syot Watak Tauke, Mei Ling dan Muthu yang melakukan pelbagai pekerjaan
Seterusnya, penghargaan terhadap tokoh lama turut ditonjolkan dalam filem Ola Bola
ini. Misalnya simbol ini cuba dipaparkan berdasarkan watak Tauke, Ali, Abu, Muthu, Ong
Tiam Cai, Sanjeet Singh dan Eric Yong. Oleh itu, Tauke atau Chow Kwok Keong masa kini
yang sudah tua dipaparkan pada minit 01:37:21 dan video rakaman lampau pada minit 00:00:56
agar anak muda dapat merasai apa yang cuba disematkan dalam jiwa mereka (Rajah 6).
Pemaparan adegan melalui kemunculan watak sebenar bertujuan menyampaikan mesej kepada
golongan muda untuk mengetahui sejarah sumbangan tokoh-tokoh terdahulu. Ini disebabkan
golongan anak muda masa kini tidak banyak mengetahui sejarah perkembangan bola sepak
pada zaman 70-an dahulu. Justeru, mereka tidak merasai nilai perpaduan, pengorbanan dan
perjuangan pada tokoh-tokoh yang lama untuk mengharumkan nama Negara. Perlambangan
ini memberi gambaran pemain dahulu lebih hebat dengan melalui pelbagai rintangan untuk
berjaya. Bukan itu sahaja, filem ini cuba untuk memaparkan pemain bola dahulu bukan hanya
sekadar bermain di atas padang tetapi ia ditonjolkan melalui semangat yang tinggi dan bukan
hanya ingin mencapai wang yang lumayan semata-mata berbanding pemain bola masa kini. Ini
dinyatakan oleh Irma Musliana (2016) apabila ranking bola sepak Malaysia jatuh teruk
kerana kualiti pemain yang kurang bermutu.
Rajah 6. Syot pemaparan tokoh sebenar berdasarkan sejarah
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
10
Kepentingan agama dan adat turut dipaparkan dalam filem ini. Misalnya, simbol yang
cuba digunakan melalui watak Tauke seorang anak muda yang digambarkan taat pada adat dan
agamanya dengan membakar colok pada minit 00:13:13 sebagai tanda penghormatan kepada
mendiang ayahnya secara tradisi mengikut budaya Cina (Rajah 7). Syot ini ditonjolkan sebagai
simbol agar anak muda masa kini tidak meminggirkan agama dan mementingkan adat mereka
walau sesibuk manapun dan ia mampu berterusan untuk diamalkan. Melalui simbol ini juga, ia
turut memberi makna bahawa agama adalah satu kemestian dalam kehidupan walaupun
berbeza kaum dan budaya. Melalui agama seseorang individu mampu bersikap sabar dan
muhasabah diri apabila mengingati Tuhan.
Rajah 7. Syot watak Tauke yang sedang membakar colok
Semangat setiakawan yang berbeza kaum juga dipaparkan dalam filem ini. Justeru,
penerapan nilai setiakawan terhadap masyarakat yang berbeza kaum diterapkan dalam filem
ini pada minit 00:44:00 dan minit 00:46:57 iaitu simbol daripada watak Tauke yang cuba
membantu Muthu serta watak Rahman yang turut membantu meminjamkan keretanya kepada
Tauke (Rajah 8). Penerapan sikap setiakawan dalam syot ini turut mengambil kira tidak ada
jurang antara kaum di Malaysia dan saling membantu antara satu sama lain apabila turut
merasai kesusahan orang lain walaupun berbeza agama dan ras. Melalui adegan watak Tauke
dan Rahman yang prihatin terhadap Muthu memberi makna semangat setiakawan. Ia bertujuan
untuk menyampaikan mesej kepada anak muda kini yang kurang bersikap setiakawan
terutamanya berbeza ras dan kaum. Misalnya, di institusi-institusi Malaysia telah wujudnya
puak-puak tertentu yang lebih selesa duduk bersama mengikut kaum dan bangsa sendiri. Ini
hanya menambahkan jurang antara kaum kerana tidak ada hubungan pergaulan yang baik.
Rajah 8: Syot Watak Tauke bersama Muthu dan Rahman
Simbol terhadap semangat juang yang tinggi turut dipaparkan dalam filem ini terhadap
golongan anak muda. Terdapat adegan yang memaparkan watak-watak pemain bola menaiki
Helikopter. Kemudian Helikopter tersebut terbang tinggi di atas awan iaitu pada minit 00:59:51
(Rajah 9). Helikopter yang berada di atas awan memberi gambaran keinginan mencapai cita-
cita yang tinggi. Untuk mencapai cita-cita yang tinggi memerlukan keyakinan diri agar tidak
mudah menyerah kalah atau berserah begitu sahaja. Makna kepada simbol ini diperkuatkan
melalui nyanyian yang dilaungkan:
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
11
“Inilah barisan kita, yang ikhlas berjuang, siap sedia berkorban untuk ibu
pertiwi, sebelum kita berjaya, jangan harap kami pulang, inilah sumpah
pendekar kita ….”
Walaupun keyakinan diri bukanlah penentu kejayaan secara seratus peratus, tetapi ia
boleh membantu untuk menjadi seseorang yang lebih berani serta kuat daripada aspek fizikal
dan mental. Oleh itu, sebagai anak muda yang ingin mencapai kejayaan tidak kira dalam apa
jua bidang haruslah yakin terhadap kemampuan diri sendiri.
Rajah 9: Syot watak menaiki Helikopter dan beberapa watak pemain bola
Pemaparan makanan tradisi turut menjadi adegan utama dalam filem ini. Walaupun
filem ini mengenai kisah pemain bola namun terdapat juga unsur-unsur lain yang memberi
kekuatan terhadap kekuatan dalaman pemain bola sepak dahulu. Pada minit 00:12:14
memaparkan pembikinan Pati Ayam yang dibuat oleh Ibu Tauke (Rajah 10). Cara pembikinan
Pati Ayam tersebut yang dipaparkan secara tradisional memberi gambaran terhadap budaya
tradisi pemakanan Cina. Secara tersiratnya, ia menggambarkan bahawa Pati Ayam adalah
makanan tradisi utama daripada budaya Cina secara turut-temurun yang mempunyai banyak
khasiat utama terhadap kesihatan, dan memberi ketahanan tubuh badan terutamanya kepada
ahli olahraga. Justeru, Pati Ayam ini diberikan kepada watak Tauke sahaja bukan kepada adik-
beradiknya disebabkan dia merupakan seorang pemain bola sepak disamping mempunyai
pelbagai jenis pekerjaan yang dilakukan olehnya.
Rajah 10: Syot pemaparan masakan Pati Ayam secara tradisional
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, didapati watak dan perwatakan dalam filem Ola Bola (2016) dibentuk
berdasarkan sosio-budaya masyarakat Malaysia. Dalam filem tersebut, simbol watak dan
perwatakan yang diperkuatkan dengan latar tempat, dialog dan props memberi pelbagai makna
yang berkait dengan sosio-budaya masyarakat Malaysia seperti perpaduan kaum, sikap
generasi muda, kepentingan agama dan lain-lain lagi. Pemaparan pelbagai simbol yang
memberi pelbagai makna melalui watak-perwatakan menjadikan filem ini menjadi sebuah
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
12
naskhah yang berjaya menyampaikan mesej positif. Walaupun filem ini menggunakan
persekitaran latar budaya dan sejarah lalu, namun watak dan perwatakannya juga mewakili
realiti kehidupan masa kini. Persekitaran latar tempat, sejarah yang menggambarkan sosio-
budaya masyarakat Malaysia ini telah menarik minat dan perhatian penonton untuk menonton
filem ini.
PENGHARGAAN
Artikel ini adalah sebahagian daripada hasil penyelidikan Fundamental Research Grant
Scheme (FRGS/2/2014/SSI07/UMS/02/1), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),
Malaysia.
RUJUKAN
Ainol Amr Iz Isma Il. (2016). Doktrin Ola Bola. 14 Februari, Utusan Online
http://www.utusan.com.my/rencana/utama/doktrin-ola-bola-1.190145. Muat turun 12
September 2018.
Daily Seni. 2015. Ola Bola Yang Memikul Tanggungjawab Perpaduan. 24 Oktober, Astro
Awani Online http://www.astroawani.com/berita-hiburan/ola-bola-filem-yangmemikul
tanggungjawab-perpaduan-77785. Muat turun 24 Oktober 2018.
Fludernik, M. (2009). An introduction to narratology. New York. Roudledge.
Filem Ola Bola. (2016). Malaysia: Golden Screen Cinemas (GSC), Astro Shaw & Multimedia.
Hizral Tazzif Hisham. (2015). Cabaran Industri Filem Melayu, Pandangan Penggiat Industri dan
Penonton. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.
Irwin R. Blacker. (1986). The Elements of Screenwritting. New York: Macmillan.
Ike Desi Florina. (2014). Representasi Represi Orde Baru Terhadap Buruh (Studi Saluran
Komunikasi Modern Christian Metz Dalam Film Marsinah (Cry Justice). Journal of Rural and
Development, 2, 186.
Irma Musliana. (2016). Apa Jadi Pada 1994 Yang Meranapkan BolaSepak Kita? dan 8 Lagi Fakta
Sejarah BolaSepak Malaysia. 16 April, Soscili.My https://soscili.my/sejarah-bolasepak-
malaysia/. Muat turun 12 September 2018.
Ku Seman Ku Hussain. (2009). Sosiobudaya Dalam Filem. 17 Ogos, Utusan Online
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0817&pub=Utusan_Malaysi
a&sec=Rencana&pg=re_07.htm. Muat turun 11 Oktober 2018.
Mana Sikana. (2013). Dari barat ke timur: Teori dan kritikan sastera. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Norinawati Binti Kamarulzaman. (2007). Kajian Bagaimana Filem Menyampaikan Kesan
Psikologi Seorang Watak Terhadap Penonton. Sarawak: Universiti Malaysia Sarawak.
Rasdan Ahmad. (2015). Filem 2014: Budaya dan Realiti. 11 Januari, Utusan Online
http://www.utusan.com.my/hiburan/filem-2014-budaya-dan-realiti-1.46786. Muat turun 9
Oktober 2018.
Sanoda Anak Anyal. (2007). Kajian Semiotik Dari Aspek Watak Dan Perwatakan Dalam
Naskah Si Bongkok Tanjung Puteri. Sarawak: Universiti Malaysia Sarawak.
Tan Su Lin. (2016). OlaBola Bukan Sekadar Filem Bola Sepak. 24 Januari, Hiburan Astro
Awani Online http://www.astroawani.com/berita-hiburan/olabola-bukan-sekadar-filem-bola
sepak-pengarah-90992. Muat turun 11 Oktober 2018.
Yoyon Mudjiono. (2011). Kajian Semiotika dalam film. Jurnal Ilmu Komunikasi, 1, 129.
Vol. 16. No.6 (1-13), ISSN: 1823-884x
13
MAKLUMAT PENULIS
NOR AIN BINTI MATNOH
Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan,
Universiti Malaysia Sabah.
Norainmatnoh1994@gmail.com
ZAIRUL ANUAR MD. DAWAM, PH.D
Fakulti Kemanusiaan, Seni dan Warisan,
Universiti Malaysia Sabah.
zanuar@ums.edu.my
top related