zanatonmdnoor.files.wordpress.com · web viewamalan pengurusan air, tenaga dan sisa buangan: satu...
TRANSCRIPT
AMALAN PENGURUSAN AIR, TENAGA DAN SISA BUANGAN: SATU KAJIAN
KES DI KAFETERIA FAKULTI KEJURUTERAAN, UKM BANGI, SELANGOR
Siti Mariam bt. Zazam, Fatin Mawaddah bt. Zainuddin, Siti Hajar Amirah bt. Mohd Sapahi, Nor Amalina bt. Ab Hakim, Norshuhada bt. Jusoh, Nadiah bt. Mohammad
ABSTRAK
Kajian kes ini dijalankan di premis perniagaan iaitu di Kafe Fakulti Kejuruteraan, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor. Data yang diperolehi berbentuk data kualitatif di
mana ia diperolehi melalui sesi temu bual dan pemerhatian. Soalan yang dikemukakan
semasa temu bual adalah berkaitan dengan empat aspek iaitu soalan tentang pengurusan air,
pengurusan tenaga, pengurusan sisa buangan yang dibahagikan kepada dua iaitu sisa buangan
minyak dan sisa buangan makanan serta dan juga pendapat peniaga terhadap kesedaran alam
sekitar. Dapatan kajian mendapati bahawa pengurusan air adalah amat memuaskan, kerana
tiada pembaziran air yang dilakukan di premis perniagaan berkenaan seperti membiarkan air
menitik keluar daripada paip sinki dan sebagainya. Keadaan di sinki amat terkawal dan bersih
tanpa sebarang kotoran dan tersumbat. Seterusnya, pengurusan tenaga juga adalah
memuaskan kerana tiada sebarang pembaziran elektrik dilakukan. Namun, pengurusan
terhadap sisa buangan di premis berkenaan kurang memuaskan kerana melalui hasil
pemerhatian yang dilakukan mendapati bahawa terdapat sisa makanan di dalam longkang di
premis berkenaan.
ABSTRACT
This case study in which it is carried out in the business premises of the cafe Faculty of
Engineering, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Data obtained in the form of
qualitative data through interviews and observations. The questions during the interview is
related to four aspects that are water management, energy management, waste management
which is divided into two oil waste and food waste as well and the person’s opinion on
environmental awareness. The results obtained through observations on water management is
highly satisfactory as there is no water wastage incurred in respect of business premises such
as letting the water drip out of the sink faucet and so on. The situation is under control and
the sink is clean without any dirt and clogged. Subsequently, the observations on energy
management is also satisfactory because there was no electricity wastage. However, the
management of waste in the premises is quite unsatisfactory as the observations found that
there are leftovers in the drain at the premises.
PENGENALAN
Institusi-institusi Pengajian Tinggi di negara ini telah mengambil pelbagai langkah untuk
menuju ke arah pembangunan lestari. Sebagai contoh, Universiti Kebangsaan Malaysia juga
telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong penuh pelaksanaan pembangunan
lestari. Program UKM Lestari yang telah dilancarkan pada 21 Jun 2007 bertujuan untuk
menyelaraskan pelaksanaan pembangunan lestari di UKM secara menyeluruh. Ini adalah
akibat daripada pencemaran alam sekitar dan degradasi yang disebabkan oleh penggunaan
tenaga dan bahan oleh sebilangan besar manusia secara tidak terkawal.
Selain itu, degradasi alam sekitar juga akan melemahkan keupayaan untuk
memastikan peningkatan kemakmuran dan keadilan ekonomi. Hal ini telah menimbulkan
kebimbangan pihak UKM dan juga komuniti kampus. Oleh hal sedemikian, penting bagi
universiti mengamalkan dan menerapkan konsep kelestarian di kampus (Er Ah Choy &
Catherine Lau YP, 2012). Maka, kelompok Kampus Lestari diwujudkan menerusi program
ini di mana Kumpulan Reka bentuk Lestari, Kumpulan Pengurusan Ekosistem Lestari dan
Kumpulan Komuniti Lestari ditubuhkan di UKM (Norfadhilah Abdullah Derahman et. al.,
2011).
Definisi kelestarian universiti ialah sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, secara
keseluruhan atau sebahagian yang menekankan, keterlibatan dan mempromosikannya pada
peringkat serantau atau global, meminimumkan kesan negatif alam sekitar, ekonomi,
masyarakat dan kesihatan yang dijana dalam penggunaan sumber bagi memenuhi fungsi
pengajaran, penyelidikan, jangkauan dan perkongsian dan pengawasan dalam cara membantu
masyarakat membuat transisi ke arah gaya hidup lestari (Velazquez et al., 2006).
Seperti yang diketahui umum, persekitaran universiti adalah terlalu kompleks, entiti
yang pelbagai dengan kepelbagaian subbudaya organisasi dan juga tradisi telah menimbulkan
kebimbangan. Selain itu, sifat kependudukan sementara di universiti yang melibatkan aliran
keluar masuk sebahagian besar daripada warga kampus telah memberi kesan kepada
kelestarian kerana warga kampus sendiri tidak bertanggungjawab dengan apa yang mereka
lakukan. Ini brerkemungkinan akan ada sesetengah individu mengambil inisiatif untuk
meningkatkan kualiti persekitaran ke arah yang lebih baik yang bertujuan untuk menangani
kesan-kesan terhadap alam dan kehidupan warga kampus, tetapi tidak mendapat penglibatan
daripada warga kampus. Hanya sebilangan kecil daripada mereka yang terlibat dalam
mengajak warga kampus ke arah mewujudkan kampus lestari namun akhirnya tidak berjaya
kerana tiadanya sepakatan antara mereka. Di samping itu juga, dana yang terhad yang
memerlukan belanjawan yang tinggi telah menyukarkan pihak terlibat mengambil langkah
yang sepatutnya dalam mewujudkan kampus lestari.
Warga kampus sememangnya akan sibuk dengan aktiviti masing dan kesuntukan
masa menyebabkan mereka tidak mengendahkan keadaan sekeliling mereka. Selain itu, pihak
universiti sendiri kurang memberi pendedahan kepada warganya dalam penjagaan
persekitaran supaya dapat mewujudkan kelestarian yang diharapkan (Nick Nuttall, 2013).
Oleh itu, satu kajian kes telah dijalankan bagi melihat langkah-langkah yang diambil oleh
pihak cafe Fakulti Kejuruteraan UKM untuk melestarikan kawasan kampus serta cabarannya.
TINJAUAN LITERATUR
Tinjauan literatur ini lebih berfokus membincangkan mengenai kajian-kajian terdahulu
berkaitan penggunaan tenaga, sisa pepejal dan penjimatan air di dalam universiti mahupun
luar universiti oleh para pengkaji. Ulasan dimulakan dengan beberapa takrifan seperti konsep
sisa pepejal, tenaga dan penjimatan air. Dalam kajian Mohd Yusof (2010), mengenai media
dan isu alam sekitar, pengkaji merumuskan bahawa terdapat empat unsur utama dalam
mengurus keseimbangan ekosistem di UKM agar menghasilkan kehidupan alam yang lebih
harrmoni dan seimbang, antaranya adalah pengurusan hutan, pengurusan air, pengurusan
tenaga dan pengurusan sisa. Tambah pengkaji lagi, empat aktiviti utama ini adalah amat
penting bagi mengurus alam agar lebih lestari dan pengkaji berharap agar pembaca lebih
sensitif tentang isu alam sekitar. Walaubagaimanapun, kajian ini lebih menekankan mengenai
penggunaan tenaga dari segi elektrik, pegurusan sisa pepejal dan penjimatan air.
Salah satu pengurusan utama dalam mengurus ekosistem adalah pengurusan sisa
pepejal. Menurut kajian oleh Masyitah (2008), sisa pepejal adalah bahan yang tidak
diperlukan oleh pengguna yang dihasilkan dalam bentuk selain cecair dan gas melalui aktiviti
harian daripada sumber kediaman, komersial dan industri. Tambahan pula, menurut Ang
(2014), sisa pepejal adalah sisa yang paling banyak dihasilkan di dalam bandar. Sisa pepejal
terdiri daripada pelbagai jenis seperti sisa pepejal perbandaran, sisa pepejal industri, sisa
pepejal pertanian, sisa pepejal pembinaan dan sebagainya. Lambakan sisa pepejal yang tidak
terkawal akan memberi kesan negatif kepada pembangunan ekonomi, alam sekitar dan sosial.
Oleh itu, pengurusan sisa pepejal yang cekap amat penting untuk menghadapi lambakan sisa
yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sisa pepejal dapat dibahagikan kepada tiga
kategori utama iaitu, sisa organik, sisa tak organik dan sisa yang boleh dikitar semula. Kajian
oleh Mohd Yusof, (2010) mendapati sisa pepejal yang dihasilkan adalah sisa organik yang
boleh diproses dijadikan sebagai baja organik yang boleh diguna semula. Oleh itu, ini
merupakan salah satu cara untuk menguruskan sisa pepejal dengan cekap supaya lambakan
sisa pepejal dapat dikurangkan.
Kemudian, pengurusan yang juga penting dalam mengurus ekosistem adalah air. Air
adalah nadi kehidupan. Tanpa air tidak mungkin wujud hidupan di alam ini. Semua hidupan
sama ada manusia, haiwan, dan tumbuhan amat memerlukan air yang bersih (tidak bertoksik)
dan cukup untuk hidup. Air yang berkurangan dan tercemar akan menyebabkan sebahagian
hidupan akan pupus, manakala air yang berlebih pula akan merosakkan alam akibat tanah
runtuh dan aliran air yang tidak sempurna. Menurut kajian Othman A.Karim (2006),
pengurusan badan air merupakan salah satu proses penting ke arah pembangunan
penyelarasan dan pengurusan air, tanah dan sumber-sumber berkaitan untuk
memaksimumkan manfaat ekonomi dan sosial secara seimbang tanpa menjejaskan
kelestarian ekosistem.
Menurut Mohd Yusof (2010), dalam kajiannya membincangkan mengenai
kepentingan air terhadap aktiviti seharian manusia, haiwan dan juga tumbuhan. Selain itu
juga air penting dalam keseimbangan alam sekitar supaya sesuatu lokasi tidak menjadi kering
kontang, juga penting dalam sumbangan kepada pertanian, air juga penting dalam penjanaan
tenaga, sistem pengangkutan, pelnacongan dan rekreasi. Walaubagaimanapun, jika air tidak
diurus dengan baik, sumber air akan terjejas dan dengan demikian air perlu diurus dengan
baik agar dunia memperoleh sumber air yang cukup dan bersih untuk menampung semua
hidupan yang memerlukannya.
Pengurusan tenaga juga adalah penting dalam mengurus ekosistem. Ia juga adalah
sumber utama bagi segala aktiviti di alam ini. Tanpa tenaga tidak mungkin ada sebarang
pergerakan. Salah satu tenaga yang penting dalam kehidupan seharian manusia adalah tenaga
elektrik. Tenaga elektrik adalah tenaga yang selamat digunakan dan mudah untuk kegunaan
kita di rumah. Kita seharusnya menikmati dan memanfaatkan kemudahan yang sedia ada bagi
mengelakkan pembaziran tenaga elektrik.
Oleh itu, dalam kajian oleh Mohd Yusri (2007), membincangkan mengenai alat
penstabilan elektrik, dimana terdapat dua model alat iaitu DEMS 10 untuk pengguna
mempunyai purata nilai bil kurang dari RM80.00 dan DEMS 20 untuk pengguna yang
mempunyai purata nilai bil lebih daripada RM80.00 elektrik serta kurang dari RM200.00.
Alat penstabil tenaga elektrik ini beroperasi berdasarkan konsep kapasitor bank dan dijangka
mampu untuk meningkatkan kecekapan tenaga elektrik serta mengurangkan nilai bil
pengguna. Berdasarkan kajian yang telah dilakukan, ini menunjukkan bahawa tenaga elektrik
sangat penting dan perlu digunakan secara berhemah bagi mengurangkan pembaziran tenaga.
Selain tenaga elektrik, tenaga yang amat diperlukan dalam meningkatkan
keseimbangan ekosistem adalah tenaga yang boleh diperbaharui iaitu tenaga biofuel atau
sumber gas asli. Harga minyak yang melambung tinggi sekarang menyebabkan negara
memerlukan satu alternatif lain untuk menggantikan sumber gas asli tersebut. Oleh itu, dalam
kajian Norfairuz (2009), menjalankan kajian mengenai kaedah lain dalam menggantikan
sumber gas asli tersebut. Maka, proses bagi menghasilkan biofuel dari ubi kayu atau isi buah
durian serta merekabentuk dapur gas etanol dijalankan sebagai salah satu cara untuk
menggantikan sumbner gas asli. Dalam kajian ini, alkohol digunakan kerana ianya
merupakan bahan bakar yang sesuai untuk menggantikan gas asli.
Selain itu, terdapat juga kajian yang menjalankan mengenai kaedah lain untuk
menjimatkan sumber gas asli. Sebuah model dibina sebagai salah satu cara untuk
menggantikan sumber gas asli berikutan masalah yang timbul daripada harga gas memasak
yang tinggi dan dan komplikasi daripada penggunaan kayu api di negara dunia ketiga seperti
dari segi kesihatan dan penebangan hutan. Model tersebut adalah dapur suria dimana ia
berfungsi seperti ketuhar dan dapur suria ini dikatakan praktikal jika ia adalah berkesan,
selamat digunakan dan bahan-bahan yang digunakan adalah murah dan mudah didapati (Alia
Ruzanna, 2009). Oleh itu, berdasarkan kajian-kajian lepas, terbuktilah bahawa air, tenaga,
dan sisa pepejal memerlukan pengurusan yang cekap dan bijak. Ini kerana, jika dibiarkan
ianya akan menjadi kemudaratan dalam keseimbangan ekosistem manusia dan hidupan lain
menyebabkan banyak kesan akan berlaku.
PERSOALAN KAJIAN
1. Apakah amalan pengurusan air di premis perniagaan Kafe Fakulti Kejuruteraan.
2. Apakah amalan pengurusan tenaga di premis perniagaan Kafe Fakulti Kejuruteraan.
3. Apakah amalan pengurusan sisa buangan di premis perniagaan Kafe Fakulti
Kejuruteraan.
4. Apakah pandangan peniaga tentang kesedaran alam sekitar.
OBJEKTIF KAJIAN
1. Untuk mengenalpasti amalan pengurusan air di premis perniagaan Kafe Fakulti
Kejuruteraan.
2. Untuk mengetahui amalan pengurusan tenaga di premis perniagaan Kafe Fakulti
Kejuruteraan.
3. Untuk mengenalpasti amalan pengurusan sisa buangan di premis perniagaan Kafe
Fakulti Kejuruteraan.
4. Untuk mendapatkan pandangan peniaga tentang kesedaran alam sekitar.
METODOLOGI KAJIAN
Kajian ini berbentuk kajian kes yang mana ia dijalankan di premis perniagaan iaitu di
Kafe Fakulti Kejuruteraan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi Selangor. Data yang
diperolehi berbentuk data kualitatif yang mana ia diperolehi melalui sesi temu bual dan
pemerhatian. Soalan yang dikemukakan semasa temu bual adalah berkaitan dengan empat
aspek iaitu soalan tentang pengurusan air, pengurusan tenaga, pengurusan sisa buangan yang
dibahagikan kepada dua iaitu sisa buangan minyak dan sisa buangan makanan serta, pendapat
peniaga terhadap kesedaran alam sekitar. Kajian kes ini melibatkan seorang pembantu
penguasaha kafe yang berpengalaman bekerja hampir dua tahun di Kafe Fakulti Kejuruteraan
tersebut.
Soalan temubual dibahagikan kepada lima bahagian iaitu pengurusan air yang
mempunyai 10 soalan, pengurusan tenaga mempunyai 9 soalan, pengurusan sisa buangan
minyak mempunyai 11 soalan, pengurusan sisa buangan makanan mempunyai 10 soalan dan
soalan terbuka berkaitan pendapat peniaga tentang alam sekitar. Semua soalan telah direka
dan dibincangkan bersama ahli kumpulan untuk tujuan sesi tembual.
DAPATAN KAJIAN
A) Temu bual mengenai pengurusan air, tenaga dan sisa buangan di Kafe Fakulti
Kejuruteraan.
Hasil kajian mengenai pengurusan air, tenaga dan sisa buangan termasuk sisa buangan
minyak dan makanan di Kafe Fakulti Kejuruteraan diperolehi daripada sesi temu bual dengan
pembantu pengurus premis perniagaan berkenaan. Oleh yang demikian, antara jawapan-
jawapan yang diberikan berdasarkan soalan-soalan yang diajukan kepada responden iaitu:
Pengurusan Air
1. Berapa kerap kalikah anda mencuci lantai di kafe anda?Bagaimana caranya?
Pada waktu pagi sebelum membuka kafe dan pada waktu petang sebelum
menutup kafe. Menggunakan mop dan sebuah baldi yang berisi air dan sabun.
2. Bagaimana anda mencuci pinggan?
Menyediakan sebuah besen besar berisi air bersih untuk membilas dan sebuah
besen besar lagi berisi air sabun untuk mencuci pinggan, mangkuk dan cawan
yang kotor.
3. Berapa banyak air yang digunakan untuk membuat air minuman?
Banyak, mengikut jenis air minuman yang ingin dijual.
4. Jika air minuman tidak habis dijual, bagaimana anda menguruskannya?
Air yang boleh disimpan, akan disimpan. Kalau tidak akan dibuang.
5. Bagaimana cara anda menggunakan air semasa memasak?Mengambil air
secukupnya atau berulang kali mengambil air?
Berulang kali mengambil air (kerap membuka air paip).
6. Adakah anda menganggarkan isi padu air minuman yang dijual? Contoh mengikut
bilangan ramai pelajar atau hari cuti.
Ya, kalau pelajar ramai, banyak kuantiti air minuman dijual, kalau cuti akan
dikurangkan kuantitinya.
7. Berapakah anggaran purata bil air setiap bulan?
Lebih kurang RM 200++.
Pengurusan Tenaga
1. Berapa banyak tong gas memasak yang digunakan dalam sehari berniaga?
9 tong gas.
2. Berapa kerap tong gas memasak ditukar?
Seminggu 3 kali.
3. Adakah anda mengawal penggunaan gas memasak? Bagaimana?
Ya, kecilkan api gas sementara tidak digunakan atau tutup terus jika tidak
digunakan langsung.
4. Adakah lampu, kipas dan barang elektrik lain dibuka sepanjang perniagaan atau
digunakan bila perlu?
Lampu dan kipas akan dibuka daripada kafe dibuka dan ditutup apabial kafe
ditutup. Suis pengisar atau lain-lain suis akan ditutup jika tidak digunakan.
Pengurusan Sisa Buangan
i) Minyak
1. Berapa kerap anda membeli minyak untuk berniaga?
Tidak menentu. Jika habis minyak akan dibeli.
2. Berapa kilo minyak yang anda beli setiap kali membelinya? Berapa lama ia
bertahan?
Sekotak minyak kampit bertahan sehari atau dua hari.
3. Adakah anda mengawal penggunaan minyak dalam masakan? Bagaimana?
Tidak.
4. Berapa anggaran sisa minyak/minyak yang tidak boleh digunakan lagi dalam
sehari?
Satu botol plastik. Minyak masak untuk menggoreng akan digunakan berkali-kali.
5. Apakah yang anda lakukan terhadap sisa minyak yang tidak digunakan lagi?
Buang atau kumpul dan hantarnya ke pusat kitar semula?
Letak dalam botol dan kumpul bersama dengan sampah yang lain. Ia akan
dibuang di tempat pembuangan sampah di bahagian belakang kedai.
6. Apakah yang anda lakukan terhadap bekas minyak (plastik/botol ) yang telah
digunakan?
Buang. Bekas minyak adalah plastik.
ii) Makanan
1. Adakah terdapat makanan yang dimasak tidak habis dijual?
Ya.
2. Bagaimana anda menguruskannya jika terdapat makanan yang tidak habis?(Buang
atau simpan?)
Makanan yang tidak boleh disimpan seperti sayur dan bersantan akan dibuang.
Makanan yang boleh disimpan akan disimpan dalam peti sejuk. Kadangkala akan
membenarkan pekerja untuk membawa pulang ke rumah.
3. Jika makanan yang tidak habis dijual itu disimpan, bilakah ia digunakan semula?
Adakah pernah disimpan tetapi basi/tidak boleh digunakan? Jadi apa yang anda
lakukan jika tidak boleh digunakan?
Keesokan harinya. Pernah basi dan tidak boleh digunakan. Makan tersebut akan
dibuang.
4. Berapa anggaran kuantiti makanan yang tidak habis dijual yang dibuang setiap
hari?
Banyak. 5 hingga 6 plastik hitam kecil.
5. Adakah anda menetapkan kuantiti bahan mentah yang ingin digunakan dalam
sehari perniagaan? Bagaimana?
Tidak. Semua bahan mentah yang dibeli akan digunakan.
6. Berapa kerap anda membeli bahan mentah untuk perniagaan?
Selang satu hari.
7. Berapa harga yang diperuntukkan untuk membeli sekali bahan mentah?
RM 500++. Dua hari sekali.
8. Adakah terdapat bahan mentah yang tidak habis digunakan atau tamat tempoh?
Bagaimana anda menguruskannya?
Ya. Bahan mentah itu akan dibuang.
Pandangan responden terhadap Alam Sekitar
1. Apakah pendapat anda tentang kitar semula?
Mengitar semula barang-barang yang boleh dipakai semula seperti botol plastik,
kaca dan kertas.
2. Adakah anda terfikir bahawa pengurusan air, tenaga dan sisa buangan seperti
minyak dan sisa makanan dengan bijak dapat menyelamatkan alam sekitar?
Jelaskan.
Ya, dapat mengelakkan daripada berlakunya pembaziran. Tidak membuang sisa
buangan di merata-rata tempat dan dapat mengurangkan bau busuk.
3. Adakah anda tahu bahawa sisa makanan boleh dijadikan baja?
Pernah dengar tetapi tak pasti.
4. Pada pendapat anda, apakah perkara yang dapat meningkatkan kualiti alam
sekitar?
Tidak melakukan pembaziran. Melakukan kitar semula. Tidak membuang sampah
merata-rata. Menjaga alam sekitar.
5. Apa yang anda tahu tentang pemanasan global?Apakah pandangan anda tentang
pemanasan global dan perubahan iklim di negara kita?
Pernah dengar macam pemanasan bumi. Menyebabkan cuaca tidak menentu.
B) Pemerhatian terhadap pengurusan air, tenaga dan sisa buangan di Kafe Fakulti
Kejuruteraan.
Hasil kajian yang diperolehi melalui pemerhatian mengenai pengurusan air adalah
amat memuaskan. Hal ini kerana tiada pembaziran air yang dilakukan di premis perniagaan
berkenaan seperti membiarkan air menitik keluar daripada paip sinki dan sebagainya.
Keadaan di sinki amat terkawal dan bersih tanpa sebarang kotoran dan tersumbat.
Kemudiannya, melalui pemerhatian mengenai pengurusan tenaga adalah juga memuaskan
kerana tiada sebarang pembaziran elektrik dilakukan. Namun, pengurusan terhadap sisa
buangan di premis berkenaan kurang memuaskan kerana melalui hasil pemerhatian yang
dilakukan mendapati bahawa terdapat sisa makanan di dalam longkang di premis berkenaan.
Hal ini menyebabkan keadaan di longkang tersebut tidak begitu bersih yang mana mungkin
akan menyebabkan longkang tersumbat dan mendatangkan bau busuk. Keadaan ini tidak
terkawal kerana mungkin ada sesetengah pekerja di premis perniagaan berkenaan mengambil
langkah mudah dengan hanya membuang sisa makanan yang dibersihkan diatas meja ke
adalam longkang memandangkan kedudukan meja makan dan longkang yang berdekatan.
PERBINCANGAN
Berdasarkan jawapan daripada sesi temubual mengenai pengurusan air, ia
menunjukkan bahawa pengurusan air di kafe tersebut agak memuaskan kerana pihak kafe
telah mengawal penggunaan air yang berlebihan. Contohnya, pihak kafe telah mencuci lantai
yang dilakukan pada sebelah pagi dan petang dengan menggunakan sebuah baldi yang berisi
sabun dan air sahaja. Pihak kafe tidak menggunakan getah paip yang boleh menyumbangkan
kepada pembaziran air. Begitu juga dengan cara pihak kafe membasuh pinggan, ia hanya
menggunakan dua besen iaitu berisi air bersih dan air sabun yang mana amalan ini sedikit
sebanyak dapat mengurangkan penggunaan air yang berlebihan. Pihak kafe juga telah
menguruskan air dengan baik iaitu dengan cara menghadkan penjualan air minuman apabila
mengetahui kekurangan pelajar terutamanya waktu cuti semester. Hal ini dikukuhkan dengan
pemerhatian yang dilakukan di kafe tersebut yang mana tiada penampakan air menitik di
bahagian sinki di premis berkenaan. Namun, ada beberapa amalan yang tidak memuaskan
yang dilakukan oleh pihak kafe iaitu penggunaan air semasa memasak dan penggunaan air
untuk dijual. Air paip yang selalu dibuka serba sedikit akan menyebabkan pembaziran yang
mana setiap kali ia dibuka beberapa isi padu air akan terbuang. Apabila kuantiti isi padu air
ini ditambah ia akan menjadikan jumlah pembaziran air yang terlalu banyak. Begitu juga
dengan pembuangan air minuman apabila ia tidak habis dijual, ia akan menyebabkan
pembaziran air yang terlalu besar.
Berdasarkan jawapan mengenai pengurusan tenaga pula, ia agak memuaskan kerana
pihak kafe telah mengawal penggunaan tong gas memasak dengan baik iaitu dengan
mengecilkan api dapur kepada mod kecil dan menutupnya jika ia tidak digunakan dalam
waktu yang panjang. Pihak kafe juga telah mengawal penggunaan elektrik dengan
menutupnya jika tidak menggunakannya lagi contoh menutup suis mesi pengisar selepas
menggunakannya. Hal ini dikukuhkan dengan pemerhatian yang dilakukan terhadap kafe
tersebut yang mana tiada kelihatan pembaziran elektrik. Namun, suis kipas dan lampu
dibiarkan buka sepanjang masa perniagaan kerana pelanggan akan datang sepanjang waktu
tersebut.
Kemudiannya, pengurusan sisa buangan seperti minyak dan sisa makanan di kafe
berkenaan kurang memuaskan kerana pihak kafe telah menggunakan minyak dengan kuantiti
yang banyak. Merujuk kepada jawapan responden, minyak akan dibeli satu kotak (24
kilogram) setiap hari atau dua hari sekali. Ini menunjukkan bahawa pihak kafe tidak
mengawal penggunaan minyak masak dengan sebaiknya semasa memasak. Hal ini akan
menyebabkan pembuangan sisa minyak yang banyak. Tambahan pula, pihak kafe tidak
menghantar minyak terpakai tersebut ke bahagian kitar semula minyak atau kilang yang
memproses minyak, malah hanya dibuang bersama sisa buangan lain di tempat pembuangan
sampah. Selain itu, bagi pengurusan sisa makanan pula, ia juga kurang memuaskan kerana
pihak kafe tidak mengawal penggunaan bahan mentah dengan sebaiknya. Pihak kafe telah
menghabiskan RM 500 lebih dalam masa dua hari untuk membeli bahan mentah yang mana
bahan mentah tersebut tidak dihabiskan dan dibiarkan rosak. Hal ini akan menyebabkan
pertambahan sisa makanan yang berlebihan. Begitu juga dengan makanan yang tidak habis
dijual dan yang tidak boleh disimpan, ia akan menyebabkan pembaziran dan pembuangan
sisa buangan yang berlebihan. Pihak kafe telah melakukan pembuangan sisa buangan dalam 5
hingga 6 bungkus plastik hitam yang mana akan dibuang di bahagian pembuangan sampah.
Hal ini disokong dengan pemerhatian yang dibuat iaitu terdapat sisa makanan di dalam
longkang di kafe tersebut. Ini menunjukkan pengurusan sisa buangan di kafe tersebut kurang
memuaskan yang mana keburukan ini akan mendatangkan kesan kepada alam sekitar iaitu
bau yang tidak menyenangkan dan pemandangan yang kurang baik.
Berdasarkan pandangan responden mengenai alam sekitar, ia menunjukkan responden
mempunyai pengetahuan tetapi kurang kefahaman dan kesedaran mengenainya. Responden
hanya mengetahui maksud kitar semula dan barang yang boleh dikitar semula tetapi tidak
mengaplikasikannya di kafe berkenaan. Responden juga mengetahui kesan pengurusan air,
tenaga dan sisa buangan yang baik dapat menyelamatkan alam sekitar tetapi responden tidak
mengaplikasikannya seperti menguruskan sisa buangan dengan baik. Hal ini menunjukkan
responden kurang faham dan sedar tentang kepentingan pengurusan air, tenaga dan sisa
bungan yang baik. Selain itu, responden kurang tahu mengenai penghasilan baja daripada sisa
makanan dan kurang tahu maksud yang sebenar mengenai pemanasan global serta perubahan
iklim.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, dapat disimpulkan bahawa pengurusan air, tenaga dan sisa buangan
di kafeteria kejuruteraan agak memuaskan. Oleh itu, pengurusan dari segi air, tenaga dan sisa
buangan di kafeteria kejuruteraan perlu dipertingkatkan lagi supaya penjimatan dan
pengurusan lebih cekap dan berhemah seperti menggunakan tenaga dan air sebaik mungkin.
Manakal sisa buangan seperti sisa makanan boleh dijadikan baja organik dan sisa buangan
lain seperti plastik, botol kaca, botol plastik dan lain-lain boleh diahantar ke pusat kitar
semula supaya menjadi bahan yang baru yang berguna. Selain itu juga, kesedaran mengenai
alam sekitar seperti kitar semula, pelihara dan memulihara alam perlu ada pada setiap orang.
Ini kerana, manusia hidup saling bergantung dengan hidupan lain antara satu sama lain.
Kualiti alam sekitar yang baik mampu menjadikan ekosistem seimbang dan sumber
kepelbagaian di bumi dapat dipelihara untuk generasi yang akan datang. Diharapkan kajian
ini mampu menjadi rujukan dan memberi kesedaran kepada pembaca mengenai alam sekitar.
RUJUKAN
Alia Ruzanna Aziz. 2009. Mereka bentuk dapur suria yang praktikal digunakan untuk memasak: tesis ijazah sarjana muda.
Ang Kean Hua. 2014. Potensi instrumen moral dalam melestarikan sumber air di Malaysia. Journal of Society and Space, (5): 44-55.
Er Ah Choy, Catherine Lau YP. 2012. Analisis jaringan pihak-pihak berkepentingan ke arah kelestarian kampus. Geografia-Malaysian Journal of Society and Space, 8(6): 109 – 116.
Masyitah Md Nujid, Nurjuhanah Juhari & Juliana Martin. 2008. Kajian penjanaan sisa pepejal dan tahap kesedaran penduduk terhadap kitar semula di seluruh negeri Perlis. Jurnal Intelek, (6): 123-131.
Mazaitul Shima Mazlan, Shahirah Umamah Abdul Mutalib, Er Ah Choy. 2015. Faktor sikap pelajar dalam peningkatan tahap kelestarian kampus: kajian kes Universiti Kebangsaan Malaysia GEOGRAFIA OnlineTM Malaysian Journal of Society and Space, 11(8): 52 – 65.
Mohd Yusof Hj Othman. 2010. Media dan isu alam sekitar. Jurnal Hadhari, 2(2): 1-17.
Mohd Yusri Abdul Halim. 2007. Kajian keberkesanan penggunaan alat penstabilan tenaga: tesis ijazah sarjana muda.
Norfadillah Derahim, Halimaton Saadiah Hashim, Noraziah Ali, Sarah Aziz. 2012. UKM sebagai kampus lestari: Tinjauan awal pengetahuan, kesedaran dan penglibatan pelajar dan kakitangan di Kampus UKM Bangi. Geografia-Malaysian Journal of Society and Space, 8(6): 76 – 90.
Norfairuz Mansor. 2009. Kajian kemungkinan menghasilkan bahan bakar (biofuel) alternatif daripada ubi kayu dan merekabentuk dapur gas etanol: tesis ijazah sarjana muda.
Othman A. Karim, Irene Lee Pei Ngo, Mazlin Mokhtar dan Azami Zaharim. 2006. Kajian kualiti air tasik kejuruteraan UKM ke arah mewujudkan kampus lestari dan mesra alam. Jurnal Kejuruteraan (18):57-64.
LAMPIRAN
Sesi temu bual bersama responden di kafetaria Fakulti Kejuruteraan
Suasana persekitaran kafetaria