4 menggali masalah klien menggunakan teori rogerien
TRANSCRIPT
Menggali Masalah Klien Menggunakan Teori Rogerien & Terapi Realiti
Menggali Masalah Klien Menggunakan Teori Rogerien & Terapi Realiti
Dr. Syafrimen, M. Ed
Nova Erlina, M. Ed
ABSTRAK
Penelitian ini bertujuan untuk melihat penggunaan teori Rogerian dan Terapi
Realiti oleh calon konselor dalam menggali permasalah klien. Secara umumnya
pendekatan yang digunakan dari kedua-dua teori tersebut adalah penerimaan
positif tanpa syarat dan pemahaman melalui empati (Rogerian), fokus pada
tingkahlaku yang sedang dihadapi klien, meminta klien menilai perlakuan
sendiri, menggalakan klien membuat perencanaan untuk berubah dan
mengajak klien berdepan dengan realita (Terapi Realiti). Kaedah kajian kes
“multi-case single-site case study design” telah digunakan sebagai metodologi
kajian. Tujuh orang klien, iaitu enam orang mahasiswa S1 dan satu orang
mahasiswa S2 yang sedang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia telah
dijadikan sebagai kajian. Rekaman sesi konseling telah dijadikan sebagai data,
dan dianalisis secara tematik menggunakan software NVivo 7. Hasil kajian
menunjukkan bahwa klien merasa senang menyampaikan permasalahan
mereka melalui kedua pendekatan tersebut. Secara umumnya klien
menunjukkan perkembangan yang positif dari sesi ke sesi yang dilakukan. Hasil
penelitian didiskusikan berdasarkan hasil-hasil penelitian sebelumnya dan juga
artikel-artikel yang berkaitan dengan kajian ini.
A. Pendahuluan
Konseling merupakan satu proses yang melibatkan hubungan dua arah antara
konselor profesional dengan individu yang memerlukan bimbingan (Noriah,
Zuria & Salleh 2005). Terdapat pelbagai teori yang diaplikasikan untuk
membantu klien dalam proses bimbingan dan konseling, antara teori yang
senantiasa mendapat perhatian di kalangan konselor adalah Psikoanalisis Freud,
Psikologi Individu Adlerian, Terapi Eksistential, Pendekatan Berpusatkan Klien
oleh Roger, Terapi Gestalt, Terapi Realiti, Rasional Emotif Terapi, Terapi
Transaksional, Terapi Asia, Terapi Elektik Teknikal dan Menggunakan
Pendekatan Islam (Sapora Sipon dan Ruhayah Hussin 2008).
Menurut Paw Eng See, Noriah dan Salleh (2008) seorang konselor perlu memiliki
berbagai teknik dan mahir dalam berbagai teori agar dapat memberikan
bimbingan yang baik kepada klien mereka, bahkan Myrick (2001) menyatakan
konselor perlu mahir mengkombinasikan berbagai teori dan teknik tersebut
semasa menjalankan sesi konseling. Justeru, pengkombinasian teori tersebut
akan lebih cepat membuka pemikiran konselor dalam mencari solusi untuk
membantu klien. Pengkombinasian teori itu juga merupakan cara yang lebih
efektif kepada konselor dalam membantu klien mereka (Paw Eng See, Noriah
dan Salleh 2008). Kejelimetan konselor dalam mengkombinasikan teori
menjadikan konselor tersebut lebih kreatif, dan klien akan merasa puas dengan
bimbingan yang diberikan (Pifalo 2005; Rogers 1996). Paw Eng See et al. (2008)
tidak menafikan terdapatnya halangan di kalangan konselor untuk menguasai
dan mengaplikasikan pelbagai teori dalam satu waktu. Bahkan terdapat
pandangan yang menyatakan ramai di kalangan konselor yang faham dengan
berbagai teori tetapi mereka membabi buta dalam penggunaan teori yang
mereka fahami itu, tanpa diteliti apakah teori itu sesuaia dengan klien ataupun
sebaliknya (Muhd. Mansur 1997). Menurut beliau terlalu sedikit konselor yang
melakukan penelitian dan memprediksi konsep dan teori yang mereka fahami
sebelum digunakan dalam sesi mereka.
Terdapatnya berbagai hambatan di kalangan konselor untuk menguasai
pelbagai konsep dan teori, apa lagi mengkombinasikan kepelbagaian teori
tersebut dalam satu sesi, telah mendorong konselor untuk memahirkan diri
mereka dengan teori-teori tertentu dalam membantu klien mereka.
Kebiasaannya pemilihan teori yang menjadi unggulan konselor dipengaruhi oleh
kesenangan dan kemahiran mereka dalam menggunakan teori tersebut. Tidak
jarang juga pemilihan teori itu dipengaruhi oleh latarbelakang institusi tempat
konselor tersebut belajar. Menjadi satu kelumrahan sebuah teori yang menjadi
unggulan bagi sesebuah institusi yang menawarkan program konseling, akan
menjadi unggulan juga bagi konselor-konselor lulusan institusi itu. Penelitian
yang dilakukan oleh Zakaria terhadap 241 orang konselor di Malaysia
mendapati 50% di kalangan konselor yang diteliti tidak menggunakan teori
semasa menjalankan sesi konseling, ini terjadi karena memang mereka kurang
menguasai teori-teori kaunseling tersebut. Penelitian beliau juga menunjukkan
ramai di kalangan mereka yang telah menyesuaikan pemahaman terhadap teori
ke dalam konteks budaya klien. Walaubagaimanapun, kajian ini tidak
bermaksud untuk mendiskusikan dan meneliti pemilihan suatu teori di kalangan
konselor dalam menjalankan sesi konseling. Namun peneliti berkeinginan untuk
memaparkan penggunaan teori Rogerian dan Terapi Realiti dalam menjajaki
permasalahan klien. Secara khusus objektif kajian ini adalah:
(i) Mengetahui kenyamanan klien dalam menceritakan permasalahan mereka
semasa sesi kaunseling dijalankan. (ii) Mengetahui perkembangan klien semasa
sesi kaunseling dijalankan.
B. Teori Rogerian Dan Terapi Realiti
Carl Rogers adalah orang pertama yang memperkenalkan teori kaunseling
berpusatkan klien (client centred therapy) melalui buku pertanya ”Counselling
and Psychotherapy” yang diterbitkanya pada tahun 1942. Menurut Rogers
manusia adalah makhluk yang senantiasa rasional, baik, positif, boleh
dipercayai, bertanggungjawab dan mampu mengendalikan kehidupan sendiri,
bermasyarakat, dinamis dan realistis (Sapora Sipon & Ruhayah Hissin 2008;
John Mcleod 2006; Amla, Zuriah & Salleh 2006; Rohany Nasir 2006; Corey 2005;
Othman Mohammed 2005; Muhd. Mansur 1997; Suradi Salim 1996). Untuk itu
Rogers menentang pendekatan konseling yang berpusatkan konselor yang
mengandaikan bahwa kaunselor mengetahui segala sesuatu, dan bisa menolong
kliennya dalam semua bidang. Beliau juga menentang teknik-teknik dan
tatacara konseling yang berbentuk nasihat, arahan konselor, bujukan,
pengajaran, diagnosis, dan penafsiran tersendiri oleh konselor.
Rogers berpandangan bahwa klien mempunyai kemampuan untuk memahami
diri mereka, dan mampu menyelesaikan berbagai masalah yang dihadapi secara
alami, tanpa campur tangan secara langsung oleh konselor. Menurut Rogers
klien dapat menuju ke arah penentuan arah diri sendiri, jika klien tersebut
dilibatkan dalam hubungan konseling ataupun terapi. Beliau juga menyatakan
bahwa sifat-sifat peribadi dan sikap konselor serta hubungan antara kedua-
duanya adalah merupakan dua faktor penting dalam menentukan kejayaan
sesebuah proses kaunseling, tanpa harus memberikan arahan ataupun anjuran
kepada klien (Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008; Othman Mohamed 2005;
Suradi Salim 1996). Konselor hanya perlu berdialog dengan klien agar dapat
dicapai gambaran yang selari antara diri ideal klien “ideal self” dengan
kenyataan sebenarnya tentang diri mereka “actual self”.
Pakar-pakar konseling telah menyimpulkan hal-hal yang menjadi ciri utama
dalam pendekatan konseling yang dicadangkan oleh Carl Rogers tersebut, iaitu
memberikan penekanan terhadap tanggungjawab klien untuk mendapatkan
kesadaran dirinya serta bergerak ke arah satu keadaan yang bisa
menguntungkan dirinya dalam keadaan yang sebenarnya. Di dalam perjalanan
sesi konselor menekankan aspek yang menggalakkan diri klien tersebut
memahami persepsi tentang dirinya dengan kenyataan yang sebenarnya.
Prinsip dalam pendekatan ini adalah penumpuan konselor pada hubungan
terkini dan pengalaman yang dicapai dalam perhubungan dengan klien.
Perhubungan semasa antara konselor klien adalah berpegang kepada prinsip
menolong. Carl Rogers menyatakan bahawa individu memerlukan hubungan
dengan orang lain untuk menolong dirinya melakukan sesuatu yang tidak dapat
dilaksanakan sendiri olehnya. Terdapat beberapa prinsip dasar yang dipegang
dalam pendekatan ini iaitu; (i) Acceptance, iaitu konselor menerima klien
dengan keredaan dengan permasalahan yang dibawa oleh klien, (ii)
Congruence, iaitu keikhlasan dan keselarian antara ucapan dengan perbuatan
konselor dalam menerima klien, (iii) Understanding, iaitu konselor dapat
memahami dunia klien sebagaimana yang dirasakan oleh diri klien tersebut, dan
(iv) Nonjudgmental, iaitu konselor senantiasa objektif dan tidak memberikan
penilaian kepada klien (Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008; John McLeod
2006; Amla, Zuria & Salleh 2006; Othman Mohamed 2006).
Sofyan S. Willis (2004) juga menyatakan bahwa sasaran konseling yang
dicadangkan oleh Carl Rogers adalah memberi tumpuan kepada aspek emosi
dan perasaan bukanlah aspek intelektual klien, proses konseling
menitikberatkan kepada keadaan klien, termasuk keadaan sosial psikologis
masa kini (here and now) bukanya pengalaman masa lalu, proses konseling
adalah bertujuan untuk menyesuaikan antara ideal self dengan actual self, dan
peranan aktif dalam proses konseling adalah pada klien, sedangkan konselor
adalah berperanan pasif-reflektif . Ini bermaksud konselor bukan bermakna
hanya diam mendengarkan masalah klien tetapi mesti berusaha membantu
agar klien sentiasa aktif untuk menyelesaikan masalah mereka sendiri.
Satu lagi pendekatan dalam konseling yang menarik perhatian banyak
pelaksana konseling adalah pendekatan Terapi Realiti. Terapi Realiti dikenalkan
oleh William Glasser yang dilahirkan di Cleveland Ohio, California pada tahun
1925 (Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008; Ahmad Jazimin 2007). Terapi ini
adalah salah satu bentuk terapi yang agak baru dalam dunia konseling yang
diperkenalkan oleh William Glasser dalam tahun 1965 di California. Dalam
banyak aspek Terapi Realiti ini sejalan dengan terapi Keberadaan, terapi
Pemusatan Insan dan terapi Gestalt (Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008;
Amla, Zuria dan Salleh 2006; Corey 2005). Terapi Realiti merujuk kepada dunia
fenomenologi klien dan memberi penekanan kepada cara yang subjektif yaitu
klien akan melihat dan merespon dengan lingkungan mereka melalui evolusi
dalaman (Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008). Terapi realiti mendahulukan
konsep dan idea bahwa individu itu mempunyai tanggungjawab ke atas
perlakuannya. Terapi ini juga memberikan kemudahan serta persediaan yang
bisa membangunkan kekuatan psikologikal klien yang memerlukan layanan
konseling (Othman Mohamed 2006; Glasser & Wubbolding 1995).
Pandangan lain menyatakan bahwa pendekatan ini menitikberatkan pada
bagaimana klien melihat dunia mereka dan bagaimana mereka
bertanggungjawab dengan tingkahlaku mereka (Ahmad Jazimin, Zuria, Noriah
2008; Ahmad Jazimin 2007; Othman Mohamed 2006). Pendekatan Terapi Realiti
dalam konseling berkeyakinan bahwa klien mempunyai kemampuan tertentu
untuk melakukan sesuatu pada masa kini untuk mengubah tingkahlakunya.
Selanjutnya pendekatan ini juga yakin tentang adanya komitmen di dalam diri
klien untuk merancang, dan mengubah tindakan, seterusnya melakukan
rancangan tersebut dalam bentuk tindakan ataupun tingkahlaku. Selain dari itu
pendekatan ini menolak konsep mental illness “sakit jiwa” seperti yang
dinyatakan di dalam teori Psikoanalisa (Muhd. Mansur 1997; Amir Awang 1987).
Prosedur perubahan tingkahlaku menggunakan sistem WDEP adalah merupakan
ciri pendekatan Terapi Realiti (Ahmad Jazimin, Zuria, Noriah 2008; Ahmad
Jazimin 2007; Amla, Zuria & Salleh 2006). WDEP adalah akronim tentang
strategi dalam Terapi Realiti yang digunakan oleh konselor untuk membantu
klien supaya dapat berubah kepada tingkahlaku yang lebih sesuai dengan
kehendak individu tersebut. Wubbolding & Brickell (1996) menyatakan W
merujuk kepada wants, needs and perceptions, D merujuk kepada directions
and doing, E merujuk kepada evaluation dan P merujuk kepada planning and
commitment. Seterusnya Ahmad Jazimin (2007) juga menyatakan bahawa
pembinaan hubungan yang tulen, ramah, tidak menghukum, menerima klien
dengan seadanya, menggunakan kemahiran mendengar sama ada dalam
bentuk tema atau metafora, menunjukkan empati, membuat parafrasa, fokus
pada isu klien, berkongsi cerita dan menggunakan sedikit humor dalam proses
kaunseling adalah merupakan suasana kaunseling yang wajar digunakan oleh
kaunselor sebelum sistem WDEP. Selain itu kaunselor hendaklah mengelak
daripada berhujah keterlaluan, menuduh, mengkritik, memaksa klien, tidak
menghargai klien, mewujudkan ketakutan dan mudah berputus asa.
Selain daripada sistem WDEP, beberapa ciri lain yang menjadi teras kepada
Terapi Realiti dalam proses konseling adalah; membantu klien mencari jalan
terbaik dalam rangka memenuhi keperluan untuk dipunyai, berkuasa, merasa
bebas dan senang dalam hidup. Menfokuskan kepada hal-hal yang disadari oleh
klien dan membantu klien untuk meningkatkan kesadaran itu (Amla, Zuria &
Salleh 2006; Corey 2005). Membantu klien memperjelaskan apa yang mereka
mau dalam kehidupnya, membantu klien melihat kekuatan dan kelemahan diri
serta dukungan dan halangan yang terdapat di sekelilingnya, membantu klien
agar mantap dari segi psikologis dan lebih rasional dalam berfikir dan bertindak
(Sapora Sipon & Ruhayah Hussin 2008).
Dalam proses konseling pula Terapi Realiti mewujudkan proses hubungan yang
teraputik antara konselor dengan klien, fokus kepada perlakuan terkini klien,
meminta klien menilai perlakuan sendiri, konselor menggalakan untuk membuat
perancanaan untuk perobahan, mendapatkan komitmen klien dan konselor
meminta klien untuk bersedia mematuhi syarat-syarat yang telah disepakati,
tidak membuat finalti dan tidak putus asa dengan klien. Konselor sentiasa
mengajak klien untuk berhadapan dengan realita untuk tujuan membantu klien
menilai tingkah laku mereka secara realistis. Konselor banyak menggunakan
sugesti, bersedia menerima klien tanpa syarat dan tidak terlalu banyak
mengkritik. Konselor senantiasa menggalakan klienya untuk menyampaikan
semua perasaan yang terpendam dalam hati tanpa menyembunyikan sedikitpun
(Sapora Sipon & Ruhaya Hussin 2008; Othman Mohamed 2006; Amir Awang
1987).
C. Metodologi Kajian
Kajian menggunakan rekabentuk kajian kes (multi-case single-site case study
design). Rekabentuk kajian kes ini membolehkan pengkaji untuk meneliti pola
sesuatu fenomena yang ingin dikaji (Yin 1994; Creswell 2007; Majid Konting
2005; Sidek Modh Noah 2002). Pengkaji menilai pemilihan reka bentuk ini
sangat bersesuaian memandangkan kajian ini cuba melihat pola penggunaan
sesebuah teori dalam proses kaunseling. Dalam hal ini pengkaji cuba melihat
penggunaan teori Rogers dan Terapi Realiti dalam penerokaan masalah klien
semasa proses kaunseling dilakukan oleh kaunselor pelatih. Daripada 47 orang
klien yang datang meminta perkhidmatan kaunseling selama 14 minggu
ataupun bersamaan dengan 70 hari bekerja menjalankan pratikum, tujuh orang
klien (6 orang klien prempuan & 1 orang klien lelaki) telah dipilih untuk tujuan
analisis, bagi melihat penggunaan kedua-dua teori yang menjadi fokus kajian
ini. Data ketujuh-tujuh orang klien tersebut telah dikumpulkan melalui kaedah
rakaman audio selama proses kaunseling dijalankan kepada mereka. Untuk
memudahkan menyediakan laporan dapatan kajian, pengkaji telah memberikan
kod K1 sehingga K7 kepada ketujuh-tujuh orang klien tersebut. Proses
transkripsi telah dilakukan terhadap semua data yang diperolehi, seterusnya
dianalisis menggunakan perisian NVIVO 7.
D. Hasil Kajian
Kajian ini melibatkan tujuh orang klien, keseluruhan klien adalah pelajar-pelajar
yang sedang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia. Enam orang adalah
pelajar Prasiswazah dan satu orang pelajar Sarjana. Satu orang pelajar lelaki
dan enam orang pelajar perempuan. Enam orang berbangsa Melayu, satu orang
daripada Indonesia. Secara umumnya permasalahan yang mereka kongsikan
adalah masalah akademik, hanya satu orang sahaja yang berkongsi masalah
lain iaitu masalah rendah diri atau kurang percaya diri bila berdepan dengan
orang lain.
Sebelum melaporkan dapatan kajian, pengkaji ingin melaporkan proses
kaunseling yang dilakukan selama pratikum dijalankan. Pengkaji telah
mempraktekan proses kaunseling yang dicadangkan oleh Amla, Zuria dan Salleh
(2006) iaitu dimulakan dengan pembinaan hubungan (mesra, memberi
perhatian, menerima & menstruktur), mendapatkan maklumat (mendengar &
bertanya soalan), meluaskan Penerokaan (meminta penjelasan, menilai pelbagai
alternatif, mengambil keputusan (membuat rumusan & memilih alternatif dan
penamatan dan tindakan susulan (menilai keberkesanan pilihan dan tindakan).
Selanjutnya kemahiran asas kaunseling telah digunakan terlebih dahulu bagi
setiap sesi sebelum menggunakan pendekaran Rogerian dan Terapi Realiti yang
menjadi fokus kajian ini.
Kemahiran asas kaunseling yang digunakan oleh kaunselor pelatih untuk
membantu klien sepanjang pratikum dijalankan, iaitu diawali dengan
menggunakan; (i) kemahiran mendengar iaitu kaunselor cuba mendengar
dengan teliti dan menumpukan seluruh perhatian kepada perkara-perkara yang
dikongsikan oleh klien, (ii) empati iaitu kaunselor pelatih cuba memahami
emosi, perasaan serta bahasa bukan lisan klien semasa klien sedang
berkongsikan masalah yang sedang dihadapinya, (iii) membuat refleksi,
kanselor pelatih cuba menyebutkan semula apa yang telah diperkatakan oleh
klien dalam rangkaian kata yang pendek bagi menunjukkan kepada klien
bahawa kaunselor pelatih sedang bersama-sama dengan dirinya untuk
membantu permasalahan yang sedang dihadapi, (iv) penggunaan sepi sejenak,
di dalam perjalanan sesi kaunselor pelatih cuba untuk dian sekita bagi
memberikan ruang kepada klien dan juga kaunselor pelatih untuk memikirkan
perkara yang telah berlaku dan apa tindakan setrusnya yang akan dilakukan, (v)
penjelasan dan memparafrasa, meminta klien untuk memberikan penjelasan
semula tentang perkara yang mereka kongsikan dan apakah yang dimaksudkan
oleh klien sebenarnya, (vi) menyoal dan konfrantasi, kaunselor pelatih berusaha
meberikan soalan-soalan yang dapat mencungkil maklumat yang mandalam lagi
dari[ada klien, dan (vii) merumuskan, iaitu kaunselor pelatih cuba merumuskan
semula dalam bahasa yang mudah difahami oleh klien tentang perkara yang
tdihadapi dan tindakan-tindakan seterusnya yang akan diambil oleh klien.
Selanjutnya barulah kaunselor meneruskan penerokaan masalah klien
menggunakan pendekatan Rogerian dan Terapi Realiti. Kedua-dua pendekatan
ini telah digabungkan dalam meneroka masalah klien yang datang meminta
perkhidmatan kaunselor pelatih. Bagaimanapun, kaunselor pelatih tidak dapat
menggunakan secara berstruktur kedua-kedua pendekatan tersebut,
memandangkan perjalanan sesi hanya lebih kurang 30 sehingga 45 minit.
Namun, kaunselor pelatih telah memilih pendekatan yang dirasa lebih
bersesuian untuk digunakan daripada kedua-dua pendekatan berkenaan. Secara
berstruktur pendekatan kaunseling oleh Rogers adalah penerimaan positif tanpa
syarat, kongruen (ikhlas), dan pemahaman empati. Terapi Realiti pula adalah
membina hubungan yang teraputik, fokus pada tingkahlaku semasa klien,
meminta klien melinai perlakuan sendiri, menggalakan klien membuat
perancangan untuk perubahan, membuat komitmen dengan klien, dan
mengajak klien berdepan dengan realiti.
(i) Keselesaan Klien Dalam Meluahkan Permasalahan
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, kaunselor pelatih tidak dapat
menggunakan secara keseluruhan pendekatan yang ditawarkan oleh kedua-dua
teori berkenaan. Namun kaunselor pelatih telah memilih pendekatan-
pendekatan yang dirasakan lebih bersesuaian untuk menerokai masalah klien
berkenaan. Secara umumnya pendekatan yang digunakan daripada kedua-dua
teori tersebut adalah penerimaan positif tanpa syarat dan pemahaman empati
(Rogerian), fokus pada tingkahlaku semasa klien, meminta klien menilai
perlakuan sendiri, menggalakn klien membuat perancangan untuk perubahan
dan mengajak klien berdepan dengan reality (Terapi Realiti).
Daripada tujuh sesi yang dijalankan kepada tujuh orang klien yang datang
berjumpa kaunselor pelatih, didapati mereka sangat selesa untuk meluahkan
permasalahan mereka dengan menggunakan kemahiran asas kaunseling dan
dilanjutkan dengan penerokaan yang lebih mendalam menggunakan
pendekatan Rogerian dan Terapi Realiti. Sebagai contoh kaunselor
menggunakan pendekatan penerimaan positif terhadap permasalahan klien
yang tidak seberapa yakin dengan diri sendiri untuk menyampaikan idea
ataupun berdepan dengan orang lain, seperti ditunjukan pada petikan berikut
ini:
...Setakat Ini K5 tahu tak apa yang menyebabkan K5 menjadi tidak berani itu?
selama ini apa yang pernah K5 lakukan untuk mengelak daripada perkara
tersebut?
Dengan penerimaan positif yang ditunjukkan oleh kaunselor, klien dengan rasa
selesa menceritakan permasalahan mereka, seperti jawapan yang diberikan
oleh klien berikut ini;
Sekarang ini saya ingin mencubalah, macam tugasan yang perlu
dibentangkan... terpaksa juga kan dan masa itulah untuk menambah keyakinan
(K5).
Perkara yang sama juga dilakukan oleh kaunselor pelatih kepada klien K3 yang
menghadapi permasahan rendah diri yang keterlaluan apabila berdepan dengan
orang lain, seperti petikan di bawah ini:
Jadi secara umumnya K3 punya masalah tidak percaya diri...merasa rendah diri
yang sebenarnya K3 sendiri tidak tahu kenapa perkara itu boleh berlaku?
Dengan rasa selamat dan tanpa ragu-ragu klien telah memberikan jawapan
secara bebas dan jujur tentang diri mereka;
Sebenarnya saya sentiasa memikirkan benda ini... sebab dia semenjak saya
kecil lagi, kalau hilangpun sekejap sahaja..lepas tu datang lagi. Kadang-kadang
kita sedang borak-borak tiba-tiba benda tu datang. apabila benda tu datang jadi
mencacatkan suasana. Apabila benda itu datang saya tidak boleh nak pandang
bertentang mata dengan orang, jadi tunduk... muka saya berobah. Sayapun
tidak tahu apa punca dia (K3).
Seterusnya penerimaan kaunselor terhadap klien dengan pemahaman empati
pula juga memberikan keselesaan kepada klien untuk meluahkan permasalahan
yang sedang dihadapi oleh klien. Klien telah menghadapi permasalahan
ketidaksesuaian bidang yang didapatkan di Universiti dengan diri yang sebenar.
Klien sangat berminat untuk menjadi seorang guru namun ketika mengikuti
ujian saringan untuk mendapatkan tempat, klien tidak berjaya mendapatkan
tempat tersebut. Dengan pemahaman penuh empati kaunselor pelatih cuba
mengutarakan soalan untuk mencungkil permasalahan klien berkenaan, seperti
pada petikan berikut ini:
... Jadi maknanya minat K2 untuk jadi Cikgu belum hilanglah? Sekarang K2
ambik bidang ekonomi, menurut K2 sesuai tak dengan minat K2 pilihan yang
sekarang ini?
Soalan kaunselor tersebut telah memberikan keselesaan kepada klien untuk
berkongsi perasaan yang bermain di dalam kepala mereka, seperti yang
ditunjukan pada petikan jawapan klien di bawah ini:
Sesuai juga sebab saya memang suka bidang ekonomi ini tapi saya minat
mengajarlah, kalau boleh saya nak mengajar subjek ekonomi (K2).
Penerokaan kaunselor pelatih menggunakan pendekatan Terapi Realiti
mempercepatkan lagi klien untuk dapat celik akal apabila kaunselor pelatih
cuba membawa klien fokus dengan tingkahlaku semasa, seperti petikan di
bawah ini;
Dalam keadaan malas itu, selama ini apa yang K4 lakukan untuk mengelakan
diri rasa malas itu?
Dengan rasa selesa klien telah memberikan respon, seperti berikut ini;
Kadang-kadang saya paksa juga diri saya yntuk buat tapi kadang bila benda tu
macam susah nak buat kan, kita banyak berfikir...bila bercampur dengan
perasaan malas itu kita tidak boleh nak fikir nak buat benda itu, kita kena
tinggalkan. Kadang-kadang saya teruskan, kadang saya tinggalkan. Bila saya
teruskan nampak jugalah hasilnya (K4).
Perkara yang sama juga dilakukan oleh kaunselor pelatih dengan klien K6 yang
merasa agak tertekan dengan jatuhnya PNGK keran terlalu sibuk dengan
kegiatan persatuan di dalam kampus, sehingga tidak dapat memberikan
tumpuan kepada pelajaran sepenuhnya, seperti petikan di bawah ini:
Jadi cerita K6 tadi, K6 risaulah kerana PNGK K6 jatuh & tidak sesuai dengan
yang K6 inginkan? Di sebalik itu K6 dapat mengenal pasti bahawa ini
disebabkan oleh kerana K6 tidak dapat menyeimbangkan antara persatuan
yang K6 ikuti dengan penumpuan kepada pelajaran. Sepanjang K6 belajar,
persatuan apa kira-kira yang menyebabkan PNGK K6 jadi turun?
Gaya penerokaan kaunselor pelatih yang memberikan tumpuan kepada
tingkahlaku semasa klien dapat membuka minda klien tentang pengaruh
kegiatan persatuan terhadap PNGKnya, seperti yang dinyatakan klien berikut
ini;
Satu saya tengok, yang saya perasan lepas habis kelas sahaja saya terus buat
kerja persatuan, lepas itu dah tidak belajar lagi, tengah malam tidak belajar,
macam buat kerjapun sikit-sikit sahaja. Hari berikutnyapun macam itu juga,
macam belajar itu amat kurang. Lepas tu buatpun hanya sekedar sahaja,
siapkan tutorial, siapkan tugasan itu sahaja. Jadi saya rasa memang silaplah
(K6).
Pendekatan kaunselor pelatih mengajak klien berdepan dengan realiti
menjadikan klien lebih dapat menerima diri mereka dan pada masa yang sama
mereka berusaha memikirkan jalan keluar daripada permasalahan yang mereka
hadapi, seperti yang ditunjukkan pada petikan kaunseling dibawah ini:
Menurut K5 kawan-kawan di dalam kelas itu ada perasaan yang sama tak
dengan K5?
Pendekatan sedemikian menjadikan klien lebih yakin dengan diri dan tindakan
yang akan dilakukan:
Saya fikir pasti ada... Semester ini memang banyak yang kena bentang kat
depan, insya Allah saya akan cubalah dengan sebaik yang mungkin (K5).
Perkara yang sama juga dilakukan oleh kaunselor pelatih kepada klien K7 yang
merasa tertekan dan marah dengan sikap ahli kumpulan yang kurang
bertanggungjawab dengan tugasan yang diberikan untuk menjayakan sebuah
projek kumpulan yang diberikan oleh pensyarah. Kaunselor pelatih berusaha
mengajak klien berhadapan dengan realiti, seperti petikan di bawah ini:
Menurut K7 sesuai tak K7 marah dengan kawan-kawan K7?
Klien dapat melihat dengan pandangan yang jernih ke dalam dirinya apabila
kaunselor dapat mengajak klien berdepan dengan realiti, seperti yang
dinyatakan pada petikan klien di bawah ini:
Saya nampak hikmahnya lah, kita marah itu kena fikir dulu sebelum kita
cakap...lepas itu banyak belajar macamana nak deal dengan orang, cara
komunikasi... banyak bendalah yang saya dapatkan (K7).
Selanjutnya cara kaunselor pelatih menggunakan pendekatan meminta klien
membina tingkahlaku sendiri telah dapat memberikan celik akal dan membuka
minda klien tersebut untuk memikirkan sendiri apakah yang sepatutnya mereka
lakukan untuk tindakan seterusnya dengan berlakunya permasalahan yang
dihadapi sekarang ini, seperti petikan proses kaunseling di bawah ini;
Bila kawan-kawan tak dapat buat kerja sesuai dengan sepatutnya apa yang
telah K7 lakukan untuk memperbaikinya?
Dengan rasa penuh percaya diri klien dapat membina tingkahlaku sendiri untuk
membantu menyelesaikan masalah yang sedang dihadapinya, seperti
ditunjukan pada petikan di bawah ini;
Kita dah buat pembahagian tugas sesuai dengan job masing-masing tapi tidak
berjalan... kadang-kadang dia orang selalu mengajak saya untuk buat kerja
mereka, kita ada kerja lain nak buat kan. Sebagai ketua saya akan cuba lebih
tegas lagi dan menggunakan pendekatan komukasi yang lebih baik, serta cuba
meminta pengalaman kepada orang-orang yang lebih senior macamana nak
selesaikan permaslahan ini...(K7).
Pendekatan yang sama juga digunakan oleh kaunselor pelatih kepada klien K6
supaya dapat memikirkan dan membina tingkahlaku sendiri untuk mencari jalan
penyelesain permasalahan mereka, seperti petikan proses kaunseling di bawah
ini:
Menurut K6 apa yang boleh K6 buat supaya hal tersebut tidak berlaku lagi?
Petikan di bawah ini adalah perkongsian oleh K6 tentang tindakan yang akan
dilakukan untuk keluar daripada permasalahan yang sedang dia hadapi:
Itulah sekarang nak cari jalan penyelesain yang paling baik macamana cara
penyelesaian agar saya boleh buat kedua-duanya sekali, bukan sahaja belajar
saya juga nak berorganisasi, dalam masa yang sama pelajaran tidak
ditinggalkan. Kemudian boleh berkawan dengan siapa sahaja. Bial time ibadat
kita boleh juga.... masksudnya kita bioleh buat semualah ... (K6).
Kaunselor pelatih cuba mengukuhkan lagi tentang tindakan yang akan diambil
oleh klien K6 tersebut, seperti petikan di bawah ini:
Jadi maknanya K6 sekarang ini merasa bersalahlah ... tapi K6 ingin kalau boleh
ikutlah dalam persatuan tersebut sebab banyak juga pengalaman yang boleh K6
dapatkan melalui perstauan? Sekarang K6 dah nampak permasalahanya... apa
kira-kira jalan penyelesaian yang akan K6 lakukan sekarang?
Dengan rasa yakin klien menyatakan beberapa tindakan yang akan
dilakukannya, seperti petikan di bawah ini:
Satu yang nampak adalah kena buang perasaan malas, nak cubalah insya Allah
tapi kadang-kadang sifat yang bertangguh-tangguh ini yang menyebabkan jadi
seperti ini. Bila muncul masalah saya cuba juga melawan... di mana silapnya
ini... kenapa saya jadi macam ini... lepas itu buat kerjalah jangan bertangguh-
tangguh kemudian di samping itu usaha disertai dengan tawakal... selepas ini
saya akan cuba buatlah...(K6).
Petikan-petikan di atas menggambarkan cara penerokaan yang dilakukan oleh
kaunselor pelatih dan keselesaan klien untuk meluahkan permasalahan mereka.
Dapatan di atas juga meaparkan telah memaparkan beberapa teknik yang
dilakukan oleh kaunselor pelatih supaya klien dapat berdepan dengan realiti dan
tindakan yang sepatutnya mereka lakukan agar dapat keluar daripada
permasalahan yang menghimpit dirinya. Pengkaji mendapati dengan teknik-
teknik dan pendekatan yang dicadangkan oleh Rogers dan Terapi Realiti telah
memberikan kesan yang positif kepada klien untuk dapat lebih cepat celik akal
dalam mencari jalan keluar permsalahan yang sedang mereka hadapi.
(ii) Perkembangan Klien Semasa Sesi Kaunseling Dijalankan
Setiap proses kaunseling adalah mengharapkan hasil yang positif dan dapat
memberikan perkembangan yang baik kepada klien. Paling tidak sepanjang
proses kaunseling berjalan kaunselor dapat memerhatikan kedaan klien dengan
proses kaunseing yang sedang dijalankan, sama ada membawa kebaikan
kepada klien ataupun sebaliknya menjadikan klien bertambah keliru ataupun
bertambah panik dengan permasalahan yang sedang mereka hadapi.
Sepanjang proses kaunseling dilakukan selama 14 minggu pratikum berjalan,
dapatan kajian menunjukkan secara umumnya klien didapati menunjukkan
perkembangan yang positif dari sesi-sesi kaunseling yang dijalankan. Perkara ini
dapat dilihat daripada perkongsian klien semasa perjalanan sesi dengan
mereka. Seperti yang dikongsikan oleh klien K4 yang menyatakan bahawa dia
merasa nyaman menceritakan permasalahanya dengan kaunselor kerana
kaunselor memberikan tumpuan yang penuh kepada permasalahan yang
sedang dia kongsikan, seperti petikan di bawah ini;
Saya nampak ok, sebab kaunselor memberikan tumpuan sepenuhnya kepada
saya... kalau kaunselor tidak berikan tumpuan tentunya saya malas nak
bercakap dengan Puan kan. Saya nampak sesi ini berjalan dengan oklah (K4).
Klien juga menyatakan bahawa proses kaunseling yang dijalankan telah dapat
merobah tanggapan dirinya terhadap proses kaunseling yang sebenar, selama
ini klien beranggapan bahawa kaunseling adalah untuk orang-orang yang
bermasalah, namun selepas sesi kaunseling dilakukan klien menyatakan
bahawa kaunseling sebenarnya merupakan wadah yang selesa kepada individu
untuk berkongsi, seperti petikan berikut ini:
Tanggapan saya berobahlah tentang kaunseling, saya dapat melihat bahawa
kaunseling bukan hanya untuk orang-orang yeng bemasalah, saya merasakan
sangat bagus untuk menaikan semangat kita balik dalam nak meneruskan
kehidupan keseharian, untuk motivation dan keyakinan diri (K7).
Klien K7 juga menceritakan pengalaman mereka bahawa sebenarnya dirinya
tidak pernah menceritakan masalahnya kepada orang lain, klien menyatakan
bahawa dirinya bukan hanya sekedar mendapat tempat untuk meluahkan
perasaan dengan selamat dan selesa, malah perkongsianyang dilakukan telah
memberikan semangat baru kepada dirinya untuk meneruskan kehidupanya
sebagai seorang pelajar di Universiti.
Contohnya macam hari ini kan, sebenarnya saya tidak pernah berceritapun
masalah ini dengan sesiapa kan, lebih banyak simpan sahaja. Macam saya
cerita dengan Puan tadi ... adalah rasa semangatlah... kalau lepas ini pensyarah
suruh buat bisnis lagi rasanya semangatlah nak buat. Tidak adalah rasa tak nak
buat (K7).
Selepas sesi kaunseling dijalankan secara umumnya klien dapat melihat dirinya
secara lebih terbuka dan memberikan tumpuan kepada tindakan-tindakan yang
sepatunya diambil untuk menyelesaikan masalahnya sendiri:
Maknanya saya kena berikan tumpuan kepada mana-mana tugasan yang perlu
diselesaikan dulu. Nampaknya semua bergantung pada diri sendiri sama ada
kita nak ubah diri atau tidak. Macam keyakinan diri tadi, kita lebih kenal dengan
diri kita, kita tidak boleh ikut dengan apa yang orang lakukan, ... Saya
nampaklah jalan penyelesainya... Untuk keyakinan diri bercakap dengan orang
saya kena lebih banyak bercakaplah, ...may be saya tidak perlu bersembang
benda-benda yang merepek-repek kan. Pengurusan masa bergantung pada
saya juga kan, sama ada saya nak buat benda yang berfaedah tau benda yang
tidak berfaedah itu terpulang pada diri sendiri (K4).
Klien K4 juga menyatakan bahawa dirinya merasa senang dan tidak takut lagi
berhadapan dengan permasalahan yang dihadapi. K4 menyatakan bahawa
dirinya merasa senang dan selesa selapas dapat berkongsi dengan kaunselor,
seperti perkongsian di bawah ini:
Saya rasa dah tidak takut, saya rasa macam senang, selesa saya dapat
bercakap dengan kaunselor, saya tidak ada malu, saya boleh bercakap saya
boleh luahkan apa saya rasa, maca selesalah.
E. Perbincangan Dan Kesimpulan
Rogers berpandangan bahawa setiap individu perlu kepada need for positive
regard, iaitu keperluan asas untuk ingin rapat dengan orang lain, keinginan
untuk dihargai, diterima dan rasa cinta daripada orang lain. Selanjutnya Rogers
lebih melihat kepada masa sekarang, menurut beliau sememangnya masa
lampau mempengaruhi cara individu melihat masa sekarangnya, namun secara
umumnya individu lebih fokus kepada masa sekarang bukanya masa lampau.
Bagi beliau apabila seorang kaunselor dapat mewujudkan need for positive
regard dengan klien dan mampu membuka minda klien untuk dapat berdepan
dengan masa sekarang maka akan membuahkan hasil yang positif kepada klien
tersebut (Schultz, Duane 1991). Rogers dalam Amla, Zuria & Salleh (2006)
menyatakan bahawa sesebuah sesi kaunseling dan terapi dianggap berjaya
apabia seorang kaunselor dapat mewujudkan hubungan yang teraputik dan
klien menunjukkan rasa tanggungjawab dan celik akal untuk dapat keluar
daripada permasalahan sendiri. Kajian Patricia (tanpa tahun) yang bertajuk Walk
And Talk: An Intervention For Behaviorally Challenged Youths yang dilakukan
kepada lapan orang pelajar di Canada mendapati bahawa intervensi yang
teraputik menggunakan teknik Rogerian telah menunjukkan manfaat yang
positif kepada pelajar di Canada.
Dapatan kajian ini telah menunjukkan penggunaan pendekatan Rogerian dan
Terapi Realiti telah memberikan kesan yang positif dalam membantu klien. Hasil
kajian juga menunjukkan pendekatan tersebut telah dapat memberikan celik
akal kepada klien untuk dapat berdepan dengan realiti diri sendiri dan boleh
merancang tingkahlaku baru agar mereka tidak terlalu hanyut dengan
permasalahan yang dihadapi. Dapatan ini selari dengan pandangan Palmatier
(1998) yang menyatakan bahawa pendekatan Terapi Realiti sememangnya
efektif bagi kaunselor untuk mengajak klien berdepan reality kehidupan mereka.
Pandangan tersebut dikukuhkan lagi oleh Yarbrough & Thompson (2002) yang
menyatakan Reality therapy are popular, short-term, counseling interventions
school counselors use in counseling students for a variety of problems. Ahmad
Jazimin, Zuria & Noriah (2008) juga mendapati bahawa kaunselor-kaunselor di
Malaysia mengakui kesesuaian pendekatan tersebut dalam membantu klien,
namun terdapat kekangan bagi mereka untuk menggunakan pendekatan
berkenaan kerana kurang mempunyai kemahiran dalam menggunakan
pendekatan tersebut. Menurut mereka sememangnya diperlukan latihan khusus
kepada kaunselor untuk dapat mahir dengan pendekatan ini. Ini selari dengan
pandangan Zakaria (2007) yang menyatakan bahawa kaunselor di Malaysia
sememangnya perlu mempertingkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran
mereka, serta mereka perlu meluangkan masa untuk sentiasa dapat praktis
menggunakan pelbagai pendekatan di dalam sesi (Zuria 2005).
F. Rumusan
Kematangan dan kemahiran kaunselor dalam sesebuah pendekatan kaunseling
sememangnya dapat membantu klien dengan berkesan. Akan menjadi lebih
baik lagi apabila kaunselor dapat meramu dan menggabungkan kepelbagaian
pendekatan yang mereka fahami itu dalam satu masa sesi kaunseling secara
bersamaan. Kemahiran kaunselor sedemikian akan meberikan keyakinan
kepada klien untuk berkongsi pelbagai permasahan yang mungkin mereka
hadapi, kerana dirinya merasa yakin akan mendapat perkhidmatan yang
berkesan daripada kaunselor yang membantu dirinya.
Rujukan
Ahmad Jazimin Jusoh. 2007. Aplikasi terapi realiti dalam sesi kaunseling. Kertas
kerja yang dibentangkan pada bengkel kaunseling sekolah kebangsaan pada
Oktober 2007. Anjuran USIM, UKM, Kementerian Pelajaran Malaysia dan
PERKAMA.
Ahmad Jazimin Jusoh, Zuria Mahmud, Noriah Mohd Ishak. 2008. The patterns of
reality therapy usage among malaysian counsellors. International Journal of
Reality Therapy, vol.28, hlm. 1-12.
Amir Awang. 1987. Teori dan amalan psikoterapi, Ed. Ke-1. Pulau Pinang:
Universiti Sains Malaysia.
Amla Salleh, Zuria Mahmud & Salleh Amat. 2006. Bimbingan dan kaunseling
sekolah. Selangor: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Corey, G. 2005. Theory and practice of counseling & Psychotherapy, 7th.
Australia: Thomson Brooks/Cole.
Creswell, J. W. 2007. Research design: qualitative & quantitative approaches.
Thousand Oaks California: SAGE Publications.
Glasser, W. Wubbolding, R.E. 1995. Reality therapy. Dlm. Current
Psychotherapies, Fifth Edition, hlm. 293-321, sunt. R. J. Corsini & D. Wedding.
Itasca: III: F. E Peacock.
Majid Konting, M. 2005. Kaedah penyelidikan pendidikan. Kuala umpur; Dewan
Bahasa dan Pustaka.
McLeod, J. 2006. Pengatar konseling teori dan studi kasus. Terj. A.K. Anwar.
Jakarta: Kencana Prenada Media Group.
Myrick, R. D. 2001. Bimbingan dan kaunseling perkembangan: Pendekatan yang
praktis. Terj. Zuraidah Abd. Rahman. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Muhd. Mansur, A. 1997. Kaunseling teori, proses dan kaedah. Ed.2. Selangor:
Fajar bakti Sdn. Bhd.
Noriah Mohd. Ishak, Zuria Mahmud & Salleh Amat. 2005. Hubungan dual di
kalangan kaunselor: satu kajian kes. Jurnal PERKAMA, vol. 11, hlm. 37-60. Kuala
Lumpur: Persatuan Kaunseling Malaysia.
Otman Mohamed. 2005. Prinsip psikoterapi dan pengurusan dalam kaunseling.
Ed. Ke- 2. Serdang: Univirsiti Putera Malaysia.
Pafilo, W. B. 2005. Art based therapy in the treatment of eating disorder, Eating
disorder, vol. 12, hlm. 1107-1111.
Palmatier, L.L. 1998. Crisis counseling for a quality school community:Applying
William Glasser's choice theory. United States of America: Taylor and Francis.
Paw Eng See, Noriah Mohd Ishak & Salleh Amat. 2008. Lukisan sebagai proses
diagnosis dan intervensi rawatan dalam sesi kaunseling. Jurnal PERKAMA,
vol.14. hlm. 1-22. Kuala Lumpur: Persatuan Kaunseling Malaysia.
Rohany Nasir. 2006. Pendekatan dan peranan kaunselor dalam intervensi krisis.
Dlm Rohany Nasir & Fatimah Omar. (pnyt.). Kesejahteraan manusia perspektif
psikologi. Hlm. 195-206. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sapora Sipon & Ruhaya Hussin. 2008. Teori kaunseling dan psikoterapi. Negeri
Sembilan: Universiti Sains Islam Malaysia.
Schultz, D. 1991. Psikologi pertumbuhan: model-model keperibadian sehat.
Jogjakarta: Kanisius.
Sidek Mohd. Noah. 2002. Reka bentuk penyelidikan faslafah, teori dan praktis.
Selangor: Universiti Putera Malaysia.
Suradi Salim. 1996. Bimbingan dan kaunseling. Kuala Lumpur: Utusan
Publication and Distribution Sdn Bhd.
Yarbrough, Jamie L., Thompson, Charles L. 2002. Using Single-Participant
Research To Assess Counseling Approaches on Children's Off-Task Behavior.
Professional School Counseling. Vol. 5.
Zakaria Mohamad. 2007. Pola pengetahuan, kefahaman dan penggunaan teori
di kalangan kaunselor di Malaysia. Tesis Dr. Falsafah, Fakuiti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Zuria Mahmud. 2005. Keperluan kaunselor sekolah menjalankan sesi kaunseling.
Kertas kerja Persidangan Kaunseling Universiti Malaya. Anjuran Jabatan
Pendidikan dan Kaunseling dengan kerjasama Kementerian Pembangunan
Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Fakuiti Pendidikan, Universiti Malaya, 28-29
November.